Semua artikel adalah pendapat peribadi. Anda berhak untuk tidak meneruskan bacaan atau tidak mengakseskan blog ini serta merta jika anda tidak bersetuju dengan pemikirannya. All the articles written are the personal views. You have absolute rights not to continue reading or to discontinue accessing this blog immediately if you are disagreeable with the personal views.

Monday, July 25, 2016

Antara seksi dan hedonisme

7:37 AM Posted by RIDHUAN TEE 1 comment
Antara seksi dan hedonisme (Sinar Harian 25 Jul 2016)

Semua yang ada di dunia ini adalah ciptaan dan kurniaan Allah. Seksi atau tidak, cantik atau hodoh, buruk atau baik, ajal maut dan sebagainya. Faham belaka. Persoalannya, wajarkah seksi itu dipertontonkan atau diperagakan?

Apatah lagi jika seksi ditambah gedik. Hebat sungguh mendengar pemimpin ultra kiasu Melayu berkata kenapa perlu teruja dengan seksi? Dia faham atau tidak maksud seksi?

Mungkin ultra kiasu ini perasan dia kacak, sehingga mungkin ada lelaki lain turut tergoda. Adakah ini juga ketentuan Tuhan jika kita sengaja menggoda? Ya, memang Allah ‘membenarkan’ penggodaan tersebut.

Seperti mana ajal maut ditangan Tuhan. Apakah tidak maut jika dalam keadaan tidak tahu berenang, kita perlu terjun di laut dalam? Bila dah maut, maka kita pun berkata, “dah ajal Tuhan”. Tuhan sentiasa “dimangsakan”. Perbuatan buruk kita yang sengaja dilakukan bagaimana?

Ini kejahilan pemimpin bila tidak menggunakan otak bila bercakap. Adakah orang sebegini layak memimpin sebuah negeri atau negara? Biar rakyat yang menentukan.

Isu utama bukan soal seksi atau tidak? Mencemar bulan syawal yang mulia seolah-olah bulan lain tidak mulia? Asasnya, hari, bulan dan tahun yang dijadikan oleh Allah semuanya mulia. Tidak timbul soal ada hari yang mulia atau ada yang tidak mulia.

Kita disunatkan puasa Isnin Khamis, sedangkan Jumaat adalah penghulu segala hari. Adakah ini bermakna Jumaat tidak mulia? Bagaimana hari yang lain, termasuk Ahad yang dimuliakan Kristian? Bagaimana pula  negeri yang bercuti Jumaat dan Ahad?

Seolah-olah dalam Islam ada masa tertentu buat baik, ada masa tertentu buat jahat. Jika begitu caranya, rosaklah Islam. Isu pokok bukan soal seksi atau hari dan bulan, tetapi soal budaya berhibur atau hedonisme.

Jiran saya terkejut apabila saya berkata di rumah saya tidak ada siaran TV sama ada berbayar atau percuma. “boleh hidup ke tanpa TV dan radio”, katanya. Saya jawab, “tak matipun, zaman hutan dahulu mana ada semua ini, manusia hidup juga”.

Kenapa ada pemimpin cuba mempertahankan? Inilah yang saya pelik. Jika terlalu mahu menjaga kuasa, kedudukan dan sokongan ultra kiasu, duduk diam sahajalah. Tidak perlu mengeluarkan kata-kata menyesatkan orang. Hina sangat.

Apakah kita sudah kekeringan artis tempatan sehingga terpaksa berbelanja begitu banyak wang mengimport artis luar? Apakah benar lirik dan lagunya begitu hebat? Sejak bila pula ultra kiasu ini menonton siseksi dan sigedik tuh? Apakah beliau salah seorang peminatnya? Saya tidak menolak hiburan, tetapi menolak hiburan melampau.

Inilah yang dikatakan hedonism mengundang kepada shopaholic. Golongan ini beranggap wang boleh membeli kebahagiaan dan memuaskan hawa nafsunya. Sedangkan dalam kehidupan, belum tentu wang boleh membeli tidur lena meskipun wang boleh membeli tilam tebal dan empuk.

Kedua, hedonisme akan menyebabkan  narsisme iaitu satu sifat mencintai diri sendiri secara berlebihan. Mereka sanggup berhabisan untuk diri sendiri sedangkan orang lain yang lebih memerlukan dibiarkan bergelandangan.

