Semua artikel adalah pendapat peribadi. Anda berhak untuk tidak meneruskan bacaan atau tidak mengakseskan blog ini serta merta jika anda tidak bersetuju dengan pemikirannya. All the articles written are the personal views. You have absolute rights not to continue reading or to discontinue accessing this blog immediately if you are disagreeable with the personal views.

Monday, August 25, 2014

Paksakan agenda negara

10:46 AM Posted by RIDHUAN TEE 30 comments


Paksakan agenda negara (25.8.14 Sinar Harian)

Saya amat bersetuju dengan kata-kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir, bahawa peluang untuk melihat rakyat negara ini tidak terpisah dengan batas kaum sangat kecil. Bermakna, politik perkauman memang tidak dapat dielakkan, malah semakin menebal.

Katanya lagi, perkara ini berpunca dari “kontrak sosial” yang dipersetujui, agar setiap kumpulan etnik dapat mengekalkan identiti budaya dan cara hidup tersendiri. Keadaan semakin serius, bila mana kita tidak mahu berubah. Kita tidak akan berjaya menjadi warga Malaysia sebenar.

Keadaan ini berbeza dengan negara seperti Filipina, Thailand dan Indonesia, yang mana golongan minoriti dan keturunan mereka mendukung budaya dan bahasa tempatan (nasional). Misalnya, 3 orang bekas perdana menteri Thailand, Thaksin Shinawatra (juga adiknya, Yingluck) dan Chuan Leekpai, bekas presiden Filipina Corazon Aquino, serta gabenor Jakarta Basuki Tjahaja Purnama, kesemuanya berketurunan Cina.

Kenapa semua pemimpin di atas boleh diterima oleh penduduk asal, walaupun mereka berbeza bangsa? Jawapannya mudah, mereka telah mengasimilasikan diri mereka menjadi orang tempatan. Agenda tempatan menjadi agenda negara. Budaya dan cara hidup bangsa pribumi diutamakan dari segalanya.

Jika persoalan bangsa dibangkitkan, mereka akan meletakkan nama negara/bangsa asal terlebih dahulu, seperti kata-kata saya orang Indonesia Cina, atau Filipina Cina.

Bukan seperti kita, awal-awal akan sebut kita akan sebut bangsa di hadapan berbanding negara. Lebih jelik lagi, kadangkala kita malu untuk mengaku rakyat Malaysia.

Kenapa jadi sebegini? Kenapa kita gagal menanamkan semangat patriotisme, cintakan agenda negara?

Kegagalan membina bangsa Malaysia cinta agenda negara, tidak hanya terhenti kepada orangnya (rakyat) malah lebih buruk lagi kepada institusinya. Cuba lihat pada insitusi pendidikan dan sewaktu dengannya. Adakah bahasa Melayu didaulatkan? Misalnya bangunan Persekutuan Persatuan Cina Malaysia (Hua Zong) yang hampir siap di Seri Kembangan, Serdang. Belum pun siap bangunan tersebut, logo Cina mereka sudah dinaikkan dan berdiri megah kepada sesiapa sahaja yang melalui lebuhraya berhampiran Petronas Solaris Serdang.

Lebih pelik lagi, sebuah bank yang dahulunya bank bumiputera, pada 21 Jun 2011, turut menyumbangkan wang sebanyak RM200,000 bagi turut pembinaan dan sumbangan peribadi bernilai RM5000, bagi tujuan pembinaan bangunan 13 tingkat tersebut.
Pernahkah PBT atau majlis perbandaran atau sesiapa sahaja yang menderma mengenakan syarat, bahawa agenda kebangsaan hendaklah didaulat kepada orang dan bangunan. Langsung tidak pernah bukan? Demokrasi kita terlalu bebas? Tidak hairan jika ada pesta bogel.

Ke mana hala tuju Malaysia? Sudahlah perlembagaan memberikan kelonggaran, setiap bangsa bebas untuk mengamalkan agama, sekolah dan bahasa masing-masing. Kita mengambil kesempatan dan memanipulasikan semua keadaan.

