Semua artikel adalah pendapat peribadi. Anda berhak untuk tidak meneruskan bacaan atau tidak mengakseskan blog ini serta merta jika anda tidak bersetuju dengan pemikirannya. All the articles written are the personal views. You have absolute rights not to continue reading or to discontinue accessing this blog immediately if you are disagreeable with the personal views.

Wednesday, March 28, 2012

Bahaya tuntutan ultra kiasu

6:47 PM Posted by RIDHUAN TEE 218 comments
(Utusan Malaysia 28 Mac 2012)

Ahad lalu kita dikejutkan dengan Perhimpunan 325 ultra kiasu sekitar kolej perkauman mereka, ala universiti merdeka di Kajang. Saya tertanya-tanya bagaimana perhimpunan perkauman sebegini diberikan permit. Sepatutnya ISA lah jawapannya. Tetapi kita tidak pernah lakukan. Ini toleransi dan mulianya hati budi pemimpin. Berbanding dengan undang-undang di Singapura, panggilan ‘anjing’ sudah membolehkan seseorang itu dipenjara atau didenda dan beberapa kemudahan ditarik balik. Di negara kita, tiada sebarang tindakan dikenakan walaupun perkataan lebih hina dan lucah digunakan serta sentimen perkauman dimainkan.

Saya telah pergi ke kolej yang dipunyai oleh ultra kiasu ini (tempat perhimpunan) enam tahu lalu. Operasinya langsung tidak mencerminkan identiti kebangsaan, sama seperti kolej di negeri China. Laman webnya pun langsung tidak menggunakan bahasa Melayu. Saya tidak faham bagaimana kolej ini boleh diikhtiraf sebagai salah satu IPTS negara ini. Apa boleh buat, semua telah diluluskan. Kita tidak pernah bertegas, malah semakin tunduk kepada tuntutan dan tekanan. Malang sungguh negara ini, identiti kebangsaan langsung tidak tertonjol,yang menonjol adalah identiti orang lain.

Beberapa laman web ultra kiasu melaporkan perhimpunan tersebut disertai oleh lebih 5000 orang. Manakala akhbar ultra kiasu melaporkan lebih 7000 orang. Angka tidak penting, walaupun sering dimanipulasikan oleh akhbar ultra kiasu untuk menunjukkan mereka hebat. Tidak mustahil bilangannya agak ramai kerana jika pelajar-pelajar dan ibu bapa kolej ultra kiasunya turun, sudah cukup mendapatkan angka tersebut. Pada saya, perhimpunan ini tidak perlu dianggap sebagai satu gugatan. Apa yang penting adalah tindakan pro aktif kita, bukan action oriented, takut kepada mereka. Agenda kebangsaan mesti diperkasakan daripada agenda perkauman komunis mereka.

Tuntutan mereka amat tidak logik dan begitu ektrem. Inilah strategi komunis yang dipakai sekian lama. Walaupun komunis telah tiada, tetapi pemikirannya masih kuat. Tuntut sebanyak-banyaknya, mereka tahu kerajaan tidak akan tunduk. Namun, kerajaan akan beri sedikit. Pemberian sedikit itulah kemenangan terbesar buat mereka. Kerajaan sepatutnya sudah dapat membaca strategi lapok ini. Jangan gentar sama sekali dengan ugutan menjelang pilihan raya. Biar kalah, tetapi bermaruah, daripada menang, tetapi tergadai segala-galanya. Generasi akan datang menderita. Kita akan dikutuk sampai bila-bila

Antara tuntutan kumpulan ultra kiasu ini adalah;

Pertama, segera keluarkan guru Cina yang tidak latar belakang sekolah Cina atau mengambil mandarin dalam sijil SPM.

Kedua, sediakan kursus khas bahasa Cina kepada guru yang mengajar Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, minima tiga tahun, supaya mereka dapat menguasai ketiga-tiga bahasa ini.

Ketiga, rombak silibus latihan perguruan supaya guru bahasa Cina benar-benar layak untuk mengajar bahasa Cina.

Keempat, rombak akta pelajaran bagi memastikan sekolah vernakular dilindungi dan setaraf dengan sekolah kebangsaan.

Siapakah ultra kiasu ini yang begitu biadab dan kurang ajar, yang begitu berani mencabar kerajaan? Mereka tidak layak hidup di negara bertuah yang memberikan banyak kebebasan sehinggakan identiti negara tidak terserlah. Tuntutan ini amat tidak masuk akal. Sebahagian orang Cina sendiri tidak selesa dengan tuntutan terlalu ultra ini. Justeru, tidak wajar kita salahkan semua orang Cina.

Saya cadangkan ultra kiasu membawa tuntutan yang boleh memporakperandakan negara ini ke negara komunis China. Saya amat yakin, komunis China pun tidak dapat menerimanya walaupun berkaitan dengan agenda bangsa Cina, kerana memberi ancaman kepada keselamatan kerajaan. Tidak perlu pergi jauh, lihatlah berapa ramai yang menjadi korban dalam peristiwa Tiananmen 1989, hanya kerana mereka menuntut kebebasan dan demokrasi? Seramai 400-800 orang (The New York Times) telah menjadi korban dan ribuan cedera. Selain tindakan ketenteraan, kerajaan China telah melakukan penangkapan besar-besaran untuk menyekat kebangkitan penunjuk perasaan dan pengikut pro demokrasi di seluruh China.

Media asing diharamkan dari membuat liputan. Media awam dikawal dalam membuat segala liputan media mengenai kejadian tersebut. Lihat betapa bertuahnya negara ini, media ultra kiasu mempropagandakan isu ini tidak pernah habis dan terus memainkan sentiment perkauman. Kita terus berlembut. Jika adapun tindakan, hanya surat tunjuk sebab dan amaran, pun tidak berani menjentiknya. Kenapa? Takut mereka tidak mengundi kita. Nasihat saya, berilah sebanyak manapun, ultra kiasu tidak akan mengundi kita.

