Semua artikel adalah pendapat peribadi. Anda berhak untuk tidak meneruskan bacaan atau tidak mengakseskan blog ini serta merta jika anda tidak bersetuju dengan pemikirannya. All the articles written are the personal views. You have absolute rights not to continue reading or to discontinue accessing this blog immediately if you are disagreeable with the personal views.

Monday, June 24, 2019

Bangun Malaysia!Jangan tunduk kepada ultra kiasu

11:00 PM Posted by RIDHUAN TEE No comments
https://www.ismaweb.net/2019/06/24/jangan-terus-tunduk-kepada-ultra-kiasu-bangun-malaysia/
Bangun Malaysia!Jangan tunduk kepada ultra kiasu

LIHATLAH! Bijak ultra kiasu berstrategi. Apabila timbul sahaja idea mahu memperkemas dan memperkukuhkan lagi Tambak Johor oleh negara kita, maka negara ultra kiasu Singapura terus bersetuju dengan cadangan pembinaan laluan pejalan kaki (termasuk motosikal).

Jika ini dilakukan, bermakna Tambak Johor akan terus kekal sampai bila-bila – sampai kiamat. Sudah tentu ia tidak menguntung kita, tetapi, keuntungan paling besar kepada Singapura.

Sejak dahulu lagi negara ultra kiasu mahukan Tambak Johor kekal di situ dan tidak boleh ada yang menggantikan jambatan itu.

Tambak Johor sangat menguntungkan negara ultra kiasu dan amat merugikan Malaysia. Sebab itu, idea jambatan bengkok menggantikan Tambak Johor yang pernah dicadangkan dan dikemukakan oleh Tun Dr Mahahtir Mohamad ketika menjadi Perdana Menteri ke 4 ditentang habis-habisan oleh negara ultra kiasu itu.

Lebih menyedihkan lagi, pembinaan jambatan bengkok terbantut dan dibatalkan ketika zaman Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) menjadi PM.

Saya masih ingat ucapan tegas negarawan kita sekarang, ketika menjadi PM ke-4 mengenai idea pembinaan jambatan bengkok menggantikan Tambak Johor, jika negara Singapura tidak setuju, kita akan terus bina sehingga sampai ke kawasan perairan kita, kemudian disambung dengan Tambak Johor sebelah Singapura.

Logiknya mudah, ini kerana apabila dibuka sahaja Tambak Johor dengan jambatan baharu (jambatan bengkok) yang membolehkan kapal melalui di bawahnya, sudah tentu ia menguntung Malaysia dan menjejaskan industri pelabuhan negara ultra kiasu itu.

Pelabuhan kita di Tanjung Pelepas akan menjadi saingan besar kepada Singapura. Sekarang ini, kapal yang hendak ke Tanjung Pelepas terpaksa berpusing jauh. Sebaliknya, ia menjadi dekat jika Tambak Johor digantikan dengan jambatan yang memboleh kapal melalui di bawahnya.

Jika kapal dari Selat Melaka hendak ke Tanjung Pelepas, mungkin dekat. Hanya masuk melalui Selat Johor. Tetapi, bagaimana jika kapal yang datang dari arah Laut China Selatan atau Teluk Siam? Memang tidak boleh melalui Selat Johor kerana disekat oleh Tambak Johor.

Apakah kita tidak sedari akibat kewujudan Tambak Johor, yang berada di situ yang menjadikan kita sentiasa berada di pihak yang rugi. Ini tidak termasuk isu pencemaran, soal air laut yang terpendam dan tidak dapat mengalir seperti sedia kala jika laluan itu diperbesarkan dan dibuka.

Kenapa ktia tidak dapat melihat perkara ini dengan lebih terperinci dan berstrategi. Sampai bila kita mahu terus mengalah kepada Singapura, sedangkan negara itu langsung tidak mahu bertolak ansur dalam setiap perkara yang ‘merugikan’ mereka.

Sudahlah perjanjian air langsung tidak boleh disentuh. Kita terpaksa menjual air mentah kepada negara ultra kiasu itu sehingga tahun 2061 dengan harga 0.03 sen per 1,000 gelen. Apabila ada idea menaikkan harga air mentah kepada kadar yang lebih logik, seperti ketegasan PM hari ini, yang tetap mahukan harga air dikaji semula, maka negara ultra kiasu itu akan menentang.

Saya masih ingat ketika zaman Pak Lah menjadi PM, cadangan menaikkan harga dikemukakan lagi, ketika itu respon pemimpin ultra kiasu yang telah meninggal dunia dengan tegas menjawab. Jawapannya adalah PERANG. Begitulah kurang ajarnya ultra kiasu.

