Semua artikel adalah pendapat peribadi. Anda berhak untuk tidak meneruskan bacaan atau tidak mengakseskan blog ini serta merta jika anda tidak bersetuju dengan pemikirannya. All the articles written are the personal views. You have absolute rights not to continue reading or to discontinue accessing this blog immediately if you are disagreeable with the personal views.

Monday, February 25, 2019

“maluapabossku”...relaksbossku, jangan kecoh-kecoh...

1:58 PM Posted by RIDHUAN TEE No comments

https://www.ismaweb.net/2019/02/25/malu-apa-bossku-relaks-bossku-jangan-kecoh-kecoh/

“maluapabossku”...relaksbossku, jangan kecoh-kecoh...


Tak semena-mena ada ustaz melatah dengan troll atau slogan malu apa bossku...haram katanya...terkejut saya...biasalah tu bossku.....relaks bossku...jangan sakit hati bossku...kita berada dalam dunia tanpa sempadan...

Tidak ada yang salah dengan perkataan boss. Selama ini perkataan boss selalu digunakan. Cuma ada yang tak perasan, sehinggalah dipopularkan oleh bekas PM, Najib Razak dan geng anak mudanya.

Apa khabar boss? Nak ke mana boss? Di Terengganu disebut sebagai boh....bereh boh. Justeru, ada apa dengan perkataan boss? Malah panggilan boss menjadikan  kemesraan lebih terjalin.

Persoalannya, kenapa ada segelintir termasuk ustaz yang panas punggung? Sehingga sanggup berkata kata-kata “maluapabossku” haram disebut. Beliau  dikaitkan dengan hadis Nabi, malu itu sebahagian daripada iman, iaitu kita kena merasa malu melakukan maksiat atau kemungkaran. Siapakah yang tidak merasa malu itu?

Sejak bila pula slogan “maluapabossku” digunakan bagi tujuan mesti malu apabila melakukan perkara tidak baik, seperti 1MDB? Macam mana jika ada orang malu melakukan perkara yang baik? Tidak pula dikupas. Kasihan ustaz macam ini bossku... Jangan begitu bossku. Jangan marah bossku. Relakslah bro.

Sedangkan semua maklum “malu apa bossku” hanya kata-kata yang tidak membawa apa-apa makna, apatah lagi tidak malu melakukan kemungkaran dan maksiat. Malu apa bossku, hanya kata-kata mainan alam sibar. Saya menjadi pelik... Haram kat mana bossku?

Nak kaitkan tidak malu dengan maksiat. Sejak bila malu apa bossku dikaitkan dengan tidak malu dengan maksiat atau apa jua penyelewengan seperti rasuah? Ia kata-kata orang muda. Panas ker bossku?  

Macam-macam ayat boleh dibina dengan perkataan bossku. Mau apa bossku? Ada apa bossku? Apa khabar bossku? Mau kena ke mana bossku. Begitu juga dengan malu apa bossku? Sudahlah, ustaz-ustaz kita ni usahlah jadi naif.

Biarkanlah Najib dengan raja troll nya, tak usah dikacau. Diterima atau tidak, biar rakyat yang menilai. Rakyat zaman sekarang sudah cerdik. Hatta, atuk-atuk da, nenek-nenek yang rabun matanya sudah pantai guna telefon pintar. Mereka tahu menilai kaca dan permata.

Kata akar boss, dalam bahasa Inggeris merujuk kepada ketua. Penggunaan boss oleh orang Melayu, sudah kedengaran sejak dahulu, bukan baharu.

Semakan di Twitter mendapati perkataan slanga 'bossku' (kawanku) didakwa selalu digunakan oleh orang Sabah, terutama di daerah Tawau. Orang Sabah menggunakan perkataan bossku terutama bila berjual beli, bagi mewujudkan hubungan dan transaksi yang mesra.

Perkataan 'boss' bagi orang berniaga, terutama orang Sabah digunakan untuk merujuk seorang yang kita tak tahu atau tidak kenal. Sama juga perkataan apa khabar bro, nak ke mana bro, malu apa bro. Bro merujuk kepada brother atau saudara. Bukankah ia lebih mesra daa lebih dekat. Justeru apa isunya?

Sementara sebutan 'malu apa bossku” mula menjadi sebutan yang popular selepas video pendek yang tular di Facebook menampilkan seorang pemuda merakam video bersama Najib Razak. Pemuda tersebut kedengaran menyebut 'bossku' dan disambut oleh Najib dengan menyebut, 'Malu apa bossku'.

Perang alam siber atau psywar (psychology warfare) seperti ini adalah suatu perkara yang biasa dalam dunia tanpa sempadan hari ini. Jika Najib boleh buat troll yang sedemikian rupa, pemimpin yang lain lakukanlah perkara yang sama. Kemudian kita lihat, hantaran siapa yang paling popular.

