Semua artikel adalah pendapat peribadi. Anda berhak untuk tidak meneruskan bacaan atau tidak mengakseskan blog ini serta merta jika anda tidak bersetuju dengan pemikirannya. All the articles written are the personal views. You have absolute rights not to continue reading or to discontinue accessing this blog immediately if you are disagreeable with the personal views.

Tuesday, May 28, 2013

Buka mata, buka minda

7:16 AM Posted by RIDHUAN TEE 34 comments


(Buka Minda, Sinar Harian 27 Mei 2013)

Pada mulanya saya tidak mahu percaya berlaku tsunami Cina dalam PRU13. Analisis demi analisis yang saya hadiri, rata-rata menyimpulkan bahawa tidak berlaku tsunami Cina, tetapi tsunami Malaysia yakni penolakan rakyat terhadap UMNO BN. Ringkasnya, undi bandar  memihak kepada PR, manakala undi kampung lebih kepada UMNO BN.

Namun, setelah saya teliti dengan mendalam, memang berlaku tsunami Cina. Faktor ini amat jelas dan tidak boleh diselindungkan lagi. Saya amat musykil, kenapa sebahagian besar pengkaji tidak mengakui fakta ini. Apa tujuan di sebalik?

Lihat sahaja trend pengundian di Pulau Pinang dan kawasan majoriti Cina, bukti-bukti menunjukkan bahawa terlalu sedikit undi Cina yang diperolehi BN.

N27 Pengkalan Kota, Pulau Pinang,  BN hanya mendapat 1803, berbanding DAP 15403, majoriti 13600. Sepanjang kajian saya, tidak pernah berlaku dalam sejarah PRU, BN hilang wang deposit. PRU13 telah menjadi saksi. Begitu juga N13 Berapit (PP), BN hanya mendapat 2230 undi, berbanding DAP 16995, dengan majoriti 14765. Saya difahamkan di DUN Sitiawan, hanya dua sahaja undi Cina diperolehi oleh BN. Adakah ini bukan tsunami Cina? Tanpa nafikan tsunami yang lain.

Jika diamati secara teliti, sebenarnya BN kalah di Semenanjung (76), Kerusi Sabah Sarawak (57) yang menjadi penyelamat. Manakala PR mendapat 80 kerusi di Semenanjung dan Sabah dan Sarawak, 9 kerusi. Bermakna, jika tidak ada tambahan kerusi Sabah Sarawak, kerajaan yang diterajui BN sudah jatuh.

Ultra kiasu berhujah, jika ada tsunami Cina, sudah tentu calon Melayu mereka sukar untuk  menang bertanding di kawasan Cina. Misalnya P48 Bukit Bendera, Pulau Pinang dan beberapa kerusi yang lain yang diberi kepada calon Melayu. Pecahan pengundi P 48 mengikut kaum ialah Melayu (13.99 %), Cina (73.74 %), India (11.22 %) dan lain-lain (1.14 %). Parlimen ini dimenangi oleh Melayu (DAP), mengalahkan calon Cina BN dengan majoriti 32,778. Kenapa calon ‘Melayu’ ultra kiasu boleh menang?

Adakah dengan mengundi calon Melayu, tidak berlaku tsunami Cina. Fikirkan sejenak siapakah calon ini? Lihat muka dan perjuangannya. Beliau mewakili ultra kiasu. Mengundi beliau, bermakna mengundi ultra kiasu. Jika sukar untuk faham analisis ini, bacalah artikel saya yang lalu.

Bezanya dalam PRU13, sebahagian besar Cina menjadi lebih ultra kiasu? Kenapa? Adakah kerana kerajaan mereka bersih? Atau kerana suka kepada tuntutan ultra kiasu untuk menjadi lebih Cina? Saya ingin mengajak dan menasihatkan orang Cina supaya rasional dalam hal ini. Tidak dinafikan ada kelemahan dalam kerajaan UMNO BN.

