(Sinar Harian 26.8.13)
Saya ingatkan isu ratu cantik
Melayu sudah berakhir. Rupa-rupa masih lagi dipertikaikan oleh segelintir
wanita yang memimpin NGO wanita menggunakan nama Islam. Tidak perlu saya
sebutkan nama penuhnya. Semua orang tahu.
NGO ini mempertikaikan
undang-undang syariah negara kita yang dikatakan satu-satunya negara di dunia yang telah
meletakkan pendapat ulama sebagai undang-undang negara tanpa terlebih dahulu
menempuh proses perundangan dan setelah itu menetapkan sebagai satu kesalahan
bagi sesiapa yang mencabar pendapat tersebut. Ini merupakan pencabulan ke atas
hak asasi manusia yang telah dijamin oleh perlembagaan, selain tidak mempunyai
asas dalam sejarah perundangan Islam.
Pada NGO ini, fatwa itu hanya nasihat
yang tidak mengikat dari segi perundangan. Majlis fatwa bukanlah parlimen. Ia
bertentangan dengan perlembagaan.
Tidakkah NGO ini sedar siapa
yang duduk dalam majlis fatwa tersebut? Mereka terdiri kalangan cerdik pandai
dan professional yang mahir dalam bidang agama berbanding dengan wanita jahil ini.
Jika sakit, kita jumpa doktor
perubatan. Kenapa dalam hal ehwal agama kita tidak serahkan kepada yang alim?
Takkan mahu serahkan hal ini kepada mereka yang menyokong ratu cantik seperti
NGO ini. Nasihat saya kepada wanita ini, sarankan ahli-ahli dan diri sendiri
berkahwin, bila dapat anak nanti, suruh anak masuk ratu cantik. Saya teruja nak
tengok.
Saya menerima keputusan fatwa
kerana mereka alim dan pakar dalam bidang. Siapa NGO ini? Sudahlah kepala tidak
bertutup, baca Quranpun gagap, hanya bergantung kepada terjemahan,
sembahyangnya saya tidak pasti buat ke tidak, dan sebagainya. Adakah saya boleh
ikut pendapat mereka. Walaupun saya bukan lulusan agama, tetapi saya tidak akan
ikut cakap NGO jahil ini. Saya tetap ikut pendapat orang agama, sebab mereka
pakar. Jika pendapat mereka ‘ketat’ sedikit pun saya masih boleh terima,
daripada terlalu longgar sehingga boleh melondehkan seluar dan menghalalkan
LGBT.
Namun, saya setuju agar undang-undang
tidak hanya dikenakan kepada ratu cantik sahaja tetapi peserta-peserta Islam
yang menyertai gimrama, renang dan lain-lain pakaian berbikini.
NGO ini juga mempertikaikan penangkapan
100 orang pemuda-pemudi Muslim di pusat hiburan Zouk pada tahu 2005. Menurut
orang jahil ini, keimanan tidak terbentuk dengan cara memaksa orang untuk
mempercayai sesuatu yang tidak mereka percayai.
Jawab saya, baru-baru ini
seorang saudara baharu menfailkan perceraian kepada isteri Melayunya kerana
sangat jahil. Masih minum arak, clubbing, dan sebagainya, walaupun telah
berkahwin dan beranak pihak. Begitu juga adik-beradik perempuan yang lain. Adik
lelakinya seorang gay.
Dalam hal ini adakah kita boleh
paksa mereka menjadi baik? Jika begitulah keadaannya, tidak perlulah ada
penjara dan hukuman. Bila melakukan kesalahan berat, bagi saja ceramah dan
kaunseling, kemudian bebaskan.
Fahamilah Islam dalam konteks
secara total. Memang, tidak ada paksaan dalam beragama sebagaimana yang disebut
dalam surah al-Baqarah. Ayat ini merujuk kepada mereka yang tidak boleh dipaksa
untuk memeluk Islam, Tetapi sudah berada dalam Islam, kenalah dipaksa ikut,
setelah nasihat tidak berjalan, sebab kita telah berada dalam Islam. Seperti
kita pergi sekolahlah. Kena ikut peraturan sekolah. Jika tidak mahu ikut, jangan ke
sekolah.
Pelik ya! Kenapa kita tidak
sokong orang tutup badan, tetapi suka lihat orang buka badan atas nama hak
asasi manusia? Adakah Malaysia suatu hari nanti akan menjadi lebih barat dari
barat seperti yang dah mula berlaku?
NGO ini juga berhujah bahawa rakan-rakan
dan sarjana yang mereka kenali dari dunia Arab terkejut melihat bagaimana
sebuah negara moden seperti Malaysia boleh begitu tertutup mindanya dalam soal
Islam. Jawabnya, tengoklah jenis apa rakan tersebut. Allah tidak sebut dalam
al-Quran bahawa semua orang Arab masuk syurga sis! Jika yang dijadikan rakan adalah
kalangan yang suka ratu cantik, atau kalangan yang bersetuju perempuan boleh
menjadi imam kepada lelaki, tidak mustahil kita jadi jahil.
Kata NGO ini lagi, dosa sendiri
yang tanggung, kubur masing-masing. Masalahnya, dalam Islam kita ada konsep
amal makruf nahi mungkar. Jika yang mungkar tidak dicegah, ia akan merebak.
Jika pencuri tidak ditangkap, habislah negara porak peranda.
Lebih jahil lagi NGO ini
membandingkan ratu cantik dengan fatwa rokok, ASB dan ASN yang ada kata haram
dan ada kata harus. Mana satu nak ikut. Beribu-ribu Muslim di Selangor dan
Pulau Pinang melanggar fatwa tentang merokok setiap hari, tetapi tiada siapa
pernah dituduh menghina Islam atau dituduh melanggar fatwa. Tetapi, apabila ada
saja wanita mengambil bahagian dalam pertandingan ratu cantik, mereka segera
diburuk-burukkan dan dikecam bertubi-tubi. Bagaimana pula dengan lelaki Melayu
yang mengambil bahagian dalam pertandingan bina badan?
Hujah ini saya boleh bersetuju
dengan sis. Tetapi bina badan lelaki dan ratu cantik wanita, berbeza. Bentuk
badan lelaki tidak menggiurkan berbanding wanita, kecuali sis terliur dengan
bentuk badan lelaki.
Jika nak ikut barat, biarlah
berpada-pada. Jangan sampai hak asasi manusia bercanggah dengan hak Tuhan.
Takut masuk neraka sis!
Kepada ratu cantik yang perasan dirinya
cantik, hendaklah kami beringat. Hidup ini semakin singkat. Sudahkah bersedia
untuk ke akhirat. Bagaimana dengan amal ibadat? Sudah cukup padat? Jika belum,
saya ingin peringat. Hidup ni, biarlah banyak beri manfaat. Ikut apa yang Allah
suruh buat. Tinggalkan apa jua maksiat. Barulah hidup akan selamat, dunia dan
akhirat.