(Sinar Harian 29.9.14)
Setiap manusia (bangsa) yang dicipta dan
dilahirkan adalah juara. Tidak timbul soal mereka rajin atau malas. Sikap
individu (fikrah) yang menentukan kejayaan seseorang. Inilah kehebatan Allah
SWT menjadikan manusia berbanding haiwan. Allah tidak akan mengubah nasib
seseorang, sehingga dialah yang berusaha mengubahnya. Jika nakkan sesuatu itu
berubah, kita kena berubah terlebih dahulu. Bak kata MuftiMenk, we want to make the
world a better place but we are not prepared to improve ourselves.
Saya tidak pernah percaya stereotaip
Melayu itu malas, manakala bangsa lain rajin atau pandai berniaga.
Terpulang kepada kita untuk
menentukannya. Ramai juga saya jumpa bangsa lain yang malas. Datuk nenek saya datang dari
Negara China, sehelai sepinggang. Tinggal di kampung Melayu, di Kota Stia,
Kampung Gajah, Perak. Tidak berapa lama, kehidupan kami berubah.
Berbekalkan sedikit modal yang
dikumpulkan, akhirnya bapa saya berjaya membuka satu satunya kedai runcit di
kampung itu dan menjadi kaya raya hasil perniagaan tersebut.
Kekayaan menjadi semakin bertambah,
apabila orang Melayu suka berhutang. Apabila hutang tidak dibayar, maka gadaiannya
adalah hasil bantuan kerajaan yang diberikan kepada Melayu seperti baja, anak
benih, peti ikan dan sebagainya, yang dibeli dengan harga murah. Orang Melayu
memang pantang melihat duit di depan mata.
Tidak kurang juga yang menggadaikan
tanah kepada bapa saya. Akhirnya, bapa saya kaya raya. Manakala, Melayu hanya
kaya sementara. Kedai syarikat (kedai runcit bantuan kerajaan) yang dibuka
untuk bersaing dengan bapa saya, juga lingkup kerana kerana duit kutipan yang
diperolehi pakat-pakat dibawa lari kerana tidak tahan melihat duit depan mata.
Sama juga seperti rasuah, bangsa lain
merasuah Melayu dengan wang sedepok depan mata. Melayu menjadi kelabu mata.
Bila dibuktikan rasuah itu, Melayu tertangkap dan masuk penjara, manakala
pemberi rasuah bebas kaya raya dengan rasuah yang diberi tidak seberapa.
Saya bukanlah hendak mengiyakan akan
kenyataan Melayu itu malas. Tetapi pengalaman membuktikannya. Nak kaya tetapi
malas kerja. Melayu mesti tampil untuk berubah. Jika tidak, Melayu tidak akan
ke mana-mana. Melayu akan merana di bumi sendiri.
Melayu bukan hanya malas, Melayu mudah
lupa diri, lupa jati diri. Maka, tidak
hairan banyak syarikat Melayu telah berubah nama kepada nama bukan Melayu.
Dahulu ada Kedai Telekom, kini TM Point. Dulu Bank Bumiputera, kini CIMB dan
banyak lagi. Bahasa Melayu langsung tidak didaulatkan di GLC ini. Kalau tidak
percaya, pergilah masuk ke tempat tersebut. Berapa patah bahasa Melayu yang
digunakan.
Seolah-olah bila letak sahaja nama
Melayu, tidak komersial dan tidak glamour. Projek tidak laku dan tidak ramai
yang mahu membeli. Melayu merosakkan Melayu sendiri, bukan orang lain. Ini
tidak termasuk nama-nama taman atau projek perumahan yang langsung tidak
bercirikan jati diri Melayu.
Pergilah melawat ke seluruh dunia.
Tidak perlu pergi jauh, lihat masyarakat Siam di Thailand, bagaimana mereka bangsa
menggunakan nama-nama Siam.
Saya baru pulang Wellington, Auckland,
Sydney dan Adelaide. Bandar mereka amat bercirikan adat Melayu (Islam). Bila
menjelang senja, kebanyakan sudah berada di rumah. Bandar mereka mati. Pusat
membeli dan kedai sudah tutup jam 5, kecuali beberapa kedai makan dan pusat
membeli belah. Di manakah budaya balik senja atau maghrib orang Melayu? Kenapa
bandaraya kita hidup 24 jam?
Sikap Melayu mesti berubah. Melayu terlalu
mengejar glamour. Kerja-kerja bawahan pencuci, buruh langsung tidak dipandang. Berlagak
tidak tentu pasal, memperlekeh orang lain, dengan kata-kata pak guard bodoh,
itu dan ini.
Melayu suka merempit. Bila saya
bertanya kenapa merempit? Adakah hobi kamu? Dia jawab, merempit kerana dicabar.
Kita menyahut cabaran tidak kena pada caranya. Sepatutnya kita menyahut cabaran
untuk bersaing dengan orang lain agar kita lebih berjaya. Inilah pemikiran
Melayu.
Benarkah Melayu malas? Saya kira
tidak? Allah tidak berlaku adil jika hanya menjadikan sesuatu bangsa rajin,
sedangkan yang lain tidak? Proses kejadian manusia semua sama.
Apa yang perlu diubah adalah sikap
atau fikrah, atau cara berfikir. Ada kajian dibuat, kalangan pelajar Cina dan
Melayu yang mendapat straight A dalam peperiksaan bermula peringkat sekolah hingga
pengajian tinggi (kelas 1). Namun, bila bukan Melayu ditemuduga, semuanya
hancur, kerana kurang EQ (kemahiran insaniah).
Begitu juga dengan pelajar perubatan.
3 tahun pertama peringkat teori, pelajar Cina score A. Tetapi bila sampai
peringkat 3 tahun klinikal atau amali, yang memerlukan kemahiran insaniah (EQ)
yang tinggi, pada ketika itu, keupayaan pelajar Melayu menyerlah.
Manakah yang lebih penting antara IQ dan
EQ? kedua-duanya penting. Tetapi bukti-bukti menunjukkan bahawa mereka yang EQ
yang tinggi, lebih berjaya. Siapa Mark Zukerberg (pengasas FB) dan Bill Gates
(Microsoft)? EQ mereka sangat hebat berbanding IQ. Jadi, adakah Melayu itu
malas, sedangkan EQnya hebat? Semua terpulang kita. Bak kata Pendeta Zaaba,
rupa tidak boleh berubah, tetapi perangai boleh!