Semua artikel adalah pendapat peribadi. Anda berhak untuk tidak meneruskan bacaan atau tidak mengakseskan blog ini serta merta jika anda tidak bersetuju dengan pemikirannya. All the articles written are the personal views. You have absolute rights not to continue reading or to discontinue accessing this blog immediately if you are disagreeable with the personal views.

Sunday, May 29, 2016

Ancaman ultra kiasu kepada Islam

10:48 PM Posted by RIDHUAN TEE 5 comments
Ancaman ultra kiasu kepada Islam?

Sinar Harian 30.5.16

Apa-apa sahaja berkaitan dengan hal ehwal Islam, yang tidak ada kaitan langsung dengan bukan Islam, mesti ditentang oleh ultra kiasu sama ada berada dalam Barisan Nasional (BN) atau di luar. Kalau dahulu mereka bersatu dalam senyap. Hari ini menjadi lebih berani, bersatu secara terbuka. Puncanya, mereka tahu umat Islam tidak mungkin bersatu atau  menjadi kuat. Apatah lagi dengan bilangan 50-50, berpecah kepada lebih lima kumpulan. Tidak mustahil 10 kumpulan.

Tidak mustahil satu hari nanti, pribumi tidak memerintah, tetapi diperintah. Bukti-bukti sebegini sudah banyak berlaku kepada negara lain, sama ada kita mahu mengambil pengajaran atau tidak. Janganlah diambil Singapura dan Fiji sebagai contoh, kerana semua sudah sedia maklum. Carilah negara lain, yang saya tidak perlu sebut di sini. 

Akta 355 bagi memperkasakan peranan Mahkamah Syariah yang dibentangkan oleh Presiden Pas, mendapatkan tentangan yang amat hebat daripada ultra kiasu, walaupun tiada kaitan langsung dengan mereka. Orang Islam makan cili, ultra kiasu terasa pedas. Inilah musuh yang sebenar, sama ada berada di dalam atau di luar selimut. Telunjuk lurus kelingling berkait.

Usul itu dibentang bagi meminda Seksyen 2 akta. Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa terhadap orang Islam dan dalam hal-hal kesalahan di bawah perkara yang disenaraikan dalam Butiran 1 Senarai Negeri di bawah jadual kesembilan Undang-Undang Persekutuan.

Ia juga bagi memasukkan Seksyen 2A yang menyebut dalam melaksanakan undang-undang jenayah di bawah seksyen tersebut. Mahkamah Syariah mempunyai hak untuk menjatuhkan hukuman berkaitan kesalahan yang disenaraikan di bawah seksyen berkenaan selain hukuman mati.

Bangunlah wahai umatku! Masihkah kita buta dengan perancangan musuh Islam. Mereka ini kebanyakan Kristian Evengelis. Saya amat yakin masih ramai bukan Islam yang baik-baik yang tidak sehaluan dengan Evengelis ini. Mereka ini kita perlu jaga.

Jika umat Islam tidak berhak ke atas cara hidup dan undang-undnag, apakah lagi yang tinggal kepada umat Islam hari ini? Sudahlah kekayaan ekonomi dibolot oleh orang lain. Sampai ke peringkat nak dapatkan cara hidup sendiri pun tidak dibenarkan.

Apakah mereka sudah lupa bahawa negara ini berasal-usulkan kepada ketuanan Melayu dan Islam? Peliknya, di kalangan kita sebagai umat Islam, tidak ada yang berani melawan ultra kiasu. Ke manakah hilangnya semua telur ini? Jangan jadi pondan.

Kenapa kita boleh menerima cara hidup dan undang-undang barat serta komunis tetapi begitu memandang hina kepada Islam? Pernahkah umat Islam atau pemerintah Islam mengambil hak bukan Islam selama ini? Buktikan kepada saya berapa kes orang Islam menzalimi bukan Islam? Pergilah ke negara Islam, buatlah kajian bagaimana bukan Islam membina empayar kekayaan mereka di negara Islam tanpa diganggu-gugat oleh pihak berkuasa Islam.

Agama Islam sangat jelas dalam hal ini. Kita dilarang sama sekali merampas hak bukan Islam. Hak berekonomi, hak peribadi, hak melakukan ibadat dan berbagai hak lagi. Hatta, nak berjudi dan minum arak, dibenarkan, asalkan tidak menimbulkan mudarat kepada khalayak.

Sehinggakan dalam peperangan sekalipun jika berlaku. Rasulullah menegaskan, jangan lakukan beberapa perkara berikut terhadap bukan Islam. Jangan membunuh orang tua, wanita, kanak-kanak dan memusnahkan rumah ibarat mereka kerana mereka ada hak ke atas itu.

Apa lagi yang bukan Islam mahu? Apakah pernah kita merampaskan kekayaan mereka? Apakah kita pernah merobohkan rumah ibadat mereka tanpa alasan? Fakta membuktikan kekayaan mereka berlipat kali ganda. Begitu juga rumah ibadat mereka. Mereka menguasai ekonomi, orang Melayu masih ramai lagi merempat.

Hari ini kita hanya memohon, benarkan kami sebagai umat Islam, hidup di bawah cara hidup dan undang-undang kami. Itupun tidak dibenarkan. Apakah pribumi perlu meminta izin daripada penghijrah?

Apakah ianya terlalu kuno dan hina? Tidakkah undang-undang barat telah menjadikan manusia lebih hina? Jika tidak kenapa negara China mengharamkan lima media sosial seperti google, instragam, twitter, facebook dan snapchat, kalau bukan mahu nengekang pengaruh barat daripada merosakkan mereka. Kenapa ultra kiasu tidak bantah kerajaan negara China bertindak sedemikian.

Kerajaan kita terlalu baik. Tidak boleh dibayangkan jika kerajaan Malaysia bertindak seperti negara China. Ketika itu akan riuh rendah atau roboh parlimen dengan hiruk-pikuk suara ultra kiasu ini.

Saya bersetuju dengan kata-kata Presiden Pas sebelum ini lebih baik berkawan dengan lembu daripada babi. Ternyata sudah kebenarannya. Apakah kita perlu membaca atau menonton kembali filem animasi babi, Animal farm, karangan George Orwell? Four legs good, two legs bad (or better). All animals are equal, but some animals are more equal than others. Adakah ultra kiasu merasakan mereka lebih superior daripada pribumi?

Justeru, tidak perlulah berdolak-dalih. Berterus teranglah. Jika tidak ada pilihan antara terpaksa memilih lembu dan babi. Jawapannya sudah pasti, Melayu pilih lembu, ultra kiasu memilih babi. Sudah tentunya saya memilih lembu.


Monday, May 23, 2016

Antara kuasa dan keadilan

12:52 PM Posted by RIDHUAN TEE 1 comment
Antara kuasa dan keadilan (Sinar Harian, 23 Mei 2016)

Media sosial dan akhbar ultra kiasu tidak habis-habis mengapi-apikan isu etnik Cina yang tidak dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri (TKM) Sarawak selepas PRN berakhir. Mereka kata KM tidak mengotakan janji. Sedangkan KM tidak pernah berjanji. Justeru, berhati-hatilah ketika berkempen, jangan menjanjikan bulan dan bintang. Bahaya.

Menambahkan satu lagi jawatan TKM, dengan menggubal perlembagaan, bukan penyelesai masalah, malah akan menjadi lebih rumit selepas ini, kerana ia akan menjadi precedence. Akan berlaku tuntut menuntut, walaupun masa yang berjalan mungkin tidak melayakkan sesuatu etnik untuk duduk di kerusi tersebut selama-lamanya.

Sebab itu saya amat memuji etnik Sarawak yang lain, kerana tidak menuntut kerusi TKM. Inilah sifat mulia kerencaman etnik di sana. Dari segi hak, mereka lebih berhak berbanding etnik lain yang berhijrah. Bayangkan jika semua etnik minoriti menuntut jawatan TKM. Berpuluh jawatan TKM perlu disediakan.

