Semua artikel adalah pendapat peribadi. Anda berhak untuk tidak meneruskan bacaan atau tidak mengakseskan blog ini serta merta jika anda tidak bersetuju dengan pemikirannya. All the articles written are the personal views. You have absolute rights not to continue reading or to discontinue accessing this blog immediately if you are disagreeable with the personal views.

Monday, June 27, 2016

Sandiwara Anak Malaysia ultra kiasu

6:54 AM Posted by RIDHUAN TEE 13 comments
Sandiwara anak Malaysia ultra kiasu (Sinar Harian 27.6.16)

Saya dilabel sebagai pengkhianat bangsa hanya kerana bercakap benar mengenai bangsa saya sendiri. Dituduh mahu menjadi orang Melayu atau lebih Melayu daripada Melayu. Nasib baiklah selepas saya keluar daripada MCA, baharu ultra kiasu sedar bahawa selama ini saya berada dalam parti Cina. Adakah saya rasis atau seksis sebagaimana yang dituduh?

MCA tidak putus-putus menyerang saya. Sepatutnya sasaran MCA adalah DAP. Tetapi perkara itu tidak berlaku, mereka sangat berpakat. Saya yakin majoriti ahli mereka yang didakwa seramai 1.07 juta tidak mengundi BN, sebaliknya DAP.

Sebelum ini saya ada menulis mengenai seorang pemimpin wanita ultra kiasu Kristian Evangelis yang berkahwin dengan lelaki India. Setelah mendapat anak, pasangan ini pergi ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi tujuan pendaftaran kelahiran. Peliknya dalam ruangan keturunan (bangsa) dia menulis ‘anak Malaysia’ iaitu bangsa yang tidak pernah wujud dalam kamus pendaftaran kelahiran JPN. Sudah tentu JPN menolak.

Perkara ini sengaja dirancang supaya menjadi kecoh dan heboh, agar JPN dipersalahkan. Muslihatnya, bagi mengelakkan dia menulis keturunan India iaitu keturunan suaminya. JPN dikutuk dan dituduh tidak patriotik menolak keturunan anak Malaysia atas alasan kita semua anak Malaysia. Liciknya ultra kiasu ini mengkambinghitamkan JPN bagi melunaskan cita-cita jahatnya.

Sebagai orang Cina yang sangat berpegang teguh kepada budaya bangsa seperti ultra kiasu, dia sepatutnya menulis keturunan India mengikut nasab suaminya. Tetapi ia tidak berlaku. Jika mengikut budaya Cina yang amat memuliakan nasab bapa, sepatutnya keturunan anak pasangan ini ditulis bangsa INDIA mengikut bapa. Tetapi keadaan tersebut tidak berlaku, dia menyalahkan JPN menulis keturunan CINA.

Di manakah semangat anak Malaysia yang pada awalnya mahu digunakan jika dia benar-benar meraikan kepelbagaian. Apatah lagi ultra kiasu selalu mendakwa ia parti berbilang kaum. Jika begitu, kenapa tidak meraikan bangsa India mengikut keturunan suaminya? Kenapa dalam kepala dia hanya ada Cina? Hinakah meletakkan keturunan bangsa India? Bukankah India juga dijadikan oleh Allah SWT? Siapa rasis? Apakah pemimpin sebegini boleh diharap memimpin negara?

Baik pulak saya, saya Cina, isteri saya Melayu, keturunan saya, saya letakkan Cina kepada anak saya. Kenapa? Sebab saya orang Cina. JPN memberi pilihan sama ada memilih bangsa ibu atau bapa. Siapa hipokrit sebenarnya? Beginilah liciknya mereka.


Pertama, memahami bangsa saya, mereka lebih mahukan anak lelaki daripada anak perempuan kerana anak lelaki akan memanjangkan nasab keturunan mengikut surname yang dibawa, berbanding anak perempuan. Anak perempuan akan berkahwin mengikut keturunan suaminya. Anak perempuan dianggap sebagai menghabiskan beras kerana akan menjadi milik orang lain atau keturunan lain.