Suka atau tidak, kita perlu mengakui, apa yang diperolehi orang Cina hari ini disebabkan oleh kerajaan yang sedia ada dan polisi yang dilaksanakan.

Perolehan yang paling ketara adalah kek ekonomi dan pendidikan. Kekayaan ekonomi telah diperolehi lebih 70 peratus. Manakala, dalam soal pendidikan, pendidikan Cinalah yang paling mendapat perhatian kerajaan, berbanding pendidikan lain.

Kerajaan telah membantu pendidikan Cina sehingga menenggelamkan pendidikan agama. Malangnya, dalam PRU13, mungkin tidak ada seorangpun guru-guru Sekolah Jenis Kebangsaan ini mengundi UMNO BN. Sekolah Jenis Kebangsaan sebenarnya menjadi lubuk melahirkan lebih ramai ultra kiasu, jika tidak dipantau daripada sekarang.

Sebenarnya saya sudah malas menulis menulis mengenai ultra kiasu selepas PRU13 atas dasar dakwah kerana ramai kawan-kawan seperjuangan mengatakan tulisan saya merugikan dakwah.  Tetapi melihat kepada gerak geri mereka, hati saya berkata-kata, tidak boleh jadi, sebab ultra kiasu menjadi semakin bongkak dan sombong.

Terbaharu, isu pembahagian kerusi exco negeri Selangor. Formula yang ditetapkan adalah 3:3:4 (PKR:DAP:PAS). Ultra kiasu bising wakil bangsa mereka kurang. Dapat lebih senyap, dapat kurang riuh. Bukankah dalam PKR sudah ada ramai ultra kiasu. Carilah 6 orang dari kalangan ultra kiasu itu tanpa mengira bangsa. Kenapa perkataan ‘Cina’ itu mesti berada di hadapan?

Saya difahamkan di Pulau Pinang, telah berjalan perancangan ultra kiasu melatih anak-anak ultra kiasu untuk membuat roti canai dan kuih muih Melayu. Selepas ini, orang Cina tidak perlu lagi pergi ke kedai mamak atau kedai Melayu untuk menikmati makanan tersebut kerana sudah ada di kedai Cina. Secara halus, bisnes mamak dan Melayu akan tutup dan bersedialah untuk berhijrah.

Ya, saya tidak nafikan tidak semua Cina yang rasis. Tetapi,  perlu diingat, ramai Cina yang rasis dalam parti ultra kiasu. Saya tidak akan label mereka ultra kiasu atau rasis, jika mereka menerima konsep negara Islam dan undang-undang Islam. Tetapi selagi mereka menolak hujah ini, selagi itulah mereka akan saya tentang dan label tersebut tidak akan berubah.

PAS pula janganlah terlalu perasan bahawa ultra kiasu telah menyokong mereka dan menerima Islam. Undi ultra kiasu kepada PAS sebagai tanda protes kepada UMNO BN, bukan kerana telah menerima Islam. Jika berlaku pertembungan antara calon PAS vs DAP. Jangan harapkan ultra kiasu mengundi PAS. Mereka mengundi PAS hari ini kerana berlaku pertembungan dengan UMNO. Jika PAS vs PKR, pasti mereka memilih PKR. Buka mata, buka minda.

Sunday, May 26, 2013

Bila hati Melayu mati

7:21 PM Posted by RIDHUAN TEE 31 comments


Artikel ini mendapat liputan meluas web Malaysiakini. Komen-komen yang diberikan amat tidak bertamadun. Biasalah... ultra kiasu.....

(Mingguan Malaysia 26 Mei 2013)

Ketegasan Menteri Pendidikan mengenai kedudukan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), beberapa hari lalu menarik perhatian saya. Kerajaan berpendirian, jika UEC mahu diiktiraf, mereka mesti melakukan pengubahsuaian dan perubahan selaras dengan dasar pendidikan negara dan berpandukan kepada undang-undang dalam Akta Pendidikan negara. Ini keputusan yang tepat, adil dan sangat bertoleransi. Jika ada tidak bersetuju, carilah negara lain yang boleh bersetuju.

