Semua artikel adalah pendapat peribadi. Anda berhak untuk tidak meneruskan bacaan atau tidak mengakseskan blog ini serta merta jika anda tidak bersetuju dengan pemikirannya. All the articles written are the personal views. You have absolute rights not to continue reading or to discontinue accessing this blog immediately if you are disagreeable with the personal views.

Monday, May 02, 2016

Di manakah warna-warni Islam?

8:40 AM Posted by RIDHUAN TEE 9 comments
Dimanakah warna warni Islam? (Sinar Harian 2.5.16)

Kadangkala sedih melihat organisasi Islam, penuh dengan orang Melayu, seolah-olah tidak ada Cina, India, orang Asli atau Bumiputera Muslim yang layak. Hatta organisasi yang paling dekat dengan mereka selaku asnaf, seperti Institusi Zakat, tidak ada seorang pun mualaf dilantik.

Penuh dengan Melayu berpangkat, orang kaya itu dan ini, Tan Sri, Puan Sri, Dato Datin dan sebagainya, seolah-olah tidak ada mualaf. Jika sekadar pangkat dan gelaran menjadi ukuran kadangkala perompak pun dapat. Pergilah buat kajian.

Sebab itu saya cukup tabik dengan kata-kata Ketua Pemuda UMNO, gelaran dan pangkat akan menjadi kita semakin jauh bukannya semakin rapat jika disalahgunakan.

Jangan haraplah ada mualaf yang akan dilantik ke jawatan tinggi di institusi Islam yang lain seperti Jabatan Agama, Majlis Agama, JAKIM, YADIM dan sebagainya. Usah diimpikan untuk menjadi KSN, KSU, Naib Canselor dan sebagainya. Lebih kelakar lagi, pos pengarah Jabatan agama, khas untuk PTD, sedangkan membaca selawat dan doa pun tidak lepas. Mualaf hanya ditempatkan di bahagian mualaf. Menitis air mata menaip artikel ini.

Hatta, nak buat masjid berseni bina Cina di kawasan Tun Razak Exchange pun menjadi isu besar. Nak cakap perpaduan Islam macam mana? Harap perpaduan Melayu sahajalah.

Saya harapkan wacana perpaduan atau multaqa perpaduan yang akan bersidang tidak lama lagi tidak menjadi agenda Melayu. Ya, Melayu tersepit hari ini dek kerana perpecahan yang tidak dapat dibendung, menjadi nyawa-nyawa ikan. Maka seruan perpaduan pun dilaungkan.

Adakah laungan ini hanya berkumandang ketika tersepit sahaja? Selama  tidak tersepit, mualaf tidak dipandang. Apakah semua mualaf ini bodoh? Bumiputera pun bukan? Bangunlah wahai umatku. Tunjukkan dan raikan warna-warni Islam. Jika tidak, jangan bercakap banyak pasal Islam, memalukan.

Sedarkah kita semua bahawa pengislaman orang Melayu di Alam Melayu dilakukan oleh orang Cina, selain Arab dan India? Teori kedatangan Islam membuktikan segalanya. Cina berjasa besar kepada pengIslaman Melayu, 600 tahun dahulu.

Ingat! Negara China telah menerima Islam lebih 1200 tahun. 1000 tahun lebih daripada orang Melayu. Kerana pendakwah dan pedagang Cinalah orang Melayu menjadi Islam. Jika tidak, mungkin ada lagi Melayu yang masih menyembah pokok. Maka benarlah kata-kata “tuntutlah ilmu walau sampai ke Negara China.

Hari ini tidak perlu buang duit dan tenaga pergi ke China. Melambak orang Cina di Malaysia. Adakah kita belajar daripada mereka? Dalam soal ekonomi? Kesatuan bangsa mereka mempertahankan bahasa jiwa bangsa dan banyak lagi.

Kita tidak pernah mahu belajar daripada Cina, malah asyik marah dan mengutuk Cina. Ya, saya turut mengutuk Cina yang ultra kiasu. Tetapi bagi Cina yang berjaya dan bukan musuh Islam, kita kena belajar daripada mereka. Tetapi kita memandang rendah kepada mereka, terutama Cina mualaf.

Selama lebih 30 tahun menjadi ‘mualaf’ saya tidak pernah meminta-minta. Apa yang ada pada saya hari adalah hasil titik peluh dengan izin Allah SWT.
Ultra kiasu tuduh saya macam-macam dapat habuan itu dan ini kerana menjadi lebih Melayu daripada Melayu. Wal hal saya tidak dapat apa-apapun daripada orang Melayu atau UMNO.

