Semua artikel adalah pendapat peribadi. Anda berhak untuk tidak meneruskan bacaan atau tidak mengakseskan blog ini serta merta jika anda tidak bersetuju dengan pemikirannya. All the articles written are the personal views. You have absolute rights not to continue reading or to discontinue accessing this blog immediately if you are disagreeable with the personal views.

Monday, August 31, 2015

Di mana GHB hendak bertanding?

8:58 AM Posted by RIDHUAN TEE 1 comment
(Sinar Harian 31.8.15)

Memahami sosio budaya politik Malaysia, seperti yang semua sedia maklum, kerusi kawasan majoriti Melayu sepatutnya ditandingi oleh calon Melayu. Manakala, calon bukan Melayu, di kawasan majoriti mereka. Pernyataan ini bukan perkauman, tetapi itulah realiti politik, dalam konteks Semenanjung.  

Biarkan UMNO, Pas, PKR atau mungkin GHB bergasak sesama mereka di kawasan majoriti Melayu. Manakala, MCA, Gerakan dan DAP di kawasan majoriti Cina.

Untuk kaum India, tidak ada satupun kawasan mereka mempunyai majoriti. Kerusi yang dimenangi sebelum ini adalah di kawasan majoriti Melayu (BN). Sedikit sangat kerusi yang dimenangi di kawasan majoriti Cina mewakili ultra kiasu.

Jika kita pandai berstrategi dan memahami real politik, kaum yang tidak mempunyai mempunyai kawasan majoriti, tidak sepatutnya bertanding. Jika wakil kaum mereka diperlukan bagi mengisi jawatan menteri dan timbalan selepas PRU, maka lantiklah mereka sebagai senator.

Perkara ini pernah dilantun oleh MB Negeri Sembilan, tetapi diprotes hebat oleh ultra kiasu. Senario ini bukan sahaja di negeri Sembilan, malah di semua negeri di Semenanjung. Kerusi yang dimenangi oleh MCA, Gerakan dan MIC hari ini adalah kerusi ehsan kawasan majoriti Melayu.

Nilaikanlah toleransi orang Melayu (Islam). Sanggup mengundi calon tidak seagama dan tidak sebangsa, tinggalkan calon seagama sebangsa, hanya kerana toleransi dan mendengar arahan parti.

Kenapa sukar sangat orang lain melakukan sedemikian? Kenapa ultra kiasu tidak meletakkan calon Melayu mereka bertanding di kawasan majoriti Cina seperti  Kepong, Seputeh, Petaling Jaya dan lain-lain?

Namun, pada PRU akan datang, tidak mustahil ultra kiasu akan meletakkan calon Melayu di kawasan majoriti Cina bagi menunjukkan mereka tidak rasis. Sudah pasti calon Melayu itu akan menang, kerana ultra kiasu tahu, hanya seorang dua sahaja Melayu dalam parti tersebut dan mereka tidak boleh membuat apa-apa keputusan.

Calon dan kawasan berasaskan kaum ini perlu dilihat secara serius, terutama oleh BN jika ingin terus kekal berkuasa dalam PRU akan datang. Jika sekiranya formula bertanding mengikut kuota parti terus dilakukan, tidak mustahil BN (Umno) akan kehilangan lagi kerusi.

Siapakah yang untung dalam permainan ini kalau bukan ultra kiasu? Mereka menambah kerusi setiap kali PRU.

Memahami situasi masa kini, pendekatan berstrategi perlu diberikan perhatian serius. Apatah lagi dengan kemunculan GHB yang sudah pasti akan memecahkan lagi undi Melayu.

Di kawasan mana GHB akan bertanding? Apakah mereka yang menang atas tiket Pas sebelum ini akan terus mahu mengekalkan kerusinya menentang Pas sendiri, selain berhadapan parti politik lain yang pasti akan bertanding?

GBH melakukan satu dosa besar jika menentang Pas, yang telah menaikkan mereka hingga ke tahap ini. Apakah ultra kiasu akan memberi laluan kepada GBH untuk bertanding di kawasan kubu kuatnya. Jauh panggang dari api.

Tidak mustahil, GHB akan bertanding menentang saudara seagamanya sendiri seperti yang pernah berlaku dalam sejarah IRC (IKRAM) itu sendiri. IRC yang kini majoriti menganggotai GHB, masih ada dalam Pas, Umno dan Abim.

Strategi mereka masuk ke dalam Pas untuk menguasai Pas telah dihidu oleh Pas. Begitu juga kehadiran mereka dalam Umno dan lain-lain pertubuhan. Strateginya pecahkan, bagi tujuan menguasai.

Saya menasihatkan IRC supaya berhenti melakukan kerja-kerja bodoh ini. Belajarlah erti ikhlas dalam perjuangan. Buatlah kerja-kerja yang lebih bermanfaat daripada merosakkan jamaah lain. Kamu tidak akan berjaya.

Lebih baik buat kerja-kerja melondehkan strategi musuh Islam. Misalnya, kajian bertanyakan rakyat Malaysia sama ada Malaysian 1st, Malay 1st atau Muslim 1st.

Sudah tentu Melayu Islam yang faham Islam, akan jawab Muslim 1st. Bukan Islam pasti akan jawab Malaysian 1st. Soalan dengan bukan Melayu tidak berkaitan dengan Tuhan, sedangkan kepada Melayu (Islam) secara langsung berkaitan.

Dalam Islam, kita diajar meletakkan agama di tempat yang paling atas, baharulah yang lain-lain. Meletakkan perkara lain di atas melebihi agama, boleh menjejaskan akidah dan tidak mustahil boleh menjadi kufur.

Allah tidak tanya kita sumbangan kita kepada bangsa atau negara. Allah akan tanya kita sumbangan kita kepada agama. Dalam agama sudah terangkum perkara berkaitan bangsa, negara dan lain-lain.

Bagi orang Melayu dan India (Hindu), agama adalah segalanya. Memainkan isu babi dan lembu sudah boleh menimbulkan suasana kurang harmoni. Bagi mereka yang memahami budaya politik Malaysia, sudah tentu perkara sensitif sebegini perlu difahami dan dihormati, demi masa depan Malaysia yang gemilang.

Bagi orang Cina ultra kiasu, pula isu agama tidak berapa penting. Mereka lebih utamakan wang dan kuasa. Selagi mana ada cara boleh dapat banyak wang, yang lain sudah tidak penting. Maka pilihan Malaysian 1st, adalah perkara biasa.


Cuba buat kajian bertanyakan soalan BM 1st, Mandarin 1st, atau Tamil 1st. Sepatutnya semua akan menjawab BM 1st. Apakah mungkin pilihan tersebut menjadi kenyataan? Moga Sambutan Kebangsaan ke 58 hari ini memberi sinar baharu kepada kita semua, bukannya gerakan harapan baharu. Merdeka! 

Monday, August 24, 2015

Psywar ultra kiasu ke Tunisia

10:03 AM Posted by RIDHUAN TEE 5 comments
Psywar ultra kiasu ke Tunisia (Sinar Harian 24.8.15)

Tidak semena-mena ultra kiasu menyatakan hasratnya untuk melawat Tunisia bagi mengkaji sistem politik dan pelaksanaan syariah di sana, ekoran daripada kunjungan hormat wakil parti An-Nahdah, Muhammad Ferjani ke pejabat mereka, sempena Nadwah Ulama 2015 (Nunji'15), anjuran ultra kiasu serpihan Pas.

Sebelum ini, ultra kiasu telah ke Mesir dan Jordan bagi tujuan sama. Matlamatnya bukan untuk memahami hudud sebenarnya, tetapi lebih kepada strategi licik psywar dan psyop untuk memecah-belahkan umat Islam. Akhirnya, Pas berpecah.

An-Nahdah di bawah pimpinan Ghanouchi kini dilaporkan menyertai kerajaan melalui kerjasama politik, ketika Tunisia berada dalam transisi perubahan daripada negara otokratik kepada demokrasi.

An-Nahdah dikatakan parti dan gerakan Islam pertama di dunia yang menerima sistem demokrasi dengan sepenuhnya. Pendek kata, mereka mahukan Pas menjadi An-Nahdah, menolak hudud dan menerima demokrasi sepenuhnya. Saya tidak pernah hairan dengan keadaan politik Tunisia kerana mereka negara sebangsa (homogenous). Pi mai pi mai tang tu juga.

Ferjani dalam pertemuan dengan ultra kiasu berkata, Nabi Muhammad tidak melaksanakan hudud dalam tempoh 13 tahun, tetapi Baginda memperkenalkan Islam di Mekah. Pada saya, ini hujah budak baru sekolah.

Hari ini, Islam sudah tertegak lama lebih 1400, apakah kita mahu kembali ke zaman permulaan Mekah? Peliknya, ultra kiasu Pas menerima bulat-bulat. Nampaknya permainan politik Malaysia telah dimenangi sepenuhnya ultra kiasu. Kita kalah teruk dan terduduk. Mereka berjaya memanipulasikan isu dan memecah-belahkan parti politik Melayu (umat Islam).

Dalam BN, mereka berjaya menghantar wakil komponen sebangsa menentang Umno. Dengan sekutunya PKR, pun berjaya dipecahkan kepada beberapa kem. Pendek kata, apa pun isu hari ini, ultra kiasu menang besar. Mereka tidak perlu berkempen lagi. Ultra kiasu telah berjaya mempamerkan moralnya yang begitu tinggi.

Ultra kiasu tersangat faham hudud yang dibawa Pas, tetapi mereka tidak pernah bersetuju. Mereka akan cari seribu macam hujah dan alasan untuk menentang sebarang perlaksanaan hukum Islam di bumi bertuah ini, sama ada datang dari Pas atau orang lain. Mereka tidak pernah percaya dan suka kepada Islam.

Dan sudah tentu kepada kumpulan Islam yang berhujah bahawa hudud tidak penting, kemiskinan perlu diutamakan, kumpulan ini yang paling disukainya. Itulah kumpulan ultra kiasu Pas yang berjaya ditarik keluar dari Pas. Katakan kemiskinan berjaya dihapuskan, apakah selepas itu hudud akan dilaksanakan? Sampai bila kemiskinan boleh dihapuskan? Apakah demokrasi alternatif terbaik untuk menguruskan kemiskinan hari dengan menolak hudud ?

Psywar dan psyop ultra kiasu tersangat berjaya. Peliknya, kita saling terus menjatuhkan tanpa henti. Nasihat saya kepada parti politik Melayu (Islam), jika mahu terus memastikan tampok kuasa terus dipegang, maka jangan terus mencipta kelemahan dan membuat masalah yang memudahkan ultra kiasu untuk memerangkap.

Ultra kiasu dalam parti komponen BN semakin berani. Mereka menuntut dan mendesak supaya agenda anak bangsa mereka terus diperkasa dan dilaksanakan. Misalnya, tindak tanduk ultra kiasu yang baru dilantik menyertai kabinet. Apabila ditanya wartawan mengenai apakah agenda utamanya? Maka, jawapannya SJKC menjadi keutamaan.

Dia akan memastikan SJKC mendapat kemudahan secukupnya, terutama masalah kekurangan guru. Dalam kepala otaknya, hanya agenda bangsa. Tidak pula dituduh rasis. Apabila menteri Melayu mahu mewujudkan Low Yat 2 (MARA), terus dituduh rasis. Kenapa kita tidak bertindak sebagai  negarawan?

Terbaharu, ultra kiasu dalam BN ini mendesak supaya kandungan buku teks sejarah Tahun 4-6 dirombak semula. Katanya terlalu keIslaman dan KeMelayuan. Segerombolan pakar sejarah mereka telah menghantar memorandum, mengandungi lebih 80 perkara agar fakta buku teks sejarah yang baharu diperkenalkan kepada semua sekolah rendah diubah.

Mereka mahukan sejarah ditulis mengikut konsep sama rata dan sama rasa. Jika sumbangan Melayu satu, sumbangan mereka juga satu. Tidak boleh ada kredit kepada pihak-pihak tertentu. Kasihan orang Melayu Islam, setengah mati memperjuang dan mempertahankan kemerdekaan, tiba-tiba sumbangan mereka mahu dinilai sama rata dan sama rasa.

Sungguh bijak mereka membahagikan tugas masing-masing di mana sahaja berada. Bila kerajaan syaratkan subjek sejarah itu diajar dalam BM, mereka tentang habis-habisan hingga kerajaan mengalah. Akhirnya, subjek sejarah diajar dalam bahasa ibunda masing-masing.

Pernahkan mereka terfikir dan berbincang bagaimana memandaikan anak-anak mereka dalam BM. Bagaimana memastikan anak mereka boleh bergaul mesra dengan bangsa lain melalui medium yang sama.


Saya amat yakin, selepas balik sahaja daripada lawatan ke Tunisia, psywar dan psyop mereka akan bertambah mantap. Apakah ketika itu kita langsung tidak boleh marah, hanya kerana Islam mahukan kita tonjolkan sifat ramah? Ultra kiasu tampar pipi kiri, kita bagi pipi kanan untuk ditampar lagi. Saya nak tengok berapa ramai ultra kiasu akan memeluk Islam dengan penonjolan sifat ramah ini?  

Monday, August 17, 2015

Plaza MARA bukan LowYat 2

7:46 AM Posted by RIDHUAN TEE 20 comments
(Sinar Harian 17.8.15)

Selepas insiden Low Yat, kini kedai komputer ultra kiasu pakat-pakat menggantung dan menampal label kalimah suci seperti Allah, Muhammad dan ayat al-Quran dalam bentuk bingkai, poster dan sebagainya, di dinding-dinding kedai, bagi menarik pelanggan Melayu.

Dari satu segi, ada baiknya, sekurang-kurangnya mereka mesra al-Quran, dekat dengan Islam. Tidak mustahil suatu hari nanti, memeluk Islam. Persoalannya, kenapa baharu sekarang? Kenapa tidak dahulu?

Saya mendapat panggilan daripada penguasa Pihak Berkuasa Tempatan, meminta perkara ini diketengahkan kerana mereka tidak ada kuasa untuk mengambil tindakan. Penguasa tersebut marah kerana mereka mempermainkan kalimah suci untuk mendapat keuntungan.

Malah, kedudukan syarikat (kedai) mereka juga telah disemak dengan SSM. Tuan punya memang bukan Melayu, termasuk pekerjanya. Jadi, atas alasan apa kalimah suci ini digunakan?

Sementelahan, saya telah meminta pandangan kenalan rapat saya di Jakim, adakah tindakan boleh dikenakan ke atas mereka? Jawapannya, tidak ada peruntukan untuk pihak berkuasa agama  mengambil tindakan. Bermakna, orang bukan Islam bebas menggunakan kalimah-kalimah suci ini.

Jakim hanya berkuasa dalam perkara berkaitan perbahasan halal sahaja. Yakni, jika mempamerkan ayat Quran untuk menunjukkan produk itu halal  tetapi tidak halal atau tidak memiliki sijil halal maka ia menjadi kesalahan. Tetapi jika mempamerkan untuk hiasan atau jualan, maka Jakim tidak ada kuasa.

Tindakan desperado ini jelas menunjukkan bahawa bisnes ultra kiasu terjejas akibat insiden Low Yat, bila mana umat Islam memboikot. Sebab itu, mereka tidak segan silu mengadakan majlis sambutan hari raya yang tidak pernah sama sekali diadakan sebelum ini.

Pendek kata, ultra kiasu akan melakukan apa sahaja, tidak kira sama ada halal atau haram, menyentuh sensitiviti orang lain atau tidak, demi menjaga kepentingan bisnes mereka. Inilah ultra kiasu namanya.

Saya memohon kepada ultra kiasu supaya belajar erti ikhlas dalam bisnes. Fikirkanlah soal kepentingan negara dan keharmonian masyarakat. Kita tidak mahu dengar lagi penipuan demi penipuan berlaku. Sebelum ini kita telah disajikan dengan ikan patin diberi makan babi, bihun kotor, kaki katak dalam mee dan macam-macam lagi kes yang telah dibuktikan.

Lebih malang lagi, ada yang sanggup memalsukan sijil halal. Tidak kurang juga yang menggunakan sijil halal dari negara lain, bagi menghalalkan makanannya. Ada juga yang menggunakan nama orang Islam untuk mendapat sijil halal sembelihan.

Apabila dapat sijil halal, penyembelihan halal tidak lagi dititik-berat. Ada yang menyembelih sambil menyanyi lagu lang bo ti lang, kui bo ti kui. Di mana keihlasan dan kejujuran? Saya tidak kata semua.

Sudah sampai masanya kajian secara akademik dibuat, apakah punca kepada semua permasalahan ini? Apakah sistem pendidikan berasaskan kaum yang menyebabkan komunikasi terbantut, turut menyumbang kepada perkara negatif ini? Akibat daripada kita tidak bercampur gaul sejak kecil, persepsi negatif antara satu sama lain meningkat.

Kajian juga perlu melihat, kenapa perangai bukan Melayu yang bercampur dengan Melayu begitu berbeza dengan mereka yang langsung tidak bergaul.

Di peringkat kementerian pula, akta baharu perlu digubal untuk mengawal peniaga supaya tidak bertindak sewenang-wenang menggunakan atau memperalatkan lambang-lambang tertentu seperti kalimah Allah dan Muhammad untuk menarik dan melariskan perniagaan.

Ultra kiasu tahu, peniaga Islam tidak boleh mempamerkan perkataan atau gambar yang bertentangan dengan Islam. Sudah tentulah kita dengan mudah boleh bezakan mana kedai Melayu, mana kedai bukan Melayu. Tetapi untuk kita mengenali kedai bukan Melayu agak sukar sedikit, kerana mereka boleh menggunakan kalimah suci dan menggunakan nama-nama produk yang berjenama Islamik, seperti cap masjid, huruf jawi dan sebagainya.

Kadangkala kita langsung tidak tahu, apabila mereka mempergunakan seratus peratus pekerja beragama Islam. Sedangkan hak mereka untuk solat dan solat Jumaat dinafikan, kerana dikatakan membuang masa.

Justeru, kita sebagai orang awam yang beragama dan NGO hendaklah sensitif dan memberi tekanan terhadap perniaga ultra kiasu yang tidak bertanggungjawab ini.

Saya menyokong penuh langkah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, mencadangkan pembukaan sebuah pusat jualan dan borong alat telekomunikasi yang menyamai fungsi Plaza Low Yat yang khusus untuk peniaga Melayu. Pecahkan monopoli yang berlaku selama ini. Jika tidak, kita akan terus menjadi mangsa.

Mengikut pelan, ‘Low Yat 2′ akan ditempatkan di Tingkat 3 Bangunan Majlis Amanah Rakyat (Mara) di Jalan Raja Laut selepas ubah suai. MARA akan berusaha untuk mengumpulkan  seberapa banyak mungkin pembekal besar di bangunan ini.

Sejurus bila idea ini diutarakan, ultra kiasu seperti cacing kepanasan mempertikaikan projek ini sebagai perkauman. Tidakkah  selama ini perkauman telah berlarutan sekian lama melalui pembolotan bisnes ini? Bila hak mereka tergugat, maka dituduh kita rasis. Begitu juga bila kita mahu membela hak kita. Mereka betul, kita salah. Nampak sangat hipokrit.


Saya harap namanya bukan Low Yat 2, tetapi nama yang lebih beridentiti kebangsaan seperti Plaza MARA, atau nama yang sedap didengar. Tetapi, jika susah sangat, letak sahaja nama Plaza Sakitnya Tuh Di Sini, puas hati.

Monday, August 10, 2015

Antara prinsip dan kuasa

7:43 AM Posted by RIDHUAN TEE 7 comments
(Sinar Harian, 10.8.15)

Selaku anak jati perak,  saya amat geram apabila ultra kiasu mempertikaikan, malah menentang, perkara baik-baik yang cuba dilaksanakan oleh kerajaan negeri Perak, misalnya menyediakan kerusi khas untuk pasangan yang sudah berkahwin dan melarang mereka yang masih belum berkahwin duduk berdua-duaan ketika menonton wayang. Ini nilai-nilai baik, ajaran semua agama.

Semua kalangan kita pernah menjadi muda remaja. Kita tahu keadaan panggung wayang. Suasana gelap dan romantik. Masa itulah tangan akan berjalan-jalan, sama ada menyentuh mesra atau meraba. Apatah lagi jika cerita tersebut seram dan romantik.

Jika seram, pasangan akan dipeluk. Maklumlah perempuan takut dengan hantu. Bila cerita romantik, maka tangan mula meraba-raba. Ultra kiasu amat arif tentang perkara ini, sebab itu mereka menentang.

Perkara baik-baik sebegini tidak perlulah mendapat pendapat awam (public opinion). Kuatkuasakan sahaja. Tidak perlu takut, walaupun digertak ultra kiasu, yang mahu pihak berkuasa fokus pada perkara yang lebih penting seperti memberi khidmat lebih efisien kepada pembayar cukai, soal kebersihan dan lain-lain.

Hak untuk menjadi efisien itu, teruskanlah. Tidak siapa yang larang. Tetapi pada masa sama, amar makruf nahi mungkar kena beriringan. Tiada gunakan prasana tip top, jika manusia berkelakuan seperti haiwan. Sebab itu Konosuke Matshushita memberi nasihat, making people, before making products. Tidak hairanlah produk Jepun tahan lasak, kerana mereka membina insan terlebih dahulu, sebelum produk.

Kata-kata ini amat bertepatan dengan nilai-nilai Islam. Insan itu perlu dibangunkan terlebih dahulu sebelum yang lain-lain. Sebagai seorang yang mengaku beragama, sepatutnya kita menjadi insan, paling kurangpun dapat menguasai asas-asas hidup beragama. Jangan biarkah diri kita jahil, sehinggakan tidak ada panduan dalam hidup. Bertindak dan bercakap sesuka hati.

Realiti yang berlaku hari ini amat mendukacitakan. Pemimpin bercakap sesuka hati tanpa panduan dan landasan. Apatah lagi bila bercakap soal berkaitan agama. Misalnya, apakah salah berpeluk cium dalam lakonan asal hati baik dan bukan real pun?

Sebab itu dari dahulu saya katakan, jika tidak tahu, tanya orang yang lebih tahu. Atau lebih baik diam daripada berkata-kata atau mengeluarkan pendapat.

Ahli falsafah Cina adalah berkata, jika mahu menjadi pemimpin, pastikan rumah tangga dapat dijaga dengan baik. Bagi memastikan rumahtangga dalam dipimpin dengan, diri sendiri perlu menjadi baik. Bagi memastikan diri sendiri boleh baik, pastikan hati dipimpin dengan baik. Nak pastikan hati dijaga baik, asasnya adalah ikhlas.

Hari ini jarang jumpa pemimpin yang ikhlas. Kebanyakan menjadi pakar bodek. Sekelip mata berubah. Bagaimana kita mahu mengharapkan keadaan menjadi lebih baik.  Ini sokong membawa rebah.

Perkara ini juga berlaku dalam Pas, bila mana pemimpin  mereka memperlekehkan baiah yang mereka tandatangani dengan memberi berbagai alasan agar baiah tersebut terbatal. Jika sudah tahu baiah tersebut mengikat, tidaklah perlu tandatangan, atau menjadi calon Pas. Carilah parti lain. Ini tidak, bila dapat menang dan dapat kuasa. Sukar untuk dilepas. Maka, apabila sudah terikat, maka dicari jalan sedaya upaya untuk membebaskan ikatan tersebut. Mana boleh.

Kuasa itu amanah parti dan negara. Taat setia perlu ditumpahkan selagi berada di landasan benar. Sebab itu, saya ucapkan tahniah di atas, perlantikan Zahid Hamidi sebagai TPM. Saya amat bangga. Ketika menjadi menteri di JPM, ramai yang memuji Zahid kerana ketegasannya dalam isu-isu Islam. Begitu juga ketika menjadi Menteri Pertahanan dan Dalam Negeri. Sudah tentu rakyat menaruh harapan yang tinggi. Apatah lagi Zahid mempunyai asas yang kukuh.

Saya tidak fikir TPM baharu ini akan bercakap semborono seperti segelintir menteri lain. Bercakap tanpa asas. Saya harap Zahid akan bertegas dalam perkara prinsip dan asas. Jangan takut berhadapan dengan serangan ultra kiasu.

Selagi kita di landasan yang benar, rakyat terjamin, kita tidak perlu takut dan tunduk kepada tekanan. Yakinlah, jika kamu tolong Allah, nescaya Allah akan tolong kamu.

Sama juga usaha murni kerajaan Perak ini. Saya harap, kita tidak akan tunduk. Jika ultra kiasu mahukan kerosakan dan kebebasan tanpa had, biarlah dia terjun dengan labu-labunya. Paling penting, mereka yang mahukan kebaikan, mesti diselamatkan dari tangan-tangan jahat ini.

Saya amat yakin, kerajaan negeri Perak, dengan sokongan TPM, akan terus aman jaya, aman maju, makmur dan sejahtera. Saya amat yakin jika Gautama Buddha masih hidup, begitu dengan pemimpin agama yang lain, mereka pasti akan bersetuju dengan keputusan ini.

Justeru, janganlah ditanya lagi kepada ultra kiasu tentang perkara baik yang mahu dilaksanakan. Teruskan. Saya selaku rakyat marhaen, pasti akan menyokong. Carilah redha Allah, tidak perlu cari redha manusia. Redha Allah pasti akan memenangkan kita buat selama-lamanya, habuan akhirnya syurga, tetapi redha manusia belum tentu.

Biar penat di dunia, rehat di akhirat. Jangan sampai rehat di dunia, penat di akhirat. Paling baik rehat dunia rehat akhirat. Jangan sampai penat dunia, penat akhirat.


Profesor Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah, INSPIRE/PPI, UNISZA

Monday, August 03, 2015

Aku yang dulu bukan sekarang

11:07 AM Posted by RIDHUAN TEE 13 comments
(Sinar Harian, 3.8.15)

Ultra kiasu cauvinis dan ultra kiasu Melayu merasa hairan kenapa saya masih diberikan ruang dan peluang menulis dalam akhbar, berceramah sana sini, masuk dan keluar tv, dan banyak lagi penampilan. Sedangkan isi kandungan ceramah saya sarat dengan perkauman. Rasis katanya. Nak cari perhatian dan populariti.

Hello! Saya sudah dapat perhatian dan popular sejak dahulu lagi. Tak perlu cari publisiti. Saya masih bertahan kini kerana prinsip. Jika tidak, sudah lama tenggelam. Tak payah susah payah berhadapan dengan kejian dan makian ultra kiasu di usia sebegini. Kenapa saya terus agresif? Terus terang, kebenaran mesti ditegakkan. Kejahilan dan kejahatan mesti dibenteras dan dibongkarkan. Terutama ultra kiasu.

Saya hanya berkata benar. Saya tidak akan menyerang jika tidak diserang. Kalau orang lain bebas menulis dan bercakap, kenapa tidak saya? Relaks brother! Kalau tak suka, jangan baca, jangan dengar. Saya mencurahkan nukilan saya kepada orang yang suka baca dan suka dengar. Jika apa yang saya luahkan itu merbahaya, sudah lama polis tidak teragak-agak bertindak.

Saya bukan orang Umno atau jurucakap Umno. Tidak ada siapapun yang melindungi saya. Saya lakukan demi agama, bangsa dan negara. Itu sahaja. Saya warganegara yang belajar dan faham sejarah dan perlembagaan. Jika suatu masa nanti terpaksa masuk penjara, saya redha. Berbaloi rasanya masuk penjara pertahankan yang hak kepada yang berhak, daripada masuk penjara pertahankan musuh Islam.

Saya hidup dalam dua alam. Dididik dalam keluarga jati diri kecinaan. Berada dalam persekitaran kampung penuh kemelayuan (sedikit keIslaman). Saya memahami kesemuanya, walaupun mungkin tidak  mendalam.

Saya kagum dengan kisah Cikgu Wong, 60 tahun, seorang ibu beragama Buddha dari Putatan, Sabah, yang sanggup membesarkan 2 anak Melayu ‘terbuang’ dan kekal sebagai seorang Islam. Terima kasih Cikgu Wong. Andalah ibu 1Malaysia. Sifat anda sukar untuk di cari kalangan ultra kiasu di Semenanjung. Tidak hairan jika perpaduan di sana jauh lebih baik dari di sini. Bahasa Melayu Cikgu pasti hebat.

Tidak seperti ultra kiasu di sini. Walaupun berstatus wakil rakyat, hidup perkauman, tidak mahu berasimilasi, BM tonggang-langgang. Semua ini mengingatkan saya ketika zaman remaja saya, melihat agak ramai penyanyi bukan Melayu menyanyi lagu-lagu Melayu seperti DJ Dave (Irwan Shah), Alley Cats, Kenny, Remy dan Martin, Francisca Peters dan Roy, Andre Goh dan ramai lagi. Mereka ini amat dekat dengan hati dan diri orang orang Melayu. Kenapa hari ini tidak ya?

Bukan kerana tidak ada penyanyi bukan Melayu menyanyi lagu Melayu hari ini.  Ada. Sudah tentu tidak seramai dahululah. Namun, walaupun mereka menyanyi lagu Melayu, tetapi kita tidak berasa mereka ini dekat di hati. Pasal apa?

Jawapan mudah, artis dulu sanggup berasimilasi dan menghayati lagu Melayu tersebut, selain dekat dengan orang Melayu. Mereka seolah-olah seperti orang Melayu. Hari ini susah sangat nak melihat keadaan sebegitu. Menyanyi lagu Melayu semata-mata bagi tujuan komersial atau mendapat duit.

Tidak ada penghayatan langsung terhadap lagu Melayu tersebut. Lagu sekadar hafalan. Sebab itu, kita lihat bila menyanyi, tidak ada penjiwaan. Lagu sedih, mimik muka senyum. Lagu ceria, mimik muka tidak ceria. Itulah ultra kiasu dalam nyanyian.

Justeru, dalam usaha melahirkan rakyat 1Malaysia, mereka mesti menghayati dan sanggup berasimilasi dengan kaum majoriti. Jika terus-menerus mahu mempertahankan identiti bangsa, bahasa dan sekolah masing-masing, sampai matipun kita tidak akan dapat lahirkan rakyat 1Malaysia.

Yang ada, hanya kepura-puraan. Luar lain, dalam lain. Kita hanya berjaya melahirkan pelakon semata-mata. Saya amat bimbang kita akan tertipu. Kita didampingi ketika ada kuasa, ada duit dan ada takhta. Bila semua itu telah tiada, maka hai-hai, bye-bye lah jawabnya.

Sebab itu, saya amat seronok melihat warganegara Thai yang bukan Siam. Asimilasi telah berjaya menampakkan dan menonjolkan keikhlasan mereka. Bila berjumpa raja Siam, terus meniarap, seperti orang Siam. Kita masih terlalu jauh. Mengangkat sembah hormat, jauh sekali. Malah, Raja dihina dan dikutuk. Gelaran dan pangkat tidak malu pula disauk.   

Kita amat teruja dengan slogan perpaduan dalam kepelbagaian (unity in diversity) atau Malaysia truly Asia. Itulah yang dicari dan dimahukan ultra kiasu selama ini. Memang sedap didengar. Sedap juga dijual. Realitinya, kepelbagaian tidak pernah menyatukan kita. Apa yang ada, setiap bangsa pentingkan diri masing-masing. Sentuh sahaja sedikit hak mereka, melenting tak tentu pasal.

Peliknya, bila hak dan identiti orang Melayu tercabut, tidak pula Melayu bising. Bahasa Melayu makin hilang! Sekolah kebangsaan mahu diliberalkan! Tanah rezab Melayu tergadai? Yang tinggal, UiTM dan Sekolah Agama. Itupun terus dipertikai setiap kali bila disentuh hak mereka. 


Akhirnya, yang menjadi mangsa adalah kita. Kita yang terlalu percaya kepada orang lain, lebih dari orang sendiri. Wahai DJ Dave dan Andre Goh, kenapa tidak ramai orang sepertimu sekarang? Aku rindu  lagu ever green, menjelang hari raya.