Kita langsung tidak mensyaratkan supaya apa jua premis-premis atau papan tanda atau nama bangunan (kedai) agar mendaulatkan bahasa kebangsaan. Saya sarankan, jika sudah tidak pandai jaga bandar, letak jawatan sahaja.

Sama juga SJKC. Sangat sedikit yang logo atau lencana atau nama bangunan sekolah diletakkan bahasa Melayu sebagai yang pertama. Lebih ekstrim lagi ada yang sepatahpun bahasa Melayu tidak ada pada lencana dan bangunan sekolah.

Sekolah tersebut seolah-olah tidak berada di Malaysia, tetapi di China, Hong Kong dan Taiwan. Saya semakin keliru, kita mahu bawa ke mana negara kita ini? Apakah pemimpin negara pernah terfikir tentang perkara ini? Atau kita sengaja mahu membiarkan negara kita ini caca merba?

Saya amat yakin, selepas artikel ini disiarkan, ia dipublisitikan serta dipropagandakan laman web ultra kiasu, supaya saya akan dihentam, dikutuk dan dihina seteruk-teruknya.

Adakah seruan saya tidak menyeru kepada perpaduan nasional? Jika perpaduan itu dalam pelbagaian (Unity in diversity) adalah idaman kita, kepelbagaian yang bagaimana yang perlu dibentuk? Perlu ada garis panduan. Jika tidak, perbezaan ini akan membawa kehancuran.

Saya bukanlah mencadangkan perpaduan itu adalah kesegaraman (unity is uniformity) seperti yang dilakukan banyak negara lain. Kita sudah hampir mustahil untuk mencapai ke arah itu. Tetapi sekurang-kurangnya, ambillah sedikit inisiatif untuk menyatu-padukan rakyat berbilang kaum dan budaya ini, sebelum terlambat, dengan berpegang kepada agenda nasional. Bukan dibiarkan bebas begitu sahaja

Pertama, wujudkan undang-undang atau garis panduan dalam mendaulat agenda negara. Kuatkuasakan serta merta. Kata-kata Malaysia truly Asia, memang sedap didengar, lagunya sedap. Tetapi apakah Truly Asia itu caca merba. Tidakkah perlu ada sesuatu yang perlu dipegang bersama?

Kedua, kerajaan atau syarikat swasta mesti menghentikan sumbangan terhadap badan/institusi atau NGO yang tidak mendaulatkan agenda negara. Tidak tidak beri pengecualian cukai.
Ketiga, tindakan hendaklah diambil terhadap mereka yang meminggirkan agenda kebangsaan. Mulai sekarang, wajibkan penggunaan bahasa Melayu dikhalayak dan sekolah. Setiap nama bangunan mesti dimulakan dengan bahasa Melayu, diikuti dengan bahasa lain. Begitu juga dengan nama jalan dan sebagainya.

Keempat, Sekolah Wawasan mesti lebih banyak dibina dan dipaksakan, bukan menambahkan SJKC/T.

Bertindaklah sebelum terlambat. Jika tidak, sampai bila-bilapun kita akan terus menghadapi masalah yang sama.








Monday, August 18, 2014

PAS perlu bersama MB Selangor

8:09 AM Posted by RIDHUAN TEE 20 comments


PAS perlu bersama MB Selangor (Sinar Harian, 18.8.14)

Ketika berbual dengan orang PAS mengenai politik negeri Selangor, mereka berkata, “walau apapun berlaku dalam Pakatan Rakyat, PAS takkan keluar, jika PAS keluar, UMNO akan menang”.

Sama ada PAS mahu berada ataupun keluar pakatan, itu hak PAS. Persoalannya, kenapa setiap kali memberikan jawapan, mangsanya adalah  UMNO? Jahat sangatkah UMNO ini, lebih jahat daripada orang kafir atau ultra kiasu?

Adakah kewujudan PAS selama ini semata-mata kerana UMNO?  Bukanlah PAS wujud atas dasar prinsip dan tanggungjawab mahu menegakkan Islam? Janganlah terlalu bermusuh dengan UMNO, tidak ada untungnya kepada Islam.

