Semua artikel adalah pendapat peribadi. Anda berhak untuk tidak meneruskan bacaan atau tidak mengakseskan blog ini serta merta jika anda tidak bersetuju dengan pemikirannya. All the articles written are the personal views. You have absolute rights not to continue reading or to discontinue accessing this blog immediately if you are disagreeable with the personal views.

Sunday, April 27, 2014

Jangan jadikan musuh kawan lawan kawan

10:58 PM Posted by RIDHUAN TEE 32 comments
(Sinar Harian 28.04.14)

Bercakap tentang harimau, menjadikan saya teringat sifat-sifat binatang Zodiak Cina ini, antara yang amat dibanggakan, termasuk naga. Ramai beranggapan, apabila ibu harimau telah pergi, anak-anak harimau akan bertempiaran, mencari tempat berpaut dan mungkin  tidak akan mengaum lagi. Ternyata, sangkaan itu salah. 

Anak-anak harimau yang ditinggalkan, semakin cepat dewasa. Malah, taringnya semakin tajam dan panjang. Ngaumannya semakin kuat. Serangannya, malah lebih dahsyat dari dahulu. Langsung tidak takut kepada rakan sezodiaknya iaitu naga yang selalu dikaitkan dengan keturunan raja. Dalam kes ini saya merujuk kepada orang Melayu.

Kita ingatkan bila anak harimau kehilangan ibu, ia akan menjadi jinak. Rupanya tidak. Malah, sentiasa menunggu peluang membaham mangsanya, termasuk naga. 

Inilah realiti politik di Malaysia. Nasib Melayu di bumi Melayu. Musuh menjadi kawan, meskipun dia tahu musuh itu berniat jahat. Kawan yang sepatutnya menjadi kawan terus dilawan, walaupun dia tahu kawan tersebut boleh dibelai dan seterusnya dikawani, agar menjadi akrab. Lebih menakutkan lagi, kita sanggup menjadikan musuh kawan untuk melawan kawan. 

Persoalannya, sampai bila mahu berpolitik bodoh seperti ini? Menunggu kawan jatuh, kemudian bersama-sama musuh menghenyak dan menghentak kawan sehingga tidak boleh bangun lagi. Saya tidak nafikan kawan ini perlu ditegur dan perlu diberikan pengajaran. Tetapi janganlah sampai sanggup membunuh kawan, kerana kita tetap seagama. Kawan masih positif dengan hudud.

Berbanding dengan harimau yang langsung tidak berubah pendirian terhadap hudud. Bukan itu sahaja, apa jua yang perkara untuk mendaulatkan Islam, harimau tidak pernah bersetuju. Negara ini mesti kekal sekular. Peliknya kenapa kita masih tidak kenal musuh ini? Kita terus bersangka baik, sedangkan mereka sentiasa bersangka buruk terhadap kita (hudud).

Amat dangkal sekiranya kita berkata, harimau hanya menentang hudud kerana perlaksanaannya bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Tidakkah kita sedar bahawa selama ini, ibu harimau dan kuncu-kuncunya begitu kuat menentang semua perkara berkaitan dengan Islam. 

Misalnya, kedudukan mahkamah syariah, pengislaman anak-anak di bawah umur, menggalakkan seks bebas dengan menyokong tindakan Comango dan banyak lagi. 

Rakan sebantal harimau, berkata mereka hendak mengkaji dahulu hudud PAS. Apa yang perlu dikaji? Nampak sangat mereka tidak percaya kepada PAS. Tidakkah mereka sedar, di dalam PAS penuh dengan ulamak. Sedangkan dalam pakatan ini penuh dengan bekas ahli UMNO dan golongan sosialis sekularis yang sentiasa menunggu peluang untuk menjadi menteri jika berjaya menguasai Putrajaya?

Saya bukanlah pakar dalam bidang perundangan Islam, tetapi saya serahkan perkara ini kepada yang pakar. Sama ada hudud berjaya atau tidak, biar Allah yang menentukan. Apa yang penting kita bersangka baik dahulu. Ini tidak, belum apa-apa lagi sudah bersangka buruk

Ketika kita memilih sistem demokrasi dahulu, kenapa kita tidak bersangka buruk? Kenapa kita menerima bulat-bulat? Adakah demokrasi lebih baik daripada Islam? 

Baik atau buruk, kita yang menilai. Apakah kita tidak sedar bahawa sistem demokrasi telah menghancurkan tamadun manusia? Manusia sudah tidak berakhlak seperti manusia, tetapi sudah menjadi seperti haiwan kerana mahukan kebebasan melampau. 

Atas nama demokrasi, mereka mahukan kita menghalalkan seks bebas, hubungan sesama jantina dan sebagainya. Kenapa kita masih memilih demokrasi? Kenapa jika ada satu sistem yang agak berbeza, yang menjadi alternatif dan mahu menyelamatkan manusia, kita begitu beriya-iya menentang?

Saya menyarankan orang Melayu agar mengambil iktibar daripada harimau yang menjadi kepercayaan orang Cina. Harimau merupakan haiwan yang dikenali sebagai berani, garang dan ditakuti. Harimau mewakili simbol sifat dan tenaga kewanitaan Yin, yang berlawanan dengan semangat simbol kejantanan Yang iaitu naga. 

Orang Cina beranggapan bahawa naga merupakan simbol Diraja, manakala harimau adalah simbol ketenteraan yang tertinggi mewakili semangat tidak gentar dan kejayaan. Kekuatan dan kehebatan harimau banyak mempengaruhi gerakan-gerakan dalam ilmu kungfu.

Masyarakat Cina suka kepada harimau kerana personaliti yang licik. Harimau suka berterus-terang, tidak dapat dijangka dan menarik, pandai di dalam menyusun strategi dan taktik. Selalunya mempunyai agenda tersembunyi. Penuh dengan syak wasangka. 

Pada masa sama, harimau juga mempunyai jiwa yang penakut dan mudah panik. Ada kepercayaan bahawa harimau sebenarnya sangat menghindari manusia yang berani dan tegas seperti naga. 

Bagi harimau, bertemu atau melihat manusia adalah suatu kesialan. Dengan bertemu dengan manusia, harimau-harimau itu akan bernasib sial. Selama berminggu-minggu ia akan kesulitan mendapatkan mangsa untuk makan. Maka, harimau yang panik itu akan memangsa manusia, agar kesialannya hilang.


Manusia itu adalah kita yang beragama Islam, yang tidak mustahil dianggap soal. Apakah kita masih terus mahu bersangka baik dan terus menjadi musuh itu kawan untuk melawan kawan? Sedarlah wahai umatku! Bangunlah dari tidurmu sebelum terlambat.  

Monday, April 21, 2014

Fenomena asatizah segera

10:40 AM Posted by RIDHUAN TEE 11 comments
(Sinar Harian 21.4.14)

Kebelakangan ini, malah sebelum ini lagi, sering kedengaran perkara yang pelik-pelik yang dibangkitkan oleh selebriti agamawan segera, yang naik mendadak, berikutan publisiti media, program realiti tv serta penampilan yang dibuat-buat atau ‘over’ bagi menarik perhatian.

Ada yang kerjanya mengkafirkan orang. Orang lain semua tidak betul, dia sahaja yang betul. Tidak kurang pula memberikan pendapat yang pelik tanpa melakukan penyelidikan atau rujukan lebih mendalam.

Lebih teruk lagi, ada yang membawa cerita Israeliat, cerita tidak masuk akal, semata-mata untuk menarik perhatian orang ramai dan menjadikan mereka  menangis. Lebih menyeramkan ada yang buat-buat suara ‘gatal’ dan mendayu-dayu. 

Lebih dahsyat lagi, ada sudah berani ‘demand’  dengan meletakkan sekian harga untuk ceramah yang ‘biasa-biasa je’. Kami yang lama inipun tidak sebegitu berani. Pendek kata, macam-macam perkara dilakukan untuk menjadikan dirinya popular dan bergelar selebriti 

Terbaharu, ada kalangan mereka yang terlebih berani memberikan pandangan mengenai Bani Tamim, kononnya terdiri daripada kalangan orang Melayu atau merujuk kepada Tanah Melayu, hasil kombinasi huruf ‘ta’ dan ‘mim’. Saya begitu terkejut sekali. Ini belum lagi kontroversi menghalalkan darah Ikhwanul Muslimin, pimpinan Mohamed Morsi, dengan menyokong tindakan kejam zalim Abdel Fattah al-Sissi, di Mesir. 

Sebelum ini, ajaran kumpulan al-Arqam yang dipimpin oleh Ashaari juga mendakwa sedemikian sehingga melahirkan pengikut mereka menjadi begitu  fanatik, seperti ajaran syiah. Akibatnya, kerajaan telah mengharamkan ajaran ini.