Apa yang dibuat oleh kerajaan kita terhadap perhimpunan perkauman ini? Boleh dikatakan tiada. Mereka terus melakukan provokasi. Jika Kementerian Pelajaran tunduk kepada tuntutan ultra ini, maruah kita berada di tahap yang paling hina dan amat rendah sekali. Jangan terlalu mengharapkan undi sehingga maruah dan harga diri negara ini tergadai. Pentingkan agenda kebangsaan berbanding agenda bangsa. Jika mereka benar-benar ikhlas sudah tentu agenda kebangsaan (bahasa Melayu) dibincang atau dibawa bersekali. Ini tidak, semuanya mesti cina, cina dan cina seperti di negeri China.

Mereka tidak pernah risau sebahagian produk SJKC yang langsung tidak boleh menguasai dan berkomunikasi dalam bahasa kebangsaan. Malah mereka tutup kedua-dua belah mata. Masalah yang dihadapi oleh kementerian pelajaran, langsung tidak mahu diambil tahu. Mereka hanya tahu hak mereka mesti dipenuhi. Hak orang lain langsung tidak dihiraukan. Sedangkan toleransi kerajaan sudah sampai ke tahap maksimum. Tindakan sebegini hanya akan membuahkan dendam.

Dalam pembinaan negara bangsa, tidak salah jika orang Cina kurang sedikit kecinaannya, lebih kepada kemalaysiaannya. Lagipun mereka bukan bangsa majoriti. Barulah betul dikatakan Malaysian first. Saya tidak nampak identiti dan jatidiri orang Melayu dan bumiputera hari ini begitu terangkat dan terdarjat walaupun mereka adalah majoriti. Mereka sanggup berkorban menggadaikan identiti bangsanya, demi menjaga hati orang lain. Namun, madu dibalas tuba. Ingatan saya kepada kerajaan, jangan biarkan pemikiran komunis ini menguasai kita.

Toleransi kita sudah tidak ada tolok banding. Dahulu, terdapat peruntukan Akta Pelajaran 1961 memberi kuasa mutlak kepada Menteri Pelajaran untuk menghapuskan sekolah vernakular. Sebagai menghormati hak bangsa lain, peruntukan ini telah dimansuhkan dalam Akta Pelajaran 1996. Menteri Pelajaran tidak ada kuasa lagi menghapuskan sekolah vernakular. Nampaknya, pemikiran komunis tidak pernah menghargai toleransi kerajaan.

SJKC yang dahulunya dikategorikan sebagai sekolah bantuan modal, hari ini hampir ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan. Ini tidak termasuk hampir 400 SJKC yang dibina sepenuhnya oleh kerajaan termasuk bangunan dan tanah. Menjelang pilihan raya, ke mana sahaja Perdana Menteri membuat lawatan ada sahaja SJKC/T baru yang diluluskan. Rumah ibadat janganlah dicerita.

Saya tidak pasti penambahan Sekolah Kebangsaan dan sekolah agama, sebab tidak dilaporkan. Yang pasti, bangsa lain semakin mendapat tempat dan diraikan menjelang pilihan raya umum. Tidak cukup dengan itu, kaduk terus naik junjung, mereka terus mendesak ditambah lagi, seolah-olah tidak pernah cukup, termasuk penambahan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJKC) dan Sekolah Persendirian Cina serta sijil-sijil sekolah perkauman (UEC) yang mesti diikhtiraf.

Maka tidak hairanlah, baru-baru ini Kementerian Pengajian Tinggi telah menerima 146 institusi pengajian tinggi di China menjadi kumpulan pertama yang diiktiraf Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), susulan Perjanjian Pengiktirafan Seiring (MRA) yang ditandatangani Malaysia dan China pada 28 April 2011.

Antara universiti China yang diiktiraf ialah Universiti Anhui, Universiti Beihang, Universiti Fudan dan Universiti Donghua. Ini tidak termasuk kerjasama dengan Taiwan. Saya tidak menolak akan kerjasama tersebut, tetapi apakah mekanisme seterusnya. Siapakah yang akan belajar di sana? Apakah kritirianya? Menggunakan SPM atau UEC? Bagaimana pemantauan boleh dilakukan dengan lambakan IPTS perkauman yang tidak terkawal terutama kolej ultra kiasu di Kajang itu. Selepas ini dan selama inipun mereka terus mendesak supaya agar graduan-graduan mereka ini diterima memasuki perkhidmatan awam tanpa syarat.

Jika demonstrasi inilah yang mahu dijadikan ukuran untuk menggegarkan kerajaan, saya fikir sekolah agama rakyatpun akan berdemonstrasi juga. Lihatlah dan pergilah membuat lawatan ke sekolah agama rakyat, ibarat segan mati tak mahu. Pernahkah orang Islam membuat tunjuk perasaan seperti ultra kiasu. Sedangkan hak Islam dan orang Islam dijamin dengan jelas dalam perlembagaan, terutama perkara berkaitan dengan pembinaan institusi Islam yang mesti dibiayai oleh negara.

Saya tidak pernah risau majoriti mereka mengejek timbalan menteri pelajaran ketika perhimpunan. Ini sebahagian daripada taktik strategi mereka. Selepas ini perkara ini akan dibawa kepada menteri pelajaran dan diminta menebuskan balik penghinaan tersebut untuk menagih simpati. Akhirnya, kerajaan jadi sedih bersimpati, dan memberikan segala tuntutan mereka. Taktik lapok ini sudah lama saya fahami. Bila tuntutan itu dipenuhi, malah menteri tersebut akan dijulang kembali oleh ultra kiasu.

Bayangkan jika kita tunduk kepada tuntutan tersebut, apakah akan terjadi kepada agenda kebangsaan dan pembinaan negara bangsa. Saya menyeru kepada Umno dan Pas, jangan tunduk kepada ultra kiasu ini. Sama ada dipenuhi atau tidak, tuntutan mereka, mereka tidak akan mengundi Umno (BN) dalam pilihan raya akan datang. Bukti yang ada sudah cukup jelas. Jika diberi, bermaharajalelalah mereka. Jika tidak diberikan pun, mereka masih menang, kerana mereka sudah ada wakil dalam BN dan kerajaan ultra kiasu di beberapa negeri.

