Semua artikel adalah pendapat peribadi. Anda berhak untuk tidak meneruskan bacaan atau tidak mengakseskan blog ini serta merta jika anda tidak bersetuju dengan pemikirannya. All the articles written are the personal views. You have absolute rights not to continue reading or to discontinue accessing this blog immediately if you are disagreeable with the personal views.

Monday, March 26, 2018

Benarkah nasi lemak dan roti canai penyatu kaum?

9:46 AM Posted by RIDHUAN TEE No comments

https://www.ismaweb.net/2018/03/26/benarkah-nasi-lemak-dan-roti-canai-menjadi-penyatu-kaum/

Benarkah nasi lemak dan roti canai penyatu kaum?

Seorang profesor ulung yang membuat kajian mengenai etnik dan juga dimasyhurkan sebagai pemikir politik, menjaja idea merata tempat hingga keluar negara , mengenai  faktor kedai mamak, nasi lemak, dan roti canai sebagai penyatu kaum. Hanya kerana semua (tidak semua) kaum di Malaysia ini menyukai makanan tersebut, maka ia dijadikan asas berhujah hingga keluar negara mengatakan bahawa perpaduan kaum di negara kita sudah hebat.

Kita dikatakan tidak berparang, tetapi cuma bertikam lidah atau dibahasakan sebagai; Amongst Malaysians, there is plenty of 'tongue wagging but not parang wielding', and Malaysians continuously 'talk conflict, but walk cohesion'....Apakah hujah sebegini boleh diterima?  

Peliknya lagi, profesor inilah yang disanjung untuk membuat kajian lebih banyak mengenai etnik dan perpaduan di Malaysia. Mereka yang ikhlas dan lebih berpijak di bumi nyata diketepikan. Saya amat pelik, kenapa cerdik pandai dan khalayak boleh terpengaruh dengan idea sebegini?

Bagaimana dengan faktor-faktor lain yang lebih fundamental seperti agen-agen sosialisasi politik iaitu keluarga, pendidikan, media massa, media elektronik dan lain-lain. Tidakkah faktor ini lebih fundamental daripada makanan seperti nasi lemak dan roti canai?

Hanya kerana semua kaum menyukai makanan ini, maka ia dikatakan sebagai agen penyatu. Kita sudah dikatakan berada dalam keadaan baik berbanding dengan negara lain. Persoalannya, apakah makanan ini menjadi mereka bergaul atau berbual mesra? Jelas kelihatan, setiap kaum hanya makan di kedai mamak dengan ahli keluarga dan kaum masing-masing, selepas itu mereka keluar. Tidak ada apa-apa yang berlaku. Saya fikir, ada faktor di dalam yang belum dapat dikeluarkan dan sentiasa dipendam. Ibarat memadamkan api. Api sudah berjaya dipadamkan, tetapi baranya masih menyala. Bara inilah yang bahaya kerana ia masih menyala. Nasi lemak dan roti canai belum dapat memadamkan bara ini.

Saya takut selepas ini profesor tersebut akan berkata KFC, McDonald,  A&W, Starbucks dan lain-lain restoran makanan segera barat sebagai penyatu kaum, hanya kerana semua kaum bertumpu kepada makanan tersebut. Jika begitulah keadaan, nyatalah pengabis beras sahajalah wang sebegitu banyak diberikan, untuk membuat kajian sedemikian rupa.  

Saya fikir sudah sampai masanya cerdik pandai kita atau para akademia, berpijak di bumi nyata, supaya tidak diketawakan orang.

Berpijaklah di bumi nyata, faktor pendidikan adalah antara yang fundamental. Dengan ada sekolah berasaskan kaum telah memisahkan kita sekian lama. Faktor ini terbawa-bawa hingga ke sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi.

Kelas peralihan yang diwujudkan tidak banyak membantu, kerana faktor bahasa memisahkan. Mereka yang gagal bahasa Melayu dan tidak dapat berkomunikasi dalam bahasa ini. Akhirnya, mereka akan berkawan dan bergaul dengan rakan sebangsa. Pergilah membuat kajian di sekolah vernakular dan kelas peralihan di sekolah menengah.
Bagi mereka yang berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi, perkara ini pun turut terbawa-bawa. Mereka tidak bercampur. Pelajar Cina dan India yang datang ke kelas menghadiri kuliah lebih selesa duduk sesama mereka.

Pergilah ke Universiti Awam mana pun, lihatlah adakah siswa-siswa Cina dan India akan duduk bercampur dengan pelajar Melayu? Jawapannya, hampir tiada. Di luar kelas pun mereka akan berjalan sesama kaum mereka.

Keadaan menjadi lebih tenat, apabila sajian makanan disediakan pun mengikut kaum. Akhirnya, siswa siswi Cina lebih memilih gerai atau restoran Cina, begitu juga India. Justeru, di manakah hujah mengatakan roti canai dan nasi lemak faktor penyatu kaum? Apakah sosialisasi harian menjadi kita semua bercampur gaul?

Jika di Universiti Awam sudah sedemikian rupa, bayang keadaan di Universiti Swasta seperti Kolej Universiti New Era, Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (KUTAR), UTAR, Universiti Xiamen dan lain-lain. Saya yakin selepas ini ultra kiasu akan bertanya bagaimana dengan UiTM, UIAM dan lain-lain yang dikhaskan untuk orang Islam dan bumiputera sahaja? Begitu juga dengan Sekolah Agama? Tidakkah ini juga menanam bibit perkauman?

Terbaharu, MCA mahukan BN mengiktiraf Sijil Peperiksaaan Bersama (UEC) yang dikendalikan oleh Sekolah Persendirian Cina diiktiraf, dengan memasukkannya ke dalam manifesto BN dalam PRU 14 yang bakal menjelang. Jika tidak, undi orang Cina akan beralih arah keapda pembangkang. Persoalannya, sejak bila undi Cina mengundi BN? Apakah wajar kerajaan mengiktiraf UEC sedangkan langsung tidak mahu patuh garis panduan Kementerian Pendidikan yang mahukan sijil dan sekolah ini lebih berorientasikan Malaysia daripada berkiblatkan negara lain. Apakah Sekolah Persendirian Cina mampu menjadi agen pembinaan negara bangsa yang beroperasi penuh kecinaan?

Bangunlah daripada dunia khayalan dan berpijaklah di bumi nyata. Terlalu banyak faktor yang telah memisahkan kita sejak kecil. Selain sekolah, kita turut dipisahkan dengan media cetak dan media elektronik. Ini belum termasuk tempat tinggal.

Akhbar, radio, saluran tv dan media sosial semua mengikut kaum. Sudah tentu setiap kaum akan selesa dengan bahasa kaum masing-masing. Pergilah ke rumah orang Cina atau India, adakah mereka menonton tv1, tv2, tv3, tv7, tv8, tv9 dan tv al-hijrah? Saya boleh katakan, hampir tiada. Meskipun ada stesen tv percuma ini menyediakan berita berasaskan kaum pada waktu perdana atau waktu puncak.

Mereka akan mengikuti siaran-siaran berasaskan etnik berbayar daripada negara China dan India.

Begitu juga dengan akhbar harian yang dibaca. Jangan haraplah mereka membawa Utusan Malaysia, Berita Harian dan Sinar Harian, kerana akhbar berasaskan mereka jauh lebih banyak bilangannya berbanding akhbar berbahasa kebangsaan.

Akhbar bahasa Cina dan India melebihi akhbar bahasa Melayu. Contoh, Nanyang Siang Pau, China Press, Shin Chew, Oriental Daily, Guang Ming, Kwong Wah Yit Poh dan lain. Ini tidak termasuk akhbar Cina di Sabah dan Sarawak. Belum campur lagi akhbar berbahasa India.

Saya ingin simpulkan akhbar bukan bahasa kebangsaan, jauh lebih banyak berkali ganda daripada akhbar bahasa kebangsaan. Ini tidak termasuk, lambakan majalah mengikut etnik dan media sosial. Apabila pilihan bahasa diberikan, sudah tentu setiap bangsa akan selesa dengan bahasa bangsanya. Rasional dan logik. Tidak boleh salahkan mereka, kita yang membuat dasar tersebut.

Perkara ini jauh sekali berbeza jika dibanding dengan negara-negara jiran yang benar-benar memperkasakan negara bangsa seperti Thailand dan Indonesia. Mereka akan memastikan agenda kebangsaan diperkasakan berbanding agenda bangsa atau etnik. Sebab itulah, perpaduan mereka jauh lebih baik berbanding kita.

Ada seorang profesor yang juga anak buah profesor ulung tersebut berhujah dengan saya kenapa mahu bandingkan dengan Thailand dan Indonesia. Kedua negara ini tidak stabil, berlaku tembak-menembak dan berparang misalnya di Selatan Thailand.

Saya terkejut mendengar hujah profesor tersebut. Selatan Thai bergolak disebabkan ada sejarahnya. Tetapi soal memperkasakan agenda negara, Thailand amat berjaya. Bahasa Thailand disanjung dan dijunjung. Penduduk Selatan Thailand menguasai bahasa Siam dengan baik. Bahasa Siam berjaya menyatukan mereka. Berbanding dengan kita di sini, boleh dikatakan sebahagian besar masih tidak boleh bertutur bahasa Melayu dengan baik. Ada yang langsung tidak boleh berkomunikasi.

Begitu juga dengan cara Thailand memartabatkan bahasa Siam dalam produk dan media massa dan media elektronik seperti radio dan tv. Semua produk, saluran atau rancangan luar akan dialihbahasakan kepada bahasa Siam. Menonton filem Hindustan pun dalam bahsa Siam. Kalau tidak percaya, jangan pergi jauh, masuklah ke dalam kapal terbang Siam, mereka akan sambut kita dengan ucapan Siam yang berbunyi swaswadee.

Belum sampai Siam, sudah terasa macam berada di negara Siam apabila di dalam kapal terbang mereka.

Bukan macam kapal terbang kita. Sudalah pengumuman mengutamakan bahasa Inggeris,  dibuatnya pula accent (slang) atau sebutan bunyi loghat orang putih supaya tidak nampak cakap orang putih berbunyi Melayu. Lebih jelek lagi bahasa Melayu sengaja dibunyikan orang putih supaya nampak mereka ini hebat. Lagu-lagu yang dipasangkan semua lagu orang putih. Boleh dikatakan tidak ada lagu tempatan dipasang. Hina sungguh bahasa kebangsaan atau bahasa Melayu di mata mereka ini yang mengaku rakyat Malaysia. Agenda negara tidak perkasakan di tempat-tempat yang strategik dan penting.

Ini belum lagi bercakap tentang pengangkutan awam, seperti ERL, LRT, MRT dan sebagainya. Kadangkala nak cari notis dalam bahasa Melayu pun payah. Semuanya orang putih. In tidak termasuk papan iklan dan notis-notis di tempat awam, boleh dikatakan bahasa negara merempat di bumi sendiri. Ini tidak termasuk lagi GLC-GLC seperti Petronas, Telekom (TM), CIMB, Maybank dan lain-lain. Kadangkala nak cari notis bahasa Melayu payah jumpa. Hatta, Tabung Haji pun sudah terlebih orang putih. Kita nak bawa ke mana Malaysia ini?  Menjadi lebih barat daripada barat atau menjadi sebuah negara yang berjati diri agar rakyat dapat menghayati agenda negara dan patriotik.

Kepada mereka yang berpendidikan barat atau tidak faham soal pembinaan negara bangsa seperti ultra kiasu mungkin melihat perkara ini kecil. Tetapi sebenarnya ia membawa maksud yang sangat mendalam. Bangunlah wahai bangsaku Malaysia. Bangun daripada tidurmu yang lena. Kamu terlalu banyak bermimpi meskipun berada di menara gading atau bergelar profesor ulung.



Tuesday, March 20, 2018

Apakah Islam sebahagian daripada Malaysia atau tidak?

12:28 PM Posted by RIDHUAN TEE No comments

SAYA tidak hairan jika Menteri Dalam Negeri Jerman, Horst Seehofer yang baru menjawat jawatannya dalam Kabinet Angela Merkel berkata, Islam bukan sebahagian daripada Jerman dan telah menetapkan dasar imigresen yang tegas sebagai langkahnya dalam berdepan pencabarnya.

Kenyataan itu dibuat, selepas sekutu konservatif Merkel, Parti Demokrat Sosial kalah kepada parti Alternatif Untuk Jerman (AFD) yang bersikap antiimigran dalam pilihan raya tahun lalu.

Seehofer dilihat ingin menunjukkan bahawa partinya sedang mengatasi isu imigresen menjelang pilihan raya wilayah Bavaria pada Oktober depan dengan AFD dijangka bertanding di wilayah itu.

Kata-kata Seehofer bercanggah sama sekali dengan bekas Presiden Jerman, Christian Wulff yang mencetuskan debat berhubung imigresen pada 2010 dengan berkata, Islam adalah sebahagian daripada Jerman. Seehofer dengan tegas berkata”

“Islam is not part of Germany. Christianity has shaped Germany including Sunday as a day of rest, church holidays, and rituals such as Easter, Pentecost, and Christmas.”

Pada hemat saya, beliau ada hak untuk berkata sedemikian, sebab Jerman bukanlah negara Islam atau majoriti berpenduduk Islam. Terimalah hakikat apabila kita menjadi minoriti. Sama seperti minoriti umat Islam seluruh dunia seperti China, Thailand, Filipina dan sebagainya.

Ironinya, apabila umat Islam menjadi majoriti dan agama lain menjadi minoriti, bagaimana pula keadaannya? Apakah kita akan menjadi sedemikian berani?

Bagaimana dengan kita Malaysia? Apakah kita tidak ada hak untuk melaksanakan hak-hak Islam dalam sebuah negara Islam, yang majoritinya beragama Islam? Bukankah Islam adalah sebahagian daripada Malaysia? Jika tidak, mana mungkin Islam itu adalah agama Persekutuan sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan

Kenapa kita tidak berani membuat penegasan, sedangkan orang lain begitu berani? Begitu juga Britain ketika di bawah Perdana Menteri, David Cameron, secara berani menegaskan bahawa Britain adalah sebuah negara Kristian.

Saya tidak boleh bayangkan jika ultra kiasu berjaya memerintah negara ini jika mereka menang dalam PRU akan datang. Dalam keadaan sekarang mereka sudah begitu berani mengeluarkan kenyataan mahu mengkristiankan negara ini, apatah lagi apabila sudah menang?

Begitu juga dalam isu arak yang mencetuskan rasa tidak puas hati sebahagian peguam Muslim kerana tidak puas hati arak dihidangkan dalam majlis meraikan mesyuarat agung mereka. Kenapa arak yang menjadi focus makan malam mereka, bukannya makanan lain yang lebih menyihatkan badan?

Saya tidak boleh bayangkan jika ultra kiasu memerintah. Usahkan mandi, malah selepas menang nanti, mereka mahu berendam pula. Saya berasa pelik, atas dasar apa mereka terlalu sukakan arak? Agama atau ajaran apakah yang membenarkan arak ini? Lebih pelik lagi ada juga peguam-peguam yang mengaku Islam turut bersuhabat bersama Majlis Peguam ini.

Apakah kita tidak pernah belajar daripada angkara arak ini. Peristiwa beberapa pesawat terpaksa berpatah balik, gara-gara penumpangnya mabuk sepatutnya menjadi pengajaran kepada kita semua, sebagai rakyat dalam sebuah negara Islam Malaysia. Kenapa tidak belajar daripada peristiwa buruk yang berlaku?
Tidak dinafikan ada sedikit kebaikan arak, kerana ada proses penapaian. Tetapi keburukan arak mengatasi kebaikannya, sebab itu ia diharamkan. Dalam Islam, pengharaman arak begitu jelas.

“Mereka bertanya kepadamu mengenai arak dan judi. Katakanlah (Muhammad) pada keduanya ada dosa yang cukup besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya… (Al-Baqarah 2;219). Lihat juga an-Nisaa’: 43, Al-Maidah: 90.

Dalam Islam, arak adalah ibu segala kejahatan, sama ada diambil secara sedikit atau pun banyak. Rasulullah sallallahu alaihi wasallam mengingatkan lagi, Allah akan melaknat 10 kumpulan manusia termasuk yang menjual atau memudahkan transaksi membekalkan arak, penghasil, penjual, penghantar, penolong membeli, pelayannya, pengguna wang hasil jualan arak, orang yang membelinya dan juga orang yang membeli arak daripada seseorang.

Begitu juga dalam Injil, begitu tegas dalam larangan arak, minuman keras membuat orang mabuk dan merepek. Bodohlah orang yang menjadi mabuk (Proverb 20:1). Lihat juga Proverb 31:6-7, Ephesians 5:18.

Pendek kata, arak punca segala kejahatan. Arak telah menyebabkan masalah sosial dan hubungan kejiranan, kadar jenayah dan perceraian meningkat.

Justeru, apakah justifikasi ultra kiasu mahu arak dihalalkan? Teringat kata-kata Jomo Kenyatta, Perdana Menteri dan Presiden pertama Kenya menjadikan saya tersentak. Angkara arak dan perancangan Kristian akhirnya Kenya menjadi negara Kristian. Dalam maksud, arak adalah sebahagian perancangan Kristian dalam rangka strategi untuk mengkristiankan negara yang menjadi sasarannya, seperti yang berlaku di Kenya.
When the Missionaries arrived, the Africans had the Land and the Missionaries had the Bible. They taught us how to pray with our eyes closed. When we opened them, they had the land and we had the Bible.

Bila berjumpa doktor, selain daripada merokok, soalan lain yang ditanya adalah ‘minum’ atau tidak? Jika arak itu baik, berikanlah arak kepada isteri-isteri ultra kiasu ketika mengandung, meminumnya. Begitu juga mereka yang memandu, termasuk juruterbang.

Bukti-bukti begitu jelas menunjukkan bahawa manusia di bawah pengaruh arak, tidak lagi sedar diri, seperti dadah. Otaknya tidak lagi rasional. Tidak hairan mereka bertindak ganas dan mengeluarkan kata-kata kotor.

Kes pelacuran, rogol, sumbang mahram, dan Aids, salah satu puncanya adalah daripada arak. Mengikut kajian di Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat, setiap hari kes rogol berlaku disebabkan perogol dalam keadaan mabuk.

Lapan peratus rakyat Amerika melakukan sumbang mahram, satu daripada 12 rakyat mereka terlibat. Begitu juga dengan penularan Aids. Pesakit utamanya adalah peminum arak.

Selain itu, pelbagai kajian telah dibuat mengenai mudarat arak. Antaranya, penyakit limpa dan hati, kanser kerongkong, kepala, leher, hati, usus dan sebagainya.

Begitu juga dengan tekanan darah tinggi, kerosakan hati, strok, sawan dan pelbagai jenis penyakit. Pendek kata, namakan sahaja apa penyakit, arak adalah antara penyumbang besar.
Kajian juga membuktikan, arak bermula dengan parti sosial (social drinker) atau majlis-majlis yang sewaktu dengannya seperti majlis anjuran Majlis Peguam. Tidak ada peminum arak berniat menjadi peminum arak sejati. Tidak ada hujah untuk mengatakan kita tidak akan mabuk walaupun biasa minum arak.
Lihatlah betapa jahatnya ultra kiasu, suatu ketika dahulu apabila kerajaan negeri Melaka mahu mengharamkan arak di premis kedai 24 jam ditentang dengan hebatnya sehingga kerajaan terpaksa tunduk. Begitu juga di Shah Alam. Nasib baiklah Terengganu dan Kelantan sudah lama melaksanakan. Itupun ultra kiasu masih melompat seperti cacing kepanasan. Kenapa mereka begitu ghairah dalam perkara yang tidak ada kaitan dengan mereka?

Jawapannya, mereka mahu mencairkan umat Islam daripada agamanya. Mudahlah untuk mereka menguasai. Hari ini mereka sudah pun menguasai ultra kiasu Melayu dalam Pakatan Harapan. PAS sudah lama dapat mencium baunya, sebab itu PAS mengambil langkah keluar. Yang tinggal adalah Melayu ultra kiasu. Mereka ini membisu sahaja dalam isu arak. Inilah orang yang ultra kiasu mahu dan suka.

Saya tidak larang hak asasi ultra kiasu untuk minum, mandi dan berendam arak, jika itu juga menjadi galakan agama atau ajaran anutannya. Tetapi, amat jelas semua agama mengharamkannya. Jadi, sebenarnya mereka berpegang kepada apa? Kalau bukan untuk menyesatkan orang lain?

Apabila diusik sedikit mengenai isu agama mereka, mereka begitu melenting, misalnya kalimah Allah. Mereka mendakwah bahawa mereka juga bertuhankan Allah. Kenapa dalam isu arak, yang mana agama mereka turut menentang, tidak pula nampak sensitivitinya?
Lebih menghairankan, mereka turut menentang larangan penjualan arak di kawasan majoriti Islam seperti Shah Alam. Jelas sekali perancangan mereka yang mahu menjadikan negara kita seperti Kenya. Apakah kita masih buta? Buta mata? Buta hati?

Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah
Profesor Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan (FUPL)
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)


Kasihan...naifnya MCA

12:24 PM Posted by RIDHUAN TEE No comments

Kasihan...Naifnya MCA

Pergeseran antara MCA dan Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Nazri Aziz diteruskan lagi dengan kecaman terbaru Pemuda MCA terhadap menteri pelancongan itu. Ketua Pemuda MCA Kedah, Tan Chee Chiong membangkitkan isu pakaian hitam Nazri pada sambutan Tahun Baru Cina di Sungai Petani minggu lalu. Chee Chiong menggesa Perdana Menteri memecat Nazri sebagai menteri pelancongan dan kebudayaan kerana "tiada sensitiviti budaya". Kebudak-budakan sungguh pemimpin MCA ini.

Siapa Chee Chiong sehingga mahu mengarah orang memecat individu tertentu? Besar sangatkah sumbangan MCA dalam politik bernegara? Kebanyakan kerusi yang dimenanginya pun rata-rata di kawasan orang Melayu. Jika orang Melayu tidak mengundi MCA, MCA mungkin berputih mata. Pendek kata, keberadaan MCA dalam politik negara dan ‘jasa’ yang ditinggalkan adalah kerana ehsan orang Melayu.

Terbaharu, MCA masih menuntut tambahan kerusi kawasan majoriti Melayu untuk ditandingi. Termasuk parlimen di kawasan Kuala Lumpur yang mereka kalah sebelum ini, seperti Bandar Tun Razak. Harapkan undi siapa untuk memenangkan mereka, kalau bukan undi Melayu. Ahli MCA sendiri belum tentu mengundi calon MCA. Bertolak ansur dan bekerjasamalah. Jangan kiasu sangat. Jika kalahpun nanti masih ada kerusi senator yang menanti. 

Justeru, tidak perlulah membesarkan isu yang remeh temeh. Soal Menteri kebudayaan dan pelancongan tidak mempunyai sedikit pun sensitiviti budaya, itu hak dia. Beliau memakai pakaian serba hitam menghadiri rumah terbuka sambutan Tahun Baru Cina, itupun hak dia. Dia yang tuan punya baju, suka hati dialah nak pakai masa bila. Sejak bila pula ada undang-undang menetapkan kena pakai baju warna apa ketika menghadiri sesuatu majlis?

Jika begitu keadaannya, kenapa tidak kenakan syarat kepada semua yang menghadiri majlis tersebut supaya menukar warna rambut kepada warna selain daripada warna hitam, yang dikaitkan membawa nasib malang. Oleh kerana sambutan Tahun Baharu Cina, semua kena tukar dan celup warna rambut kepada merah? Kenapa pemimpin MCA tidak tukar warna rambut dan segala bulu yang tumbuh dibadan kepada warna merah sempena perayaan Tahun tersebut jika hitam dikaitkan dengan nasib malang? Rasional sedikit. Nak kata BODOH nanti marah pulak.

Ya,  tidak dinafikan bahawa warna hitam sinonim dengan kesedihan dalam budaya Cina. Tetapi tidak dalam budaya lain. Dalam Islam, warna adalah warna. Ia adalah kurniaan Allah. Tidak timbul soal hitam itu sedih. Apakah orang berkulit hitam perlu mengecat kulitnya menjadi putih semata-mata untuk hadir Tahun Baharu Cina. Kadang kala hitam itu menawan. Persoalannya, sejauh mana kita menghargai erti warna.

Apa guna berpakaian merah atau hitam jika hati penuh dengan kepura-puraan? Lebih baik menjadi seperti Nazri, sekurang-kurangnya beliau berterus terang daripada menjadi manusia hipokrit. Sekarang ramai ultra kiasu yang hipokrit.

Bila mahu mendapatkan kepentingan di negeri pembangkang, dikutuknya kerajaan pusat. Begitu juga sebaliknya, bila mahu mendapatkan kepentingan pusat dikutuknya pembangkang. Pendek kata, mereka mahu makan dua-dua.

Sebab itu sangat beruntung menjadi ultra kiasu hari ini. Boleh makan kiri kanan.  Jika MCA benar-benar ikhlas dan tidak kepura-puraan, sudah tentu MCA akan bersama kita mengutuk video Namewee yang diviralkan sempena tahun baharu Cina yang  menggunakan ikon anjing (seks) berlatar belakangkan Putrajaya, bukan di Tokong. Kenapa MCA senyap sepi. Kena kepada kita tidak mengapa, kena pada mereka melenting. MCA ini siapa?

Heran sungguh saya, sehingga warna pakaian pun hendak ditetapkan warna apa. Siapakah yang mengeluarkan wang untuk mengadakan rumah terbuka tersebut. Wang MCA atau wang rakyat. Jika wang rakyat, suka hati rakyat lah nak pakai baju warna apa.

Cuma saya musykil bila pemimpin MCA mahu memakaikan baju melayu ketika masuk dalam sidang Dewan Undangan Negeri, Dewan Rakyat dan Dewan Negara. MCA sangat berbanggga memakai blues jacket, blazer dan tie. Tetapi tidak sama sekali mahu memakai kebangsaan Melayu seperti wakil rakyat Melayu yang lain. Apakah pakaian Melayu membawa ‘sial’ si pemakai atau kepada pemimpin MCA.

Janganlah hipokrit. MCA boleh mengaburi mata orang lain, tetapi bukan mata saya. Cukup..sudah cukuplah ‘attack’ Nazri Aziz. Dia ada hak bersuara dalam sistem demokrasi. MCA gatal punggung pasal apa.

Sekian lama, MCA menyingung perasaan umat Islam dengan mencampuri hal ehwal agama Islam. Kami diam sahaja. Sehinggakan saya mengambil keputusan keluar daripada parti perkauman ini kerana terlalu menentang Akta 355 yang tidak ada kena mengena dengan mereka. Kenapa begitu lantang?

Wang bapak kamukah yang punya mengadakan rumah terbuka tersebut, sehingga mahu menetapkan warna orang yang mahu menghadirinya. Ditakdirkan nanti bila ada orang menghadiri majlis kematian orang Cina dengan memakai baju merah. Apakah nanti MCA akan bertindak menghalau orang tersebut?

Tidak semua faham budaya Cina. Jika mereka faham pun, sekiranya dia tidak mahu mengikut. Kita tidak boleh buat apa-apa sebab itu hak dia, bukan hak kita.

Ramai pemimpin MCA memakai skirt pendek menghadiri majlis keramaian dan majlis kematian orang Melayu, kita tidak kisah pun. Sebab kita faham, kamu bukan Islam dan mungkin kerana kejahilan. Kenapa perlu membuang masa dengan isu remeh temeh ini?

Saya sendiri ketika mengajar subjek hubungan etnik, sentiasa mengingatkan pelajar saya supaya menjaga sensitiviti setiap kaum di negara kita. Dalam soal warna misalnya, hitam dan putih itu melambangkan kesedihan. Jika pergi menziarahi majlis kematian orang Cina, maka hormatlah dengan memakai warna tersebut.

Namun, pepatah orang putih ada berkata, kita boleh bawa kuda ke tebing, tetapi kita tidak boleh paksa kuda minum air.

Mungkin Nazri tidak tahu. Jika dia sengaja buat,  tidak menjadi masalah apa-apa. Bukan isu besar.  Lagi pun tidak ada apa-apa kejadian malang yang berlaku ketika rumah terbuka tersebut.

Jangan jadi kaduk naik junjung. Berpada-padalah. Tidak perlu berkelahi dengan Nazri Aziz. Malah perlu berterima kasih kerana selaku Menteri Pelancongan dan kebudayaan, saya fikir ramai orang Cina yang telah dibantu dan dikayakannya, terutama dalam sektor perhotelan dan pelancongan.

Saya hanya akur kepada MCA jika mereka hormat kepada Islam dan pada masa sama berjaya menarik undi Cina kepada BN. Tetapi boleh dikatakan majoriti besar undi pergi kepada DAP. MCA hanya mengharapkan undi Melayu. Apakah ini sebenarnya jasa kepada negara? Tidak jasa yang ditinggalkan itu adalah hasil daripada ehsan orang Melayu yang memberi kemenangan kepada MCA?



.

Monday, March 05, 2018

Ultra kiasu....Siapa nak mengaku berak tengah jalan

9:39 AM Posted by RIDHUAN TEE No comments
sila layari laman 


web https://www.ismaweb.net/2018/03/05/wahai-ultra-kiasu-siapa-nak-mengaku-berak-tengah-jalan/


PEMIMPIN ultra kiasu menafikan sekeras-kerasnya menerima derma atau sumbangan daripada taikun ultra kiasu seperti dilaporkan beberapa media arus perdana. Saya tidak fikir ultra kiasu akan mengaku, kerana sudah tentu berita ini makan tuan. Siapa nak mengaku berak tengah jalan.

Saya tidak fikir taikun ultra kiasu tersebut akan berterus terang atau secara terang memasukkan sejumlah wang langsung kepada akaun ultra kiasu. Sudah tentu dalam soal ini mereka akan bertindak licik. Derma atau sumbangan ini akan diberikan melalui cara lain, mungkin ada pengantaranya.

Sama seperti berlaku kepada laman web ultra kiasu apabila mahkamah memerintahkan supaya membayar kos lebih kurang RM300,000. Maka segera ultra kiasu ini melancarkan kutipan derma. Dalam masa tidak sampai seminggu sudah mencapai sasarannya. Sekarang ini, mereka membuka akaun lain pula, jika ditakdirkan terpaksa membayar kos guaman yang lain.

Saya fikir ultra kiasu tidak sebodoh yang difikirkan untuk memberikan derma atau sumbangan secara langsung. Mereka mesti secara berstrategi dan taktikal. Saya amat yakin, selepas ini akan ramai ultra kiasu akan memberi sumbangan kepada parti ultra kiasu ini.

PRU14 adalah kemuncak dan penentu kepada hidup mati dan masa depan ultra kiasu. Mereka mahu memastikan kejayaan dapat diraih dalam PRU14, dalam pada UMNO dilihat berada dalam keadaan ‘lemah’ dengan isu-isu kontroversi yang melanda. Jika tidak peluang ini mungkin tidak muncul pada masa akan datang. Lima tahun lagi adalah suatu keadaan yang sukar untuk diramalkan.

Pada awalnya mereka sangat yakin ketika PAS masih berada dalam Pakatan Rakyat (PR). Tetapi apabila PAS keluar daripada PR, mereka seolah-olah kehilangan ibu. Mahu tidak mahu mereka terpaksa mencari rakan baharu. Mereka hasut pemimpin atau ahli PAS yang liberal agar keluar daripada PAS dan menubuh parti baharu. Strategi ini ternyata berjaya. Akhirnya, membawa kepada penubuhan Parti Amanah Negara (PAN). Orang Melayu berpecah lagi.

Pucuk dicita ulam mendatang, perpecahan dalam UMNO yang membawa kepada penubuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dimanipulasi sepenuhnya bagi memastikan orang Melayu terus berpecah.

Kini, semua strategi dan harapan mereka telah tercapai dengan tertubuhnya Pakatan Harapan (PH). Saat yang dinanti telah tiba. Ultra kiasu sedang mengumpul segala tenaga dan kekuatan sehingga menuju puncak untuk menawan Putrajaya.

Saya amat yakin taikun-taikun ultra kiasu sedang berbondong di belakang untuk memastikan ultra kiasu ini berjaya sepenuhnya pada PRU14. Mereka menjelma dalam bentuk lain, bukan nama sebenar. Tetapi mereka tetap taikun ultra kiasu memberi bantuan kepada parti ultra kiasu.

Mereka takut, jika mereka menyerlah nama sebenar, ditakdirkan PH gagal dalam PRU14, sudah tentu nasib mereka ibarat berada di hujung tanduk.

Ultra kiasu tetap ultra kiasu. Mereka bukan bodoh politik. Kita yang perbodohkan. Saya sangat pelik kenapa kita masih buta dan tidak nampak kebobrokan mereka itu. Malah, terus bersengketa sesama sendiri dengan memberikan kelebihan kepada ultra kiasu. Mereka terus bersandiwara kononnya mahu memberikan kerusi Parlimen Alor Gajah yang selama ini ditandingi kepada PPBM. Wal hal, ultra kiasu memang tidak boleh menang di kawasan majoriti Melayu.

Ultra kiasu mungkin boleh berlagak kerana menang di kawasan majoriti Cina iaitu kawasan bandar. Tetapi masih lagi tidak boleh menipu Melayu di kawasan majoriti Melayu.
Jika mereka begitu berani dan yakin Melayu menyokong, letakkan sahaja calon Melayu ultra kiasu di Alor Gajah, tidak perlulah bersandiwara. Bukankah bilangan orang Melayu menyertai parti ultra kiasu tersebut sudah bertambah?

Lagi satu, jika ultra kiasu benar-benar baik dan bersopan santun, korbankan kerusi kawasan majoriti Cina yang mereka tandingi selama ini kepada PPBM. Kenapa mahu bersedih memberikannya kepada PPBM. Ini menunjukkan bahawa ultra kiasu tidak boleh ke mana-mana di kawasan majoriti Melayu. Jika ada undi, hanya daripada PAN sahaja.

Justeru, saya amat mengharapkan supaya pihak berkuasa benar-benar dapat mengenal pasti taikun ultra kiasu yang memberikan sumbangan kepada ultra kiasu. Saya amat yakin ramai. Mereka telah berjaya dikayakan dengan sistem yang sedia ada. Apabila berjaya, wang dicurah kepada ultra kiasu.

Janjilah sebanyak manapun bantuan diberikan kepada sekolah Cina termasuk penambahan pembinaannya. Saya tidak nampak ultra kiasu akan mengundi UMNO. Percayalah! Di mata ultra kiasu hari ini, imej UMNO amat buruk. Kalau boleh mereka mahu membenamkan UMNO agar tidak boleh timbul lagi jika ditakdirkan tewas dalam PRU14.

Sebab itulah, saya menyeru kepada UMNO, sekarang ini bukan masa untuk memenangi hati ultra kiasu. Masa yang terdekat ini mesti digunakan untuk memenangi hati orang Melayu, mereka yang sebangsa dan seagama. Pastikan tidak ada undi diberikan kepada ultra kiasu. Kerana di kawasan bandar, ultra kiasu tidak memberikan undi kepada UMNO (BN).

Ini bukan bermakna mengabaikan bukan Islam, ramai lagi Cina dan bukan Islam yang baik-baik. Teruskan menjaga kebajikan mereka yang tidak menentang Islam dengan baik.

Tetapi jangan menjanjikan bulan dan bintang. Memberikan bantuan dan menambah sekolah Cina akan menyakiti hati orang Melayu kerana mereka melihat sendiri beza antara aekolah Cina dengan sekolah agama. Seolah-olah sekolah agama diabaikan.

Pergilah buat perbandingan, sekolah Cina ini hari ini begitu mewah. Prasana dan kemudahan mereka hebat. Berbondong-berbondong taikun ultra kiasu membantu dan menderma. Hatta SJKC kurang murid seperti SJKC Choon Hwa, Batu 18, Hulu Langat. Hanya mempunyai 23 murid dengan 22 murid terdiri daripada murid Melayu dan hanya ada satu (1) orang murid Cina. SJKC ini terus beroperasi dengan gah walaupun sepatutnya sudah ditutup.

Banding dengan sekolah agama, apakah kita turut memberikan fokus membantunya? Insiden kebakaran di Maahad Tahfiz Keramat yang mengorbankan 23 murid cukup menyayatkan hati. Selepas terbakar, baharu kita bergegas membantu sekolah agama yang dijamin haknya dalam Perlembagaan.

Hari ini, kita sudah tidak lagi memahami apa itu equality dan equity. Equality bermaksud persamaan atau memberikan hak yang sama kepada rakyat Malaysia tanpa mengira kaum. Manakala, equity bermaksud memberikan hak kepada yang berhak yang juga terangkum dalam definisi keadilan. Apakah kita sudah memenuhi tanggungjawab kita memberikan hak kepada yang berhak?

Dalam maksud, persamaan hak misalnya, hak mendapatkan pendidikan bahasa ibunda dengan kewujudan sekolah vernakular. Pada hemat saya, kerajaan sudah menunaikan tanggungjawabnya pada tahap terbaik. Bantuan demi bantuan dan pembinaan demi pembinaan telah diberikan.

Malangnya, mereka beroperasi terlampau kecinaan sehingga sukar untuk dikawal. Malah, PRU14 yang bakal menjelang dijadikan medan untuk mendesak dan mengugut kerajaan sedia ada agar segera menambah lagi pembinaan sekolah Cina. Mereka tidak mengambil serius pun tahap penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan anak-anak Cina yang sangat rendah.

Kita terus tertipu, undi tidak juga berpihak kepada BN. Begitulah liciknya taikun dan ultra kiasu berpolitik dan berstrategi.

Pendek kata, kita terlalu memberikan perhatian kepada persamaan hak atau equality, sehingga mengabaikan equity, iaitu memberikan hak kepada yang berhak.

Bergenang air mata kadangkala melihat kedudukan sekolah agama. Jauh sekali bezanya dengan sekolah Cina, kerana kita tidak banyak taikun. Sedangkan dari segi hak, bukan sahaja ia berhak, tetapi mendapatkan satu lagi jaminan, mendapatkan hak yang menjadi hak. Semuanya ini sudah termaktub dalam Perlembagaan.

Cukuplah…cukuplah berpolitik. Saya fikir sempena PRU 14 yang bakal menjelang tiba dalam saat terdekat ini, fokuskanlah untuk memenangi hati orang Melayu yang sudah lama terluka, bukannya ultra kiasu yang sememang mempunyai kemampuan dan taikun-taikun untuk membantu. Sebanyak mana pun yang diberikan, bantuan dan undi tetap terfokus kepada ultra kiasu.

Kita melopong dan berputih mata hanya kerana percaya kepada strategi licik mereka.

Percayalah, semakin banyak sekolah vernakular dibuka, semakin gah sekolah ini. Malang pembinaan negara bangsa tidak banyak berubah. Penguasaan bahasa Melayu mereka masih berada di peringkat yang sangat rendah. Kita mahu membina apa sebenarnya? Membina negara atau mahu mendapatkan kuasa untuk tempoh lima tahun. Selepas itu apa?
Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah
Profesor Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan (FUPL)
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)