Semua artikel adalah pendapat peribadi. Anda berhak untuk tidak meneruskan bacaan atau tidak mengakseskan blog ini serta merta jika anda tidak bersetuju dengan pemikirannya. All the articles written are the personal views. You have absolute rights not to continue reading or to discontinue accessing this blog immediately if you are disagreeable with the personal views.

Tuesday, December 19, 2017

Tugas berat menanti Neelofa di Air Asia

8:13 PM Posted by RIDHUAN TEE No comments
Artikel ini diterbitkan setiap Isnin di laman portal Ismaweb

Saya ucapkan tahniah kepada CEO Air Asia kerana melantik Neelofa, seorang celebriti  dan usahawan terkenal dengan imej bertudung, sebagai pengarah bebas eksekutif AirAsia. Tahniah juga kepada Neelofa yang telah dilantik. Tugas berat menanti Neelofa untuk sedikit sebanyak mengubah imej AirAsia.

Dengan melantik seorang usahawan bertudung memakai pakaian menutup aurat, saya percaya CEO air Asia mempunyai pandangan yang positif dan percaya kewajipan menurut badan dalam kalangan wanita Islam yang bekerja di sana. Seperti kata Neelofa, pencapaian ini bukan untuk saya seorang tetapi untuk semua wanita di luar sana.

Justeru selepas ini, jagalah martabat wanita.  Saya harap selepas ini paramugari Islam Air Asia juga akan diberikan kebebasan untuk menutup badannya sekalipun tidak bertudung. Saya juga amat mengharapkan Neelofa akan melontarkan cadangan ini kepada Air Asia.

Amat malang sekali apabila anak-anak gadis kita bukan sahaja tidak bertudung tetapi dibiarkan memakaikan skirt singkat di atas paras lutut dan baju terlalu ketat dengan dada yang terbuka. Kecualilah mereka suka buka-buka.

Kadangkala begitu jelek melihat di KLIA2, wanita berpakaitan merah dengan skirt yang terlalu pendek dan dada terbuka. Begitu kebaya putih yang begitu jarang dengan kain terbelah tanpa jahitan.

Bila menaiki ERL bersama, terkulat-tukat di bangku ERL untuk memanjangkan skirt yang pendek tersebut dan merapatkan pehanya serapat-rapat agar tidak terbuka. Jika itu diterima sebagai norma, duduk sahaja lah dengan skirt yang terbuka, kenapa menjadi terkulat-kulat dan merapatkan peha.

Saya amat yakin jika Air Asia dapat mengenakan etika berpakaian bersopan, maka semakin ramai, pakcik dan makcik, pak aji dan mak aji akan memilih Air Asia. Berilah pilihan kepada paramugari yang ingin menutupi badannya daripada terbuka luas

Tersangat pelik, pakaian paramugaranya begitu menutupi badan sehingga hanya menampakan muka dan tapak tangan. Sebaliknya, paramugari begitu terbuka, ketat, sendat, seksi dan terbuka. Mahu jual apa sebenarnya?

Saranan ini juga selaras dengan cadangan Senator Hanafi Mamat yang mencadangkan kerajaan supaya memperkenalkan peraturan pakaian patuh syariah kepada pramugari di semua syarikat penerbangan Malaysia selaras dengan pengiktirafan Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

Beliau berkata lagi, sudah tiba masanya kerajaan menyediakan peraturan pakaian baharu supaya dapat memberi gambaran Malaysia sebagai negara Islam dan memegang ciri-ciri budaya Timur yang kuat. Saya sangat teruja dengan pandangan ini.

Sedih sekali mendengar respon Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Malaysia (Nufam), sebarang langkah mengubah pakaian seragam anak kapal syarikat penerbangan supaya ia mematuhi kehendak Islam hanya boleh dilakukan melalui syarikat baharu yang terikat dengan pengawasan kualiti menurut syariah. Nufam berkata gesaan seperti itu tidak wajar dan menyalahi amalan memberikan kebebasan kepada kakitangan.

Soal pakaian seragam, bukan isu kebebasan kepada kakitangan tetapi ditetapkan oleh syarikat terbabit. Mereka mahu mengubahnya atau tidak?

Menurut Nufam, apa yang diamalkan hari ini tidak boleh diubah kerana syarikat ditubuhkan atas konsep berlainan. Konsep apa yang dimaksudkan. Membelah dan mendedah? Kenapa skirt yang sepatutnya dibawah paras lutut tetapi disingkatkan sampai atas lutut. Bila pula kebebasan tersebut diberikan, menggunting skirt yang sepatutnya dipanjangkan.

Saya bukan maksudkan pemakaian tudung tetapi cukuplah bersopan mengikut nilai-nilai ketimuran. Hak individu apa yang dimaksudkan kerana mereka yang bekerja di sana terpaksa memakai uniform yang telah ditetapkan? Kata Nufam lagi, biarlah pakaian tudung itu juga bersesuaian dengan tempat kerja juga? Adakah industri penerbangan tidak sesuai bertudung. Cuba kaji berapa banyak kapal terbang yang membenarkan kakitangannya bertudung. Nufam ini buat kajian ke tidak.

Budaya berpakaian ala-timur ini bukan hanya perlu dikuatkuasakan dalam sektor penerbangan sahaja tetapi dalam sektor-sektor lain. Kadangkala sangat memualkan, sudah ada notis, “sila berpakaian sopan, apabila berurusan dengan pejabat kerajaan”.

Malangnya, masih ada mangkok hayun yang tidak faham, datang berurusan dengan pejabat kerajaan dengan pakaian yang sangat seksi dan berseluar pendek. Kependekkan seluar sersebut, seolah menampakkan sebenarnya mereka tidak berseluar.

Kita jauh sekali mahu menjadi sebuah negara taliban dengan menguatkuasakan peraturan sebegini, tetapi sekadarkan menunjukkan ciri-ciri ketimuran yang berbeza dengan nilai kebaratan.

Sepatutnya perkara ini sudah lama dikuatkuasakan. Siapa yang berkuasa sebenarnya? Syarikat penerbangan atau pihak yang mengeluarkan lesen. Kita yang berkuasa meluluskan semua lesen dan permohonan. Takkan kita tidak boleh mengenakan beberapa syarat mengikut norma dan nilai murni masyarakat timur, kecualilah sekiranya kita terlalu elergi dengan nilai-nilai Islam.

Sama juga isu pihak berkuasa tempatan yang meluluskan pelan-pelan bangunan. Takkan tidak terfikir langsung nama-nama bangunan yang langsung tidak  mencerminkan jati diri Malaysia. Begitu juga dengan kedudukan surau yang sangat menyusahkan untuk umat Islam yang membeli-belah untuk bersembahyang kerana diletakkan di lokasi yang sangat tersorok seperti yang saya bangkitkan sebelum ini.

Lagipun kalau dilihat secara mendalam, kebanyakan pengerusi syarikat-syarikat besar seperti syarikat penerbangan ini, selalunya terdiri daripada mereka beragama Islam. Mereka inilah yang dipergunakan menduduki jawatan pengerusi eksekutif bagi memudahkan urusan mendapat bisnes, tender, kontrak dan lesen.

Apakah pengerusi-pengerusi yang dilantik ini sudah lupa dengan nilai-nilai ketimuran dan keIslaman. Takkan dengan elaun yang diberikankan membutakan mata kita sehingga tidak dapat membezakan mana dia baik dan mana dia buruk. Bersuaralah dan beri pandangan untuk menyelamatkan anak-anak Melayu daripada terlalu kebaratan.