Air, air kita, dek kerana perjanjian itu, solah-olah air bapak dia. Sudahlah kolam tadahan di Johor, dikawal sepenuhnya oleh tentera Singapura. Kita dalam negara sendiri pun tidak dibenarkan masuk ke kolam tadahan berkenaan.

Ini tidak termasuk lagi kekalahan kita di mahkamah antarabangsa berhubung isu Pulau Batu Putih. Nasib belum tentu menyebelahi kita dalam soal isu Pulau Pisang.

Justeru, Tambak Johor mesti diganti dengan jambatan baharu seperti idea asal PM sekarang ini. Kita perlu bersaing secara sihat dengan negara ultra kiasu ini. Negara ultra kiasu ini tidak boleh dibiarkan dengan keultrakiasuannya.

Ingatlah wahai pemimpin negaraku. Saya teringat kepada pesanan pensyarah strategi dan keselamatan saya, ketika melanjutkan pelajaran dalam bidang pengajian keselamatan dan strategi, mendiang Prof Dr Chandran Jushurun.

Kata beliau, negara ultra kiasu ini ibarat mendapat sebiji kek. Dia (Singapura) tidak akan kongsi kek itu dengan orang lain (Malaysia). Dia mahu makan seorang sehingga habis, baru dia rasa puas, meskipun Singapura adalah hak Malaysia dari segi sejarah asal usulnya.

Disebabkan ‘kesilapan’ kita, ia telah terlepas menjadi sebuah negara ultra kiasu. Pesanan akhir mendiang Prof Chandran yang sempat saya belajar daripadanya.

Itulah istilah ultra kiasu yang saya berikan nama sebelum ini sehingga kini, termasuk sekutunya di dalam negara kita, yang sangat bahaya.

https://www.ismaweb.net/2019/06/24/jangan-terus-tunduk-kepada-ultra-kiasu-bangun-malaysia/