Saya lantang menyuarakan hak Melayu dan Islam sehingga dilarang memasuki Sarawak dan Singapura kerana membela orang Melayu beragama Islam. Dibenci oleh sebahagian Cina dan sumpah seranah mereka. Saya tidak kisah itu semua kerana kita seagama. Jika ditakdirkan Melayu itu tidak Islam, tidak mungkin saya jadi begini.

Cuma kadangkala saya teramat sedih melihat cara kita atau orang Melayu memahami Islam. Bukan mereka tidak nampak, mereka nampak, tetapi buat-buat tidak nampak. Bukan mereka tidak faham, mereka faham, tetapi buat-buat tidak faham. Kuasa dan pangkat adalah segala-galanya walaupun terpaksa memijak orang lain, yang seagama.

Saya adalah antara tumpuan para mualaf mencurahkan perasaan mereka. Berapa ramai yang begitu kecewa apabila mereka dilayan seperti peminta sedekah apabila memohon bantuan zakat.

Apakah duit zakat itu kepunyaan bapak kita? Apabila memungut zakat penuh dengan senyuman. Tetapi apabila ada asnaf datang meminta bantuan, seolah-oleh mereka peminta sedekah. Nak jawab apa depan Allah nanti?

Berbeza dengan organisasi Kristian, mereka tidak teragak-agak melantik Cina Kristian jika terbukti mereka hebat dan layak. Sebab itu janganlah kecewa jika ramai orang Cina memeluk Kristian daripada Islam. Tindakan kita terlalu rasis. Kita cakap banyak mengenai Islam, tetapi tindakan amat kemelayuan. Perpaduan apa yang kita laungkan?

Suatu hari ini saya nak tengok dalam PAS dan UMNO ada orang Cina yang memimpin. MCA janganlah diharapkan, Cina Islam tidak pernah mendapat tempat. Sebut sahaja MCA, pertubuhan ini terlalu rasis sehingga berani mengatakan Perlembagaan Persekutuan rasis.


Akhirnya, saya menyeru kepada kita agar meletakkan Ummatan Wahidah di hadapan, bukannya Melayu, pangkat dan gelaran. Melayu tak ke mana tanpa Islam. Lihatlah Islam daripada kaca mata yang luas, bukan bangsa.  

9 comments:

KAW said...

Assalamualaikum w.b.t

Bila Prof sebut tentang PAS....saya cadangkan lebih baik PAS jalinkan hubungan baik dengan persatuan2 mualaf seperti Persatuan Cina/India Muslim jika ada....ataupun bukak keahlian PAS kepada para mualaf...

Anonymous said...

Amat bersetuju dengan hujah ini. Berlandaskan fakta dan apa yang sedang berlaku. Semoga dapat memperingati saya sendiri dan umat semua

JC said...

Such a hypocrite. You are part of the cause for what you are talking about. Who created the term "ultra kiasu"? You cannot claim to be a victim when you are part of the cause.

Firstly as an academic you would have at least did some research before making your statement. There are approximately 1% of chinese in Malaysia who are muslims, The Malay population is approximately 2-3 times the chinese population, this would result in chinese muslims being only 0.3-0.5% of the malay population. Even from statistics alone seeing one at the top of the organization is incredibly low. Use some logic.

And how amazing is that you ask for chinese to be leading in UMNO. Can a chinese even join UMNO?

Another question is are you asking for equal rights for chinese muslims with malay muslims? Are you challenging the "bumiputra" concept that you have been defending all this while?

When can you move beyond race and religion and just be a decent Malaysian?

Anonymous said...

Salam Ustaz RTA

Masjid Muhammadiah (Masjid Cina) Ipoh :

Berlaku pertelingkahan antara Masjid yang dipilih secara ramai dengan Persatuan Cina Muslim (MACMA) membawa kepada berlakunya demonstrasi aman (w/pun saya tidak bersetuju dgn demo ini).

Kenapa berlaku?. MACMA telah menggunakan MAIPk membatalkan lantikan AJK masjid yang dibuat secara undi (demokrasi) dengan meletakkan seluruh AJK Masjid di monopoli oleh MACMA.

MACMA dengan dengan pengaruhnya telah meminta MAIPk membatalkan pembentukan jawatankuasa masjid dan seterusnya menuntut 100% pentadbiran masjid serta peruntukan diserahkan kepada MACMA!

Bukan sebab orang Melayu ingin memonopoli semua jawatan tetapi hakikatnya yang mengimarahkan masjid berkenaan adalah terdiri dari kariah yang majoritinya adalah orang Melayu. Muka-muka ahli MACMA kebanyakan tidak tinggal dikariah ini dan hanya nampak pada acara-acara tertentu sahaja. Sekali pandang kelihatan bahawa orang melayu lah yang tamak jawatan tetapi hakikatnya dari jawatan imam sehinggalah yang mencuci tandas masjid adalah orang Melayu!

Walaupun majoriti melayu tetapi telah ada persefahaman sebelum ini bahawa kariah bersetuju kalau pengerusi MACMA, Melayu jadi timbalan, Bendahari MACMA, melayu timbalan begitulah perkongsiannya tetapi yang terkini MACMA mahu semua!

Apa yang berlaku kelihatannya macam melayu lah yang bersalah.

Pak Mat Tong Tang

Anonymous said...

Dalam hal jawatan jangan kita main serkap jarang. Banyak mualaf yang pegang jawatan tinggi dalam kerajaan. Bekas Ketua pengarah JPS pun mualaf. Dalam PDRM ada ramai mualaf yang memegang jawatan penting!. Lupakah tuan pada Allahyarham Tan Sri Omar YL Ong.(sekadar menyebut beberapa mualaf) Tuan sendiri pun berjawatan Profesor. Jadi tak perlu menitikkan air mata dan kita harus selalu bersyukur.

Maaf ya, pak ustaz

Anonymous said...

Salam Prof.

Tahukah kenapa Allah Taala pilih bahawa kalau Bangsa Melayu ianya mesti Islam?

Anonymous said...

Yang ni saya tak bersetuju dengan Dr. Mengapa sampai hina bangsa Melayu sembah pokok? Apakah dengan ini anggapannya bangsa Melayu waktu tu duduk atas pokok? Sama dengan stereotaip yang diberikan oleh penjajah. Nampak sangat sikap warisan dari Tanah Besar China.

Penjelasan mudah daripada fb Srikandi
"kenyataan kalau pedagang Cina tak bawa Islam kepada orang Melayu, hari ini orang Melayu sembah pokok. Ini salah, sebab pada tahun 718 Masehi, seorang emperor Melayu dari Kerajaan Srivijaya telah menghantar surat kepada Khalifah Umar Abd Aziz dari Kerajaan Umayyah untuk menghantar seseorang yang boleh menunjukkannya tentang Islam. Masa ini sami Cina dan Tibet sendiri belajar agama Buddha dari pendeta Melayu, salah seorangnya bernama Dharmakirti. Malah ajaran Buddha yang dipelajari tu bukan takat 'fardhu ain' je, tapi jurus kerohanian yakni Tantra Buddha level tinggi."
Ada penjelasannya secara akademik.

Sebab itu kita tidak hairan jika China sendiri menganggap Laut China Selatan (LCS) sebagai milik dia hanya sebab ada nama China pada laut itu sedangkan sepatutnya laut itu bernama Laut Champa! Nak kata LCS sebahagian empayar pun tak boleh sebab Laksaman Cheng Ho cuma lalu sahaja. Sikap tamak, angkuh dan besar diri yang dibawa dari Tanah Besar China ke Tanah Melayu kecuali bagi yang sedia berintegrasi dengan peribumi atau yang beragama Islam sama seperti anutan majoriti peribumi Tanah Melayu.

Anonymous said...

Tiada gunanya Islam tapi jauh dari Islam.
Tiada guna kita ada kitab Al Quran tapi jauh dari Al Quran.

Ini sekadar fikiran saya..mungkin... Patutlah Al Quran berada di tangan seperti orang Melayu, orang Arab. Ada kitab pun masih lagi mundur inikan pula tiada kitab, tak tau lah apa jadi nanti.

Di tangan ada kitab tapi tidak di baca, sekadar hiasan di rumah, dilagu2kan tanpa faham dan hayati maknanya, ditandingkan dlm tilawah Al Quran untuk pingat. Itu sahajakah???

Orang bukan Islam seperti di barat tiada kitab Al Quran dan mungkin tak pernah baca pun tapi mereka lebih amalkan petunjuk dlm Al Quran walaupun ditangan mereka tiada kitab itu. Dan mereka lebih berjaya. Bukanlah sy nak kata mereka tak ada sorang langsung baca kitab itu malah mereka siap buat kajian lg walaupun bukan islam.

Umat Islam banyak menyeleweng dari ajaran yg sebenar. Dan terjemahan yg salah.

Bila dihayati Al Quran siapakah kafir sebenarnya kita atau mereka? Apa yg sy nampak secara umum merekalah yg islam kitalah yg kafir walaupun kita di Mykad tertera Islam dan di tangan ada Al Quran. Malulah dengan Allah rupa2nya golongan kita yg kafir.

Anonymous said...

Tiada makna dua kalimah syahadah jika hati, fikiran dan perbuatan seperti orang yg kufur.