Adakah mereka yang membangkitkan perkara ini adalah juga saki baki pengikut fanatik kumpulan Arqam. Wallahua’lam. Mohon Jabatan Agama dan JAKIM buat pemantauan. 

Kontroversi isu ini menjadikan saya berminat untuk membuat pembacaan mendalam mengenai Bani Tamim. Hasilnya, saya tidak berani untuk membuat kesimpulan atau menyokong mana-mana teori yang dikemukakan. Ini kerana, ia memerlukan kajian mendalam dan pengkhususan. 

Kita tidak boleh begitu obsess membuat kesimpulan simplistik. Apatah lagi untuk mengaitkan dengan huruf ‘ta’ dan ‘mim’. Justeru, nasihat saya kepada adik-adik asatizah ‘segera’ ini, jangan terlalu obses untuk menjadi selebriti, sabar. Latih diri dahulu dengan permainan politik lensa.  

Kurangkan bercakap jika ia bukan bidang kita. Ini bukan bermakna, mereka yang bukan bidang, tidak boleh bercakap tentang Islam. Boleh. Tetapi perkara-perkara yang melibatkan pengkhususan, perlu merujuk kepada pakar.

Tidak boleh memberi pendapat semborono. Akhirnya menjadi bahan ketawa dan menjatuhkan imej serta reputasinya sendiri. Kemudian, terhegeh-hegeh untuk membela diri. 

Saya bukanlah berlatar belakangnya agama seperti asatizah yang lain, apatah untuk menjadi pakar, kecuali dalam bidang saya. Lagipun, saya ini hanya mualaf sahaja. Namun, saya sentiasa sentiasa berhati-hati ketika mengeluarkan pandangan. 

Untuk lebih selamat, saya ingin cadangkan beberapa perkara. Pertama, buat penyelidikan dan pembacaan mendalam dahulu sesuatu fakta. Jangan hanya dengar sebelah pihak. Pandangan guru (sheikh) ini dan itu. 

Jika tidak tahu, bertanya kepada yang tahu dan pakar. Kita tidak boleh bercakap semua bidang. Paling selamat, jawablah, “saya tidak tahu, tanyalah kepada yang pakar”. 

Kedua, sambung mengaji ke peringkat yang lebih tinggi. Buat pengkhususan dalam bidang tersendiri. Menjadi pakar dalam pakar sepertil ilmu perubatan. Ini tidak, semua perkara mahu bercakap.  

Bagi yang tiada ijazah atau gagal mendapat ijazah, berpada-pada apabila bercakap atau menulis. Bukan apa, bila mendengar ceramah yang penuh dengan cerita tidak masuk akal atau cerita pelik-pelik, Nampak sangat orang sebegini tidak mengaji, kemudian mengaku mendapat ijazah dari al-Azhar.

Ketiga, kadangkala kita terlalu taksub dengan pandangan mereka yang mengaku dirinya keturunan Rasulullah SAW. Benar, tidak dinafikan keturunan nabi itu adalah mulia dan hebat. Kita sayang kepada keturunan Nabi.

Namun, ia tidak boleh terhenti sekadar keturunan. Keturunan Nabi mesti disertai dengan akhlak mulia dan jejak langkah Nabi. Saya masih teringat seorang keturunan Syed mengaku dia keturunan Nabi, sanggup mendera dan menceraikan isterinya mualaf Cina yang dikahwininya sekian lama, hanya kerana setelah mendapati dirinya keturunan Nabi dan mulia, maka dia tidak layak untuk berkahwin dengan mualaf Cina. Maka, diceraikanlah isteri tuanya dan dicari isteri baru bernama Sharifah.

Ingat, tidak semesti keturunan Rasulullah semuanya baik-baik dan bakal penghuni syurga. Naik muak juga apabila pendakwah dari seberang yang sedang aktif berdakwah di negara kita, maka dibesar-besarkan isu beliau adalah keturunan Nabi. 

Ramai keturunan syed dan sharifah yang saya kenali, perangai dan akhlak mereka tidak macam Nabi. King Jordan juga keturunan Nabi, tetapi menjadi tali barut Yahudi.

Imam As-Shafie pernah berpesan, yang berbunyi, apabila seseorang baru belajar tergesa-gesa ke hadapan (kerana mahu menjadi tokoh),  maka akan terluput daripadanya ilmu yang banyak.

Tidak ada masalah untuk beraksi di media, malah ia amat dituntut dalam perjalanan dakwah moden hari ini. Tetapi cerminlah diri dahulu, kemudian barulah beraksi. 


Monday, April 14, 2014

Apa sudah jadi dengan Parlimen?

