Semua artikel adalah pendapat peribadi. Anda berhak untuk tidak meneruskan bacaan atau tidak mengakseskan blog ini serta merta jika anda tidak bersetuju dengan pemikirannya. All the articles written are the personal views. You have absolute rights not to continue reading or to discontinue accessing this blog immediately if you are disagreeable with the personal views.

Monday, July 29, 2013

Nasib Melayu berulang lagi

8:25 AM Posted by RIDHUAN TEE 34 comments


(Sinar Harian 29 Jul 2013)

Bila pasangan Alvin Tan dan Vivian Lee (Alvivi) dipenjarakan atas kesalahan menghina Islam di bulan Ramadhan, sebelum ini mengeposkan gambar hubungan seksnya dalam laman sosial, heboh satu dunia, seolah-olah tidak ada apa lagi yang perlu dibicarakan. Mahkamah tidak adillah dan macam-macam lagi alasan bagi membebaskan mereka ini.

Mereka dikatakan masih muda dan kesalahannya perlu dimaafkan. Lebih kiasu lagi, ada membandingkan kes ini sama seperti Ibrahim Ali (bakar kitab injil), Zulkifli Nordin (ceramah), termasuk juga saya (tulisan). Situasi saya kami berbeza dengan Alvivi. Saya mempertahankan hak kepada yang berhak. Sama ada orang lain dapat menerima atau tidak, terpulang…yang penting, saya tahu apa saya lakukan dalam negara demokrasi.  

Ekoran daripada itu, empat lelaki Melayu setakat ini telah ditahan dan akan dibicarakan, didakwa bawah Seksyen 3 Akta Culik 1961. Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum mati mandatori atau penjara seumur hidup dan boleh dikenakan sebatan. Ketika meninggalkan mahkamah, suspek, sambil bergenang air mata sempat melaungkan: "Allahu Akhbar".

Jarang kedengaran orang yang melakukan kesalahan, bertakbir, kecuali dalam kes ini dan beberapa  kes terpencil. Mungkin mereka merasakan tindakannya itu betul. Tuhan sahaja yang tahu.

Malangnya, tidak kedengaran suara membela mereka. Tiada siapa yang peduli, berbanding dengan Alvivi. Apakah anak muda ini tidak muda dan tidak ada masa depan? Apakah tenaga mereka tidak perlukan untuk negara? Apakah anak muda tidak berkelakuan baik seperti dakwaan ibu bapa pasangan itu akan betapa baiknya anak mereka?

Terus terang, saya tidak menyokong anak muda Melayu tersebut, tetapi saya amat bersimpati, kerana saya dapat menyelami dan menjiwai perasaan mereka. Saya amat memahami orang Melayu dan nasib Melayu.

Menurut laporan, kejadian culik itu dikaitkan dengan pasangan kontroversi Alvivi yang didakwa memuat naik gambar dengan komen Selamat Berbuka Puasa (dengan Bak Kut Teh...wangi, enak, menyelerakan!) mengandungi logo halal dalam laman Facebook mereka iaitu "Alvin and Vivian-Alvivi" di pautan https://www.facebook.com/alvivi.swingers.

Ketika kejadian, Mun Tatt sedang makan bersama teman wanitanya di sebuah restoran, diculik sekumpulan lelaki menaiki sebuah kereta. Mun Tatt yang mendakwa turut dikasari, dibogelkan dan diconteng badannya dengan perkataan "saya hina agama slam".

Dalam sidang media di Klang, Mun Tatt berkata, penculik mengasari, menconteng perkataan di badannya dan memeras wang daripada abang iparnya. Benar atau tidak, hanya Tuhan yang tahu. Biar polis menjalankan siasatan.

Saya tidak pasti, sama ada kes ini ada kaitan atau tidak dengan Alvivi. Bukan tujuan saya juga untuk membela mereka, salah tetap salah. Tetapi kita perlu lihat juga kenapa anak muda Melayu ini bertindak sedemikian?

Saya hanya ingin membawa pembaca menilai kedua kes ini dengan lapang dada. Dalam kes Alvivi, saya lihat ramai bukan Islam tampil ke hadapan mengatakan keputusan mahkamah itu salah. Yang betulnya, mereka sepatutnya dibebaskan dan dibenarkan ikat jamin.  

Dalam kes anak muda Melayu ini, mereka juga tidak dibenarkan ikat jamin. Tidak ada siapapun bersuara, semua orang mengatakan tindakan itu salah dan salah. Tidak ada berani yang tampil berkata, tindakan mereka itu bersebab, walaupun salah. Nasib Melayu berulang kembali.

Selalu saya ingatkan, jangan cabar orang Melayu, nanti dia mengamuk susah dibuatnya. Saya kenal sangat dengan Melayu, walaupun saya Cina.

Sesekali terfikir juga, tindakan anak muda Melayu ini sebenarnya merupakan ingatan terhadap sesuatu kaum supaya jangan biadap. Tidak kurang juga kepada kepada kerajaan dan pihak berkuasa agar lebih tegas. Adalah tidak mustahil suatu hari nanti, keadaan akan menjadi lebih buruk, jika penghinaan terhadap Islam tidak dibendung. Orang Melayu amat sensitif dengan agama walaupun mereka tidak solat atau tidak puasa.

Mungkin kita beranggapan bahawa tindakan anak muda ini bodoh atau orang Melayu terlalu beremosi dan sensitif.

Saya boleh bersetuju dengan pendapat bahawa semua ini adalah hasil manifestasi cara orang Melayu bertindak balas apabila mereka dicabar dan dihina. Bayangkan jika pasangan ini dilepaskan, selepas empat anak muda ini didakwa, sudah tentu kemarahan anak muda Melayu akan menjadi semakin meluap.

Justeru, mengambil iktibar daripada kedua kes ini, saya dapat simpulkan bahawa, pertama; agama Islam adalah isu yang amat sensitif bagi orang Melayu, ibarat darah dan daging, walaupun mungkin orang Melayu itu penagih dadah. Mungkin pada orang Cina, agama itu kurang penting dalam kehidupan, yang lebih penting adalah ekonomi. Tetapi tidak kepada Melayu.

Kedua; Hentikan penghinaan kepada semua agama. Namun, penghinaan terhadap agama Islam tidak boleh disamakan dengan agama lain, walaupun secara prinsip kita semua tidak boleh menghina agama lain. Oleh kerana agama Islam, adalah agama persekutuan, kedudukannya lebih mengikat.

Akhirnya, bertindaklah dengan tegas terhadap mereka yang secara mengaja mempersendakan agama Islam, tanpa menoleh lagi.

Friday, July 26, 2013

Apakah kerajaan kita berdaulat?

6:58 AM Posted by RIDHUAN TEE 30 comments


(Utusan 26 Julai 2013)



Pada 19 Julai 2013, Dong Zong dan Jiao Zong (Dong Jiao Zong), dalam sidang akhbarnya di ibu negara, menolak keputusan Kementerian Pendidikan untuk menambah masa pengajaran dan pembelajaran (P&P) Bahasa Melayu (BM) dan Bahasa Inggeris (BI) di SJKC. 

Peraturan baru yang melibatkan pelajar Tahun Empat, Lima dan Enam itu, dikatakan tidak sesuai untuk dilaksanakan di SJKC. Persoalan saya, siapakah mereka? Adakah mereka ini kerajaan?

Isu ini telah dibawa berbincang sekian lama, kerajaan telah membuat keputusan, tetapi tidak pernah ada penyelesaikan kerana terus menerus ditentang oleh kumpulan ultra kiasu ini. Apa jua usaha kerajaan untuk penambahbaikan dan memartabatkan BM di SJKC dilihat menggugat bahasa Cina (BC). Akhirnya, kita pun mengalah.

Maka tidak hairan, kumpulan pendidik Cina mahukan Kementerian Pendidikan mengkaji semula peraturan baru mengenai waktu P&P BM dan BI di SJKC, yang akan bermula tahun depan.

Saya boleh bersetuju jika SJKC berada di negara China. Malangnya, SJKC berada di Malaysia. Suka atau tidak, SJKC mesti menjunjung perlembagaan negara. Selaku bapa kepada anak yang berada di SJKC, saya gembira dengan peraturan ini. Laksanakanlah.

Untuk makluman semua, di bawah peraturan baru ini, waktu pembelajaran BM akan meningkat daripada 80 minit seminggu kepada 270 minit seminggu, manakala bagi BI dari 120 minit kepada 150 minit dan Bahasa Mandarin dikekalkan pada 300 minit. Justeru, apa masalah?

Melihat kepada kedudukan BM dalam perlembagaan, ternyata arahan ini tidak memadai untuk mendaulatkan agenda negara. Sepatutnya ditambah lagi menjadi sekurang-kurangnya 500 minit seminggu. Ini kerana, kerajaan telah bermurah hati membenarkan SJKC beroperasi secina-cinanya. Takkan agenda nasional tidak boleh mengakar?     

Kumpulan ini bertegas, P&P BM selama 210 minit dan BI 210 minit sudah mencukupi. Mereka mahu segera bermesyuarat Kementerian Pendidikan bagi menyelesaikan perkara ini. Persoalan saya, jika kerajaan bersetuju, apakah mereka boleh memberi menjamin, selepas ini sebahagian besar produk SJKC akan dapat menulis dan berkomunikasi dengan baik dalam BM dan lulus cemerlang? Jika tidak sekolah ini akan diserapkan ke dalam pendidikan kebangsaan? Kerajaan perlu tegas dalam hal ini.

Perkara ini tidak perlu dimesyuaratkan lagi. Laksanakan terus, jika masih berdegil, tutup sahaja sekolah tersebut atau serapkan dalam sekolah kebangsaan. Lagipun boleh dikatakan tidak ada seorang daripada kalangan mereka yang mengundi BN, walaupun kerajaan memberikan segala bentuk bantuan kepada SJKC termasuk juga Sekolah Persendirian Cina (SPC) yang tidak kaitan langsung.

Apakah mereka sengaja tidak sedar kesan daripada SJKC telah mengurangkan P&P dalam BM. Akibatnya, ramai anak Cina tidak boleh menulis, bertutur dan berkomunikasi dalam BM kerana agenda negara dikesampingkan. Mana ada negara di dunia yang mempraktikkan amalan sebegini. Kita semakin melahirkan ramai ultra kiasu, seperti Alvivi dan kumpulan yang menterbalikkan jalur gemilang.

Saya amat yakin, walaupun mereka tidak menjelaskan, bahawa bantahan mereka terhadap peraturan kerana ia akan menjejaskan PP bahasa Cina (BC). BM akan mengambil lebih masa, pelajar SJKC akan disusahkan untuk menghafal dan memahami BM, ini akan menjejaskan penguasaan mereka dalam BC.

Apa salahnya jika pelat (kurang pandai) sedikit dalam BC. Tetapi kita baik dalam BM selaku bahasa negara. Kenapa mahu jadi Cina secina-cinanya. Cina di negara Chinapun tidak secina Cina di Malaysia.

Pendek kata, apa jua penambahan subjek di SJKC yang boleh menggugat atau mengambil sedikit masa subjek BC tidak akan dipersetujui apa jua cara sekalipun.

Keputusan kerajaan ini selaras dengan dasar kerajaan untuk memartabatkan Bahasa Melayu dan memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI). Nasihat saya kepada Kementerian Pendidikan, jika kita terlalu bertegas kepada Sekolah Kebangsaan (SK), kenapa tidak SJKC.

Apa jua agenda kebangsaan terutama melibat BM mesti dilaksanakan tanpa perlu berbincang lagi. Jika Kumpulan Pendidik NGO ini tidak bersetuju, itu hak mereka. Usah dipedulikan. Hak bernegara mesti dilaksanakan. Agenda negara mesti diutamakan berbanding agenda bangsa atau kumpulan tertentu.

Kenapa SK boleh patuh dan laksanakan apa jua polisi kerajaan tetapi tidak SJKC? Melayu tetap patuh, tetap taat. Di manakah daulat sesebuah kerajaan itu jika semua keputusannya boleh ditolak mentah-mentah? Kerajaan menjadi berdaulat adalah apabila sesuatu keputusan dibuat demi kepentingan negara, ia mesti dilaksanakan, suka atau tidak. Jika tidak suka, carilah tempat yang kita suka, tetapi bukan di sini. Nasihat saya, jangan sampai kerajaan yang berdaulat, kelihatan sudah tidak ada daulat.

Justeru, beberapa saranan berikut hendaklah diambil kira demi masa depan negara tercinta. Pertama, laksanakan keputusan yang telah dibuat tanpa menoleh lagi. Keputusan baharu ini dikira amat bertoleransi.

Kedua, Tambah guru BM di SJKC, tanpa perlu patuh kepada syarat NGO ini supaya guru BM mesti mendapat kredit dalam SPM dalam BC.

Ketiga, laksanakan peraturan agar BM dipertuturkan setiap hari. Paling kurang, separuh hari daripada masa persekolahan.

Keempat, segala pengumuman waktu persekolahan dalam BC mesti diterjemahkan dalam BM. Paling baik, BM didahulukan, diikuti terjemahan dalam BC. Itu baru nama bahasa negara didaulatkan.

Kelima, aktiviti-aktiviti BM mesti diperbanyakkan. Misalnya, pertandingan bercerita, berdebat dan menulis karangan BM. Aktiviti ini mesti dilakukan sekerap mungkin. Sediakan hadiah-hadiah yang lumayan. Saya yakin PIBG mereka mempunyai banyak wang untuk menyediakan hadiah ini.

Keenam, Mereka yang gagal BM mesti mengulang sehingga mereka lulus dalam subjek ini. Mereka tidak boleh naik darjah, jika gagal dalam BM. Mereka hanya boleh naik darjah jika lulus BM. Untuk berlaku adil, polisi ini hendaklah juga dilaksanakan di SK. Saya yakin, jika dilaksanakan, keputusan dan perubahan akan berlaku.

Ketujuh, sediakan buku kerja kepada anak-anak ini supaya menambah perbendaharaan kata (vocabulary) mereka setiap hari. Setiap hari perkataan BM mereka mesti bertambah.

Kelapan, ketika waktu cuti sekolah, pelajar-pelajar ini mesti diberikan assignment seperti pergi melawat kampung-kampung Melayu. Pelajar Melayu di SK juga boleh pergi ke kampung-kampung Cina.

Kesembilan, ujian lisan hendaklah diadakan sebelum boleh dibenarkan untuk pergi ke kelas menengah. Perkara ini amat penting bagi memastikan mereka boleh berkomunikasi dengan pelajar Melayu. Masalah yang timbul hari ini ialah apabila mereka tidak dapat berkomunikasi, berlaku inferioriti kompleks. Mereka sukar untuk bertutur dan seterusnya bergaul.

Kesepuluh, signage atau nama-nama, termasuk nama sekolah hendaklah meletakkan BM terlebih dahulu, diikuti dengan bahasa ibunda, dan BI jika perlu. Seperti amalan hari ini, BM hanya berada di tempat ketiga selepas BC dan BI, selepas itu baharulah BM.

Kesebelas, ibu bapa pelajar SJKC mesti membantu anak-anak mereka berkomunikasi dalam BM. Biasa-biasalah menonton dan mendengar saluran TV dan radio dalam BM, terutama siaran berita. Sosialisasi ini amat penting supaya pelajar tersebut tidak terasa asing dalam persekitaran Melayu. Jika saban hari mendengar membuka dan mendengar saluran Cina (Tamil) 24 jam, bagaimana sosialisasi ini boleh membantu.

Saya amat yakin, jika kita melaksanakan sebahagian daripada cadangan inipun sudah cukup untuk membantu anak-anak kita untuk memandaikan mereka dalam BM. Jika kita terus bermain tarik tali, sampai bila-bilapun negara ini akan terus bermasalah, sedangkan orang lain telah jauh meninggalkan kita. Kita pula tidak habis-habis membuang masa dan tenaga serta harta benda, memikirkan untuk menyelesaikan perkara yang sepatutnya telah selesai sekian lama, tanpa perlu dibicarakan lagi. Berdaulatkah kerajaan kita sebenarnya?

