(Sinar Harian 26 Jan
2012)
Saya begitu teruja membaca berita peruntukan
sebanyak RM5 juta oleh kerajaan kepada Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M). YA1M
merupakan satu badan untuk memajukan kebajikan warga artis tanah air, khasnya
anggota yayasan, melalui bantuan meliputi kesihatan, khairat/derma kematian,
bencana dan sebagainya.
Tertanya-tanya saya tidak adakah
peruntukan atau yayasan kepada ilmuan atau apa jua istilah yang diberikan
kepada mereka yang menjalankan kerja amar makruf nahi mungkar atau penceramah?
Akan adakah nanti Yayasan Penceramah 1Malaysia (YP1M)? Ceramah mereka juga diulang
dan dipetik berkali-kali. Apa yang mereka dapat? Sedangkan tanggungjawab mereka
sudah tentu lebih besar berbanding artis yang majoritinya tidak ada sebarang
kelulusan (ijazah).
Penceramah menyampaikan ilmu,
membawa manusia ke jalan yang benar. Tanpa ilmu atau ijazah, mereka tidak boleh
berceramah sewenang-wenangnya. Sebab itulah tauliah diperlukan.
Berbeza dengan artis, hanya bersandar
kepada rupa dan suara serta bakat, sekalipun tidak ada kelulusan. Kehidupan
kami tidaklah seglamour artis, yang kadangkala penuh kontroversi. Tugas kami, melaksanakan
tanggungjawab sebagai khalifah Allah, menyahut seruan Rasulullah, sampaikan walaupun
satu ayat.
Jika dengan menyanyi kita boleh
membetulkan masyarakat dan membentuk tamadun, sudah lama saya akan menggalakkan
anak buah saya menyanyi. Tetapi menyanyi hanyalah alat untuk berhibur. Tidak
banyak unsur-unsur pengajaran yang boleh dipetik, kecuali lagu-lagu berlirikkan
ketuhanan, kenabian, nasihat, motivasi dan patriotisme. Realitinya kebanyakan
lagu melalaikan dengan muzik menggila. Bayarannya bukan murah, menyanyi satu
dua lagu atau satu show, menelan puluhan dan ratusan ribu. Begitu juga dalam
mendapat gelaran dan darjah kebesaran. Saya tidak kata semua artis sebegitu.
Kehidupan artis tidak ramai yang
boleh dibanggakan. Mereka hanya mula bertaubat apabila usia telah lanjut.
Ketika masih ‘bergetah’, mereka memanfaatkan sepenuh kelebihan bakat, rupa dan
suara. Apabila sudah tidak ‘bergetah’ lagi, barulah hendak bertaubat atau
menjejak tikar sejadah. Lebih malang lagi, tidak ada simpanan di hari tua,
kerana terlalu mengejar glamour dan membazir ketika glamour.
Kenapa tidak manfaatkan kelebihan
yang Allah berikan dengan jalan yang betul? Jika menyanyi dan berlakon adalah
sumber rezeki apa nak buat. Tetapi biarlah kena pada caranya. Bukannya matlamat
menghalalkan, dengan mengada-ngada dan sengaja mendedahkan batang tubuh, terlalu bebas bergaul antara lelaki dan
perempuan. Ada yang menggunakan peluang
untuk mengorat orang kaya dan orang bergelar, agar dapat hidup mewah, tidak
kira yang bujang mahupun janda.
Sebab itu saya memuji artis-artis
yang sejak dari awal, ketika ‘bergetah’, mula menutup aurat dan berusaha untuk
menjadi baik. Malangnya, ada juga artis yang pada mulanya berazam untuk menjadi
baik, dengan cara dengan pergi menunaikan haji, tetapi tidak bertahan lama.
Tudung yang dipakai semakin lama, semakin terungkai. Akhirnya tinggal sejemput,
dan selepas ini tidak tahu hilang ke mana…
Saya amat menghargai dan bersyukur
apabila ada artis yang mula berubah sejak usia muda. Namun, hati kembali merasa
sedih apabila artis membaca berita ada artis mencium tangan kekasihnya apabila
diumumkan sebagai pemenang Anugerah Industri Muzik baru-baru ini. Ini baru
permulaan. Selepas ini, kita tidak tahu apa yang akan berlaku. Apabila ditanya,
kenapa boleh berlaku sedemikian, jawapannya, tidak sengaja kerana terlalu
gembira. Inilah akibatnya apabila terlalu gembira sehingga lupakan Tuhan. Saya
mohon kepada artis tersebut, supaya berhati-hati pada masa akan datang. Cabaran
mengharungi kehidupan artis di luar sana amat getir.
YA1M tidak diperlukan, jika sejak
awal-awal lagi artis kita beringat dan berwaspada. Sudah tentu masa depan
mereka lebih cerah. Artis sepatutnya beringat, tanpa ilmu, kecantikan dan bakat
mereka hanya sementara. Berjimatlah dan jangan terlalu mengejar glamour.
Kadang kala naik muak melihat
upacara karpet merah, pakaiannya mengalahkan artis barat, pelik memelikkan. Terdedah
sana sini sehingga nampak yang tersurat dan tersirat. Apabila ditanya kenapa
terjadi sedemikian. Jawapannya, ada apa dengan pakaian, janji, hati baik. Lebih
malang lagi, tuan punya badan tidak menjawab, kita yang menjawab bagi pihaknya.
Jika pakaian itu tidak mencerminkan keperibadian dan hati, tidakkah lebih baik
tidak perlu berpakaian langsung?
