Semua artikel adalah pendapat peribadi. Anda berhak untuk tidak meneruskan bacaan atau tidak mengakseskan blog ini serta merta jika anda tidak bersetuju dengan pemikirannya. All the articles written are the personal views. You have absolute rights not to continue reading or to discontinue accessing this blog immediately if you are disagreeable with the personal views.

Sunday, April 29, 2012

Belum tentu budi dikenang selepas mati

11:20 PM Posted by RIDHUAN TEE 38 comments

(Sinar Harian 30 Apr 2012)

Saya tidak menyangka artikel saya bertarikh 9 Apr 2012, mendapat respon segera daripada bekas Menteri Besar (MB) Selangor pada hari berikutnya.  Saya ucapkan terima kasih. Saya tidak berniat ‘membelasah’ seperti yang didakwanya. Saya masih menghormati beliau dan bersimpati dengan kes yang menimpa beliau. Ketika hukuman dijatuhkan, terdetik hati untuk lahirkan simpati, apakan daya saya tidak ada nombor telefonnya. Mungkin saya akan menerima pelawaannya suatu hari nanti.  

Teguran saya ikhlas. Tidak manis mengkritik parti sendiri melalui laman web anti-establishment yang kita sudah tahu niat busuk mereka. Laman web ini amat licik. Komen terhadap mereka diselindungkan, manakala komen menghentam kerajaan disiarkan segera. Saya amat yakin bekas MB itu tahu latar belakang laman web tersebut. Kenapa masih melayan mereka?

Saya menulis dari hati, tidak pernah disuruh oleh sesiapapun, termasuk orang ketiga. Saya bukan budak kecil yang boleh diperkotak-katikkan. Cuma, saya tidak mahu kita terperangkap. Lagipun bekas MB tersebut masih muda. Saya kurang pasti tentang kareer masa depan politiknya. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui. Apa yang penting adalah memanfaatkan perjalanan hidup semasa masih bernyawa, kerana belum tentu jasa dikenang selepas mati. Ramai pemimpin yang telah mati, langsung tidak dipedulikan. Apatah lagi disebut-sebut sebagai tanda mengenang budinya.

Kecualilah mereka yang semasa hidupnya benar-benar berjasa dan merakyat, bertunjangkan iman dan takwa seperti yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Keberadaan orang sebegini amat dinanti dan pemergian mereka begitu ditangisi. Kehilangannya amat dirasai. Sebaliknya, jika ketika di puncak kuasa, kita lupa diri, keberadaan kita dibodeki. Selepas itu, pemergiaan kita disyukuri. Rakyat bersorak gembira yahoo. Sedih juga melihat apabila seseorang pemimpin itu apabila sudah pencen, langsung tidak dipeduli rakyat lagi. Kehadiran mereka di masjid tidak dinanti. Menyedihkan lagi apabila tidak lagi didekati dan disalami.

Sebab itu, janganlah kita terlalu yakin, budi akan dikenangi selepas mati. Ingatan saya kepada pemimpin hari ini, tidak rugi jika semasa hidup dan berkuasa, kita ikut resmi padi, makin berisi, semakin merunduk. Jika Umno mahu memenangi semula Selangor, ramaikan pemimpin seperti ini. Hidup serba sederhana. Rakyat didahulukan. Pemimpin tidak perlu berebut-rebut projek. Kembalikan kepada rakyat, kerana saya yakin rakyat yang berjaya, akan membantunya kembali. Ingatlah, dunia ini hanya sementara. Jadikan ia sebagai alat bukan matlamat.

Pada saya, Umno tidak perlu tonjolkan lagi siapakah yang bakal menjadi MB jika berkuasa semula, kerana persaingan akan menjadi bertambah sengit. Apabila menang nanti, adalah calonnya. Negara kita tidak ketandusan pemimpin. Patah tumbuh hilang berganti. Siapa sangka bekas MB itu boleh dipilih sebagai MB? Adakah Perdana Menteri ketika itu menamakan MB Selangor sebelum itu? Semua orang terkejut apabila Perdana Menteri ketika itu mencadangkannya. Sekiranya bukan beliau yang dipilih, adakah Selangor tidak akan maju?

Kes yang sama ketika saya berforum bersama presiden CUEPACS. Dalam sesi soaljawab,  ada peserta bertanya, jika tidak ada presidennya hari ini, maka gaji kakitangan awam tidak akan naik. Kenyataan ini kurang tepat. Tanpa CUEPACS pun, gaji kakitangan tetap akan naik kerana sudah tiba masanya dan banyak persatuan  telah bersuara. Cuma, kebetulan, CUEPACSlah yang paling ramai keahliannya. Begitu juga dengan persatuan guru-guru. Suara mereka diberi perhatian. Pensyarah seperti kami belum tentu lagi, kerana kami hanya berjumlah 26 ribu, sedangkan ahli CUEPACS dan guru hampir 2 juta orang.

Justeru, saya menyeru kepada pemimpin semua, jangan hanya membelai seseorang untuk mendapat undinya. Tetapi berjuanglah secara ikhlas. Bantulah mereka yang memerlukan tanpa mengira berapa bilangan mereka. Nasib kita bukan ditentukan oleh manusia, tetapi oleh Yang Maha Kuasa. Ikhlaskanlah diri kita, yakinlah Allah akan bersama.

Selangor akan terus maju, tidak kira siapa yang memimpin. Jika lantik kayu mati sekalipun, Selangor tidak akan mundur. Janganlah pemimpin ultra kiasu Melayu hari ini terlalu perasan dan bongkak. Selangor bernasib baik kerana bersebelahan dengan Kuala Lumpur. Sama juga dengan negeri Johor, yang bersebelahan dengan Singapura. Percikan kemajuan negara jiran  telah menyebabkan kita turut merasainya. 

Jika Selangor dipisahkan dengan lautan seperti Sabah dan Sarawak, belum tentu lagi Selangor boleh maju seperti hari ini. Lantiklah sehebat manapun pemimpin tersebut. Saya tidak kata Sabah Sarawak masih mundur. Tetapi untuk memajukan sebuah kawasan sebesar Semenanjung, bukanlah satu kerja mudah. Sebab itu, negeri-negeri sebegini memerlukan lebih daripada seorang Ketua Menteri. Jika kita mengharapkan seorang sahaja, akan berlakulah manipulasi kuasa.

Seperti juga Kuala Lumpur. Siapapun  ahli parlimennya, Kuala Lumpur akan terus maju, kerana ibu kota ini telah menjadi nadi pembangunan negara. Maka tidak hairanlah orang Cina memberikan undi kepada ultra kiasu. Jika sistem pentadbiran Kuala Lumpur sama seperti negeri-negeri lain, sudah lama Kuala Lumpur berketuamenterikan ultra kiasu. Maka tidak hairanlah, saban kali ultra kiasu terus mendesak supaya datuk bandar Kuala Lumpur dipilih melalui pilihan raya, bukan dilantik seperti amalan masa kini.

Justeru, tidak perlulah Barisan Nasional meletakkan calon atau bertanding di kawasan parlimen majoriti Cina seperti Kuala Lumpur. Memperhabiskan beras sahaja, kecualilah kawasan majoriti Melayu. Gunakan wang tersebut  bagi tujuan membantu mereka yang memerlukan.

Bekas MB itu juga berkata, beliau tidak menegur kepimpinan Umno ketika berkuasa, kerana terikat dengan dasar parti. Budaya politik Umno sebegini mesti berubah. Tegurlah pemimpin ketika berkuasa. Di situlah baru benar-benar menguji kepimpinan kita, kerana kita tidak takut hilang kuasa. Jika kita hanya berani selepas tidak berkuasa atau pencen, nampak sangat niat kita tidak ikhlas, takut hilang kuasa.

Akhirnya, kepada para pemimpin, amar makruf nahi mungkar adalah tanggungjawab semua, menjadi fardu ain, sama ada ketika berkuasa atau tidak. Berdosa, jika kita tidak melaksanakannya. Pemimpin tertinggi negara atau menteri-menteri sebenarnya tidak sombong. Mereka yang saya kenali bersifat terbuka. Kita sahaja yang terlalu takut dan terlalu berprotokol. Lebih menyedihkan lagi, yang banyak songel bukannya pak menteri, tetapi orang-orang di sekeliling menteri. Lebih garpu daripada sudu. Inilah yang dikatakan sokong membawa rebah.

Saya akan ulas mengenai Bersih 3.0 minggu hadapan, BERSIH yang menjijikkan,

Prof Madya Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

Monday, April 23, 2012

Ekonomi bukan penentu segala-galanya

7:19 AM Posted by RIDHUAN TEE 84 comments

(Sinar Harian23.4.12)

Apabila membincang soal pendidikan, jarang kita mahu melihat dalam konteks semangat sayangkan agama dan cintakan negara, seperti yang terangkum dalam makna patriotisme dan nasionalisme.  Dalam kepala kita, hanya ada nilai ekonomi, ekonomi, ekonomi. Seolah-olah ekonomilah tanda aras yang menentukan hala tuju sesebuah negara. Bidang lain sudah tidak penting lagi.

Kita terlalu mengejar pembangunan, kemewahan dan keduniaan, bertunjangkan kekuatan ekonomi. Kita lupa, tanpa semangat keagamaan, patriotisme dan nasionalisme, pencapaian ekonomi tidak ada maknanya. Inilah perkara yang selalu dikaburi oleh ultra kiasu dan musuh Islam, agar kita lupa jihad yang sebenar.

Jika di negara lain, kesedaran patriotisme begitu dititikberatkan, kerana itulah asas kehidupan bernegara. Namun, saya berasa amat pelik, kenapa dan mengapa kita memandang remeh isu ini? Asyik-asyik kekuatan ekonomi dan unity in diversity. Berlakukah realiti itu?

Ya, saya tidak nafikan, semua itu juga adalah satu kekuatan. Tetapi apalah erti kekuatan tersebut, jika jiwa rakyatnya kosong dan hanya memikirkan bangsa sendiri sahaja. Sebab itulah, Perdana Menteri Britain, David Camerons mengatakan multiculturalism is dead. Buatlah kajian kenapa pemimpin sebuah negara maju dan hebat ekonominya boleh mengeluarkan kata-kata sedemikian. Kita jarang mahu membuat kajian. Kita asyik berpolitik untuk mendapat undi.

Semua percaya dan amat yakin, negara China akan keluar sebagai kuasa besar ekonomi. Itulah hakikatnya. Namun, kita jarang buat kajian, kenapa dan mengapa China boleh bangkit sebagai salah kuasa besar dan kuasa ekonomi? Sedarkah kita bahawa rakyat China mempunyai semangat patriotisme dan nasionalisme yang tinggi. Faktor inilah yang telah melonjak ekonomi dan pembangunan mereka serta muncul sebagai kuasa besar.

China sudah terkenal dengan bangsa yang amat bongkak dengan tamadun dan kebudayaannya. Tidak timbul soal dua China, termasuk melepaskanTaiwan dan Hong Kong. Begitu juga kepulauan Spratly. China berdiri teguh dengan semangat 1China. Semangat 1China ini begitu kuat mengikat, sebab tidak akan wujud 2China sampai bila-bila.

Begitu juga dengan negara Korea Utara. Walaupun 1Korea Utara dikatakan ‘mundur’, namun semangat patriostisme yang kuat telah melonjak negara ini. Jika bukan kerana sekatan negara barat, sudah lama negara komunis maju lebih pantas berbanding Korea Selatan. Dalam keadaan yang tertekan ini, berbekalkan semangat patriotisme, mereka masih mampu melancarkan peluru berpandu dan menghasil senjata dan tenaga nuklear.

Inilah faktor utama kejayaan mereka. Ekonomi memang penting, tetapi mesti didahului dengan semangat patriotism dengan mengutamakan agenda nasional. Bila saya bercakap sebegini, ramai yang menuduh saya membuat serangan atau menanam kebencian terhadap orang Cina. Terus terang, tidak ada niat langsung untuk menanamkan semangat anti Cina, kerana saya sendiri dan keturunan saya adalah Cina.  Saya cuma menyeru agar kita menyahut sama agenda kebangsaan.

Misalnya, bagaimana kita boleh mengatasi masalah buta bahasa kebangsaan yang menjadi agenda utama pembinaan negara? Mengikut kajian, hasil produk SJKC, satu daripada empat pelajarnya akan tercicir kerana tidak dapat menguasai bahasa Melayu. Setakat ini terdapat 1293 buah SJKC, 78 Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC). Ini tidak termasuk Sekolah Menengah Persendirian Cina. Kebanyakan orang Cina memilih Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) untuk pengajian seterusnya kerana sudah tidak ada pilihan. Jika SMJKC sama banyak bilangan seperti SJKC, sudah tentu aliran SMK bukanlah lagi pilihan.  

Terbaharu, timbul pula cadangan supaya kelas peralihan (remove class) di SMK dirombak dan diberi penambahbaikan kecinaan.  Sebelum itu lagi, pada September 2011, sebuah jawatan kuasa yang disertai oleh 13 Persatuan Cina telah ditubuhkan, mendesak kerajaan supaya mengkaji semula keberkesanan kelas peralihan, termasuk silibusnya dan cara pengajaran dan pembelajaran (P&P) guru-gurunya. Guru-guru bukan Cina yang mengajar kelas peralihan di SMK mesti boleh menguasai bahasa mandarin. Pendek kata, mereka mahukan kelas peralihan dikendalikan sama seperti SJKC.

Apabila ada cadangan supaya diwujudkan kelas peralihan di SJKC bagi mereka yang gagal bahasa Melayu tahun enam, mereka cukup menentang atas alasan tidak cukup guru dan prasarana. Pada saya, yang perlu dikaji semula bukan kelas sistem peralihan sekolah menengah, tetapi proses P&P di SJKC. Pastikan semua gurunya mesti pandai menguasai bahasa Melayu ketika mengajar apa jua subjek dalam bahasa Cina. Jika guru bukan Cina mesti disyaratkan menguasai bahasa Cina, apakah guru bahasa Cina tidak boleh disyaratkan fasih berbahasa Melayu? Kenapa mengajar bahasa Cina langsung tidak diselang selikan dengan bahasa Melayu?

Baiklah, katakan jika kerajaan terpaksa lagi tunduk dengan tuntutan ultra kiasu untuk mencinakan kelas peralihan, apakah jaminan selepas ini pelajar lepasan SJKC tidak akan tercicir lagi? Pada saya, hantarlah sebanyak manapun guru yang boleh berbahasa mandarin untuk mengajar apa jua subjek yang memerlukan terjemahan, sama ada di SJKC atau di SMK, selagi sikap tidak berubah dan semangat patriotism tidak ada, selagi itulah kita akan dibelenggu dengan masalah yang sama. Apakah kekuatan ekonomi dan unity in diversity akan berkekalan jika beginilah keadaannya?.

Pelajar Melayu pun ramai yang tercicir di sekolah menengah, kenapa perkara ini tidak perjuangkan oleh kita semua? Inilah fenomena biasa yang akan berlaku selagi patriotisme tidak menjadi teras. Isteri saya mengajar di kelas peralihan, masalahnya tidak ada seorang pun yang boleh menguasai bahasa Melayu mudah. Mengajar mereka seperti mengajar bayi yang baharu membesar. Seorang menjadi itik, seorang menjadi ayam. Pelajar ini tidak boleh disalahkan. Sistem yang menjadikan mereka sedemikian.

Biarlah kita bersama ketika senang dan susah. Ke gunung sama didaki, ke lurah sama dituruni. Hidup mati bersama mempertahankan negara. Saya amat bimbang jika ada pemikiran dalam bahasa hokkien seperti yang dipernah dibisikkan oleh ultra kiasu yang berbunyi huan na ceng ko, teng lang cau lo, bermaksud pastikan Melayu terus mundur, orang Cina mesti ke hadapan.

Prof Madya Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

Monday, April 16, 2012

Bolehkah sejarah Melayu dipadamkan?

7:04 AM Posted by RIDHUAN TEE 100 comments

(Sinar Harian 16 Apr 2012)

Setiap kali bila isu pendidikan vernacular disentuh, saya diserang habis-habisan. Kedua ibu bapa saya, terutama ibu saya yang baharu sahaja meninggal, dihina dan dikutuk, menggunakan perkataan yang amat lucah. PengIslaman sayapun dikeji. Perkataan khitan (bersunat) dipermain-mainkan, hanya kerana saya tidak kulup lagi. Sehingga Yang di-Pertuan Agong yang tidak bersalah pun dibabitkan sama. Lebih serius lagi, ada ugutan mencederakan saya. Jika di Singapura, tempat yang menjadi pujian dan pakatan ultra kiasu, sudah lama mereka ini dihumban ke dalam penjara. Tetapi di negara kita, begitulah keadaannya, ‘terlalu bertoleransi’ kerana takut hilang kuasa.

Persoalannya, di mana salah saya? Apakah yang dilontarkan itu tidak benar? Jika menyimpang, perbetulkan. Itu baru namanya, kita orang yang bertamadun. Bukannya menganggap diri bertamadun, tetapi berpelakuan amat hina,  berfikiran dan bertindak seperti orang hilang akal. Kenapa diri atau peribadi yang diserang, bukan hujah yang dibahaskan? Saya menghormati mereka yang berlapang dada dan dapat membincangkannya dengan baik.

Baiklah, jika masih tidak berpuas hati, saya akan ulangi apa yang telah ditulis sebelum ini. Buktikan kepada saya di manakah negara dalam dunia ini memberikan kebebasan mendapat pendidikan perkauman sebegini rupa?  Ataupun sekurang-kurangnya menyamai sedikit apa yang dilakukan oleh negara kita? Tidakkah Malaysia adalah syurga kepada kaum selain Melayu dalam mengekalkan identiti dan jatidirinya? Kita terus kekal seperti mana asalnya, tanpa langsung diusik dan dijentik. Anak Cina/India kekal tulen Cina/India, malah lebih Cina dari di China. Di China pun tidak ada kebebasan dan tidak setulen seperti ini? Apa lagi yang kita mahu? Bumiputera Sabah dan Sarawak yang mempunyai lebih hak pun jarang bertindak seekstrem kita hari ini.

Saya harap pihak berkuasa tidak akan tunduk demi masa depan negara tercinta ini. Jika kita tunduk, maka tergadailah maruah dan jati diri sebuah negara yang terletak di kepulauan Melayu. Apakah mungkin manusia mati meninggal nama? Pada saya, jika harimau mati meninggalkan belang, gajah mati meninggalkan gading. Apakah mungkin Melayu mati, di mana tulangnya? Sepuluh jari saya susun jika orang Melayu tersinggung dengan tulisan ini. Terimalah muhasabah ini dengan lapang dada, kerana ikatan agama kita teramat kuat daripada ikatan bangsa membuatkan saya berani bersuara.

Saya sudah tidak rasa diri berbangsa, kerana Islam mengajar saya, Allah tidak akan tanya dikubur nanti, apa bangsa kamu! Cina atau Melayu! Tetapi pertanyaan yang amat takut tidak dapat dijawab, walaupun soalannya telah bocor, adalah “siapakah Tuhan kamu”? “Apakah agama kamu”? dan sebagainya. Wahai rakan seagamaku, percayalah dalam hati ini, tidak ada kepentingan lain, melainkan untuk melihat agama Islam dan umatnya, dibela dan terbela, disanjung dan dijunjung, terus kekal di bumi bertuah ini. Bukannya, dihina dan dipijak-pijak. Saya sudah tidak hirau lagi dituduh pengkhianat, hatta disuruh jangan lagi menggunakan surname TEE.

Saya tidak pernah diupah oleh Umno untuk menulis, mahupun menerima habuan Umno atau pihak ketiga. Saya tidak akan bersuara, jika semuanya teratur dan berjalan dengan baik. Saya tidak mahu mencari masalah. Saya mahu hidup aman, bebas dari kutukan, makian, hinaan dan cercaan orang lain. Namun, apakan daya, selagi Islam dan umatnya tidak terangkat dan terdarjat, selagi itulah perjuangan tidak selesai. Mudah-mudahan Allah memberi kekuatan dan membuka hati kita semua. Ia perlu dilakukan dengan cepat, kerana masa tidak menunggu kita. Jika kita terus berpolitik, saya bimbang, kesempatan mungkin tidak datang untuk kali kedua. Sementara berkuasa, lakukanlah yang terbaik untuk agama, bangsa dan negara.

Ultra kiasu sudah menjadi terlalu kuat. Semakin terus menggunakan segala ruang dan peluang pada waktu kritikal ini, kerana mereka takut ruang dan peluang ini mungkin tidak datang lagi, walaupun mereka tahu ruang dan peluang itu masih terbuka luas, dengan adanya orang Melayu Islam yang belot bersama mereka, sepakatan dengan mereka. Justeru, wahai saudaraku, sekali lagi saya paparkan apa yang telah diberikan selama ini, selain daripada tuntutan ultra kiasu yang terbaru. Bacalah, saya tidak akan ulangi lagi.

Pertama, SJKC sebenarnya tidak boleh disentuh sejak kewujudannya. Kita hanya berjaya menyeragamkan silibus pelajaran daripada berkiblat negara asal kepada silibus kita. Itupun masih lagi dipersoalkan, kerana penyeragaman itu tidak berlaku secara menyeluruh kerana kita terus tunduk.  Subjek Bahasa Melayu walaupun telah diseragamkan, tetapi teksnya tidak sama berbanding aliran kebangsaan. Bahasa Melayu di SJKC/T lebih mudah, berbanding sekolah kebangsaan. Penyeragamanya ditentang oleh ultra kiasu kerana jika diberatkan bahasa Melayu, penguasaan bahasa ibunda akan berkurang.

Kedua, cadangan penambahan waktu pengajaran dan pembelajaran (P&P) bahasa Melayu di SJKC juga gagal. Cadangan kerajaan ditolak mentah-mentah. Alasannya, jika ditambahkan waktu P&P bahasa Melayu, ia akan mengambil ruang masa subjek bahasa ibunda. Penguasaan bahasa ibunda akan terjejas.

Ketiga, cadangan P&P subjek sejarah (Malaysia Negaraku) di sekolah rendah, untuk meningkatkan semangat patriotism. Pun tidak berjaya. Jika subjek ini mahu diajarkan juga, mesti diajar dalam ibunda, bukannya dalam bahasa Melayu, kerana akan menjejaskan penguasaan bahasa ibunda.

Keempat, kegagalan Sekolah Wawasan. Semua Sekolah Wawasan yang telah didirikan gagal untuk menarik perhatian orang Cina. Alasannya, percampuran dengan orang lain, akan mengurangkan penguasaan bahasa ibunda. SJKC mesti beroperasi dengan penuh kecinaan, baru murid-murid dapat menjadi Cina tulen.

Pokoknya, mereka tidak mahu menjadi Cina Pisang. Titik. Mereka mahu jadi secina cinanya. Persoalannya, apakah tindakan sebegini baik untuk pembinaan sebuah negara bangsa? Mereka tidak mahu dikaitkan dengan Melayu. Dengan orang putih tidak mengapa.

Pendek kata, ultra kiasu langsung tidak mahu bahasa ibunda mereka cair. Sebarang gugatan akan ditentang habis-habisan, tanpa memikirkan agenda negara. Pada mereka, biarlah anak-anak mereka langsung tidak tahu berbahasa Melayu, asalkan mereka mesti tahu berbahasa Cina.

Fikirkanlah wahai pemimpin sekelian. Benar, undi dan pengekalan kuasa penting. Tetapi fikirkanlah kepentingan agenda membina negara. Saya tidak menjadi masalah atau tidak pernah risau, jika perkara ini berlaku di negeri China, tetapi ingatlah kita berada di Malaysia, perkataan ‘Malay’ itu masih wujud, dengan sedikit penambahan perkataan ‘Sia’. Jika tidak berlaku kemasukan Sabah dan Sarawak, negara ini akan terus kekal dengan nama Tanah Melayu. Bayangkan jika perkara ini terus berlaku, sedangkan namanya masih kekal Tanah Melayu. Bolehkah sejarah ‘Tanah Melayu’ dipadamkan begitu sahaja?


Profesor Madya Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia


Sunday, April 08, 2012

Berani selepas pencen

10:53 PM Posted by RIDHUAN TEE 61 comments
(Sinar Harian 9 Apr 2012) 

Minggu lalu, bekas Menteri Besar Selangor (MB) berkata Umno yang terlalu dominan di Selangor akan menyaksikan Barisan Nasional (BN) kehilangan Selangor, kerana undi bukan Melayu akan lari kepada Pakatan Rakyat (PR). Beliau juga mengatakan, tidak ada calon BN yang layak untuk menjadi MB. 

Saya tidak faham apa sebenarnya yang dimaksudkan. Pada saya, sama ada BN akan menang atau tidak, ada calon MB atau tidak, biar rakyat yang menentukan. Apa yang penting, Umno dan BN perlu lah muhasabah diri, termasuk bekas MB itu. Apakah selama beliau memimpin Selangor suatu ketika dahulu sehingga menyebabkan kehilangan sokongan rakyat benar-benar layak digelar MB? Jangan mengata dulang paku serpih. 

Ya, Umno perlu menjadi dominan, yakni dominan dari segi akhlak pemimpin, itu sahaja cara yang dapat memikat hari pengundi, dan mengalihkan perhatian ultra kiasu. Bukannya sifat bermewah-mewah dan berpoya-poya. Selalulah mendekati rakyat melalui sembahyang berjamaah bersama rakyat. Paling baik boleh menjadi imam. 

Pada masa sama, dekatilah pengikut Pas. Buang tabiat lama, bersifat lebih terbuka. Barulah cakap serupa bikin. Umno kalah dahulu kerana Umno masih mengekalkan tabiat lama seperti yang dilakukan oleh bekas MB ini. Saya masih ingat, ketika mula dilantik menjadi MB, perwatakan beliau amat humble, low profile dan sangat down-to-earth. Mungkin disebabkan beliau anak orang susah. Namun, setelah senang, dapat memegang jawatan agak lama, keadaan mula berubah. 

Beliau tidak lagi sebagaimana yang saya kenal dahulu. Beliau mula berubah dari segi, rupa, penampilan dan komunikasi. Apabila saya datang berjumpa beliau selepas kaya, muka saya langsung tidak dipandang, beliau terus membaca surat dan menandatanganinya, tanpa melihatpun wajah saya, sambil berkata-kata. Berjabat tanganpun sekadar main-main sahaja. Sebagai seorang pemimpin, apabila rakyat marhaen datang berjumpa, kami bukanlah mahukan karpet merah. 

Apa yang kami mahu ialah pandanglah muka kami bila kami datang berurusan. Bila bersalaman, genggam tangannya, tenunglah wajahnya buat seketika, jangan sekadar menyapu atau menyalat tangan sahaja. Kami datang berjumpa MB bukan untuk minta sedekah, tetapi sekadar meminta dan memberikan hak kami sebagai rakyat. Itu sahaja. 

Tetapi inilah sifat sesetengah pemimpin memandang rendah pada rakyat. Contohilah para Nabi dan sahabat dalam berpolitik. Mereka menjadi pemimpin yang begitu memahami kehendak rakyat. Rakyat didahulukan. Bila bertemu rakyat, dipeluk dan disalaminya dengan senyum ceria dan memandang tepat ke wajah. Barulah rakyat menerimanya terasa zuppp. 

Sebab itulah, pemimpin dahulu memang hebat kerana mengikuti sunnah, jarang yang kaya raya berbanding pemimpin hari ini. Mereka hidup serba sederhana. Rakyat yang kaya. Itulah sebenarnya peranan pemimpin. Hari ini, kita kaya dahulu, rakyat dibiarkan miskin. Justeru, saya puji Bantuan Rakyat 1Malaysia. 

Biarlah bantuan ini bersifat kekal, kerana yang miskin memang sewajarnya dibantu. Dahulu ketika memegang kuasa, pandangan bekas MB tersebut tidaklah kritikal seperti hari ini. Perebutan kuasa, cantas mencantas, korupsi dan sebagainya dipandang sebelah mata. Mungkin kerana beliau tidak ada banyak masa sehingga tidak nampak kemungkaran ini. 

Namun, setelah tidak lagi menjadi MB, beliau bertindak seolah-olah seperti pembangkang dalam parti atau menjadi duri dalam daging. Mungkin beliau terlalu banyak masa kerana sudah tidak berkuasa. Dahulu ketika berkuasa, dia cantas semua orang yang cuba melawan atau memberikan pandangan berbeza. Dia akan pasti semua orang dia yang berkuasa dan memegang jawatan. Kini, apabila tidak berkuasa lagi, dia bertindak seperti pembangkang. 

Sama juga sifatnya pegawai-pegawai tinggi kerajaan atau kakitangan awam hari ini. Semasa dalam perkhidmatan, mereka seperti pijak semutpun tidak mati. Semua yang dilakukan kerajaan betul. Tiada kedengaran suara-suara sumbang atau sifat berani untuk menegur. Namun, apabila mereka pencen dan tidak berjawatan sama ada dalam parti atau kerajaan, keadaan menjadi berubah seratus peratus, mereka menjadi begitu berani. Semua yang dilakukan kerajaan tidak betul. Malah, mereka sanggup membocorkan rahsia-rahsia kerajaan. 

Nampak sangat kita tidak jujur dan hipokrit. Budaya politik kita selama ini melahirkan ramai hipokrit sebenarnya daripada orang-orang yang jujur dan ikhlas. Di sinilah saya lihat silapnya Umno dalam mentarbiyyah ahli-ahlinya. Termasuk pemimpin Melayu ultra kiasu PKR hari ini. Dahulu semasa dalam Umno, semuanya wangi, apabila ditendang keluar, tidak sedikitpun kebaikan Umno yang disebut. Semuanya menjadi munafik. 

Kenapa kita begitu berani apabila sudah tidak lagi memegang jawatan. Masa memegang jawatan kita begitu menikus. Sama juga kenyataan bekas menteri penerangan baru-baru, ketika berjawatan, semua yang dilakukan oleh Umno, betul belaka. Apabila tidak ada jawatan dan kalah, Umno semua salah. Saya berpandangan, Umno telah gagal mendidik ahli dan pemimpin mereka, setelah sekian lama memerintah. 

Umno sudah sinonim dengan wang dan harta, wanita dan takhta. Sekarang ini pun ramai orang-orang berjaya dalam Umno hidup bergaya dengan isteri yang ramai. Agak kurang pemimpin berkualiti yang telah dilonjakkan oleh Umno yang benar-benar down-to-earth atau merakyat. Betul kata Tun Mahathir, bahawa budaya Umno selama ini adalah menaikkan orang bodoh dan menenggelam orang pandai. 

Orang pandai tidak dibenarkan naik, kerana dilihat sebagai ancaman. Maka dipenaikkan orang-orang bodoh atau pandir, yang menjadi yes men. Belumpun selesai Perdana Menteri atau pemimpin bercakap lagi, pemimpin pandir ini akan memberi respon semuanya betul. Akhirnya, pemikiran tidak berkembang. Ramai orang-orang pandai yang ingin menjadi pemimpin mengadu kepada saya. 

Mereka ada jawatan, ada bisnes, ada Phd sehingga bergelar profesor, namun mereka tidak pernah tertonjol dan menonjol kerana telah dipancung sejak awal-awal lagi. Sudah sampai masanya Umno melihat perkara ini dengan serius. Proses pentarbiyyah dalam Umno mesti berlaku. Masih belum terlambat. 

Transformasi perlu segera dilakukan untuk menyelamatkan Umno daripada membusuk seperti mana saranan Perdana Menteri. Cerdik pandai dan pemimpin berakhlak mulia perlu diketengahkan dan ditonjolkan. Barulah dikatakan winnable candidate. Jika kayu mati terus diketengahkan, tunggulah kehancurannya. Pastikan pemimpin Umno tidak hanya pandai mengembungkan poket dan membuncitkan perut. 

Umno mesti merakyat sebagai tage line 1Malaysia, rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan. Masih belum terlambat jika Umno mahu kembali ke pangkal jalan. Pemimpin tertinggi Umno mesti meneliti satu persatu bakal calon wakil rakyatnya. Akhlaknya, latar belakangnya, keluarganya dan banyak lagi kritiria yang lain mesti diambil kira. 

Kepada mereka yang terlanjur, bertaubatlah. Masih belum terlambat. Banyakkan program tarbiyyah, kerana itu sahaja dapat mendidik hati dan menyelamatkan Umno. 

Profesor Madya Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah 
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

Monday, April 02, 2012

Jangan hancurkan masa depan negara

7:01 AM Posted by RIDHUAN TEE 69 comments
(Sinar Harian 2 Apr 2012)

Lanjutan daripada artikel saya minggu lalu bertajuk “bahaya tuntutan ultra kiasu”, ekoran perhimpunan bantahan mengenai masalah kekurangan guru di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), saya telah menerima begitu banyak emel, terutama kalangan guru-guru bukan Cina, termasuk guru Cina (Muslim) yang mengajar di sana. Mereka melahirkan rasa amat tidak selesa dan tidak berpuas hati dengan tindakan ultra kiasu itu.

Salah seorang daripadanya, Anuar Koh (Cina Muslim) yang mengajar di SJKC, amat bimbang mengenai usul ekstrem yang dikemukakan dalam perhimpunan tersebut. Antaranya, menggesa Kementerian Pelajaran Malaysia supaya menarik balik penempatan semua guru yang tidak berkelayakan Bahasa Cina termasuk guru-guru Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris yang ditempatkan ke SJKC. Mereka juga mendesak Kementerian Pelajaran Malaysia menempatkan semula guru-guru yang berkelayakan Bahasa Cina ke SJKC yang dipindahkan sebelum ini.

Ini adalah strategi yang amat licik ultra kiasu untuk menjadikan SJKC sarang orang Cina, tanpa ada bangsa lain, seolah-olah berada di China. Amalan selama ini, guru-guru bukan Cina seperti guru-guru Melayu, India atau kaum lain, ditempatkan di sekolah Cina untuk mengajar matapelajaran Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris. Mereka ini memang tidak ada kelayakan Bahasa Cina, atau mendapat kepujian atau kredit dalam Kertas Bahasa Cina dalam SPM. Adalah sesuatu yang amat sukar untuk mencari guru bukan Cina boleh menguasai bahasa Cina. Ultra kiasu mahu mewajibkan mereka memahaminya. Ultra kiasu ini siapa sebenarnya?

Persoalan, kenapa anak-anak Cina ini langsung tidak mampu berbahasa kebangsaan? Apa yang dilakukan saban hari di rumah? Kenapa mereka boleh menjadi sebegitu jahil dalam memahami agenda negara? Kenapa apabila kita pergi ke luar negara seperti Jepun, Korea, Perancis, German dan lain-lain, kita tidak wajibkan mereka memahami bahasa Melayu terlebih dahulu sebelum mengajar bahasa mereka terhadap kita.

Suka atau tidak, tahu atau tidak, kita kena paksa diri, mesti belajar bahasa asing, jika mahu berada di negara mereka dan menimba ilmu mereka, walaupun sepatah haram bahasa mereka tidak difahami. Akhirnya, fasih juga kita berbahasa asing. Ini bukan soal guru atau apa, tetapi soal sama ada kita sensitif atau tidak, dengan agenda membina negara atau kita terlalu perkauman? Sosialisasi politik kita sama ada di dalam rumah mahupun di luar rumah amat perkauman. Tidak ada keinginan langsungkah untuk bercakap sepatah dua bahasa Melayu di rumah?

Jika kerajaan tunduk kepada tekanan ini, maka niat mereka hendak menghalau semua guru bukan-Cina atau Cina yang bukan berpendidikan Cina akan tercapai. Mungkin sebagai langkah taktikal, tuntutan 325 hanya mahu pihak kementerian ‘menghalau’ guru-guru sedemikian yang ditempatkan tahun ini. Tetapi, kalau tuntutan yang berbau perkauman yang amat ultra ini dilayan, maka, langkah seterusnya tentulah untuk menghalau semua sekali guru-guru bukan Cina.

Menurut sejarahwan Inggeris yang banyak menulis mengenai sejarah orang Cina di Malaysia, Victor Purcell, ketika berlaku penghijrahan, bukti-bukti menunjukkan, komunis menggunakan sekolah Cina untuk menyebarkan fahaman mereka. Saya tidak kata ianya berlaku di SJKC kini. Saya cuma tidak mahu kita mengulangi kesilapan demi kesilapan. Takkan kita sanggup melihat sesebuah institusi kepunyaan kerajaan dihuni oleh satu bangsa sahaja. Di sekolah agama dan di UiTM pun tidaklah sebegitu ekstrem. Masih ada wajah-wajah bukan Melayu.

Lantaran, saya amat tidak faham dan amat sedih bagaimana pemimpin kanan Pas begitu tergamak mengangkat tangan setinggi-tingginya, menyertai perhimpunan ini dalam usaha mereka hendak menghalau semua guru bukan Cina, terutamanya Guru Melayu (termasuk India), keluar dari SJKC. PKR usahlah dicerita, mereka hanya mabuk kuasa.

Dengar khabar, pertubuhan ultra kiasu ini sedang merancang untuk menghalau semua murid bukan Cina yang sekarang belajar di SJKC, atas alasan murid-murid bukan-Cina telah menghalang perjalanan licin pengajaran Bahasa Cina. Untuk merealisasinya, langkah pertama ialah dengan menghalau dahulu guru bukan Cina, kemudian dikuti murid bukan Cina sebagai langkah kedua. Berbeza dengan SJKC di luar bandar, mereka akan berkempen habis-habis agar orang Melayu menghantar anak mereka ke sana. Ia bertujuan memastikan SJKC ini survive, walaupun terletak di kawasan Melayu.

Jika perancanganlicik ini berjaya, pertubuhan ultra kiasu, dengan sokongan kuat dari Pakatan Rakyat yang begitu yakin akan menang dalam PRU 13, akan menetapkan perlunya kelayakan Bahasa Mandarin bagi mereka yang ingin terus menginap di Malaysia. Pada masa itu, semua orang Melayu akan dihalau keluar Malaysia jika tidak berkelayakan Bahasa Mandarin.

Dalam perhimpunan tersebut, selain membidas kerajaan kerana tidak pernah mahu menyelesaikan masalah kekurangan guru di SJKC sejak tahun 1968 sehingga kini, mereka turut memperlekehkan pembinaan Menara Kembar Petronas KLCC dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang dianggar membazir berbanding dengan pelaburan dalam pendidikan Cina.

Pertanyaan saya, buktikan SJKC boleh memenuhi agenda nasional negara? Bagaimana dengan produk SJKC yang langsung tidak boleh berbahasa Melayu? Kajian menunjukkan, orang Cina aliran kebangsaan lebih mudah bergaul dengan orang Melayu berbanding produk SJKC.

Kebimbangan saya lagi, Kementerian Kewangan mengumumkan minggu lalu, pengecualian cukai akan diberikan kepada mereka yang menderma secara tunai kepada sekolah dan rumah ibadat, tertakluk kepada pindaan undang-undang Akta Cukai 1967. Sebelum ini, Menteri Pelajaran ada mencadangkan agar derma Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) turut diberikan pengecualian cukai. Saya tidak pasti sejauhmanakah perkara ini telah berjalan dan dibincangkan.

Cadangan ini amat baik. Tetapi sebelum dilaksanakan, kajian mendalam perlu dilakukan terlebih dahulu, bukannya dengan membuat keputusan politik. Menggalakkan orang menderma adalah amalan mulia dan dapat mengukuhkan kewangan sekolah dan rumah ibadat. Apabila sudah mempunyai kewangan yang kukuh, sudah tentu ia dapat berfungsi dengan lebih efektif. Namun demikian, perlu juga difikirkan bersekali dengan implikasinya. Tindakan ini tidak menguntungkan agenda kebangsaan, malah akan menjadi identiti kebangsaan semakin pupus. Paling membimbangkan agenda perkauman semakin menebal, kerana logiknya setiap kaum akan membantu institusi masing-masing. Perkara ini telah berlaku sekian lama. Tanpa bantu kerajaanpun, institusi mereka tetap megah berdiri. Bayangkan jika semua bertindak menghulurkan derma mengikut institusi kaum, mampukah umat Islam bersaing dengan mereka?


Prof Madya Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia