(Sinar Harian 31 Jan 2014)
Ketika artikel ini ditulis, saya
berada di Prince of Songkla University
(PSU), Hadyai, Thailand, atas urusan kerja. Seperti yang saya pernah nyatakan dalam
tulisan yang lalu, negara yang kaya dengan cerita gajah ini, amat kuat mempertahankan
jati diri dan identitinya. Ironinya, negara ini tidak pula mundur, malah terus
membangun meninggalkan rakan negara-negara jirannya.
Pemimpin mereka ternyata amat berjaya
mengsiamkan rakyatnya tidak kira apa jua bangsa mereka. Segala aspek cara hidup
diasimilasikan menjadi Siam. Ringkasnya, kehidupan mereka berteraskan kepada
Buddha, Siam dan Raja (BSR). Justeru, apakah salah jika ada kumpulan yang ingin
mempertahan Islam, Melayu dan Raja (IMR) di negara ini? Bukankah itu jati diri
dan identiti sebenar tanah air ini? Saya tidak membantah, kerana saya mengkaji
dan faham sejarah.
Cara orang Siam memberi ucapan dan menghormati
tetamu begitu terpancar sekali. Bahasa dan tulisan Siam yang didaulatkan, di sana
sini. Apa jua yang berkaitan dengan cara hidup Siam itu, diamalkan oleh warga
Siam. Walaupun penguasaan bahasa Inggeris mereka tidaklah seberapa, berbanding
kita.
Dalam soal pembangunan, saya percaya
Thailand masih berada di hadapan kita, terutama bidang pertanian dan
perindustrian. Meskipun negara ini tidak mengeluarkan kereta sendiri, tetapi negara
ini tidak pernah rugi dalam mengeluarkan alat ganti kenderaan. Mereka terus meraihkan
keuntungan demi keuntungan.
Sebelum datang ke Thailand, saya berada
di Johor Premium Outlets (JPO).
Berada di sana, seolah-olah berada di Hollywood. Bahasa Melayu langsung tidak
daulatkan, menyebabkan saya tidak berminat untuk duduk lama di sana, apatah lagi
membeli belah. Usahlah dibahaskan lagi pusat membeli belah lain. Jangan mimpi
mencari sepatah dua tulisan jawi. Kenapa kita begitu buta dalam soal menjaga
jati diri dan identiti? Bukankah kita yang meluluskan semuanya ini?
Thailand membangun bukan kerana
mendaulatkan bahasa Inggeris, tetapi disebabkan sikap rakyat mereka yang begitu
menyanjung BSR sebagai lambang jati diri dan identiti negara. Mereka sanggup
berkorban apa sahaja demi BSR. Pendek kata, BSR berjaya melonjak dan merubah
sikap rakyat negara ini, meskipun tidak dinafikan ada kegiatan pelacuran di sana
sini.
Ketika bermesyuarat dengan pihak
pentadbiran PSU, rata-rata menggunakan bahasa Siam ketika berinteraksi. Cuma
sekali sekala menggunakan bahasa Inggeris ketika berurusan dengan kami. Beberapa
profesor PSU yang berbangsa Cina begitu fasih berbahasa Siam. Majoriti mereka
tidak boleh lagi berbahasa Cina. Mereka tetap nampak hebat.
Negara ini mempunyai hampir 10
saluran televisyen percuma. Boleh dikatakan kesemua saluran tersebut mendaulat
bahasa Siam dalam apa jua perkara. Tidak ada langsung bahasa lain digunakan
dalam media ini, kecuali sedikit bahasa Inggeris. Akarnya semua Siam, Siam,
Siam. Termasuk semua produk luar yang masuk, akan disiamkan terlebih dahulu
sebelum dipasarkan.
Ketika melawat bandar, terdapat
patung Buddha dan raja mereka di sana sini. Raja dianggap sebagai bayangan
Tuhan. Raja mereka disembah dan dipuja. Nasib baik, umat Islam dikecualikan
dalam penyembahan sebegini, sebab kita hanya menyembah Allah. Itupun kita masih
gagal mempertahankannya kalimah suci yang menjadi identiti kita, terutama
apabila ultra kiasu membangkitkan isu ini kembali. Mereka mahukan kerajaan
tunduk dan membenarkan kalimah Allah digunakan oleh Kristian. Malangnya, tidak
ramai umat Islam yang membantah.