Monday, June 17, 2019

Bahasa Melayu merempat di bumi sendiri

3:13 PM Posted by RIDHUAN TEE No comments
Bahasa Melayu merempat di bumi sendiri
KEBELAKANGAN ini saya lihat papan tanda dan apa juga risalah yang digantung dan dipaparkan, langsung tidak mendaulatkan bahasa Melayu. Seolah-olah bahasa Melayu merempat dibumi sendiri.
Kedudukan bahasa Melayu selaku bahasa negara era ultra kiasu ini, semakin lama semakin terhimpit. Saya menjadi semakin keliru, siapa atau institusi manakah yang bertanggungjawab menjaga kedaulatan bahasa Melayu?
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)? Majlis bandar raya? Atau pihak berkuasa tempatan (PBT) atau siapa?
Semalam, kira-kira 50 ultra kiasu berkumpul di luar bangunan Dewan Perhimpunan Cina Selangor dan Kuala Lumpur (KLSCAH) sekitar jam 2.45 petang. Rata-rata peserta himpunan memakai baju hitam dan memegang sepanduk.
Mereka, rakyat Malaysia, termasuk pendatang haram China yang berada di Kuala Lumpur, berhimpun bagi menunjukkan solidariti dengan penunjuk perasaan di Hong Kong yang membantah rang undang-undang (RUU) ekstradisi di bekas tanah jajahan British itu.
Bagaimanapun, pihak polis melarang peserta himpunan itu daripada berarak ke kawasan pusat bandar raya kerana tidak memohon permit.
Sekumpulan rakyat Malaysia di Kuala Lumpur menunjukkan solidariti dengan penunjuk perasaan di Hong Kong yang membantah rang undang-undang ekstradisi. – Gambar Malaysiakini
Tidak ada dua China melainkan satu
Plakad mereka antaranya berulis “Solidariti dengan Hong Kong” dan “Anti Undang-undang Ekstradisi,” rata-rata ditulis dalam bahasa Cina dan bahasa Inggeris, langsung tidak ada sepatah haram pun bahasa Melayu.
Begitu juga beberapa perhimpunan yang dilakukan oleh mereka sebelum ini di beberapa bandar di negara ini. Jika perhimpunan membabitkan ultra kiasu, bahasa Melayu langsung tidak didaulatkan. Mereka hanya obses kepada bahasa Cina dan bahasa Inggeris.
Saya teramat pelik, mereka ini tinggal di mana? Di Malaysia atau China?
Lebih memeranjatkan lagi, dalam perhimpunan ini dua wanita dari China ditahan kerana mereka tidak dapat menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri.
Untuk makluman, kerajaan komunis China mahu memperkenalkan RUU bagi membenarkan ekstradisi pesalah ke China.
Ini menjadi punca kepada ratusan ribu orang Cina yang tinggal di Hong Kong turun berdemonstrasi sepanjang minggu lalu. Akibat demontrasi ini, kerajaan China dikatakan menangguh RUU berkenaan buat seketika.
Namun, pengkritik RUU ini mahukan ia dibatalkan terus. Mereka bimbang dengan perluasan pengaruh daripada pentadbiran di Beijing terhadap Hong Kong. Saya yakin kerajaan komunis China tidak akan tunduk kepada protes ini. Tidak ada dua China melainkan satu.
Mengikut sejarah, Hong Kong sebagai bekas tanah jajahan Britain dikembalikan kepada pemerintahan China pada 1997 di bawah perjanjian ‘satu negara, dua sistem’ yang menjamin autonomi terhadap pulau itu.
Kerajaan Hong Kong mendakwa rang undang-undang ekstradisi yang dicadangkan itu akan ‘menutup kelemahan’ undang-undang yang boleh dieksploitasi supaya kota raya itu tidak menjadi tempat selamat bagi penjenayah berlindung.
Pengkritik memprotes undang-undang itu kerana ia akan mendedahkan warga Hong Kong kepada sistem keadilan yang tidak sempurna komunis China dan menjejaskan kebebasan kehakiman di pulau kota itu.
Eloklah angkat kaki berhijrah
Peliknya, apa kaitan dengan masalah China dengan negara kita? Apakah masih tebal kecinaan ultra kiasu terhadap China. Kenapa warga China yang tidak mempunyai dokumen boleh berada di negara ini? Siapa yang membenarkan mereka masuk dengan mudah? Begitu juga ramainya Cina Vietnam yang berada di negara ini.
Jika begitu obses ultra kiasu Malaysia kepada Hong Kong, eloklah angkat kaki berhijrah. Kenapa mahu campur tangan dalam hal ehwal China? Apa kaitan RUU Hong Kong dengan kita di Malaysia.
Ketika RUU355 dibentangkan, ultra kiasu begitu kuat menentang, sedangkan RUU355 tidak ada kaitan langsung dengan mereka. Ultra kiasu ini bertuankan siapa?
Sebelum inipun, saya juga terlihat dan terbaca berita beberapa perhimpunan mereka. Bahasa yang digunakan dalam banner, bunting, plakad dan lain-lain lagi langsung tidak mencerminkan negara ini bahasa kebangsaannya adalah bahasa Melayu.
Baru-baru ini, saya melintas Kedah dan Pulau Pinang sempena hari raya baru-baru ini. Ternyata kedudukan bahasa Melayu semakin menyedihkan. Menu makanan digantung di luar hotel, tidak ada sepatah pun bahasa Melayu digunakan
Pulau Pinang tidak lagi sebut sebagaimana nama asalnya, tetapi lebih selesa disebut ‘Penang’. Itupun mereka bercadang membina papan tanda gergasi PENANG ala HOLLYWOOD.
Cadangan ini mendapat tentangan daripada persatuan alam sekitar kerana ia membahayakan. Tidak mustahil suatu hari nanti ia menjadi realiti.
Cadangan saya, jika ultra kiasu ikhlas, daripada diletakkan nama PENANG, lebih baik letak kalimah ALLAH. Bagi menunjukkan bahawa asal usul Pulau Pinang adalah kepunyaan Kerajaan Melayu Islam Kedah.
Jati diri, baju Melayu dan KTM
Ketika melintasi Sungai Petani dan Kulim, terpandang taman-taman perumahan baharu dengan nama-nama Yarrapark, Westfield, Fairfield dan banyak lagi nama-nama yang begitu asing. Apa sudah jadi dengan negara berasaskan kepada sistem kenegaraan Melayu ini?
Apakah sudah mati jadi diri orang Melayu yang meluluskan nama taman-taman perumahan sedemikian. Tidak usah pergi ke Pulau Pinang. Bahasa Melayu di pulau itu sudah lama hancur sejak zaman Gerakan, MCA dan bertambah lagi zaman ultra kiasu sekarang.
Jika keadaan ini berterusan, tanpa penguatkuasaan, 10 tahun lagi, bahasa Melayu hanya akan tinggal pada baju Melayu sahaja atau kereta api sahaja. Itupun baju Melayu dan Keretapi Tanah Melayu (KTM) belum tentu selamat, kerana selagi ada identiti Melayu dan Islam, selagi itulah ultra kiasu sentiasa merancang untuk meruntuhkannya.
Mereka tidak mahu adanya identiti Melayu Islam dalam sebuah negara yang begitu jelas asal usul kenegaraan keMelayuannya. Jika perancangan ini berjaya, tunggulah kehancuran Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak.
Justeru, saya merayu kepada orang Melayu Islam dan Bumiputera Sabah dan Sarawak, bangunlah. Bangkit menentang kebobrokan ultra kiasu ini sebelum terlambat. Jati diri negara ini mesti berakarkan kepada Melayu Islam dan Bumiputera.
Jangan biarkan ia hilang disebabkan kelalaian dan kealpaan kita. Saya tidak kata zaman BN dahulu bagus, puncanya tetap ada daripada dahulu lagi, tetapi keadaan hari ini bertambah rumit dan tersangat kusut.

