Semua artikel adalah pendapat peribadi. Anda berhak untuk tidak meneruskan bacaan atau tidak mengakseskan blog ini serta merta jika anda tidak bersetuju dengan pemikirannya. All the articles written are the personal views. You have absolute rights not to continue reading or to discontinue accessing this blog immediately if you are disagreeable with the personal views.

Tuesday, February 24, 2015

Hadirmu disenangi, pergimu ditangisi

7:39 AM Posted by RIDHUAN TEE 9 comments
(Sinar Harian, 23.2.15)

Ketika lahir, bayi menangis, orang lain melihat, tersenyum. Ketika mati, mayat tersenyum, orang lain melihat, menangis. Terasa kehilangan.

Ketika berkuasa, keberadaanmu disenangi. Tanpa kuasa, orang lain terasa rugi, terasa sepi. Namun, ke mana pergi, dituruti dan diikuti. Dapat bersalaman, peluk, cium pun jadilah. Bila mati, terasa kehilangan di hati. Pemergian ditangisi, kerana tidak ada galang ganti. Kenapa? Iman dan takwa tidak boleh dijual beli.

Harganya terlalu mahal. Itulah Tok Guru Nik Aziz (TGNA). Mendengar pemergiannya, secara tidak disedari, air mata ini berlinangan, walaupun saya tidak rapat dengan TGNA, tetapi pernah beberapa kali bertemu dan bersalaman. Melihat rumah dan pondoknya dari jauh.

Ada dalam beberapa perkara, saya tidak sependapat dengan TGNA, terutama mengenai ultra kiasu, tetapi itu bukan bermakna, saya menolak segala kebaikannya. Sifat tawaduk, zuhud dan gaya kepemimpinan TGNA amat saya kagumi.

Meskipun ada yang mendakwa Kelantan tidak maju, tetapi jauh di lubuk hati saya berkata Bandaraya Kota Bharu, jauh lebih membangun dari bandaraya yang lain. Ingat, jangan ukur kemajuan dengan hanya kaca mata dunia semata, lihatlah sama dari kacamata akhirat.

Tidak ramai pemimpin boleh ‘menolak dunia’ ketika berkuasa. Tetapi itulah TGNA. Bukan seperti kita, kadangkala baharu sahaja dilantik jadi pemimpin sudah kaya.

Kehebatan TGNA menjadi sebutan sejak dahulu. Saya tidak pernah taksub kepada TGNA. Ketika wacana di Kota Bharu, suatu ketika dahulu, saya ditanya kenal atau tidak dengan TGNA. Saya jawab, kenal. Tetapi saya tidak taksub.

Sebab itu, bila melihat gambar yang dikirim rakan-rakan dalam laman sosial, tentang awan mendung yang berarak, kalimah Allah terbentuk dan perkara pelik berlaku ketika pengkebumian TGNA, saya tidak teruja untuk melihat. Itu secara kebetulan, saya berceramah pun awan mendung.

Bukan itu yang kita mahu lihat atau dengar tentang TGNA. Tetapi perkara lain yang lebih penting. Kehidupan, wibawa dan cara berpolitik. Soal lain yang pelik  berlaku, serah kepada Allah.

Mana mungkin kita berjumpa dengan pemimpin seperti ini. Setiap pagi, TGNA menjadi imam subuh dan memberi tazkirah. Makan minum seperti rakyat biasa. Rumah dibuat dari kayu, tiada  marmar, atau hiasan yang mahal-mahal. Rumah tidak berpagar, tiada pengawal, apatah lagi cctv. Sesiapa boleh masuk keluar berjumpa.
Ketika berkuasa, elaun rumah dan keraian, elaun buka puasa, malah elaun hari raya pun tidak pernah diambil. Sehingga hujung nyawanya, tetap istiqamah dengan Islam. Memberi amaran kepada ultra kiasu supaya jangan campuri urusan Kelantan untuk melaksanakan Islam.

Hina sungguh kepada mereka yang menjatuhkan fitnah kepada TGNA. Apatah lagi menyebarkan gambar-gambar yang menyamakan cara makan TGNA dengan babi. Ingatlah, amaran Allah dalam surah An-Nur: 19

Sesungguhnya orang-orang yang suka terhebah tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian).

