Semua artikel adalah pendapat peribadi. Anda berhak untuk tidak meneruskan bacaan atau tidak mengakseskan blog ini serta merta jika anda tidak bersetuju dengan pemikirannya. All the articles written are the personal views. You have absolute rights not to continue reading or to discontinue accessing this blog immediately if you are disagreeable with the personal views.

Tuesday, December 19, 2017

Tugas berat menanti Neelofa di Air Asia

8:13 PM Posted by RIDHUAN TEE No comments
Artikel ini diterbitkan setiap Isnin di laman portal Ismaweb

Saya ucapkan tahniah kepada CEO Air Asia kerana melantik Neelofa, seorang celebriti  dan usahawan terkenal dengan imej bertudung, sebagai pengarah bebas eksekutif AirAsia. Tahniah juga kepada Neelofa yang telah dilantik. Tugas berat menanti Neelofa untuk sedikit sebanyak mengubah imej AirAsia.

Dengan melantik seorang usahawan bertudung memakai pakaian menutup aurat, saya percaya CEO air Asia mempunyai pandangan yang positif dan percaya kewajipan menurut badan dalam kalangan wanita Islam yang bekerja di sana. Seperti kata Neelofa, pencapaian ini bukan untuk saya seorang tetapi untuk semua wanita di luar sana.

Justeru selepas ini, jagalah martabat wanita.  Saya harap selepas ini paramugari Islam Air Asia juga akan diberikan kebebasan untuk menutup badannya sekalipun tidak bertudung. Saya juga amat mengharapkan Neelofa akan melontarkan cadangan ini kepada Air Asia.

Amat malang sekali apabila anak-anak gadis kita bukan sahaja tidak bertudung tetapi dibiarkan memakaikan skirt singkat di atas paras lutut dan baju terlalu ketat dengan dada yang terbuka. Kecualilah mereka suka buka-buka.

Kadangkala begitu jelek melihat di KLIA2, wanita berpakaitan merah dengan skirt yang terlalu pendek dan dada terbuka. Begitu kebaya putih yang begitu jarang dengan kain terbelah tanpa jahitan.

Bila menaiki ERL bersama, terkulat-tukat di bangku ERL untuk memanjangkan skirt yang pendek tersebut dan merapatkan pehanya serapat-rapat agar tidak terbuka. Jika itu diterima sebagai norma, duduk sahaja lah dengan skirt yang terbuka, kenapa menjadi terkulat-kulat dan merapatkan peha.

Saya amat yakin jika Air Asia dapat mengenakan etika berpakaian bersopan, maka semakin ramai, pakcik dan makcik, pak aji dan mak aji akan memilih Air Asia. Berilah pilihan kepada paramugari yang ingin menutupi badannya daripada terbuka luas

Tersangat pelik, pakaian paramugaranya begitu menutupi badan sehingga hanya menampakan muka dan tapak tangan. Sebaliknya, paramugari begitu terbuka, ketat, sendat, seksi dan terbuka. Mahu jual apa sebenarnya?

Saranan ini juga selaras dengan cadangan Senator Hanafi Mamat yang mencadangkan kerajaan supaya memperkenalkan peraturan pakaian patuh syariah kepada pramugari di semua syarikat penerbangan Malaysia selaras dengan pengiktirafan Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

Beliau berkata lagi, sudah tiba masanya kerajaan menyediakan peraturan pakaian baharu supaya dapat memberi gambaran Malaysia sebagai negara Islam dan memegang ciri-ciri budaya Timur yang kuat. Saya sangat teruja dengan pandangan ini.

Sedih sekali mendengar respon Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Malaysia (Nufam), sebarang langkah mengubah pakaian seragam anak kapal syarikat penerbangan supaya ia mematuhi kehendak Islam hanya boleh dilakukan melalui syarikat baharu yang terikat dengan pengawasan kualiti menurut syariah. Nufam berkata gesaan seperti itu tidak wajar dan menyalahi amalan memberikan kebebasan kepada kakitangan.

Soal pakaian seragam, bukan isu kebebasan kepada kakitangan tetapi ditetapkan oleh syarikat terbabit. Mereka mahu mengubahnya atau tidak?

Menurut Nufam, apa yang diamalkan hari ini tidak boleh diubah kerana syarikat ditubuhkan atas konsep berlainan. Konsep apa yang dimaksudkan. Membelah dan mendedah? Kenapa skirt yang sepatutnya dibawah paras lutut tetapi disingkatkan sampai atas lutut. Bila pula kebebasan tersebut diberikan, menggunting skirt yang sepatutnya dipanjangkan.

Saya bukan maksudkan pemakaian tudung tetapi cukuplah bersopan mengikut nilai-nilai ketimuran. Hak individu apa yang dimaksudkan kerana mereka yang bekerja di sana terpaksa memakai uniform yang telah ditetapkan? Kata Nufam lagi, biarlah pakaian tudung itu juga bersesuaian dengan tempat kerja juga? Adakah industri penerbangan tidak sesuai bertudung. Cuba kaji berapa banyak kapal terbang yang membenarkan kakitangannya bertudung. Nufam ini buat kajian ke tidak.

Budaya berpakaian ala-timur ini bukan hanya perlu dikuatkuasakan dalam sektor penerbangan sahaja tetapi dalam sektor-sektor lain. Kadangkala sangat memualkan, sudah ada notis, “sila berpakaian sopan, apabila berurusan dengan pejabat kerajaan”.