Kedua, mengenali ultra kiasu sekian lama, mereka memandang rendah orang yang lebih gelap kulitnya. Mereka cuba mengelak untuk berjiran dengan orang sebegini. Mereka lebih selesa dengan kalangan yang lebih cerah seperti orang putih. Sebab itu, mereka lebih suka berhijrah ke negara kulit putih daripada kulit hitam.

Kehidupan mereka hari ini lebih orang putih daripada orang putih. Sebab itu MCA begitu marah apabila saya menegurkan soal pakaian seksi dan singkat. MCA menyerang saya dengan mengatakan saya ini sakit mental dan perlu meminta maaf kepada orang Cina. Siapa perempuan palsu ini? Kenapa saya perlu minta maaf. Hipokrit sungguh. Pergi telek dan belek pakaian budaya Cina sebenar.

Ketiga, ultra kiasu Kristian Evangelis jugalah yang setiap kali bulan puasa akan dibenarkan masuk ke surau dan masjid berbaju kurung dan bertudung menyampaikan bantuan kepada umat Islam yang berpuasa, bagi menunjukkan dia ‘sayang’ dan ‘menghormati’ bulan puasa. Cuba dekati hati budi mereka, apakah mereka rela berpakaian sedemikian saban kali ketika dewan bersidang misalnya. Jawabnya, tidak. Ultra kiasu lebih suka pakaian orang putih yang didakwa itu pakaian budaya mereka.

Malang sekali umat Islam mempertahankan ultra kiasu ini, hanya dengan bantuan RM2000, kopi, teh dan susu di bulan Ramadan dan memuji pula mereka dengan kata-kata “cantiknya amoi-amoi ini”. Murah sungguh hargai diri dan maruah kita.

Ternyata ultra kiasu ini cakap lain, buat lain. Peliknya, MCA dan akhbar the Star langsung tidak pernah langsung menyerang wanita ultra kiasu ini seperti dia menyerang saya, sedangkan saya juga ‘menyayangi’ Cina seperti yang ‘diperjuangkan’ MCA, DAP dan Gerakan. Bukan begitu MCA?

Wahai umatku, bangunlah, lihatlah kebobrokan ultra kiasu yang bersatu dalam terang dan senyap. Saya akan terus diserang dan diserang lagi. Tetapi saya jenis yang tidak menyerang jika tidak diserang. Tidak menyerang tanpa tentangan.

Saya akan terus dilabel lebih Melayu daripada Melayu supaya orang Cina membenci dan menganggap saya sebagai pengkhianat. Sehingga ada yang meludah dan menjegilkan mata bila bersua muka. Begitu juga ugutan bunuh. Tidak mustahil akan ditembak. Saya bertawakkal kepada Allah akan takdir ini.

Monday, June 20, 2016

Kenapa MCA suka buka-buka?

6:31 AM Posted by RIDHUAN TEE 9 comments
Kenapa MCA suka buka-buka? (Sinar Harian, 20.6.16)

Saya cukup teruja dengan pandangan Pengerusi, Persatuan Peranakan Cina Kelantan (PPCK), Lim Kham Hong, berkata mereka menyambut baik usaha yang dilakukan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan, memberi kaunseling kepada wanita berpakaian ketat, menjolok mata dan seksi. Malah turut mengalu-alukan jika pendekatan sama dibuat kepada wanita bukan Islam dengan syarat ia tidak melanggar batas tertentu.

Secara peribadi kata Lim, beliau bersetuju sekiranya bukan Islam berpakaian sopan, sebab kalau terlampau mendedahkan aurat dia akan menjatuhkan imej masyarakat Cina Kelantan.

Terus terang, orang Cina seperti inilah yang selalu saya puji dan hormat serta diramaikan. Tidak ultra kiasu. Saya tidak label semua Cina ultra kiasu.

Peliknya kenapa MCA dan ultra kiasu lain gatal punggung? Bukan kena pada merekapun. Masih tidak kenal MCA dan rakannya? Musuh atau kawan? Syukurlah saya telah meninggalkan parti anti Islam ini? Melayu beri kemenangan, dia tentang balik Melayu. Wahai Melayu, sudah sampainya masanya untuk saudara bertindak. Kuburkan MCA dalam PRU akan datang jika masih berkeras mencari tempat baharu majoriti Melayu untuk ditandingi.