Justeru, janganlah lihat demonstrasi ultra kiasu ini sebagai ancaman. Tetapi lihat demontrasi itu sebagai peluang untuk kita memperkasakan agenda kebangsaan, bukannya tunduk kepada pemikiran komunis ini .

Prof. Madya Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

Sunday, March 25, 2012

Jangan campuri hal ehwal Islam

9:33 PM Posted by RIDHUAN TEE 99 comments

 (Sinar Harian 26 Mac 2012)

Minggu lalu saya telah dijemput oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di bawah kepemimpinan baharu Prof Awang Sariyan. Tahniah! Inilah julung-julung kalinya DBP meraikan pandangan cendekiawan dalam pelbagai bidang. Sebelum ini, ada segelintir pemimpin DBP sibuk berpolitik sehingga lupa tanggungjawab mereka yang sebenar dalam menjaga dan memartabatkan maruah bahasa jiwa bangsa.

Kami diminta memberikan input dari sudut keagamaan, walaupun ini bukanlah bidang kepakaran saya kerana saya bukanlah ustaz seperti yang digelar oleh khalayak. Saya hanya ilmuan kerdil bidang politik dan kerajaan. Itupun saya tidak berani menggelarkan diri saya pakar, kerana hanya kita sahaja tahu kemampuan diri kita sendiri. Berbanding kadangkala segelintir khalayak dengan mudah menggelar dirinya dengan gelaran pakar motivasi, sedangkan ijazah dan kepakarannya langsung tiada. Hanya kerana seseorang itu, termasuk ustaz dan ustazah pandai bercakap, maka mereka menggelarkan diri mereka pakar motivasi atau perunding motivasi. Persoalannya, siapakah yang melantik mereka? Apa kelayakannya? Apa yang nyata, dia melantik dirinya sendiri.

Saya telah membangkitkan beberapa perkara kepada DBP mengenai kedudukan bahasa Melayu daripada perspektif agama. Bahasa adalah mekanisme penting dalam merubah merubah kehidupan Melayu. Melayu asalnya menganut fahaman Buddha-Hindu, sebelum mereka memeluk Islam 600 tahun lalu. Penyebaran Islam dibawa melalui tiga penjuru, Arab, Cina dan India.

Sudah tentu dalam soal ini Islam disebarkan melalui bahasa. Bahasa adalah alat dakwah. Bahasanya sudah tentu bahasa Melayu. Mustahil pedagang Arab, Cina dan India datang ke Alam Melayu terus bertutur dalam bahasa Melayu atau bahasa mereka sendiri. Bagaimana mereka belajar? Bagaimana orang Melayu dapat memahami bahasa asing. Bermakna, orang asing atau orang luar kawasan terpaksa atau mesti berbahasa Melayu untuk menyebarkan dakyah atau dakwahnya. Inilah yang berlaku di Alam Melayu. Bahasa Melayu menjadi bahasa Lingua Franca, dipelajari dan dipertuturkan seluas-luas untuk mencapai matlamat mereka yang mendatangi sesuatu tempat.

Persoalannya hari ini, kenapa bahasa Melayu seolah-olah langsung tidak mendapat tempat di kalangan sebahagian mereka yang datang berhijrah dan tinggal di bumi bertuah ini? Kita terpaksa berdakwah atau menyampaikan maklumat dalam bahasa ibunda mereka, bukan menggunakan bahasa rasmi negara. Dakwah tidak dapat berkembang luas kerana masalah bahasa. Lantaran, mualaf seperti kami disuruh dan dipaksa berdakwah kepada orang bukan Melayu menggunakan bahasa ibunda. Jika perkara ini berterusan, sampai bilakah mereka boleh memahami bahasa Melayu? Tidakkah mereka sepatutnya diwajibkan belajar bahasa Melayu. Akhirnya, dakwah terbantut, sehingga ke hari ini tidak sampai satu peratus bukan Melayu memeluk Islam.

Agak menjelekkan dalam satu seminar baru-baru ini di tempat saya sendiri, hanya kerana terdapat seorang pelajar Korea, secara tiba-tiba kita terus tukar medium bahasa daripada bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris. Kita sanggup korbankan kepentingan nasional/negara, hanya kerana seorang Korea yang berada dalam majlis tersebut. Kenapa perkara ini boleh berlaku dalam negara yang berasaskan kenegaraan Melayu? Ini bukan insiden kali pertama, tetapi telah berlaku berulang-ulang kali. Hina sangatkah bahasa Melayu? Siapa yang sepatutnya belajar bahasa Melayu jika mereka berada dalam sebuah negara Melayu?

Perkara sebegini tidak pernah berlaku kepada negara-negara yang mendaulatkan bahasa kebangsaan mereka. Cuma kita sahaja yang terlalu menjaga hati orang sehingga hati sendiri terluka dan berdarah, langsung tidak dipedulikan. Akhirnya, kaduk naik junjung. Golongan ini menjadi semakin ultra kiasu. Kepentingan bangsa lebih diutamakan daripada kepentingan negara. Kata-kata Malaysian first adalah satu penipuan besar dan lakonan yang amat licik, untuk menutup kelemahan mereka. Malangnya kita terus bersangka baik, kita takut negara tidak membangun, kita takut kehilangan undi, kita takut kehilangan bakat (brain drain). Bolehkah negara membangun jika rakyat tidak mempunyai semangat sayangkan negara atau kepentingan bangsa mengatasi patriotisme? Kita terlalu mengejar pembangunan, sehingga mengenepikan jati diri dan kepentingan nasional. Tidakkah kepentingan nasional dan jati diri ini yang melonjakkan pembangunan sesebuah negara? Kajilah sejarah negara-negara membangun. Jawapannya pasti ada.

Cuba lihat cara akhbar-akhbar ultra kiasu yang tidak faham agenda nasional, undang-undang dan kedudukan agama Islam. Puncanya adalah kerana masalah bahasa. Apabila bahasa tidak dikuasai mereka tidak akan dapat memahami budaya dan cara hidup sesuatu kaum, terutama kaum majoriti. Baru-baru ini seorang penulis biadab akhbar ultra kiasu mempertikaikan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan yang dikatakan bertindak seperti Perdana Menteri dan kabinet yang berkuasa ke atas kerajaan.

Ini berikutan dengan arahan Ahli Majlis Bandaraya Perlis yang mahu menurunkan iklan atau papan tanda perempuan yang mendedahkan aurat. Penulis biadab ini mempertikaikan, pada ayat mana pula di dalam al-Quran yang menyatakan melarang wanita Muslim tidak memakai tudung? Siapa yang menentukan garis panduan menutup aurat? Sedangkan masyarakat Muslim terutama kumpulan pergerakan hak asasi kaum wanita sering mempertahankan hak wanita.

Ternyata ultra kiasu ini amat jahil mengenai kepentingan nasional dan agama Islam walaupun telah tinggal di Alam Melayu sekian lama dari generasi kepada generasi. Orang seperti perlu dihantar balik. Bayangkan jika sikap sosialisasi politik ini terus menerus diamalkan.

Perlu saya ingatkan, perkara berkaitan dengan kedudukan Islam dan adat istiadat orang Melayu berada di tangan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu. Inilah sistem yang telah kita warisi sejak zaman berzaman apabila negara kita dijajah dan sistem ini kekal sehingga kini. Majlis Fatwa Kebangsaan tidak tertakluk kepada orang bukan Melayu, apatah lagi ultra kiasu. Majlis Fatwa berhak untuk memberikan pandangan berhubung kait dengan kehidupan orang Islam dunia dan akhirat, perkara-perkara yang boleh menimbulkan kontroversi termasuk tarian, latihan yoga dan sebagainya seperti yang dibangkitkan.

Ini hal ehwal umat Islam. Jangan campurtangan. Kami, umat Islam tidak pernah campurtangan dalam kehidupan agama orang bukan Islam. Hormatilah, jangan biadab dan kurang ajar. Ultra kiasu ini sengaja mengundang bahaya.

Saya fikir, toleransi beragama di kalangan pemimpin-pemimpin Islam di negara sudah sampai kepada tahap maksima. Cuma kita mahu lihat sebaliknya, terutama ultra kiasu. Ada kalangan kita sanggup berada dalam majlis agama bukan Islam seperti perayaan Buddha, Thaipusam,  Chinggay dan lain-lain lagi. Untuk melihat ultra kiasu memakai songkok dan baju Melayupun jauh sekali kerana mereka takut dikaitkan atau dilabelkan sebagai Melayu. Negara ini tidak akan kucar kacir dengan adanya Majlis Fatwa kebangsaan kerana Islam amat menghormati hak bukan Islam. Tetapi negara akan kucar kacir sekiranya ada ultra kiasu yang tidak menghormati, tidak berasimilasi dan terus mahu mencampuri hal-hal orang Islam, apatah lagi mengambil haknya.

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah
Prof Madya
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

Sunday, March 18, 2012

Jangan jahil dalam politik

7:26 PM Posted by RIDHUAN TEE 209 comments
(Sinar Harian 19 Mac 2012)

Lanjutan artikel saya yang disiarkan minggu lalu, seorang ahli parlimen di utara Perak yang juga mempunyai doktor falfasah dan juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, menuduh saya bodoh dan menjadi penulis upahan Umno. Tuduhan tanpa bukti ini agar sukar untuk saya terima kerana datang daripada seorang pemimpin Pas yang mendakwa memperjuangkan Islam. Islam yang sudah sinonim dengan parti ini, tidak disertai dengan akhlak Islam pemimpinnya. Akhlak sebeginilah sebenarnya yang akan menjahanamkan imej Islam.

Namun, saya tidak hairan akan ketidakmatangannya, kerana beliau hanya mengkhusus dalam bidang kajian organisasi, bukan bidang politik dan kerajaan. Jika dia tuduh saya bodoh, saya yakin dia lebih bodoh. Kejahilan beliau begitu terserlah. Setelah sekian lama menceburkan diri dalam politik, sepatutnya beliau menjadi lebih alim, tetapi tulisannya menserlahkan kejahilannya.

Fokus tulisan saya adalah beza antara parti politik dan kerajaan. Parti politik bersifat sementara, manakala kerajaan akan terus kekal selagi ada negara. Parti politik tidak boleh menjadi kerajaan. Parti politik hanya ruling party kepada kerajaan. Kerajaan telah wujud dalam sebuah negara berdaulat, sebelum wujud parti politik. Tidak ada sebuah parti politikpun yang boleh menjadikan kerajaan itu seolah-olah kepunyaan bapaknya walaupun mungkin parti itu memperolehi majoriti untuk menguasai kerajaan. Asas-asas ini perlu difahami. Jika tidak, sia-sia sahaja menceburi bidang politik. Pemikiran sebegini bukan sahaja tidak layak beliau mentadbir negara, apatah lagi untuk diundikan dalam PRU 13 akan datang.

Inilah sikap sebahagian pemimpin ektrim Islam yang rakus untuk berkuasa. Mereka tidak membaca sepenuhnya artikel yang ditulis. Saya tidak hanya mengkritik Pas, tetapi turut mengkritik Umno dan BN. Saya turut mencadangkan agar Umno dan BN memberikan hak royalti minyak kepada rakyat Kelantan. Namun, beliau mengatakan saya hanya memberikan pandangan sebelah pihak. Saya harap hatinya tidak menjadi buta disebabkan oleh fanatik kepartian. Buatlah lebih banyak pengajian dan penyelidikan supaya tidak menampakkan kebodohan selaku seorang ahli parlimen.