Kewujudan Hamas di Palestin juga begitu. Hamas ditubuhkan atas dasar prinsip dan tanggungjawab. Yahudi Zionis boleh datang dan pergi. Tetapi Hamas perlu wujud untuk mempertahankan Islam.

Saya tidak fikir Hamas wujud kerana Yahudi Zionis semata-mata. Kita perlu jelas dalam hal ini. Apakah PAS dan Hamas akan dibubarkan selepas tumbangnya UMNO dan Yahudi Zionis?

Bertindaklah atas prinsip apa yang benar, apa yang salah, dari sudut kaca mata agama. Bukannya siapa benar, siapa salah. Jika ada kebaikan UMNO, terimalah hakikat. Begitu juga sebaliknya, jika UMNO salah, tegurlah dan lawanlah. Tetapi jangan terus wujudkan blaming culture. Ini amat tidak sihat.

Jangan kerana UMNO, kita menjadi gelabah. Musuh sebenar PAS adalah ultra kiasu, bukan UMNO. Ultra kiasu awal-awal sudah menentang Islam dan perjuangan Islam PAS. Mereka sudah memberikan amaran, jika PAS menerima Khalid (MB Selangor) sebagai ahli parti, PAS adalah pengkhianat dan tidak bermaruah.

Apakah PAS tidak faham mesej ini? Ultra kiasu kini bukan sahaja anti Islam, pada masa sama sangat bongkak dan sombong. Tidak boleh dikritik langsung, serta-merta mereka mahu saman, seperti yang berlaku kepada Ketua Pemuda PAS. Sepatutnya PAS jawab, “ada aku kisah, nak saman, samanlah”. Jangan bagi muka sangat kepada ultra kiasu. Mereka sudah pijak kepala dan sampai tahap melenyekkan kepala.

Pesta bogel baru-baru ini adalah cabaran kepada PAS dan umat Islam. Ultra kiasu nampaknya tidak begitu serius untuk memeranginya, kerana mereka adalah penyokong tegar hak asasi manusia, seperti LGBT. Lagipun memakai pakaian pendek, ketat dan seksi sudah jadi budaya mereka, termasuk kita juga. Jika bogel itu dibenarkan, saya kira ramai yang akan berbogel nanti, termasuk di jalanan.
Saya sangat teruja dengan pemimpin di India. Sila baca  berita bertajuk “Indian minister calls for Goa beach bikini ban” lebih sebulan lalu. Menteri di sana mahu mengharamkan pemakaian bikini kerana ia penyumbang kepada maksiat, cabul dan rogol. Pemakaian seksi sebegini juga mahu diharamkan di pusat-pusat hiburan. Jika negara India begitu berani mempertahankan jati dirinya, kenapa tidak kita?

Jangan biarkan ultra kiasu bermaharajalela dengan program maksiatnya. Nanti akan turun bala dari Allah SWT. Sangat meloyakan apabila melihat pakaian paramugari tambang murah yang begitu seksi, manakala pakaian paramugara, begitu menutup sekali. Dunia sudah terbalik.

Justeru, PAS perlu sensitif dengan isu sebegini. Ultra kiasu sudah tidak kenal halal haram. Mereka hanya pentingkan duit. Haram pada kita, halal pada mereka. Misalnya, projek penternakan babi bersepadu, bernilai RM100 juta yang masih belum dilaksanakan, juga antara faktor penyebab utama mereka begitu marah kepada Khalid.

Tidak cukupkah lagi kita sudah dikenali sebagai antara pengeksport babi terbesar di Asia? Jika mahu sangat ia diternak, buatlah di bandaraya Pulau Pinang dan kawasan perumahan yang paling ramai ultra kiasu. Mereka boleh melihat babi dan makanan kesukaannya setiap hari. Tetapi bukan di Selangor, tempat mastautin kami.  

Saya bimbang, jika projek ini dibenarkan, Selangor akan dikenali sebagai darul babi. Terlalu banyak ladang babi di Selangor, selain Seberang Prai, Perak, Melaka dan Johor, yang telah menimbulkan ketidakselesaan penduduk, terutamanya berhampiran kawasan orang Islam.

Suka ternak dan makan, tetapi memangsakan umat Islam. Adakah kita sudah lupa virus nipah (JE), yang telah mengorbankan nyawa manusia? Ultra kiasu ternak, yang kena bahaya dan tempiasnya orang Islam

Memang menjadi hak bukan Islam untuk makan babi. Tetapi berpada-padalah menternaknya. Setakat ini, sudah lebih dari mencukupi, eksport lagi. Maklumlah babi beranak 2 kali setahun, sekali beranak lebih 10 ekor. Bukan kaya lagi, kayap.   

Setakat ini kita mengeluarkan 235,000 tan babi setahun, dengan tambahan 1.8 juta anak babi, belum termasuk yang dieksport. Justeru, saya bersetuju dengan idea Khalid, Kerajaan Selangor boleh terus ditadbir, walaupun hanya dengan 4 exco PAS. Keluarkanlah exco ultra kiasu.

Mereka ini tidak ada fikir benda lain, melainkan hal ehwal mereka sahaja. Dalam kepala mereka hanya fikir soal duit, judi, arak dan babi, kerana inilah perniagaan yang paling menguntungkan.

Kerajaan Selangor boleh berjimat dengan mengurangkan exco. Sudah tentu beban PAS akan bertambah. Baru buat kerja namanya. Saya amat yakin, PAS, selepas PRU13, bersetuju ADUN PKR menjadi MB Selangor dahulu disebabkan Khalid yang menjadi pilihan.  Justeru, berkhidmatlah di bawah Khalid demi Selangor tercinta. Tidak perlu menyalahkan UMNO lagi.

Monday, August 11, 2014

PAS paling layak jadi MB

7:41 AM Posted by RIDHUAN TEE 12 comments
(Sinar Harian, 11.8.14)

Kenapa ultra kiasu sangat marah kepada MB Selangor? Jawapannya, mudah. MB hari ini tidak menguntungkan mereka. Sebab itu, mereka mahu ia segera ditukarkan agar nafsu serakah mereka tercapai.

Sama juga isu Kidex dan Lynas. Kerana mereka begitu menentang? Kerana yang banyak terlibat adalah mereka.

Bina kubur di kawasan berdekatan dengan mereka tidak boleh. Tetapi bina kubur berdekat perumahan Islam tidak mengapa. Pergilah beberapa kawasan negeri Johor. Di situ ada banyak bukti.

Di Masai misalnya, jalan raya terpaksa menjadi bengkok kerana memberi laluan kepada satu dua kubur ultra kiasu tidak ketahuan tuannya. Begitu juga dengan rumah ibadat. Keadaan di Melaka, lagi kelakar. Kenapa jadi sebegini?

Sudah beberapa kali keadaan ini dihadapi oleh umat Islam. Akhirnya semuanya dialihkan bagi laluan pembangunan. Siapa yang lebih bertoleransi dalam semua hal ini?

Apa juga yang melibatkan kepentingan mereka akan ditentang habis-habisan. Tetapi jika kena pada orang Islam, tak de masalah. Mereka buat tidak tahu.

Setakat ini, Selangor telah ditadbirkan dengan baik oleh Khalid, lebih baik dari zaman UMNO lagi. Kenapa mereka begitu marah? Kerana MB hari ini rasional, tidak terlalu berpolitik, tetapi lebih memikirkan kepentingan rakyat. Inilah negarawan yang sebenar, bukan negasawan.

Jikapun diganti dengan calon lain,  sudah tentu calon itu bukan datang dari PKR tetapi adalah PAS. PAS lebih berwibawa dan layak. Kenapa ultra kiasu langsung tidak mencalunkan PAS? Adakah kita masih buta?

Terdapat ramai ADUN-ADUN PAS anak Selangor yang berkaliber untuk menjadi MB Selangor, terutamanya rakan sekampus saya, Salehin Mukyi. Selangor tidak memerlukan orang luar untuk menjadi MB. Lainlah kalau anak-anak Selangor tidak layak.