Prof Madya dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah
Ketua Program
Progra Pengajian Kenegaraan, Kepimpinan dan Ketamadunan
Fakulti Pengajian Pengurusan dan Pertahanan
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia


Monday, July 22, 2013

Sindrom tak apalah….

7:21 AM Posted by RIDHUAN TEE 33 comments


(Sinar Harian 22.7.13)

Saya amat tidak faham, kenapa kita tidak bertindak secara agresif terhadap orang-orang yang secara jelas dan sengaja menghina Islam. Nama-nama seperti  Melissa Gooi yang menghina nabi Muhammad SAW dan pasangan Tan Jye Yee (Alvin), 25 dan Vivian Lee, 24, yang sengaja memuat naik gambar hidangan dan kapsyen yang menyentuh sensitiviti umat Islam di laman sosial Facebook.

Pasangan ini telah memuat naik gambar sedang menikmati hidangan bak kut teh (sup herba babi) di Facebook, dengan menulis kapsyen "Selamat Berbuka Puasa dengan bak kut teh ...wangi, enak dan menyelerakan, serta meletakkan logo halal pada gambar berkenaan. Saya tidak nampak ia dilakukan secara tidak sengaja.

Penghinaan di alam siber ini, bukan perkara baru. Selain daripada media sosial berbahasa Melayu dan Inggeris, banyak lagi penghinaan dilakukan, terutama media sosial bukan Melayu.  Jika tidak percaya, cubalah masuk tengok. Pasti akan ada penghinaan terhadap Islam yang lebih buruk daripada itu. Ini tidak termasuk penghinaan terhadap kalimah Allah.

Ironinya, bila mereka minta maaf, kita pun kata: tak apalah…mereka belum dewasa lagi. Masa mereka masih panjang. Persoalan saya, bagaimana nasib anak muda yang merengkok dalam penjara atas dakwaan cuba membakar gereja?

Produk yang lahir ini adalah sebahagian daripada produk sekolah ultra kiasu. Kita gagal untuk melahirkan rakyat yang berjiwa Malaysian seperti yang dicanangkan oleh parti DAP, yang kononnya mereka berjiwa sedemikian. Inilah akibatnya apabila subjek seperti sejarah, kenegaraan, Tamadun Islam dan Tamadun Asia, ditolak mentah-mentah oleh kita semua.

Pada kita, semua itu tidak penting. Paling penting adalah pembangunan ekonomi dan negara cepat membangun. Kita tidak mahu fikir soal produk yang lahir. Sejauh mana semangat patriotism dan semangat cintakan negara itu wujud? Dalam kepala kita mahu menunjukkan lagak pandai menguruskan ekonomi negara. Seolah-olah itulah segala-galanya. Tak apalah… mereka tidak faham, mereka bukan Islam.

Kita tidak pernah mahu belajar daripada sirah nabi Muhammaad SAW. Nabi amat tegas dalam melaksanakan agenda Islam, tanpa menganiaya bukan Islam. Lagipun negara ini, negara Islam. Sudah tentu kita ada hak di tanah sendiri. Apa yang perlu ditakutkan. Kecualilah umat Islam berada di negara bukan Islam.

Paling tidakpun, tinjau-tinjaulah negara-negara seperti China dan Korea Utara. Bagaimana mereka membina negara? Bagaimana negara ini boleh ‘survive’ dalam keadaan ditekan begitu hebat oleh barat?

Jiwa rakyat mereka begitu kental. Walaupun hidup serba sederhana, mereka tetap setia mempertahankan negara tercinta daripada diganggu-gugat oleh kuasa asing. Mereka tetap kuat, walaupun tidak ‘berapa maju’ kononnya. Pada saya, negara ini sebenarnya telah lama maju. Jika tidak, mereka tidak akan mampu mengeluarkan senjata nuklear yang amat ditakuti barat. Orang Cina Islam, diberi pilihan, tinggal di sini atau keluar atau dibunuh. Suka atau tidak, mereka terpaksa menjunjung ideologi komunis.

Persoalannya, kenapa mereka begitu berjaya. Rakyat mereka celik sejarah dan kenegaraan. Setiap rakyat dipaksa untuk faham perkara ini. Suka atau tidak, mereka mesti ikut apa jua undang-undang dan peraturan negara ini.

Kita pula bagaimana? Atas nama demokrasi, kita terus bermain dan membiarkan. Tindakan tidak pernah tegas. Kena pada orang Melayu, bukan main lagi tegas kita. Tetapi kepada bukan Melayu, diugut sedikit, kita sudah cair.

Kini, kemasukan pelajar ke matrikukasi dan IPTA dipertikaikan oleh parti-parti bukan Melayu. Ingat saya bertanya pula, berapa ramai pelajar Melayu yang dimasukkan di UTAR dan universiti yang dimiliki oleh parti politik bukan Melayu. Hak kita, semua mereka mahu. Hak mereka, mereka sahaja yang dapat. Cuba siasat berapa banyak biasiswa yang disediakan oleh UTAR untuk pelajar-pelajar mereka.

Kita perlu ingat bahawa sedikit pengurangan pelajar Cina dan India kerana mereka ada universiti masing-masing. Inilah akibatnya apabila kita meluluskan universiti berasaskan parti politik dan universiti swasta.

Umum mengetahui, ramai kalangan bukan Melayu yang berada, menghantar mereka anak mereka ke IPTS atau keluar negara. Pelajar miskin yang cemerlang, sudah pasti mendapat tempat di IPTA. Ini tidak termasuk mereka yang awal-awal lagi telah ditawarkan oleh universiti kaum masing-masing. Hak Islam (Melayu) sedikit itulah yang ingin direbut.

Jika kita campur-campur nanti, saya amat yakin, pelajar bukan melayu paling ramai mendapat tempat di Institusi Pengajian Tinggi (IPT). Ada kalangan pelajar bukan Melayu menarik diri apabila ditawarkan ke matrikulasi. Kejadian ini berlaku di tempat anak saya belajar.

Saya bersetuju, untuk meramaikan pelajar bukan Melayu masuk ke IPTA, jika bukan Melayu berjaya memandaikan anak-anak dalam bahasa Melayu (BM) dan mendapat keputusan yang baik. 

Ini tidak, yang gagal BM pasti akan mendapat tempat di IPTS dan universiti kaum mereka. Cuba tanya pelajar Melayu adakah mereka yang tidak mendapat kredit BM dalam SPM layak mendapat tempat di UiTM? Peliknya, tidak adapun parti politik Melayu atau orang Melayu bersuara. Adakah semua Melayu mendapat tempat di IPTA? Inilah akibatnya sindrom tak apalah….

Friday, July 19, 2013

Kesan produk tanpa TITAS

12:30 PM Posted by RIDHUAN TEE 54 comments


(Utusan Malaysia 19 Julai 2013)

Apabila Kementerian Pendidikan mengambil keputusan mewajibkan subjek teras universiti, Tamadun Islam Tamadun Asia (TITAS) di IPTS, tidak semena-mena ahli parlimen DAP melompat seperti cacing kepanasan. Pemimpin MCA turut menyokong. Katanya tidak wajar hanya satu sahaja tamadun yang diajar iaitu tamadun Islam.

Terbaharu, seorang ahli parlimen Pulau Pinang DAP mencadangkan supaya TITAS menjadi subjek elektif. Ahli parlimen yang tidak ketahuan asal usul bangsanya ini, kecuali agamanya (Islam), mahukan subjek ini diturunkan tarafnya menjadi elektif. Persoalan saya, siapakah beliau?

Ini diikuti protes dari gabungan NGO anak muda Cina yang dikenali sebagai Emco, yang terdiri daripada penganut Buddha dan Kristian tampil mengatakan bantahan mereka kerana disifatkan,  sebagai satu “indoktrinasi” ke atas siswa IPTS. Ia juga melanggar Perlembagaan Persekutuan, yang menjamin hak untuk menganut dan mengamalkan agama seseorang dan menghalang indoktrinasi sesuatu agama yang tidak dianutinya.

Mereka berkata, kerajaan perlu mengetepikan pendekatan “sempit dan sektarian” dalam pendidikan dan juga menghormati kepelbagaian etnik dan agama di Malaysia. Dalam merancang mata pelajaran berhubung tamadun agama, pertimbangan perlu diberikan kepada sejarah agama utama, doktrin serta kesan agama ke atas pembangunan ketamadunan.

Bantahan ini seterusnya disambut oleh Bishop Katolik, Paul Tan, mengesyorkan diperkenal pengajian semua tamadun dunia kepada golongan itu. Beliau berkata, tamadun Greek, Rom dan Judeo-Christian juga menyumbang banyak nilai kepada manusia dan perlu diketahui seiring dengan usaha melahirkan graduan yang terbiasa dengan nilai-nilai "yang baik, benar dan indah".

Jahil sungguh mereka. Dahulu bersatu dalam senyap. Kini bersatu secara terbuka. Malangnya, kita makin mengalah. Persoalan saya, adakah mereka sudah baca buku teks TITAS ini? Jika belum cubalah baca. Jangan buat tuduhan semborono. Tidakkah beliau sedar bahawa sekurang-kurang tiga tamadun diajar iaitu Islam (Melayu), China dan India.

Ini akibatnya apabila bukan pakar membahaskan isu-isu diluar kepakarannya. Akhirnya, lahirlah pandangan-pandangan yang amat naïf dan pandir. Selaku ketua program subjek teras universiti, TITAS bukanlah subjek tamadun Islam sepenuhnya, tetapi telah diadunkan dengan beberapa tamadun dunia.

Untuk makluman, kursus ini merupakan satu kursus yang membincangkan ilmu ketamadunan yang merangkumi interaksi antara pelbagai tamadun seperti Mesopotamia, Mesir, China, India, Islam, Barat. Tamadun Islam ditekankan sedikit, kerana tamadun inilah yang melonjakkan orang Melayu dalam membina tamadun Malaysia. Jika tidak, Melayu tidak ada apa-apa yang boleh dibanggakan. Melayu dan Islam itu sebati.

Turut diajar adalah tamadun tamadun China, Tamadun India, isu-isu kontemporari Tamadun Islam dan Tamadun Asia, cabaran globalisasi dan Islam dalam proses pembangunan negara. Sebenarnya tidak ada masalah langsung. Semua tamadun diraikan. Ada apa disebalik membangkitkannya?

Seperti subjek kenegaraan, tujuan TITAS adalah untuk memberikan pemahaman komprehensif mengenai sejarah dan nilai tamadun. Tujuannya tidak lain, (1) membina satu generasi Malaysia yang berpengetahuan dan peka mengenai isu-isu ketamadunan dan peradaban; (2) memperkukuh jati diri bangsa Malaysia sebagai sebuah negara pelbagai kaum dengan mengamalkan kehidupan yang bertoleransi dan bertamadun.

Kami berkeyakinan selepas mengikuti kursus ini, pelajar akan dapat memahami dan menjelaskan aspek-aspek utama tamadun, tamadun Islam dan tamadun Asia serta berpengetahuan dan peka mengenai isu-isu ketamadunan.

Pendek kata, TITAS amat penting kepada rakyat Malaysia yang ingin hidup dalam masyarakat berbilang kaum dan saling memahami. Negara lain, kebanyakan sebangsa, mungkin mereka tidak perlu mempelajari banyak tamadun berbanding kita di sini. Saya mohon bacalah keseluruhan teks TITAS ini.

Sepanjang pengalaman mengajar subjek ini di IPTA, tidak ada seorang pun pelajar bukan Islam yang bersungut, apatah lagi membantah, malah mereka seronok dapat mempelajari tamadun bangsa sendiri dan bangsa lain. Tamadun Islam diadunkan kerana ia adalah juga tamadun Melayu.

Lebih membanggakan, pelajar Melayu tidak pernah bising apabila tamadun China dan tamadun India turut diajarkan. Pelajar Melayu menerima dengan baik atas dasar menambah ilmu dan kepentingan memahami bangsa lain. Inilah sifat Melayu yang amat saya kagumi, berbanding bangsa saya sendiri. Persoalannya, kenapa orang bukan Islam begitu sensitif dengan tamadun Islam?

Kenapa perkara sebegini boleh terjadi bagi mereka yang telah berjaya mengaut segala keuntungan di bumi bertuah ini? Kita tidak berjaya melahirkan bangsa Malaysia yang bersyukur, tetapi terus kufur, walau sememangnya mereka kufur.

Subjek ini mengambil kira pandangan Samuel P. Huntington, dalam bukunya Clash of Civilizations, akan betapa pentingnya kita saling kenal-mengenal tamadun sesuatu bangsa. Subjek ini amat berguna, terutama kepada rakyat Malaysia yang hidup dalam masyarakat majmuk.

Jika tidak, akan lahir orang-orang seperti Melissa Gooi yang menghina nabi Muhammad SAW dan pasangan Tan Jye Yee (Alvin), 25 dan Vivian Lee, 24, yang memuat naik gambar hidangan dan kapsyen yang menyentuh sensitiviti umat Islam di laman sosial Facebook. Pasangan ini telah memuat naik gambar sedang menikmati hidangan bak kut teh (herba sup babi) di Facebook. Sambil menulis kapsyen "Selamat Berbuka Puasa dengan bak kut teh ...wangi, enak dan menyelerakan, serta meletakkan logo halal pada gambar berkenaan. Saya tidak nampak ia dilakukan secara tidak sengaja.

Pasangan ini sengaja mahu menyakitkan hati umat Islam. Orang sebegini mesti dihalau keluar daripada negara bertuah ini.

Pendapat yang lebih ekstrem dari saya, jika benarlah hanya tamadun Islam sahaja yang akan diajar, apa salahnya? Jika saya ada kuasa, saya akan paksakan subjek ini sejak dahulu lagi. Islam adalah agama persekutuan dan agama bangsa majoriti. Apakah salah bukan Islam mempelajarinya untuk hidup di bumi Melayu Islam? Bukan Melayu sepatutnya lebih memahami agama Islam anutan majoriti orang Melayu Islam sebelum memahami bangsa lain. Itu adalah lebih baik untuk integrasi nasional. Kecualilah jika mereka tidak mahu tinggal di sini.

Saya amat yakin jika diberikan pilihan dua subjek antara tamadun Islam dan tamadun barat. Tidak seorangpun di kalangan puak-puak ultra kiasu ini yang akan mengambil tamadun Islam.

Kenapa mereka begitu beriya-iya belajar tamadun barat, tetapi bukan tamadun Islam (Melayu)? Nampak sangat beliau memandang hina kepada kita semua. Sebab itu, mereka langsung tidak mahu memakai baju kebangsaan dan bersongkok ketika majlis rasmi. Mereka amat megah dengan pakaian barat.

Saya amat bimbang jika ditakdirkan kumpulan ultra kiasu ini berjaya memerintah Malaysia dalam PRU14 nanti. Semua identiti Islam akan dihapuskan. Lebih menghairankan, kenapa PAS membisu seribu  bahasa. Ultra kiasu telah menjadi semakin kurang ajar. PAS mesti berani menegur dan mengajar mereka bertatasusila selaras dengan prinsip rukun negara.

Lebih malang lagi, tidak ada wakil IPTS yang menyokong hasrat kerajaan ini. Kenapa? Jawapannya, kerana mereka terpaksa mencari pensyarah untuk mengajar subjek yang dianggap ‘tidak berguna dan merugikan ini. Maka akan bertambahlah kos untuk mengambil pensyarah baharu. Pada mereka, ini membazir dan merugikan. Sebab itu mereka hasut anak-anak mereka membangkitkan isu ini. Bila dibangkitkan, kitapun mengalah…alahai nasib Melayu di bumi Melayu.

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah
Prof Madya/Ketua Program
Program Kenegaraan, Kepimpinan dan Ketamadunan
Faculty Pengajian dan Pengurusan Pertahanan
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia
Sungei Besi Camp
57000 KUALA LUMPUR
MALAYSIA