7:50 AM Posted by RIDHUAN TEE 9 comments


(Sinar Harian 14.1.2014)

Saya masih ingat lagi ketika menjadi pelajar suatu masa dahulu, malah sehingga kini, untuk memasuki kawasan parlimen, dikenakan syarat-syarat yang begitu ketat. Jika lelaki, pakaiannya adalah lounge suit dan bertali leher, baju kemeja lengan panjang dan bertali leher, baju batik lengan panjang, baju Melayu lengkap bersamping dan bersongkok, seluar panjang berwarna gelap (slack) dana berkasut kulit.

Manakala, untuk wanita pula, berbaju kurung atau kebaya labuh/blouse berlengan panjang, skirt panjang di bawah paras lutut, bersari dengan blouse berlengan dan pakaian kebangsaan kaum-kaum lain, seluar panjang (slack), atau lain-lain pakaian yang kemas dan sopan serta berkasut.

Pakaian yang tidak dibenarkan adalah, baju tanpa lengan, jaket, seluar jeans, pakaian ketat dan menjolok mata, berselipar/kasut sukan, berbaju berkolar bulat dan  baju T.

Pada ketika itu, sesiapa sahaja yang mahu memasuki kawasan parlimen, pemeriksaan dilakukan dengan ketat. Kami akan ‘dihalau’ balik jika tidak berpakaian dengan elok.

Kini tidak lagi. Sejak BN tidak mendapat dua pertiga majoriti, etika pakaian sudah tidak dititikberatkan. Parlimen sudah menjadi pasar. Tidak mustahil nanti ada yang datang dengan berseluar pendek atau mungkin tidak berseluar.

Peraturan sebegini bukanlah sesuatu yang luar biasa. Pergilah ke mana-manapun, boleh dikatakan semua parlimen negara di dunia ini, ada etika berpakaian tersendiri mengikut cara dan budaya masing-masing. Tradisi ini adalah sebagai salah satu cara menghormati kedudukan parlimen yang mulia.

Tiba-tiba kita dikejutkan dengan pakaian seorang ahli parlimen yang perasan dirinya cantik dan menarik perhatian, berpakaian seperti nyonya pasar. Malangnya, speaker dewan tidak mengindahan teguran ahli parlimen terhadap wanita tersebut.

Malah wanita malang tersebut turut mengadakan posing bagi menunjukkan betapa cantiknya dengan baju berwarna-warni. Naik muntah saya. Ingatan saya kepada speaker, jika etika pakaian tidak penting, lain kali tidak perlulah speaker memakai pakaian dewan yang ditetapkan. Pakai sahaja topi dan pakaian koboi.

Peraturan tetap peraturan, tidak kira hari apa sekalipun. Apatah lagi ketika hari terakhir dewan bersidang. Kemuliaan dewan mesti dijaga. Hatta dalam majlis perkahwinan sekalipun ada kod etikanya.  

Begitu juga etika berpakaian ke pejabat kerajaan dan swasta.  Kita tidak boleh berpakaian sewenang-wenangnya, termasuk pelanggan. Jika ada yang tidak tahu etika berpakaian, kita perlu ajar, agar mereka tidak jadi kurang ajar.

Adik saya, seorang peguam mengatakan, di mahkamah, sekiranya seseorang peguam dan anak guamnya tidak berpakaian mengikut etika, peguam tersebut akan dihalau oleh hakim. Ini bermakna, etika berpakaian adalah suatu perkara yang besar walaupun pada kita mungkin perkara kecil.

Apa jua alasan yang diberikan harus mencerminkan daya keintelektualan ahli parlimen. Tidak semestinya memakai pakaian putih hitam itu menandakan kesedihan dan kematian. Jika begitu keadaan di mahkamah, hakim dan peguam, semua berpakaian sedemikian, bermakna menunggu masa untuk mati.

Sebagai seorang pelajar jurusan sains politik, ingin saya memberikan sedikit nasihat kepada sidang ahli parlimen yang mulia.

Pertama, parlimen adalah institusi tertinggi negara dan berdaulat. Rakyat sedang melihat kamu semua di parlimen. Jagalah akhlak dan tingkah laku. Mana perlu bertegas, kita kena bertegas, tidak kira masa dan tempat. Tidak kira kumpulan dan fahaman politik mana. Sikap berlembut kita tidak akan menjadikan mereka hormat atau menyokong kita. Mereka semua hari ini sengaja mahu mencabar kita. Mereka mahu lihat, sejauh mana kuatnya kita.

Kedua, di negara barat, walaupun mereka bukan Islam, peraturan tetap peraturan, tidak ada kompromi. Sebab itulah mereka dihormati. Bukan macam kita, bila dah terkena, baru terhegeh-hegeh nak bertegas seperti pemeriksaan imigresen hasil insiden kehilangan MH370. Belajarlah dari Singapura, walaupun saya meluat menggunakan contoh negara ini. Tetapi ketegasan mereka telah menyebabkan mereka merasai kemanisan hari ini. Kita pula, terbalik. Tegas tidak kena tempat, lembut tidak kena masa. 

Ketiga, kaduk sudah naik junjung. Kepala kita sudahpun dipijak. Masihkah tidak sedar? Boleh dikatakan apa jua perkara berkaitan dengan Islam akan ditentang dan dicabar. Apakah kita masih tidak sedar atau sengaja memejamkan mata? Nasihat saya, jangan jadi pemimpin jika tidak berani bertegas.

Saban hari membaca berita, sudah naik muak. Kita asyik mengalah. Banyak keputusan mahkamah tidak menyebelahi Islam. Ini tidak termasuk pesta berhibur dan minum arak sehingga ada yang mati sia-sia. Apakah kita sudah tidak mengenal dosa dan pahala? Syurga dan neraka?

Jika kita tidak menyelamatkan agama Islam dan umatnya, nak harapkan siapa lagi? Semuanya bermula dengan ketegasan kita di parlimen. Justeru, jangan biarkan parlimen dinodai. Jika ada yang tidak mahu mengikut peraturan dan mencabar parlimen, tunggu apa lagi, ajar secukupnya. Jika tidak, mereka akan menjadi kurang ajar.

Monday, April 07, 2014

Nakal boleh, jangan jahat

6:11 AM Posted by RIDHUAN TEE 15 comments
(Sinar Harian 7 April 2014)

Artikel saya minggu lalu dijadikan sasaran untuk menghentam saya oleh ultra kiasu Melayu yang mendakwa memperjuangkan Islam, termasuk pemimpin PAS. Ingatan saya, nakal boleh, tapi jangan jadi jahat.

Baca betul-betul artikel saya, Tulisan saya jelas, Banyakkan berselawat ke atas Nabi, bukan puja Nabi. Tiba-tiba ultra kiasu mengulas, berselawat berlebihan boleh membawa pemujaan. Ayat mana saya mengatakan demikian? Saya pula dikaitkan dengan Kasim Ahmad, Wahabi dan Salafi. Nauzubillah.  Saya tidak pernah terfikir wajah-wajah ini apabila menulis. 

Jauh sekali dalam pemikiran ini untuk menidakkan sesuatu yang sememangnya disuruh oleh Allah SWT supaya berselawat dan mengucapkan salam ke atas Junjungan Mulia Muhammad SAW, malah berselawat beramai-ramai sama ada dalam sesebuah majlis amatlah disokong kerana ianya membuktikan perpaduan ummah Rasullah SAW dalam mendukung serta memperbesarkan syiar Islam. 

Akan tetapi, melalui pandangan serba dhaif dari saya, alangkah indah, molek dan sempurnanya jika di samping berselawat ke atas Baginda SAW, ianya ditambah dan diselarikan bersama dengan Zikrullah yakni memperingati Allah SWT kerana pegangan akidah umat Islam pastinya akan mudah goyah dan makin terhakis sekiranya elemen Tauhid dan akidah dalam diri semakin pudar dan tidak ditekankan. 

Insan perlu sentiasa dididik dan diingatkan supaya mengenal sifat-sifat Allah SWT, nama-namaNya yang terpuji dan teragung, dan juga perlu ditarbiyah supaya mengejar pahala kebaikan dan menjauhi dosa kemurkaan Allah SWT. Maka barulah sempurna dalam melahirkan umat Islam berkualiti yang berpegang kepada al-Quran dan as-Sunnah serta sumber-sumber hukum syarak yang disepakati.

Seikhlasnya, semoga Allah SWT mengampuni kekurangan dan menambah ganjaran, saya hanya mahukan masyarakat kita memahami akidah dan Tauhid membesarkan Allah SWT. Umpamanya dengan memahami sifat-sifat Allah dan kekuatan lebih 99 namaNya amatlah penting kerana itulah paksi utama yang membentuk peribadi seorang muslim sejati, kemudian perlu  disempurnakan dengan pengamalan syariat yang disampaikan oleh utusanNya Nabi Muhammad SAW, dan seterusnya dihiaskan dengan akhlak-akhlak Islamiyah dan nilai-nilai Islam yang menjadikan insan bertaqwa.

Berkali-kali saya ulang, dengan berpegang kepada akidah ahli Sunnah wal Jama’ah, saya menyokong sepenuhnya penganjuran program Selawat Perdana tersebut dan sangat teruja melihat perpaduan ummah dalam memuji Junjungan Mulia dan menegakkan syiar Islam. Jika tidak, masakan saya dan rakan Pencetus Ummah yang lain, begitu bersemangat untuk hadir memeriahkan majlis tersebut, di samping mengejar ganjaran pahala berselawat dan memuji Baginda SAW. Saya juga tahu Allah dan Malaikat berselawat kepada Baginda SAW. Tak payahlah ahli parlimen PAS tersebut mahu mengajar saya. 

Saya cuma sarankan beberapa penambaikan, bukan menolak Selawat Perdana tersebut. Perbanyakkan juga aktiviti membesarkan Allah, agar dapat menzahirkan keindahan dan keseimbangan sebenar dalam agama Islam. Hakikatnya, yang terpenting dalam kita berselawat dan mengambil Rasullah SAW sebagai Junjungan Mulia, kita haruslah menitikberatkan pengamalan sunnah Baginda SAW yang semakin lama semakin jauh dan pudar dalam kalangan umat akhir zaman, kerana pengamalan itulah sebenarnya perkara hakiki yang seharusnya dititiberatkan oleh golongan mukmin dan sebenar-benarnya yang diinginkan oleh Rasullah SAW. 

Contohi sunnah-sunnah Rasullah SAW, hayati akhlak-akhlak mulia Baginda, ambillah iktibar daripada perjuangan serta pengorbanan mulia Baginda dalam membawa wahyu Allah SWT untuk disampaikan kepada sekalian alam. Maka itulah pelengkap bagi menjadikan diri sebagai umat yang disayangi dan hampir dengan Baginda kelak,  InsyaAllah.

Bukan apa, memahami budaya dan cara hidup Melayu, ada segelintir yang taksub, sehingga tidak boleh ditegur. Ingatlah, Nabi SAW melarang kita memujinya berlebih-lebihan seperti yang dilakukan orang Kristian terhadap Nabi Isa. Ambil ingatan ini.  

“Janganlah kalian berlebih-lebihan dalam memujiku, sebagaimana orang-orang Nasrani berlebih-lebihan dalam memuji Isa bin Maryam. Aku hanyalah seorang hamba, maka katakanlah: Abdullah (hamba Allah) dan Rasulullah (Utusan Allah)” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Baca juga al-Quran yang bermaksud:

Katakanlah: "Aku hanyalah manusia biasa sepertimu yang diwahyukan kepadaku, sesungguhnya Tuhanmu hanyalah Tuhan yang satu. Maka siapa yang ada mengharap perjumpaan Rabb-nya, maka hendaklah dia beramal dengan amal yang soleh dan janganlah mempersekutukan seorangpun mengabdi kepada Rabb-nya. (Surah 18, ayat 110)

Katakanlah: "Aku hanyalah manusia biasa sepertimu yang diwahyukan kepadaku, sesungguhnya Tuhanmu adalah Tuhan yang satu, maka berlaku luruslah kepada-Nya dan minta ampunlah kepada-Nya. Dan celakalah bagi orang-orang yang musyrik (Surah 41, ayat 6).

Walaupun Nabi melarang memuji dan memujanya tetapi Nabi menggalakkan umatnya berselawat atasnya sebagai tanda kasih umatnya pada Nabi SAW dan Allah SWT tetapi jangan sampai berlebih-lebihan sehingga melebihi kasih kepada Allah SWT. Dan dianggap bakhil barangsiapa yang berat mulutnya untuk berselawat ke atas Baginda SAW.

Saya harap penjelasan ini saya meleraikan kekusutan yang berlaku. Jika ada yang mahu mengambil kesempatan menuduh saya yang bukan-bukan seperti Wahabi dan Salafi, silakan. Saya bukan tergolong dalam kumpulan tersebut.  


Apa yang penting, saya hanya memperkatakan perkara yang benar. Ingatlah wahai umat muslimin sekalian, saya pernah menganut agama Kristian sebelum ini. Bagaimana mereka begitu mengagung-agungkan Nabi Isa sehingga dianggap sebagai Tuhan. Sudah tentu kita tidak mahu sama seperti mereka.