Selaku seorang pemimpin Islam berpengalaman, sepatutnya kita menerima kritikan secara terbuka. Pandangan saya perlu dijadikan muhasabah diri. Ini tidak, pantang dikritik sedikit, ibarat cacing kepanasan. Inikah sikap anak kepada seorang ulamak dan pemimpin tertinggi Pas? Sepatutnya beliau mewarisi sikap lunak perjuangan Allahyarham bapanya. Namun, sebaliknya berlaku. Malang sungguh Pas mempunyai pemimpin seperti ini.

Jika masih tidak faham biar saya ulang. Parti yang menguasai kerajaan hanya berlaku dalam negara komunis. Saya tidak kata Pas itu komunis. Kecuali yang makan cili… Saya hanya persoalkan, kenapa Kerajaan Kedah perlukan Pas sebagai penasihat sedangkan kerajaan Kedah adalah kerajaan rakyat? Jika sudah tidak ada locus standi, kenapa perlu membuang masa dan tenaga? Bukankah semua exco Kedah itu warak-warak belaka? Adakah kita masih tidak mempercayai mereka?

Lagipun kerajaan tersebut adalah kerajaan negeri rakyat Kedah, bukan kerajaan Pas? Apa kata wakil-wakil rakyat lain yang bukan Pas? Jika ahli parlimen Pas tersebut masih tidak faham, biar saya jelaskan. Terdapat beberapa jenis parti politik dunia hari ini yang menjalankan urusan pentadbiran kerajaan. Parti politik tersebut dibahagikan kepada empat jenis iaitu, sistem satu parti (parti komunis), sistem dwi parti (seperti yang diamalkan Amerika dan Britain), sistem pelbagai parti (Malaysia) dan sistem parti dominan (Singapura). Malaysia boleh jatuh dalam dua kategori, sistem pelbagai parti dan parti yang dominan (Umno).

Kebiasaannya, parti-parti politik bertanding dan mendapat majoriti akan menguasai kerajaan. Parti politik yang mempunyai majoriti di parlimen atau DUN berkuasa untuk melantik menteri atau exco kerajaan negara/negerinya. Menteri/exco yang dilantik berkuasa untuk menentukan hala tuju kementerian dalam kerajaan yang diterajuinya.

Begitu juga terdapat perbezaan antara parlimen dan kerajaan. Parlimen juga bukan kerajaan. Insitusi Parlimen mewakili rakyat. Wakil rakyat yang dipilih rakyat hanya menjalankan urusan kerajaan. Namun, jika sesebuah parti tidak mendapat majoriti dalam parlimen, mereka mesti menghormati parti-parti politik lain yang turut dipilih rakyat dan membentuk kerajaan campuran. Dalam kata lain, wakil rakyat hanya mengisi kerusi di Parlimen bagi memboleh urusan kerajaan berjalan.

Pemimpin kerajaan adalah Perdana Menteri. Perdana Menteri akan memilih jawatan kuasa atau kebinet yang akan membantunya. Kerajaan juga berbeza dengan mereka yang memenangi pilihan raya mewakili parti politik. Berasaskan kepada hujah-hujah inilah saya masih bertegas, jawatankuasa yang diwujudkan tidak ada hak untuk memantau atau memberi nasihat kepada kerajaan negeri.

Minggu lalu, Pas telah melantik seorang pemimpin berasal dari Kelantan untuk mengetuai panel lima orang dalam jawatankuasa pemandunya bagi memantau pelaksanaan manifesto di negeri-negeri yang dipimpin Pakatan Rakyat. Menurut Pas, jawatankuasa berkenaan tidak mencampuri urusan negeri dan hanya akan memberi teguran kepada pemimpin negeri tersebut mengikut saluran parti. Antara isu yang akan ditekan jawatankuasa berkenaan ialah sikap kerajaan Kedah dalam isu Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). Persoalan saya, adakah Pas kekurangan cerdik pandai dan ulamak kalangan orang Kedah untuk mengetuai jawatankuasa tersebut? Tidakkah orang Kedah lebih faham keadaan politik negeri Kedah?

Persoalan siapakah yang memberikan mandat atau legitimasikan kepada jawatankuasa pemandu ini untuk memberi nasihat kepada kerajaan yang diwakili oleh wakil-wakil rakyat terdiri dari pelbagai parti dan latar belakang berbeza? Ia hanya boleh berlaku jika hanya satu parti yang berkuasa seperti yang berlaku dalam kerajaan komunis.

Justeru, saya menyeru kepada pimpinan Pas supaya berfikir dua kali. Jika kita mengatakan orang lain tidak betul, maka tunjukkanlah bezanya antara kita dengan orang lain itu. Tidak rugi sebenarnya melakukan muhasabah dan mengakui kelemahan sendiri. Kecualilah jika terlalu taksub, kita hanya yang betul, orang lain semua salah.

Prof Madya Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

Sunday, March 11, 2012

Parti politik bukannya kerajaan

6:59 PM Posted by RIDHUAN TEE 139 comments
(Sinar Harian 12 Mac 2012)

Nampaknya pemimpin PAS pusat begitu gembira kerana dapat menyelesaikan krisis dalaman kepimpinan kerajaan negeri Kedah. Salah seorang Naib Presiden PAS menangis teresak-esak kerana keputusannya dikatakan telah diterima baik oleh Menteri Besar dan Exco yang terbabit. Jawatan Kuasa Pemandu turut ditubuhkan bagi memantau perjalanan pentadbiran dan pengurusan kerajaan negeri Kedah. Exco yang terbabit berkata mereka akur keputusan kepimpinan tertinggi parti dan bukannya keputusan MB Kedah.

Secara professional, PAS Pusat sepatutnya menyerahkan budi bicara Menteri Besar (MB) dan kabinetnya untuk menyelesaikan segala masalah yang berlaku, supaya tidak timbul isu parti menguasai kerajaan. Amalan ini jarang sekali berlaku. Lagi pula, wakil rakyat PAS bukan calang-calang orang, majoriti bergelar ustaz. Jika tidak ustazpun, mereka adalah protaz (professional ustaz).