Ketiga, hedonisme boleh menyebabkan hilang rasa malu. Mana tidaknya, percampuran lekaki perempuan tidak terkawal. Penonton terjerit-jerit  macam hilang akal. Bersorak sana sini sehingga hilang rasa malu. Apakah kita sudah lupa ketika konsert K-Pop tahun lepas menjadi sensasi apabila penonton pergi pentas memeluk artis Korea? Seksi itu menggoda atau tidak?

Saban kali kita mendengar laporan selepas sahaja apa jua konsert, pekerja-pekerja bandaraya dan tukang sapu akan akan terjumpa alat seks kondom selepas konsert berakhir. Terfikirkah kita bagaimana mereka melakukan seks ketika konsert berlangsung?

Jelas di sini bahawa mereka yang terpengaruh dengan hedonisme sudah tidak peka lagi dengan orang lain. Mereka lebih mementing diri sendiri daripada perasaan orang lain. Matikah kita tanpa hiburan?

Lebih malang lagi apabila wujud tindakan memecat mereka yang mempertahankan ilmu, manakala mereka yang mempertahankan hedonisme dikekalkan dan dinaikkan pangkat. Politik rimba apakah ini?

Saya minta pemimpin ultra kiasu jawab soalan ini.  Apakah tujuan hidup kita? Apakah kita sudah bahagia dengan kehidupan ini? Banggakah orang tua kita dengan apa yang kita lakukan ini?

Janganlah sekali-kali kamu terpedaya oleh kebebasan orang-orang kafir bergerak di dalam negeri.  Itu hanyalah kesenangan sementara, kemudian tempat tinggal mereka ialah jahannam dan jahannam itu adalah tempat yang seburuk buruknya.  (Surah al-Imran: 196-197).

Saya harap umat Islam tidak terpedaya. Hari ini, ultra kiasu hari ini menggunakan wang mereka untuk melalaikan umat Islam, agar kita cair dan terpengaruh dengan agama mereka. Saya yakin yang memenuhi stadium nanti bukan mereka, tetapi kita.


Saudaraku, hiburan bukannya isu antara hidup dan mati. Paling penting dalam kehidupan adalah, “Ya Allah, tunjukkanlah kami ke jalan yang lurus, jalan yang Engkau redhai”. 

Monday, July 18, 2016

Bingkisan buat Umno dan Pas

8:08 AM Posted by RIDHUAN TEE 5 comments
Bingkisan buat Umno dan Pas

Sinar Harian 18 Julai 2016

Kebenaran itu amat pahit. Inilah perkara yang perlu disedari oleh kita semua, terutama kalangan pemimpin negara dan masyarakat serta para daie. Berkata benarlah, kerana kebenaran itu tetap akan menang sampai bila-bila, meskipun kalah di dunia atau dikeji dan dimaki musuh.

Benar, saya merasai berseorangan, kerana saya tahu ramai yang takut memberikan sokongan secara terbuka. Tidak mengapalah. Saya serahkan nasib ini kepada takdir Ilahi. Ya, Allah kuatkanlah semangat ini. Bimbinglah hambamu ini ke jalan yang Kau redhai. Matikan aku dalam iman dan Islam.

Selama ini ultra kiasu menuduh saya lebih Melayu daripada Melayu, tali barut, barua dan penjilat Umno. Namun, setelah terbongkar dan viral, saya keluar daripada menjadi ahli seumur hidup MCA, semuanya terkejut beruk. Baharulah mereka tahu, hakikat sebenarnya saya masih orang Cina yang duduk dalam parti Cina. Atas dasar prinsip, kemudian, saya keluar.

Apakah saudaraku tidak menitis air membaca komen daripada saudara Tai Khai Eong dalam blog saya, ridhuantee.blogspot, artikel minggu lepas. Kata Tai;

Prof, apa yang Prof tuliskan tentang ultra kiasu semuanya betul dan benar belaka. Liciknya mereka. Mereka sebenarnya, tidak mahu melihat orang Melayu atau lebih tepat, orang Islam maju. Mereka takut perniagaan dan pendapatan mereka hancur. Dan pelbagai lagi kelicikan ultra kiasu ini yang harus Prof tulis lagi. Walau pun saya penyokong kuat parti pemerintah sekarang, tetapi sekiranya parti pemerintah tidak lagi berkuasa, saya mengharap agar Pas lah penggantinya. Kalau lain, Islam hancur. Saya, walau bukan Islam, tapi saya faham benar tentang Islam. Maklumlah, rumah hanya terletak di belakang masjid. Dari kecil hingga besar memang dapat dengar ceramah dan acara yang berlangsung di masjid. Kampung saya di Penang pula, majoriti besarnya, Melayu. Harap Prof dapat bongkarkan lagi niat jahat ultra kiasu.

Terus terang, saya amat bersetuju dengan komen saudara Tai. Ditakdirkan Umno hilang kuasa, parti mana lagi boleh diharapkan untuk menjaga negara bertuah ini jika bukan Pas. Nak harapkan PAN dan PKR? Mereka ini jelas sekali kuda tunggangan ultra kiasu. Ultra kiasu adalah DAP, MCA, Gerakan, MIC dan mereka yang menentang agenda Islam.

Saya sangat pelik, kenapa Umno masih tidak menyedari MCA, Gerakan, MIC dan parti komponen yang menentang Islam lain, sebenar bergantung kekuatan kepada Umno dan orang Melayu. Jika orang Melayu tidak mengundi mereka, sudah lama parti-parti ini bungkus. Kita terus melantik mereka menjadi menteri, memberi ruang dan peluang begitu luas. Sedangkan mereka tidak pernah mengundi kita.

Bukan tidak ada pilihan. Ada. Lantiklah Cina, India atau Bumiputera bukan Islam, atau zimmi, yang baik-baik menjadi menteri dan ahli kabinet. Masih ramai. Meskipun mereka bukan daripada kalangan parti politik. Ini tidak, sudah tahu mereka menjadi beban dan masalah, malangnya terus dilantik dan dinaikkan pangkat. Apa erti semua ini?

Sebab itu, saya setuju dengan Tai, pilihan hari ini adalah Pas. Walaupun Pas dikatakan berseorangan, tidak akan menang dalam PRU akan datang kerana keluar daripada Pakatan, tetapi Pas mempunyai prinsip. Mulianya manusia bukan kerana pandai bermuka-muka, tetapi kerana prinsipnya yang teguh. Apatah lagi cekal dan kental bersama Islam.

Kemuliaan kita di sisi Allah, bukan kerana pandai menguruskan negara ini semata-mata, tetapi harus dilihat sejauhmana keberanian mempertahankan maruah agama suci ini daripada dicemari oleh tangan-tangan jahat ultra kiasu. Apakah kita tidak tahu semuanya ini? Bangunlah wahai saudaraku. Kita sudah tidak punyai banyak masa.

Umno dan Pas mesti berpolitik secara matang. Bersatulah, sama ada secara senyap mahupun terang, seperti yang dilakukan oleh parti politik ultra kiasu ini DAP, MCA, Gerakan, SUPP dan lain-lain. Semua mereka ini bersatu dalam NGO yang bernama, Hua Zong atau Dong Jiao Zong. NGO inilah yang paling berpengaruh. Parti politik ultra kiasu hanyalah alat untuk mendesak dan memberi tekanan kepada kerajaan dan Umno.

Umno akan keseorangan nanti jika tidak bersama Pas, kerana dalam BN, hanya Umno sahaja parti yang mempertahankan kepentingan Melayu dan Islam. Parti lain hanya menjaga perut mereka. Sampai bila Umno akan terus menjadi kuat jika terus diasak kiri kanan depan belakang?

Ingat! Malaysia bukan Brunei atau Indonesia, majoriti Islam mereka besar, melebihi 70 peratus. Kita hanya 50-50, jika ada lebih pun mungkin 5-6 peratus. Apakah kelebihan itu menguntungkan kita? Saya pasti, kita ada jawapannya.

Saya amat yakin jika Umno dan Pas berpolitik secara matang, kerusi luar bandar semuanya akan menjadi milik mereka. Kerusi bandar, seperti biasa menjadi milik ultra kiasu. Kita masih boleh menang. Apatah lagi dengan sokongan Raja-Raja Melayu. Bila menang, jalankan pemerintahan secara adil, lantiklah zimmi Cina, India dan Bumiputera yang boleh diharap, seperti Helen Ang dan Lim Sian See, menjaga kepentingan rakyat, bukan kepentingan perut seperti pemimpin ultra kiasu yang ada pada hari ini menentang Islam.

