Bila jahil
mengaku pandai (Sinar Harian 29.12.14)
Nampaknya laman web dan NGO ultra kiasu begitu
memberi publisiti besar-besaran kepada sarjana Iran Amerika Syarikat, Reza
Aslan, mengenai pandangannya terhadap Malaysia, terutama isu berkaitan kalimah
Allah dan tindakan pihak kerajaan terhadap stesen radio BFM yang pernah
menginterviewnya.
Katanya,
Putrajaya bertindak seperti “ibu bapa” dan bukan kerajaan yang dipilih, apabila
mengharamkan penggunaan kalimah “Allah” di kalangan bukan Islam dan menetapkan
bagaimana umat Islam Malaysia perlu mengamalkan kepercayaan mereka.
Pihak berkuasa
agama tidak perlu wujud secara berpusat di negara-negara yang mengamalkan
ajaran Islam, kerana ia umpama merampas kuasa daripada Nabi Muhammad. Reza
mengumpamakan, tindakan kita seperti regim komunis Korea Utara kerana menyekat
suara rakyat. Malaysia dikatakan menjadi bahan ketawa dunia.
Kita tidak
perlukan nasihat orang luar. Sampah. Ramai pakar dalam negara ini yang lebih
baik dan berkebolehan dari beliau.
Apa yang beliau
tahu tentang Malaysia, sejarah, perlembagaan dan budaya masyarakat di sini?
Peliknya, laman web dan NGO jahat ini begitu beriya-iya mendapatkan pandangannya.
Biarlah seluruh
dunia mentertawakan kita, asalkan kita dapat menjaga negara dan rakyat dengan
baik. Apa gunakan menjadi negara sanjungan dunia, tetapi mendapat laknat ALLAH?
Apakah negara
barat tidak menjadi bahan ketawa dunia, apabila merendah martabat manusia lebih
hina dari binatang atas nama demokrasi, seperti, membenarkan LGBT, hubungan dan
perkahwinan sesama jantina?
Kenapa perkara
ini tidak ditegur oleh Reza dan kuncu-kuncunya di Malaysia. Saya fikir inilah
yang dimahukan oleh puak-puak liberalis, pluralis dan sekularis. Termasuk NGO
wanita yang peralatkan nama Islam.
Penyelidik
lelakinya, begitu marah terhadap saya apabila saya mengakui saya adalah
fundamentalis, bukan moderat. Beliau mahukan saya “shut up” dan melabelkan saya
seperti IS di Syria. Ada aku kisah! Janji saya kenal siapa diri saya.
Seperti pakar
bahasa Arab lagaknya, beliau berkata, moderat itulah makna wasatiyyah. Saya pula
kata, terjemahan wasatiyyah perlu beriringan dengan makna moderat dan
fundamental, barulah agak menepati.
Imam Ibnu
Al-Qayyim mahukan manusia mengambil sikap moderat dan fundamental, untuk menyelamatkan
kita dari pelanggaran. Jadi, kita mendapatkan kedudukan tengah antara dua
ekstrem yang paling seimbang dan adil, yang mana seseorang akan menemui semua
manfaat dan kemudahan hidup di dunia dan akhirat.
Moderat
bukanlah terjemahan yang tepat kepada makna wasatiyyah. Begitu juga dengan
maksud sederhana, walaupun kita terpaksa menggunakannya, bagi tujuan
penyampaian. Inilah kehebatan bahasa al-Quran berbanding bahasa lain. Satu
huruf al-Quran kadangkala membawa makna yang amat dalam. Saya tidak kisah puak
liberalis dan pluralis nak kata apa.
Wasatiyyah
adalah wasatiyyah. Ummah Wasat, bukan bermakna umat moderat atau sederhana,
sehingga menjadi liberalis, pluralis dan sekularis. Tetapi mesti fundamental
dan terbaik. Tun Mahathir selalu berkata beliau adalah fundamendalis Muslim.
Sama juga makna
kalimah ALLAH, tidak tepat diterjemahkan kepada makna Tuhan. ALLAH adalah ALLAH.
Terjemahan Tuhan terlalu umum. Semua orang ada Tuhan. Apa yang membezakan Tuhan
mereka dengan Tuhan kita, adalah ALLAH. Saya harap ahli NGO ini menyembah
ALLAH, bukan tuhan lain.
Sebab itulah
kita amat sensitif apabila kalimah ini mahu direbut oleh orang lain. Bukan kita
tidak benarkan. Tetapi kalimah ini terlalu dekat dengan kita dari segi budaya
dan sejarahnya. Inilah isu yang tidak difahami oleh orang jahil yang mengaku
Islam.
Maaf, saya
bukan jenis manusia yang suka pegang anjing tanpa sebab. Kecualilah binatang
ini memerlukan pertolongan. Ketika itu, baharulah saya akan memegangnya.
Berkempen I want to touch a dog, itu
kerja bodoh.
Nasihat saya
kepada laman web dan NGO ultra kiasu ini, pertama, selamatkan akidah saudara
sebelum bertambah sesat dan terkeluar. NGO wanita ini telah diharamkan di
negeri Selangor. Jika suka sangat dengan Reza, pinang sahaja beliau. Lagipun,
ramai di situ yang masih bujang. Bila jahil jangan mengaku pandai.
Kedua, bahasa
Arab tidak boleh diterjemahkan sesuka hati tanpa merujuk kepada pakarnya. Kenapa
kita langsung tidak mahu merujuk kepada pakar apabila terdapat kekeliruan dalam
hal ehwal agama? Kenapa memandai-mandai? Bila sakit, tau pula berjumpa pakar
ubat. Kenapa dalam isu agama, kita tidak serahkan kepada pakar?
Ketiga, tafsiran
NGO wanita ini terlalu moderat sehinggakan ramai pemimpin dan ahlinya yang tidak
menutup aurat. Majoriti masih gondol kepalanya. Sejauhmanakah kemampuan
memahami arahan al-Quran untuk mengatakan menutup kepala itu tidak wajib jika
tidak ada asas bahasa Arab?
Jika begitulah
keadaannya, bersolatlah dengan memakai skirt? Begitu juga ketika menziarahi
kubur, majlis kematian dan sebagainya. Kenapa perlu menutup kepala?
Jangankan agama
Islam, lihat sahaja pemimpin agama lain, kebanyakannya berpakaian sopan,
seolah-olah menutup aurat. Ada yang sanggup botakkan kepala meskipun wanita. Kenapa
NGO ini terlalu moderat? Sehingga mahu menghalalkan ratu cantik dan LGBT atas
nama hak asasi manusia?