Begitu juga daripada aspek bahasa, mereka menerima BM sebagai bahasa utama negara, tidak pernah meminta bahasa dialek mereka dimartabatkan. Jika tidak, lagi cacamerba lagi negara kita. Ultra kiasu tidak sebegitu sifatnya. Mahukan bahasa mereka setaraf dengan bahasa negara.

Sama juga jika ada jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) kedua Malaysia yang mungkin diwujudkan selepas ini. Paling layak adalah bumiputera Sabah Sarawak, bukan etnik lain. Etnik berhijrah sudah terbela nasibnya. Sabah Sarawak memerlukan lebih perhatian berbanding Semenanjung kerana mereka masih ketinggalan, terutama kawasan luar bandar. Berikanlah keadilan kepada mereka.

Cukuplah kita menjadi bahan ketawa dunia. Negara antara paling kecil saiznya di dunia, tetapi mempunyai jawatan kabinet yang begitu banyak. Ini tidak termasuk bilangan raja, mufti, majlis/jabatan agama dan sebagainya, yang membawa semangat dan budaya kenegerian masing-masing, yang kadang kala membawa kesan tidak sihat.

Apa yang penting bukan jawatan tetapi adalah keadilan. Itulah paksi pemerintahan pembentukan tamadun. Saya harap bangsa saya sedar akan hakikat ini. Cukuplah dengan peluang berekonomi yang telah diberikan sehingga menjadi kaya raya, tanpa diambil sedikit pun haknya, berbanding dengan negara ang mengamalkan sistem komunis.

Ketahuilah bahawa kita sudah dapat selayaknya apa yang sepatutnya dapat. Malah sudah dapat lebih pun. Jangan terlalu kemaruk kuasa atau tamak. Seperti kata Almarhum Tunku Abdul Rahman, biarkan orang Melayu menjaga kuasa, orang Cina menjaga bisnes. Ada kuasa, jika disalahgunakan, tidak membawa apa-apa erti.

Bukti-bukti menunjukkan salahgunakan kuasa, rasuah dan sebagainya, boleh menjadikan sesebuah negara itu lumpuh. Keadaan inilah yang menjadi politik Sarawak gawat sebelum ini. Hari ini KM cuba memulihkannya dengan penuh integriti. Sokonglah dia, bukan menuntut jawatan ini dan itu. Jika salah, betulkan! kerana beliau hanya manusia.

Beri peluang kepada KM untuk membantu bumiputera yang masih ketingggalan untuk keluar daripada belenggu kemiskinan. Yakinlah jika kemiskinan dapat dihapuskan pasti Sarawak akan menjadi aman makmur dan kadar jenayah dapat dikurangkan. Orang Cina boleh berniaga dengan senang hati.

Saya fikir KM telah melakukan sesuatu yang adil dengan tidak melantik TKM Sarawak kalangan etnik Cina. Sudah tentu pertimbangan masak telah diberikan. Cukuplah dengan jawatan menteri yang telah diberikan sebagai wakil orang Cina Sarawak. Jangan jadi ultra kiasu seperti parti politik di Semenanjung.

Ingatlah, kuasa sudah terbukti tidak mampu menjaga manusia, tetapi keadilan boleh. Keadilan itu bukan sama rata dan sama rasa, tetapi meletakkan sesuatu pada tempat atau memberikan hak kepada yang berhak.

Dalam konteks negeri Sarawak, siapakah yang lebih berhak dan memerlukan? Sudah tentu bumiputera di sana. Saya mendoakan agar KM dapat melakukan yang terbaik, diikuti dengan anak-anak buah yang dilantiknya.

Adalah diharapkan anak-anak buah yang dilantik itu tidak seperti yang disebut oleh pepatah Cina ini, it is relatively easier to see the Lord of Hell than to handle the little devil that guards Hell. Lebih mudah berjumpa dengan Tuan neraka daripada berhadapan dengan penjaga-penjaga neraka, yang banyak menimbulkan masalah.

