Beza Cina
Semenanjung dan Sarawak (Sinar Harian, 16 Mei 2016)
Sokongan Cina Sarawak kepada pasukan Adenan
bukanlah satu perkara yang mengejutkan. Apatah lagi jika bulan dan bintang
ditawarkan. Jadi tak payahlah MCA dan Gerakan mencanangkan, jika mahukan
sokongan Cina Semenanjung maka ikutilah cara Adenan. Itu ultra kiasu namanya.
Sejarah Tanah Melayu ternyata berbeza dengan sejarah Sabah dan Sarawak.
Pembentukan Malaysia 1963 adalah satu rahmat yang
perlu dihargai. Dahulu disebut Semenanjung merujuk Malaysia barat, manakala
Sabah Sarawak, Malaysia Timur. Demi kesepaduan, diubah kepada Semenanjung,
Sabah dan Sarawak. Cantik. Pun begitu budaya politik antara keduanya masih
berbeza.
Kalimah Allah dan Bible Melayu tidak sensitif di Sabah
Sarawak, tetapi tidak di Semenanjung. Budaya politik Semenanjung, memerlukan
kita memahami hati budi Melayu, kerana Melayu adalah majoriti. Sedangkan di Sarawak
tiada kaum yang majoriti, maka semua diraikan.
Sarawak sangat terdedah kepada diversiti dan perlu
dihormati. Sebahagian ultra kiasu Semenanjung tidak demikian sifatnya. Terlalu
perkauman. Sebab itu, mereka begitu marah kepada Cina Sarawak kerana menolak ultra
kiasu. Sehingga mencetuskan pergaduhan di alam siber.
Ultra kiasu tidak pernah puas. Mereka terus
menekan mahukan Malaysia bertambah liberal, moderate dan laksanakan sama rata
sama rasa. Jika boleh, tidak ada langsung identiti Islam dan Melayu. Saya yakin
mereka setuju dengan perkahwinan sejenis Irshad Manji. Perlembagaan yang
menekankan soal agama dan kebebasan dilabelkan rasis. Pendek kata, mereka mahu
negara ini jadi sekularist, pluralist dan liberalist.
Akhbar dan laman web mereka sering mengutuk mereka
yang tidak sehaluan. Editor ultra kiasu akhbar BI minggu lalu tidak semena-mena
mengutuk saya, walaupun tema artikelnya berkaitan makanan dan buah-buahan
Malaysia. Alahai! rindu sungguh beliau pada saya. Terima kasihlah.
Terbaharu, MCA amat yakin bahawa kerajaan akan
mengiktiraf UEC, Sijil Sekolah Persendirian Cina mengikut jejak Sarawak. Bercanggah
dengan kenyataan KPT, yang berulang kali mengatakan UEC
tidak diterima pakai selagi tidak selari dengan kurikulum kebangsaan seperti
terkandung dalam Akta Pendidikan 1996. BM dalam UEC juga tidak setara
dengan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan liputan sejarah negara dalam
kurikulum sijil berkenaan juga tidak mencukupi.
Mereka cukup seronok jika BM tidak dimartabatkan sebaliknya
bahasa lain. Sebab itu, kerajaan Sarawak hendaklah mengkaji semula keputusan lebih
mengutamakan BI supaya tindakan itu tidak meruntuhkan pembinaan negara bangsa.
Pemimpin perlu mendahulukan proses pembinaan negara bangsa,
perpaduan dan identiti negara berbanding kepentingan politik. Jika tidak, tidak mustahil ia akan membuka ruang untuk
tuntutan supaya bahasa lain menjadi bahasa rasmi sedangkan ia jelas bertentangan
dengan Perkara 152 Perlembagaan Malaysia.
Ultra kiasu sudah lama mendesak agar BI digunakan sebagai
bahasa di parlimen dengan merujuk kepada Artikel 161 Perlembagaan Malaysia
mengenai hak ahli Parlimen Sabah dan Sarawak untuk berucap dalam BI di Parlimen.
Perkara 18 & 20 yang dipersetujui ketika Sabah Sarawak membentuk
Malaysia hanya memberi kelonggaran kepada Borneo mengekalkan BI selama 10
tahun. Perkara 161 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan selepas
10 tahun pembentukan Malaysia, iaitu pada 1973, penggunaan BM secara otomatik
berkuatkuasa di seluruh Persekutuan Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.
Pemimpin politik di negara ini
seolah-olah tidak serius dalam membina negara sehingga tidak dapat menerima
perkara yang menjadi asas bersama. Sudah hampir 60 tahun merdeka, tetapi
kita terkapai-kapai mencari jati diri dalam membina negara bangsa kerana
terlalu banyak berpolitik.
Kepada pimpinan UMNO, jangan kerana laparkan undi,
maka kita korbankan semua perkara asas berkaitan jati diri negara. Pendidikan
negara sudah sangat caca merba, termasuk DLP. Sekolah swasta berada di luar
kawalan. Subjek sejarah sudah tidak berteraskan sejarah negara. Sekolah swasta
bebas mengajar sejarah apa dia suka. Pergilah tengok.
Kenapa susah sangat nak melahirkan rakyat Malaysia
seperti Poh Cheong, yang mencintai seni tari Melayu, Chua Yung Qi, suka
menyanyi lagu Melayu, di Kota Tinggi, Teo Xiong Kun, yang fasih loghat “den
seleso cakap noghori”, Tan Jun Luan dipanggil
Kak Intan di Terengganu dan Yee Xiang Yun, Johor Bahru, pandai tulis dan baca
jawi. Chong Chun Hau, guru SJKC Yeow Cheng Lan, Temerloh. Dia tidak disukai
oleh sebahagian Cina kerana suka menolong orang Melayu. Tan Ling Hing, Tanah
Merah, sehingga dipanggil Jusuh oleh Melayu di sana. Popo, Tan Guan Neo,
Melaka, pastikan cucu Islam puasa dan
solat. Semua berita ini ada dalam laman sosial Sinar. Bacalah.
Saya tidak nafikan faktor Adenan membantu BN
menang besar. Sejauhmanakah faktor Adenan mampu bertahan? Sama-sama kita
nantikan. Semangat kenegerian yang berlebihan tidak baik untuk pembangunan
negara bangsa. Sifat ini tidak sesuai dengan Islam. Sebagai negarawan kita
perlu utamakan perlembagaan yang menjadi paksi pemerintahan, bukannya sifat
kenegerian.
1 comments:
satu pandangan yang sangat bernas. terima kasih dr ridhuan tee abdullah
Post a Comment