Kenapa Cina Kelantan sebegitu lunak? Pertama, disebabkan oleh proses asimilasi. Cina Kelantan sudah tidak ada beza dengan Melayu. Mereka sangat memahami cara hidup dan sensitiviti orang Melayu.

Bukan seperti MCA. Mereka lebih memilih segregasi. Jenguklah laman web MCA, sepatahpun BM tidak digunakan, kecuali Bahasa ibunda dan BI. MCA tinggal di mana? Hong Kong? Taiwan?

Jika tidak percaya, mari kita buat pertandingan debat dalam BM kalangan pemimpin dan ahli MCA. Berapa ramai yang akan bercakap… lu tatak, gua tatak. Haiya! Ini olang pun ala kah?

Malang sekali menjadi MCA yang bertindak lebih Cina daripada Cina di China. Saya cabar pemimpin mereka berbaju Melayu dan bertanjak dalam pembukaan parlimen akan datang atau ketika berkunjung ke rumah terbuka PM sempena hari raya, jika MCA beranggapan bahawa Umno adalah rakan Melayu sejati mereka.

Pemimpin Umno dan Melayu lain telah tunjukkan keterbukaan dengan berpakaian Cina dan makan bersepit ketika menghadiri rumah terbuka Tahun Baharu Cina. Memanglah pakaian bukan segala-galanya, tetapi sekurang-kurang dapat menunjukkan siapa kita?

Kedua, sejak dahulu MCA tidak pernah lunak dengan Islam. Apa jua nilai-nilai Islam yang cuba diterapkan mesti ditentang. Misalnya, kaunter mengikut jantina, bonceng motosikal bukan mahram dan lain-lain lagi. Jangan cakaplah soal mahkamah syariah dan Akta 355.

Ketiga, pemimpin MCA dan kalangan ultra kiasu memang suka yang singkat. Nak kata budaya Cina tidak juga. Sebab pakaian tradisi Cina amat bersopan. Tidakkah mereka merasa malu apabila berseluar pendek lebih pendek daripada boxer lelaki?

Selepas ini MCA dan ultra kiasu akan berhujah, jaga kain sendiri, ramai Melayu bertudung terjebak dalam gejala sosial, tidak kurang juga di Kelantan. Dalam budaya mereka hari ini, anak bersekedudukan tidak mengapa, suka kawin, tak suka tak pe. Ini perkara biasa. Kepada mereka yang nak berkahwin dengan orang MCA jaga-jaga, takut dah ditebuk tupai. Kecuali mereka masuk Islam.

Keempat, MCA begitu agresif menyerang saya daripada DAP, hanya kerana saya lantang bercakap tentang sifat ultra kiasu mereka. MCA mahu kata apa lagi. Silakan. Semakin banyak MCA bercakap, semakin hilanglah undi Melayu. Jika mahukan undi Melayu, fahamilah Melayu sebelum MCA lingkup.

Kelima, atas alasan apa MCA mempertahankan pakaian seksi? Hak asasi manusia? Atau apa? Semuanya berpunca MCA dan sekutu ultra kiasunya tidak mahu nilai-nilai Islam mengakari negara ini. Mereka bimbang, jika ini berlaku, ia akan membawa kepada perlaksanaan hukum Islam.

Keenam, sudah sampai masanya MCA membina kekuatan di kawasan majoriti Cina, bukan menumpang undi ehsan orang Melayu. Ketika itu, saya bersetuju dengan lantikan menteri yang diberikan. Jangan jadikan Melayu serba salah untuk mengundi apabila MCA bertanding di kawasan majoriti Melayu. Akhirnya, pembangkang yang menang, MCA kalah.

Ketujuh, kepada pemimpin Umno, jika MCA masih berkeras untuk bertanding di kawasan Melayu sebelum ini dan meminta lagi kawasan baharu, yang mana kita sudah tahu dengan meletak MCA akan kalah, maka jangan dilayan parasit ini sebelum Umno hilang kuasa pada PRU akan datang.

Kelapan, punca segalanya adalah ekonomi. MCA takut perniagaan haram dan bank mereka terjejas jika Islam dilaksanakan. Jangan sama sekali kerajaan luluskan sebuah lagi bank MCA, Bank Koperasi Kojadi. Jika lulus, akan berleluasa lagilah perniagaan haram mereka dan menjadi ancaman kepada negara dan Melayu. 

Kesimpulannya, strategi politik matang ini mesti dilakukan sebelum terlambat. Trend pengundian politik Malaysia masih tidak dapat lari daripada garisan kaum, berbanding dengan negara barat yang lebih terbuka.

Terus terang, saya lebih suka pemimpin Cina BN daripada Sabah dan Sarawak dilantik menjadi menteri menggantikan MCA, kerana mereka lebih memahami kehidupan bermasyarakat majmuk daripada parti tidak sedar diuntung ini.


Jika MCA ikhlas, buktikan dengan menyokong RUU 355 ini. MCA tidak rugi apa-apa sebab MCA akan terus menang di kawasan majoriti Melayu yang ditandingi. Kecuali MCA boleh buktikan mereka boleh menang satu kerusi di kawasan majoriti Cina. 

Monday, June 13, 2016

Jangan biar Islam dipijak

6:14 AM Posted by RIDHUAN TEE 5 comments
Jangan biar Islam dipijak (Sinar Harian 13.6.16)

Apa hak ultra kiasu untuk campurtangan atau menentukan cara hidup dan hal ehwal Melayu Islam sedangkan Melayu Islam adalah pribumi di tanah air ini, manakala mereka adalah penghijrah?

Kita tidak pernah menyekat ultra kiasu mahu hidup mengikut cara apa? Hatta, memakai pakaian sesingkat dan sependek-pendeknya. Kenapa bila tiba bab berkaitan kehidupan orang Islam mesti ditentang? Atas alasan apa mereka mahu mengarahkan Melayu mesti buat itu, mesti buat ini.

Malah jika ada orang Melayu Islam cenderung kepada Arabisasi sekali pun itu adalah hak dia? Mengapa ultra kiasu gatal punggung?

Kenapa apabila pemimpin Melayu berpakaian Cina atau Kurta (India) atau makan bersepit, semasa berkunjung ‘meraikan’ hari raya mereka, tidak pula dikatakan proses Cinanisasi atau Indianisasi, malah dipuji dengan kata-kata inilah 1Malaysia?

Pernahkah terlintas di hati pemimpin MCA, Gerakan dan ultra kiasu untuk untuk memakai baju Melayu dan bersongkok ketika berhari raya di rumah kita?

Namun, bila ada orang Melayu berpakaian ala Arab, ultra kiasu berkata ini Arabisasi. Apakah cenderung kepada budaya Arab itu satu kehinaan? Ingat! kita ada Raja-Raja berketurunan Arab. Sebenarnya ultra kiasu mahukan Melayu jadi apa?

Justeru, sesiapa sahaja yang bersekongkol dengan ultra kiasu dalam mencampuri hal ehwal Islam mesti dibenamkan supaya mereka tidak boleh bangun lagi. Mereka ini seperti parasit.

Inilah tindakan yang perlu dilakukan oleh umat Islam dalam PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar tidak lama lagi. Jangan biarkan kemenangan berpihak kepada PAN dan PH kerana ini akan menjadi mereka semakin bongkak.  

Strategi ini mesti dirancang jika benar Pas dan Umno mahu mengamalkan politik matang. Apa yang boleh dilakukan? Jika dalam tempoh berkempen ini, Umno dan Pas merasakan bahawa kemenangan bukan milik salah satu daripada mereka, cadangan saya, korban satu. Sama ada Pas atau Umno yang menang. Benamkan PAN buat selama-lama.

Jika resepi politik matang ini berjaya. PRU akan datang, pasti milik umat Islam. Kita mesti bertindak untuk mengecutkan telur ultra kiasu. Jika tidak, pengaruh Pas dan Umno akan semakin terhakis. Pertarungan dua PRK menentukan corak politik akan datang.

Ya, saya tidak nafikan, menang atau kalah, PAN dan PH pasti akan beri berbagai-bagai alasan bagi menutup maruah mereka. Namun, jika mereka kalah, sekurang-kurang PH tidak boleh mendabik baba atau berkokok.

Hari ini, PH amat bongkak kerana mereka terlalu yakin semua Cina yang lebih kurang 30 peratus akan mengundi mereka. Dengan sedikit tambahan undi Melayu, hasil usaha PKR dan IKRAM, mereka yakin boleh menang.

Justeru, kepada Pas dan Umno saya merayu. Pertama, hadamkan politik matang itu apa? Kenali siapa sebenar musuh kita? Negara ini mesti diselamatkan daripada perancangan busuk ultra kiasu. Jika ultra kiasu merancang untuk membenam kita, apakah kita perlu berdiam diri dan terus bersangka baik?

Sepatutnya MCA lebih fokus menyerang DAP, bukan saya. Saya tidak pernah mendengar MCA bertegang leher dengan seorang wanita ultra kiasu yang berkahwin dengan lelaki India. Saya masih ingat ketika mengisi borang pendaftaran kelahiran anaknya, beliau menulis keturunan anaknya, anak Malaysia, ditolak oleh JPN kerana tidak ada  keturunan anak Malaysia di dunia ini.

Akhirnya dia memilih anaknya berketurunan Cina. Kenapa tidak tulis keturunan India mengikut nasab bapa? MCA masih diam? Nampak sangat bersekongkol.

Kedua, ultra kiasu dipelopori Kristian Evengelis semakin berani. Bukan sahaja di Malaysia malah di Indonesia. Kenyataan Basuki Thahaja Purnama atau Ahok, gabenor Jakarta berketurunan Cina, Kristian, dikatakan bakal menjadi menjadi Presiden Indonesia, sepatutnya membuka mata kita semua.

Ahok melarang sekolah-sekolah di Jakarta mewajibkan pelajar memakai tudung kalau pakaian itu dilayan seperti “kain lap” di dapur. Tidak betul mewajibkan pakaian itu walau majoriti penduduk Indonesia beragama Islam. Muhammadiah dan Nahdatul Ulama (NU), membantah larangan Ahok, dengan menyatakan ahli politik itu tidak perlu mengajar orang Islam tentang kefahaman agama mereka.

Ahok berkata konsep bertudung juga terdapat dalam Kristian dan Yahudi seperti kata Ahok, persoalannya adakah mereka mengamalkannya? Tidak! Mereka suka kepada yang pendek dan singkat.

Ketiga, umat tidak sepatutnya menentang RUU 355, meskipun berasal daripada Sarawak. Tahu membeza antara tugas sebagai ahli parlimen dengan sebagai individu beragama Islam. Jika tidak setuju, diam sahaja. Jangan mengeluarkan kenyataan mengarut.

Keempat, amat malang umat Islam berada dalam keadaan rugi di mana jua berada. Terlalu berkorban sehingga terkorban. Berbanding ultra kiasu. Dalam BN makan, dalam PH (PR) lagi kuat makan. Luar dalam makan belaka.

Bagaimana pula dengan nasib Melayu? Apa yang dibuat, semua tak kena. PAN menyindir Pas sebagai pendekar Mustar kerana berpakaian Melayu dan bertanjak dan berkeris ketika AGM. Ultra kiasu yang membelah peha dan dada tidak pula dikatakan apa-apa. Janganlah jadi PANdir.





Sunday, June 05, 2016

Kenapa Saya Keluar MCA

10:50 PM Posted by RIDHUAN TEE 5 comments
Bahaya menyimpan musuh dalam selimut (Sinar Harian 6.6.16)

Saya bersyukur kerana meninggalkan parti ultra kiasu yang anti Islam, tidak malu, berpura-pura menyokong kerajaan bagi mendapatkan projek, tetapi bila tiba musim pilihan raya, mereka sokong DAP menentang agenda Islam.

Dua puluh tahun lalu, saya mohon menjadi ahli MCA yang hanya diluluskan 5 tahun kemudian pada tahun 2000. Setelah sekian lama menunggu,  saya dicampakkan ke Rawang, sedangkan saya tinggal di Ampang.