Keadaan kita hari ini begitu
cacamerba. Apakah identiti Malaysia sebenarnya? Kuasa lebih dipentingkan
daripada IMR. Ternyata bagi orang Siam BSR adalah segala-gala, tidak kira siapa
yang memimpin. Kita amat mengharapkan kerajaan tidak akan tunduk dalam
mempertahankan kalimah suci ini. Rakan sepakatan ultra kiasu nampaknya menikus.
Mereka lebih suka saling mendoakan sesama saudara seagama, agar ditimpa musibah
dan mudarat.
Kadang kala saya naik malu, melihat
telatah paramugari syarikat penerbangan tambang murah, yang tidak habis-habis
dengan ucapan good morning, afternoon,
evening dan thank you, serta pengumuman
dalam bahasa asing yang menjengkelkan. Naik muak dengan pakaian berwarna merah
menyala yang begitu singkat dan terbelah dada. Saya amat hairan kenapa
pegawai-pegawai senior syarikat penerbangan yang berbangsa Melayu Islam tidak
mampu merubah keadaan ini? Paling kurang, pakailah baju batik dan kebaya.
Perlu diingatkan, jati diri dan
identiti sesebuah negara amat penting sebagai cerminan kepada siapakah yang
menjadi penduduk asal. Sudah menjadi lumrah, ia akan didaulatkan sama ada
melalui kuat kuasa undang-undang, mahupun dimaktubkan dalam perlembagaan. Justeru,
bukanlah sesuatu yang ganjil jika kita ingin mempertahankannya.
Terbaharu, presiden Gerakan terus
mendesak kerajaan bersama ultra kiasu yang lain, supaya mengiktiraf UEC yang
dikeluarkan oleh Sekolah Persendirian Cina. Sedangkan mereka tahu pendirian
kerajaan amat jelas. UEC tidak mendaulatkan jati diri dan identiti negara.
UEC dikendalikan oleh Dong Jiao
Zong. Kumpulan langsung tidak pernah risau apakah anak bangsa mereka boleh
menguasai bertutur, menulis bahasa Melayu dengan baik atau lulus. Yang penting
pada mereka sijil ini telah diikhtiraf diperingkat antarabangsa.
Berbanding di PSU, dahulunya, bahasa
Melayu menjadi subjek elektif. Kini tidak lagi, martabat bahasa Melayu telah
diangkat menjadi subjek minor. Mungkin satu hari nanti menjadi subjek wajib.
Menurut pensyarah di sana, sebahagian besar pelajar Siam begitu berminat untuk
belajar bahasa Melayu.
Peliknya di sini, apabila bahasa kebangsaan
ini diwajibkan dan lulus, masih ada yang menentang kerana mereka menganggap
bahasa Melayu tidak penting kerana ia bukan bahasa dunia. Kadangkala, saya
sedih apabila kita beriya-iya dalam perkara-perkara yang kurang penting.
Sedangkan banyak perkara penting yang perlu difikirkan seperti pembinaan jati
diri ini. Misalnya majlis perkahwinan artis baru-baru ini.
Malang sungguh apabila Pegawai Kementerian Pertahanan turut
campurtangan memberikan komen dalam media, satu persatu terhadap pakaian tentera
dan polis yang kononnya dipakaikan oleh pengantin tersebut tidak mengikut
prosedur tentera. Pada saya, tidak perlulah kita begitu teliti dalam soal remeh
ini. Apakah kita sudah tidak ada kerja lain? Kecualilah pasangan ini seorang
anggota beruniform atau menyamar menggunakan pakaian tersebut.
Kesimpulan, masa begitu pantas
berlaku, tahun 2012 telahpun melabuhkan tirai. Apakah IMR disanjung dan
dijunjung sebagai lambang jati diri dan identiti. Sama-sama kita fikirkan
sebelum terlambat. Menyambut Tahun Baharu 2013.