Sempena dengan pemergian TGNA, saya merayu kepada semua umat Islam, tanpa mengira parti dan ideologi.

Pertama, contohilah gaya kepemimpinan TGNA, walaupun tidak kesemuanya mampu untuk kita ikuti. Jangan dikutuk dan dihina insan yang telah pergi dan banyak berjasa. Saya memuji PM dan isteri, MB Terengganu, serta pemimpin yang tidak bersefahaman, kerana menziarahi keluarga TGNA. Itulah sifat negarawan seadanya.

Kedua, jadikanlah TGNA sebagai katalis perpaduan umat Islam. Umno tidak perlu bertanding di DUN Cempaka. Kalau boleh selepas ini, biarkan sahaja, Kelantan di bawah Pas. Tidak perlu bertanding. Kita tidak akan rugi apa-apa, jika itu yang rakyat suka. Kelantan tidak pula makin mundur. Pi mai pi mai, di tangan umat Islam juga.

Kalau nak rampas juga, bukanlah Kelantan, tetapi Pulau Pinang dan negeri yang dikuasai ultra kiasu. Seteruk-teruk Kelantan, integriti masih lagi lebih baik berbanding negeri lain. Untuk BN kembali merampas Kelantan, selaku pengkaji politik, saya fikir hanya sia-sia. Apatah lagi setelah perginya TGNA. 20 tahun lagi pun belum tentu dapat. Gunakanlah wang ringgit bertanding dan kempen pilihan raya, untuk membantu mereka yang memerlukan, terutama mangsa banjir.

Ketiga, suka atau tidak, jika Umno mahu kekal berkuasa dan menambah kerusi, gaya kepemimpin TGNA harus diikuti, terutama integritinya. Pastikan pemimpin cawangan, bahagian, negeri dan pusat meneladani. Berikanlah royalti. Ingat, kuasa bukan tiket untuk jadi kaya, tetapi untuk menghambakan diri kepada Allah dan memakmurkan anugerahNya.


Akhirnya, sejuk hati dan sangat teruja, melihat isteri PM, datang menziarahi keluarga TGNA dengan bertudung. Alangkah baik jika terus dikekalkan. Rakyat pasti suka. Maaf, jika terlanjur berbicara.

Monday, February 16, 2015

Bila sijahil berbicara

7:43 AM Posted by RIDHUAN TEE 12 comments
(Sinar Harian 16.2.15)

Jurucakap G25 berkata, jika hudud dilaksanakan, Kelantan akan diserbu oleh perogol kanak-kanak dan dewasa, untuk memuaskan nafsu mereka di sana.

Kenapa begitu bersangka buruk dengan undang-undang Islam sedangkan kita belum pernah melalui dan merasainya? Mengaku diri beramal dengan Islam, di manakah keyakinan kepada Allah? Tidakkah kita yakin kepada rahmat Allah apabila perintahNya dilaksanakan?

Paling kurang, pergilah melawat ke Brunei. Lihat betapa aman sentosanya keadaan di sana. Rahmat Allah datang mencurah-curah sejak syariat Islam dilaksanakan.

Lagi pun, apakah sistem yang diamalkan hari ini berjaya membendung jenayah rogol? Tidak juga. Malah semakin ramai yang kena rogol, jenayah berleluasa. Tidakkah perlu mencari altenatif lain?

Majoriti manusia cenderung ke arah melakukan kebaikan. Manusia yang rasional tidak akan merogol. Mereka yang merogol hanya segelintir sahaja. Sebab itu, Islam mengambil pendekatan mencegah dengan hukuman agak berat.  

Ilmu kita tentang rogol, jangan hanya terhad pada 4 saksi sahaja dan buku Inggeris Hashim Kamali. Kitab-kitab hendak ditelaah bersekali. Apakah benar jika tiada 4 saksi, maka bebaslah perogol?.

Bagaimana pula dengan takzir, hirabah (kerana memeras), Qisas (jika mencederakan atau menyebabkan kematian), diat (denda gantirugi) dan sebagainya?

Dalam kata lain, kepelbagaian kes ini boleh disabitkan melalui pelbagai kaedah mengikut pertuduhan. Malah, kes rogol lebih mudah ditangani berbanding zina.

Inilah akibatnya apabila sijahil berbicara dalam bidang bukan kepakarannya. Pakarpun, kadangkala kalah juga, bila berada di mahkamah (ICJ). Apatah lagi bila rambut mengerbang. Pendek kata, kalau kail panjang sejengkal, jangan lautan hendak diduga. Malu dan boleh merosakkan akidah.

Belum pun isu rogol reda, tiba-tiba wakil rakyat ultra kiasu P Pinang membuat kenyataan rogol dengan mengaitkan khutbah jumaat Jais 2 minggu lalu. Peliknya, khutbah itu ditujukan kepada orang Islam, kenapa yang tidak bersunat gatal punggung?

Wakil rakyat itu mempertikaikan khutbah Jais, bertajuk “aurat: antara kebebasan dan maruah”, yang menekankan kepentingan menutup aurat bagi mengelakkan mudarat lain seperti rogol. Ultra kiasu kata, orang yang tutup auratlah yang paling ramai kena rogol. Sebab kainnya mudah diselak, berbanding memakai seluar ketat, yang sukar ditanggalkan.

Katanya, isi kandungan khutbah Jais bercanggah dengan fakta, tidak benar, tidak bertanggungjawab, tidak menghormati wanita dan bias. Kepada yang faham, sudah tentu kita akan berkata, bahawa khutbah tersebut mahu mengangkat martabat wanita.  Peliknya, kenapa MCA, Gerakan dan lain-lain diam membisu? Tidak pula dituduh wanita putih ini rasis?

Kena pada kita, rasis belaka. Kena kepada mereka, itu namanya hak. Peliknya lagi, kenapa tidak bandingkan kes rogol di negara barat yang tidak menutup aurat atau negara paling seksi?

Mengikut kajian di barat, berpakaian seksilah yang paling banyak mengundang kepada rogol. Zig Ziglar (2000), pakar motivasi Amerika, bercerita panjang lebar tentang hal ini.

Hujah ini disokong oleh Sudin Dhavilika (2014), bukan Islam, Menteri di Jabatan Kerja Raya, Goa, India. Beliau pernah mencadangkan larangan pemakaian bikini  di pantai. Begitu juga pemakaian skirt pendek dan kelab malam. Pemakaian sebegini boleh mengundang kepada cabul dan rogol serta keganasan ke atas wanita.

Kenapa ultra kiasu tidak boleh berfikir rasional seperti menteri India ini? Kenapa asyik nak mendedah sahaja. Apakah pemakaian seksi sebegini dibenarkan oleh agama lain?

Nasib baiklah di negara kita ada etika berpakaian ketika berada di pejabat, DUN atau Parlimen. Jika tidak, tidak mustahil ada yang bertelanjang datang ke tempat tersebut.

Kadangkala sangat meluat melihat, pergi ke pejabat awam, sudah ada notis ditampal dengan jelas, berpakaian sopan bila berurusan dengan pejabat kerajaan. Malangnya, yang datang, baju-T lebih panjang daripada seluar pendeknya sehingga nampak tersurat tersirat.  

Bentuk tubuh badan wanita dan lelaki berbeza.  Begitu juga soal penonjolannya. Pendedahan dan penonjolan wanita menggiurkan dan memberahikan, menjadikan lelaki terangsang untuk merogol. Logiknya, mudah. Tubuh badan wanita memberi tarikan dan rangsangan.

Jika lelaki masuk pertandingan ratu cantik, tiada siapa peduli. Tetapi jika wanita, lain reaksinya. Lainlah kalau wanita tersebut berperangai seperti jantan.  

Memanglah tutup aurat bukan jaminan untuk kena rogol. Perogol tidak memilih mangsa. Agama kami lebih kepada mengambil langkah pencegahan. Jika ditakdirkan ramai yang tutup aurat kena rogol. Itu sudah takdir.

Saya tidak nafikan wanita bangsa saya kurang kena rogol. Kebanyakan mereka lakukan seks atas dasar suka sama suka, meskipun belum mendaftarkan perkahwinan. Suka, teruskan, tidak suka tinggalkan. Itulah yang berlaku kepada saudara mara saya. Sebab itu tidak ada istilah rogol.


Nasihat saya, tidaklah perlu campurtangan dalam hal ehwal kami. Pada kami tutup aurat itu sebagai langkah pencegahan. Jika dia tak percaya, tidak perlu cari pasal.

Monday, February 09, 2015

Lakonan yang meloyakan

7:36 AM Posted by RIDHUAN TEE 15 comments
(Sinar Harian 9 Feb 2015)

Sama ada Anwar Ibrahim bebas atau tidak pada 10.2.15, keputusan penghakiman kes liwatnya, itu sudah tidak penting lagi bagi Malaysia. Adapun, kadang kala seperti tiada. Tidak banyak menguntungkan Islam. Apa yang lebih penting, agenda masa depan agama, bangsa dan negara mesti diperkasakan.

Heboh diperkatakan, siapakah yang akan menerajui PR? Jawapan saya, paling penting, sesiapapun, mereka tidak boleh tunduk kepada ultra kiasu yang semakin hari semakin agresif dan celupar mulutnya. Islam dicerca, perlembagaan dihina.

Lihat sahaja isu banjir. Pemimpin ultra kiasu begitu bongkak mengatakan rakyat Kelantan seperti tiada kerajaan ketika banjir. Penghinaan itu bukan hanya ditujukan kepada kerajaan Islam Kelantan diterajui Pas semata, tetapi kepada raja yang berdaulat.

Saya harap mungkin suatu hari nanti, bandaraya P. Pinang akan diuji sedemikian rupa. Kita nak tengok juga sejauhmana ultra kiasu ini pandai mengurus negerinya ketika banjir. Bukanlah mendoakan.

Menurut Pas, Kelantan dihina oleh ultra kiasu dengan hanya sumbangan bantuan banjir dan lawatan sehari ke Kelantan setelah banjir sudah surut.

Mereka tidak datang semasa banjir memuncak. Mereka tidak tahu bagaimana sukarnya kerajaan Kelantan untuk menguruskan bantuan setelah semua perhubungan terputus walaupun dibantu Kerajaan Pusat.

Selama lebih 20 tahun Pas mentadbir Kelantan, tanpa bantuan ultra kiasu, apakah Pas begitu hina untuk  menerima bantuan mereka kali ini? Saya cadangkan, jika masih perlukan bantuan tambahan, bisiklah pada PM, saya yakin PM akan beri.

Selepas penghinaan dibuat, tidak semena-mena mereka datang ke Kelantan untuk membantu, bagi mengaburi hati rakyat, menunjukkan mereka itu baik. Pandai sungguh berlakon dan mengaburi mata orang.

Bila ada bencana, mereka pergi dan cepat-cepat ambil gambar. Tunjukkan dalam laman sosial, mereka buat kerja, begitu prihatin. Walhal, datang tunjuk muka sahaja. Misalnya, aksi memberus baju, lantai dan sebagainya. 

Sama juga lakonan yang meloyakan, klip video 5 minit bertajuk 1 goat year, 1 great family, lakonan ultra kiasu dan Pas Shah Alam. Bukan main rapat lagi duduknya dengan ‘gadis-gadis comel’ di situ. Nasib baik ada sebiji bantal yang memisah. Jika tidak sudah macam orang bersanding pulak. Sejak bila orang Pas ini pandai berlakun dan bersosial? Jika marahkan sangat pada kerajaan hari ini, tidak payah sehingga menggadaikan prinsip. Hodoh sangat rupanya. Mungkin boleh dicalonkan untuk anugerah skrin.

Ultra kiasu bernasib baik kerana telah mewarisi negeri yang telah maju dan banyak duit seperti P. Pinang dan Selangor. Jadi, tidaklah sesuatu yang luar biasa jika kita berjaya mentadbirkannya. Pemimpin terdahulu, telah berjaya meletakkan tanda arasnya.

Jika P.Pinang, dahulunya, sebelum menang pilihan raya, keadaannya masih hutan belukar, kemudian dimajukan, barulah ultra kiasu nampak hebat. Keadaan tidak berlaku sebegitu. Ultra kiasu masih tidak insaf, kokoknya berderai-derai, ekor bergelumang tahi. Hanya yang celik sahaja dapat membezakan.

Sebab itu, mereka mahu sangat pilihan raya PBT diadakan, terutama di Kuala Lumpur dan P. Pinang. Sudahlah kawasan parlimen semua mereka sapu. Hari ini Majlis Bandaraya pun mereka mahu tawan. Kenapa? Agendanya, tidak lain, supaya identiti Melayu Islam tidak terpancar. Sehingga nak cari signage bahasa Melayupun susah. Sedangkan Islam dan bahasa Melayu itu agenda negara, termaktub dalam perlembagaan. 

Sebelum terlambat, eloklah Datuk Bandar KL fikirkan, menggantungkan kalimah Allah dan tulisan jawi di merata tempat di KL, agar terpancar sedikit identitinya. Apa nak ditakutkan, bukankah puak-puak ultra kiasu mahukan gunakan kalimah Allah, tentu mereka setuju.

Ingatan saya kepada Pas, Jadikanlah banjir ini sebagai titik tolak perpaduan umat Islam, tolaklah musuh yang sebenar, hulurkan tali silaturahim kepada sebangsa dan seagama.

Datuk Kazim Elias dan Dato’ Ismail Sabri sedang menjadi sasaran serangan ultra kiasu disebabkan oleh kenyataan mereka. Saya tidak nampak ada salahnya dari segi fakta akademik, walaupun mungkin ada sedikit berbau perkauman.

Berbanding dengan tuduhan khutbah Jakim ekstrem, pelukis yang menterbalikkan gambar Agong serta simbol negara, penternak ikan keli babi, kes belacan dan bihun kotor, tofu babi dan lain-lain. Sengaja atau tidak dilakukan?   

Peliknya, ultra kiasu dan sekutunya MCA dan Gerakan tidak pula lantang mengkritik perlakuan hina ini seperti yang dilakukan terhadap Ismail Sabri. Begitu juga segelintir pemimpin Sabah dan Sarawak yang menuduh saya rasis dan ekstremis. Mari kita berdebat secara anak jantan untuk leraikan kekeliruan. Baru ada telor.


Bila ultra kiasu bercakap atau bersuara, semua akan berkata, itu hak asasi manusia atau kebebasan bersuara. Bila kita atau sesiapa sahaja bercakap atau menulis atas nama hak dan fakta, seperti yang berlaku pada kami semua, maka akan dituduh rasis. Akhirnya, kami yang benar jadi salah, ultra kiasu salah jadi betul. Meloyakan. 

Monday, February 02, 2015

Sebangsa tidak seagama

8:01 AM Posted by RIDHUAN TEE 22 comments


Sinar Harian 2 Feb 2015

Nomy Nozwir menulis surat terbuka kepada saya, Tee Chuan Seng, disiarkan laman web ultra kiasu, pada 24 Januari 2014. Biar saya jawab, agar semua faham, mudah-mudahan kendur sedikit ultra kiasunya.

Memang nama asal Tee Chuan Seng. Bila saya memeluk Islam pada tahun 1985, saya terpaksa menurut arahan pejabat agama, agar hanya mengekalkan surname sahaja, menjadi Mohd Ridhuan Tee bin Abdullah.

Tee, menunjukkan saya Cina. Kini, hasil perjuangan kami, orang Cina atau sesiapa sahaja yang memeluk Islam, boleh mengekalkan nama lamanya, asalkan tidak ada konotasi dengan unsur-unsur ketuhanan dan keagamaan mereka. Dalam makna, saya boleh mengekalkan nama saya dan berbinkan bapa saya.

Namun, perlu juga diingat, tidak salah meletakkan nama-nama Islamik, malah ianya digalakkan. Berbinkan Abdullah, bukan bermakna menukar nama bapa, Abdullah itu bermakna hamba Allah. Tidak salah, kerana bapa saya adalah juga hamba Allah.

Sebaik-baik nama dalam Islam adalah yang menuruti nama-nama mereka yang disanjungi oleh agama seperti nama para Nabi, para sahabat atau ulamak atau nama dengan makna-makna yang baik. Dalam satu hadis yang diriwayat oleh Muslim, nama yang paling disukai oleh Allah adalah Abdullah dan juga Abdul Rahman. Saya cadangkan saudara tukar nama lebih baik dari Nomy kepada Karomi. Lebih comel.

Rasulullah sendiri pernah meminta seorang sahabat yang masuk Islam menukar namanya dari Abd al-Syams bin Sakhr kepada Abd Rahman bin Sakhr kerana nama Abd Syams bermaksud hamba kepada matahari. Rujuk e-fatwa.

Apakah kita lupa, apabila orang Melayu memeluk Islam 600 tahun dahulu, nama-nama mereka yang pelik seperti Buyung, Melati, Kencana dan sebagainya, telah bertukar menjadi Umar, Osman, Ali, dan lain-lain. Jika saudara faham Islam, ini bukan soal nama-nama Arab, tetapi agama kita galakkan. Nama yang pelik-pelik, kadang kala boleh merosakkan akidah.

Nyatakan sekali saudara agak jahil dalam memahami Islam, undang-undang dan cara hidup di Malaysia. Kami bukan seperti Indonesia yang boleh menukar agama dan berkahwin dengan bukan Islam sesuka hati.


Saya labelkan peguam ultra kiasu sisepet, supaya kita lebih faham siapa yang saya rujukkan. Panggilan ini lebih mesra daripada ultra kiasu yang menyerang peribadi saya dalam laman sosial mereka.

Saudara tidak mengenali atau membaca penulisan saya selama ini. Label ultra kiasu adalah kajian PhD saya merujuk kepada mereka yang tidak mahu kalah, asyik mahu menang dalam segala hal. Ia sudah jadi trademark saya.

Saya merujuk kepada mereka yang berada dalam PKR dan DAP, dan sesiapa sahaja yang menentang Islam, Melayu dan Raja serta perlembagaan, termasuk mereka yang berada dalam BN. Orang Melayupun boleh menjadi ultra kiasu jika mereka menentang Islam atau menjadi liberal dan pluralis.

Mereka ini adalah musuh-musuh Islam dan mahu menghancurkan Islam. Fakta saya, umat Islam tidak pernah mencampuri hal ehwal agama lain amat jelas. Tindakan pihak penguasa agama terhadap ultra kiasu seperti  rampasan bible di Selangor adalah dalam bidang kuasa Jabatan Agama. Baca undang-undang dan peraturan itu.

Berkaitan supaya masuk ke gereja hanya untuk mendapat maklumat. Bagaimana maklumat boleh diperolehi, jika tidak berbuat demikian. Selama ini maklumat diberi oleh kawan Kristian saya yang pro Islam.

Ultra kiasu tidak perlu menyamar masuk masjid kerana mereka boleh ikuti khutbah JAKIM secara langsung di TV. Bukankah Islam agama persekutuan.

Ultra kiasu yang mengatakan khutbah JAKIM ekstrem, sila nyatakan bila dan di para mana. Biar saya jelaskan sama ada ia ekstrem ke tidak. Setakat mana ilmu Islam dia ada, untuk mengatakan khutbah tersebut ekstrem. Dari cara saudara berhujah, Nampak sangat pengetahuan saudara tentang Islam amat cetek. Elok juga saudara datang belajar dari saya.

Sejak dahulu saya sudah tulis, saya tidak pernah membenci bukan Islam atau kaum saya. Bagaimana Islam boleh berkembang jika kita bermusuh. Musuh saya adalah ultra kiasu yang menentang Islam dan undang-undang negara ini.

Negara ini asal usul dan akar umbinya berasaskan Islam. Sebab itu, agama Islam mendapat tempat dalam perlembagaan. Maka tidak salah, jika Islam dilebihkan sedikit berbanding agama lain. Tetapi realitinya tidak berlaku. Rumah ibadat Islam ada 50 ribu, bukan Islam ada 500 ribu.

Jika saya membenci bukan Islam bermakna saya membenci ciptaan Allah SWT. Saya Cuma benci sikap dan perangai mereka yang tidak pernah bersyukur.

Saya tidak pernah mendakwa saya orang Melayu atau menghina bangsa dan keturunan saya. Saya dilihat seolah-olah lebih Melayu dari Melayu, kerana orang Melayu sendiri takut untuk bersuara, hanya kerana untuk kuasa politik.

Prinsip saya, apabila berlaku pertembungan antara agama vs bangsa. Maka, agama mesti diutamakan, berbanding bangsa. Sebangsa tidak segama vs seagama tidak sebangsa, pilihan saya adalah seagama tidak sebangsa. Saya minta saudara dan ultra kiasu yang lain menulis surat terbuka kepada pelukis Cina ultra kiasu yang menterbalikkan pemimpin tertinggi negara, tugu negara dan keris. Jika tidak, saudara tidak ada bezanya dengan musuh saya. Setakat ini ultra kiasu senyap sepi. Adakah mereka tidak jahat?