Kadangkala nak jumpa orang besar ini sikit punya seksa. Macam-macam alasan diberikan oleh penjaga-penjaga ini, sehingga hampir setahun temujanji tidak kesampaian. 

Benarlah kata orang, sebenarnya menteri atau pembesar itu tidak sombong, yang sombongnya orang keliling-kelalangnya, termasuk PA Menteripun sombong bukan main. Berlagak lebih dari menteri. Inilah yang mencalarkan imej menteri dan kabinet. Cucuk sana cucuk sini, laga sana laga sini. Akhirnya menjadi sesama sendiri bermusuh. Justeru, berhati-hatilah memilih orang sekeliling wahai pembesar dan pak menteri.


Budaya ini begitu berleluasa dalam politik. Setiap daripada mereka memasang cita-cita untuk berkuasa dan lebih berkuasa. Maka penjaga-penjaga inilah yang akan bertindak memastikan agendanya berjaya. Jika untuk kebaikan, saya setuju belaka. Tetapi kadangkala, membawa kepada keadaan yang lebih buruk. Perpecahan semakin ketara, kelemahan dicipta. Musuh mengambil kesempatan setiap masa.

Monday, May 16, 2016

Beza Cina Semenanjung dan Sarawak

6:22 AM Posted by RIDHUAN TEE 1 comment
Beza Cina Semenanjung dan Sarawak (Sinar Harian, 16 Mei 2016)

Sokongan Cina Sarawak kepada pasukan Adenan bukanlah satu perkara yang mengejutkan. Apatah lagi jika bulan dan bintang ditawarkan. Jadi tak payahlah MCA dan Gerakan mencanangkan, jika mahukan sokongan Cina Semenanjung maka ikutilah cara Adenan. Itu ultra kiasu namanya. Sejarah Tanah Melayu ternyata berbeza dengan sejarah Sabah dan Sarawak.

Pembentukan Malaysia 1963 adalah satu rahmat yang perlu dihargai. Dahulu disebut Semenanjung merujuk Malaysia barat, manakala Sabah Sarawak, Malaysia Timur. Demi kesepaduan, diubah kepada Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Cantik. Pun begitu budaya politik antara keduanya masih berbeza.

Kalimah Allah dan Bible Melayu tidak sensitif di Sabah Sarawak, tetapi tidak di Semenanjung. Budaya politik Semenanjung, memerlukan kita memahami hati budi Melayu, kerana Melayu adalah majoriti. Sedangkan di Sarawak tiada kaum yang majoriti, maka semua diraikan.

Sarawak sangat terdedah kepada diversiti dan perlu dihormati. Sebahagian ultra kiasu Semenanjung tidak demikian sifatnya. Terlalu perkauman. Sebab itu, mereka begitu marah kepada Cina Sarawak kerana menolak ultra kiasu. Sehingga mencetuskan pergaduhan di alam siber.

Ultra kiasu tidak pernah puas. Mereka terus menekan mahukan Malaysia bertambah liberal, moderate dan laksanakan sama rata sama rasa. Jika boleh, tidak ada langsung identiti Islam dan Melayu. Saya yakin mereka setuju dengan perkahwinan sejenis Irshad Manji. Perlembagaan yang menekankan soal agama dan kebebasan dilabelkan rasis. Pendek kata, mereka mahu negara ini jadi sekularist, pluralist dan liberalist.

Akhbar dan laman web mereka sering mengutuk mereka yang tidak sehaluan. Editor ultra kiasu akhbar BI minggu lalu tidak semena-mena mengutuk saya, walaupun tema artikelnya berkaitan makanan dan buah-buahan Malaysia. Alahai! rindu sungguh beliau pada saya. Terima kasihlah.

Terbaharu, MCA amat yakin bahawa kerajaan akan mengiktiraf UEC, Sijil Sekolah Persendirian Cina mengikut jejak Sarawak. Bercanggah dengan kenyataan KPT, yang berulang kali mengatakan UEC tidak diterima pakai selagi tidak selari dengan kurikulum kebangsaan seperti terkandung dalam Akta Pendidikan 1996. BM dalam UEC juga tidak setara dengan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan liputan sejarah negara dalam kurikulum sijil berkenaan juga tidak mencukupi.

