(Sinar Harian 28 Jan 2013)
Saya
begitu teruja dengan kenyataan seorang pakar ekonomi sebuah bank, yang akan
menyaman sesiapa sahaja yang cuba mencemarkan reputasinya dan membuat kenyataan fitnah
mengenai “integriti dan kredibiliti” beliau dalam prestasi kerjayanya. Ini berhubung
dengan kenyataannya dalam satu forum ekonomi di negara jiran, bahawa BN akan
kalah dalam PRU 13.
Analisa beliau adalah, pertama; BN kalah tipis dan kemenangan untuk
PR. BN hanya mendapat 97-107 kerusi parlimen, manakala PR, 115-125. BN gagal
untuk menawan semula Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan. BN kalah teruk
di Melaka, Sabah dan Sarawak, begitu juga di Perak, Negeri Sembilan, Terengganu
dan Perlis. BN menang tipis di Pahang dan Johor.
Kedua, BN menang tipis. Hanya mendapat
112-122 kerusi parlimen. PR mendapat, 100-110. BN gagal menawan semula negeri-negeri
yang sekarang ini di bawah PR. BN kalah di Perak dan Negeri Sembilan.
Ketiga, BN kalah teruk. Hanya mendapatkan
82-92 kerusi parlimen. Kemenangan besar PR, dengan 130-140 kerusi parlimen. BN
gagal mendapatkan semula Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan. Kalah
teruk di Sabah dan Sarawak, juga di Perak, Negeri Sembilan, Terengganu, Perlis
dan Pahang. Menang tipis di Johor dan Melaka.
Melihat
kepada analisa ini, adakah kenyataan ini benar-benar menunjukkan beliau seorang
pakar? Ini bukan pandangan pakar, tetapi pandangan membakar.
Akibat
kenyataan tersebut, beliau telah dikenakan tindakan tatatertib. Saya tidak fikir
sampai ke peringkat buang kerja. Pada saya, memberi pandangan berbeza atau
mengkritik kerajaan (parti yang memerintah), dalam negara yang mengamalkan
demokrasi, adalah suatu yang lumrah, sama ada pakar atau tidak, ia dibolehkan.
Cuma
yang perlu dibahaskan adalah soal kredibiliti. Dalam hal ini, sudah tentu
mereka yang dalam bidang, lebih berautoriti untuk bercakap. Misalnya, ramalan
PRU 13 dan analisanya, sudah tentu mereka yang mengaji dalam bidang politik
lebih sesuai bercakap. Yang bukan
bidang, berpada-padalah. Takut dipertikaikan kredibilitinya.
Selaku
ahli akademik dan professional, saya mempunyai hak untuk mengkritik atau memberi
komen atas pandangan beliau. Tidak perlulah memberi amaran atau peringatan. Kita
boleh bersetuju untuk tidak bersetuju. Apatah lagi jika pendapatnya menyentuh
bidang saya sendiri.
Terus
terang, saya tidak begitu berani bercakap perkara yang bukan dalam bidang. Misalnya,
bidang ekonomi. Jika saya mahu bercakap juga, saya akan merujuk kepada mereka
yang pakar terlebih dahulu. Itupun saya akan bercakap memetik pendapatnya. Hal
ini biasa berlaku dalam dunia akademik kepada mereka yang kurang pakar.
Lagi
pula, tidak semestinya kita pakar dalam bidang kita sendiri, kita boleh paksa
orang menerima pendapat kita, kerana belum tentu muktamad. Ramai pakar dalam
bidang ekonomi dan perniagaan, mereka tidak pula menjadi ahli perniagaan yang berjaya.
Mereka hanya pandai bercakap dan berteori. Sama juga seperti saya, pakar dalam
bidang politik tetapi tidak menjadi ahli politik atau wakil rakyat. Itupun saya
takut menggelarkan diri pakar, sebab takut-takut kepakaran kita itu tidak
mencerminkan kepakaran sebenar. Bayangkan jika bukan pakar.
Ada
juga yang tidak ada langsung latar belakang pakar dalam sesuatu bidang, malah pendidikan
mereka tidak seberapa, mereka tetap menjadi ahli bisnes yang berjaya, seperti
Boon Siew, Lim Goh Tong dan sebagainya. Termasuk juga, Mark Zukerberg, pengasas
Face Book (gagal di Universiti Harvard). Hari ini menjadi ahli bisnes antara
yang paling berjaya. Ketika bercakap, seluruh dunia memberikan perhatian.
Kenapa?
Sebab,
mereka belajar dari universiti pengalaman (heart
knock university). Pengalaman mereka tidak boleh dijual beli, hatta pakar
dalam segala pakarpun tidak boleh berjaya seperti mereka. Inikan pula pakar
ekonomi yang baru setahun jagung bekerja dan mahu menunjuk atau berlagak
pandai.
Saya
boleh bersetuju dengan pendapat pakar tersebut, jika pendapatnya dikaitkan
dalam bidang. Misalnya, kesan PRU 13 ke atas ekonomi. Bukannya meramalkan
siapakah yang akan menang dalam pilihan raya? Sedangkan kajian secara ilmiah, dalam
bidang, tidak pernah dilakukan. Jika adapun kajian, ramalan ini sukar untuk
diterima kerana beliau bukan penganalisis politik dalam bidang dan tidak turun
padang, seperti pasukan kami lakukan di bawah seliaan Prof Ulung Shamsul Amri.
Kebetulan,
saya baru balik menghadiri Seminar Pra PRU 13 di ibu negara. Kesemua yang
membentang dan memberi pendapat adalah pakar dalam bidang. Tidak ada pakar
ekonomi di situ. Kalau adapun hanya sebagai peserta. Jadi pendapat mereka
dikira bolehlah diterima, sebab mereka pakar, walaupun mungkin pendapat mereka
kurang tepat. Merekapun tidak berani membuat analisis sebegini. Kenapa?
Kemampuan
kita terhad, kecuali Allah Yang Maha Mengetahui segalanya. Hatta mereka yang
mendakwa hampir sempurnapun belum tentu
pakar. Misalnya, ditempat saya bekerja, ada pegawai tentera yang mendakwa
mereka pakar dalam bidang keselamatan dan pertahanan, sehingga memperkecilkan
orang lain. Dari satu segi kita boleh menerima. Persoalannya, kenapa dalam
pertandingan menembak antara pegawai awam dan tentera, pegawai awam menjadi
johan? Sedangkan menembak dan tentera, sudah sinonim?
Sebab
itu, saya tidak bersetuju jika kita terlalu tertutup. Kita perlu raikan adab
berbeza pendapat. Apa gunakan berkata dan memuji BN akan menang. Jika pada
akhirnya nanti BN kalah. Elok juga kita menerima kritikan sebagai muhasabah. Kita
tidak boleh syok sendiri.
Kesimpulannya,
apabila bercakap biarlah ada kredibiliti, apatah lagi dalam forum antarabangsa.
Berpada-padalah. Jika benar ada kajian sendiri yang dilakukan, elok
berterus-terang, termasuk pasukan penyelidik dan modus operandinya. Kedua, jika
kita tidak pakar, maka rujuklah pakar. Hormati pendapat pakar. Petik hasil
kajiannya. Sekadar merujuk kajian Merdeka Center, rasanya tidak cukup.
Ketiga, hasil kajian sepatutnya diwacanakan,
untuk mendapat input dan feedback,
sama ada pakar atau tidak. Akhirnya, tidak wajar memberi amaran kepada orang
lain untuk membahaskan hasil kajian tersebut. Ingatlah, pakar macam
manapun, kita bukan Tuhan. Ilmu yang ada pada kita hanya setitik dari lautan
yang begitu luas. Jangan sombong dan mendabik dada.