Monday, June 10, 2019

Aura Najib tanpa ‘seri’ Rosmah

8:08 AM Posted by RIDHUAN TEE No comments

Aura Najib tanpa ‘seri’ Rosmah

bacaan lanjut, layari ismaweb...

https://www.ismaweb.net/2019/06/10/aura-najib-tanpa-seri-rosmah/

Najib dan Zahid serta bekas Menteri sezaman dengannya perlu berada di belakang UMNO bukan di depan. Serahkan kepemimpinan UMNO sepenuhnya kepada Tok Mat.

Saya setuju dengan saranan Najib Razak, agar kajian dibuat kenapa sambutan luar biasa diperolehi meskipun beliau tidak lagi menjadi PM dan sedang menghadapi tidak kurang 50 pertuduhan di mahkamah.

Sekiranya Najib sedar daripada awal, sudah tentu lain keadaannya hari ini. Sebelum PRU14, cakap-cakap daripada rakyat marhaen begitu kencang. Rosmah, isteri Najib, dilihat seolah-olah begitu berkuasa. Meskipun, hanya persepsi, tetapi kepada rakyat, itulah realiti.  

Kenapa Najib tidak boleh kawal Rosmah sehingga seolah-olah kelihatan Rosmah itulah Perdana Menteri. Kini, apabila Najib berjalan tanpa Rosmah, rakyat marhaen mengerumuninya sehingga lupa skandal 1MDB, Jho Low, dan perbicaraan berkaitannya yang sedang berjalan.

Pun begitu, jangan tersangat teruja pula dengan sambutan luar biasa rakyat yang diberikan kepada Najib.

Sama seperti keyakinan BN untuk menang PRU14. Badan penyelidik, think tank dan kumpulan akademik pro Najib (BN) terlalu yakin BN boleh menang dan dapat majoriti lebih besar. Sedangkan mereka yang merakyat, mengatakan sebaliknya.

Rakyat hanya menunggu masa sahaja tarikh PRU14 diumumkan. Bila diumumkan sahaja, rakyat sudah nekad dengan pilihannya menolak BN. BN akhirnya kecundang.

Sebab itu, jangan terlalu yakin dengan sambutan “maluapabossku”. Apa yang penting hari ini adalah buat kerja yang terbaik untuk rakyat, sebab rakyat sudah muak dengan apa yang dilakukan oleh PH hari ini.

Tindak tanduk pemimpin PH semakin memualkan.  Percakaran dalam sesama mereka tidak boleh dibendung lagi. Lebih membahayakan, rahsia kelemahan keselamatan dan pertahanan negara didedahkan di khalayak.

Lihatlah juga bagaimana reaksi mereka dengan perlantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu.

Justeru, pimpinan UMNO (BN) perlu mengambil segala ruang dan peluang ini. Cuba hindarkan kenyataan demi kenyataan yang boleh meluntur hati rakyat. Misalnya, kenyataan Zahid Hamidi mengenai lailatul qadar dan 18 missed call  daripada Najib tahun lalu, kaitan dengan perlantikan menjadi Timbalan Perdana Menteri, gara-gara tidak dapat menunaikan umrah kerana passport beliau masih ditahan sementara menunggu perbicaraan.

Pada hemat saya, lailatul qadar ini adalah sesuatu yang amat bersifat peribadi. Saya tidak fikir mereka yang bertemu dengannya akan menceritakan kepada orang ramai. Tetapi Zahid mengambil sikap sedemikian. Sama ada itu petanda lailatul qadar atau tidak, kita serah kepada Allah. Tetapi ucapan seperti itu tidak sepatutnya keluar.

Saya tidak nafikan hari ini Najib dan Zahid serta beberapa menterinya  masih popular. Tetapi perlu ingat, apakah dengan hampir 50 pertuduhan itu, tidak ada satu pun yang akan lekat?

Pada pengamatan awal saya, sokongan yang Najib dan Zahid terima hari ini, bukan kerana rakyat terlalu suka atau yakin dengan mereka, tetapi rakyat terlalu muak dengan cara PH menerajui kerajaan.

Hari demi hari berlalu, keadaan ekonomi tidak banyak berubah, malah rakyat semakin terhimpit. Begitu juga dengan kenyataan demi kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin PH, semakin menyakitkan hati dan gagal mencuri perhatian rakyat.

Terus terang, saya lebih suka Najib dan Zahid duduk di belakang UMNO. Begitu juga dengan mereka yang pernah memegang jawatan Menteri sebelum itu.

Apa yang boleh dilakukan oleh semua bekas Menteri ini adalah, terus aktif dengan laman sosial mereka dan ciapan setiap hari. Rakyat suka membaca dan mendengarnya. Pengamalan-pengalaman yang ada pada kamu begitu mahal harganya, meskipun kamu pernah melakukan kesilapan semasa memegang kuasa dahulu. 

Jangan malu mengakui kesilapan.

Ingat kata-kata ini, old generation are using walking sticks…young generation are using Selfie sticks…

Serahkan kepimpinan UMNO sepenuhnya kepada Tok Mat tanpa diganggu gugat oleh pengikut-pengikut yang agak fanatik.

UMNO memerlukan suntikan baharu di bawah pimpinan Tok Mat. Tok Mat tanpa Najib dan Zahid serta bekas Menteri yang diragui integritinya, perlu membuktikan bahawa UMNO benar-benar bersih daripada rasuah dan politik wang dalam dan luar parti. Integriti UMNO mesti menyerlah tanpa diselubungi dengan noda. Success without integrity is failure.

Selain itu, UMNO tidak boleh terlalu bergantung kepada bukan Melayu (Cina) untuk menang sehingga Melayu dan bumiputera merasa terpinggir. Dalam kata lain, terlebih menjaga BN sehingga terguris hati Melayu sama ada di dalam atau di luar UMNO.

Jaga ketuanan Melayu/bumiputera, yang lebih boleh diharap dari ketuanan BN yang sudah tertiarap. Ingat, berdasarkan congakan saya, dalam PRU15, undi Melayu di Semenanjung mampu memberikan kemenangan kepada UMNO dan PAS. Untuk memerintah dan membentuk kerajaan, tidak ada cara lain, melainkan mendapatkan sokongan padu daripada bumiputera Sabah dan Sarawak.

Suka atau tidak, dalam PRU15 akan datang, UMNO dan PAS perlu menekankan dan menjaga aspek kemajoritian Melayu atau bumiputera, tanpa mengenepikan bukan Melayu yang lain.

UMNO dan rakan baharunya, PAS perlu segera bertindak untuk memulihkan ‘damaged’ yang telah dibuat selama ini. Pasukan khas atau taskforce hendaklah ditubuhkan bagi tujuan pemulihan tersebut.

Antara perkara yang perlu dilakukan segera adalah, pertama, memulihkan kedaulatan negara yang telah dirobek oleh ultra kiasu. Kedua, bertindak segera ke atas jembalang-jembalang ultra kiasu yang begitu berani merobek kedaulatan Islam, Melayu dan bumiputera serta raja-raja Melayu. Ketiga, segera memperkasakan kedudukan Islam, Melayu/bumiputera dan raja-raja Melayu seperti termaktub dalam perlembagaan. Keempat, pulihkan sistem Pendidikan negara berasaskan perlembagaan. 

Pendek kata, selagi tindakan yang dilakukan berpaksikan perlembagaan, selagi itu kita akan berada di pihak kebenaran. Tidak perlu takut.

Apa yang saya dapat simpulkan, kegagalan UMNO membina jatidiri Melayu Islam yang kuat pada masa lalu, adalah punca apa yang berlaku hari ini.

Saya harap muhasabah ini dapat diterima  UMNO dengan lapang dada. Sudah lama saya pendamkan. UMNO perlu berani mengakui kesilapan dan kelemahan yang pernah dilakukan terhadap Melayu dan bumiputera Sabah Sarawak selaku tuan tanah bersama bumi bertuah ini berbanding yang lain.