Lebih jahil lagi apabila  membaca kolumnis The Malay Mail Online yang berkata pramugari yang menutup aurat belum tentu dapat menyelamatkan kapal terbang dari terhempas. Jika begitulah keadaan, tidak ada sebarang kemalangan yang akan berlaku di Mekah dan di Madinah kerana di situ terletaknya kaabah dan makam baginda Rasulullah s.a.w.  Begitu juga tsunami  tidak akan berlaku di Acheh kerana di situ terdapat ramai umat Islam. Ternyata beliau teramat jahil merukab dalam memahami qada dan qadar. Orang sebegini hanya Islam pada namanya sahaja.

Kita sedang soal kesopanan dan kesusilaan sesuai dengan nilai-nilai ketimuran, tiba-tiba sijahil ini bercakap soal kapal terbang terhempas atau tidak.

Apakah ada berpandangan pelancongan datang untuk menyaksikan keseksian paramugari kita. Jika demikian keadaannya, amat lah malang, kerana di barat bukan sahaja mereka seksi tetapi boleh bertelanjang, malah berbogel sekalipun.

Seperti yang selalu saya sebutkan tidak ada satu agamapun yang menggalakkan berpakaian seksi kecuali kita terpengaruh dengan budaya negatif barat. Semua agama mahukan kita berpakaian sopan. Cuma agama Islam lebih terkehadapan mahukan kita menutup aurat.

Lebih pelik lagi, begitu sedih menaiki kapal terbang tempatan kita, lagu-lagu dan muzik yang dipasangkan langsung tidak mencerminkan semangat Malaysia. Kebanyakan senarai lagu-lagu yang diputarkan ketika berlepas dan mendarat adalah lagu-lagu barat yang kadangkala senikatanya begitu lucah.

Adakah kita sudah ketandusan lagu-lagu dan muzik tempatan sehingga menyebabkan langsung seni budaya kita tidak dimain dan diputarkan dalam kapal terbang? Saya sangat teruja lagu-lagu etnik Malaysia diputarkan, tidak kiralah Melayu, Cina, India, atau Bumiputera Sabah Sarawak. Pokoknya melambangkan Malaysia bukan barat. Saya amat yakin mereka yang ke Malaysia mahu mendengar semua ini. Bukan muzik dan budaya mereka yang sudah basi dan jemu.

Sudah sampai masanya kita berubah. Juallah kediversitian negara kita. Jangan terlalu kebaratan. Akhirnya, nanti menjadi kekeparatan. Sedih bila mendenganr puteri umno menggunakaan istilah ‘kekerajaanan’. Adakah terdapat istilah ini?

Saya harap teguran ini diambil secara serius kerana dalam sebuah negara demokrasi, semua berhak memberikan pandangan secara umum sama ada dia pakar atau tidak. Paling baik, memanglah sepatutnya pakar yang memberikan pandangan secara mendalam. Tetapi apabila pakar berdiam diri, akhirnya terpaksalah yang bukan pakar umum bercakap.

Tetapi bila bukan pakar bercakap, jangan pula memangsakan mereka. Kerana mereka ada hak untuk bercakap. Kecualilah kita mengamalkan sistem komunis.

Kepada Neelofa, tahniah! Lakukanlah yang terbaik untuk Air Asia.




Monday, December 11, 2017

Bahaya Pemikiran Rimba Dan Mangkok Hayun

5:21 PM Posted by RIDHUAN TEE No comments

Bahaya Pemikiran Rimba dan Mangkok Hayun

Begitu jelek sekali mendengar aktivis liberal berkata pengaruh budaya Arab yang menular (Arabisation) telah menghakis budaya dan identiti Melayu di Malaysia. Tetapi beratus tahun kita dijajah dan proses westernisasi (westernisation) pembaratan dan sekularisasi, iaitu pengaruh barat yang amat mendominasi, tidak seorang pun ambil peduli. Malah kita terima ia menjadikan norma dan cara hidup.

Seorang yang berjubah dan berkopiah dilihat sebagai kuno atau terlalu keAraban, sedangkan mereka yang seumur hidup memakai blues jacket, blazer, bertali leher, skirt pendek, baju nampak ketiak, bikini dan pakaian separuh telanjang, malah ada yang berbogel pun, ia diterima sebagai norma dan gaya hidup yang dimegahkan.

Pendek kata, pemakaian yang menutup aurat atau bersopan, begitu dirisaukan. Manakala, mereka yang mendedahkan badan sehingga menampakkan yang tersurat dan tersirat serta  urat-urat, diterima sebagai norma dan mengikut arus pemodenan. Pemikiran rimba dan ‘mangkok hayun’ apakah ini?

Lebih hina lagi, kumpulan ini sanggup menyalahkan negara Arab kerana penularan budaya ini sehingga menyebabkan budaya dan jati diri Melayu terhakis. Salah apa dengan negara Arab? Siapa meniru siapa? Sama juga apabila kita meniru budaya barat, salah barat atau salah kita? Memang kerja barat untuk menyesatkan kita semua dengan budaya liar, seks, seksi dan hedonism.

Berbanding dengan budaya Timur seperti budaya Melayu, boleh dikatakan dalam semua aspek kehidupan Melayu yang penuh kelembutan dan indah sudah terhakis, disebabkan oleh proses pembaratan dan pemodenan. Bahasa Melayu sebagai bahasa negara tidak lagi dirasakan sebagai penting. Malah, ada segelintir yang mahukan kita kembali semula kepada sistem pendidikan berasaskan bahasa Inggeris. Kemunculan sekolah antarabangsa sudah tidak lagi terkawal.

Begitu juga dengan cara berpakaian. Kenapa perlu meniru pakaian Arab arau orang putih? Peliknya lagi, tiru orang putih boleh, tiru Arab tidak boleh. Hanya kerana meniru Arab lebih menutupi badan, berbanding orang putih yang membuka badan. Maka yang membuka badan itu diterima, manakala yang menutupi badan penuh dengan prasangka dan prejudis.

Inilah akibat apabila terlalu memandang ke barat dan terlalu sekular, kawin cerai dengan orang putih, sembahyang entah ke mana dan tidak tentu hala. Tidak mustahil kumpulan ini langsung tidak percaya kepada agama yang anuti dan diwarisi daripada ibubapanya.

Maka, tidak menghairankan juga kenapa boleh terjadi kepada seorang pelajar yang dahulunya mendapat 17A dalam SPM, kemudian melanjutkan pelajaran di barat, asalnya bertudung, hari ini bukan sahaja membuka tudung, malah menjadi begitu seksi, sekalipun wajahnya tidaklah secantik yang difikirkan. Katanya mengikut trend terkini.

Akhbar ultra kiasu bahasa Inggeris begitu mensensasikan berita anak muda SPM 17A yang membuka tudung ini. Saya mengikuti perkembangannya dan sedangkan mencari jawapan kenapa gadis Melayu boleh berubah 360 darjah. Dahulunya menutup aurat, hari ini menjadi sangat seksi. Sudah hilangkah nilai ketimuran? Apakah ibu bapa tidak lagi berperanan menegurkan anak-anaknya?

Akhbar ultra kiasu tidak habis-habis menyorot perkembangan beliau. Ultra kiasu ini amatt seronok melihat orang Melayu menjadi liberal dan berpakaian seksi berbanding dengan berjubah dan bertudung labuh.