Kenapa saya berkata sedemikian? Pertama, dari segi bilangan kerusi, kerusi PAS lebih banyak daripada ultra kiasu. Sudah sampai masanya, amanah ini diserahkan kepada PAS. Persoalannya, kenapa ultra kiasu tidak mahu berikan? Mereka tidak pernah percaya kepada PAS. Peliknya, kenapa PAS terlalu mempercayai mereka?

Jangan terlalu bersangka baik, terutama kepada musuh yang sudah jelas menentang Islam. Tidak mustahil jika suatu hari nanti mereka menikam dari belakang.

Jangan banding keadaan di Kedah dan Kelantan. Senario politik dua negeri ini berbeza. PAS sudah lama bertapak di sini. Ikutkan hati, satu kerusipun tidak perlu diberikan kepada ultra kiasu. Tetapi, kenapa PAS masih memberi laluan? Sudah tentu atas nama kawan dan sepakatan. Maka hormatilah keputusan itu.

Kedua, dari segi moral dan akhlak, sudah tentu orang PAS mempunyai lebih kredit. Calon PAS sudah terkenal dengan akhlak mulia dan lebih memenuhi  ciri-ciri kepemimpinan Islam berbanding ultra kiasu.

Kebanyakan ADUN PAS jarang yang kontroversi. Latar belakang mereka baik. Kalau adapun yang sedikit kontroversi, hanya beristeri lebih daripada satu. Hak lain, boleh dikatakan terkawal. Keluarga mereka terjaga. Prinsip perjuangan jelas.

Ketiga, PAS adalah parti yang paling kanan dalam Pakatan ultra kiasu. Parti ini berjaya mentarbiyyah ahlinya supaya jangan terlalu mengejar dunia. Sebab itu, PAS sukar sekali untuk dibeli.

Berbanding dengan parti lain, jika tidak ada dana luar yang membantu, sudah lama ia bungkus.

Tanya parti ultra kiasu, berapa banyak sumbangan yang diterima daripada jutawan mereka? Ini tidak termasuk sumbangan luar. Berbanding PAS, berbekalkan air liur dan semangat ahlinya, PAS survive. Sehingga kini PAS jarang goyah, walau apa jua taufan yang melanda.

Sama ada PAS terkeluar daripada Pakatan atau sokongan pengundi terhakis, bukan saja ia mengancam beberapa MP PAS seperti Parit Buntar, Kota Raja, Sepang, Pokok Sena dan lain-lain, MP ultra kiasu juga akan terjejas seperti Kuala Kedah, Gombak, Pandan dan lain-lain.

Menurut Subky Latif, adakah PAS campur tangan atas urusan rumah tangga PKR? Tidak mudah untuk mengatakan PAS campur tangan dalam urusan parti lain. PAS tidak kisah apabila PKR menggantikan Khalid sebagai ketua PKR Selangor atau pemilihan parti itu tidak menyokong Khalid. Tetapi Menteri Besar adalah urusan bersama. PAS mesti tahu dan dirundingi apabila MB hendak digantikan kerana di bawah MB itu ada exco PAS. Setakat ini keputusan itu adalah sebelah pihak. Ia dimaklumkan saja kepada PAS.

Apabila ultra kiasu menolak percubaan PAS hendak membawa usul persendirian hudud ke Parlimen, maka PAS tetap mengekalkan sikapnya untuk terus dengan Pakatan dan tidak pernah mencerca penolakan itu. Kenapa ultra kiasu begitu bernafsu apabila PAS tidak bersetuju dengan tindakan mereka?


Akhirnya, jika ditakdirkan ultra kiasu berjaya ke Putrajaya, apakah PAS akan diberikan jawatan Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri? Jauh panggang dari api. Ultra kiasu tidak pernah percaya kepada mereka yang memperjuangkan Islam untuk memerintah.

Peliknya, PAS nampak bahaya itu. Kenapa masih berada dalam Pakatan? Inilah realiti politik. Sesuatu yang sukar dijangka...