Saya tidak membantah apa jua
aktiviti kebajikan kepada sesiapapun, termasuk dana untuk artis dan seniman
khususnya yang berstatus warga emas. Ini tidak termasuk cadangan agar satu skim
insurans perlindungan khusus diwujudkan, supaya mereka tidak perlu lagi
bergantung simpati orang ramai sekiranya jatuh sakit atau telah berusia. Idea
ini satu cadangan yang bagus. Tetapi biarlah menyeluruh, tidak terhad kepada
artis sahaja.
Selaku seorang professional,
pemikir, pendakwah dan apa juga yang boleh diberikan nama, sudah sampai masanya
kerajaan turut memberikan insentif atau menubuhkan Yayasan Penceramah/Ilmuan 1Malaysia
(YP1M). Jika diizinkan dibuat perbandingan, saya fikir, jasa penceramah atau
penulis lebih banyak daripada artis.
Tulisan ini tidaklah menyalahkan
artis. Kita kadangkala terlalu melebihkan artis. Sehinggakan ilmuan
diketepikan. Semua iklan atau duta produk, menggunakan artis. Sehingga pemikiran
ahli bisnes sama seperti artis. Sampai ke peringkat membunuh nyamuk aedespun
masih menggunakan artis. Kenapa tidak ditonjolkan ilmuan atau professional.
Paling tidak, mereka lebih mahir dan lebih kenal nyamuk tersebut daripada artis.
Ini tidak, mereka yang langsung tidak berkaitan dengan nyamuk menjadi duta
nyamuk.
Ingatan saya kepada semua, apa jua
yang ingin kita lakukan, letakkanlah ilmu itu di tempat yang tinggi. Ikutilah
jejak Allahyarham Tan Sri P.Ramlee yang tidak mampu meninggalkan harta menimbun
setelah kembali ke rahmatullah walaupun beliau seorang seniman yang agung. Jika
artis hendak dibantu, pastikan artis itu berilmu. Mudah-mudahan ilmu yang ada
dapat digunakan sebagai bekalan menjelang tua. Jika sehingga ke tua pun kita
masih jahil, agak sukar juga untuk kita bersimpati. Harta apabila digunakan
akan habis. Tetapi ilmu, semakin digunakan semakin bertambah dan semakin
menstimulasikan minda kita. Kepada artis, kecantikan dan bakat tidak bertahan
lama tanpa ilmu. Justeru, jangan kesamping ilmu, termasuk mendapatkan ijazah,
kerana ia amat berguna dalam mendapatkan keredhaan Allah SWT.
Beza artis kita dengan artis barat
adalah, kebanyakan artis barat mempunyai ilmu (ijazah). Sebab itulah mereka
tidak memerlukan yayasan itu dan yayasan ini. Mereka juga tidak sengsara di
hari tuanya, kerana mereka telah bersedia. Walaupun artis barat tidak cantik,
tetapi masyarakat mereka lebih mengiktiraf bakat.
Teringat saya dengan artis Susan Boyle
dalam pertandingan British’s Got Talent
2009. Dengan bentuk badan yang besar, rupa kurang, usia agak lanjut, ketika
memasuk pertandingan (audition), bakat beliau telah berjaya memukau juri dan
penonton. Hingga hari ini, beliau berjaya dan dinobatkan menjadi artis yang
hebat. Kenapa? Para artis harus mengkaji dan belajar daripada Boyle. Jangan terlalu
bergantung kepada rupa, kerana ia tidak bertahan lama apabila menjelang tua. Namun,
jika bakat diadunkan dengan ilmu, alangkah hebatnya kita.
Dalam Islam, adunan bakat dan ilmu
tidak berakhir setakat ilmu dunia sahaja. Konsep ilmu dalam Islam berbeza
dengan barat. Kita ada ilmu duniawi dan ilmu akhirat. Kedua-duanya mesti
diseimbangkan, barulah akhlak artis akan terpancar. Inilah yang dinamakan
wasatiyyah (kesederhanaan atai berimbang) yang diwar-warkan oleh Perdana
Menteri.
Di barat walaupun artis mereka
mempunyai ilmu, tetapi tidak diseimbangkan dengan ilmu akhirat. Maka tidak
hairanlah, jika artis mereka agak pincang sedikit dan penuh kontroversi. Tetapi
sekurang-kurang, mereka masih lebih baik berbanding dengan kita yang tidak
berilmu, tetapi pada masa sama akhlak buruk dan hidup penuh kontroversi.
Akhirnya, saya menyeru kepada artis, carilah ilmu, seimbangkan ilmu dunia dan akhirat, jagalah akhlak, moga-moga kehidupan kita diberkati Allah SWT. Nasihat saya juga kepada kerajaan, jangan terlalu fokus kepada artis sahaja, kerana masih ramai lagi khalayak yang memerlukan perhatian dan bantuan. Kita memuji segala bentuk bantuan atas nama 1Malaysia. Namun, pandanglah sama golongan ilmuan. Sejarah membuktikan, tamadun tidak tertegak dengan lambakan hiburan, tetapi tamadun ditegakkan dengan ilmu dan ilmuan.
Akhirnya, saya menyeru kepada artis, carilah ilmu, seimbangkan ilmu dunia dan akhirat, jagalah akhlak, moga-moga kehidupan kita diberkati Allah SWT. Nasihat saya juga kepada kerajaan, jangan terlalu fokus kepada artis sahaja, kerana masih ramai lagi khalayak yang memerlukan perhatian dan bantuan. Kita memuji segala bentuk bantuan atas nama 1Malaysia. Namun, pandanglah sama golongan ilmuan. Sejarah membuktikan, tamadun tidak tertegak dengan lambakan hiburan, tetapi tamadun ditegakkan dengan ilmu dan ilmuan.