Boleh dikatakan kebanyakan orang PAS ‘alim-alim’ belaka. Berkonfrantasi secara terbuka, bukanlah budaya politik PAS. Biasanya, jika mengikut amalan PAS sebelum ini, mereka akan meminta petunjuk daripada Allah SWT dalam menyelesaikan sesuatu perkara. Apatah lagi masalah yang dihadapi hanyalah krisis dalaman parti. Namun demikian, keadaan berlaku sebaliknya. Mungkinkah wakil rakyat ini terlalu mengejar dunia sehingga mereka lupa mendapatkan petunjuk seperti yang biasa dilakukan sebelum ini? Mungkinkah juga mereka sudah lupa untuk bangun solat malam? Apakah mereka sudah lupa amalan tok guru?

Selaku pengkaji ilmu politik dan kerajaan, ingin saya jelaskan bahawa kerajaan dan parti politik adalah dua institusi berbeza. Parti politik tidak boleh menjadi kerajaan. Parti politik adalah parti politik, ia tidak berdaulat. Kerajaan telah wujud sebelum wujudnya parti politik dan ianya berdaulat. Kerajaan sudah wujud apabila sebuah negara berdaulat terbentuk. Barisan Nasional (BN), UMNO, PKR, PAS dan DAP, bukannya kerajaan. Mereka hanyalah ruling party atau parti yang menguasai atau menjalankan urusan kerajaan. Justeru, adalah salah jika kita katakan, “Ini projek kerajaan BN, kerajaan PR, kerajaan PAS atau kerajaan DAP”. Pada hemat saya, lebih molek jika ditulis atau disebut “Ini adalah projek kerajaan pilihan rakyat”.

Pendek kata, dalam demokrasi, tidak sepatutnya berlaku parti politik menguasai kerajaan kecuali dalam sebuah negara yang mengamalkan sistem komunis. Parti yang dominan akan menguasai seluruh jentera kerajaan seperti negara China dan Korea Utara. Keputusan yang dibuat untuk rakyat ditentukan oleh parti yang dominan. Suka atau tidak, rakyat terpaksa menerimanya. Saya beranggapan, PAS tidaklah akan bertindak sebegitu.

Namun, jika dibiarkan berlaku, integriti PAS selama ini akan tercabar. PAS akan dilihat cuba menguasai kerajaan. Sedangkan kerajaan yang dibentuk adalah kerajaan rakyat, bukan kerajaan parti, bersesuaian dengan makna demokrasi, “kerajaan dari rakyat untuk rakyat kepada rakyat”. Bukannya kerajaan dari PAS untuk PAS kepada PAS. Jika itulah yang akan berlaku, PAS akan menerima akibatnya nanti. PAS perlu sedar, kerajaan Kedah bukan kepunyaan PAS, tetapi kepunyaan rakyat. Dalam sesebuah negara atau negeri, tidak semuanya menyokong PAS.

Justeru, hak rakyat perlu diberikan sewajarnya. Saya tidak hanya merujuk kepada kerajaan yang pimpin oleh PAS sahaja, tetapi juga parti politik yang lain. Perlu diingatkan, apabila kabinet dibentuk untuk mentadbir kerajaan, bermakna kabinet tersebut adalah kabinet rakyat, bukan parti. Mereka yang dilantik adalah wakil rakyat, bukan wakil parti lagi. Dibimbangi apabila parti menguasai kerajaan, keputusannya bukan lagi keputusan rakyat tetapi keputusan parti.

Dalam demokrasi, rakyat tidak sewajarnya menjadi mangsa hanya kerana perbezaan ideologi dan parti politik. Rakyat tidak bersalah, yang salah adalah orang yang menguruskannya. Sama juga isu royalti minyak. Jika itulah yang menjadi hak rakyat Kelantan, berikanlah, seperti mana yang disebut oleh Tun Mahathir baru-baru ini. Jangan mangsakan rakyat Kelantan keseluruhan, hanya kerana majoriti mereka memilih PAS untuk menjadi ruling party. Rakyat Kelantan tidak bersalah. Hak rakyat perlu diberikan dan ditunaikan. Jangan biarlah seluruh umat Islam menderita. Lagipun majoriti rakyat Kelantan adalah orang Islam. Tolong PAS atau tolong UMNO, umat Islam juga yang merasainya. Adakah kita masih lagi tidak boleh bezakan? Adakah ultra kiasu lebih baik daripada UMNO dan PAS? Ingatlah, doakan orang yang teraniaya tidak ada hijabnya.

Saya yakin suatu hari ini, dengan kewibawaan kepimpinan hari ini, yang dipimpin oleh Perdana Menteri, pasti royalti tersebut akan diberikan kepada rakyat Kelantan. Pada ketika itu, kita amat mengharapkan, jika PAS masih lagi menguasai Kelantan, berikanlah bantuan kepada sesiapa sahaja, tanpa pilih kasih. Jangan hanya mengutamakan ahli sendiri atau ahli parti, tetapi lihatlah rakyat secara keseluruhan. Inilah sunnah yang telah ditinggalkan oleh Baginda SAW dan para sahabat. Jika kita boleh memberi bantuan kepada bukan Islam, kenapa sukar sangat untuk membantu sesama Islam. Bukanlah kita semua bersaudara?

Secara peribadi saya MB Kedah. Saya kenal hati budinya. Beliau bukanlah kalangan jenis yang terlalu mengejar dunia, termasuk projek-projek negeri, berbanding dengan exco-exco yang tidak sefahaman dengannya. Saya masih ingat bagaimana bisnes minyak saudara saya disebotaj oleh wakil-wakil rakyat PAS yang bergelar exco ini. Mereka nampaknya begitu ghairah untuk hidup mewah dan bermesyuarat di hotel lima bintang. Akhirnya bisnes minyak saudara saya itu lingkup angkara exco-exco ini. Tidak semua exco yang bergelar ustaz dan protaz ini baik. Mereka juga mahukan habuan dan kepuasan nafsu dunia. Mereka tidak hanya cukup dengan seorang isteri. Dahulu mereka menuduh BN dan UMNO mengamalkan rasuah dan kroni. Bila sampai sendiri memerintah, tidak banyak bezanya. Jangan sampai mengata dulang paku serpih, mengata orang, kita yang lebih.