Rakyat tidak mudah atau akan lupa dengan apa yang telah dan sedang berlaku. Tiada ada seorang yang mahu menghalalkan 1MDB. Semua mengakui ia satu kesilapan, termasuk Najib.

Yang sudah, sudahlah. Kita mahu melihat masa depan, membina masa depan. Rakyat hari ini marah, apabila mereka  masih belum dapat melihat masa depan seperti yang dijanjikan.

Kerajaan yang dipimpin PH telah menjanjikan macam-macam dalam manifestonya. Justeru, berusahalah untuk tunaikan. Sampai bila mahu menyalahi Najib. Najib sudah pun mengakui. Akan dibicarakanpun. Biarlah mahkamah yang menghakimi sama ada Najib bersalah atau tidak. Cukup, cukup sudahlah kita menyalahinya.

Dalam banyak pertuduhan, tak mungkin Najib akan terlepas kesemuanya. Najib tahu dan sudah bersedia untuk menghadapinya. Jika tidak, mana mungkin Najib terlalu aktif. Lebih baik dia duduk diam sahaja.

Adakah kita akan berpesta gembira saudara seagama ditimpa musibah? Bagaimana mereka yang masih terlepas, disebabkan masih ada hakim yang tidak berpegang kepada neraca keadilan?   

Rakyat mahu lihat apa yang PH boleh tawarkan untuk  masa kini dan masa akan datang. Harga barang masih tidak turun. Kehidupan semakin terhimpit dengan jatuhnya harga komoditi. Rakyat sudah bosan dengan sikap asyik berpolitik. Rakyat mahu perutnya diisi. Menteri asyik berswafoto sana sini dan dikelilingi dengan bodyguard dan trafik.

Turunlah berkain pelikat ke kampung-kampung dan Felda, Felcra dan sebagainya. Tidak usahlah berlagak hanya kerana berjawatan. Kata mahu mencontohi almarhum Umar Abdul Aziz dan Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat. Kehidupan almarhum sangat sederhana. Pengiring almarhum termasuk bodyguard tidaklah sangat ketika mereka memerintah.

Kedengaran cakap-cakap di luar sana, mahu jumpa menteri terlalu sukar. Sibuk sokmo sejak jadi menteri.

Bukan sahaja menteri yang sibuk, pegawai-pegawai dan orang keliling menteri turut menyibuk. Ada yang melaporkan RTM atau media kerajaan tidak memberikan liputan meluas terhadap menteri mereka. Sejak bila pula menteri ini gilakan publisiti?

Media lain kan ada, seperti TV3, TV Hijrah, dan media-media parti. Kenapa sasarannya kepada RTM? Ada apa-apa ker? Mahu balas dendam kepada RTM. Lagipun dari segi populariti, RTM tidaklah sehebat TV swasta yang lain. Ada agenda apa sebenarnya, bila hanya RTM yang dimangsakan? 

Lagipun, nak buat liputan macam mana, tidak banyak bahan yang dapat dipaparkan dan dilaporkan. Buat kerja nak bagi orang tengok atau buat kerja demi rakyat. Apa kisahnya bossku, orang laporkan ke tidak, janjikan khidmat kita dirasai rakyat hingga ke akar umbi. Ini tidak sibuk mencari publisiti, mau apa sebenarnya bossku.

Untuk menyiarkan secara langsung memerlukan kos yang tinggi. Justeru, jika tiada pulangan, apa perlu liputan dibuat? Malu apa bossku?

Ingatan saya, semakin kita elergi dengan slogan “maluapabossku” semakin bahang kian terasa, terutama kepada mereka yang berada di Semenyih.







Monday, February 18, 2019

Beza hijrah Ezra Kong dan Emma Maembong

10:46 AM Posted by RIDHUAN TEE No comments

https://www.ismaweb.net/2019/02/18/ridhuan-tee-antara-hijrah-ezra-kong-dan-emma-maembong/

Islam bukan agama kedai kopi, suka-suka keluar, suka-suka masuk. Buka.. tutup..buka

Sebagai otai artis TV (agama), saya turut mengikut perkembangan artis dan hiburan tanahair. Menarik sungguh perkembangannya pembuka tirai tahun 2019. Dua isu dunia artis yang hangat dibicarakan warganet dan tular.

Pertama, mengenai Anugerah Juara Lagu (AJL33) yang dimenangi oleh komposer dan penulis lirik lagu “Haram” iaitu Ezra Kong. Lagu beliau  dinyanyikan oleh Hael Husaini (komposer dan penulis lirik) dan Dayang Nurfaizah.

Ketika juara lagu AJK33 diumumkan, Ezra Kong naik ke pentas, penyanyi wanita lagu beliau, Dayang Nurfaizah datang menghulurkan tangan ingin bersalaman dengan Ezra Kong, tetapi ditolak dengan cara paling berhikmah oleh Ezra Kong dengan meletakkan tangan di dada.

Ketika memberikan ucapan, Ezra Kong memulakan dengan memberi salam, “Assalamua’laikum” diikuti dengan salam 1Malaysia dan salam Malaysia baru. Boleh dikatakan semua warganet yang belum mengenali beliau terkejut, rupa-rupanya Ezra Kong adalah seorang Muslim. Sejak bila beliau memeluk Islam? saya pun tidak tahu. Ingin sekali saya mengenalinya.

Aksi Ezra Kong mendapat pujian warganet. Antaranya oleh Lany Bakerren:
“Dalam pada artis bukan muhrim bersalam, berpegangan tangan naik ke pentas. Dia menolak pelawaan salam artis perempuan dengan sopan dengan meletak tangan di dada. Subhanallah bagusnya dia. Inilah contoh Islam yang sebenar. Tahniah@Ezra Kong!#AJL33”. Komen saya, menolak salam tangan, bukanlah contoh Islam sebenar, mash banyak lagi, tetapi itulah tanda dan ciri ke arah kefahaman sebenar.

Lagi melucukan bila membaca dialog warganet,

Ezra Kong: Assalamua’laikum
Meleis: Ezra Kong ni Islam ker? Ingatkan Cina!
Apa bendae lah! Cina tu bangsa, Islam tu agama. Tolonglah jangan stereotype kan Islam tu untuk Melayu je

Nyata sekali, kefahaman kita terhadap Islam masih cetek. Islam sebagai agama rahmahtan lil alamin, tidak dapat dibezakan dengan bangsa. Dalam segelintir orang Islam, masih berpandangan Islam itu Melayu, Melayu itu Islam. Jika ada Cina masuk Islam, maka dikatakan jadi Melayu, masuk Melayu. Maka timbullah kata-kata “ingatkan dia Cina”. Apakah dengan memeluk Islam, hilanglah kecinaannya? Sedangkan agama dan bangsa adalah dua isu berbeza. Bangsa apapun boleh memeluk Islam, tanpa menjadi Melayu.

Kedua, tidak seperti kisah Ezra Kong, cerita sensasi Emma Maembong membuka semula tudung yang telah dipakai sebelum ini selama lima (5) tahun turut mendapat perhatian warganet. Sudah tentu sebelum ini, apabila bertudung, seluruh peminat dan warganet bersyukur dan memuji, sebab berhijrah kepada yang lebih baik. Namun, apabila dibuka semula, reaksi warganet sudah dapat dijangkakan. Ribuan komen mengkritik dan hentam, terlampau sedikit memuji. Inilah adalah perkara biasa dalam dunia artis.  

Dalam memberikan respon membuka tudung, Emma Maembong berkata:

“Apa sebabnya biarlah saya sendiri yang simpan. Biarlah, ia antara saya dengan Allah…. “Apa yang saya boleh cakap, saya mahu jadi diri sendiri. Itu sahaja. Dalam masa sama saya tidak mahu sembunyikan kesalahan yang saya buat dengan melarikan diri… “Ya, saya tegaskan di sini janganlah ikut tindakan saya yang tidak baik ini. Saya akui dan tahu ia contoh yang tidak baik”. “Saya sudah melalui pelbagai dugaan sepanjang menjadi anak seni…. “Dalam berpuluh-puluh ribu komen, setahu saya hanya ada empat komen yang positif…. Sebaliknya yang lain semua memaki hamun sehingga ada yang mendoakan saya mati”.

Ingin saya bertanya kepada Emma, sudah berapa lama sudah menjadi anak seni? 10 tahun? 20 tahun? Sudah tahu tidak baik, kenapa dibuat balik? Ada artis yang seumur hidupnya menjadi anak seni, tidak pula mereka berubah-ubah. Lebih baik dia tidak bertudung sampai ke penghujung hayatnya daripada tutup buka balik. Tindakan ini memalukan dan merosakkan imej Islam. Jika belum bersedia pakai, jangan pakai lagi. Buka…tutup…buka.. hodoh sangat rupanya.

Saya sebenarnya tidak mahu komen pasal kehidupan artis, kerana kita tahu kenapa mereka mahu jadi artis. Namun, apabila mereka berubah, sudah tentu menarik perhatian. Apatah lagi setelah berubah, kembali jahil.

Kita tidak boleh salahkan netizen atau warganet. Mereka berhak memberikan pandangan orang menjadi ‘pujaan’ suatu ketika dahulu.

Sebelum ini saya ada menulis mengenai rasa muak saya dengan telatah dan tingkah laku artis yang bergelar pelakon dan penyanyi. Ada yang begitu berani melakukan maksiat secara terang-terang dengan merakam dan menghantar gambar. Ada yang lain pula, mengandung dan beranak pun nak bagi tahu orang. Apabila gambar menjadi viral, marahkan orang.

Begitu juga dengan kisah seorang artis yang menghantar gambar dia memeluk pemain bola sepak Brazil, Roberta Carlos. Sebelum ini, ada artis yang membuat pelancaran tudung dalam kelab malam The Zouk. Bila dikritik, dijawab dengan selamba, ‘aku tau apa yang aku buat’.


Hina betul orang seperti ini. Berbangga dengan maksiat yang dilakukan. Yakinlah, orang sebegini, apabila menjelang usia nanti, apabila sudah tidak laku dalam dunia seni, sibuk pula mahu berhijrah dengan bertudung, kemudian berniaga tudung. Pada mereka, berhijrah itu adalah bertudung. Bertudung itu namanya hijrah. Mereka tidak faham roh bertudung dan roh menutup aurat.

Bertudung tidak semestinya menutup aurat, belum tentu berhijrah. Ada orang bertudung, tetapi pakaiannya macam sarung nangka. Sendat sana sini, tertonjol dan menonjol. Menutup auratkah kalau macam itu, jika sudah boleh nampak urat-urat? Itu masih belum berubah atau berhijrah, kerana hanya fizikal sahaja berubah, kefahaman masih belum. Dalam Islam, gabungan jasmani dan rohani amat penting difahami.

Wahai artis! Jika jahil mengajilah agama. Cuba fahami dan hayati sepertimana Ezra Kong. Tak malukah kita dengan Ezra Kong. Usahkan buka aurat, menolak bersalaman dengan wanita. Jika kitalah, dapat bersalaman dengan artis dan composer, sudah tentu sangat teruja. Mungkin sampai tak tidur malam.

Apakah kita sudah lupa bagaimana anak gadis kita memeluk artis K Pop Korea yang membuat persembahan di Kota raya suatu ketika dahulu?

Kepada Emma Maembong, saya yakin, apabila menjelang bulan Ramadhan nanti, pasti apabila Emma Maembong keluar berjalan, Emma pasti akan menutup kepalanya. Paling kurang dengan selendang mak indang selendang. Bulan Ramadhan jadi mujahid, masuk bulan syawal dan seterusnya, jadi muhajat.

Jika inilah pemahaman kita terhadap Islam, seolah-olah ada hari atau bulan tertentu kena jadi baik, ada bulan tertentu tidak perlu jadi baik, iaitu boleh berjahat atau bermaksiat, maka sampai bila-bila pun mereka akan berkelakuan seperti yang disebutkan di atas tadi, seperti memeluk jantan, buka…tutup…buka.

Justeru, sudah sampai masa artis-artis bertudung tidak sekadar bertudung, tetapi pada masa sama mereka perlu ada ilmu dan meningkatkan ilmu. Kena mengaji agama seperti Allahyarham Azmil Mustapha, Shamsul Ghau Ghau, Iwan dan lain-lain.

Saya cukup bimbang artis hanya bertudung untuk mencari populariti. Walhal sebenarnya mereka tidak faham roh bertudung. Bertudung sekadar fesyen untuk mencari wang tambahan bagi melariskan tudung. Tidak pasti pula saya yang membuka tudung semula mahu berniaga apa.

Jika benar-benar kamu mahu berhijrah, berhijrah dengan dengan sebenar-benar hijrah. Hayatilah penghijrahan itu melalui pembelajaran dan penghayatan ilmu. Berhijrah bukan sekadar bertudung. Bertudung itu belum tentu menutup aurat. Banyak lagi perkara yang perlu diketahui apabila bertudung, bagi menjaga maruah dan harga diri seorang Muslimah.

Islam bukan agama seperti kedai kopi, boleh masuk keluar sesuka hati. Buka..tutup…buka. Ini berat namanya. Contohilah Ezra Kong, istiqamah beliau berada pada tahap tinggi. Ingin sekali saya berjumpa dengannya.

Jika diberi pilihan antara Ezra Kong dan Emma Maembong, saya pasti memilih Ezra Kong, meskipun sepatutnya saya memilih Emma Maembong sebab dia wanita, tidak sejenis saya. Cantik pulak tu. Biasalah lelaki tertarik kepada wanita.

Namun, Ezra Kong menjadi pilihan kerana ada nur Islam di wajahnya. Bukan selayaknya saya menghukum Emma Maembong. Mohon ibu bapa Emma Maembong untuk menasihati anaknya, kembalilah ke pangkal jalan, sebelum sesat di hujungnya.

Ezra kong dan Emma Maembong,
satu mualaf, satu lagi tidak,
hidup ni janganlah berlagak sombong,
entahkan syurga, entahkan tidak.

pencipta lagu bernama Ezra Kong
pelakon baru Emma Maembong
Jadi artis baru setahun jagung
Tuntutlah ilmu, baru jiwa tak kosong

Monday, February 11, 2019

PAS perlu sokong PBB di Sarawak

2:59 PM Posted by RIDHUAN TEE No comments
https://www.ismaweb.net/2019/02/11/pas-perlu-sokong-pbb-di-sarawak/
TIDAK lama lagi Sarawak akan berdepan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN), diikuti Sabah selepas itu. Sudah tentu pertandingan pada kali ini akan menjadi lebih sengit. Lebih-lebih dengan melebarnya sayap dan pengaruh PPBM (Bersatu) di kedua-dua negeri itu.
Memandangkan senario politik yang agak berbeza dengan masa lalu, saya amat mengharapkan PAS tidak bertanding dalam PRN kali ini seperti sebelumnya, sebalik memberi sokongan padu kepada Parti Pesaka Bumiputra Bersatu Sarawak (PBB) yang ditubuhkan pada 30 April 1973.
PAS perlu kembali kepada matlamat asal penubuhan di Sabah dan Sarawak untuk menjadi parti dakwah bukan parti politik.
Jika PAS bertanding juga, sekali lagi ia akan memecahkan undi dan tidak mustahil memberikan kemenangan kepada ultra kiasu untuk menambah kerusi dan mungkin menguasai PRN kali ini.
Keputusan PRU14 yang lalu, perlu dijadikan suatu muhasabah untuk semua pihak, terutama PAS dan UMNO. Petandingan tiga penjuru dan lebih dalam kalangan parti-parti berpengaruh Islam, tidak menguntungkan Islam, tetapi ultra kiasu. Jadi, perlu ada perancangan strategik untuk memenangkan Islam.
PAS perlu memikirkan masa depan Islam yang lebih penting di Sabah dan Sarawak. Lagipun, melihat kepada keputusan setiap PRU dan PRN, PAS tidak menampakkan pengaruh yang memberansangkan, sama ada peringkat Dewan Undangan Negeri mahupun Parlimen.
Jika PAS hendaklah bertanding juga, buatlah kajian mendalam, sama ada boleh menang atau tidak, atau tunggulah sehingga pengaruhnya merebak dan kuat, baharulah mengambil keputusan untuk bertanding.
Atau lebih baik lagi, jika PAS berbincang dengan parti dominan Islam di Sarawak dan Sabah seperti PBB dan UMNO (USNO). Perkara ini penting demi survival Islam di sana.
Saya masih ingat kata-kata Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Che Abdullah Mat Nawi, PAS adalah parti berpegang pada prinsip dan dasar Islam yang sentiasa mahu menyebarkan dakwah. Berpegang kepada prinsip itu, jika PAS melihat ada ruang untuk menyebarkan dakwah menerusi PRN Sabah, parti itu tidak menolak untuk turut bertanding. Namun, sekiranya merugikan (tidak ada ruang untuk berdakwah), kita tidak masuk (Berita Harian, 27.1.17).
PAS mula bertapak di Sarawak pada 1996. Menyertai PRU pada 1999 dan PRN Sarawak pada 2001. Sehingga saat ini, PAS masih belum menyerlah di kedua negeri ini. Dalam PRU14 PAS hanya mendapat keputusan terbaik di Kerusi Parlimen Batang Lupar, kerusi DUN tradisi PAS iaitu Beting Maro.
Justeru, saya memohon kepada PAS menumpu beberapa perkara berikut menjelang PRN Sarawak dan Sabah.
Pertama, berikan kefahaman Islam melalui dakwah ‘bil hal’ secara berterusan kepada Bumiputera Sabah dan Sarawak, tidak ketinggalan kepada ultra kiasu. Lupakan buat sementara cita-cita untuk bertanding dalam PRN dan PRU, kecuali di kawasan yang benar-benar kuat. Kalau sekadar memecahkan undi, lebih baik jangan bertanding. Apa yang penting sekat kemaraan ultra kiasu dengan memberi sokongan kepada PBB.
Kedua, landskap politik Sarawak, Sabah berbeza dengan Semenanjung. Taburan agama dan etnik Sarawak dan Sabah, tidak sama seperti di Semenanjung. Mengikut bancian 2010, 42.06 peratus penduduk Sarawak beragama Kristian. Islam pula adalah agama kedua terbesar di Sarawak iaitu 32.02 peratus, diikuti dengan Buddha, Taoism dan agama-agama Cina dengan 19.6 peratus serta minoriti Hindu, Sikh, Baha’i dan lain-lain agama tradisi.
Dalam mencari pengaruh, PAS perlu menjadi pejuang kebajikan kepada Bumiputera Sabah dan Sarawak. Dakwah ‘bil hal’ ini amat besar ertinya.
Mengaku sahajalah, sebelum ini kerajaan kurang memberikan tumpuan kepada kedua negeri ini apabila membentuk Malaysia 1963. Sudahlah kita dipisahkan dengan Laut China Selatan.
Saiz Sarawak sahaja sebenar Semenanjung. Parlimen Hulu Rajang sahaja hampir sebesar sebuah negeri Pahang. Bayangkan betapa besarnya Parlimen Rajang berbanding dengan bersamaan14 Parlimen dalam negeri Pahang.
Sudah tentu Sarawak perlukan lebih tumpuan, kerana saiznya yang begitu besar. Begitu juga Sabah. Membangunkan negeri berskala besar sudah tentu berbeza dengan yang kecil. Kita tidak boleh tersalah pandang Sabah dan Sarawak dalam soal pembangunan.
Ketiga, kita perlu mengeluarkan Sarawak da Sabah daripada kemelut kemiskinan. Kemiskinan ini adalah isu yang sangat fundamental. Miskin boleh menjadi manusia bertukar agama atau menjual akidah mereka.
Jika PAS dapat lakukan, ini adalah kejayaan PAS yang paling besar dan sangat bernilai di akhirat. Ingatlah, kefahaman Islam dalam kalangan Bumiputera Sarawak Sabah masih belum kukuh. Justeru, perhebatkan dakwah. Ingatlah, selagi rakyat Sabah Sarawak masih tidak memahami Islam, selagi itu mereka tidak akan memangkah PAS.
Mengimbau kembali penyertaan PAS dalam PRN Sarawak, dalam PRN11, PAS bertanding 11 kerusi dan belum berjaya menenangi sebarang kerusi. Dalam PRU14, PAS bertanding lima kerusi, namun tidak menang kesemuanya.
Pada pilihan raya 1999, PAS bersama PKR dan ultra kiasu menyertai pilihan raya atas nama Barisan Alternatif (BA). Kemudian, ultra kiasu keluar daripada BA pada tahun 2001. Kemudian, selepas pilihan raya 2008, BA dan ultra kiasu kembali berpakat dan bersama dalam gabungan yang dinamakan Pakatan Rakyat (PR). PAS masih tidak memenangi satu kerusi pun.
Pada Mac 2015, ultra kiasu telah memutuskan hubungan dengan PKR dan PAS di Sarawak, diikuti Sabah pada April 2015. Ini menjadikan PR berkubur di Sarawak dan Sabah. Seterusnya terkubur di Semenanjung pada Julai 2015. Ultra kiasu terus menambah kerusi, manakala PAS masih belum mendapat walaupun satu kerusi.
Pada akhir 2015, Pakatan Harapan (PH) dibentuk dengan gabungan DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (PAN), diikuti Bersatu. PRN kali ini sudah pasti akan menjadi lebih rancak dengan penyertaan PAN dan Bersatu. Sudah pasti sukar untuk PBB memberi laluan kepada PAS. Jika keadaan ini berlaku, pasti akan berlaku pertandingan tiga penjuru.
Melihat kepada senario politik sebegini, jelas menunjukkan bahawa harapan PAS untuk memenangi satu kerusi di Sabah dan Sarawak agak tipis.
Pada hemat saya, suara Islam sebenarnya bergantung kepada PBB. PBB adalah sandaran masyarakat Islam untuk memastikan agenda Islam tidak dikesampingkan. Bayangkan jika ultra kiasu mengambil alih Sarawak. Saya tidak boleh bayangkan apa akan berlaku dengan mengambil contoh yang berlaku di Semenanjung. Ternyata Islam dan Melayu semakin terpinggir. Apa akan jadi dengan nasib Bumiputera Sabah dan Sarawak
Jika ultra kiasu menang akan berkumandanglah suara-suara Sarawak For Sarawakians (S4S) dan sentimen parti Semenanjung, begitu juga dengan Sabah.
Keempat, tidak dinafikan kehadiran PAS sebenarnya di Sarawak telah memberikan signifikan besar kepada perkembangan dakwah Islamiyah, tetapi masih belum memuaskan berbanding Sabah.
Perkembangan Islam di Sabah suatu ketika dahulu begitu memberansangkan. Ini disebabkan oleh kehebatan pemimpin mereka ketika itu, Tun Datu Mustapha yang merupakan Ketua Menteri (1967-1975), yang juga Yang DiPertua USIA, begitu giat menyebarkan syiar Islam. Dakwah ‘bil hal’ almarhum sangat berkesan.
Pada tahun 2010, daripada keseluruhan penduduk Sabah, seramai lebih tiga juta orang, lebih dua juta adalah Islam. Lebih 853,000 Kristian, Buddha lebih 194,000. Dan lain-lain sekitar 9,000 orang. Sebelum itu, umat Islam masih lagi minoriti di sana, sekitar 30 peratus seperti Sarawak hari ini.
Kehadiran PAS ke Sabah lebih awal (1986) daripada UMNO (1990). PAS telah menyertai plihan raya sejak tahun 1986 sehingga 2013. Sama keadaannya seperti Sarawak, PAS tidak pernah memenangi sebarang kerusi. Justeru, sama-sama kita fikirkan, apakah jalan terbaik untuk memenangi Islam di Sarawak dan Sabah,
Akhirnya, PAS mesti meletakkan misi menjadi parti dakwah untuk mengIslamkan Bumiputera Sarawak dan Sabah seramai mungkin. Jika berjaya misi ini, bertandinglah PAS dalam PRN nanti. Buat masa ini berikan sokongan kerjasama kepada PBB. Mudah-mudahan Islam dapat dimartabatkan dan menjadi majoriti seperti di Sabah.

‘Naik menyampah dengan syarikat penerbangan negara’

2:58 PM Posted by RIDHUAN TEE No comments
https://www.ismaweb.net/2019/02/04/naik-menyampah-dengan-syarikat-penerbangan-negara/
TERLEBIH barat daripada barat atas nama bersifat ‘antarabangsa’, maka kita pun korbankan identiti dan jati diri negara.

Isu Syarikat Penerbangan Malaysia Airlines (MAS) menerusi majalah ‘Going Places’ mempromosikan makanan tidak halal seperti hidangan stik babi, bukan isu baharu, tetapi sudah sekian lama. Kalau tidak percaya, bacalah majalah ini setiap bulan. Cuma, kita sahaja tidak perasan.

Tidak menghairankan, kerana editor dan penulis mereka majoriti bukan Islam. Bukan MAS sahaja, semua syarikat penerbangan Malaysia, termasuk Fire Fly, Air Asia dan lain-lain. Kadangkala langsung tidak ada rencana dalam bahasa Melayu. Kalau ada pun sekadar melepas batuk ditangga. 

Alasannya syarikat penerbangan ini dan juga yang lain jika ditanya, sama sahaja, kerana bersifat antarabangsa, maka tidak salah mempromosikannya, meskipun yang haram. Atas nama antarabangsa, yang haram jadi halal, yang halal jadi haram, maka lenyaplah identiti dan jati diri negara. 

Jika begitulah keadaannya kenapa kedai makan Islam yang dibuka di negara bukan Islam tidak mempromosikan babi, arak dan makanan tidak halal yang lain? Adakah ia tidak menepati ciri-ciri antarabangsa? Banyak kedai makanan di luar negara sana yang dipunyai oleh orang Islam yang mempromosikan makanan halal. 

Apa yang penting ialah kualiti makanan dan kebersihannya, bukan soal ada babi atau tidak, ada arak atau tidak. Majoriti manusia tidak minum arak, berbanding yang minum. Jika tidak, mana mungkin semua krew tidak dibenarkan minum arak dalam pesawat.

Mengantarabangsakan sesuatu tidak ada kaitan dengan perkara haram seperti arak, babi, judi dan sebagainya. Begitu juga kelihatan seksi dalam kalangan krew pesawat. Mana mungkin berpakaian seperti pelacur itu dijadikan tanda aras penjenamaan antarabangsa dalam pesawat. 

Mungkin salah faham inilah yang menyebabkan paramugari kita semua tidak dibenarkan menutup aurat. Kita dihinakan dengan pakaian paramugari begitu seksi sehingga menampak yang tersirat dan tersurat serta urat-urat. 

Negara bukan Islam seperti Singapura pun pakaian paramugarinya agak bersopan. Negara ini turut mengharamkan arak untuk dijual pada waktu malam. Bukan macam kita, 24 jam buka kedai arak, sehinggakan ada yang terjunam di Jambatan Pulau Pinang baru-baru ini. Semua gara-gara benda haram ini. Singapura boleh haramkan arak dijual pada waktu malam, kita tidak boleh? Siapa yang lebih Islam? 

Tindakan Singapura tidak pula dilabelkan Taliban. Begitu juga, Bernie Charles Ecclestone, orang kuat Formula One, turut mengharamkan perempuan seksi berada di litar lumba. Di Amerika Syarikat, pusat judi tidak dibenarkan beroperasi, kecuali di Las Vegas sahaja. Kenapa tidak dituduh Taliban? 

Namun, apabila ada dalam kalangan kita yang mencadangkan agar arak dikawal penjualannya, begitu juga dengan babi, maka melompatlah ultra kiasu ibarat cacing kepanasan. Kita dilabelkan dengan macam-macam. Mereka yang menari dan berjoget dalam majlis makan malam pengamal undang-undang tidak pula dilabelkan, malah dipuji, bagus. 

Saya tidak pastikan ada atau tidak, pemantauan dibuat ke atas majalah MAS, going places ini, juga majalah penerbangan lain. Nama-nama majalah mereka pun sudah meloyakan untuk dibaca dan didengar. Going places? 3 Sixty? Fire Fly? Apa sudah ketandusan ke bahasa jati diri negara? Tidak bersifat antarabangsa? 

Salahkah kalau letak nama-nama yang berjati diri seperti nama ‘salam’, ‘melati’, ‘kemboja’ atau apa-apa nama yang ada kaitan dengan jati diri Malaysia. Misalnya, majalah syarikat penerbangan Thailand, Thai Airways, bernama Sawasdee. Sangat beridentiti dan berjati diri. Tidak kurang yang membacanya. Saya tidak pasti berapa kerat yang membaca going places, fire fly dan 3 sixty. 