Beginilah sepatutnya cara seseorang negarawan bertindak. Tanpa rasa takut. Cukuplah kita menjadi ahli politik hebat menjelang dan ketika pilihan raya. Apabila telah menang, tibalah masanya bertindak sebagai negarawan. Melihat kepada kepentingan semua, berbanding bangsa, dengan berpaksikan kepada perlembagaan.

Isu pendidikan Cina acapkali dan telah lama dibangkitkan oleh Persatuan Jawatankuasa Sekolah Cina Bersatu Malaysia (Dong Zong) dan sekutunya yang lain seperti seperti Jiao Zong, Dong Jiao Zong, Hua Zong dan berbagai Zong lagi. Nasihat saya, tidak perlu layan permintaan mereka lagi. Sudahlah. Kita sudah beri lebih daripada mencukupi. Apa balasannya?

Tidak keterlaluan saya katakan, selagi kita tidak penuhi permintaan mereka, sehingga kucing bertandukpun mereka akan terus desak dan tuntut. Segelintir Cina tidak akan berpuas hati selagi mana kita tidak memenuhi segala tuntutan kecinaannya. Mungkin tulisan ini terlalu ekstrem, tetapi inilah hakikatnya untuk  memahami budaya politik Cina.

Kita selalu mengajak orang lain keluar daripada kepompong rasis. Persoalannya, adakah orang Melayu sahaja yang perlu keluar dari sikap rasis? Kalau Melayu tidak fikir untuk Melayu, adakah orang lain yang diharapkan berfikir untuk masa depan Melayu. Adakah kita mengharapkan orang Cina berfikir untuk Melayu? Jika ada Alhamdulillah. Ia baik untuk pembinaan negara bangsa.

Realiti yang ada, pantang ada sedikit dikaitkan dengan Melayu, akan ditentang habis. Jika diasimilasikan atau diassociatekan dengan orang putih, tidak mengapa? Dengan Melayu pantang sekali. Inilah sikap rasis ultra kiasu.

Sebab itulah, ketika majlis angkat sumpah exco, pembukaan sidang parlimen atau DUN, atau apa jua majlis rasmi yang melibatkan raja, tidak ada seorangpun yang memakai pakaian kebangsaan (baju Melayu). Rata-ratanya memakaikan blazer dan tali leher. Sehingga pakai songkokpun mereka tidak mahu.

Seolah-olah memakai pakaian kebangsaan ini satu penghinaan. Wal hal, apa salah, ‘berkorban’ seketika, bukannya tiap-tiap hari, lima tahun sekali atau mungkin setiap kali penggal persidangan parlimen atau DUN.  Hina sangatkah memakai pakaian ini? Sudah sampainya kita wajibkan pemakaian tersebut. Jangan terlalu memberi kebebasan atas nama demokrasi, kita juga yang akan rugi nanti.
Bayangkan jika pakaian etnik masing-masing dibenarkan dalam majlis-majlis sebegini, maka meriahlah, berwarna-warnilah majlis rasmi tersebut seolah-olah pesta pakaian, bukan majlis rasmi. Tidak ada seorangpun kalangan mereka yang akan memakai pakaian kebangsaan. Sedangkan pakaian kebangsaan adalah untuk semua, bukan untuk orang Melayu. Samalah juga pemahaman sekolah kebangsaan untuk semua, bukan untuk orang Melayu.

Saya yakin selepas ini, untuk meraikan orang lain atau memastikan lebih ramai bukan Melayu menyertai, sekolah kebangsaan akan menjadi lebih liberal dan terbuka. Tidak mustahil, ada identiti penting Melayu akan tercabut.

Ini tidak termasuk menunaikan janji-janji PRU13 baru-baru ini untuk menambah sekolah, memberikan tanah dan banyak lagi tawaran sebagai alasan untuk memancing undi mereka kononnya.

Apakah akan berlaku suatu hari ini, demi untuk meraikan semua, kita yang berubah menjadi mereka, bukannya mereka yang sepatutnya berubah menjadi kita. Semua dasar mesti disesuaikan untuk mereka, bukan mereka menyesuaikan dengan sesuatu dasar kebangsaan.

Kita mempunyai dasar yang baik, seperti Dasar Kebudayaan Kebangsaan, Dasar Pendidikan Kebangsaan dan sebagainya. Bila tiba kepada perlaksanaan, selagi sesuatu bangsa itu tidak diraikan, selagi itulah dasar tersebut tidak diterima.

Ultra kiasu selalu berhujah, UEC telah diiktiraf di seluruh dunia, kenapa tidak di Malaysia? Jawapannya, kerana diiktiraf dunialah, menjadikan perangai mereka sanggup menterbalikkan jalur gemilang sebagai protes kepada kemenangan UMNO BN dalam PRU13 baru-baru ini. Kebanyakan mereka adalah lulusan UEC. Apakah jenis manusia sebegini yang ingin kita lahirkan.

Banyak negara lain yang tidak tahu berbahasa Cina, negara tersebut tetap maju dan urusan dengan negara China berjalan seperti biasa. Pendek kata, isu bahasa bukan isu hidup mati kemajuan sesebuah negara. Iran begitu aktif berhubung dengan negara China, tidak pula kedengaran, kerajaan Iran mewajibkan rakyat belajar bahasa Cina.

Sebelum PRU13, Perdana Menteri buat pertama kalinya dalam sejarah telah menjemput Dong Zong untuk berbincang tentang pengiktirafan UEC. PM menyarankan keperluan pelajar dari sekolah aliran Cina untuk mempunyai sekurang-kurangnya satu kredit kertas Bahasa Malaysia dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berserta dengan UEC, sebagai satu syarat untuk memohon memasuki IPTA. Tawaran sebeginipun sukar diterima? Apa lagi yang Cina mahu? Saya fikir persoalan ini tidak keterlaluan. Ketika kerajaan mula berlembut, adakah budi dibalas?

Permintaan PM ini terlampau kecil jika dilihat kelulusan membenarkan sekolah vernacular beroperasi secina-cinanya. Kenapa tidak dihargai toleransi ini? Mereka tetap bersangka buruk. Pada mereka, jika diberikan penekanan kepada BM, ia akan meninggalkan kesan kepada Pengajaran dan Pembelajaran bahsa Cina. Pendek kata, mereka mahu penguasaan mandarin secina-cinanya.
Kehendak mereka tidak mengapa gagal BM, asalnya lulus mata pelajaran lain yang semua diajar dalam mandarin sebagai kelayakan untuk memasuki IPTA.

Sekarang inipun, kesan daripada sekolah vernakular, berlaku polarisasi di kampus yang amat ketara. Pergilah ke IPTA. Jangan banding dengan IPTS, kerana majoriti mereka begitu ramai. Pergilah melihat Kolej New Era Kajang yang dipunyai sendiri oleh Dong Jiao Zong dan lulusan UEC mereka. Itupun kerajaan dalam kempen baru-baru ini mahu memberikan pengiktirafan sebagai Universiti penuh beberapa kolej Cina di Pulau Pinang. Dengan tawaran ini, adakah mereka simpati dengan kerajaan?

Saya mohon kepada kerajaan sebelum memberikan apa jua kelulusan kepada sekolah atau universiti perkauman ini, buatlah kajian terlebih dahulu. Beri kami geran untuk membuat kajian seperti ini. Ini tidak, sudah kajian tidak dibuat, asyik menyerang orang lain.

Misalnya, kontroversi kenyataan Datuk Mohd Noor Abdullah dan Tan Sri Abdul Rahman Arshad, menyeru kerajaan agar menghapuskan sekolah vernakular atas alasan ia menggugat perpaduan dan punca sokongan kepada pembangkang meningkat, harus dilihat secara positif. Kedua tokoh ini bersependapat sekolah vernakular menjadi punca perkauman semakin meluas di kalangan masyarakat pelbagai kaum dalam negara. Mereka turut mencadangkan kerajaan mengikut langkah negara jiran seperti Indonesia, Thailand dan Filipina yang menerima pakai penggunaan bahasa tunggal dalam dasar pendidikan mereka.

Sehingga kini, parti pembangkang dan ultra kiasu tidak habis-habis mengecam kenyataan yang dikatakan tidak bertanggungjawab kedua-dua tokoh tersebut dan menegaskan Perlembagaan Persekutuan melindungi sekolah vernakular dan pendidikan dalam bahasa ibunda, memetik Perkara 152 (1) (a) dan (b) dalam undang-undang tertinggi negara.

Kenapa harus mangsakan tokoh ini? Buatlah penyelidikan terlebih dahulu untuk melihat kebenarannya. Fikirkan agenda nasional, daripada agenda bangsa. Ultra kiasu menyuruh kita berhenti bercakap soal rasis. Tindak-tanduk mereka lebih rasis daripada orang rasis.

Tidakkah kita sedar kerajaan telah membantu SJKC sehingga menenggelamkan sekolah agama. Persoalannya, adakah guru-guru Sekolah Jenis Kebangsaan ini mengundi UMNO BN? SJKC sebenarnya menjadi lubuk melahirkan lebih ramai ultra kiasu, jika tidak dipantau daripada sekarang.

Ingatan saya kepada orang Melayu, jangan menjadi terlalu liberal dan bersekongkol dengan ultra kiasu. Misalnya, pendirian Ketua Pegawai Eksekutif Melayu yang telah digula-gula dengan jawatan tinggidi syarikat penerbangan murah. Beliau dengan lantang berkata "I am Malaysian. I am anti-racism. I am disgusted by Utusan's editorial stance. Nasihat saya, jaga baik-baik syarikat tambang murah ini. Tidak perlu campur perkara di luar bidang. Kalau tak tahu lebih baik diam. Fikirkan bagaimana cara untuk memanjangkan skirt dan menutup dada paramugari Melayu di syarikat penerbangan murah ini.

Baru-baru ini saya naik muak melihat layanan mereka terhadap Sir Richard Branson, pengasas/pengerusi Virgin Group), yang terpaksa berpakaian paramugari perempuan, anjuran syarikat penerbangan tersebut. Paramugari Melayu dipaksa melayan beliau termasuk mencukur bulu kakinya. Tertanya tanya saya ke mana hala tuju anak-anak Melayu yang bekerja di sini. Apakah mereka akan menjadi Melayu atau apa..? Sebahagian paramugari Melayu disuruh berlakon seperti kartun mencalup rambut dengan warna putih dan berpakaian seksi semata-mata meraikan orang putih tersebut. Nasihat saya kepada Melayu celup ini, selamatkanlah Melayu-melayu di sini daripada hancur dan hilang identiti. Majlis tersebut diakhiri dengan mandi arak. Cuba lihat you tube mereka.

Saya menyeru agar orang PAS menonton sama, kerana dalam harakah online, saya terbaca PAS begitu memuji Melayu celup ini hanya kerana bermusuh dengan Utusan dan UMNO BN. Nasihat saya kepada PAS, berhati-hati, nanti makan diri. Sokong seseorang bukan kerana marah kepada UMNO. Sokongan hendaklah berasaskan kepada apa yang benar, apa yang salah. Itu baru nama perjuangan Islam. Jika tidak, PAS ini sama sahaja dengan yang lain.

Ingatlah! tatkala orang lain semakin kuat Cina (Indianya), adakah orang Melayu perlu menjadi semakin menjadi liberal atau cair bagi menunjukkan bahawa kita tidak rasis.  Jika ini berlaku, Melayu tidak berlaku adil kepada bangsanya sendiri. Melayu telah menjadi pengkhianat kepada bangsanya sendiri. Jangan biarkan hati Melayu mati kerana terlalu meraikan orang lain.  

Prof Madya dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah
Ketua Program
Progra Pengajian Kenegaraan, Kepimpinan dan Ketamadunan
Fakulti Pengajian Pengurusan dan Pertahanan
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia


Monday, May 20, 2013

Transformasi kabinet dan cyber trooper

7:09 AM Posted by RIDHUAN TEE 29 comments
Transformasi kabinet dan cyber trooper 
(Buka Minda, Sinar Harian 20 Mei 2013)

Tahniah saya ucapkan kepada barisan kabinet yang telah dilantik. Jalankanlah amanah yang amat berat itu. Ingat! jawatan pemimpin ada perkiraan dunia dan akhirat. Pemimpin akan dihisab dahulu berbanding rakyat.

Beberapa muka baharu yang dilantik, menunjukkan bahawa PM mahukan kabinet kali ini lebih berintegriti daripada dahulu. Kita amat mengharapkan ia akan disambut oleh ahli kabinet lama yang dilantik semula. Ini peluang terakhir untuk UMNO BN membaiki diri. Jika gagal, saya tidak pasti apakah nasib UMNO BN pada PRU14.

Kepimpinan baharu perlu ingat, hari ini tentera-tentera siber ultra kiasu (cyber trooper) yang juga dikenali sebagai atau red bean army dan berbagai nama lagi, berkeliaran di merata tempat. Kerja mereka mencapai ‘kelemahan, ketirisan dan semua perkara negatif. Berhati-hati jugalah bila tinggal di hotel.

Bila dapat bukti, kerja mereka melancarkan serangan habis-habisan bagi memastikan niat mereka tercapai. Mereka telah diupah oleh ultra kiasu untuk mematikan watak seseorang (character assassination), termasuk menumbangkan kerajaan. Ia bermula dengan serangan individu.

Terbaharu, bekas hakim mahkamah rayuan yang mengeluarkan kenyataan yang kononnya ‘berbau perkauman’, diserang habis-habisan. Wal hal bekas hakim tersebut hanya mengingatkan, jangan terlalu menekan orang Melayu. Dibimbangi orang Melayu akan bertindak balas. Jika kita mengkaji psikologi orang Melayu, kenyataan ini ada benarnya. Persoalannya, kenapa beliau menjadi sasaran sedangkan ramai lagi yang berucap lebih teruk daripada beliau?

Adakah menghina Islam dan undang-undangnya, bangsa Melayu dan bahasanya dan raja Melayu tidak sensitif? Nasib baiklah,  bekas hakim ini, tidak ada skandal atau kenyataan-kenyataan yang sensitif sebelum ini, jika tidak nasibnya mungkin sama seperti Zulkifli Nordin dalam PRU13 baharu ini.

Dalam kempen PRU13 lalu, Zulkilfi Nordin diserang habis-habisan. Ucapannya pada tahun 2003, dimanipulasikan dan diekspoitasikan, hanya kerana beliau bertanding atas tiket UMNO BN. Kenapa dan mengapa, video tersebut tidak dimainkan ketika beliau bertanding di bawah PR pada tahun PRU11 2004 dan PRU12 2008?

Ringkasnya, sesiapa sahaja ‘public figure’ yang ‘pro’ UMNO BN akan ‘ditelanjangkan’ habis-habisan oleh tentera siber laknat ini. Niat mereka hanya satu, mahu menakut-nakut rakyat terhadap UMNO BN, menggunakan psychological  war far dan menaikkan PR.

Saya difahamkan tentera siber ini telah diupah oleh ultra kiasu untuk melaksanakan agenda jahat mereka. Kumpulan ini telah didoktrinkan untuk menentang kerajaan. Kita harapkan KDN dan kementerian komunikasi akan melihat perkara ini dengan serius.