Mereka cukup seronok jika BM tidak dimartabatkan sebaliknya bahasa lain. Sebab itu, kerajaan Sarawak hendaklah mengkaji semula keputusan lebih mengutamakan BI supaya tindakan itu tidak meruntuhkan pembinaan negara bangsa.
  
Pemimpin perlu mendahulukan proses pembinaan negara bangsa, perpaduan dan identiti negara berbanding kepentingan politik. Jika tidak,  tidak mustahil ia akan membuka ruang untuk tuntutan supaya bahasa lain menjadi bahasa rasmi sedangkan ia jelas bertentangan dengan Perkara 152 Perlembagaan Malaysia.

Ultra kiasu sudah lama mendesak agar BI digunakan sebagai bahasa di parlimen dengan merujuk kepada Artikel 161 Perlembagaan Malaysia mengenai hak ahli Parlimen Sabah dan Sarawak untuk berucap dalam BI di Parlimen.

Perkara 18 & 20 yang dipersetujui ketika Sabah Sarawak membentuk Malaysia hanya memberi kelonggaran kepada Borneo mengekalkan BI selama 10 tahun. Perkara 161 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan selepas 10 tahun pembentukan Malaysia, iaitu pada 1973, penggunaan BM secara otomatik berkuatkuasa di seluruh Persekutuan Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

Pemimpin politik di negara ini seolah-olah tidak serius dalam membina negara sehingga tidak dapat menerima perkara yang menjadi asas bersama. Sudah hampir 60 tahun merdeka, tetapi kita terkapai-kapai mencari jati diri dalam membina negara bangsa kerana terlalu banyak berpolitik.

Kepada pimpinan UMNO, jangan kerana laparkan undi, maka kita korbankan semua perkara asas berkaitan jati diri negara. Pendidikan negara sudah sangat caca merba, termasuk DLP. Sekolah swasta berada di luar kawalan. Subjek sejarah sudah tidak berteraskan sejarah negara. Sekolah swasta bebas mengajar sejarah apa dia suka. Pergilah tengok.

Kenapa susah sangat nak melahirkan rakyat Malaysia seperti Poh Cheong, yang mencintai seni tari Melayu, Chua Yung Qi, suka menyanyi lagu Melayu, di Kota Tinggi, Teo Xiong Kun, yang fasih loghat “den seleso cakap noghori”,  Tan Jun Luan dipanggil Kak Intan di Terengganu dan Yee Xiang Yun, Johor Bahru, pandai tulis dan baca jawi. Chong Chun Hau, guru SJKC Yeow Cheng Lan, Temerloh. Dia tidak disukai oleh sebahagian Cina kerana suka menolong orang Melayu. Tan Ling Hing, Tanah Merah, sehingga dipanggil Jusuh oleh Melayu di sana. Popo, Tan Guan Neo, Melaka,  pastikan cucu Islam puasa dan solat. Semua berita ini ada dalam laman sosial Sinar. Bacalah.


Saya tidak nafikan faktor Adenan membantu BN menang besar. Sejauhmanakah faktor Adenan mampu bertahan? Sama-sama kita nantikan. Semangat kenegerian yang berlebihan tidak baik untuk pembangunan negara bangsa. Sifat ini tidak sesuai dengan Islam. Sebagai negarawan kita perlu utamakan perlembagaan yang menjadi paksi pemerintahan, bukannya sifat kenegerian. 

Monday, May 09, 2016

Belajarlah berterima kasih MCA

10:43 AM Posted by RIDHUAN TEE 3 comments
Belajarlah berterima kasih MCA (Sinar Harian, 9 Mei 2016)

Tidak semena-mena pemimpin ultra kiasu MCA begitu teruja dengan artikel saya minggu lalu. Kenyataan biadabnya mengatakan Perlembagaan Persekutuan rasis belumpun saya ulas.