Presidennya berkata MCA mempunyai keahlian 1.07 juta. Betul ke? Jika betul, kenapa tidak pernah menang di kawasan majoriti Cina menentang DAP? Kenapa mengemis kerusi di kawasan majoriti Melayu untuk menang?  

Melayu yang memenangkan MCA.  MCA pula menjaga kebajikan dan perut bangsa sendiri. Masih tidak rasis? Adilkah? Berita akhbar Bahasa Inggeris dan Cina mereka sudah menjadi suara DAP saban hari. Sama juga seperti parti Gerakan dan MIC.

Pemimpin MCA pula tidak tahu saya ahli seumur hidup. Kononnya tidak nampak muka saya dalam acara mereka. Perlukah kesemua 1.07 juta ahli menghadiri acara MCA? Dewan mana yang boleh memuatkan? Layakkah mereka memimpin negara?

Hampir 20 tahun saya berada dalam MCA, tidak pernah mereka menggunakan khidmat saya sebagai jambatan untuk memahami Islam. Pemimpinnya jahil tentang ahli mereka sedangkan saban kali saya menerima emel berita buletin MCA. Berapa kerat Cina Muslim menjadi ahli MCA? MCA pula mengutuk saya lebih Melayu daripada Melayu, padahal saya ahli parti mereka. Hipokritnya pemimpin MCA. Bagaimanakah saya rasis sehingga 20 tahun di MCA? Isteri saya Melayu lah. Siapa rasis?

Pemimpin MCA menghina saya kerana bersyukur bila saya keluar parti atas alasan saya rasis dan ekstrem. Saya keluar atas dasar prinsip. Sesiapa menentang Quran adalah musuh Islam. Akta 355 ini adalah kemuncaknya. Sebelum ini, apa juga perkara berkaitan dengan Islam, MCA tidak pernah bersetuju. Contohnya perihal mahkamah syariah, undang-undang pergaulan bebas lelaki perempuan dan lain-lain.

Selepas saya dan rakan lain menubuhkan Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) 1994,  antara strategi dakwah saya adalah menjadi ahli parti Cina seperti MCA. Pertama, untuk membuktikan bahawa saya masih Cina meskipun memeluk Islam, supaya tidak dikonotasikan masuk Melayu. Kedua, ingin menyampaikan Islam dan menjadi jambatan sekiranya ada kekeliruan mengenai Islam. 

Saya masih ingat pesanan Subky Latif, wartawan veteran Pas, supaya jangan menyertai MCA yang menjunjung perlembagaan kafir. Hari ini terbukti kenyataan Subky.

Ironinya, DAP lebih berterus terang daripada MCA, yang menjadi musuh dalam selimut. Tipulah, jika Umno tidak sedar.  

MCA sedang mengintai dan melobi kerusi kawasan majoriti Melayu untuk bertanding seperti DUN di Gua Musang. Sekiranya Umno melayan permintaan MCA, Umno akan kehilangan lebih banyak kerusi malah mengkhianat amanah Melayu Islam.

Adakah kebajikan Melayu terpelihara dengan memberi kemenangan kepada MCA? Mengapa tidak hanya melantik mereka menjadi senator untuk memenuhi kuota kaum? Jangan paksa orang Melayu terutama ahli Umno mengundi parti rasis ini!

Kenapa MCA sentiasa mahu bertanding di DUN dan Parlimen majoriti Melayu, meskipun kerusi senator adalah juga laluan mendapatkan kerusi menteri? Sebenarnya kuasa Senator terhad berbanding dengan ahli DUN atau wakil Parlimen yang seterusnya  mudah membuncitkan perut.

MCA dan parti ultra kiasu lain, termasuk Sabah Sarawak, jangan ingat berjayanya sekira Akta 355 gagal di parlimen. Melayu dengan Islam sudah sebati, ibarat darah dan daging. Jika dicabar, pasti ada akibatnya. Inilah jiwa dan hati budi Melayu.