Sama ada mereka dibayar atau tidak, saya tidak dapat pastikan tetapi pengdoktrinisasi telah berlaku. Otak mereka telah dicuci. Ini paling bahaya. Kerja mereka hanya satu, lancarkan serangan siber. Misalnya, dahulu isu pekerja KFC Melayu ‘memukul’ pelanggannya berbangsa Cina. Isu ini hanya isu kecil, mereka perbesarkan jadi isu perkauman. Mereka ajak pelanggan bukan Melayu boikot KFC, hanya kerana pemegang francais adalah orang Melayu. Begitu juga kempen memboikot jenama roti terkenal kepunyaan orang Melayu. Apakah ini tidak rasis?

Justeru, saya amat mengharapkan kabinet baharu berhati-hati dengan serangan tentera siber ini. Cara tidak lain, jaga diri, ahli keluarga dan berhemah dalam berbelanja. Utamakan rakyat sebagaimana tagline gagasan 1Malaysia.  Bukan kita takut dengan mereka. Jangan beri peluang mereka mencari atau mendapatkan kelemahan kita.

Siapa sahaja yang mempertahankan atau membela UMNO BN akan dilabelkan sebagai anjing, babi, pengkhianat bangsa dan sebagainya. Saya telah melalui semua serangan ini. Saya tidak kata semua UMNO BN lakukan itu betul.

Terbaharu, seorang warga emas Cina di negeri Pahang, berusia 72 tahun, sehingga ke hari ini sudah 20 hari tidak makan, hanya minum sahaja, mogok lapar membantah projek kontroversi Lynas dan perlombongan emas di Bukit Koman. Beliau mahukan projek ini dihentikan. Sedangkan bukti-bukti saintifik menunjukkan projek tersebut tidak membahayakan. Bagaimana pula jika projek ini berada di kawasan orang Melayu? Adakah protes yang sama akan dilakukan?

Harapan saya agar kabinet baharu ini benar-benar dapat melaksanakan amanah berat ini. Bertindaklah dengan tegas. Utamakan agenda negara daripada agenda bangsa berpaksikan perlembagaan. Jika dalam perlembagaan, terpancar perlindungan terhadap Islam, Melayu (bumiputera), bahasa Melayu dan Raja Melayu, jangan takut untuk mempertahankannya.

Kadangkala saya amat sedih apabila kita terlampau melayan agenda bangsa, sehingga agenda negara tidak tentu haluan. Misalnya, isu sekolah kebangsaan. Memang paling ideal, kita hanya memerlukan sekolah satu aliran. Pergilah ke mana ceruk dunia sekali.

Justeru, bila kerajaan membenarkan sekolah pelbagai aliran (sekolah vernacular), bersyukurlah. Jangan jadi kaduk naik junjung. Ini tidak, apa jua agenda kerajaan untuk memperkasakan agenda negara ditentang! Misalnya, pemerkasaan bahasa Melayu di sekolah vernacular, ditentang habis-habisan, hatta sampai ke peringkat mensyaratkan kepada kerajaan supaya guru BM dan BI mesti mendapat kredit dalam mandarin peringkat SPM. Bermakna, guru BM dan BI mesti datang daripada SMJKC, walaupun mereka berbangsa Melayu atau India.

Persoalannya, kenapa siber trooper tidak melihat isu ini sebagai rasis. Begitu juga tuntutan untuk menghalalkan sijil UEC dan semua universiti di China dan Taiwan. Sedangkan pelajar-pelajar yang dihantar ke sana, begitu kurang ajar, sanggup menterbalikkan jalur gemilang apabila UMNO BN memenangi PRU13 baru-baru ini. Kenapa tentera siber tidak serang pelajar kurang ajar ini? Kenapa ultra kiasu diam sahaja akan tindakan mereka. Kita gagal dalam melahirkan warga yang patriotik. Yang ada hanya warga yang rasis. Melayu dituduh rasis, mereka tidak. Apakah ini adil?.