Semua artikel adalah pendapat peribadi. Anda berhak untuk tidak meneruskan bacaan atau tidak mengakseskan blog ini serta merta jika anda tidak bersetuju dengan pemikirannya. All the articles written are the personal views. You have absolute rights not to continue reading or to discontinue accessing this blog immediately if you are disagreeable with the personal views.

Monday, December 30, 2013

Pencetus Ummah dan Keperluan Berilmu

7:12 AM Posted by RIDHUAN TEE 22 comments
(30 Dec 2013)

Sambutan penonton terhadap rancangan realiti baharu Astro Oasis, Pencetus Ummah (PU), yang dihoskan saya sendiri amat menggalakkan. Sudah semesti bukan kerana saya ada di situ, tetapi disebabkan oleh konsepnya yang begitu kreatif, inovatif dan dinamik dalam mencari pendakwah negara. Tahniah warga kerja Astro Oasis.

Kini, PU sudah menjadi fenomena. Ke mana sahaja pergi, semua orang memperkatakannya, terutama di kalangan anak-anak muda. Tidak terkecuali yang tua. Alhamdulillah.

Selera masyarakat sudah berubah. Kalau dahulu, rancangan hiburan yang melibatkan artis-artis begitu mendapat sambutan. Kini, rancangan agama sudah menapak di hati. Apatah lagi semakin ramai artis yang berhijrah ke jalan yang diredhai. Pendek kata, kesedaran hidup berTuhan sudah meresap ke dalam sanubari.

Saya menyeru kepada masyarakat di luar sana, tontonilah rancangan ibarat taman-taman syurga ini, berlangsung di Pusat Konvensyen KUIS, Bandar Seri Putra, Kajang, Selangor Darul Ehsan yang tinggal dua minggu lagi iaitu 2 dan 9 Januari 2014.

Kenapa kita perlu menonton rancangan agama? Jawapannya supaya ilmu kita bertambah, akidah kita makin mantap. Kita bimbang fenomena hari ini, kalangan kita yang jahil agama mahu bercakap soal agama.

Terbaharu, timbul persoalan, boleh atau tidak kita menyambut Krismas? Kerana ada menteri berpandangan, kita boleh menyambut hari perayaan bukan Islam, jika akidah terpelihara. Saya ingin bertanya, apa sandaran menteri tersebut berkata sedemikian? Logik semata-mata?

Jika tidak tahu, lebih baik diam. Kita bukan bercakap mengenai akidah goyang atau tidak berada dalam majlis bukan Islam? Mungkin akidah menteri itu mantap, tidak mudah goyah. Tidak mengapalah.

Kita bercakap soal asas. Boleh atau tidak umat Islam menyambut perayaan agama lain? Jika boleh, sejauhmana dibolehkan? Jika tidak, sejauhmana toleransinya. Janganlah membuat perbandingan yang pelik-pelik.

Secara mudah, saya turunkan dialog ini, yang saya perolehi dari seorang rakan;

Christian: Kenapa kau tidak mengucapkan Selamat Hari Krismas padaku?

Muslim: Agama kami menghargai toleransi antara agama, termasuk agamamu tapi masalah ini, agama saya melarangnya.

Christian: Tapi kenapa? Bukankah ia hanya sekadar kata-kata? Rakan muslimku yang lain mengucapkannya kepadaku?

Muslim: Mungkin mereka belum mengetahuinya. Chistian, boleh tak kau mengucapkan dua kalimah syahadah, dalam bahasa Melayu pun tak mengapa?

Christian: Oh! tidak, saya tidak boleh mengucapkannya. Itu akan mengganggu kepercayaan saya selama ini.

Muslim: Kenapa? Bukankah hanya kata-kata? Ayuh, ucapkanlah...

Christian: Sekarang, saya mengerti.