Majalah Sawasdee sentiasa mempromosikan imej berkaitan jati diri dan identiti orang Siam. Raja Siam, agama orang Siam Buddha, gajah Siam dan lain-lain berkaitan dengan Siam. Thai tetap maju dengan identiti Siam.
Bahasa Thai tetap diangkat dalam majalah penerbangan mereka. Ini tidak termasuk cara mereka menghormati kita melalui ucapan sawasdee ketika menaiki pesawat.
Bukan macam kita, ucapan tempatan seperti salam, entah ke mana, yang kedengaran adalah good morning, good afternon, dan macam-macam ucapan yang meloyakan. Kita langsung tidak belajar daripada Thailand. Apakah mungkin Thailand lebih mundur daripada kita? Tidak juga. 

Nama-nama majalah penerbangan kita memang hebat, going places, firefly dan 3 sixty. Hanya ada satu sahaja kolum untuk bahasa Melayu. Ada yang langsung tiada. Semua dalam Bahasa Inggeris. Kita sudah menjadi lebih barat daripada barat sehingga kelihatan keparat?

Lihat orang Cina, tidak langsung segan meletakkan nama-nama yang begitu kecinaan seperti nama NGO mereka, Dong Zong, Jiao Zong dan macam-macam nama lagi. Dengan nama-nama inilah mereka mendapatkan pengiktirafan sijil EUC dan kolej Universiti New Era di persada antarabangsa. Sehinggakan kerajaan mungkin terpaksa mengiktiraf. Kenapa kita begitu takut dan pengecut? 

Kenapa majalah kita terlalu orang putih atau terlalu kebaratan. Hina sangatkah ditonjolkan identiti negara atau bahasa negara.

Saya hairan kenapa mesti semuanya berbahasa Inggeris. Kenapa tidak sediakan terjemahan. Paling kurang ada dwi bahasa. Ada terjemahan dalam bahasa negara seperti yang dilakukan oleh negara lain yang mempunyai jati diri. 

Oh, saya lupa, rupanya editor majalah MAS ini terdiri daripada Sue Loke, sebagai business director, Julie Goh, Editor, Eris Choo, Deputy Editor, Euric Liew, Art Director, Noel Foo, writer. Boleh dikatakan wajah-wajah Melayu dalam krew penerbitan majalah ini langsung tiada. Kalau adapun, adalah satu dua orang.

Maka tidak mustahil, majalah ini langsung tidak ada identiti dan jati diri Malaysia. Kasihan sungguh Malaysia, hanya kerana mahukan majalah ini diterima di peringkat antarabangsa, kita korbankan semua jati diri negara. Wajarkah?

Apakah pelancung ke Malaysia, mahu belajar bahasa Inggeris atau bahasa Melayu? Saya fikir, mereka mahu melihat ada budaya dan jati diri kita. Kenapa kita terlalu terlebih perasan?

Pada 18 Jun 2017, saya ada menghantar emel kepada editor majalah fire fly, saya pernah menegur majalah penerbangan Firefly, dahulu namanya kunang, tetapi tidak bersifat antarabangsa ditukar kepada Firefly. 

Dalam emel tersebut saya mengatakan rasa tidak puas hati mengenai artikel hari raya puasa yang ditulis oleh penulis bukan Islam Fire Fly, Darren Timothy bertajuk menanti lebaran. Ilmunya mengenai hari raya begitu cetek. Hari raya digambar sebagai satu perayaan pesta seperti bangsa lain. 

Tidak salah jika mahu menulis meskipun bukan Islam. Tetapi perlu fahami roh dan semangat hari raya dalam Islam. Hari raya bukan sekadar untuk berpesta, bermain bunga api dan mercun. Hari raya adalah perayaan ibadat. Tidak ada kaitan dengan mercun dan bunga api.

Justeru saya tidak hairan jika puak-puak ini mempromosi makanan haram dalam majalah penerbangan mereka. 

Sama juga dengan penerbangan murah seperti Air Asia, saya telah beberapa kali menegur, kenapa pakaian paramugarinya sangat menjolok mata? Saya sudah membuat perbandingan dengan syarikat penerbangan antarabangsa yang lain di dunia, tidak ada yang seseksi Air Asia. Tak usahlah dibincangkan majalah Air Asia, bertajuk 3 Sixty. Buat sakit hati sahaja. Boleh dikatakan jati diri negara hancur.

Peliknya, apabila terbang ke Acheh, menjadi Islamik pula mereka. Duit punya pasal, sanggup bertukar rupa. Yang haram jadi halal, yang halal jadi haram. Akhirnya dua-dua ada jadi halam.
Justeru, sudah sampai masa JAKIM dan DBP hendaklah diberikan peranan untuk mengeditkan majalah ini bagi memastikan identiti dan jati diri negara terpelihara sama ada dalam BM atau BI.
Ianya perlu bermula dengan memberikan nama-nama yang bercorak tempatan kepada nama-nama majalah tersebut, sudah tentu bukan namanya going places, 3 sixty atau firefly. Tetapi diberikan nama tempatan seperti panorama, 3 enam puluh dan kunang. Bukankah sedap bunyinya. Saya fikir orang putih pun akan teruja sebab akan bertambah nahu dan perkataan bahasa Melayu mereka