MB Kedah sanggup menjadi tidak popular dengan mengambil tindakan terhadap pelajar-pelajar Kolej Universiti Insaniah yang melanggar undang-undang mengikut peruntukan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). Tindakan ini amat tidak disenangi oleh Pakatan Rakyat dan orang PAS sendiri yang mahukan AUKU dimansuhkan sama sekali mengikut selera ultra kiasu.

Tetapi itulah sifat MB Kedah, begitu professional. Ingatan saya kepada PAS, walaupun tidak sehaluan dengan kerajaan pusat, tidak semestinya semua perkara baik, yang datang daripada BN dan UMNO mesti ditolak. Berpolitiklah secara matang. Mana baik dan buruk mesti tahu dibezakan. Jangan kerana perbezaan ideologi dan parti, pintu hati kita tertutup dalam menilai kebenaran.

Inilah politik rimba yang masih lagi sukar untuk dibuang daripada segelintir pemikiran umat Islam sehingga ultra kiasu mengambil kesempatan. Dengar sahaja nama UMNO dan BN semuanya ditolak, seolah-olah UMNO tidak memberi apa-apa sumbangan selama ini. Tidakkah sepatutnya kita mengamalkan sikap yang baik itu diterima, manakala yang merosakkan itu ditolak, tidak kiralah datang dari sesiapapun. Begitulah juga sebaliknya. Saya tidak tujukan kepada sebelah pihak sahaja.

Janganlah kerana terlalu mengejar dunia dan mahu menjadi kaya raya sehinggakan lupa perjuangan asal. Saya tidak menolak masih ada yang ikhlas dalam perjuangan. Jika dahulu, para pejuang PAS sanggup berbasikal dan tinggal dalam pondok buruk, seperti mana yang diamalkan oleh tok-tok guru mereka. Hari ini, tidak lagi, mereka sudah pandai berlumba-lumba untuk mendapatkan tender di sana sini. Saya tidak kata, hidup mewah itu salah, tetapi ia bukan perjuangan PAS yang saya kenal dulu.

Saya difahamkan, rakyat Kedah tidak selesa dengan pembentukan Jawatan Kuasa Pemandu PAS, terutamanya kalangan mereka yang berada dalam Perkhidmatan Awam Kedah. PAS tidak berhak untuk menentukan masa depan Kerajaan Kedah. Hormatilah MB Kedah dan barisan kepimpinan untuk menentukan hala tuju negeri mereka sendiri. PAS perlu memahami budaya politik Kedah berbeza budaya politik Kelantan. Bagi rakyat Kelantan, ikon mereka mungkin Tok Guru dan PAS. Namun, keadaan ini mungkin berbeza dengan negeri Kedah.

Prof. Madya Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

Monday, March 05, 2012

Bertegas laksanakan agenda kebangsaan

12:28 AM Posted by RIDHUAN TEE 146 comments
(Sinar Harian 5 Mac 2012)

Februari yang berlalu meninggalkan banyak kenangan yang sukar dilupakan. Menghadiri Seminar Pencapaian Umat Islam Pasca Merdeka dalam slot pembentangan kertas kerja mengenai masa depan bahasa Melayu anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), sememangnya menyakitkan. Pelik sekali, kenapa bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan, termaktub pula dalam perlembagaan tidak terdaulat dan terdarjat, sedangkan kepemimpinan tertinggi semua orang Melayu Islam. Perlukah saya menulis buku bahagian kedua nasib Melayu di bumi Melayu?

Sebelum saya mengulas lanjut, cuba tatapi beberapa kes ini. Pertama, surat Michael Ng yang disiarkan oleh akhbar akhbar the Sun bertarikh 2 Februari 2012 (ms 12), bertajuk Use Bahasa Malaysia for school notices. Ng berbangsa Cina, berpendidikan Inggeris, tidak dapat membaca atau memahami notis bahasa Cina yang dihantar oleh Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, tempat anaknya belajar. Beliau terpaksa meminta rakan Cinanya untuk menterjemahkan notis tersebut dan mahukan pihak sekolah menggunakan bahasa Melayu dalam menyampaikan notis.

Kes kedua, pandangan Eric Yong dalam akhbar yang sama, bertarikh 10 Februari yang tidak bersetuju dengan tindakan Dong Jiao Zong (DJZ) yang mahu berdemonstrasi membantah tindakan kerajaan menghantar guru-guru kanan yang tidak boleh berbahasa Cina ke SJKC. Ternyata DJZ mahu jadikan sekolah Cina sebagai sekolah yang begitu terasing daripada pendidikan nasional, sedang sekolah terletak dalam sebuah negara yang mendaulatkan bahasa kebangsaan, dan sekolah tersebut dibantu oleh kerajaan sepenuhnya. Dalam kes berkaitan, pemimpin ultra kiasu yang baru habis berdebat sesama mereka mahu menemui Menteri Pelajaran mengenai masalah kekurangan guru di SJKC. Bagaimana guru di sana boleh mencukupi bila mana setiap guru baru ditempatkan SJKC, ultra kiasu menolak mentah-mentah atas alasan mereka tidak tahu berbahasa Mandarin.

Kes ketiga, dalam akhbar The Star 6 Februari 2012, melaporkan kajian ahli antropologi Perancis, Fiorella Allio Pusat Kebangsaan De La Recherche Scientifique (CNRS), Marseille, mengenai budaya dan dialek Hokkien jauh lebih terpelihara dan terjaga sama seperti zaman dahulu di Malaysia berbanding negara asal China sendiri. Beliau mendapati orang-orang Cina Hokkien di Malaysia dapat mengekalkan budaya dan bahasa mereka dengan lebih dari segi keaslian.

