Semua artikel adalah pendapat peribadi. Anda berhak untuk tidak meneruskan bacaan atau tidak mengakseskan blog ini serta merta jika anda tidak bersetuju dengan pemikirannya. All the articles written are the personal views. You have absolute rights not to continue reading or to discontinue accessing this blog immediately if you are disagreeable with the personal views.

Monday, September 05, 2016

Di mana Kekuatan MCA?

7:38 AM Posted by RIDHUAN TEE 10 comments
Di mana kekuatan MCA? (Sinar Harian 5.9.16)

Bulan kemerdekaan makin dirasai. Lebih seminggu sudah kita menyambut Hari Kemerdekaan ke-59 dan diikuti Hari Malaysia ke 53. Ultra kiasu yang merupakan Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) berkata “kita tidak boleh paksa patriotisme ... Jika kamu sayang negara, kamu akan melakukannya (kibar bendera) tanpa paksaan”.

Setelah 59 tahun merdeka di bumi tercinta, apakah masih lagi tidak boleh dipaksa semangat patriotisme ini? Inilah dilema Malaysia. Kita lebih sayangkan bangsa daripada negara.

Jika berlaku sesuatu kepada negara ini, apakah kita rela berkorban jiwa raga? atau tinggalkan raga?

Patriotisme berasal daripada kata akar patriot bermakna pejuang. Semangat perjuangan itu disebut sebagai patriotisme, iaitu sanggup mati untuk negara. Semangat ini mesti ada dalam jiwa setiap rakyat.  

Mengibarkan jalur gemilang hanyalah satu cara. Patriotisme bukan setakat kibaran bendera. Ia melibatkan hati. Hati yang cintakan negara lebih daripada dirinya sendiri, bangsa atau parti.

Lihat pula, MCA, belum apa-apa lagi sudah memuktamadkan calonnya bagi PRU14. MCA mendesak Umno memulangkan semula tiga kerusi Parlimen milik mereka yang ‘dipinjamkan’ kepada Umno iaitu Kuantan, Gelang Patah dan Wangsa Maju. Sejak bila pula kerusi ini menjadi milik bapak MCA?

Apakah MCA mampu untuk merampas kerusi Kuantan (60% Melayu) daripada PKR. Calon MCA kalah dalam PRU 12. Pemimpin MCA berkata, majoriti yang mereka menangi lebih tinggi daripada Umno. Ketawa beruk saya. Masalahnya MCA tidak mengundi Umno ketika Umno bertanding. Sebaliknya, undi Umno solid kepada MCA. Siapa tipu siapa? Masih tidak kenal MCA? Perkara yang sama berlaku di Gelang Patah.

MCA tidak perlu bercakap banyaklah. Buat kerja, kurangkan cakap. Jangan sakiti Umno. Jika Umno tidak mengundi MCA, nanti hilang wang deposit. Ini akibatnya apabila Umno gagal untuk mentarbiah MCA supaya tahu dek untung. Terbaharu, MCA minta tambah kerusi di Sabah.

Apakah MCA tidak sedar bahawa kerusi mereka yang di kawasan majoriti Melayu selama ini semuanya dipinjamkan? Kerusi tetap MCA, termasuk Gerakan dan MIC adalah di kawasan majoriti Cina.

Bila masa pula kerusi majoriti Melayu mahu dikembalikan. Misalnya, Ayer Hitam, Alor Setar, Kapar, Alor Gajah, Simpang Renggam, Lumut, Tanjung Malim, Tebrau dan lain-lain lagi.

Saya tidak boleh terfikir bagaimana Parlimen Grik yang dihuni lebih 70 peratus Melayu boleh diberikan kepada Gerakan PRU 12, dikembalikan kepada Umno PRU 13. Apakah layak Gerakan meminta Umno kembali kerusinya pada PRU 14 nanti?

Sama juga di Kelantan, apakah parti nyamuk PAN layak diberikan kerusi. Memberikan kepada PKR itupun satu tolak ansur yang sudah tidak ada tolok bandingnya oleh PAS. Kasihan, setiap kali parti baru muncul, PAS  terpaksa berkorban.  

MCA boleh ambil kesemua kerusi di kawasan majoriti Cina. Tetapi jangan kacau kawasan majoriti Melayu. Setakat ini hanya Melayu sahaja terima MCA, Cina sudah lama tolak. Jangan perasan kuat.

Saya menulis sebegini seolah-olah saya talibarut atau dibayar Umno. Tidak. Tetapi sebagai rakyat marhaen dan penganalisis politik, saya mesti berkata benar, walau pahit.

Jika MCA sudah bersedia, lawanlah ultrakiasu di Bagan, Bukit Mertajam, Bukit Bendera, Tanjong, Jelutong, Bukit Gelugor, Ipoh Barat, Ipoh Timur, Batu Gajah, Seputeh, Kepong, Bukit Bintang, Cheras dan kawasan bandar. Biarlah Umno bergasak dengan Pas kawasan majoriti Melayu.

Jika MCA kacau, sudah tentu undi akan pergi kepada pembangkang. MCA, MIC dan Gerakan tidak perlu bimbang, jika kalah, jawatan senator, kemudian dilantik sebagai menteri dan timbalan pasti menanti.

Formula lapuk menjadi sesuatu kawasan bapak dia yang empunya perlu difikirkan semula, jika Umno mahu menang PRU 14. Biar MCA melalak. Perangai MCA sama seperti DAP, ultra kiasu. Saya cabar Cina DAP bertanding kawasan majoriti Melayu.

MCA, MIC, Gerakan dan termasuk PAN, tahu mereka ini tidak kuat, tetapi pandai daripada segi psywar dan psyop, seolah-olah mereka kuat.

Laman web ultra kiasu membesar-besar ucapan PM Singapura mengenai jaminan kepada etnik minoriti bahawa jawatan Presiden Singapura akan diberikan kepada mereka. Kenapa tidak PM?

Ada apa dengan jawatan Presiden berbanding Perdana Menteri? Singapura sepatutnya menyelesaikan masalah minoriti Melayu di buminya sendiri. Beri kepercayaan minoriti menjadi PM, Panglima tentera, Ketua Imigresen dan Ketua Polis. Selagi sikap sangsi dan sangka buruk ini wujud, selagi itulah masalah kaum tidak dapat diselesaikan. Ingat! Singapura tidak dapat dipisahkan daripada sejarah kenegaraan Melayu.

Sekurang-kurangnya keadaan kita jauh lebih baik. Etnik minoriti diberikan jawatan tinggi walaupun bilangan sedikit. Ramai yang dilantik menjadi Menteri, Duta, KSU, Ketua Polis Negeri dan sebagainya.

Sempena Kemerdekaan ke 59, marilah kita meletakkan kepentingan negara di hadapan, berbanding kepentingan bangsa, parti dan diri. Tangkaplah lagi perasuah dan pengkhianat, meskipun dia Melayu, kerana negara tidak memerlukan mereka yang tidak patriotik.


Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah,
Profesor, INSPIRE/FUPL, UniSZA




Monday, August 29, 2016

Kenapa Hanya Chong Wei

7:36 AM Posted by RIDHUAN TEE 29 comments
Kenapa hanya Chong Wei? (SH 29.8.16)

Kenapa hanya berita Chong Wei yang diperbesarkan sedangkan orang lain pun dapat pingat juga dalam Sukan Olimpik? Bagaimana perasaan atlet lain seperti Pandelela Rinong, Azizulhasni dan lain-lain. Layak ke Olimpik itu adalah suatu kejayaan besar.

Apakah kita sudah lupa kepada anak remaja, Khairul Idham Pawi, juara  perlumbaan Moto3 Grand Prix Jerman. Sebelum ini di Argentina. Beliau terpaksa mengeluarkan wang sendiri untuk membiayai kejohanan tersebut.

Sejujurnya, saya akan rasa lebih bangga jika Chong Wei beraksi di final dengan rubber game, tetapi dia kalah straight sets. Nasib yang sama menimpa pasangan beregu. Maknanya, kita masih jauh lagi untuk mendapatkan emas, ketika negara lain juga bersedia pada masa depan? Kita selalu beranggapan kita jauh lebih bagus, hakikat sebenar belum tentu lagi.

Banyakkan kerja daripada berpolitik. Saya tidak kisah jika pihak swasta memberikan imbuhan. Habuan yang dijanjikan selama ini sudah mencukupi. Jangan bandingkan dengan imbuhan Singapura. Mereka negara kaya. Ramai lagi rakyat miskin yang memerlukan wang rakyat (negara).

Kita perlu berlaku adil kepada semua. Saya sangat kasihan kepada atlet lain seperti Zulfadli (badminton), yang dahulu bakatnya sangat menyerlah, sehingga mampu menggugat Chen Long. Kini, senyap sepi. Mana pergi semua atlet Melayu? Kita perlu berlaku adil.

Sukan pada hari ini sudah menjadi perniagaan, mencari populariti, lubuk duit, bukan lagi  patriotisme. Patriotisme hanya di bibir bukan di hati.

Sukan bolasepak dan hoki misalnya, terlalu sukar menarik perhatian orang bukan Melayu seperti dahulu. Kenapa? Jangan bandingkan bola tampar dan bola keranjang yang sudah sinonim.

Hari ini, kita lebih mengejar acara individu kerana di situ lubuk duit. Manakala berpasukan seperti bola sepak memerlukan kekuatan jamaah.

Sebab itu, semua mahu fokus kepada acara individu daripada berjamaah kerana ganjaran lebih besar. Inilah sifat individualistik yang ada kaitan dengan ultra kiasu yang selalu saya perkatakan.

Orang Melayu masih dengan sifat suka berkenduri. Memang tepat jenaka  Melayu sebelum ini. Jika seorang dia tidur, berdua,  mengumpat, ramai main kenduri. Nampak lawak, tapi bagus.

Sempena Kemerdekaan ke 59, marilah kita melakukan muhasabah patriotisme. Pertama,  keselamatan negara. Banyak rahsia negara bocor kepada musuh hanya kerana benci kepada pemimpin negara, sehingga memudahkan musuh untuk campurtangan. Teruja melihat PM Singapura rebah ketika berucap. Tidak ada satupun kamera yang fokus kepada kejadian tersebut kerana itu adalah aib. Lihat cara ultra kiasu menjaga pemimpin mereka.

Kedua, perkemaskan ATM. Berikan latihan sepenuhnya supaya perut mereka tidak buncit. Maklumlah tidak ada peperangan. Buat latihan peperangan tanpa henti di kawasan strategik seperti Johor, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan bandar-bandar besar. Sedih kadangkala melihat pegawai kanan ATM lebih buncit daripada PDRM. Wal hal profesion PDRM lebih mencabar daripada ATM. Walaupun tiada perang, PDRM bekerja siang malam meskipun imbuhan ATM lebih baik daripada PDRM. Saya hanya tersenyum bila ada tentera pencen mahukan lebih gelaran dan pingat berbanding atlet. Yakinlah, malaikat tidak tanya gelaran, pangkat dan pingat, melainkan sumbangan kepada agama, negara dan bangsa.     

Kedua, dalam sukan, utamakan sukan berpasukan. Berikan insentif seperti yang dilakukan oleh pasukan Johor. Tetapi jangan pulak terlalu kenegerian sehingga bergaduh, berdarah-darah. Untuk atlet individu, pelbagaikan warna. Ke mana hilangnya atlet Melayu?

Ketiga, cintakan alam. Hijaukan bumi ini. Ambil tindakan terhadap mereka yang rakus pembalakan haram, bauksit dan sebagainya. Kitar semula. Jangan biarkan alam marah kepada sehingga ditonggang-terbalikkan suatu masa nanti. Banyakkan program gotong-royong menghijaukan alam melibatkan semua kaum.

Keempat, perpaduan nasional. Perhebatkan program komuniti melibatkan semua kaum. Kenal antara satu sama lain. Berinteraksi menggunakan bahasa kebangsaan. Perkuatkan JKKK dan Rukun Tetangga. Tangkap PATI. Hapuskan gangsterisme. Banteras dadah.

Kelima, fahami kontrak sosial dan perlembagaan. Hari ini, semua mahu dilupakan. Semangat ultra kiasu sayangkan bangsa daripada negara sangat tinggi. Asyik-asyik mahu tambah kerusi dan pulangkan kerusi yang ‘dipinjamkan’. Saya ulas minggu depan.

Keenam, tangkap perasuah dan penerima rasuah hingga ke lubang cacing. Mereka inilah yang menjahanamkan negara. Ramai lagi dalam PBT, Pejabat Daerah, Kastam, Imigresen, Polis, ahli politik dan masih berleluasa. Isytiharkan harta mereka tanpa berkecuali. Setakat ini hanya penerima rasuah yang ditangkap. Pemberi rasuah macam mana?

Kita tidak akan ke mana-mana jika semua bidang mahu dipolitikkan. Negara Asean lain sudah mula meninggalkan kita. Kita masih perasan kita lebih bagus.

Biarkan pakar dengan kerja kesepakarannya. Jangan ganggu mereka. Orang politik berilah sokongan, tidak perlu campurtangan berlebihan. Ini tidak, orang politik, mahu ke depan sokmo.  


Biarkan yang pakar berfikir siang malam untuk memajukan sukan, bukan berpolitik dalam sukan. Masalahnya bila orang politik mengetuai sukan, dia akan berfikir soal kepentingannya dalam politik. Selamat menyambut Hari Kemerdekaan ke 59. Majulah sukan untuk negara.

Monday, August 22, 2016

Rahsia Kekuatan SJKC

7:40 AM Posted by RIDHUAN TEE 5 comments
Rahsia kekuatan SJKC (Sinar Harian 22.8.16)

Walaupun selama ini saya dilihat sering ‘menyerang’ SJKC kerana kedegilan mereka melaksanakan agenda kerajaan terutama berkaitan dengan BM, itu bukan bermakna saya menafikan kekuatan SJKC dan bangsa Cina itu sendiri.

Pertama, Cina sudah sinonim dengan sifat rajin. Struggle for survival. Sifat ini diwarisi turun-temurun. Ada beberapa SJKC tinggalan sejarah, terutama di ladang, boleh dikatakan pelajar keseluruhan pelajar dan pelajar Cinanya sangat sedikit, tetapi masih survive.

Semangat berkorban atas nama bangsa sangat tinggi. Jika mereka bersungguh-sungguh dalam mempelajari BM, sudah tentu bilangan yang mendapat straight A akan mengatasi Sekolah Berasrama Penuh. BM adalah subjek killer kepada prestasi SJKC.

Itupun kerajaan amat bertolak ansur dengan memudahkan subjek BM, dengan menjadikan BM di SJKC lebih mudah berbanding dengan BM di SK. Jika subjek BM diseragamkan mengikut kurikulum SK, sudah tentu lebih banyak kelas peralihan terpaksa diwujudkan kerana ramai yang akan mendapat markah rendah atau gagal. Peliknya, kenapa Bangla, Myanmar dan Nepal boleh menguasai BM dengan cepat, rakyat kita begitu sukar?

Kedua, Cina berpendirian urusan pendidikan, terutama melibatkan kelengkapan Pengajaran dan Pembelajaran (P&P), tidak boleh diharapkan kepada kerajaan semata. Mereka akan memberi sokongan moral, wang ringgit dan tenaga terhadap kemajuan pendidikan.

Ibu bapa Cina tidak teragak-agak untuk berbelanja untuk pendidikan anak mereka, walaupun dalam kalangan tidak berada. Meskipun SJKC dibantu sepenuhnya oleh kerajaan, SJKC masih mengenakan yuran tambahan yang lain seperti yuran sewa komputer dan peralatan ICT, kelas tambahan, kelas khas BM dn sebagainya. Jika di SK, sudah tentu kita melompat bila dikenakan yuran tambahan. Yuran PIBG yang setahun RM20 sudah melenting.

Ketiga, setiap tahun mereka akan mengadakan fund raising. Kutipannya mencecah jutaan ringgit. Bangunan tambahan, dewan dan kemudahan ICT kebanyakan ditampung melalui wang ini. Mereka tidak berputus asa menambah dana. Bertemu dengan menteri, wakil rakyat, Majlis Perbandaran dan lain-lain agensi swasta. Mereka berbaik dengan semua pihak, sama ada kerajaan pusat mahukan kerajaan negeri (pembangkang). Kiri kanan makan, masuuk. Jangan terkejut jika ada kelas berhawa dingin. Guru-guru SK disibukkan dengan acara-acara politik yang kadangkala membebankan.

Keempat, kualiti P&P subjek matematik. Cina telah mewarisi sistem P&P matematik yang pantas dengan ringkas. Sehingga kini, anak saya membuat pengiraan matematik (darab) dalam Bahasa Cina (BC) walaupun telah meningkat dewasa. Latihan matematik dalam BC lebih mudah diingat daripada BM.

Kelima, Kesatuan pengurusan. Sekolah Cina sering mengamalkan corak 3 serangkai yang menggabungkan Lembaga Pengelola Sekolah, Guru Besar dan guru serta PIBG. Gabungan ini amat mantap dikenali sebagai Dong Jiao Zong.

Keenam, SJKC sanggup berkorban dengan mengadakan kelas tambahan, terutama killer subject, BM dan BI. Sejujurnya, SJKC lebih banyak mengadakan kelas pada hari Sabtu, yang diisytiharkan sebagai cuti umum, berbanding SK.

Ketujuh, bertemu ibu bapa. Bagi kelas peperiksaan (UPSR), dalam setahun, paling kurang ada tiga kali perjumpaan dengan ibu bapa. Di SK dan SRA, sekali dah dikira mujur. Perjumpaan lain lebih kepada solat hajat, air yasin, jamuan puasa dan raya. Itupun tidak ramai ibu bapa yang datang.

Kelapan, soal keselamatan. Jarang sekali berlaku kemalangan jiwa berlaku di SJKC. Pengawal keselamatan mereka dilatih bertugas dengan baik, dan bertanggungjawab. Bukan seperti SK dan SRA, bila berlaku kemalangan jiwa, baharulah langkah keselamatan diambil.

Kekuatan lain, jika ada dalam kalangan anak mereka tidak mahu belajar, dengan segera mencari kemahiran tangan. Tidak mahu melihat anak membuang masa dan melepak. Mereka akan disuruh duduk dibengkel-bengkel sebelum menjadi taukeh bengkel. Manakala yang perempuan sanggup menjadi “shampoo girl” sebelum menjadi taukehso.

Banyak lagi faktor lain, cukuplah setakat ini untuk pengajaran kepada kita semua. Niat bukan mahu memperlekehkan SK atau SRA, tetapi kita mahu keluar daripada zon selesa. Sebenarnya SJKC sudah berusaha untuk memastikan pelajar mereka dapat menguasai BM dengan baik, tetapi masih gagal disebabkan sosialisasi di luar sekolah yang masih perkauman.

Anak Melayu macam mana? Usahkan yang tercicir, yang boleh dikira bijak pun terjebak dalam kegiatan tidak bermoral, penagihan dadah dan merempit. Cina berpandangan SK dan BM yang menjadi bahasa rasmi tidak menepati citarasa ekonomi, bukan soal kemelayuan atau keislaman. 

Sehingga kini terdapat lebih 60,000 pelajar Melayu berada di SJKC. KPM hendaklah membuat kajian menyeluruh akan pengaliran pelajar Melayu ke SJKC dan kemerosotan kemasukan pelajar Cina ke SK. Saya dan pasukan di UniSZA bersedia melaksanakan misi ini.

Bila lalu bila saya sentuh mengenai SMKA aliran mandarin, malang disalahfahamkan ultra kiasu. Melayu di SJKC tidak mampu  melahirkan pendakwah. Tetapi SMKA Cina boleh melakukan sedemikian. Sebab itu bertanya jika tidak tahu, jangan menganggap diri pandai walhal sebenarnya tidak.


Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah,
Profesor, INSPIRE/FUPL, UniSZA




Monday, August 15, 2016

Agenda negara yang bercelaru

7:37 AM Posted by RIDHUAN TEE 3 comments
Agenda negara yang bercelaru (Sinar Harian 14.8.16)

Semakin negara bergerak maju, semakin kuat warganya berpegang kepada agenda negara, agar semangat patriotisme semakin tinggi bagi menghadapi ancaman luar. Ini tidak, makin bercelaru, perkara berkaitan agenda dan identiti negara mahu dicairkan. Kalau boleh, mahu ditiadakan langsung, hanya kerana ia berkaitan bahasa dan agama negara iaitu Melayu dan Islam.

Sepatutnya kedua agenda negara ini mesti difahami dan dihayati oleh semua, tanpa berkecuali. Peliknya, sudahlah ia tidak dikuasai, malah diperlekehkan dan dipersendakan. Ke manakah arah tuju kita? atau sekadar mahu mengekalkan kedudukan dan kuasa?

Lihat RUU355, ultra kiasu amat bersatu, mahu mengumpulkan sejuta tandatangan, walaupun jawapan telah diberikan oleh pihak kerajaan bahawa ia hanya bertujuan memperkasakan Mahkamah Syariah, bukannya hudud. Tetapi terus ditentang. Kenapa? Kerana mereka takut  perniagaan haram mereka terjejas.

Dalam bidang seni pula, ada segelintir anak seni mempertikaikan keputusan Festival Filem Malaysia ke 28 untuk mengkategorikan Filem berasaskan bahasa iaitu kategori Melayu dan Bukan Melayu. Ultra kiasu mengambil kesempatan ini, bersatu menentang, akhirnya kerajaan tunduk.   

Lebih pelik lagi, Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian Antara Penganut Agama (JKMPKA), mahukan Kementerian Pendidikan mewujudkan subjek ‘interfaith understanding’ bagi membolehkan para pelajar sekolah lebih memahami dan menghormati pelbagai fahaman agama di negara ini. Siapa yang patut memahami siapa? Minoriti memahami majoriti atau majoriti memahami minoriti?

Sangat memeranjatkan apabila Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan mencadangkan agar Sekolah Kebangsaan (SK) dicairkan identiti Melayu dan Islam bagi menarik perhatian pelajar bukan Melayu. SK pada hari ini dikatakan terlalu kemelayuan dan keislaman sehingga pelajar bukan Melayu dan orang Melayu sendiri tidak berminat untuk bersekolah di sana. Peratus pelajar bukan Melayu bagi SK hanya naik 4% manakala pelajar Melayu SJKC meningkat 18%. SJKC menggantikan SK dalam 10 tahun lagi.

Peliknya, SJKC/T tidak pula dinasihatkan untuk dicairkan sedikit kecinaan dan keindiaannya agar lebih menghayati falsafah pendidikan kebangsaan dan agenda negara.

Pendek kata, ultra kiasu ini mahukan identiti kebangsaan dicairkan, manakala identiti mereka semakin mencengkam. Patutkah pemikiran agenda sebegini dibiarkan berleluasa?

Persoalannya, apakah benar SK tidak mendapat perhatian disebabkan oleh kemelayuan dan keislamannya atau ada isu lain yang lebih besar lagi? Ini lah perkara yang gagal difahami oleh majlis ini.

Pertama, jangan berkompromi dalam perkara berkaitan agenda negara kerana ia adalah kedaulatan negara. Hilang daulat, kita akan menjadi bangsat. Agenda negara tidak boleh menjadi bahan ujian trial and error. Ianya mesti dilaksanakan tanpa rasa takut.

Kedua, jika kerajaan terlalu merasakan bahasa Cina itu terlalu penting dalam mengejarkan kemajuan dan kebangkitan kuasa ekonomi China, cadangan saya, binalah sahaja Sekolah Agama aliran Cina bagi memberikan saingan kepada Sekolah Cina. Saya amat yakin ramai anak mualaf dan Melayu lain akan menghantar anak mereka ke sini dan kita boleh bersaing dengan sekolah Cina yang lain. Perkara ini telah saya cadangkan dalam Persidangan Meja Bulat Cina Muslim baru-baru ini.
 
Selain itu, kerajaan mesti membuka SBP seperti SMKA dan MRSM yang selama ini dikhususkan kepada Melayu dan Bumiputera, kepada anak mualaf, bagi membolehkan anak Melayu bersaing secara sihat dengan anak  Cina ini. Anak Melayu mesti dikeluarkan daripada zon selesa.

Kedua, adalah tidak adil jika SK sahaja minta diliberalkan manakala SJKC/T terus dengan perkaumannya. Justeru, BM mesti didaulatkan. Masa pembelajaran dan pengajaran BM mesti ditambah. Guru-guru BM dan BI tidak perlu disyaratkan mesti mempunyai kredit dalam bahasa Cina. Ringkasnya, kerajaan yang tentukan dasar bukan mereka.

Ketiga, silibus BM dan peperiksaan BM mesti diseragamkan mengikut BM SK. Kementerian Pendidikan tidak perlu membuang masa menyediakan dua (2) kertas BM yang berbeza antara SK dengan SJKC/T. Lebihan wang tersebut boleh digunakan untuk membantu pelajar-pelajar miskin. Percayalah, jika kertas BM diseragamkan pasti lebih ramai pelajar SJKC/T yang akan gagal BM dan tercicir disebabkan penguasaan BM mereka yang rendah.

Akhirnya, tidak ada sesiapapun menolak kemajuan dan kebangkitan kuasa ekonomi Cina masa akan datang. Malah, semua mengakui akan kepentingan mempelajari bahasa asing seperti BI dan bahasa Cina sebagai persediaan.

Tetapi biarlah kita maju dengan adanya identiti. Tidak ada erti sebuah kemajuan, jika pada akhirnya nanti, negara maju, tetapi identiti nasional hancur ditelan zaman arus sekular yang akan menghaiwankan manusia. Ingatlah, pemimpin datang dan pergi, tetapi keputusan yang dibuat akan kekal dan diwarisi oleh generasi akan datang.

Setiap kali Menteri membuat lawatan keluar negara, apakah mereka tidak belajar dan mengambil pengajaran bagaimana negara lain mengakari agenda negara. New Zealand walaupun diperintah kulit putih, tetapi identiti bangsa Maori amat dihormati, dan dipertahankan. Jangan dibandingkan dengan Thailand, Indonesia, China, Jepun dan dunia lain. Kita bagaimana?

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah,
Profesor, INSPIRE/FUPL, UniSZA




Monday, August 08, 2016

Lebihkan Kerja Daripada Teori

7:40 AM Posted by RIDHUAN TEE 1 comment
Lebihkan kerja daripada teori (Sinar Harian 8 Ogos 2016)

Menyambung artikel minggu lalu, lembu import babi eksport berkaitan pertanian. Pergilah ke kedai atau pasaraya, lihat harga produk tempatan yang paling mudah hidup seperti pisang, keladi, keledek, ubi kayu, cempedak, keladi, durian belanda dan lain-lain. Pasti harganya jauh lebih tinggi daripada ubi kentang yang diimport. Kenapa produk tempatan jauh lebih mahal daripada yang diimport?

Seorang petani memberikan respon, “Dasar Pertanian Negara sebenarnya sudah cukup bagus, namun perlaksanaannya sahaja yang perlu diperbaiki...banyak dipengaruhi oleh unsur politik serta pihak-pihak yang berkepentingan. Siapa yang untung?

Tanah kita bukan sahaja subur tetapi bermineral seperti bauksit. Malangnya kita jual tanah subur bagi mendapat keuntungan cepat. Kita tinggalkan tanah kontang dan gersang. Sedih sekali.

Sepanjang lebuh raya Utara-Selatan misalnya, jika ditanam pokok yang boleh mengenyangkan perut, tidak boleh dibayang kesannya kepada ekonomi negara. Tetapi  sepanjang lebuh raya penuh dengan hutan dan semak samun. Sesekali terlihat beberapa pokok jati.

Kepada UPM, Mardi, Jabatan Pertanian, Felda, Felcra, Risda dan sebagainya selaku pemegang taruh dalam bidang pertanian, berapa banyak tanah terbiar dimajukan? UPM misalnya, ke mana pergi kata keramat “Pertanian” setelah jadi “Putra”.

Dahulu, ada kedai telur, tetapi sudah ditutup. Kini, ada UPM Mart. Itu pun macam hidup segan mati tak mahu. Hasil produk mahal, produk luar lebih banyak daripada produk sendiri. Menjadi Research University, tetapi lebih banyak berteori daripada praktik.   

Saya pergi pusat semaian herba UPM untuk mencari anak benih. Pekerja yang telah pencen, tidak diganti. Kawasan semaian menjadi semak samun. Bila ditanya kenapa tidak dijaga kawasan ini, jawapannya tiada pekerja. Kekuatan UPM sebenarnya dalam bidang apa?

Pergilah ke bawah kabel elektrik, lihat Cina bercucuk tanam. Mereka tidak pernah masuk UPM atau buat research. Tetapi tanah terbiar dimanfaatkan. Tabung Haji sibuk membuka ladang sampai ke Indonesia, tanah di tanahair sendiri terbiar.

Dalam sektor perikanan, kita masih berteori mengkaji kualiti hidup nelayan. Kualiti apa jika sebahagian nelayan dan anak-anak nelayan Pantai Timur mula terlibat dengan dadah. Bila tidak ke laut, masa lapang digunakan dengan mendadah.

Banding dengan kualiti hidup Cina di Bagan, termasuk Bagan Datoh. Majoriti Cina ada lesen laut dalam. Ini tidak termasuk lesen Melayu yang jual kepada mereka. Nelayan Melayu hanya bermain di tepian pantai. Kita ada Universiti Awam yang membuat kajian kekayaan lautan dalam dan maritim, malangnya nelayan kita masih tidak ke mana.

Orang Cina, tidak ada pun kajian dibuat, tetapi mereka berani, berani gagal. Mereka redah lautan dalam, mereka menjadi kaya raya. Kita terus berteori, teori yang tidak berpijak di bumi nyata.

Tiga hari Cina ke laut, keuntungan dikaut berlipat ganda. Perniagaan berkembang, daripada gudang kecil kepada gudang besar, sehingga boleh diekport. Turut menjadi pengeluar produk berasaskan ikan dan bebola ikan. Tersenarai dalam bursa saham.

Kita tidak pernah dengar anak-anak nelayan Cina menjadi mangsa dadah duduk di pantai. Kalau dengar pun yang tertangkap, kerana ketamakan menangkap ikan sehingga menceroboh perairan negara jiran, seperti Indonesia. Kemudian, dibebaskan dalam PRK Sg. Besar baru-baru ini bagi menambah undi.

Saya tidak boleh bayangkan jika Cina membuka Bagan di kawasan pantai Timur seperti Terengganu, yang kualiti ikannya jauh lebih baik daripada pantai barat disebabkan kebersihan airnya. Apa akan jadi dengan nelayan Melayu tepian pantai di sini? Saya belum melihat adanya “Bagan” Melayu di Pantai Timur seperti yang Cina lakukan?

Lihatlah Pulau Ketam, Selangor. Siapakah yang menerokai dan menghuninya.  Cina sanggup duduk dan bangunkan pulau. Hari ini pulau tersebut menjadi lubuk duit. Kita melopong.

Langkah yang mesti diambil. Pertama, kerajaan mesti laksanakan Dasar Pertanian Negara. Pertanian itu jihad, bukan hanya menjadi bahan kempen sedap di mulut. Kurangkan berpolitik.

Kedua, ibu bapa perlu disedarkan bahawa bertani adalah kerja mulia. Jangan asyik nak kan anak jadi doktor, jurutera, akauntan, peguam dan sebagainya. Tidak ada gunanya mereka jika rasuah. Jadikan mereka doktor tani dan doktor ikan.

Jika merasa terhina kerana membuat kerja ‘kotor’ sebab ditangan ada ijazah, kita ada ramai lagi yang gagal SPM, kenapa biarkan mereka melepak, merempit, mendedah dan mendadah?

Ketiga, gembelingkanlah segala kekuatan semua agensi kerajaan terlibat. Jangan berpolitik dan mahu menunjuk pandai. Bayangkan jika Felda pada masa sama mengusahakan tanaman pisang, betik, ternakan, selain sawit dan getah. Betapa hebatnya kita hari ini?

Keempat, fokus kepada DPN meskipun menteri bertukar. Lupakan soal daun ketum, tetapi ingat nasihat Nabi: "Sesiapa yang memiliki tanah, hendaklah dia mengusahakannya, namun jika dia tidak berupaya melakukannya, maka hendaklah diberikan kepada saudaranya (supaya diusahakan) dan janganlah dia menyewakannya." (Riwayat Abu Daud). “Sesiapa yang menjayakan tanah yang tidak dimiliki oleh sesiapa (yakni tanah kerajaan), maka dia lebih berhak terhadapnya." (Riwayat Imam Ahmad, Malik dan Bukhari).


Mohd Ridhuan Tee Abdullah, INSPIRE/FUPL, UniSZA.

Monday, August 01, 2016

Lembu Import Babi Eksport

7:29 AM Posted by RIDHUAN TEE 12 comments
Lembu import, babi eksport (Sinar Harian 1.8.16)

Saban tahun bila tiba musim perayaan seperti Hari Raya, naik muak mendengar kenyataan, bekalan daging cukup, harga terkawal. Realitinya, bekalan tidak pernah cukup. Harga pula tidak terkawal. Sehinggakan ayam biasa mencecah harga RM 30 seekor.

Bila berlaku kenaikan mendadak barangan terkawal, kedengaran kata-kata jangan makan itu dan ini, kita boikot. Rakyat marhaen seperti saya yang kurang berwang pun ikutlah kempen tersebut, malangnya orang lain yang berwang terus makan dengan sedapnya.

Peliknya, bila tiba Tahun Baharu Cina, amat jarang sekali masalah ini muncul. Bekalan babi sentiasa cukup, harga terkawal. Tiada siapa merungut, kecuali rumah orang Melayu tinggal berdekatan dengan kandang babi.

Pendek kata, selagi kita menjadi pengguna, selagi itulah kita akan terus berhadapan dengan masalah demi masalah yang tidak pernah akan selesai ini. Kita akan terus menjadi mangsa.

Allah telah mengurniakan kita dengan bumi yang sangat subur. Cucuklah tanamannya apapun, esok bertunaslah ia. Sawit, kelapa, getah, kopi, koko dan kurma misalnya, bukan tanaman asal di sini, tetapi daripada negara lain. Campak sahaja di bumi bertuah ini, menjadi sokmo. Tidak bersyukur lagi dengan nikmat Allah ini.

Hasil bumi, hasil laut dan hasil langit semua kita ada, sehingga melimpah ruah. Tetapi tidak pernah cukup. Ini tidak termasuk sumber minyak yang biasanya kedapatan di negara Arab.

Persoalannya, kenapa kita masih menjadi mengimport? Bukan mengeksport? Kita cuma bangga menjadi pengeksport babi, bukan hasil tani yang lain?

Bandingkan dengan negara Asean lain seperti Thailand, Vietnam dan Kemboja, mereka sudah mula meninggalkan kita. Kita sahaja perasan kita bagus. Tidakkah sepatutnya Malaysia terkenal sebagai pengeksport hasil tani?

Ke manakah perginya dasar yang sangat baik seperti Dasar Pertanian Negara dan Buku Hijau yang mahu meningkatan hasil tani dan daya saing? Apakah kita semua lupa? Kedua dasar ini saban tahun dibincangkan tetapi tidak ke mana?

Saya masih ingat, pada tahun  2006, kempen ini telah dihidupkan semula. Tiga komponen utama difokuskan iaitu Tanaman (bercucuk tanam), Ternakan dan Akuakultur.  Program ini akan memberi fokus di kawasan bandar dan luar bandar dengan menggalakkan rakyat bercucuk tanam dan menternak ayam dan ikan atau dengan kombinasi yang sesuai untuk kegunaan sendiri dan selebihnya boleh diproses/guna sendiri. 

Penanaman sayur-sayuran dilaksanakan di halaman rumah dengan  mengambilkira konsep ‘kitchen garden’ atau ‘edible landscape’. Matlamat utama Program ini ialah untuk melibatkan rakyat negara ini bercucuk tanam dan menternak bagi mengeluarkan sendiri bahan makanan harian seperti di Thailand.

Tujuannya untuk meringankan beban kewangan rakyat akibat kesan kenaikan harga barangan makanan dan kesan kenaikan kadar inflasi. Pada masa sama ia dapat mewujudkan kesedaran dan menggalakkan rakyat mengeluarkan sendiri makanan segar, berkhasiat dan selamat. 

Kerajaan telah meluluskan sebanyak RM 15 juta bagi tahun 2008 dan untuk  fasa 1, sebanyak RM 5 juta telah diagihkan. Dengan peruntukan tersebut Jabatan Pertanian telah menetapkan sasaran seramai 187,000 keluarga di 2,880 Kampung dan Taman Perumahan di seluruh negara. 

Apa hasilnya? Bidang pertanian yang sepatutnya menjadi bidang kepakaran kita sudah jauh ketinggalan berbanding dengan Thailand dan negara lain.

Kita ada Jabatan Pertanian, Mardi, UPM, Risda dan badan berkaitan pertanian. Malangnya semua membawa haluan masing-masing. Inilah perangai orang Melayu. Maaf. Semua mahu menunjukkan kehebatan, meskipun mereka tidak sehebat mana. Kenapa tidak disatukan kepakaran ini menuju kepada negara pertanian hebat seperti negara lain?

Kita buat kertas cadangan untuk mendapatkan kelulusan. Apabila sudah dapat, kita pun sub kepada orang lain. Akhirnya, Cina jadi kaya, kita kaya sekejap. Kemudian berbini ramai. Di Dusun Trolak kini heboh dengan anak-anak kita curi durian.

Sebagai orang Islam saya amat malu sungguh apabila Malaysia lebih terkenal sebagai pengekport babi, sedangkan permintaan dalaman tidak banyak berbanding dengan lembu, kambing dan ayam.

Saya sarankan, pada tahun depan dan seterusnya, tidak payah lagilah buat pengumuman bekalan daging cukup ke tidak? Pakat-pakat buat kerja. Kurangkan NATO, no action talk only.

Lebih malangnya, belumpun isu hasil tani reda, tiba-tiba muncul pulak idea untuk menjadikan ketum sebagai tanaman komersial. Apakah ketum boleh mengenyangkan perut? Atau meramaikan lagi penagih dadah yang rata-ratanya orang Melayu?

Fokuslah kepada hasil pertanian yang boleh mengenyangkan perut dan bukan sebaliknya. Saya tidak boleh bayangkan jika suatu masa nanti negara kita dikenakan sekatan ekonomi oleh kuasa besar, apakah kita bersedia atau mati kelaparan?

Negara pertanian seperti China sejak dahulu hingga sekarang, tidak pernah tergugat,meskipun pernah mengamalkan dasar tutup pintu dan dikena sekatan ekonomi suatu ketika dahulu. Kenapa? Mereka tidak bergantung kepada hasil import. Apakah kita terpaksa makan binatang haram suatu masa nanti kerana terlalu bergantung kepada import? Lembu import babi eksport.  


Monday, July 25, 2016

Antara seksi dan hedonisme

7:37 AM Posted by RIDHUAN TEE 1 comment
Antara seksi dan hedonisme (Sinar Harian 25 Jul 2016)

Semua yang ada di dunia ini adalah ciptaan dan kurniaan Allah. Seksi atau tidak, cantik atau hodoh, buruk atau baik, ajal maut dan sebagainya. Faham belaka. Persoalannya, wajarkah seksi itu dipertontonkan atau diperagakan?

Apatah lagi jika seksi ditambah gedik. Hebat sungguh mendengar pemimpin ultra kiasu Melayu berkata kenapa perlu teruja dengan seksi? Dia faham atau tidak maksud seksi?

Mungkin ultra kiasu ini perasan dia kacak, sehingga mungkin ada lelaki lain turut tergoda. Adakah ini juga ketentuan Tuhan jika kita sengaja menggoda? Ya, memang Allah ‘membenarkan’ penggodaan tersebut.

Seperti mana ajal maut ditangan Tuhan. Apakah tidak maut jika dalam keadaan tidak tahu berenang, kita perlu terjun di laut dalam? Bila dah maut, maka kita pun berkata, “dah ajal Tuhan”. Tuhan sentiasa “dimangsakan”. Perbuatan buruk kita yang sengaja dilakukan bagaimana?

Ini kejahilan pemimpin bila tidak menggunakan otak bila bercakap. Adakah orang sebegini layak memimpin sebuah negeri atau negara? Biar rakyat yang menentukan.

Isu utama bukan soal seksi atau tidak? Mencemar bulan syawal yang mulia seolah-olah bulan lain tidak mulia? Asasnya, hari, bulan dan tahun yang dijadikan oleh Allah semuanya mulia. Tidak timbul soal ada hari yang mulia atau ada yang tidak mulia.

Kita disunatkan puasa Isnin Khamis, sedangkan Jumaat adalah penghulu segala hari. Adakah ini bermakna Jumaat tidak mulia? Bagaimana hari yang lain, termasuk Ahad yang dimuliakan Kristian? Bagaimana pula  negeri yang bercuti Jumaat dan Ahad?

Seolah-olah dalam Islam ada masa tertentu buat baik, ada masa tertentu buat jahat. Jika begitu caranya, rosaklah Islam. Isu pokok bukan soal seksi atau hari dan bulan, tetapi soal budaya berhibur atau hedonisme.

Jiran saya terkejut apabila saya berkata di rumah saya tidak ada siaran TV sama ada berbayar atau percuma. “boleh hidup ke tanpa TV dan radio”, katanya. Saya jawab, “tak matipun, zaman hutan dahulu mana ada semua ini, manusia hidup juga”.

Kenapa ada pemimpin cuba mempertahankan? Inilah yang saya pelik. Jika terlalu mahu menjaga kuasa, kedudukan dan sokongan ultra kiasu, duduk diam sahajalah. Tidak perlu mengeluarkan kata-kata menyesatkan orang. Hina sangat.

Apakah kita sudah kekeringan artis tempatan sehingga terpaksa berbelanja begitu banyak wang mengimport artis luar? Apakah benar lirik dan lagunya begitu hebat? Sejak bila pula ultra kiasu ini menonton siseksi dan sigedik tuh? Apakah beliau salah seorang peminatnya? Saya tidak menolak hiburan, tetapi menolak hiburan melampau.

Inilah yang dikatakan hedonism mengundang kepada shopaholic. Golongan ini beranggap wang boleh membeli kebahagiaan dan memuaskan hawa nafsunya. Sedangkan dalam kehidupan, belum tentu wang boleh membeli tidur lena meskipun wang boleh membeli tilam tebal dan empuk.

Kedua, hedonisme akan menyebabkan  narsisme iaitu satu sifat mencintai diri sendiri secara berlebihan. Mereka sanggup berhabisan untuk diri sendiri sedangkan orang lain yang lebih memerlukan dibiarkan bergelandangan.

Ketiga, hedonisme boleh menyebabkan hilang rasa malu. Mana tidaknya, percampuran lekaki perempuan tidak terkawal. Penonton terjerit-jerit  macam hilang akal. Bersorak sana sini sehingga hilang rasa malu. Apakah kita sudah lupa ketika konsert K-Pop tahun lepas menjadi sensasi apabila penonton pergi pentas memeluk artis Korea? Seksi itu menggoda atau tidak?

Saban kali kita mendengar laporan selepas sahaja apa jua konsert, pekerja-pekerja bandaraya dan tukang sapu akan akan terjumpa alat seks kondom selepas konsert berakhir. Terfikirkah kita bagaimana mereka melakukan seks ketika konsert berlangsung?

Jelas di sini bahawa mereka yang terpengaruh dengan hedonisme sudah tidak peka lagi dengan orang lain. Mereka lebih mementing diri sendiri daripada perasaan orang lain. Matikah kita tanpa hiburan?

Lebih malang lagi apabila wujud tindakan memecat mereka yang mempertahankan ilmu, manakala mereka yang mempertahankan hedonisme dikekalkan dan dinaikkan pangkat. Politik rimba apakah ini?

Saya minta pemimpin ultra kiasu jawab soalan ini.  Apakah tujuan hidup kita? Apakah kita sudah bahagia dengan kehidupan ini? Banggakah orang tua kita dengan apa yang kita lakukan ini?

Janganlah sekali-kali kamu terpedaya oleh kebebasan orang-orang kafir bergerak di dalam negeri.  Itu hanyalah kesenangan sementara, kemudian tempat tinggal mereka ialah jahannam dan jahannam itu adalah tempat yang seburuk buruknya.  (Surah al-Imran: 196-197).

Saya harap umat Islam tidak terpedaya. Hari ini, ultra kiasu hari ini menggunakan wang mereka untuk melalaikan umat Islam, agar kita cair dan terpengaruh dengan agama mereka. Saya yakin yang memenuhi stadium nanti bukan mereka, tetapi kita.


Saudaraku, hiburan bukannya isu antara hidup dan mati. Paling penting dalam kehidupan adalah, “Ya Allah, tunjukkanlah kami ke jalan yang lurus, jalan yang Engkau redhai”. 

Monday, July 18, 2016

Bingkisan buat Umno dan Pas

8:08 AM Posted by RIDHUAN TEE 5 comments
Bingkisan buat Umno dan Pas

Sinar Harian 18 Julai 2016

Kebenaran itu amat pahit. Inilah perkara yang perlu disedari oleh kita semua, terutama kalangan pemimpin negara dan masyarakat serta para daie. Berkata benarlah, kerana kebenaran itu tetap akan menang sampai bila-bila, meskipun kalah di dunia atau dikeji dan dimaki musuh.

Benar, saya merasai berseorangan, kerana saya tahu ramai yang takut memberikan sokongan secara terbuka. Tidak mengapalah. Saya serahkan nasib ini kepada takdir Ilahi. Ya, Allah kuatkanlah semangat ini. Bimbinglah hambamu ini ke jalan yang Kau redhai. Matikan aku dalam iman dan Islam.

Selama ini ultra kiasu menuduh saya lebih Melayu daripada Melayu, tali barut, barua dan penjilat Umno. Namun, setelah terbongkar dan viral, saya keluar daripada menjadi ahli seumur hidup MCA, semuanya terkejut beruk. Baharulah mereka tahu, hakikat sebenarnya saya masih orang Cina yang duduk dalam parti Cina. Atas dasar prinsip, kemudian, saya keluar.

Apakah saudaraku tidak menitis air membaca komen daripada saudara Tai Khai Eong dalam blog saya, ridhuantee.blogspot, artikel minggu lepas. Kata Tai;

Prof, apa yang Prof tuliskan tentang ultra kiasu semuanya betul dan benar belaka. Liciknya mereka. Mereka sebenarnya, tidak mahu melihat orang Melayu atau lebih tepat, orang Islam maju. Mereka takut perniagaan dan pendapatan mereka hancur. Dan pelbagai lagi kelicikan ultra kiasu ini yang harus Prof tulis lagi. Walau pun saya penyokong kuat parti pemerintah sekarang, tetapi sekiranya parti pemerintah tidak lagi berkuasa, saya mengharap agar Pas lah penggantinya. Kalau lain, Islam hancur. Saya, walau bukan Islam, tapi saya faham benar tentang Islam. Maklumlah, rumah hanya terletak di belakang masjid. Dari kecil hingga besar memang dapat dengar ceramah dan acara yang berlangsung di masjid. Kampung saya di Penang pula, majoriti besarnya, Melayu. Harap Prof dapat bongkarkan lagi niat jahat ultra kiasu.

Terus terang, saya amat bersetuju dengan komen saudara Tai. Ditakdirkan Umno hilang kuasa, parti mana lagi boleh diharapkan untuk menjaga negara bertuah ini jika bukan Pas. Nak harapkan PAN dan PKR? Mereka ini jelas sekali kuda tunggangan ultra kiasu. Ultra kiasu adalah DAP, MCA, Gerakan, MIC dan mereka yang menentang agenda Islam.

Saya sangat pelik, kenapa Umno masih tidak menyedari MCA, Gerakan, MIC dan parti komponen yang menentang Islam lain, sebenar bergantung kekuatan kepada Umno dan orang Melayu. Jika orang Melayu tidak mengundi mereka, sudah lama parti-parti ini bungkus. Kita terus melantik mereka menjadi menteri, memberi ruang dan peluang begitu luas. Sedangkan mereka tidak pernah mengundi kita.

Bukan tidak ada pilihan. Ada. Lantiklah Cina, India atau Bumiputera bukan Islam, atau zimmi, yang baik-baik menjadi menteri dan ahli kabinet. Masih ramai. Meskipun mereka bukan daripada kalangan parti politik. Ini tidak, sudah tahu mereka menjadi beban dan masalah, malangnya terus dilantik dan dinaikkan pangkat. Apa erti semua ini?

Sebab itu, saya setuju dengan Tai, pilihan hari ini adalah Pas. Walaupun Pas dikatakan berseorangan, tidak akan menang dalam PRU akan datang kerana keluar daripada Pakatan, tetapi Pas mempunyai prinsip. Mulianya manusia bukan kerana pandai bermuka-muka, tetapi kerana prinsipnya yang teguh. Apatah lagi cekal dan kental bersama Islam.

Kemuliaan kita di sisi Allah, bukan kerana pandai menguruskan negara ini semata-mata, tetapi harus dilihat sejauhmana keberanian mempertahankan maruah agama suci ini daripada dicemari oleh tangan-tangan jahat ultra kiasu. Apakah kita tidak tahu semuanya ini? Bangunlah wahai saudaraku. Kita sudah tidak punyai banyak masa.

Umno dan Pas mesti berpolitik secara matang. Bersatulah, sama ada secara senyap mahupun terang, seperti yang dilakukan oleh parti politik ultra kiasu ini DAP, MCA, Gerakan, SUPP dan lain-lain. Semua mereka ini bersatu dalam NGO yang bernama, Hua Zong atau Dong Jiao Zong. NGO inilah yang paling berpengaruh. Parti politik ultra kiasu hanyalah alat untuk mendesak dan memberi tekanan kepada kerajaan dan Umno.

Umno akan keseorangan nanti jika tidak bersama Pas, kerana dalam BN, hanya Umno sahaja parti yang mempertahankan kepentingan Melayu dan Islam. Parti lain hanya menjaga perut mereka. Sampai bila Umno akan terus menjadi kuat jika terus diasak kiri kanan depan belakang?

Ingat! Malaysia bukan Brunei atau Indonesia, majoriti Islam mereka besar, melebihi 70 peratus. Kita hanya 50-50, jika ada lebih pun mungkin 5-6 peratus. Apakah kelebihan itu menguntungkan kita? Saya pasti, kita ada jawapannya.

Saya amat yakin jika Umno dan Pas berpolitik secara matang, kerusi luar bandar semuanya akan menjadi milik mereka. Kerusi bandar, seperti biasa menjadi milik ultra kiasu. Kita masih boleh menang. Apatah lagi dengan sokongan Raja-Raja Melayu. Bila menang, jalankan pemerintahan secara adil, lantiklah zimmi Cina, India dan Bumiputera yang boleh diharap, seperti Helen Ang dan Lim Sian See, menjaga kepentingan rakyat, bukan kepentingan perut seperti pemimpin ultra kiasu yang ada pada hari ini menentang Islam.

Monday, July 11, 2016

PAN, antara kuali dan papan

7:29 AM Posted by RIDHUAN TEE 4 comments
PAN, antara kuali dan papan (Sinar Harian 11.7.16)

Tiba-tiba orang PAN marah apabila ada yang kalangan kita tidak menggunakan akronim Amanah sebagaimana yang diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan (Ros). Saya akan terus menggunakan PAN, kerana dalam PAN ramai yang tidak amanah. Suka hati sayalah yang panggil apapun, janji tidak membawa maksud buruk.

Kempen PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar sangat jelas membuktikan kejelekan PAN. Tengoklah pada kempen ucapan dan banner mereka. Apakah layak mereka ini dipanggil amanah sedangkan ramai yang tidak amanah duduk di situ? Ini masih belum setahun. Bayangkan jika dah lama. Saya tidak kata Pas dan Umno semua betul. Tetapi kedua parti ini tidak label diri mereka amanah.

RoS telah melakukan kesilapan meluluskan akronim tersebut. Semua sedia maklum, majoriti parti politik yang ada di negara ini menggunakan singkatan seperti UMNO, PAS, MIC, MCA, DAP, PKR, SUPP, UPKO, PBB, PBS dan lain-lain lagi. Tidak memakan banyak ruang.

Alangkah kelakar jika PAS menjadi akronim, Islam; UMNO = Melayu; MIC = India; MCA = Cina; DAP = Action. Dahulu PKR menggunakan perkataan KeAdilan, nasib baiklah selepas itu disebut sebagai PKR. Jika tidak, susah juga bersoal jawab sebab bukan semua yang duduk di situ memiliki sifat. Sesama sendiripun berantakan.

Mungkin ada yang berhujah bagaimana pula dengan PGRM (Gerakan), Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan), Barisan Jemaah Islam Se-Malaysia (Berjasa). Akronim tersebut kes terpencil dan masih boleh diterima.

Apapun, saya mencadangkan kepada RoS supaya menarik balik akronim amanah tersebut dan digantikan dengan PAN seperti lazimnya. Begitu juga penggunaan Pakatan Harapan (PH dan PR) juga tidak wujud kerana tidak berdaftar dengan RoS.

Perkara ini penting bagi mengelakkan kekeliruan seperti Amanah Saham, Amanah Ikhtiar, Amanah Raya dan sebagainya.

Kenapa PAN tidak layak dipanggil amanah? Pertama, amanah adalah satu nilai yang amat mulia dan salah satu sifat Nabi. Tidak seharusnya ada pada nama parti politik. Dalam politik, segala mungkin boleh berlaku. Politik Machiavelli. Berapa ramai kita sangka amanah terlibat dalam pecah amanah. Termasuk banyak kepura-puraan dalam politik. 

Kedua, setakat pemerhatian, ketika berkempen, taktik dan teknik matlamat menghalalkan cara digunakan. Ramai kalangan mereka menjadi tidak amanah. Mulut bacul, mengata dan mengumpat peribadi orang terutama peribadi  PM dan Pas, Hadi Awang.

Ketiga, apakah namanya amanah apabila mereka sudah belot dengan parti Pas yang telah menaikkan dan mempopularkan nama mereka. Hari ini PAN mengemis simpati bekas pemimpin Umno untuk bersamanya. Kasihan.

Keempat, PAN yang saya kenali sebahagian besar adalah kalangan pemimpin IRC yang ditubuhkan pada tahun 1980an. Mereka bukan sahaja mengkhianati Pas, tetapi juga Abim, Umno dan lain-lain. Mereka dalam parti-parti ini mengacau-bilaukan mereka.

Kelima, apakah kita amanah apabila keluar daripada Pas yang telah memenangkan mereka sebagai wakil rakyat. Apabila disuruh keluar dan letak jawatan sebagai wakil rakyat, mereka menyalahkan Pas pulak. Muka tidak malu.

Keenam, PAN bersubahat dengan ultra kiasu menentang agenda Islam, terutama RUU 355. Dikatakan tidak lengkap dan banyak kelemahan. Apa yang telah PAN lakukan untuk melengkapkannya? Di mana amanahnya?

Ketujuh, PAN mungkin berhujah di luar negara seperti Britain dan Iran menggunakan nama Trust. Tidak mengapalah, mereka bukan Islam. Kadangkala mereka lebih amanah daripada kita.

Kelapan, PAN mungkin amat takut dipanggil PAN sebab membawa papan dalam bahasa Cina dan kuali dalam BI.

Pada saya, selayaknya disamakan dengan peralatan tersebut. Kuali digunakan untuk memasak pelbagai makanan. Ternyata PAN sedang dipergunakan dan menjadi kuda tunggangan ultra kiasu. PAN sudah menjadi jurucakap ultra kiasu. Menuduh RUU 355 adalah bill Hadi atau mewakili kata-kata Tuhan.

Sejak bila Hadi berkata sedemikian? Menteri dan Timbalan Menteri di JPM dan cendekiawan Islam telah memberikan penjelasan selengkapnya. Kenapa pulak terikut-ikut dengan ultra kiasu mengatakan Hadi bukan Tuhan. Apakah layak pemimpin ini digelar amanah. Politik desperado.

Begitu juga dengan maksud papan. Tidak tahan lama. Menjadi kesukaan makhluk perosak seperti anai-anai. PAN sedang dikeruyuk oleh anai-anai tersebut. Bila papan tersebut sudah hancur, anai-anai akan mencari tempat lain untuk mencari tempat lain yang boleh dirosakkan.

PAN yakin mereka akan dapat beberapa kerusi dalam PRU akan datang dengan sokongan ultra kiasu. Sebab itu mereka begitu berani dan lantang mengkritik Pas, saudara seagama dan seperjuangannya. Tidak ada sedikitpun lagi kebaikan Pas di mata PAN.

Kepada PAS dan Umno, teruskan perjuangan memperkasakan agenda Islam di negara bertuah ini. Jangan sama sekali tunduk kepada tekanan ultra kiasu ini kerana mereka adalah musuh Islam yang nyata. Pemimpin mereka menafikan bahawa mereka anti-Islam. Jangan pergi jauh, kaji balik kenyataan mereka sebelum ini. Boleh dibukukan banyaknya. Apakah menyokong LGBT itu tidak menentang Islam walaupun nama sokong, tidak menentang? Kami bukan bodohlah.  


Saya amat mengharapkan dalam usaha politik matang ini, Pas dan Umno berjaya membenamkan PAN, supaya menjadi papan dan kuali. Saya merayu RoS menarik balik akronim amanah ini dan kekalkan menjadi PAN.