Malangnya, masih ada mangkok hayun yang tidak faham, datang berurusan dengan pejabat kerajaan dengan pakaian yang sangat seksi dan berseluar pendek. Kependekkan seluar sersebut, seolah menampakkan sebenarnya mereka tidak berseluar.

Kita jauh sekali mahu menjadi sebuah negara taliban dengan menguatkuasakan peraturan sebegini, tetapi sekadarkan menunjukkan ciri-ciri ketimuran yang berbeza dengan nilai kebaratan.

Sepatutnya perkara ini sudah lama dikuatkuasakan. Siapa yang berkuasa sebenarnya? Syarikat penerbangan atau pihak yang mengeluarkan lesen. Kita yang berkuasa meluluskan semua lesen dan permohonan. Takkan kita tidak boleh mengenakan beberapa syarat mengikut norma dan nilai murni masyarakat timur, kecualilah sekiranya kita terlalu elergi dengan nilai-nilai Islam.

Sama juga isu pihak berkuasa tempatan yang meluluskan pelan-pelan bangunan. Takkan tidak terfikir langsung nama-nama bangunan yang langsung tidak  mencerminkan jati diri Malaysia. Begitu juga dengan kedudukan surau yang sangat menyusahkan untuk umat Islam yang membeli-belah untuk bersembahyang kerana diletakkan di lokasi yang sangat tersorok seperti yang saya bangkitkan sebelum ini.

Lagipun kalau dilihat secara mendalam, kebanyakan pengerusi syarikat-syarikat besar seperti syarikat penerbangan ini, selalunya terdiri daripada mereka beragama Islam. Mereka inilah yang dipergunakan menduduki jawatan pengerusi eksekutif bagi memudahkan urusan mendapat bisnes, tender, kontrak dan lesen.

Apakah pengerusi-pengerusi yang dilantik ini sudah lupa dengan nilai-nilai ketimuran dan keIslaman. Takkan dengan elaun yang diberikankan membutakan mata kita sehingga tidak dapat membezakan mana dia baik dan mana dia buruk. Bersuaralah dan beri pandangan untuk menyelamatkan anak-anak Melayu daripada terlalu kebaratan.

Lebih jahil lagi apabila  membaca kolumnis The Malay Mail Online yang berkata pramugari yang menutup aurat belum tentu dapat menyelamatkan kapal terbang dari terhempas. Jika begitulah keadaan, tidak ada sebarang kemalangan yang akan berlaku di Mekah dan di Madinah kerana di situ terletaknya kaabah dan makam baginda Rasulullah s.a.w.  Begitu juga tsunami  tidak akan berlaku di Acheh kerana di situ terdapat ramai umat Islam. Ternyata beliau teramat jahil merukab dalam memahami qada dan qadar. Orang sebegini hanya Islam pada namanya sahaja.

Kita sedang soal kesopanan dan kesusilaan sesuai dengan nilai-nilai ketimuran, tiba-tiba sijahil ini bercakap soal kapal terbang terhempas atau tidak.

Apakah ada berpandangan pelancongan datang untuk menyaksikan keseksian paramugari kita. Jika demikian keadaannya, amat lah malang, kerana di barat bukan sahaja mereka seksi tetapi boleh bertelanjang, malah berbogel sekalipun.

Seperti yang selalu saya sebutkan tidak ada satu agamapun yang menggalakkan berpakaian seksi kecuali kita terpengaruh dengan budaya negatif barat. Semua agama mahukan kita berpakaian sopan. Cuma agama Islam lebih terkehadapan mahukan kita menutup aurat.

Lebih pelik lagi, begitu sedih menaiki kapal terbang tempatan kita, lagu-lagu dan muzik yang dipasangkan langsung tidak mencerminkan semangat Malaysia. Kebanyakan senarai lagu-lagu yang diputarkan ketika berlepas dan mendarat adalah lagu-lagu barat yang kadangkala senikatanya begitu lucah.

Adakah kita sudah ketandusan lagu-lagu dan muzik tempatan sehingga menyebabkan langsung seni budaya kita tidak dimain dan diputarkan dalam kapal terbang? Saya sangat teruja lagu-lagu etnik Malaysia diputarkan, tidak kiralah Melayu, Cina, India, atau Bumiputera Sabah Sarawak. Pokoknya melambangkan Malaysia bukan barat. Saya amat yakin mereka yang ke Malaysia mahu mendengar semua ini. Bukan muzik dan budaya mereka yang sudah basi dan jemu.

Sudah sampai masanya kita berubah. Juallah kediversitian negara kita. Jangan terlalu kebaratan. Akhirnya, nanti menjadi kekeparatan. Sedih bila mendenganr puteri umno menggunakaan istilah ‘kekerajaanan’. Adakah terdapat istilah ini?

Saya harap teguran ini diambil secara serius kerana dalam sebuah negara demokrasi, semua berhak memberikan pandangan secara umum sama ada dia pakar atau tidak. Paling baik, memanglah sepatutnya pakar yang memberikan pandangan secara mendalam. Tetapi apabila pakar berdiam diri, akhirnya terpaksalah yang bukan pakar umum bercakap.

Tetapi bila bukan pakar bercakap, jangan pula memangsakan mereka. Kerana mereka ada hak untuk bercakap. Kecualilah kita mengamalkan sistem komunis.

Kepada Neelofa, tahniah! Lakukanlah yang terbaik untuk Air Asia.




0 comments: