(Sinar Harian 28 Sep 2015)
Lama sudah saya tidak mendengar
kata-kata “Cina babi”, kecuali selepas perhimpunan merah 16 September. Menyamakan
manusia, Cina dengan binatang (babi), adalah perbuatan manusia tidak
bertamadun. Orang sebegini tidak layak memimpin dan menjadi pemimpin.
Atas apa jua alasan, sama ada orang
Cina suka makan babi atau tidak, perkataaan ini sepatutnya tidak boleh sama
sekali dikeluarkan di khalayak. Apa kata, kalau orang lain berkata, Melayu
lembu. Apabila ada yang protes, maka kita pun jawab, ia tidak sensitif, kerana
orang Melayu memang suka makan lembu.
Saya harap orang yang mencari alasan
sebegini, bertaubatlah. Perbuatan kamu tidak menguntungkan dakwah, malah
merugikan. Ya, memang saya tidak nafikan, saya turut melabelkan segelintir Cina
dengan istilah ultra kiasu, tetapi saya merujuk kepada sikap mereka, yang asyik
mahu menang, tanpa sedikitpun mahu kalah. Tidak kira sama ada Cina atau Melayu
atau lain-lain.
Perlu diingat, tidak semua Cina makan
babi. Ada Cina Islam dan segelintir Kristian yang tidak makan babi. Terdapat
lebih 80 juta Cina Islam di Negara China, 5 kali ganda jumlah Melayu Islam di
Malaysia, yang tidak pernah menyentuh babi, kerana mereka beragama Islam.
Malah, orang Cina di China, menerima
Islam lebih awal daripada kita. Orang Melayu menerima Islam 600 tahun yang
lalu. Orang Cina telah menerima Islam hampir 1400 tahun yang lalu. Malah,
sejarah pengIslaman orang Melayu, turut dilakukan oleh pendakwah Cina.
Tanpa orang Cina datang ke berdakwah
dan berdagang ke Alam Melayu (selain Arab dan India), mungkin pengIslaman orang
Melayu secara besar-besaran menjadi tidak sempurna. Justeru, berhati-hatilah
apabila membabikan orang lain. Mungkin sebelum Islam dahulu, orang Melayu turut
memakan dan bermain dengan binatang ini. Persoalan saya, berdasar sejarah, siapa
lebih lama makan babi? Siapa mengajar siapa supaya menjauhi babi? Cina atau
Melayu?
Saya jarang sekali memohon maaf kepada
seseorang, tetapi dalam insiden kali ini menjadikan saya malu dan terasa ingin
memohon maaf kepada orang Cina yang tidak ultra kiasu, atas keceluparan orang
yang mengaku Islam, menggunakan kata-kata kesat.
Saya melakukan sebegini kerana saya
amat faham tentang sifat dan makhluk yang Allah jadikan. Babi sekalipun, haram
dimakan atau dipelihara oleh orang Islam, namun sifatnya sebagai makhluk
ciptaan mesti dihormati, kerana ia ciptaan Allah, bukan syaitan. Hatta, syaitan
sekalipun adalah ciptaan Allah, sekali pun ia musuh kepada manusia dan bertugas
menyesatkan manusia.
Apakah salah Allah menjadikan syaitan?
Begitu juga dengan orang Yahudi. Benar, Allah melaknati Yahudi dalam al-Quran,
kita pun sebut Yahudi laknatullah. Pada masa sama, Allah memberi kelebihan
kepada Yahudi. Yahudi menguasai dunia dan ekonomi. Kenapa Allah lakukan
sedemikian? Patutkah kita menyalahkan Allah? Yahudi tidak salah, tetapi sikap
Yahudi itu yang perlu ditangani.
Terkadang kala saya amat sedih melihat
orang Melayu yang mengaku Islam, menganiaya makhluk yang tidak berdosa seperti
yang anjing, yang turut menjadi sensitif kepada orang Melayu, sehingga kita
sanggup menyamak beratus-ratus troli, sedangkan perkara yang lebih haram
seperti rasuah dan riba dibiarkan berleluasa, malah diambil menjadi darah
daging.
Justeru, saya memohon supaya kita
tidak terlalu beremosi. Ya, memang kita menentang sikap ultra kiasu. Tetapi itu
bukan bermakna kita mengambil sikap memusuhi mereka, kecuali ia memberikan
ancaman terhadap Islam.
Ambillah iktibar, cerita ibu bapa saya
yang berniaga di kawasan orang Melayu suatu ketika dahulu. Ibu saya sanggup
‘mencuri’ beras, yakni mengambil beras tanpa pengetahuan bapa saya dan
memberikannya kepada orang Melayu yang mempunyai ramai anak atas dasar belas
kasihan.
Saya tidak boleh bayangkan betapa
besarkan jasa ibu bapa saya ‘membesarkan’ orang Melayu yang kesusahan di
kampung saya, dengan memberikan mereka berhutang, sehinggakan buku hutang
bertapok-tapok tidak berbayar, sehinggakan ada hutang yang ditulis
didinding-dinding kedai. Orang kampung membesar dengan hutang kepada ibu bapa
ayah. Ramai anak mereka berjaya masuk universiti, hutang masih tidak
berbayar.
Bacalah kisah Hajijah Saini mengambil upah menjaga dua
anak Cina sejak mereka masih bayi lagi sehingga memberi gelaran nama yang
sinonim dengan bangsa Melayu dan Islam iaitu ‘Hassan dan Abu’. Hajijah menjaga
dan menyayangi anak Cina ini seperti anak sendiri. Makan bersuap, tidur di
riba, mandi diurus. Adakah wajar kita membenci Cina kerana dia Cina?
Begitu juga kisah seorang Cina tua tinggal
seorang diri, membeli nasi lemak daripada peniaga Melayu. Melihat keadaan Cina
tua itu, peniaga Melayu ini memberikan nasi lemak secara percuma kepadanya.
Kesimpulan, saya tidak melarang kebebasan
berhimpun, jika ada tujuannya. Tetapi jagalah akhlak dan mulut. Jika bersalah,
mengakulah. Tidak perlu mencari alasan yang tidak munasabah. Itu ultra kiasu
namanya. Ultra kiasu hanya ada pada orang Cina, tetapi kepada orang Melayu
juga. Berhimpunlah secara baik, tonjolkan imej baik Islam seperti yang
dikehendaki pimpinan negara kita.