Kes keempat, debat dua ultra kiasu menggunakan bahasa Cina (Mandarin) daripada bahasa kebangsaan atau sekurang-kurangnya bahasa Inggeris. Mereka sahaja faham, orang Melayu hanya ternganga-nganga. Inilah nasib Melayu di bumi Melayu, bahasanya sendiri tidak terangkat dan terdaulat. Salah siapa? Kita ada dasar, tetapi tidak pernah dikuatkuasakan.

Kes kelima, majlis dialog awam dengan pihak berkuasa Majlis Perbandaran Ampang Jaya. Khidmat terjemahan terpaksa dilakukan kerana ada yang tidak faham dan tidak boleh bertutur dalam bahasa kebangsaan. Perlukah mereka ini dihantar balik?

Persoalan daripada kesemua kes ini, di manakah dasar kebangsaan yang menjadi tulang belakang negara? Apakah ini yang dinamakan kekuatan unity in diversity? Diversity sebegini akan membawa kehancuran. Saya berkali-kali nyatakan, apa lagi yang bukan Melayu mahukan lagi di negara ini. Semuanya mereka telah perolehi. Mereka langsung tidak berubah seperti asalnya. Tidak diasimilasikan. Integrasipun tidak sekuat mana. Mereka seperti seadanya. Itupun mereka tidak pernah puas. Terus mendesak dan mengugut agar ditambah lagi identitinya yang sememangnya telah terpelihara. Apa sudah jadi negara ini? Identiti orang lain semakin terpelihara, identiti sendiri entah ke mana? Ke manakah negara ini hendak kita bawa?

Tidak cukup dengan itu, mereka terus menuntut agar lebih banyak sekolah jenis kebangsaan terus ditambah dan dibina, apa juga prasyarat yang dikenakan kerajaaan ditolak mentah-mentah. Mereka mahukan operasinya mesti ditentukan oleh lembaga pertubuhan pendidikan mereka. Campur tangan kerajaan setakat ini langsung tidak berkesan. Kerajaan terus mengambil pendekatan memberi, demi undi. Balasannya belum tentu lagi diperolehi.

Di manakah agenda kebangsaan? Bagaimanakah kita mahu memandai pelajar-pelajar sekolah vernakular dengan bahasa negara ini jika notispun tidak boleh dibuat dalam pelbagai bahasa. Sebab itu saya memuji sesetengah SKJC yang menggunakan dwi bahasa sebagai menghormati bahasa kebangsaan.

Saya memuji seoorang warga negara China kebetulan berkahwin dengan Cina Malaysia. Beliau yang begitu ikhlas melahirkan rasa ketidakselesaannya apabila orang Cina di Malaysia ramai yang tidak boleh berbahasa Melayu, sedangkan mereka tinggal dalam sebuah negara yang mendaulatkan bahasa kebangsaan ini. Pada beliau, ia tidak sihat dalam pembinaan sebuah negara bangsa. Agenda negara ternyata diketepikan. Persoalannya, kenapa Cina di China begitu memahami pembinaan bangsa negara ini, sedangkan rakyat sendiri langsung tidak cuba memahami?

Pertubuhan-pertubuhan ultra kiasu ini perlu memainkan peranan untuk menerangkan kepada bangsanya mengutamakan agenda negara. Anak-anak Malaysia wajib didedahkan kepada erti sebenar patriotisme dan menerima bahawa Bahasa Malaysia adalah lebih penting dari bahasa ibunda. Malangnya kita langsung tidak malu jika tidak tahu berbahasa kebangsaan, tetapi terasa amat malu jikat tidak boleh berbahasa ibunda.

Ultra kiasu wajib memberitahu kepada anak-anak ini bahawa negara ini adalah Malaysia, negara majoriti Melayu. Mereka mesti bergaul dengan bangsa ini, bersikap terbuka dan ikhlas supaya mereka boleh membentuk Malaysia yang lebih baik. Adalah mustahil hari ini untuk mewujudkan sekolah satu sistem. Namun, apa yang hanya boleh dilakukan adalah menghapuskan sikap ultra kiasu. Jika sikap ini terus mencengkam, sifat ikhlas tidak akan wujud.

Amatlah membimbangkan melihat NGO seperti DJZ yang sepatutnya bertanggungjawab terhadap pendidikan anak-anak kita mempunyai mentaliti yang begitu tertutup seperti yang dibangkitkan oleh Eric Yong. Pertubuhan ini bukannya mengajar anak-anak kita ke arah perpaduan dan menerapkan patriotisme, tetapi sebaliknya.

Perlu diingat, DJZ pernah mengadakan perhimpunan pada 1987 yang membawa kepada ucapan-ucapan provokasi perkauman semata-mata kerana mereka tidak boleh menerima perlantikan lebih kurang 100 orang penolong kanan dan pengetua di sekolah jenis kebangsaan Cina yang tidak boleh berbahasa Mandarin. Provokasi akhbar berbahasa Cina, telah menyebabkan keadaan menjadi semakin serius sehinga berlakunya Ops Lalang. Tindakan undang-undang terpaksa diambil untuk mengelakkan rusuhan kaum berlaku.

Terbaharu, mereka sekali lagi mahu mengadakan demonstrasi yang sama. Pertubuhan ini sudah menjadi ancaman kepada kestabilan negara dan integrasi nasional. Persoalannya, sampai bilakah perjuangan yang bersifat ultra kiasu ini akan berakhir? Mereka selalu berhujah kononnya pendidikan vernakular dianaktirikan dan dipinggirkan dalam arus perdana serta dilayan seperti warganegara kelas dua. Tidakkah mereka harus bertanya pada diri sendiri, wajarkah agenda nasional diketepikan semata-mata untuk meraikan agenda bangsa?

Prof. Madya Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia