Semua artikel adalah pendapat peribadi. Anda berhak untuk tidak meneruskan bacaan atau tidak mengakseskan blog ini serta merta jika anda tidak bersetuju dengan pemikirannya. All the articles written are the personal views. You have absolute rights not to continue reading or to discontinue accessing this blog immediately if you are disagreeable with the personal views.

Tuesday, September 25, 2018

Hentikan kahwini gadis bawah umur

2:22 PM Posted by RIDHUAN TEE No comments

https://www.ismaweb.net/2018/09/24/henti-kahwin-gadis-bawah-umur/

Hentikan kahwini gadis bawah umur

Saya hampir nak termuntah apabila membaca berita hampir sama sebelum ini, mengenai gadis bawah umur, 15 tahun di Kelantan dilaporkan berkahwin dengan lelaki duda hampir 3 dekad, lebih tua daripadanya. Akad nikah telah berlaku di Tumpat Julai lalu, selepas Mahkamah Syariah memberi kebenaran.

Ibu bapa gadis itu, yang mempunyai 12 anak lain, berkata mereka merestui perkahwinan anaknya dengan lelaki berusia 44 tahun itu kerana mahu anak mereka memperolehi kehidupan yang lebih baik. Apakah jaminan bahawa mengahwinkan anak gadis bawah umur dengan lelaki ‘tua’ akan bahagia?

Sebelum ini kita dikejutkan dengan berita seorang suami berumur 41 tahun mengahwini isteri ketiga berumur 11. Tidak puas lagikah dengan dua isteri sehingga memilih gadis bawah umur untuk dijadikan isteri ketiga. Saya berasakan seolah-olah berada di Indonesia atau Afrika Selatan. Orang Afrika Selatan pun tidak melakukan perkara sebegini.

Jika nak sangat berkahwin, tidak puas lagi menambah isteri, maka carilah calon seterusnya dalam kalangan janda-janda susah yang memerlukan perlindungan. Melambak di pasaran. Usahkan dua,tiga, empatpun saya tidak kisah. Tetapi jangan cari kanak-kanak berusia 11 tahun – 15 tahun. Adakah kita tidak terasa malu, mengahwini orang yang sebaya dengan anak atau cucu kita?  

Tindakan dan berita sebegini hanya merosakkan imej agama Islam yang mulia. Sudahlah sebelum ini imej agama kita tercalar teruk dengan isu-isu negatif seperti, terrorisme, gejala sosial, perpecahan dan berbagai lagi ‘penyakit’ umat Islam.

Pendek kata, sebut sahaja Islam, yang tergambar dikepala bukan Islam, hanya keburukan, tidak banyak kebaikan. Tidakkah agama Islam itu penuh dengan kebaikan? Kenapa tidak ditonjolkan perkara yang baik itu? Kenapa hanya hak buruk sahaja yang diberikan publisiti?

Saya tidak kata, perkahwinan gadis bawah umur itu salah! Jika ada keperluan dan justifikasi, apa salahnya. Tetapi berpada-padalah, fikirkan tentang orang lain yang lebih memerlukan, bukan melunaskan nafsu sarakah yang tidak pernah puas.

Tindakan sebegini hanya akan merosakkan imeh Islam. Maka tidak hairanlah jika orang bukan Islam tidak memeluk agama Islam disebabkan oleh perangai-perangai kita amat hodoh ini.

Justeru, saya ingin mencadangkan beberapa perkara:

Pertama, umat Islam perlu memikirkan perkara lebih besar bukan hanya seks semata-mata. Untuk merasionalkan bukan Islam mengenai isu kahwin empat, masih lagi sukar, inilah pula perkahwinan kali ketiga dan keempat dengan menyasarkan kanak-kanak. Keadaan sudah tentu menjadi bertambah rumit. Islam akan dipersepsikan sebagai agama yang ‘kuat seks’.


Kedua, perkahwinan dengan kanak-kanak bawah umur tidak salah, tetapi menjadikan anak-kanak sebagai objek seks itu salah kerana ini akan merosakkan imej Islam. Orang bukan Islam akan berfikir Islam ini agama yang terlalu fokus pada seks. Lelaki Islam dipersepsikan berimaginasi liar.

Ketiga, sudah tiba masanya lelaki-lelaki Islam yang bergelar imam solat ini, yang mempunyai banyak duit, memikirkan tentang orang lain dan menyelamatkan mereka. Kahwinilah janda-janda yang masih ramai di luar sana, bukannya budak kecil yang belum kenal dunia yang sebenar.

Keempat, alasan ibu bapa perempuan bawah umur tersebut kerana tidak tahan menanggung beban dengan anak yang begitu ramai, sukar untuk diterima.

Jika begitu keadaannya, tahu tidak mampu menanggung anak ramai, janganlah terlalu banyak beranak. Betullah anak itu rezeki, tetapi pada masa ukurlah baju di badan sendiri.

Takkan kerja orang perempuan asyik beranak sahaja. Habis tu, lelaki kerja apa? Buat anak? Saya sudah naik lemas dengan pasangan umat Islam sebegini. Merosakkan imej Islam menggunakan hujah ‘anak itu rezeki’.

Jika begitu keadaannya, semua orang boleh beranak ramai, tidak perlu merancangkan. Persoalannya, mampukah kita melahirkan anak-anak yang berkualiti?

Bandingkan dengan orang Cina, mereka beranak dua tiga orang sahaja kemudian berhenti. Mereka akan pastikan dua tiga orang anak yang dilahirkan benar-benar berkualiti. Mendapatkan makanan secukupnya, berkhasiat serta mendapat pendidikan terbaik. Sebab itu, jarang sekali melihat anak-anak Cina, melepak, menghisap dadah dan merempitkan.  Maaf, bukan tujuan saya membuat perbandingan, melain kebenaran.

Bagaimana dengan kita, beranak berbelas-belas, ada anak yang berperut buncit, berhingus tidak terjaga. Pendidikan entah ke mana. Justeru, berubahlah wahai umatku. Saya bukan menghalang orang Islam beranak ramai, tetapi cerminlah diri. Ukur baju di badan sendiri.

Jika tidak mampu menyara anak, janganlah terlalu banyak beranak. Adakah dengan mengahwinkan anak di bawah umur, benar-benar  bagi meringankan beban?

Persepsi masyarakat kita seolah-olah kita ‘menjual’ anak. Oleh kerana tidak mampu menanggung kita pun kahwinkan bagi meringankan beban. Sudah tentu anak-anak yang tidak berdosa akan ‘trauma’ kerana disindir dan dihina masyarakat.

Perkahwinan bukan soal meringankan beban, ia merupakan ikatan dua hati bagi membolehkan mereka hidup kekal bahagia. Kita tidak mahu mengahwinkan anak perempuan bagi mengurangkan beban.

Kepada lelaki yang berkemampuan, mahu melepaskan nafsu serakah seks kepada perempuan yang muda ‘trang tang tang’, fikirkan sedalam-dalamnya. Perkahwinan sebegini, sekadar untuk melepaskan nafsu tidak akan bertahan lama. Habis manis sepah dibuang.

Ini bukan soal perkahwinan antara Nabi s.a.w. dengan Aishah r.a. Umur Aishah walaupun ketika itu berusia 9 tahun, berbeza dengan umur 11-15 tahun perempuan kita hari ini. 

Akhirnya, jika terlalu sangat suka dan teruja sangat berkahwin dengan gadis bawah umur, kahwinlah senyap-senyap. Tidak perlu diperbesarkan hingga menjadi perdebatan umum dan merosakkan imej Islam. Mohon sangat media-media sosial hari ini, supaya berhentikan menyiarkan berita sebegini. Media musuh Islam dan ultra kiasu sentiasa mengambil peluang dan ruang mensensasikan berita ini bagi merosakkan imej agama kita, supaya agama mereka yang tidak seberapa dipandang mulia. 




Syariat menyatukan kita bukan kiswah?

2:21 PM Posted by RIDHUAN TEE No comments

Syariat menyatukan kita bukan kiswah?

Saya merasa sangat bersyukur apabila hukuman sebat yang dilaksanakan ke atas pesalah lesbian di negeri Terengganu, mendapat sambutan dan sokongan positif daripada parti politik Islam, seperti Umno (kecuali KJ) dan NGO-NGO Islam yang lain.

Dalam kata lain, Islam menyatukan kita atau syariat Islam menyatukan kita. Biarlah mereka yang sekular dan ultra kiasu menyalak, sebab kita tahu latar belakang mereka. Ini kain kita, bukan kain mereka. Lagipun kita tidak pernah jaga kain mereka.

Suara-suara sokongan ini sudah tentu akan menakutkan ultra kiasu. Memberikan satu lagi isyarat bahawa majoriti umat Islam mahu hidup dalam sistem nilai Islam. Jangan cuba campurtangan dan ganggu-gugat urusan kehidupan orang Islam. Inilah hikmah sebalik hukum Allah s.w.t., meskipun belum dilaksanakan sepenuhnya, tetapi sudah menampakkan hikmahnya. Belajarlah daripada apa yang cuba dilaksanakan oleh kerajaan Brunei.  

Jika kita boleh boleh berbangga dengan hukuman atau undang-undang barat begitu kejam, kenapa kita begitu bersangka buruk apabila ia dikaitkan dengan Islam yang sudah terpancar keadilannya. Nampak sangat hati mereka telah berkarat. Tidak mustahil, suatu hari nanti, mereka yang menentang akan turut dikenakan sebat kerana terjebak dalam kesalahan yang sama. Saya yakin mereka yang menentang ini, terdiri dalam kalangan yang suka melanggar dan memperlekehkan hukum Allah. 

Sepatutnya, hari ini kita kena fikirkan cara apakah lagi nilai-nilai baik agama (Islam) dapat dilaksanakan. Saya amat yakin jika syariat Islam dilaksanakan secara berhikmah, pasti akan terpancar keberkatannya.

Dalam maksud, Islam akan menyatukan kita, bukan yang lain, termasuk kiswah yang mahu dipamerkan oleh bekas Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak.

Saya begitu teruja membaca kenyataan bekas Perdana Menteri, Najib Razak, mengenai kiswah yang berada dalam simpanan, yang dihadiahkan oleh pemimpin Arab Saudi.

Menurut Najib, kain Kiswah ini dibuat setiap tahun dengan menggunakan 670kg benang sutera dan benang-benang emas dan perak seberat 150kg. Ia merupakan bahagian yang paling berharga dan bermakna kerana merupakan bahagian Multazam yang ada banyak tenunan dan hiasan benang perak dan benang emas untuk menutup pintu Kaabah. Menurut beliau lagi, bahagian Kiswah ini tidak boleh dinilaikan harga (AS$20 juta). Beliau juga memberitahu bahawa Almarhum Raja Abdullah Abdul Aziz Al-Saud menghadiahkannya secara peribadi.

Selain itu, kata Najib beliau pernah dianugerah kehormat tertinggi kerajaan Arab Saudi, King Abdul Aziz Order of Merit (Kelas Pertama) - satu anugerah yang menurutnya tidak pernah diberikan kepada mana-mana perdana menteri Malaysia sebelum ini.

Pada saya semua gelaran dan hadiah itu sudah tidak ada maknanya, apabila persepsi umum telah menutup 999 kebaikan dan satu ‘kesalahan’ yang pernah dilakukan. Cuma satu, pesanan saya sebagai insan kerdil ini yang tidak pernah putus mempelajari dan memahami Islam. Hadiah dan anugerah manusia tidak akan menyatukan dan membahagiakan kita, melainkan ia datang daripada Allah s.w.t.

Kiswah dan anugerah Arab Saudi tidak akan menyatukan kita melain Islam? Kaabah tetap kaabah meskipun tanpa kelambu atau kiswah. Apa yang perlu dibanggakan dengan kiswah? Apakah tidak menjadi namanya kaabah tanpa kiswah. Apakah kaabah menjadi kurang suci tanpa kiswah?

Menjadi kebimbangan saya dengan mempamerkan kiswah ini akan menambahkan khurafat yang berlaku dalam kalangan umat Islam. Ada yang menyimpan perca kain kiswah sebagai tangkal dan azimat. Inilah perlakuan yang kita lihat dalam kalangan jamaah yang menunaikan haji apabila mendapat kesempatan melihat kiswah ditukar baharu.

Sama juga seperti kepercayaan segelintir kita terhadap air zam-zam. Seolah air zam-zam itu adalah segala-galanya. Maka dihurung air zam-zam merata untuk diminum agar yang jahat bertukar baik, yang bodoh menjadi pandai.

Jika begitulah keadaannya, sudah tentu manusia yang paling baik, paling cerdik, paling kuat dan segala paling lagi adalah orang Arab, terutama Arab yang tinggal berdekatan dengan Kaabah. Rasionalnya, setiap hari mereka menghirup air zam-zam, setiap hari memandang kaabah, setiap hari boleh menunaikan umrah, setiap tahun menunai haji.

Persoalannya, kenapa negara Arab jauh ketinggalan berbanding dengan negara bukan Islam yang tidak ada kaabah dan air zam-zam.

Sebab itu selalu saya katakan, Islam bukan soal kiswah kaabah dan air zam-zam. Islam adalah bercakap soal akidah dan kepercayaan jitu kepada keesaan Allah s.w.t. terutama dalam melaksanakan segala titah dan perintahNya.

Memahami budaya Melayu, sebarang perkara yang datang daripada Mekah semuanya dianggap sebagai mempunyai barakah meskipun barang tersebut made in China atau made in India.

Justeru, saya menasihatkan bekas Perdana Menteri, Najib Razak supaya tidak merasa bangga dengan kiswah yang dimiliki, apatah lagi untuk mempamerkannya, sama ada di Kuala Lumpur atau Pekan.

Pada hemat saya, apa jua tindakan yang yang cuba dilakukan Najib Razak tidak akan dapat memulihkan imejnya kerana persepsi rakyat terhadap beliau dan keluarga buat masa ini terlalu negatif meskipun tidak dapat dinafikan pada zaman beliau banyak pembangunan dapat dilihat dan Islam begitu subur berkembang berbanding masa kini.

Nasihat saya kepada Najib Razak buat masa terdekat ini, cubalah dekatkan diri dengan Allah s.w.t. Fikirkan cara untuk menjadikan keluarganya menjadi lebih Islamik, seperti menudungkan isterinya, Rosmah menjadi muslimah sejati. Begitu juga anak-anaknya. Rakyat akan merasa senang hati jika dapat melihat Rosmah memakai tudung, berubah sedikit berbanding dahulu. Begitu juga dengan anak-anaknya yang kelihatan berpeleseran ke sana ke mari.

Mudah-mudahan dengan kembalinya keluarga Najib dan ahli keluarga kepada Allah, imej beliau keluarga dapat dipulihkan.  Fikirkanlah saranan saya ini.

Yakinkanlah, yang akan menyatukan kita semua adalah Islam, bukan yang lain. Langkah kerajaan negeri Terengganu melaksanakan hukuman sebat, meskipun belum sepenuhnya, sepatutnya disokong oleh semua pihak, terutama yang beragama Islam tanpa berbalah bahagi.

Ini tidak, belum apa-apa lagi, mereka yang tidak kena sebat dah bising dan melenting. Yang kena sebat tidak berkata apa-apa, melainkan mengalirkan air mata penyesalan. Malangnya, tidak ada kena mengena sanggup menghina dan mencerca. Mereka dapat menerima hukuman gantung sampai mati, tetapi hukuman sebat yang begitu ringan, sanggup dipertikaikan. Sudah matikah hati mereka ini?


Monday, September 03, 2018

Siapa lebih banyak berkorban dan terkorban

3:13 PM Posted by RIDHUAN TEE No comments

https://www.ismaweb.net/2018/09/03/melayu-bumiputera-lebih-banyak-terkorban-berkorban-pertahan-negara/

SAYA tidak pernah dengar lagi, desakan dan tuntutan Bumiputera Sabah dan Sarawak agar kerajaan mendirikan sekolah berasaskan kaum di sana, seperti sekolah jenis kebangsaan (SJK) Kadazan, Murut, Dayak, Iban, Melanau dan sekolah-sekolah berasaskan kaum yang masih banyak lain di sana.

Bumiputera Sabah dan Sarawak hanya mahukan sekolah aliran kebangsaan. Ini kerana sekolah inilah yang menyatukan mereka selama ini. Saya mohon, agar pemimpin ultra kiasu supaya membuat kajian kenapa perpaduan kaum Sabah dan Sarawak begitu mantap berbanding di Semenanjung.

Puncanya tidak lain, bahasa dan sekolah menyatukan mereka. Jika ada orang, termasuk Ahli Parlimen Cina Sabah dan Sarawak yang tidak fasih berbahasa Melayu, semuanya disebabkan oleh produk yang dikeluarkan oleh SJK Cina (SJKC) dan Sekolah Persendirian Cina di sana.

Sebab itu saya cukup tabik kepada sikap toleransi Melayu dan Bmiputera Sabah, kerana sanggup membenarkan SJKC dan Sekolah Persendirian Cina beroperasi, didirikan dan dibina secina-cinanya di tanah tumpah darah mereka sendiri. Sedangkan, sekalipun Bumiputera di sana tidak pernah menuntut sekolah berasaskan kaum mereka.

Dalam kata lain, bahasa Bumiputera Sabah Sarawak tidak terdarjat, bahasa asing menjadi berdarjat.

Mana kita dapat jumpa toleransi sebegini di dunia ini kecuali di Malaysia. Terima kasih Bumiputera Sabah dan Sarawak. Saya amat menghargai toleransi saudara semua.

Justeru, bersyukurlah. Jangan jadi seperti kaduk naik junjung. Tidak ada negara di dunia ini yang sanggup berkorban, membenarkan bahasa asing berkembang secara akademik, sedang bahasa mereka sendiri seolah-olah merempat di bumi sendiri.

Sebab itu saya mohon Bumiputera Sabah dan Sarawak supaya sentiasa berhati-hati dengan ultra kiasu. Mereka tidak boleh diharap untuk memimpin negara. Saya tidak boleh bayangkan jika mereka ini mendapat kuasa penuh suatu hari ini nanti.

Sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia yang telah dan akan disambut nanti, sudah sampai masanya perkara ini difikirkan demi masa depan Malaysia yang gemilang.

Ingin saya bertanya, adakah ultra kiasu turut memperjuangkan kemerdekaan Sabah dan Sarawak ketika negeri-negeri ini dijajah sepertimana keadaan yang sama di Tanah Melayu? Kita selalu didendangkan nama Mat Salleh, Antanum, Rentap, Sharif Masahor, Abdul Ghapur, Penghulu Asun dan lain-lain nama Bumiputera di Sabah dan Sarawak. Adakah nama ultra kiasu turut tersenarai?

Saya berani mengatakan bahawa peranan mereka yang berhijrah dalam memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak, tidaklah sebesar penduduk pribumi atau Bumiputera. Ternyata, Melayu dan Bumiputera lebih banyak terkorban dan berkorban daripada yang lain dalam mempertahankan pertiwi ini.

Selaku orang Cina (Muslim) yang mengkaji sejarah China, saya cukup kagum dengan bangsa Cina (China) ketika berinteraksi dengan alam Melayu (Tanah Melayu) sebelum berlaku penjajahan Barat. Ketika itu, ternyata, orang Cina begitu menghormati orang Melayu.

Begitu juga orang Melayu begitu menghormati orang Cina. Boleh sahaja negara China ketika itu menjajah Tanah Melayu kerana mereka mempunyai armada yang kuat. Tetapi China tidak melakukan sedemikian atas sifat sebagai bangsa yang bertamadun dan mahu terus mengekalkan ketamadunannya itu.

Dalam sejarah China, negara besar ini tidak pernah menjajah negara yang menjadi destinasi persinggahan dalam urusan perdagangan dan pendakwahan. Islam turut disebarkan ke alam Melayu melalui China. Namun, keadaan ini mula berubah apabila pupusnya sistem beraja, dan digantikan dengan sistem komunis 1912.

Apabila orang Cina diresapi dengan ideologi komunis, diikuti dengan penghijrahan besar-besaran berlaku, mereka mula berubah. Islam tidak dapat lagi berkembang di sana. Mereka yang berhijrah turut membawa dan menyebarkan ideologi komunis. Sifat mulia sebagai bangsa yang bertamadun mula pudar dan bermula episod ultra kiasu ini.

Akhirnya, bersempena dengan Hari Kebangsaan ke-61 yang telah disambut dan Hari Malaysia yang akan disambut pada 16 September, marilah kita buang semua sifat ultra kiasu ini.

Berfikirkan untuk membangunkan negara bukan membangunkan bangsa. Kita akan menyesalkan suatu hari nanti jika terus membangunkan bangsa tanpa memperdulikan orang lain, terutama Melayu, Bumiputera Sabah dan Sarawak.

Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah
Profesor Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan (FUPL)
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)