Sudah hampir 60 tahun merdeka, sensitiviti ini langsung tidak diendahkan. Kita terlalu memberi muka sehingga kaduk naik junjung. Seandainya saya seorang PM, agenda Islam sudah lama saya ketengahkan untuk dihayati oleh semua rakyat jelata tanpa mengira agama, kerana Islam adalah agama persekutuan dan agenda negara.

Ini tidak, sudahlah Islam masih tidak difahami, Bahasa Melayu bahasa negara pun tidak dikuasai. Cakap tunggang-langgang. Saya cabar pemimpin MCA berdebat jika anak jantan.

Apa lagi MCA (bukan Islam) mahu? Apa yang mereka tidak dapat? Hak? Harta? Kekayaan? Hatta, di Kelantan, yang mahu melaksanakan hudud, terdapat patung Buddha, sebesar-besar patung berdiri di sana sini walaupun penyembah amat sedikit. Mana nak jumpa toleransi sebegini.

Bandinglah keadaan minoriti umat Islam di negara lain. Apa yang mereka dapat? Terpaksa ikut dan patuh dengan undang-undang majoriti. Inilah sifat sedar diri umat Islam, bukan seperti ultra kiasu. Perkara yang tiada kaitan dengan mereka pun mereka tentang. Kenapa? Inilah perancangan busuk musuh Islam dan Kristian Evengalis. Apakah umat Islam masih leka? Bahkan ada yang bersama bersekongkol dengan mereka!

Tulisan saya selama ini menjelaskan, atas nama Cina, dan bukan Islam, ultra kiasu sentiasa bersatu menentang Islam. Wahai umatku, bersatulah mempertahankan Islam. Musuh wajib dikeluarkan daripada kerajaan. Musuh ini akan menjadi Umno lebih buruk dan hilang sokongan.

Bertindak tegas seperti bakal presiden Amerika, Donald Trump. Saya harap Trump menang. Trump lebih baik daripada parti demokrat dan ultra kiasu lain. Ya, walaupun ramai yang tidak suka Trump tetapi beliau bercakap benar dan berterus terang. Beliau tidak menentang Islam, tetapi menentang ISIS.

Trump masuk politik sebab mahu selamatkan AS. AS gagal dalam ekonomi dan politik kerana Obama pandai bercakap tetapi tidak pandai buat kerja. Trump menentang perang ke atas umat Islam di Iraq. Kata Trump lagi, jika Kristian mengaku dia Kristian, tentu mereka tidak membunuh orang Islam yang tidak berdosa. Di sinilah kebaikan Trump yang cuba diaibkan oleh musuh Islam.

Selama negara Brunei melaksanakan Undang-undang Islam, adakah nasib 30 peratus Cina di sana diabaikan. Pernahkah mereka dihududkan? Berapa banyak tangan telah dipotong? Orang Cina tetap bahagia di Brunei Darussalam. Inilah orang bukan Islam yang perlu dilantik menjadi menteri, bukan MCA, MIC, Gerakan dan ultra kiasu yang lain, termasuk PBRS, yang menterinya mahu Sarawak keluar Malaysia jika Akta 355 diluluskan. Orang yang suka ugut bukanlah kawan.

Kebencian ultra kiasu terhadap Islam amat tinggi. Sekiranya mereka dikeluarkan nescaya negara aman sentosa dan dirahmati Allah. Kepada presiden Pas, janganlah gentar di hati. Hadapi musuh ini dengan semangat jihad yang tinggi. Jangan undur walau seinci, kerana ia perjuangan sejati.

Saya tidak mahu berdosa lagi duduk dalam sebuah organisasi yang memusuhi agama yang sangat kucintai. Kini parti ini adalah musuh saya selain ultra kiasu lain. Saya akan berkempen kepada orang Melayu sehingga MCA tersungkur.

Kita lantik sahaja orang bukan Islam yang baik-baik sebagai wakil kaum mereka. Tidak guna melantik mereka yang menjadi beban dan duri dalam daging. Kepada menteri MCA, Gerakan dan MIC yang mengugut mahu meletakkan jawatan, letakkan sekarang, termasuk semua jawatan yang diberikan dalam kerajaan atas nama wakil parti, jika masih ada telur.