Sedarlah diri bahawa keberadaan MCA dalam kabinet, menjadi senator dan menjadi kaya raya adalah kerana undi ehsan orang Melayu. Berterimalah kepada Melayu. Jika tidak, berputih mata. Toleransi ini jarang dijumpai di dunia lain.

Jangan hanya kerana beberapa perkara yang memberi keistimewaan kepada Islam, bangsa Melayu (Bumiputera), Raja Melayu dan bahasa Melayu, menjadikan ia gatal punggung. Pergilah cari konsep sama rata sama rasa di negara komunis China jika ada.

Cakap siang pandang-pandang. Jika tidak setuju dengan Perlembagaan yang telah dipersetujui oleh nenek moyang kita semua, melalui kontrak sosial, maka boleh belah. MCA boleh bercakap banyak jika menang menentang ultra kiasu. Jika tidak, lebih baik diam, banyakkan kerja.

Buatlah perbandingan dengan negara lain. Perlindungan terhadap bangsa majoriti atau penduduk asal tetap ada. Thailand melindungi Buddha, Bahasa Siam, dan Raja Siam. Britain melindungi Kristian, sehingga David Cameron mengisytiharkan Britain sebagai negara Kristian.

Apakah Perlembagaan Malaysia buruk sehingga tidak ada kebebasan beragama, bersekolah, berbahasa dan lain-lain? Kebebasan apa lagi yang MCA mahu?  Keputusan mahkamah baru-baru ini banyak merugikan Islam dan Melayu, kami tetap diam.

Apakah rasis apabila orang Cina telah menguasai 70 peratus kekayaan negara ini? Apakah rasis apabila SJKC dibenarkan beroperasi 100 peratus kecinaan sehingga lebih Cina daripada China? Apakah rasis lambakan media cetak, media elektronik, NGO perkauman lebih banyak daripada orang Melayu itu sendiri?  Pendek kata, apa yang Cina tidak dapat di negara ini? MCA lambung isu, DAP sambut, tekan dan desak.

Saya tidak kata semua Cina terbela, saya akan tampil mereka mereka jika mereka tertindas, teraniaya dan dizalimi, kerana ia suruhan Islam,

Pertama, sedarlah MCA dengan peruntukan Islam itulah yang menjadi Melayu lembut dan mudah dibentuk, sehingga terlentuk. Lambakan bukan Melayu di sini adalah disebabkan oleh hati Melayu yang telah dilentur oleh Islam. Bak kata Zahid Hamidi, kerana terlalu bertolak ansur maka Melayu ditolak secara beransur-ansur.

Semakin faham Melayu terhadap agamanya Islam, semakin tinggilah toleransinya terhadap bukan Islam. Allah melarang sama sekali, kita membenci sesama manusia, yang menjadi semua makhluk ini adalah Allah, meskipun berbeza agama, kerana di situ ada tanggungjawab dakwah.

Bayangkan jika Melayu terus jahil tentang agama sejak zaman penghijrahan dahulu. Apakah orang Melayu mahu menerima orang lain yang berhijrah dalam jumlah yang sangat bersar di tanah tumpah airnya? Kenapa tidak dihargai semua ini?

Kedua, siapakah yang paling terkaya daripada 40 orang tersenarai. Hampir 30 adalah orang Cina. Melayu tidak sampai 10 orang. Apakah perlembagaan masih rasis? Cina sangat beruntung lagi, kerana Islam, toleransi Melayu menjadi tinggi. Kerana jahilnya orang Melayu dengan Islam, mereka sanggup digula-gulakan dengan rasuah dengan jawatan pengerusi yang dilantik dalam syarikat-syarikat besar mereka. Dengan rasuah yang diberikan, banyak projek-projek yang lulus walaupun tidak memenuhi syarat. Begitu juga dengan nama-nama syarikat, taman perumahan dan lain-lain yang langsung tidak mencerminkan jatidiri pun diluluskan. Apakah ia masih rasis?

Ketiga, berbekal kefahaman Islam ini, maka lambakan rumah ibadat bukan Islam tidak terkira banyaknya, hampir 500 ribu berbanding dengan masjid yang hanya ada 22 ribu sahaja. Di negara lain, rumah ibadat dirobohkan tanpa banyak bicara memberi laluan pembangunan. Di Malaysia jalan dan bangunan terpaksa dibengkokkan kerana terlalu menjaga agama orang lain, sehingga kelakar dan bahan ketawa. Apakah ia masih rasis?

Keempat, dalam politik, berapa banyak kerusi Melayu terpaksa dikorbankan untuk memberikan laluan kepada bukan Melayu. Kenapa negara kita yang begitu kecil, bilangan ahli kabinet begitu tinggi seramai 35 orang sehingga jadi bahan ketawa dunia. Negara sebesar China pun tidak begitu ramai menteri. Jawapannya, kerana mahu memuaskan hati dan memenuhi kuota semua kaum, walaupun amat minoriti. Sehingga orang Siam pun ada wakil senator. Begitu juga jawatan Yang di-Pertua Dewan Negara terpaksa digilirkan. Mualaf tiada wakil pula. Namun, kami tetap bersyukur dan berterima kasih, kerana inilah ajaran Islam.

Kelima, sebenarnya peruntukan Islam itulah yang memberikan perlindungan kepada bukan Islam. Dengan orang Islam menjadi baik, mereka akan menjaga orang bukan Islam dengan baik. Tidak akan masuk syurga pemimpin Islam jika menganiayai bukan Islam yang baik.

Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa (Surah Al-Maidah: 8).

Sedarlah kamu wahai MCA sebelum orang Islam hilang sabar.

Monday, May 02, 2016

Di manakah warna-warni Islam?

8:40 AM Posted by RIDHUAN TEE 9 comments
Dimanakah warna warni Islam? (Sinar Harian 2.5.16)

Kadangkala sedih melihat organisasi Islam, penuh dengan orang Melayu, seolah-olah tidak ada Cina, India, orang Asli atau Bumiputera Muslim yang layak. Hatta organisasi yang paling dekat dengan mereka selaku asnaf, seperti Institusi Zakat, tidak ada seorang pun mualaf dilantik.

Penuh dengan Melayu berpangkat, orang kaya itu dan ini, Tan Sri, Puan Sri, Dato Datin dan sebagainya, seolah-olah tidak ada mualaf. Jika sekadar pangkat dan gelaran menjadi ukuran kadangkala perompak pun dapat. Pergilah buat kajian.

Sebab itu saya cukup tabik dengan kata-kata Ketua Pemuda UMNO, gelaran dan pangkat akan menjadi kita semakin jauh bukannya semakin rapat jika disalahgunakan.

Jangan haraplah ada mualaf yang akan dilantik ke jawatan tinggi di institusi Islam yang lain seperti Jabatan Agama, Majlis Agama, JAKIM, YADIM dan sebagainya. Usah diimpikan untuk menjadi KSN, KSU, Naib Canselor dan sebagainya. Lebih kelakar lagi, pos pengarah Jabatan agama, khas untuk PTD, sedangkan membaca selawat dan doa pun tidak lepas. Mualaf hanya ditempatkan di bahagian mualaf. Menitis air mata menaip artikel ini.

Hatta, nak buat masjid berseni bina Cina di kawasan Tun Razak Exchange pun menjadi isu besar. Nak cakap perpaduan Islam macam mana? Harap perpaduan Melayu sahajalah.

Saya harapkan wacana perpaduan atau multaqa perpaduan yang akan bersidang tidak lama lagi tidak menjadi agenda Melayu. Ya, Melayu tersepit hari ini dek kerana perpecahan yang tidak dapat dibendung, menjadi nyawa-nyawa ikan. Maka seruan perpaduan pun dilaungkan.

Adakah laungan ini hanya berkumandang ketika tersepit sahaja? Selama  tidak tersepit, mualaf tidak dipandang. Apakah semua mualaf ini bodoh? Bumiputera pun bukan? Bangunlah wahai umatku. Tunjukkan dan raikan warna-warni Islam. Jika tidak, jangan bercakap banyak pasal Islam, memalukan.

Sedarkah kita semua bahawa pengislaman orang Melayu di Alam Melayu dilakukan oleh orang Cina, selain Arab dan India? Teori kedatangan Islam membuktikan segalanya. Cina berjasa besar kepada pengIslaman Melayu, 600 tahun dahulu.

Ingat! Negara China telah menerima Islam lebih 1200 tahun. 1000 tahun lebih daripada orang Melayu. Kerana pendakwah dan pedagang Cinalah orang Melayu menjadi Islam. Jika tidak, mungkin ada lagi Melayu yang masih menyembah pokok. Maka benarlah kata-kata “tuntutlah ilmu walau sampai ke Negara China.

Hari ini tidak perlu buang duit dan tenaga pergi ke China. Melambak orang Cina di Malaysia. Adakah kita belajar daripada mereka? Dalam soal ekonomi? Kesatuan bangsa mereka mempertahankan bahasa jiwa bangsa dan banyak lagi.

Kita tidak pernah mahu belajar daripada Cina, malah asyik marah dan mengutuk Cina. Ya, saya turut mengutuk Cina yang ultra kiasu. Tetapi bagi Cina yang berjaya dan bukan musuh Islam, kita kena belajar daripada mereka. Tetapi kita memandang rendah kepada mereka, terutama Cina mualaf.

Selama lebih 30 tahun menjadi ‘mualaf’ saya tidak pernah meminta-minta. Apa yang ada pada saya hari adalah hasil titik peluh dengan izin Allah SWT.
Ultra kiasu tuduh saya macam-macam dapat habuan itu dan ini kerana menjadi lebih Melayu daripada Melayu. Wal hal saya tidak dapat apa-apapun daripada orang Melayu atau UMNO.

Saya lantang menyuarakan hak Melayu dan Islam sehingga dilarang memasuki Sarawak dan Singapura kerana membela orang Melayu beragama Islam. Dibenci oleh sebahagian Cina dan sumpah seranah mereka. Saya tidak kisah itu semua kerana kita seagama. Jika ditakdirkan Melayu itu tidak Islam, tidak mungkin saya jadi begini.

Cuma kadangkala saya teramat sedih melihat cara kita atau orang Melayu memahami Islam. Bukan mereka tidak nampak, mereka nampak, tetapi buat-buat tidak nampak. Bukan mereka tidak faham, mereka faham, tetapi buat-buat tidak faham. Kuasa dan pangkat adalah segala-galanya walaupun terpaksa memijak orang lain, yang seagama.

Saya adalah antara tumpuan para mualaf mencurahkan perasaan mereka. Berapa ramai yang begitu kecewa apabila mereka dilayan seperti peminta sedekah apabila memohon bantuan zakat.

Apakah duit zakat itu kepunyaan bapak kita? Apabila memungut zakat penuh dengan senyuman. Tetapi apabila ada asnaf datang meminta bantuan, seolah-oleh mereka peminta sedekah. Nak jawab apa depan Allah nanti?

Berbeza dengan organisasi Kristian, mereka tidak teragak-agak melantik Cina Kristian jika terbukti mereka hebat dan layak. Sebab itu janganlah kecewa jika ramai orang Cina memeluk Kristian daripada Islam. Tindakan kita terlalu rasis. Kita cakap banyak mengenai Islam, tetapi tindakan amat kemelayuan. Perpaduan apa yang kita laungkan?

Suatu hari ini saya nak tengok dalam PAS dan UMNO ada orang Cina yang memimpin. MCA janganlah diharapkan, Cina Islam tidak pernah mendapat tempat. Sebut sahaja MCA, pertubuhan ini terlalu rasis sehingga berani mengatakan Perlembagaan Persekutuan rasis.


Akhirnya, saya menyeru kepada kita agar meletakkan Ummatan Wahidah di hadapan, bukannya Melayu, pangkat dan gelaran. Melayu tak ke mana tanpa Islam. Lihatlah Islam daripada kaca mata yang luas, bukan bangsa.