Monday, July 11, 2016

PAN, antara kuali dan papan

7:29 AM Posted by RIDHUAN TEE 4 comments
PAN, antara kuali dan papan (Sinar Harian 11.7.16)

Tiba-tiba orang PAN marah apabila ada yang kalangan kita tidak menggunakan akronim Amanah sebagaimana yang diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan (Ros). Saya akan terus menggunakan PAN, kerana dalam PAN ramai yang tidak amanah. Suka hati sayalah yang panggil apapun, janji tidak membawa maksud buruk.

Kempen PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar sangat jelas membuktikan kejelekan PAN. Tengoklah pada kempen ucapan dan banner mereka. Apakah layak mereka ini dipanggil amanah sedangkan ramai yang tidak amanah duduk di situ? Ini masih belum setahun. Bayangkan jika dah lama. Saya tidak kata Pas dan Umno semua betul. Tetapi kedua parti ini tidak label diri mereka amanah.

RoS telah melakukan kesilapan meluluskan akronim tersebut. Semua sedia maklum, majoriti parti politik yang ada di negara ini menggunakan singkatan seperti UMNO, PAS, MIC, MCA, DAP, PKR, SUPP, UPKO, PBB, PBS dan lain-lain lagi. Tidak memakan banyak ruang.

Alangkah kelakar jika PAS menjadi akronim, Islam; UMNO = Melayu; MIC = India; MCA = Cina; DAP = Action. Dahulu PKR menggunakan perkataan KeAdilan, nasib baiklah selepas itu disebut sebagai PKR. Jika tidak, susah juga bersoal jawab sebab bukan semua yang duduk di situ memiliki sifat. Sesama sendiripun berantakan.

Mungkin ada yang berhujah bagaimana pula dengan PGRM (Gerakan), Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan), Barisan Jemaah Islam Se-Malaysia (Berjasa). Akronim tersebut kes terpencil dan masih boleh diterima.

Apapun, saya mencadangkan kepada RoS supaya menarik balik akronim amanah tersebut dan digantikan dengan PAN seperti lazimnya. Begitu juga penggunaan Pakatan Harapan (PH dan PR) juga tidak wujud kerana tidak berdaftar dengan RoS.

Perkara ini penting bagi mengelakkan kekeliruan seperti Amanah Saham, Amanah Ikhtiar, Amanah Raya dan sebagainya.

Kenapa PAN tidak layak dipanggil amanah? Pertama, amanah adalah satu nilai yang amat mulia dan salah satu sifat Nabi. Tidak seharusnya ada pada nama parti politik. Dalam politik, segala mungkin boleh berlaku. Politik Machiavelli. Berapa ramai kita sangka amanah terlibat dalam pecah amanah. Termasuk banyak kepura-puraan dalam politik. 

Kedua, setakat pemerhatian, ketika berkempen, taktik dan teknik matlamat menghalalkan cara digunakan. Ramai kalangan mereka menjadi tidak amanah. Mulut bacul, mengata dan mengumpat peribadi orang terutama peribadi  PM dan Pas, Hadi Awang.

Ketiga, apakah namanya amanah apabila mereka sudah belot dengan parti Pas yang telah menaikkan dan mempopularkan nama mereka. Hari ini PAN mengemis simpati bekas pemimpin Umno untuk bersamanya. Kasihan.

Keempat, PAN yang saya kenali sebahagian besar adalah kalangan pemimpin IRC yang ditubuhkan pada tahun 1980an. Mereka bukan sahaja mengkhianati Pas, tetapi juga Abim, Umno dan lain-lain. Mereka dalam parti-parti ini mengacau-bilaukan mereka.

Kelima, apakah kita amanah apabila keluar daripada Pas yang telah memenangkan mereka sebagai wakil rakyat. Apabila disuruh keluar dan letak jawatan sebagai wakil rakyat, mereka menyalahkan Pas pulak. Muka tidak malu.

Keenam, PAN bersubahat dengan ultra kiasu menentang agenda Islam, terutama RUU 355. Dikatakan tidak lengkap dan banyak kelemahan. Apa yang telah PAN lakukan untuk melengkapkannya? Di mana amanahnya?

Ketujuh, PAN mungkin berhujah di luar negara seperti Britain dan Iran menggunakan nama Trust. Tidak mengapalah, mereka bukan Islam. Kadangkala mereka lebih amanah daripada kita.

Kelapan, PAN mungkin amat takut dipanggil PAN sebab membawa papan dalam bahasa Cina dan kuali dalam BI.

Pada saya, selayaknya disamakan dengan peralatan tersebut. Kuali digunakan untuk memasak pelbagai makanan. Ternyata PAN sedang dipergunakan dan menjadi kuda tunggangan ultra kiasu. PAN sudah menjadi jurucakap ultra kiasu. Menuduh RUU 355 adalah bill Hadi atau mewakili kata-kata Tuhan.

Sejak bila Hadi berkata sedemikian? Menteri dan Timbalan Menteri di JPM dan cendekiawan Islam telah memberikan penjelasan selengkapnya. Kenapa pulak terikut-ikut dengan ultra kiasu mengatakan Hadi bukan Tuhan. Apakah layak pemimpin ini digelar amanah. Politik desperado.

Begitu juga dengan maksud papan. Tidak tahan lama. Menjadi kesukaan makhluk perosak seperti anai-anai. PAN sedang dikeruyuk oleh anai-anai tersebut. Bila papan tersebut sudah hancur, anai-anai akan mencari tempat lain untuk mencari tempat lain yang boleh dirosakkan.

PAN yakin mereka akan dapat beberapa kerusi dalam PRU akan datang dengan sokongan ultra kiasu. Sebab itu mereka begitu berani dan lantang mengkritik Pas, saudara seagama dan seperjuangannya. Tidak ada sedikitpun lagi kebaikan Pas di mata PAN.

Kepada PAS dan Umno, teruskan perjuangan memperkasakan agenda Islam di negara bertuah ini. Jangan sama sekali tunduk kepada tekanan ultra kiasu ini kerana mereka adalah musuh Islam yang nyata. Pemimpin mereka menafikan bahawa mereka anti-Islam. Jangan pergi jauh, kaji balik kenyataan mereka sebelum ini. Boleh dibukukan banyaknya. Apakah menyokong LGBT itu tidak menentang Islam walaupun nama sokong, tidak menentang? Kami bukan bodohlah.  


Saya amat mengharapkan dalam usaha politik matang ini, Pas dan Umno berjaya membenamkan PAN, supaya menjadi papan dan kuali. Saya merayu RoS menarik balik akronim amanah ini dan kekalkan menjadi PAN.

Monday, July 04, 2016

Psywar istilah kafir harbi

7:26 AM Posted by RIDHUAN TEE 7 comments
Psywar istilah kafir harbi (Sinar Harian 4.7.16)

Sensitif sangatkah istilah kafir dan kafir harbi sehingga gamat satu Malaysia? Bukankah sebelum ini istilah kafir sudah biasa digunakan, cuma kali ini ditambah harbi kepada yang menentang Islam? Pandai sangatkah ultra kiasu huraikan istilah yang dilabelkan sebagai Arabisasi ini. Bekas presiden MIC pernah berkata, “Pas pun kata saya kafir juga”.

Secara umum terdapat 2 jenis kafir, iaitu zimmi (pro Islam) dan harbi (lawan Islam=kon). Kategori lain seperti, mu’ahad dan musta’man. Tidak ada istilah ditengah-tengah, antra pro dan kon.

Umno pernah dilabelkan sebagai kafir juga, dengan istilah sebagai taghut, tetapi Umno relaks sahaja dengan label tersebut walaupun istilah taghut teramat kasar, lebih teruk daripada harbi. Sendiri mau tahu. Peliknya ultra kiasu begitu sensitif. Nasib baiklah ultra kiasu tidak dilabelkan sebagai harbi dan taghut. Pasti lebih gamat.

Persoalan saya, adakah dengan label tersebut mereka dianiaya? Tidak juga? Malah, sama ada yang zimmi atau harbi (jika ada), boleh membina empayar kekayaan sehingga jauh meninggalkan umat Islam sendiri, ada yang membawa wang lari keluar negara. Ini tidak termasuk perniagaan haram seperti money laundering. Jadi, apa isunya?

Saya tidak fikir Mufti mengeluarkan kenyataan sedemikian bagi membolehkan kita memerangi orang bukan Islam. Ini bukan sifat Melayu yang saya kenali. Bukan bertujuan membela beliau. Kenyataan beliau hendaklah dilihat dalam konteks. Jelas sekali Mufti berkata, mereka yang menentang Islam harus ditentang. Sudah tentu hujah berbalas hujah. Bukan berdiam diri. Tiada istilah bunuh atau seumpamanya. Benar supremo ultra kiasu menangis dengan label ini? Jangan berlakonlah.

Apakah supremo ultra kiasu dia tidak sedar selama ini umat Islam telah lama menangis dengan kata-kata dan penghinaan yang dilakukan terhadap Islam? Malang sekali ultra kiasu Melayu PKR dan PAN bersama mereka.

Pertama, fikir sejenak, apa perkara berkaitan Islam yang tidak ditentang ultra kiasu. Undang-undang Islam, RUU 355, hudud, mahkamah syariah dan nilai-nilai Islam yang saya sentuh sebelum ini. Isu hudud misalnya dikatakan bertentangan dengan perlembagaan. Bagaimana pula dengan desakan ultra kiasu untuk mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan? Mahkamah Persekutuan telah memutuskan ia bercanggah dengan perlembagaan. Ultra kiasu langgar perlembagaan boleh, isu hudud terus kata kita langgar. Langgar apa?

Kedua, isu penukaran agama anak oleh pasangan bukan Islam yang memeluk Islam. Ultra kiasu mengemukakan rang undang-undang persendirian bagi memberikan  kuasa mutlak kepada mahkamah sivil untuk membubarkan perkahwinan sivil dan menentukan hak jagaan anak. Boleh pulak?

Ketiga, dalam konvensyen ultra kiasu di Kuala Lumpur 2014, ultra kiasu mengeluarkan kenyataan, Pakatan Rakyat akan menubuhkan kerajaan negeri di Kuala lumpur jika berjaya menguasai Putrajaya. Tidak bertentangan pulak?

Keempat, isu hak beragama, ultra kiasu berulang kali mengeluarkan kenyataan media orang Islam mesti diberikan kebebasan untuk keluar daripada agama Islam. Tidak bercanggah dengan perlembagaan?

Agama Islam amat berhikmah mengkategorikan bukan Islam kepada dua, iaitu yang pro dan kontra. Mereka yang zimmi dijaga dengan baik, termasuk yang harbi dalam konteks Malaysia. Satu dosa besar jika kita menganiayai atau menzalimi mereka. Dalam perang sekali, kita hanya berlawan dengan musuh Islam, mereka yang pro mesti dijaga dengan baik.

Berbanding dengan orang Islam di negara bukan Islam. Umat Islam dibunuh sewenang-wenang tidak kira sama ada pro atau kontra pemerintah. Sejarah dunia membuktikan. Lihatlah apa yang berlaku di China, India, Myanmar. Umat Islam dibunuh secara pukal tanpa dikategorikan.

Ini tidak termasuk ketika Perang Salib, ketika Kristian memerintah umat Islam di Palestin. Umat Islam dibunuh sewenang-wenang tanpa dikategorikan sama ada pro atau kon. Setelah Salahuddin al-Ayubi menawan semula Palestin, orang Kristian boleh hidup dengan senang-lenang. Malah ketika dalam peperangan, tentera kafir harbi yang cedera turut diubati oleh pasukan medik Islam ketika itu. Baik sungguh Islam.

Sudahlah tidak payahlah berpura-pura dan mempolitikkan isu basi ini. Muak. Apakah tidak harbi jika Evangelis merancang memusnahkan Islam?
Bagaimana pula dengan perasuah dan perniagaan haram seperti money laundering? Tidakkah semua itu musuh utama agama, bangsa dan negara? Ini tidak termasuk mereka yang menjual rahsia negara dan memburuk-burukkannya di mata luar.

Jangan bercakaplah soal Islam, agenda negara seperti BM sebagai bahasa kebangsaan pun tidak didaulatkan. Lihat website dan buletin MCA adakah BM digunakan? Maknanya, harbi ini berada di mana-mana. Uniknya di Malaysia ini, mereka yang jelas harbi pun dilayan baik. Nak apa lagi?


Tidak payahlah ultra kiasu berhujah bahawa mereka turut membantu  membina sekolah agama dan mahkamah syariah. Tindakan ini hanya untuk membeli undi Melayu. Jika mereka ikhlas, sudah RUU 355 tidak ditentang? Kenapa tidak biarkanlah orang Islam dengan cara hidupnya mengikut keputusan soal selidik yang dibuat, lebih 70 peratus berkehendakkannya? Kepada PAN dan PKR, bertaubatlah, jangan kerana kemarukkan undi, sanggup meratah saudara seagama.