Semua artikel adalah pendapat peribadi. Anda berhak untuk tidak meneruskan bacaan atau tidak mengakseskan blog ini serta merta jika anda tidak bersetuju dengan pemikirannya. All the articles written are the personal views. You have absolute rights not to continue reading or to discontinue accessing this blog immediately if you are disagreeable with the personal views.

Monday, April 27, 2015

Jangan bertindak 'terbulu-bulu'

8:25 AM Posted by RIDHUAN TEE 45 comments
Sinar Harian 27.4.15

Mendengar wakil rakyat ultra kiasu berbahasa Melayu (BM) di parlimen saya menjadi loya. Berpuluh tahun dan bergenerasi tinggal di bumi bertuah ini, masih lagi tidak dapat menguasai BM dengan baik. Masih menggunakan kata-kata “lu” (kamu) dan beberapa perkataan lain seperti terburu-buru menjadi “terbulu-bulu”, raja menjadi “laja” dan macam-macam lagi perkataan yang melucukan.

Sebagai orang Cina, saya akui, memang sukar untuk menyebut perkataan yang ada huruf “R”. Sebutan lori menjadi loli, lari-lali, rama-rama-lama-lama, durian-lulian, rumah-lumah, ragu-lagu. Haiyaa…ini maciam pun ada, manyak susah wooo. Bulung-bulung pun telebang di angkasee…

Jika minoriti Cina Terengganu dan Kelantan boleh menyebut dengan baik, kenapa orang lain tidak boleh. Bukankah kita bangsa Malaysia. Janganlah dibandingkan dengan Cina di Indonesia dan Thailand. Mereka jauh lebih baik.

Nak seribu daya, tak nak seribu dalih. Inilah akibatnya dalam sebuah negara yang mendaulatkan BM sebagai bahasa negara, ada orang lain yang meletakkan bahasa ibunda lebih tinggi dari yang lain, seolah-olah tinggal di negara lain. Kumpulan ini sedang membina negara dalam negara. Perkara tidak pernah berlaku di dunia lain, kecuali Malaysia yang terlalu bertolak ansur sehingga ditolak beransur-ansur.

Sudah sampai masanya setelah sekian lama peluang diberikan, kerajaan menggubal undang-undang, mereka tidak boleh menguasai BM dengan baik perlu diberikan pilihan.    

SPR mesti mensyaratkan sesiapa sahaja mahu menjadi wakil rakyat sama ada peringkat Parlimen mahupun DUN, paling kurang perlu mendapat kepujian (kredit) BM dalam SPM. Kelayakan minima, ada diploma. Wakil Rakyat perlu ditemuduga penguasaan BM dan sejarah Kenegaraan, sebelum dibenarkan bertanding.

Kita tidak mahu perbahasan di dewan atau parlimen seperti pasar malam.  Amat malu memilih gelagat wakil rakyat hari ini berkelakuan seperti budak-budak.

Setakat ini, mengikut undang-undang sedia ada. Semua warganegara, berumur 21 tahun, bermastautin, sempurna akal, tidak muflis, tidak memegang jawatan dalam perkhidmatan, tidak disabitkan dengan kesalahan oleh mahkamah, mendapat pengampunan jika mempunyai rekod jenayah, tidak pernah didenda tidak kurang daripada                         RM2000.00, tidak membuat akuan taat setia kepada negara luar,  bertanding atas nama parti atau sebagai calon bebas dan mengemukakan kertas penamaan calon pada hari penamaan calon dan tidak pernah dihukum penjara melebihi 12 bulan, layak bertanding.

Saya teringat satu insiden suatu ketika dahulu apabila TPM ditanya wartawan dalam bahasa Inggeris (BI), maka TPM jawab dalam BM. Wartawan tersebut tidak faham dan mahukan TPM menjawab dalam BI. Siapakah mereka? Sudah tentu wartawan ultra kiasu.

Sudahlah wakil rakyat tidak boleh menggunakan BM dengan baik, wartawan yang melaporkan beritapun sama. Apakah kualiti berita mereka boleh dipercayai? Sudah tentu tidak.   

Justeru, penangkapan beberapa wartawan kanan laman sosial ultra kiasu baru-baru ini patut menjadi pedoman. Kerja mereka menipu untuk menjual berita. Inilah realiti sebenar yang berlaku, termasuk mereka yang memahami BM, pun menipu juga.

Buktinya berita mengenai saya yang ditahan di lapangan antarabangsa Kuching, gara-gara saya tidak dibenarkan memasuki Sarawak. Media ultra kiasu tanpa usul periksa memutarbelit berita tersebut mengatakan saya ditahan. Wal hal saya tidak pernah menjejak kakipun di tempat tersebut.

Kedua, berita mengenai anak saya yang dikatakan memalsukan sijil SPM. Wartawan Bernama yang pertama sekali mendapat berita tersebut, pada 24 November 2014, melaporkan anak saya adalah mangsa pemalsuan sijil oleh agen. Tiba-tiba keluar dalam The Malaysian Insider (TMI), beritanya adalah, anak saya terlibat dalam pemalsuan sijil SPM. Saya menjadi mangsa kutukan dunia, sehingga ke hari ini, untuk mematikan karakter saya.

Menyedari pembohongan itu, wartawan Bernama menelefon saya mengatakan bahawa beritanya telah diputarbelitkan oleh TMI. Empat  jam selepas itu, berita di TMI bertukar mengikut apa yang dilaporkan Bernama yakni anak saya menjadi mangsa penipuan. Inikah kualiti laman sosial yang dipertahankan ultra kiasu?

Saya telah membuat laporan polis tentang perkara tersebut. Saya bertanya kepada wartawan TMI, kenapa berita mengenai saya diputar belitkan? Maka jawapannya, itu adalah kerja editor kanan yang telah mengeditkan berita yang telah dibuat. Editor itu dengan sengaja menyelewengkan berita itu.

Berita ini juga turut dipetik oleh akhbar Cina kerana geramnya mereka terhadap saya. Begitulah jahatnya ultra kiasu yang mendakwa diri mereka telus dalam pemberitaan, sebagai berita alternatif.  

Peliknya, apabila pengarang tersebut ditangkap untuk disoal siasat berhubung dengan pemalsuan berita mengenai hudud dan raja-raja Melayu, wakil rakyat ultra kiasu pakat-pakat berpakaian hitam di parlimen dan DUN, sebagai tanda protes, membelakangkan raja Melayu.


Inilah kebobrokan ultra kiasu. Mereka semua betul, kita semua salah. Saya sendiri pernah bercakap dengan wartawan kanan berbangsa Melayu yang ditangkap itu. Kenapa saya sentiasa menjadi target berita. Jawapannya, itu memang kerja mereka, kerana saya adalah target, public figure. Nasihat kepada semua, jangan bertindak ‘terbulu-bulu’ (terburu-buru).

* Prof. Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah, INSPIRE/PPA, UniSZA



Monday, April 20, 2015

Apa nak jadi dengan Umno?

8:36 AM Posted by RIDHUAN TEE 66 comments
Apa nak jadi dengan Umno? (Sinar Harian 20.4.15)

Saya tidaklah rapat dengan Tun Mahathir. Tetapi dalam PERKIM, Tun adalah YDP dan saya adalah antara NYDPnya. Dua atau tiga bulan sekali, pasti kami berjumpa, bermesyuarat.

Selaku seorang negarawan, Tun boleh mengambil pendirian berdiam diri. Apatah lagi apabila sampai usia emas ini. Bermain dengan anak cucu. Tidak perlu pening kepala. Tetapi Tun tidak memilih jalan tersebut.

Negarawan tetap negarawan, hatinya tidak akan tenang, jika ada yang tidak kena. Tun lantang mengkritik dan memberi pandangan. Adalah itu salah dalam sebuah negara demokrasi? Ada yang menyalahkan Tun kerana tidak menggunakan saluran parti. Persoalannya, adakah saluran parti akan menerima pandangan Tun atau  pandangan Tun mungkin disenyapkan?

Memahami politik Malaysia, kadangkala orang sekeliling kita lebih sudu dari garpu. Mungkin Tun dengan PM tidak ada apa-apa. Pertemuan bagaikan adik-beradik. Tetapi tidak kepada orang keliling. Cucuk sana, cucuk sini. Keadaan semakin buruk. Elok juga kadangkala PM berdiam diri.

Kita selalu mencari  siapa benar, siapa salah. Bukannya mencari apa yang benar, apa yang salah. Berilah jawapan yang Tun bangkitkan. Itu sahaja yang Tun pinta. Sama ada Tun berpuas hati atau tidak, kita lihat, yang penting jawab. Tun seorang yang rasional. Ada perkara yang saya berbeza dengan Tun, terutama isu hudud.

Tidak dinafikan Tun ramai pengikut senyap. Tun tidak keseorangan. Memahami budaya politik Umno, ketika berkuasa, pemimpin disanjung dan dijunjung. Kentutnya pun bau wangi. Berbeza dengan Tun, walaupun sudah tidak berkuasa, taringnya masih ada.

Politik membodek amat ketara ketika berkuasa. Jarang yang berani kata ‘No’ kepada PM. Boleh dikatakan, semuanya ‘Yes’ belaka. Saya tidak yakin PM mahukan jawapan sedemikian. PM mahukan keikhlasan. Tegur dan beri pandangan dengan ikhlas dan jujur. Bukan melaga-lagakan.

Tidak cukup dengan Tun, anak Tun, Mukhriz, MB Kedah, turut dimangsa oleh segelintir pemimpin Umno. Mereka mahukan anak Tun menyatakan pendirian sama ada sokong Tun atau PM. Tidak salah jika anak Tun mengambil pendirian menyokong manapun. Apa yang penting, neraca yang digunakan, Islam. Amar makruf, nahi mungkar. Ditakdirkan anak menyokong bapa, tidak perlu cari jalan menyingkirkannya. Berlapang dada.

Kenapa perlu mangsakan sesama sendiri, sesama saudara? Tidak bolehkah dalam keadaan bermasalah kita berperanan menjernihkan, bukan menambah. Ibarat menarik rambut dalam tepung. Kalau pemimpin Umno terus mengambil tindakan, saling jatuh-menjatuh, tikam-menikam, fitnah-menfitnah, Umno sedang menanti untuk membusuk, menggali kubur sendiri. Amat malang, pemimpin yang tidak memikirkan kepentingan Umno secara keseluruhan, tetapi lebih kepada dahan yang mana lebih kuat untuk berpaut. Memang, politik itu sesuatu yang tidak boleh dijangka.  

Ini belum termasuk lagi kisah salah seorang pemimpin pemuda Umno yang dikaitkan dengan skandal gadis keliling pinggang. Saya tidak dapat bayangkan bagaimana pemuda ini boleh memimpin Umno suatu masa nanti. Eloklah pimpinan Umno cepat-cepat keluarkan orang sebegini.

Ambil iktibar ultra kiasu yang bijak berpolitik. Licik dan berstrategi. Misalnya, memberi amaran kepada Pas agar tidak terjerat dalam “perangkap” Umno, dengan merujuk kepada insiden ketika Pas menyertai kerajaan campuran BN 1973, selepas itu ‘ditendang’ keluar pada tahun 1977 serta tragedi Memali pada 1985.

Walaupun mereka masih sepakatan, ultra kiasu mahu berlagak wira,  supaya nampak hebat, seolah-olah penyelamat. Malang sekali jika ada yang buta. Pas tidak perlu diingatkan. Pas tidak pernah lupa apa yang Umno pernah lakukan. Malah, Pas turut mengkafirkan Umno. Hari ini, kenapa Pas kembali lunak? Sudah tentu Presiden Pas ada jawapannya.

Peristiwa Memali tidak wajar dijadikan penyebab untuk Pas terus berdendam dengan Umno. Ibrahim Libya tidak akan hidup kembali meskipun dendam Pas terbalas. Allah mengetahui segala-galanya. Mereka yang bersalah tidak akan terlepas. Kejahatan yang dikesali, lebih baik dari kebaikan yang ditakburi. Inilah ultra kiasu yang sangat takabbur.

Mereka memperlekehkan Pas seolah-olah tidak bernilai satu sen pun. Presiden dan pimpinan Pas bukanlah bodoh untuk masuk dalam perangkap Umno. Mereka sangat kenal siapa Umno. Namun, saya amat yakin pimpinan Pas memikirkan kepentingan umat Islam berhadapan bahaya ultra kiasu.

Tidak dinafikan ada orang Umno yang menolak dan menentang hudud. Tetapi tidaklah sejahat ultra kiasu. Pernahkah Pas dibawa berbincang sebelum ditendang dari PR Sabah?

Ingatan saya kepada Pas, selagi berada di landasan yang benar, tidak ada yang perlu ditakutkan. Biarlah ultra kiasu meminggirkan Pas. Kita mencari redha Allah, bukan redha manusia.


Pas mesti bersabar dan istiqamah. Rapatkan saf dan jauhkan daripada sebarang prasangka buruk atau persengketaan. Tidak mustahil suatu masa nanti, ditakdirkan Umno membusuk, disebabkan oleh tindakan segelintir pemimpinnya yang tidak boleh dicontohi, Pas boleh mengambil tempat Umno. Kepada Umno, ingat amaran Allah, tidak mustahil, Allah akan gantikan kamu dengan orang yang lebih baik, jika kamu terus leka dan tidak sedar diri. Kembalilah kepada Allah dalam membuat sebarang keputusan. In shaa Allah selamat.  

Monday, April 13, 2015

Umno tetap saudara seagama

7:30 AM Posted by RIDHUAN TEE 12 comments
(Sinar Harian 13.4.15)

Timbalan Menteri Besar Kelantan dan anak bekas Mursyidul Am Pas, Nik Abduh mendedahkan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz (TGNA) pernah mengingatkan ahli parti itu agar mewujudkan hubungan baik dengan Umno bagi memudahkan pelaksanaan hudud di Kelantan.

TGNA juga mengingatkan ahli PAS agar tidak mengkritik Umno, kerana parti Melayu itu merupakan pihak yang perlu berurusan bagi membolehkan hasrat kerajaan negeri tercapai. Lakukan demi kebaikan rakyat.

Perkara ini didedahkan kerana timbul isu yang dibangkitkan ahli PAS dengan mendakwa Pas sudah masuk perangkap Umno kerana mengadakan perbincangan bersama mengenai hudud.

Suka atau tidak, Pas perlu sokongan Umno untuk menjayakan agenda hududnya. Dalam keadaan negara yang populasinya, 50-50 antara Islam dan bukan Islam, tanpa sokongan salah satu parti, tidak mungkin agenda Islam dapat dimartabatkan. Justeru, jangan terus berbalah, sehingga terlepas pandang, siapa kawan, siapa musuh.

Jangan menyesal apabila telah menjadi seperti Pulau Pinang. Apabila ultra kiasu memerintah, agenda Islam sudah tidak lagi menjadi keutamaan kepada ultra kiasu. Jangan bincang lagi agenda Melayu. Bermacam cara dilakukan bagi memastikan Melayu tidak berada di pulau, termasuk menawarkan harga rumah yang murah di tanah besar.  

Kenapa perlu memusuhi saudara atau parti seagama melebihi ultra kiasu? Kenapa boleh berkawan dengan musuh ultra kiasu, tetapi tidak boleh berkawan dengan rakan seagama. Apakah rakan seagama lebih bahaya daripada musuh? Musuh tetap musuh, kawan tetap kawan. “Sejahat-jahat’ Umno, tetap saudara kita. Sebaik mana pun ultra kiasu, tetap memusuhi Islam.

Musuh sudah terang-terang menyerlahkan sifatnya sebagai musuh? Mereka tentang hudud hingga ke hujung nyawa. Meskipun ada pimpinan Umno masih berbelah bahagi untuk menyokong hudud, tetapi sekurang-kurang mereka masih tidak menentang secara terang-terangan. Takut terkeluar dari akidah.  

Kita akan terus rugi jika berkawan dengan musuh lebih baik daripada saudara seagama. Nasihat saya, pertama, ditakdirkan sesuatu menimpa negara, negara jatuh ke tangan musuh, kepada siapa kita mahu berharap?

Saya masih teringat apabila sebuah negeri yang jatuh kepada bukan Islam. Boleh dikatakan hampir setiap 1 atau 2 kilometer, kita akan lihat di situ ada rumah ibadat. Dalam maksud, bila orang lain memerintah, mereka akan pastikan agama dan institusinya dimartabatkan.

Kita pula tidak begitu. Kita hanya dirikan rumah ibadat di kawasan majoriti Islam. Kita tidak akan buat rumah ibadat begitu terasing daripada komuniti Islam.

Prinsip kita, apa guna surau dan masjid, jika tidak ada jamaah. Sebab itulah, polisi membina surau masjid, syaratnya, mesti ada jamaah.

Orang lain tidak. Tidak kira ada jamaah atau tidak, rumah ibadat tetap akan dipacak. Apabila mahu dirobohkan bagi tujuan pembangunan, maka heboh satu dunia, Malaysia tidak ada kebebasan beragama.

Kedua, saudaraku seagama, sepanjang Islam memerintah negara mana sekalipun, jarang sekali berlaku penganiayaan kepada bukan Islam. Berlaku sebaliknya apabila bukan Islam memerintah. Ada sahaja kedengaran umat Islam dipinggirkan. Malah, lebih dahsyat ada yang disiksa dan dibunuh. Misalnya, di Nyanmar, Palestin dan sebagainya. Apakah dengan terlaksananya hudud, bukan Islam akan dimangsakan? Tidak.

Maka tidak hairan, jika seorang sami Buddha di Melaka memeluk Islam baru-baru setelah lebih 30 tahun mengkaji pelbagai agama ketika menjadi sami. Inilah realiti agama Islam. Rahmat seluruh alam.

Mengikut kajian dan jangkaan Pew Research Center (April 2015), berpengkalan di Amerika Syarikat, pada tahun 2050, bilangan umat Islam akan menjadi hampir sama dengan bilangan penganut agama Kristian. Jumlah umat Islam akan meningkat secara drastik kepada  2.8 bilion (30% populasi dunia) dan Kristian 2.9 bilion (31%). Sehingga tahun 2070, agama Islam akan menjadi agama paling popular di dunia, berbanding agama lain.

Setakat ini, berasaskan kepada statistik 2010, umat Islam di seluruh dunia berjumlah 1.6 bilion, menduduki tempat kedua, manakala Kristian 2.1 bilion, tempat pertama. Seterusnya diiikuti agama lain.

Pew mengakui agama Islam begitu cepat berkembang dan mendapat sambutan berbanding agama lain. Walaupun Islam hari ini ditekan dan dihina, serta dilabelkan dengan pelbagai imej negatif seperti pengganas, ekstremis dan lain-lain, ia tetap mendapat tempat di hati manusia. 

Saya amat teruja apabila membaca berita terkini mengenai perkembangan artis luar negara seperti Liam Neeson (UK) mengatakan hasratnya untuk memeluk Islam. Begitu juga Nook Suthida, artis terkenal Thailand yang telah pun memeluk Islam. Ini tidak termasuk, pemain football terkenal Amerika, Dominique Easley. Pensyarah perbandingan agama Universiti Hawaii, James Frankel. Jessica Rhodes (Norway), Noordeen Wilderman (Belanda)  dan ramai lagi.


Justeru, bersangka baiklah sesama Islam. Pastikan agenda Islam dapat dilaksanakan dengan jayanya. Yakinlah, Islam turun membawa kebaikan. Bukan Islam tidak perlu takut kerana sejarah membuktikan mereka dapat hidup senang lenang dalam sebuah negara Islam. Pokoknya, jangan nak semua. Sokonglah apa jua agenda Islam kerana ajaran Islam tidak menzalimi orang lain. Mudah-mudahan kerajaan perpaduan antara Umno-Pas dalam direalisasikan. 

Monday, April 06, 2015

Pas tidak rugi jika bersendirian

7:42 AM Posted by RIDHUAN TEE 15 comments
(Sinar Harian 6.4.15)

Jika Pas keluar PR, sudah pasti Selangor tidak akan bermenteribesarkan  PKR lagi. In shaa Allah, Pas mungkin boleh terus kekal di Kelantan, meskipun akan kehilangan beberapa kerusi di negeri lain. Begitu juga ultra kiasu di Pulau Pinang.

Semua orang tahu, PKR menang banyak kerusi selama ini, bergantung kepada undi Pas, selain ultra kiasu. Begitu juga kerusi ehsan yang diberikan kepada PKR oleh Pas di kawasan yang ditandingi Pas selama ini, terutama di Kelantan dan Terengganu. Negeri lain pun sama.

Rasionalnya, Pas tidak perlu menyerahkan kerusi yang ditandingi selama ini kepada PKR. Tetapi, atas dasar sepakatan, Pas rela berkorban. Inilah sifat mulia Pas. PKR tahu semua itu. Namun, sokongan Pas masih belum mencukupi tanpa sokongan ultra kiasu untuk kekal berkuasa di Selangor.

Maka tidak hairan, jika PKR akan terus berusaha untuk memastikan Pas tetap kekal dalam PR, walaupun telah didesak ultra kiasu agar Pas dikeluarkan.

Melayu PKR tertekan antara di luah mati emak, ditelan mati bapak. Ultra kiasu PKR mungkin tidak, kerana bila-bila masa mereka boleh pergi kepada parti ultra kiasu. Itulah realiti PKR.

Mengenali Pas sekian lama, Pas sudah kebal, sama ada bersendirian mahupun bersama PR. Parti Islam ini sudah diuji sekian lama. Tetap bertahan. Kepemimpinan dan ahli partinya amat komited dengan Islam. Pasma dalam hal ini, tidak ada apa mende kata orang Terengganu, kerana walak majoriti ahli Pas tetap kepada Pas, bukan Pasma.

Pendek kata, bercerai talak tiga sekalipun, Pas tetap survive. Parti lain belum tentu. Sebab itu, paling layak menjadi ketua pembangkang di Parlimen, adalah Pas. Pastinya ultra kiasu tidak pernah bersetuju.

Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata, Pas pernah melalui zaman sukar selepas keluar daripada BN, namun Pas mampu bangkit dan menawan Kelantan pada pilihan raya umum ke-8 pada 1990, walaupun bersendirian.

Sebab itu, Pas tidak pernah takut apabila parti ultra kiasu sebelum ini mengugut memutuskan hubungan dengan Presiden Pas berikutan tindakannya yang bertegas mahu melaksanakan hudud di Kelantan. Ini disusuli tindakan drastik ultra kiasu Sarawak yang mengumumkan keluar daripada PR negeri itu minggu lalu atas alasan sama. Begitu juga PKR dan ultra kiasu Sabah.

Kita teruja untuk melihat apakah PKR Sabah Sarawak mampu untuk bertahan tanpa sokongan Pas. Memandang musuh hudud terlalu ramai, Pas sudah sepatutnya keluar dari PR selagi ultra kiasu ada di situ. Ultra kiasu tidak boleh dianggap sebagai kawan lagi. Jika mereka memusuhi Islam, maka mereka adalah musuh Pas.

Pas tidak perlu bersangka baik lagi, bagi tujuan dakwah. Sekian lama berdakwah dan menerangkan hudud, adakah mereka semakin lembut terhadap Islam dan hudud? Tidak sama sekali. Malahan sikap negatif dan bermusuhnya semakin menyerlah. 

Pas tidak boleh terlalu mengharap. Ultra kiasu jahat dan licik. Misalnya, kajian mereka melaporkan 81% responden Melayu-Islam mahukan kerajaan Kelantan memberi tumpuan kepada usaha pemulihan pasca banjir daripada pelaksanaan hudud.

Berbanding kajian Jawatankuasa Teknikal Hudud (JTH) negeri tahun lepas, membuktikan 91% rakyat Kelantan bersetuju dengan hudud. Kajian siapa yang betul? Logiknya sudah tentu kajian JTH lebih tepat, kerana responden tidak bias. Semua orang Kelantan.

Jika bertanya kepada musuh Islam, sudah tentu jawapannya sudah diketahui. Orang Islam sendiri ada yang menjadi penentang tegar hudud, terutama yang menganut fahaman sekular dan sosialis. Justeru, saya tidak pernah ambil kisah kajian ultra kiasu. Awal-awal lagi telah bias.

Eloklah renungkan kata-kata bekas  Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad. Hasrat kerajaan negeri Kelantan untuk melaksanakan hukum hudud tanpa meminda Perlembagaan Persekutuan boleh dicapai jika sedia bermula dengan kesalahan terletak di bawah Senarai Negeri.

Beliau berkata antara kesalahan yang terkandung dalam Senarai II (Senarai Negeri), Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan ialah kesalahan melakukan zina, menuduh seseorang berzina, meminum minuman memabukkan dan murtad. Bagaimanapun, Parlimen perlu terlebih dahulu meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 untuk membolehkan Badan Perundangan Negeri berbuat demikian. Undang-Undang itu adalah di bawah Senarai Negeri, terpakai hanya kepada orang Islam dan ditadbir oleh Mahkamah Syariah.

Dalam PRU 14 akan datang saya cadangkan Pas ikut strategi ahli-ahli Gerakan dan MCA. Pakat-pakat mengundi ultra kiasu, mempermainkan BN. Sebab itu, di kawasan Bandar, Terengganu, kenapa PKR boleh menang?


Pas pun boleh melakukan perkara yang sama. Sama ada kekalkan atau tidak dalam PR, pastikan selepas ini Pas tidak mengundi ultra kiasu. Berikan undi kepada orang Islam yang tidak menentang hudud, meskipun dia Umno. Tidak mustahil jika Umno menambah kerusi di Selangor, kerusi Menteri Besar mungkin menjadi milik Pas.