Syariat menyatukan kita bukan kiswah?
Saya merasa
sangat bersyukur apabila hukuman sebat yang dilaksanakan ke atas pesalah
lesbian di negeri Terengganu, mendapat sambutan dan sokongan positif daripada
parti politik Islam, seperti Umno (kecuali KJ) dan NGO-NGO Islam yang lain.
Dalam kata
lain, Islam menyatukan kita atau syariat Islam menyatukan kita. Biarlah mereka
yang sekular dan ultra kiasu menyalak, sebab kita tahu latar belakang mereka.
Ini kain kita, bukan kain mereka. Lagipun kita tidak pernah jaga kain mereka.
Suara-suara
sokongan ini sudah tentu akan menakutkan ultra kiasu. Memberikan satu lagi
isyarat bahawa majoriti umat Islam mahu hidup dalam sistem nilai Islam. Jangan
cuba campurtangan dan ganggu-gugat urusan kehidupan orang Islam. Inilah hikmah
sebalik hukum Allah s.w.t., meskipun belum dilaksanakan sepenuhnya, tetapi
sudah menampakkan hikmahnya. Belajarlah daripada apa yang cuba dilaksanakan
oleh kerajaan Brunei.
Jika kita
boleh boleh berbangga dengan hukuman atau undang-undang barat begitu kejam,
kenapa kita begitu bersangka buruk apabila ia dikaitkan dengan Islam yang sudah
terpancar keadilannya. Nampak sangat hati mereka telah berkarat. Tidak
mustahil, suatu hari nanti, mereka yang menentang akan turut dikenakan sebat
kerana terjebak dalam kesalahan yang sama. Saya yakin mereka yang menentang
ini, terdiri dalam kalangan yang suka melanggar dan memperlekehkan hukum
Allah.
Sepatutnya,
hari ini kita kena fikirkan cara apakah lagi nilai-nilai baik agama (Islam)
dapat dilaksanakan. Saya amat yakin jika syariat Islam dilaksanakan secara
berhikmah, pasti akan terpancar keberkatannya.
Dalam maksud,
Islam akan menyatukan kita, bukan yang lain, termasuk kiswah yang mahu
dipamerkan oleh bekas Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak.
Saya begitu
teruja membaca kenyataan bekas Perdana Menteri, Najib Razak, mengenai kiswah
yang berada dalam simpanan, yang dihadiahkan oleh pemimpin Arab Saudi.
Menurut
Najib, kain Kiswah ini dibuat setiap tahun dengan menggunakan 670kg benang sutera
dan benang-benang emas dan perak seberat 150kg. Ia merupakan bahagian yang
paling berharga dan bermakna kerana merupakan bahagian Multazam yang ada banyak
tenunan dan hiasan benang perak dan benang emas untuk menutup pintu Kaabah.
Menurut beliau lagi, bahagian Kiswah ini tidak boleh dinilaikan harga (AS$20
juta). Beliau juga memberitahu bahawa Almarhum Raja Abdullah Abdul Aziz Al-Saud
menghadiahkannya secara peribadi.
Selain itu,
kata Najib beliau pernah dianugerah kehormat tertinggi kerajaan Arab Saudi,
King Abdul Aziz Order of Merit (Kelas Pertama) - satu anugerah yang menurutnya
tidak pernah diberikan kepada mana-mana perdana menteri Malaysia sebelum ini.
Pada saya
semua gelaran dan hadiah itu sudah tidak ada maknanya, apabila persepsi umum
telah menutup 999 kebaikan dan satu ‘kesalahan’ yang pernah dilakukan. Cuma
satu, pesanan saya sebagai insan kerdil ini yang tidak pernah putus mempelajari
dan memahami Islam. Hadiah dan anugerah manusia tidak akan menyatukan dan
membahagiakan kita, melainkan ia datang daripada Allah s.w.t.
Kiswah dan
anugerah Arab Saudi tidak akan menyatukan kita melain Islam? Kaabah tetap
kaabah meskipun tanpa kelambu atau kiswah. Apa yang perlu dibanggakan dengan
kiswah? Apakah tidak menjadi namanya kaabah tanpa kiswah. Apakah kaabah menjadi
kurang suci tanpa kiswah?
Menjadi
kebimbangan saya dengan mempamerkan kiswah ini akan menambahkan khurafat yang
berlaku dalam kalangan umat Islam. Ada yang menyimpan perca kain kiswah sebagai
tangkal dan azimat. Inilah perlakuan yang kita lihat dalam kalangan jamaah yang
menunaikan haji apabila mendapat kesempatan melihat kiswah ditukar baharu.
Sama juga
seperti kepercayaan segelintir kita terhadap air zam-zam. Seolah air zam-zam
itu adalah segala-galanya. Maka dihurung air zam-zam merata untuk diminum agar
yang jahat bertukar baik, yang bodoh menjadi pandai.
Jika
begitulah keadaannya, sudah tentu manusia yang paling baik, paling cerdik,
paling kuat dan segala paling lagi adalah orang Arab, terutama Arab yang
tinggal berdekatan dengan Kaabah. Rasionalnya, setiap hari mereka menghirup air
zam-zam, setiap hari memandang kaabah, setiap hari boleh menunaikan umrah,
setiap tahun menunai haji.
Persoalannya,
kenapa negara Arab jauh ketinggalan berbanding dengan negara bukan Islam yang
tidak ada kaabah dan air zam-zam.
Sebab itu
selalu saya katakan, Islam bukan soal kiswah kaabah dan air zam-zam. Islam
adalah bercakap soal akidah dan kepercayaan jitu kepada keesaan Allah s.w.t.
terutama dalam melaksanakan segala titah dan perintahNya.
Memahami
budaya Melayu, sebarang perkara yang datang daripada Mekah semuanya dianggap
sebagai mempunyai barakah meskipun barang tersebut made in China atau made in
India.
Justeru, saya
menasihatkan bekas Perdana Menteri, Najib Razak supaya tidak merasa bangga
dengan kiswah yang dimiliki, apatah lagi untuk mempamerkannya, sama ada di
Kuala Lumpur atau Pekan.
Pada hemat
saya, apa jua tindakan yang yang cuba dilakukan Najib Razak tidak akan dapat
memulihkan imejnya kerana persepsi rakyat terhadap beliau dan keluarga buat
masa ini terlalu negatif meskipun tidak dapat dinafikan pada zaman beliau banyak
pembangunan dapat dilihat dan Islam begitu subur berkembang berbanding masa
kini.
Nasihat saya
kepada Najib Razak buat masa terdekat ini, cubalah dekatkan diri dengan Allah
s.w.t. Fikirkan cara untuk menjadikan keluarganya menjadi lebih Islamik,
seperti menudungkan isterinya, Rosmah menjadi muslimah sejati. Begitu juga
anak-anaknya. Rakyat akan merasa senang hati jika dapat melihat Rosmah memakai
tudung, berubah sedikit berbanding dahulu. Begitu juga dengan anak-anaknya yang
kelihatan berpeleseran ke sana ke mari.
Mudah-mudahan
dengan kembalinya keluarga Najib dan ahli keluarga kepada Allah, imej beliau keluarga
dapat dipulihkan. Fikirkanlah saranan
saya ini.
Yakinkanlah, yang akan menyatukan kita
semua adalah Islam, bukan yang lain. Langkah kerajaan negeri Terengganu
melaksanakan hukuman sebat, meskipun belum sepenuhnya, sepatutnya disokong oleh
semua pihak, terutama yang beragama Islam tanpa berbalah bahagi.
Ini tidak, belum apa-apa lagi, mereka
yang tidak kena sebat dah bising dan melenting. Yang kena sebat tidak berkata
apa-apa, melainkan mengalirkan air mata penyesalan. Malangnya, tidak ada kena
mengena sanggup menghina dan mencerca. Mereka dapat menerima hukuman gantung
sampai mati, tetapi hukuman sebat yang begitu ringan, sanggup dipertikaikan.
Sudah matikah hati mereka ini?
0 comments:
Post a Comment