Sebagai mualaf, dari segi dakwah, sekadar mengucapkan selamat menyambut Krismas, tidak menjadi masalah. Begitu juga untuk menziarahi mereka seperti yang saya lakukan ketika Tahun Baharu Cina. Tetapi untuk menyambutnya, saya fikir perlu difikirkan kembali. Saya tidak fikir bukan Islam turut menyambut Hari Raya Puasa/Korban atau perayaan orang Islam yang lain.  

Mereka sekadar bersama berada dalam majlis kita sebagai tanda persahabatan dan keharmonian, bukan menyambut. Kenapa kita selalu over dalam hal ini? Sehingga sanggup mengikut secara membuta tuli perayaan mereka. Begitu juga dengan perayaan Tahun Baharu 2014. Jangan rosakkan diri dan agama kita kerana terlalu meraikan orang lain.

Menurut Dr Yusuf Qardawi dalam fatwanya, harus kita memberikan ucapan selamat selagi mana kita tidak menyambut perayaan mereka dan sekadar ucapan tahniah kepada mereka sebagai tanda hubungan kemasyarakatan.

Maksudnya : Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang Yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang berlaku adil (Surah Al-Mumtahanah: 8).

Namun, perlu diingat, bahawa ucapan yang ditujukan kepada mereka adalah suatu ucapan semata-mata ingin menjaga hubungan dan berbuat baik kepada mereka. Islam merupakan agama yang mengamalkan sikap toleransi dengan penganut agama yang lain dengan menjaga batasan syarak yang telah ditetapkan.

Pendapat ini selaras dengan pendapat Majlis Fatwa Kebangsaan 2007 mengeluarkan satu lagi garis panduan, dengan membenarkan orang Islam memberi ucapan selamat kepada bukan Islam semasa perayaan keagamaan mereka, dengan syarat ia tidak mengagungkan atau memuji agama lain.

Pada saya, fatwa ini sudah jelas. Tidak perlu juga mengeluarkan pendapat, atau membuat perbandingan, ketika kita membaca doa, orang bukan Islam tunduk hormat. Bacaan doa adalah hak umat Islam dan dijamin oleh perlembagaan persekutuan, walaupun bukan wajib ada. Kenapa kita terlalu apologatik dalam segala hal apabila kita diserang atau disindir sedikit?

Tidak boleh kita mempertahankan hak kita? Serahkan hal ini kepada yang alim dan pakar untuk berbicara, bukan semua kita nak cakap. Saya sendiri, walaupun perayaan Tahun Baharu Cina itu sekadar adat, tidak ada kaitan dengan agama. Saya hanya ‘menyambut’ berpada-pada. Dalam maksud, ucapkan selamat tahun baharu dan menziarahi saudara mara serta beri angpow. Itu sahaja. Titik. Tidak ada istilah menyambut dengan beriya-iya, sehingga menjadi lebih Cina daripada Cina sendiri.

Pendek kata, saya ada perayaan agama Islam yang perlu diberi keutamaan. Akhirnya, tambahlah ilmu jika jahil. Paling kurang, tontonlah Mimbar Pencetus Ummah di Astro Oasis, bertambah juga ilmu kita.

Monday, December 23, 2013

Jangan sakiti hati Melayu

11:04 AM Posted by RIDHUAN TEE 28 comments
Sinar Harian 23 Dec 2013

Assalamua'laikum Sdr semua. Artikel saya ini saya copy dari artikel yang telah disiar oleh  Sinar Harian hari ini. Artikel penuh akan saya siarkan bila balik bercuti nanti...

KETIKA parti ultra kiasu Selangor sibuk dengan mahu menarik sokongan orang Melayu bagi menidakkan sokongan Melayu terhadap Umno, sepatutnya Umno memikirkan bagaimana untuk menangkis strategi tersebut, agar orang Melayu tidak terpengaruh dengan ultra kiasu.

Ini tidak, rakyat pula diuar-uarkan dengan kenaikan harga tol tidak lama lagi oleh kerajaan yang dipimpin Umno. Saya menjadi semakin keliru. Apakah makna tagline Gagasan 1Malaysia, rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan? Apakah rakyat hanya didahulukan ketika menjelang pilihan raya? Selepas itu, dikemudiankan.

Nasihat kerdil saya, yang bukan pakar ekonomi kepada kerajaan, uruskan ekonomi negara ini dengan baik dan telus. Carilah jalan apa sekalipun untuk meningkatkan ekonomi negara, tetapi bukan dengan membebankan rakyat marhaen seperti kami. Bebankan orang kaya yang bertambah kaya.

Dahulu, Melayu mudah lupa, tetapi kini tidak lagi. Melayu sudah mula mengingati perkara yang telah dilupai sebelum ini. Saya bimbang, PRU14 Umno akan berasa akibatnya, jika langkah berjaga-jaga tidak diambil. Rakan-rakan saya yang dahulu pro-BN, sudah mulai menyampah.


Ingatlah! Bila taraf hidup tinggi, nilai wang makin kecil, kuasa membeli terbatas, macam-macam perkara negatif boleh berlaku. Manusia sanggup membunuh, menjual diri, dan berbagai perkara negatif lain, apabila perut kosong.

Jika dengan kenaikan tol, lebuh raya menjadi semakin efisien, tidak berlaku kesesakan, tidak mengapa juga. Ini tidak, lebuh raya semakin sesak. Peliknya, ketika tidak musim perayaan pun sesak juga.

Apakah kerajaan sudah buta dengan semua kenaikan ini? Bagaimana rakyat mahu menghadapi semua keadaan ini? Boleh dikatakan semua harga barang telah naik selepas PRU13. Apakah benar sinonim BN bermaksud Barang Naik? Cuba bandingkan dengan negara jiran kita seperti Thailand dan Vietnam. Barang-barang di sana masih murah berbanding kita di sini. Hari ini, nak makan tengah hari jika tidak ada RM10, tak makanlah jawabnya.

Kerajaan sepatutnya bertindak menyemak sekali lagi perjanjian antara syarikat konsesi jika benar berlaku perjanjian berat sebelah.
 
Peliknya, kenapa kita menandatangani perjanjian bodoh yang tidak menyebelahi rakyat? Sama seperti perjanjian air dengan Singapura.

Apakah syarikat konsesi tersebut tidak berhati perut langsung untuk melaksanakan CSR? Berpada-padalah buat untung. Begitu juga ultra kiasu yang sudah menjadi kaya-raya hasil bantuan kerajaan. Takkan terus menerus mengalirkan wang keluar negara.

Syarikat konsesi lebuh raya sudah semestinya membuat duit saban hari melalui perjanjian tersebut. Ditambah pula dengan papan iklan sepanjang utara-selatan, barat dan timur. Ini tidak termasuk dengan sewa gerai di kawasan rehat yang menawarkan pelbagai barangan makanan dan sebagainya kepada pengguna lebuh raya.

Respons daripada menteri bertanggungjawab begitu memualkan. Kita ingatkan bila ahli ekonomi dilantik senator menjadi menteri, ditambah dengan pengalaman begitu luas, beliau akan memerah otak, memberikan buah fikiran kepada kerajaan, cara terbaik untuk menjaga kebajikan rakyat. Ini tidak, jawapannya begitu simplistik.

Katanya, pengguna jalan raya boleh memilih untuk menggunakan jalan biasa lain sekiranya menganggap kenaikan tol terlalu tinggi. Ini bukan jawapan negarawan. Nasihat saya, jangan pandirkan diri bila dah jadi menteri. Sepatutnya bila dilantik jadi menteri, daya intelektual kita makin bertambah.

Dalam Islam, menurut Imam al-Ghazali, menyediakan kemudahan asas, adalah tanggungjawab pemerintah. Kemudahan asas ini tidak sepatutnya diniagakan kerana kesannya akan dirasai oleh rakyat, bukan pak menteri. Pak menteri banyak menikmati keistimewaan lain bila dilantik jadi menteri. Termasuk semua bil utiliti.

Banyak negara maju (termasuk negara Islam lain) menyediakan kemudahan asas dengan kadar caj rendah. Misalnya, pendidikan, kesihatan, pengangkutan, air, elektrik dan sebagainya. Ini adalah asas yang bersifat daruriyyat. Tanpanya manusia tidak boleh (sukar) untuk hidup.

Logiknya, tol tidak perlu naik, tetapi semakin turun harga. Maklumlah, pengguna semakin bertambah. Jalan raya tidaklah dibaiki hari-hari. Sekali baiki boleh tahan setahun.

Ingatan saya kepada Umno BN, jangan biarkan hati Melayu semakin terluka. Tidak mustahil Melayu akan beralih kepada parti ultra kiasu.
 
Kempen mereka sedang berjalan. Jika satu hari nanti ultra kiasu cenderung kepada Islam, saya bimbang ketika itu, Umno sudah tidak relevan lagi, kerana mereka sudah ada Pas. Hari ini Melayu masih bersama Umno kerana tawar hati dengan Pas bersama ultra kiasu, penentang Islam.

Wednesday, December 18, 2013

Jangan hanya berani di belakang

7:08 AM Posted by RIDHUAN TEE 40 comments


Artikel ini tidak dapat disiarkan oleh akhbar harian kerana sensitif, maka saya paparkan di sini untuk pembaca nilai

Ahli parlimen ultra kiasu nampaknya begitu sensitif dengan tulisan saya minggu lalu. Terus menyerang saya habis-habisan. Desak saya memohon maaf.  Persoalan saya, kenapa gatal sangat menyerang saya tanpa usul periksa? Saya dituduh mengajar pembersihan etnik atau ethnic cleansing. Tuduhan ini amat berat. Takkan saya tidak ada hak untuk membela diri? Kena pada orang lain tak apa, kena pada dia, tak boleh. Ultra kiasu sungguh!

Sabar, sabar, sabar. Jika tidak boleh sabar, cari pasangan untuk mencurah masalah. Ultra kiasu menuduh saya tidak gentlemen, tidak boleh jadikan role model. Ada aku kisah!

Saya tidak akan menyerang jika tidak diserang. Tetapi saya tidak akan menyerang tanpa tentangan. Cuba saudara semua kaji serangan ultra kiasu terhadap saya selama ini daripada serangan saya kepada mereka.

Kenapa saya menjadi target? Tidakkah ahli parlimen banyak lagi kerja lain yang perlu diselesaikan. Nama pun wakil rakyat. Jagalah rakyat, terutama kebajikan mereka. Ini tidak, asyik jaga tepi kain orang. Kain sendiri bernajis, tidak pula dibersihkan.

Saya tidak perlu mendapat pujian atau penghormatan ultra kiasu. Saya kenal mereka. Mereka kafir harbi. Kafir harbi adalah musuh Islam. Perjuangan saya konsisten sejak dahulu. Sesiapa juga yang cuba mengganggu gugat agama Islam atau menentang perlembagaan yang melindungi Islam dan umatnya, akan ditentang.

Saya yakin, keluarga saya, keturunan Tee, berbangga dengan apa yang saya perjuangkan, kerana saya memperjuangkan agenda negara, bukan agenda bangsa yang sempit.

Berbanding ultra kiasu, mendakwa mereka memperjuangkan semua kaum. Hakikatnya tidak. Bila mendapat kuasa, apa yang mereka mahu? Mahu lebih banyak sekolah Cina, Universiti Cina, industri Cina, Bandar Cina, dan semuanya Cina. Mana ada negara di dunia memberi semua ini kecuali di Malaysia? Adakah ini wajar?

Cerminlah diri dahulu,  di manakah kita berada? Kita berada di Malaysia, di kepulauan Melayu. Paling kurang hormatlah bangsa asal negara ini, hak dan sensitivitinya. Melayu sudah cukup bertoleransi dengan kita. Jangan biarkan mereka mengamuk.

Ramai orang bertanya kepada saya kenapa saya jadi begini? Lain, dari Cina yang lain. Jawapannya, saya dilahirkan keluarga yang sangat kecinaan di kampung hampir seratus-peratus Melayu. Melayu menerima Cina dengan baik walaupun bilangannya amat sedikit. Saya amat memahami Melayu.

Malangnya, saya diajar membenci Melayu sejak kecil. Melayu penipu, pengotor, dan macam-macam tuduhan lagi. Saya tidak nafikan ada betulnya. Ramai Melayu ketika itu tidak memberikan contoh yang baik. Sudah tentu yang baik mendapat pujian.

Sejak kecil, saya mencari jawapan, apakah benar orang Melayu dipersepsikan sedemikian? Kesempatan belajar agama Islam di sekolah rendah dan menengah telah mengubah persepsi tersebut. Bangsa Melayu dan agama Islam adalah dua isu berbeza.

Orang Melayu yang mengamalkan Islam adalah sebaik-baik Melayu. Saya memahami Melayu melalui Islam yang menjadi anutannya. Sebab itu, saya sangat sayangkan Melayu yang beramal dengan Islam. Akhirnya, saya memeluk Islam. Islam menjadi darah daging hingga ke akhir hayat ini.

Saya hanya akan berlembut dengan ultra kiasu, meskipun tidak memeluk Islam, hanya, jika mereka lembut atau menerima sistem Islam dalam sebuah negara berasaskan kenegaraan Melayu. Umat Islam berhak mendapatkan haknya dalam negaranya sendiri.

Umat Islam yang menjadi minoriti tidak pernah diberikan hak mereka di negara yang diperintah majoriti bukan Islam. Lihatlah nasib umat Islam di Singapura, China dan India. Peliknya apabila bukan Islam berada dalam negara Islam, mereka mahukan semua hak mereka dipenuhi. Bukan Islam di Malaysia amat bernasib baik, kerana boleh dikatakan semua hak mereka telah diberi.

Malangnya, mereka tidak pernah merasa cukup. Sentiasa mahu lebih. Adakah ini wajar? Saya tidak kata, kerajaan hari ini telah sempurna. Saya akui, masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki. Begitu juga dengan UMNO. Tetapi jangan mengambil kesempatan atas kelemahan umat Islam hari ini. Ultra kiasu bertindak seperti gergaji dua mata. Kiri kanan mereka lipat, dan sapu.  

Rakan-rakan saya selalu menasihatkan, demi dakwah, janganlah berkeras dengan ultra kiasu. Perbuatan saya menjauhkan mereka dari Islam. Saya disarankan supaya membimbing mereka memahami Islam. Mudah-mudahan ultra kiasu memeluk Islam.

Saya akui, memang kerja kita sebagai dai’ (pendakwah) membawa mereka kepada Islam. Tetapi, hakikat sebenar tidak sedemikian. Semakin ultra kiasu memahami Islam, semakin kuat mereka lawan kita.

Contoh, setelah sekian lama PAS berkawan dengan mereka. Ultra kiasu semakin memahami Islam.

Masalahnya, semakin dia faham Islam, semakin mereka tidak cenderung kepada Islam, malah segala perkara berkaitan Islam ditentang. Sedangkan pada masa sama agama mereka juga menentang. Misalnya, isu LGBT, arak, judi dan sebagainya. Sehinggakan umat Islam tidak dapat melaksanakan haknya di bumi sendiri. Justeru, apa sebenar yang tinggal pada umat Islam jika perkara-perkara asas hidup beragama tidak dapat dilaksanakan. Bagaimana kita hendak menjawab kepada Allah SWT di akhirat nanti?

Apabila kita mengambil demokrasi sebagai satu sistem pemerintahan, mereka bertindak menuntut semaksima mungkin atas nama hak asasi manusia, sehingga menyebabkan maruah dan identiti agama Islam mulia itu tercemar. Jadi, perlukah lagi kita terus bersangka baik dan berlembut?

Hari ini saya mengambil pendirian melawan mereka. Ultra kiasu mengisytiharkan perang terhadap saya. Saya ingin menyahut perisytiharan itu. Mari kita berdebat! Baru boleh tahu saya ini gentlemen, boleh menjadi role model atau tidak?

Tetapi bukan di Dewan Perhimpunan Cina. Kita ada televisyen. Gunakan platform tersebut. Tajuknya, siapa lebih rasis? atau apa-apa tajuk berkaitan perpaduan nasional dan sebagainya. Saya bersedia bila-bila masa untuk berhadapan dengan ahli parlimen ultra kiasu tersebut. Jangan hanya berani di belakang.

Monday, December 16, 2013

Jangan perjudikan agenda negara

9:08 AM Posted by RIDHUAN TEE 12 comments


(SH 16 Dec 2013)

Saya ucapkan tahniah atas ketegasan Menteri Pendidikan ketika soal jawab di Parlimen, pendirian untuk tidak mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) yang dikeluarkan oleh Dong Jiao Zong dan sekutunya.

Alasan Menteri, UEC tidak mengikuti aliran pendidikan kebangsaan. Justeru, tidak ada alasan untuk diiktiraf. Ini jawapan seorang negarawan. Apa-apa jua dasar yang bertentangan dengan dasar kebangsaan atau perlembagaan, mesti dimuktamadkan pendirian. Jika tidak, kita tidak ke mana-mana.

Ingatlah wahai pemimpin negaraku, kita sedang membina negara (nation building), bukan membina rumah, yang boleh dibuat sesuka hati. Justeru, bertegaslah, tidak kira menang atau kalah pilihan raya.

Ketegasan yang sama hendaklah juga dibuat dalam isu perebutan tanah antara Kementerian Pelancongan dengan Kebudayaan (KPK) dengan sebuah SJKC Chin Woo, Pudu, Kuala Lumpur.

Pada Julai lalu, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan bertegas akan mengambil tanah seluas 0.169 hektar yang telah digunakan oleh SJKC Chin Woo secara haram, bagi tujuan membina Kampung Budaya menerusi projek Kota Warisan Kuala Lumpur yang dianggarkan bernilai RM32.5 juta, berhampiran Jalan Pudu.

Menurut KPK tanah tersebut adalah tanahnya dan pengambilalihan akan diambil pada 24 September yang lalu.

Bagaimanapun keputusan itu mendapat bantahan daripada SJKC tersebut,  terutama kalangan guru-guru dan ibu bapa, kerana mereka mendakwa tanah tersebut adalah tanahnya. Gelanggang bola keranjang telah dibina di situ sejak 1938. Sedangkan dalam pelan, menunjukkan sebaliknya iaitu kepunyaan KPK.

Untuk makluman, isu ini telah dibangkitkan sebelum ini lagi. Terbaharu, SJKC Chin Woo telah menerima notis pemberitahuan pengosongan tapak gelanggang sukan yang dikeluarkan Pentadbir Tanah Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PTG WPKL) bertarikh 28 Ogos 2013. Notis tersebut meminta pihak SJKC Chin Woo mengosongkan tapak gelanggang sukan sekolah itu sebelum 23 September 2013. Jika tidak perobohan struktur dan pengosongan akan dijalankan pada 24 September.

Peliknya, pentadbir SJKC Chin Woo dalam tidak dapat menerima keputusan tersebut. Dalam akhbar dan laman sosial ultra kiasu, mereka mendakwa KPK adalah penceroboh.

Apabila KPK mahu mengambil tanah tersebut pada 24 September lalu, kira-kira 300 orang berkumpul bagi membantah hasrat KPK. Akhirnya, pengambilan tertunda. Kita mengalah lagi.

SJKC Chin Woo telah didirikan sejak 75 tahun lalu di atas tanah milik sekolah sendiri yang menempatkan lebih 500 pelajar. Selepas itu, SJKC tersebut telah melakukan pencerobohan ke atas tanah kerajaan dengan membina gelanggang sukan tanpa kebenaran.

Ultra kiasu berhujah jika KPK mengambil tanah tersebut, ia akan menjejaskan aktiviti pembelajaran sekolah itu. Pengosongan dan perobohan tapak itu akan mengakibatkan sekolah kerugian kerana hilang dua gelanggang permainan sekaligus menjejaskan aktiviti persekolahan.

Persoalan saya, apa yang terjejas? Isunya gelanggang sukan, bukan roboh sekolah. Kenapa pejabat tanah tidak dirujuk terlebih dahulu sebelum pembinaan dibuat? Tanah tersebut atas nama siapa? Siapa yang berhak? Biar undang-undang yang menentukan.

Lihatlah betapa liciknya ultra kiasu. Mereka akan mempersalahkan sesiapa juga untuk menjustifikasinya tindakannya. Saya amat pelik dengan ultra kiasu, mereka begitu mempertahankan sekolah Cina, bermati-matian, termasuk gelanggang sukan.

Mereka tidak pernah risau anak-anak mereka tidak boleh berbahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Dalam kepala otak mereka, hanya ada Cina, Cina, Cina. Saya juga orang Cina, tetapi saya penting agenda negara dari agenda bangsa.

Lihat isu terbaharu, ketika lawatan presiden China ke Malaysia, Presiden MCA dan NGO-NGO Cina bukan main lagi mencanangkan peri pentingnya bahasa Mandarin kepada rakyat Malaysia. Rakyat disarankan mesti belajar bahasa Cina.

Kita tidak nafikan keperluan mempelajari bahasa asing, malah Islam amat menggalakkan. Persoalannya, wajarkah kita bahasa asing, sedangkan bahasa kebangsaan masih gagap, ada yang langsung tidak difahami.

Peliknya, kenapa MCA dan ultra kiasu langsung tidak ambil pusing kelemahan orang Cina rakyat Malaysia yang begitu ramai yang tidak faham dan boleh berkomunikasi dalam bahasa kebangsaan.

Asyik-asyik hujahnya China akan menjadi kuasa besar ekonomi di rantau ini. Justeru, orang Malaysia mesti boleh berbahasa Cina. Apakah mereka tidak terfikir tentang kepentingan bahasa lain juga, terutama bahasa negara?

Sebelum ini, akhbar The Straits Times Singapura, melaporkan kerajaan Kelantan menggalakkan orang Kelantan belajar bahasa dan budaya Cina. Katanya lima cucu bekas Menteri Besar (Nik Abdul Aziz) juga belajar sekolah Cina, menunjukkan betapa pentingnya bahasa Cina.

Mereka tidak faham di sebalik. Atau sengaja mahu memprogandakan isu ini. Sama seperti anak saya yang belajar di SJKC. Matlamat saya hanya satu, untuk menyunatkan orang Cina satu hari nanti. Memudahkan dakwah. Bukan kerana kepentingan bahasa itu sangat. Saya harap kita semua faham.

Ingatlah! kita belajar bahasa Cina untuk kepentingan dakwah sepertimana saranan Nabi. Bukan untuk mengagungkan bahasa Cina sehingga memperlekehkan bahasa Melayu (Arab) selaku bahasa kebangsaan. Jika majoriti rakyat Malaysia bukan Islam adalah bukan Cina, saya tidak terfikir Tuan Guru Nik Aziz akan menghantar cucunya ke SJKC.

Nasihat saya, jangan sampai cucu Nik Aziz terlebih pandai berbahasa Cina, tetapi tidak boleh berbahasa Arab. Jika itulah yang berlaku, kerajaan Kelantan sudah silap dalam mengatur kehidupan rakyatnya, selaras kehendak Islam, dari segi fiqh awlawiyyat (memahami keutamaan).