Justeru, kepada kumpulan yang terlalu elergi dengan arabisasi ini, jadilah Melayu yang tulin. Kawinlah dengan orang Melayu, pakai baju Melayu, makan guna tangan cara Melayu. Tidak perlulah terlebih orang putih. Kawin cerai orang putih.

Oleh kerana mereka ini dalam kalangan orang Melayu beragama Islam, maka fahamilah agama itu dengan mendalam. Kalau masih gagap mengaji, pergilah belajar. Kalau tidak faham makna al-Quran, rujuklah kepada yang pakar. Jangan ikut tafsiran sendiri.

Hari ini Arab Saudi mula pro Amerika. Jika ditakdirkan, orang Arab Saudi mengikut cara hidup Barat, apakah selepas ini si mangkok hayun ini akan mempertahankan Arab Saudi dengan berkata pengaruh Amerika atau barat telah menyebabkan budaya Arab terhakis. Apakah dia akan menyalahkan Amerika?

Sudah tentu tidak, kerana mereka ini sangat pro-barat, cita rasa barat, dan bersuamikan orang barat sehingga tidak ketahuan suaminya yang dikahwini beramal dengan Islam atau tidak.

Apakah golongan liberal ini lebih suka jika nama-nama Melayu menjadi Robert, Ronnie, Jason, Gary, Marina, Joseph, Anthony, Teresa, Hannah, walau pun tidak sepatutnya mereka dinamakan sedemikian sebab oleh kesepetan matanya.

Mereka akan berduka dengan nama tersebut daripada Muhammad, Umar, Khajidah, Fatimah, Hasmah, Aminah, Amin dan sebagainya, hanya kerana ia berbau Arab, maka ianya dibenci.

Maka, sudah sampai masanya kita mencermin diri sendiri. Sebenarnya, kita bangsa apa? Jika Melayu, jadilah Melayu. Begitu juga dengan bangsa lain. Kenapa perlu meniru orang, lebih-lebih lagi barat. Bila ke condong ke barat, semua okay dan diterima. Namun, bila condong sedikit ke timur terutama, negara Arab, semuanya Taliban. Ini tidak adil.

Tidak semua budaya barat itu baik, begitu juga Arab. Jadi, berpada-padalah jika  mahu  mengambilnya. Tetapi jangan jadi buta, buta hati. Yang jelas, proses pembaratan telah merosakkan jati diri dan terlalu menghakis budaya Melayu.

Anak-anak kita sudah tidak mengenal keroncong, zapin dan lain-lain irama Melayu. Mereka sudah terlebih rock, hip hop dan RnB. Begitu juga dalam cara berpakaian, tidak segan silu berpakaian seperti bertelanjang.

Ini tidak termasuk pengaruh, gay dan lesbian atau LGBT. Berapa ramai anak-anak Melayu yang sudah terjebak, sedangkan ia amat jauh sekali daripada tatacara, jati diri dan budaya Melayu. Kenapa serangan seperti ini tidak dikatakan menghakis budaya Melayu? Tetapi apabila sekali orang Melayu memakai pakaian berjubah, maka terus dijatuhkan hukum, bahawa jati diri Melayu sudah terhakis dan orang Melayu sudah terpengaruh dengan Arabisasi. Bertaubatlah! Sementara Allah masih lagi membuka pintu dan ruang taubat untuk kita.
 

Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah
Profesor Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan (FUPL)
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Wednesday, December 06, 2017

Bila ultra kiasu dan Melayu gagap Quran bersatu

8:58 AM Posted by RIDHUAN TEE No comments
Bila ultra kiasu dan Melayu jahil bersatu…

Tidak semena-mena idea Pegawai Pendidikan Daerah (PPD Kuantan) agar semua sekolah di daerah Kuantan wajib menganjurkan solat berjemaah sebelum pelajar Islam pulang ke rumah dalam usaha memperkukuhkan ketahanan diri mereka, menjadi heboh satu Malaysia, seolah-olah sudah korup isu. Setiap hari hari pemberita akhbar dan laman web ultra kiasu akan mencari tokoh-tokoh tertentu untuk ditemubual agar menjadi sensasi.

Niat busuk hati pemberita tersebut sangat jelas. Mereka tidak mencari yang pro untuk ditemubual tetapi yang kontra. Jawapannya sudah sedia diketahui. Apakah kita masih buta melihat bagaimana musuh-musuh Islam ultra kiasu ini? Jahat sungguh mereka ini. 

Paling kurang pujilah sedikit, kalau tidak banyak, inisiatif orang mengajak orang lain kepada kebaikan seperti solat berjamaah. Membawa orang dekat dengan Tuhan. Ini tidak, mereka akan mensensasikan berita ini sehingga yang baik menjadi buruk. Sedangkan perkara buruk dan jahat mereka sengaja diamkan. Dalam maksud, ultra kiasu takut orang menjadi baik, tetapi suka tengok orang menjadi jahat atau liar. Sepatutnya mereka disedarkan, bahawa semakin ramai orang Islam sembahyang, semakin faham mereka kepada Islam, semakin ramai yang akan menjadi baik, semakin aman damai negara ini dan juga kehidupan. Tidak kurang, semakin mereka menghormati hak bukan Islam.

Seperti yang selalu saya perkatakan, semakin orang Melayu memahami Islam, semakin tinggi tahap toleransi terhadap bukan Islam. Ini sudah terbukti dalam sejarah, semakin orang Melayu faham Islam, semakin dekat dengan Allah, semakin mereka dapat menerima bukan Melayu yang datang berhijrah.

Semua tahu bahawa niat pegawai pendidikan tersebut amat murni.  Sembahyang adalah antara salah satu pengisian utama dalam membina karektor warga sekolah, khususnya murid agar dapat mencegah perkara negatif dalam mengharungi dunia yang kian mencabar. Demi kecemerlangan murid-murid, guru-guru kita meletakkan 5 fokus utama iaitu pembinaan karektor, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), kemahiran berkomunikasi dalam bahasa Inggeris, pemimpin pertengahan (guru) dan bijak sifir. Untuk itu, setiap sekolah menganjurkan solat berjemaah di kawasan sekolah. Pihak sekolah menyasarkan kira-kira 10 peratus murid lelaki beragama Islam boleh menjadi pemimpin dalam masyarakat, boleh membaca al-Quran dengan baik, menjadi imam, membaca doa selamat dan tahlil.

Sepatutnya ramailah yang memuji. Tidak ada kaitan langsung pun untuk mengIslamkan sekolah kebangsaan. Malangnya, ultra kiasu Melayu tumpang semangkok. NGO yang kononnya mewakili ibu bapa yang diketuai oleh Melayu, yang mungkin masih gagap bacaan Qurannya, turut bersuara. Pergilah mengaji. Jika belum pernah pijak sejadah, pergi beli sejadah. Atau saya cadangkan bina rumah dekat surau dan masjid sebagai proses tarbiyyah. Jika kita sendiri gagal untuk mendidik anak-anak untuk bersolat, sokonglah inisiatif guru-guru untuk galakkan anak orang lain bersolat.

Jika difikirkan secara mendalam, kenapa guru-guru hendak bersusah payah menjaga anak orang supaya bersolat. Lantaklah. Tetapi inilah guru. Kadangkala terlebih jaga anak orang, sehingga terlepas pandang anak sendiri.

Sepatutnya NGO yang diketuainya berbincang dengan pihak sekolah atau sekurang-kurang bertindak seperti NGO lain, menyokong inisiatif tersebut seperti Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (Wafiq), yang percaya inisiatif ibadah berkumpulan dapat melahirkan sifat kepimpinan dalam kalangan pelajar Islam, dan dalam jangka masa panjang, pelajar sendiri dapat menjadi pembimbing rakan sebaya.

Ini tidak, sedap-sedap saja dia menyarankan ibu bapa supaya menghantar anak-anak yang mahukan disiplin  sedemikian ke  sekolah agama atau tahfiz yang lebih khusus dan berkemahiran. Jika begitu keadaan, tidak perlulah kakitangan kerajaan diberikan kefahaman Islam. Biarkan kakitangan Jakim dan pejabat agama sahaja yang faham Islam. Orang lain biarkan jahil termasuk yang bercakap banyak dalam soal ini. Bagi yang faham, kita menganggap ini fardu kifayah. Tanggungjawab yang akan dipersoalkan Allah s.w.t. Sebab itulah Jakim meletakkan pegawai agamanya di setiap kementerian.

Apakah kerana terlalu nak meraikan bukan Islam yang terlalu minoriti di sekolah kebangsaan maka kita terpaksa korban identiti dan prinsip kebangsaan? Apakah sekolah kebangsaan bertujuan untuk melahirkan anak-anak yang tidak kuat agama atau jahil agama? Bacalah matlamat Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Sekolah agama hari ini boleh dikatakan semuanya bersifat bersepadu. Tidak mengajar subjek agama sepenuhnya. Begitu juga dengan sekolah tahfiz. Ini bukan sekolah agama dan tahfiz dalam tok kaduk dahulu. Walaupun tidak dinafikan ada sekolah agama bercorak sedemikian.

Ini bukan sekolah mana yang perlu dia belajar, tetapi soal pembangunan insan. Melahirkan pelajar yang seimbang jasmani dan rohani selaras dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan. Tatkala ibubapa gagal menyembahyangkan anaknya, tidakkah  lebih baik ia dapat melatih dirinya di sekolah dengan inisiatif guru-guru.

Paling menyedihkan apabila ultra kiasu menemubual  bekas timbalan menteri pendidikan tinggi,  yang meminta dasar dikaji untuk melihat jika ia akan mendorong lebih ramai ibu bapa bukan Islam dan sesetengah ibu bapa Melayu menghantar anak ke sekolah lain kerana khuatir sekolah kebangsaan semakin menjadi sekolah agama. Persoalan saya, sejak bila bukan Melayu menghantar anak mereka ke sekolah kebangsaan apabila diberi pilihan sekolah vernakular? Pernah dibuat kajian? Janganlah buat andaian? Buruk sangat pemimpin seperti ini.

Pemimpin MCA berkata, sekolah kebangsaan berjaya menarik ramai murid bukan Melayu dan lebih baik jika fokus ditumpukan kepada pendidikan, bukannya agama sebagai tugas dan tanggungjawab utama sekolah. Sejak bila aliran kebangsaan berjaya menarik perhatian bukan Melayu terutama orang Cina. Bila orang politik bercakap, cakap ikut sedap mulut. Bukan buat kajian pun. Rata-rata keluarga Cina menghantar anak mereka ke SJKC. Jika ada pun menghantar ke sekolah kebangsaan, hanya 10 peratus sahaja.

Saya pelik dengan pemimpin ultra kiasu ini. Bila dicadangkan sekolah satu aliran. Sibuk mempertahankan SJKC. Bila kita mahukan supaya pelajar Islam diwajibkan berjemaah, dia kata ini akan menjadikan bukan Melayu takut untuk ke sekolah kebangsaan. Sedangkan sebenarnya tidak ada pun yang dihantar ke sekolah kebangsaan, kecuali di sekolah menengah disebabkan oleh sekolah menengah aliran vernacular tidak banyak. Inilah sifat ultra kiasu yang selalu saya utarakan agar para pembaca faham, apa sebenarnya pelabelan ultra kiasu yang selama ini saya lakukan.

Lagipun, solat berjmaah ini hanya untuk pelajar Islam. Tiada kaitan langsung pun dengan pelajar bukan Islam. Mereka boleh teruskan kerja mereka sebagai pelajar. Peliknya, pemimpin ultra kiasu ini panas punggung pasal apa? Kenapa mahu campurtangan dalam hal ehwal orang Islam. Kecualilah sekolah tersebut mahukan pelajar bukan Islam turut serta sembahyang berjamaah bersama. Sama juga ketika berdoa. Ketika pelajar Islam berdoa, pelajar bukan Islam berdoalah mengikut cara masing-masing. Siapa suruh angkat tangan. Bacaan doa ini tidak salah kerana ia selari dengan perlembagaan persekutuan yang mendaulatkan Islam sebagai agama persekutuan.

Justeru, sebelum pemimpun ultra kiasu Melayu memberikan komen, fikir dahulu apa tujuan solat dan fadhilat solat berjamaah. Jika jahil lebih baik diam sahaja. Mewajibkan solat berjamaah itu satu langkah yang baik. Solat berjamaah bukan solat semata-mata

Pertama, memastikan yang tidak pernah solat, sekurang-kurang bila diwajibkan solat berjamaah, sekurang-kurang kaki mengijak sejadah. Selama ini mungkin dia tidak pernah sembahyang di rumah, disebabkan adanya ibu bapa seperti NGO tersebut. Dengan mewajibkan solat berjamaah, sekurang-kurang sekali sehari, pelajar kita tunduk sujud pada Allah yang selama ini tidak pernah dilakukan di rumah.

Kedua, solat dan solat berjamaah adalah proses tarbiyyah manusia. Jangan lihat solat berjamaah sekadar solat semata-mata. Dari sudut psikologi, solat dapat mendidik jiwa. Solat dapat mencegah diri daripada perbuatan mungkar. Melahirkan insan takut kepada Tuhan dan berakhlak mulia. Ya, benar… ada yang bersolat tetapi juga melakukan mungkar. Tetapi bilangannya agar minoriti. Sama juga isu segelintir paderi yang terlibat dalam skandal seks.

Ketiga, solat berjamaaah adalah soal latihan kepemimpinan. Dengan menjadi imam, secara tidak langsung melatih pelajar menjadi pemimpin yang berani dan berilmu. Untuk menjadi seseorang imam, pelajar tersebut mesti tahu surah wajib dan doa ringkas  yang perlu dibaca. Dengan mewajibkan pelajar ini solat berjamaah secara tidak langsung ia akan mengambil inisiatif untuk mempertingkatkan dirinya. Yang mungkin selama ini dia tidak pernah sembahyang berjamaah di rumah, kerana mendapat ibu bapa seperti yang mereka menentang tidak melakukan amalan tersebut.

Keempat, arahan yang dikeluarkan hanya untuk pelajar Islam. Tidak perlulah bukan Islam menyibuk. Ketika umat Islam berpuasa, pernahkah kita suruh pelajar bukan Islam turut berpuasa di sekolah? Kenapa ketika itu, NGO ultra kiasu tersebut tidak mengeluarkan kenyataan supaya pelajar Islam tidak perlu berpuasa kerana dengan berpuasa, ia akan mengislamkan sekolah tersebut. Pelajar bukan Islam akan takut ke sekolah. Biarkan puasa hanya berlaku di sekolah agama dan tahfiz sahaja. Mereka yang menentang ini puasa ke atau tidak?

Kelima, kadangkala jika nak melaksanakan sesuatu kebaikan, ia tidak boleh dijadikan pilihan. Ia wajib diinstitusikan atau dijadikan undang-undang. Kita tidak paksa bukan Islam masuk Islam, tetapi bila sudah masuk, kenalah patuh kepada undang-undang Islam. Sama juga seperti undang-undang jalan raya. Misalnya, undang-undang jalan lampu isyarat. Ia tidak boleh dijadikan pilihan tetapi mesti dikuatkuasakan. Baharu kita boleh mendisiplin pemandu jalan raya agar tidak berlaku kemalangan.

Keenam, kerana hendak menjaga hati orang Islam, banyak upacara dan perayaan orang Cina dan India turut disambut di sekolah aliran kebangsaan, seperti pesta kuih bulan, pesta tanglung, pesta ponggal dan banyak lagi pesta mereka. Orang Islam (Melayu) langsung tidak bising sambutan tersebut akan mengtanglungkan atau mengponggalkan orang Melayu. Kenapa tidak dihargai toleransi ini? Apabila kita umat Islam nak buat sesuatu yang dilihat islamik, semua tidak boleh kerana akan berlaku proses pengislaman dan tidak menarik bukan Melayu ke sekolah. Apabila mereka berada di sekolah kebangsaan, berlaku proses pencinaan dan pengindiaan, orang Melayu tidak pula bising. Lebih pelik lagi wartawan ultra kiasu ini tidak pula mensensasikan berita-berita seperti ini. Budaya dan cara hidup mereka boleh menular dalam sebuah negara Islam, manakala cara hidup Islam dalam sebuah negara Islam tidak boleh dan perlu disekat. Pemikiran rimba apakah ini? Banyak lagi yang boleh disenaraikan, cukup sekadar ini dahulu.

Saya amat yakin, majoriti ibu bapa bersetuju  mewajibkan isu solat berjamaah ini dalam kalangan pelajar Islam. Yang tidak bersetuju ini hanya minoriti, yang tidak ada pengikut, tetapi mereka ini mempunyai payung besar. Kita tahu siapa yang memayung mereka dan orang besar di belakangnya. Justeru, tidak perlulah dilayan. Teruskan sahaja. Yang membimbangkan saya  ultra kiasu yang menentang ini, mereka juga terlibat dalam gerakan liberal dan tergolong dalam kalangan pengikut yang bersolat mengikut getaran hati. Hati-hatilah.   


Beza SK dengan SJKC

8:57 AM Posted by RIDHUAN TEE No comments
Beza SK dengan SJKC

Saya sangat sedih membaca berita viral dalam Sinar Harian online (23.11.17), bertajuk “Cikgu suruh pelajar buat kerja sendiri”.  Antara kandungannya, cikgu suruh buat kerja sendiri, tak belajar dan hanya main bersama rakan-rakan dalam kelas menjadi punca sebahagian besar pelajar tidak ke sekolah pada hari-hari terakhir sebelum menjelang cuti sekolah akhir tahun. Seorang murid tahun lima yang hanya mahu dikenali sebagai Haniff berkata, dia kini berselang-seli pergi sekolah kerana tidak tahu apa yang boleh dilakukan hinggalah sesi sekolah tamat.

Dia yang tinggal bersama neneknya hanya menjaga adik di rumah dan sudah dua hari tidak ke sekolah sejak minggu lalu. “Buat apa nak ke sekolah, bukan ada buat apa pun. Dahlah tak belajar, cikgu pun tak marah kalau ponteng. Tapi saya akan pergi juga sekolah, mungkin dalam tiga hari terakhir takut kalau ada apa-apa cikgu nak maklumkan.  “Kalau di sekolah ada aktiviti sukan, seronok juga. Ini tak ada apa-apa pun nak dibuat,” katanya ketika ditemui berjalan bersama rakannya di kawasan kedai di sini.
Seorang lagi murid tahun lima hanya mahu dikenali sebagai Azli berkata, jika ada aktiviti atau program makan-makan barulah dia mahu ke sekolahnya terletak di Puchong, di sini. “Bukan saya tak mahu pergi sekolah, memang tak ada buat apa pun. Hari-hari buat kerja sendiri di sekolah pun bosan juga. Bukan boleh pergi padang pun, kena duduk dalam kelas saja buat kami jemu dan bosan. “Kalau duduk di rumah boleh juga berjalan pergi kedai dan main di padang,” katanya.

Tinjauan terhadap seorang murid tahun enam yang hanya mahu dikenali sebagai Intan berkata, ada guru yang masuk ke kelas, namun murid disuruh membuat kerja sendiri. “Cikgu masuk kelas suruh keluarkan buku dan baca sendiri tanpa mengajar apa-apa. Manalah kami nak baca, lagipun Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dah habis, buat apa baca buku sekolah rendah lagi. “Takkanlah kami nak bawa buku teks tingkatan satu pergi sekolah, belum masanya lagi,” katanya.

Di sinilah beza antara sekolah aliran kebangsaan (SK dan SMK) dengan jenis kebangsaan (SJKC/T). Selepas sahaja tamat peperiksaan akhir tahun atau peperiksaan formal (PT3), boleh dikatakan rata-rata pelajar pelajar di sekolah aliran kebangsaan tidak belajar, sama ada sekolah aliran rendah mahupun menengah. Guru-guru sibuk memeriksa kertas peperiksaan. Selepas memeriksa, masa terluang dibiarkan begitu sahaja. Ada dalam kalangan guru-guru masuk ke kelas tidak lagi mengajar. Tidak kurang yang asyik bermain telefon pintar.

Ini menjadikan murid-murid tidak mahu ke sekolah. Apa ditanya kenapa tidak mahu ke sekolah, maka jawapannya; “buat apa pergi ke sekolah, bukan belajar pun”. Lebih kelakar lagi mereka melihat ada guru-guru yang merokok di depan pelajar tanpa segan silu

Beza sungguh SK dengan SJKC. Pergilah ke SJKC, kita akan dapat melihat bahawa guru-guru SJKC sibuk mengadakan kelas ulang kaji untuk pelajar-pelajar yang akan menaiki kelas tahun seterusnya. Pendek kata, pengajaran dan pembelajaran berjalan seperti biasa. Semakan kertas peperiksaan dibuat di rumah.

Murid-murid SJKC semua teruja pergi ke sekolah, kerana di sekolah, cikgu masuk ke kelas dan mengajar mereka subjek yang akan diambil tahun seterusnya. Beginilah keadaan SJKC untuk memastikan sekolah mereka terus relevan dengan arus perdana dan berada pada tahap kecemerlangan.

Peliknya kenapa budaya sebegini tidak ada di SK. Apa sudah jadi dengan SK. SK hanya teruja melihat selepas keputusan peperiksaan diumumkan, mereka mahu melihat berapa A yang diperolehi, peratusan meningkat atau tidak. Matlamat mereka bukan mendidik tetapi melihat keputusan peperiksaan.

Tanda aras ini juga digunakan untuk menilai kecemerlangan sesebuah sekolah dan guru-guru. Sehinggakan PIBG pun terikut-ikut. PIBG berbangga kerana dapat menyediakan kemudahan tambahan prasarana sekolah. Sedangkan matlamat PIBG bukanlah ke arah itu sebenarnya. Lebih malang lagi dalam kalangan YDP PIBG mereka sibuk menubuhkan kumpulan whatsApp dan berbangga dengan pencapaian membantu kemudahan fizikal sekolah. YDP inilah yang diangkut ke sana ke mari untuk menceritakan kehebatan dan kejayaan mereka bersama membangunkan kemudahan sekolah. Tumpuan kepada pembentukan saksiah dan akhlak seolah-olah dilupakan. 

Adakah tangungjawab PIBG membina kemudahan tambahan atau bangunan sekolah? Bukankah persatuan PIBG ditubuhkan untuk membantu sekolah membina saksiah anak-anak sekolah. Kenapa sistem pendidikan kita begitu jauh beza dengan SJKC, jangan dibanding dengan di negara maju seperti Jepun, dan sebagainya.

Pendidikan Jepun sentiasa menerapkan making people making product, membina insan sebelum mengeluarkan produk. Prinsip inilah yang banyak membantu negara ini pantas bergerak maju, bahasa dan budaya Jepun mengakar. Sedangkan kita masih tidak ke mana-mana seolah-olah tiada hala tuju. Isu aliran mana lebih baik sama ada sekolah aliran kebangsaan atau aliran Inggeris masih ternganga-nganga. Nak pilih yang mana satu? Aliran kebangsaan atau Inggeris? Pelik sungguh, dalam sebuah negara berasaskan sistem kenegaraan Melayu. Berada dalam kepulauan Melayu, masih tidak boleh membezakan, pendidikan menggunakan bahasa manakah yang terbaik. Tertanya-tanya saya, Malaysia terletak di kepulauan Inggeris atau kepulauan China?

Saya sangat teruja menyorot pengalaman, Ow Yong Kean Guan (2001) yang pernah belajar di Jepun. Persoalan yang sepatutnya kita fikirkan, mengapa Jepun boleh menjadi kuasa ekonomi dunia dalam jangka masa pendek? Sistem pendidikan apa yang dipakai? Begitu juga kejayaan Jepun boleh keluar sebagai sebuah negara maju dalam jangka masa pendek selepas Hirohima dan Nagasaki menjadi padang jarak, padang tekukur ketika Perang Kunia Kedua 1945?

Sistem pendidikan mereka telah terbukti berjaya dan berkesan. Peliknya, kita tahu mereka yang terbaik, kenapa tidak mencontohi Jepun. Sekurang-kurang diubahsuaikan mengikut kehendak tempatan. Pendidikan di Jepun mewajibkan rakyat mereka mendapat pendidikan antara enam hingga 15 tahun. Sembilan tahun pendidikan wajib ini dilalui dan ia meliputi enam tahun sekolah rendah dan tiga tahun sekolah menengah bawah.

Guru sekolah rendah di Jepun dihormati dan dihargai. Segala kemudahan dan insentif diberikan. Pada tahap rendah inilah pembinaan insan bermula, bukan setelah menjadi buluh.  Lebih mengkagumkan lagi, guru sekolah rendah mungkin mendapat gaji yang lebih tinggi berbanding dengan pensyarah universiti yang baharu mula berkhidmat.

Boleh dikatakan semua guru sekolah rendah mempunyai ijazah. Sebahagian kecil sahaja yang tidak mempunyai ijazah. Itupun mereka sangat digalakkan untuk menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Mungkin sukar untuk kita mencontohi sekolah di Jepun kerana hanya mempunyai satu sesi disebabkan oleh keadaan cuaca mereka, tetapi tidak mustahil. Negara kita pun sebenarnya tidak ada masalah sekiranya kita banyak melaburkan untuk pendidikan. Modal insan inilah yang akan membangunkan negara jika diberi acuan yang baik.

Justeru, saya mencadangkan, pertama, saya perbanyakkan pembinaan bangunan sekolah, agar sekolah mempunyai satu sesi sahaja dapat direalisasikan. Jika masalah bahasa Inggeris yang menjadi keutamaan, dengan adanya sekolah satu sesi, masa untuk pembelajaran dan pengajaran bahasa asing boleh ditambah, bukannya dengan merubah sistem, menjadikan bahasa Melayu ibarat melukut di tepi gantang.

Kedua, selepas tamat peperiksaan, kelas-kelas mesti ‘hidup’ seperti biasa. Kenapa terlalu berorientasikan peperiksaan? Bagaimana dengan pembinaan insan? Pendidikan agama, akhlak dan moral mesti diberikan. Kelas-kelas tidak boleh ditinggalkan kosong. Di Jepun, komitmen guru mereka sangat tinggi. Mereka bekerja sehingga lewat petang. Hari minggu pun, mereka turut bekerja membimbing pelajar dalam kegiataan ko-kurikulum.

Ketiga, lihat bagaimana Jepun melatih anak-anak sekolah. Sekiranya murid itu terlalu kecil, seperti tahun satu. Mereka akan dibawa ke sekolah oleh ibunya (kyoiku mama). Mereka dikehendaki berjalan kaki ke sekolah atau mengambil pengangkutan awam. Bagi murid yang lebih besar, mereka akan berbasikal ke sekolah. Keinginan ibu bapa untuk anaknya berjaya di sekolah sangat jelas, sehingga mereka dikenali sebagai kyoiku mama, bermaksud ibu pendidikan.

Menurut Ow lagi, kadangkala, terdapat ibu yang pergi ke kelas tuisyen yang sama dengan anaknya supaya dia boleh membimbing anaknya dalam pembelajaran. Pendek kata, kerja sama antara ibu dan guru begitu rapat. Mereka turut sama bertanggungjawab dalam aspek keselamatan jalan raya dengan bertugas di tepi simpang jalan raya untuk memastikan bahawa murid sekolah melintas dengan selamat.

Selain itu, disiplin sekolah boleh dikatakan ketat dan dijalankan tanpa ketakutan atau kecenderungan. Kelas sekolah rendah dipecahkan kepada beberapa waktu dalam sehari. Setiap waktu adalah 45 minit. Waktu rehat sepanjang 10 hingga 20 minit dikhaskan antara waktu pengajaran dan pembelajaran.

Di Jepun, murid di sekolah rendah tidak dikelaskan mengikut pencapaian akademik mereka. Ia bertujuan untuk mengurangkan lagi perbezaan antara kelas ‘pandai’ dan kelas ‘bodoh’. Pada masa sama, menghilangkan persepsi guru apabila mengajar kelas ‘pandai’ berbanding dengan kelas lemah atau ‘bodoh’.

Dengan cara ini, menurut Ow, kelas dipecahkan kepada kumpulan kecil di mana bukan sahaja murid lelaki dan perempuan dicampur dalam kumpulan yang sama, malah pencapaian akademik mereka sengaja dijadikan heterogenus atau kepelbagaian.

Tambah beliau lagi, satu lagi keistimewaan ialah tidak ada ketua darjah yang tetap sepanjang tahun. Semua murid diberi peluang merasakan beban tanggung-jawab sebagai seorang ketua darjah. Satu ciri istimewa sekolah rendah Jepun ialah walaupun terdapat dapur sekolah, tetapi tiada kantin sekolah! Murid dan guru makan dalam bilik darjah masing-masing. Apa yang menarik ialah pengendalian, pengagihan, dan layanan makanan dilakukan seratus-peratus oleh murid kelas yang terbabit.

Pada waktu rehat makan, makanan yang siap dimasak di dapur sekolah oleh tukang masak (diupah oleh sekolah), dibawa ke kelas masing-masing melalui troli oleh wakil murid kelas. Murid yang tinggal dalam kelas akan mengatur dan menyediakan kerusi meja untuk sesi makan.

Menu makanan diumumkan lebih awal lagi. Satu sampel makanan mesti disediakan dan dipamerkan di tempat khas. Ini bertujuan bagi memudahkan mereka membuat siasatan sekiranya terdapat makanan yang tercemar atau keracunan makanan. Selain itu, sepanduk dan carta yang mencerminkan matlamat sekolah, kelas atau kumpulan sering dilihat di dalam bilik darjah mahupun di luar.

Masya Allah, hebat sungguh pendidikan di Jepun, kenapa kita tidak mengambil iktibar? Mereka sangat konsisten. Kita pula bagaimana? Sistem pendidikan seolah-olah diperjudikan. Kejap kekal, kejap berubah, macam Yo Yo. Jika ada NGO yang kuat sikit, mendesak dan menekan, kita pun goyang, seperti NGO yang mahu kita beralih semula kepada aliran Inggeris. Begitu juga dalam soal pengiktirafan UEC. Kenapa perlu takut kepada mereka? Dasar tetap dasar. Perlembagaan tetap perlembagaan. Sebab itu saya tabik dengan pendidikan di negara maju dan negara sedang membangun seperti Thailand dan Indonesia. Jati diri mereka mengakar dan tidak diperjudikan.

Justeru, saya pohon dan rayu, jangan perjudikan sistem pendidikan. Apabila berubah menteri, maka berubah sistem. Masing-masing mahu menunjukkan dan meninggalkan legasi mereka. Akhirnya, anak-anak menjadi mangsa.

Berapa ribu rakyat Malaysia yang telah dihantar ke Jepun dan luar negara untuk mencari ilmu dan menimba pengalaman, kenapa tidak mengambil iktibar? Jangan sampai orang kata “buang beras sahaja”. Wang habis berjuta menghantar rakyat ke luar negara, tetapi kita tidak mengambil pengajaran.

Kepada cikgu-cikgu aliran kebangsaan, sudah sampai masanya kita berubah. Keluarlah daripada zon keselesaan. Perkhidmatan perguruan hari ini lebih baik daripada kami sebagai pensyarah universiti, meskipun kami berada di Institusi Pengajian Tinggi. Cikgu-cikgu boleh baik pangkat dan naik gaji menggunakan time based, kami belum tentu lagi. Semua bergantung kepada KPI. Selain daripada pengajaran dan pembelajaran, kami dipantau daripada sudut penyelidikan, penerbitan dan khidmat masyarakat.


Sudah sampai masanya, kita tidak hanya memikirkan soal berapa ramai yang dapat straight A, tetapi berubah kepada berapa ramai yang berakhlak A? Sedih membaca berita saban hari, pelajar sekolah rendah dan menengah merokok dan melahirkan anak dalam tandas. Rupanya, cikgu juga tumpang semangkok. Saya tidak kata semua, tetapi itulah hakikatnya. Lebih sedih melihat ramai cikgu-cikgu yang merokok, termasuk merokok di depan murid. Jika cikgu kencing berdiri, murid pula bagaimana? Dia bukan sahaja kencing berlari, tetapi terus naik ke atas pokok dan kencing ke atas kepala cikgunya. Pergilah melawat SJKC, belajarlah dan ambillah iktibar. Saya kerap kali menyindir dan menentang aliran vernacular (SJKC), tetapi itu bukan bermakna, saya buta dengan kelebihan dan kebaikan mereka, kerana anak-anak saya ramai yang belajar di sana. Mereka boleh mempelajari ahasa Cina, tanpa melupakan akar tunjangnya iaitu Bahasa Melayu.

Siapa Untung Bila Cina Fasih BM?

8:56 AM Posted by RIDHUAN TEE No comments
Siapa untung bila Cina fasih BM?

Siapa yang untung atau memperolehi manfaat jika orang Cina menguasai dan fasih BM? Sayakah yang selalu mengingatkan dan disalahkan atau siapa? Sudah tentu orang Cina. Saya hanya menzahirkan nasihat sahaja untuk kebaikan mereka. Kenapa setiap kali saya menjelaskan realiti BM mereka berasaskan fakta, saya juga  yang dimangsakan? Akhbar dan laman sosial mereka sering memutar-belitkan artikel saya sedangkan niat saya baik?

Saya salah apa? Saya bercakap perkara benar, bukan menipu atau melakukan jenayah.  Apakah kita tidak boleh ditegur langsung atas perkara yang sepatutnya ditegur. Saya bercakap pasal pembinaan negara bangsa, bukan membina empayar. Apa guna empayar kekayaan dan perniagaan tinggi melangit, jika kita miskin dalam pembinaan negara bangsa? Apabila ditanya wartawan satu soalan dalam BM, terus bercakap dalam bahasa lain.

Bandingkan dengan jutawan Cina di Indonesia. Sehingga saya tidak boleh kenal, sama ada dia orang Cina atau orang Indonesia, walaupun sangat jelas dia seorang Cina. Cuba lihat Basuki Thahaja Purnama atau lebih dikenali sebagai Ahok kerana Cinanya iaitu, bekas gabenor Jakarta. Kenapa beliau sangat disukai oleh orang Indonesia meskipun berketurunan Cina? MCA dan ultra kiasu jawab.

Jika Cina menguasai dan fasih BM, pasti mereka disukai  ramai dan pasti rezeki mereka datang mencurah-curah. Psikologi manusia memang begitu bila ada bukan Melayu fasih berbahasa Melayu, mereka akan mudah didekati malah akan dipuji. Akan keluar kata-kata “pandai sungguh saudara berbahasa Melayu”. Sama seperti orang Melayu pandai berbahasa Cina, sudah tentu mudah didekati dan akan dipuji, “bagusnya kau pandai berbahasa Cina”.  Ini realiti dan lumrah.

Saya masih teringat ketika zaman kanak-kanak, apabila kami orang Cina berjumpa dan bercakap berbual dalam BM, maka akan ditegur oleh Cina yang lain, “tengok sesama Cina cakap melayu, tak lama lagi masuk Melayu lah dia”.  Dalam maksud, kepada orang Cina jika sesama mereka bercakap BM, itu suatu perkara yang ganjil dan seolah-olah ‘tidak dibenarkan’.

Sama seperti jika orang Melayu bertemu Melayu, bercakap bahasa Cina sesama mereka, akan berbunyilah kata-kata, “bila dia masuk Cina”. Saya pernah mendengar terserempak dengan insiden, sesama Cina Muslim berbual dalam bahasa Cina di masjid, tiba-tiba datang seorang Melayu menegur dengan kata-kata “tidak boleh cakap Cina di masjid”. Maknanya, dalam masjid hanya boleh bercakap dalam bahasa Melayu dan Arab sahaja.

Salah faham ini perlu diperbetulkan. Saya tidak boleh bayangkan jika ada masjid di negara ini menyampaikan khutbah dalam bahasa Cina seperti Masjid India berkhutbah dalam bahasa Tamil, mungkin menjadi lebih ganjil. Sebab khutbah dalam bahasa Tamil, boleh dikatakan biasa juga kita dengar, tetapi khutbah dalam bahasa Cina, agak jarang kedengaran kecuali di negara China.

Begitulah ceteknya kita melihat dan menilai sesuatu perkara berkaitan bahasa, sedangkan menguasai bahasa adalah suatu kredit atau kelebihan. Justeru, kita perlu rasional apabila saya menegur. Saya menyeru pemimpin Cina, terutama mereka yang suka mensensasikan berita mengenai tulisan saya, marilah kita berdialog dan berdebat, mengenai kepentingan menguasai BM sebagai bahasa perpaduan dalam sebuah negara yang meletakkan kepentingan BM sebagai bahasa negara.

Amat tidak beretika mereka mensensasikan tulisan saya supaya masyarakat membenci saya. Mari kita bersama tegakkan pembinaan negara bangsa dan menyahut harapan pemimpin negara, terutama Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri yang sentiasa mengingatkan kita semua sebagai rakyat Malaysia yang mahukan perpaduan sentiasa terjalin demi kestabilan dan pembangunan negara bangsa tercinta. Jika orang Cina menguasai BM, banyak manfaat akan diperolehi antaranya adalah;

Pertama, mereka akan dapat menguasai BM dan tambahan satu lagi bahasa untuk mereka. Mereka lebih mendahului saranan agama Islam yang mahukan kita menguasai banyak bahasa. Ia memberikan banyak kekuatan daripada kelemahan. Pergilah bertanya kepada orang Cina yang menguasai BM, apakah keuntungan yang mereka perolehi bila fasih BM? Jika mendiang Lee Kuan Yew masih hidup, juga boleh bertanya kepada anaknya yang menjadi Perdana Menteri Singapura sekarang, apa kelebihan bila fasih BM dan pada masa sama boleh membaca tulisan jawi?

Sesungguhnya orang yang paling beruntung bukanlah orang Melayu tetapi orang bukan Melayu (Cina atau India) yang hidup dalam negara majoriti Melayu. Jika mereka dapat menguasai BM, paling kurang mereka akan menguasai tiga bahasa, Bahasa Melayu, bahasa Inggeris, bahasa ibunda, bahasa dialek mereka, dan bahasa-bahasa lain yang dipelajari. Orang Melayu hanya dapat menguasai dua bahasa iaitu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, itupun mujur.

Kedua, mereka akan menjadi orang yang mudah didekati dan lebih “dipercayai”. Memahami psiki orang Melayu, selalunya mereka amat selesa dengan orang sebegini. Sebab itu, Cina di Kelantan dan Terengganu, kehidupan mereka dengan orang Melayu seperti adik-beradik. Bukan macam masyarakat bandar di sini, penuh dengan prejudis dan prasangka. Depan nampak baik, di belakang menikam.

Pergilah bertanya kepada penduduk Sabah dan Sarawak, kenapa perpaduan mereka sangat mantap atau mereka telah mendahului gagasan 1Malaysia? Jawapannya sangat mudah, perpaduan terjalin melalui bahasa, selain toleransi yang lama tersemat. BM adalah medium terbaik mereka. Bayangkan,setiap bumiputera di sana meminta sekolah mereka sendiri berasaskan etnik?

Bagaimana keadaan Sabah dan Sarawak hari ini? Beruntunglah wahai saudara secinaku di sana, walaupun sangat minoriti berbanding dengan majoriti bumiputera di sana, mereka masih tidak ada sekolah berasaskan etnik, sedangkan orang Cina ada. Toleransi apakah ini, jika bukan datang daripada hati yang ikhlas. Sepatutnya, kita tidak layak membina sekolah di sana, sebab kita datang berhijrah, mereka adalah tuan rumah. Namun, inilah realitinya.

Ketiga, bisnes mereka akan menjadi bertambah maju kerana orang Melayu akan menjadi lebih selesa untuk datang ke kedai mereka. Misalnya, kedai adik-beradik saya sentiasa menjadi perhatian orang Melayu, kerana orang Melayu amat selesa dengan adik-beradik saya. Sebabnya, fasih BM.

Begitu juga ketika aruah ibu bapa saya berniaga di kampung Melayu, memang orang Melayu suka dengan kami. Kedai kami sentiasa menjadi perhatian dan kunjungan orang Melayu. Mereka sanggup meninggalkan kedai saudara sebangsa yang turut sama berniaga bisnes kedai runcit.

Tidak perlulah saya bercerita, bagaimana orang Melayu yang berhutang tetapi tidak mahu bayar, mencuri barang kedai kami dan banyak lagi perbuatan yang tidak manis untuk diceritakan di sini. Pendek kata, apabila kita menguasai sesuatu bahasa yang bukan bahasa kita, maka kita akan disenangi.

Sama seperti penyanyi Shila Amzah, apabila beliau berkebolehan menyanyi dalam bahasa Cina, beliau disukai, mudah didekati dan dapat melebarkan sayap hingga ke negara China. Maknanya, menguasai bahasa mendatang keuntungan bukan kerugian. Saya tidak fikir Shila Amzah boleh menjadi terkenal di sini hanya berkebolehan menyanyi dalam bahasa Cina. Beliau begitu selesa diterima di China, kerana seorang gadis bertudung berkeupayaan menguasai bahasa Cina. Sudah pasti Cina di China begitu selesa.

Keempat, BM bahasa yang sangat mudah dikuasai. Tidak hairanlah jika pekerja asing seperti Bangladesh, Pakistan, Myanmar dan Nepal, sangat mudah menguasai. Kenapa kepada rakyat bukan Melayu di negara sendiri merasa begitu payah dan mensia-siakannya. Terkini, ketika mengikuti Seminar Konfucius anjuran Kedutaan China di Malaysia, berlangsung di UniSZA, pembentangnya daripada negara China, bersekali membawa penterjemahnya iaitu Cina daripada China yang menguasai BM dengan baik untuk menterjemahkan kata-katanya. BM penterjemahnya sangat fasih. Kenapa Cina di China boleh menguasai BM dengan fasih, Cina di sini amat sukar? Justeru, bersangka baiklah terhadap BM.

Apabila Kementerian Pendidikan menghantar guru BM dan BI yang tidak ada kredit mandarin, jangan dihalang atau ditentang mereka. Biarkan mereka terus mengajar, janji mereka professional dan pakar dalam bidang. Marva Collins pernah berkata, the good teacher makes the poor student good and the good student superior. Proses pencinaan yang keterlaluan perlu dicairkan sedikit.

Tidak mengapalah ‘kurang pandai’ sedikit dalam bahasa ibunda. Anak saya semuanya boleh berbahasa Cina kerana mereka semua datang daripada SJKC, saya melihat itu suatu kredit untuk mereka. Tetapi saya mesti memastikan mereka pandai dalam BM. Sebab, kami anak Malaysia. Kesannya, anak saya mudah didekati dan dimesrai oleh orang Melayu dan Cina.

Kesimpulan, saranan saya datang daripada hati untuk untuk menyakiti. Apa yang saya dapat jika terus menyakiti hati Cina melain permusuhan dan kebencian. Ini tidak baik untuk pembangunan negara bangsa, Malaysiaku tercinta. Lebih-lebih ia tidak memberikan imej yang baik terhadap dakwah. Tidakkah sedikit mereka dapat melihat, tujuan disebalik setiap artikel yang dituliskan. Siapakah yang merasai keuntungan jika orang Cina fasih berbahasa Melayu? Sayakah yang untung atau siapa? Kenapa tidak disambil sesuatu yang positif setiap kali saya melontarkan idea dan menukilkan kata-kata? Pohon saya, berhentilah dengan beranggapan bahawa BM tidak ada nilai komersial. BM adalah bahasa negara, bahasa perpaduan untuk kita semua.

Saya juga amat mengharapkan GLC kerajaan seperti TM Points, CIMB dan GLC lain, mendahului mendaulatkan BM bermula sekarang. Sedih sekali mengikuti  Perhimpunan Agung MCA selama dua hari baru-baru ini, tidak ada pun pemimpin dan perwakilan mereka membangkitkan akan pentingnya orang Cina menguasai BM seperti yang disaran oleh oleh Sultan Perak, PM dan TPM.