Semua artikel adalah pendapat peribadi. Anda berhak untuk tidak meneruskan bacaan atau tidak mengakseskan blog ini serta merta jika anda tidak bersetuju dengan pemikirannya. All the articles written are the personal views. You have absolute rights not to continue reading or to discontinue accessing this blog immediately if you are disagreeable with the personal views.

Monday, October 29, 2012

Berkorban jangan sampai terkorban

12:51 PM Posted by RIDHUAN TEE 35 comments
hari ini, 2 artikel saya disiarkan dalam 2 akhbar dan tajuk berlainan, sinar harian dan Utusan malaysia

(SINAR hARIAN 29 Okt 2012)
 
Pada minggu lalu, seorang pemimpin parti ultra kiasu mengeluarkan kenyataan bahawa pendidikan berasaskan bahasa ibunda atau sekolah vernakular bukanlah punca kepada polarisasi.

Beberapa polisi kerajaan sedia ada, merujuk kepada hak istimewa orang Melayu dan DEB, menjadi punca polarisasi seperti kemudahan pemberian lesen dan bantuan biasiswa. Kenyataan ini keluar sejurus selepas senator Melayu ultra kiasu mengeluarkan kenyataan sekolah agama punca kepada polarisasi.

Lebih memeranjatkan lagi, resolusi perhimpunan agung parti ini mendesak kerajaan supaya i) mencinakan lagi SMKJC Chong Hwa Kuantan, tidak lama lagi di Segamat. ii) mengekalkan silibus Bahasa Melayu (BM) di SJKC yang selama ini begitu mudah berbanding sekolah kebangsaan, iii) mahukan kursus vokasional diajar dalam bahasa ibunda (Cina), iv) menaik taraf Kolej Tunku Abdul Rahman menjadi kolej universiti. v) penggunaan pelbagai bahasa dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah, bukan BM sahaja, makna turut menggunakan bahasa Cina dan berbagai lagi tuntutan lain. Ternyata, resolusi begitu ultra kiasu, terus mementingkan bangsa berbanding agenda negara.

Ketika merasmikan perhimpunan itu, Perdana Menteri (PM) turut mengumumkan peruntukan RM30 juta kepada 78 SMJKC seluruh negara. Sudah pasti ia akan menjadi peruntukan tahunan. Kayalah nampaknya SMJKC; derma datang mencurah-curah. Saya bukan dengki, tetapi sedih melihat sekolah agama.

Ya, saya tidak nafikan sumbangan sekolah vernakular dalam pembangunan, tetapi tidakkah kita perlu melihat sama aspek negatif, seperti niat murni PM mahukan ultra kiasu menguasai bahasa Melayu dengan baik.

Malangnya, isu penguasaan BM langsung tidak dibincangkan dalam perhimpunan tersebut, apatah lagi diresolusikan. Sungguh licik ultra kiasu ini. Dalam kepala mereka semuanya memperkasa dan memperkayakan bangsa.

Sebelum ini, pemimpin ultra kiasu ini mengeluarkan kenyataan menghina Islam dengan mengatakan 1.2 juta rakyat Malaysia hilang pekerjaan jika hudud Pas dilaksanakan. Dia juga kata negara yang mengamalkan hudud adalah antara yang paling korup. Ultra kiasu boleh memusuhi Pas, tetapi jangan sama sekali menghina Islam, kerana Islam itu mulia dan dilindungi perlembagaan.

Saya juga boleh menghina agama Buddha, Kristian, Hindu dan lain-lain, tetapi Islam tidak membenarkan. Kenapa ultra kiasu begitu biadab? Kerana kita takut kepada mereka, meletakkan undi segala-galanya, sedangkan mereka belum tentu mengundi kita. Kita yang terhegeh-hegeh. Pas pun sama. Nasihat saya kepada pemimpin ultra kiasu, jangan campur hal ehwal Islam.

Sejarah membuktikan, tanpa penguasaan bahasa pun, interaksi antara kerajaan China dengan Tanah Melayu begitu rancak sejak lebih 600 tahun lalu dan sebelum itu. Ketika itu, kerajaan Melaka telah mengamalkan undang-undang Islam.

Orang Melayu tidaklah pandai berbahasa Cina, tetapi sikap dan perangai orang Melayu yang begitu lunak berteraskan cara hidup Islam, menjadi faktor penarik kepada orang luar untuk berinteraksi, selain mendapatkan hasil bumi melimpah ruah. 

Ini menjadikan orang Cina datang berdagang terpaksa mempelajari BM untuk berinteraksi dengan alam Melayu. Di manakah hujah mengatakan kuasa China bangkit hari ini maka kita mesti menguasai bahasa Cina, termasuk memperbanyakkan sekolahnya? Yang perlu diubah hari ini ialah perangai dan sikap orang Melayu yang tidak yakin kepada kekuatan dan kehebatan diri sendiri. Inferioriti kompleks, memandang rendah cara hidup sendiri dan cara hidup Islam.

Sebenarnya kita telah diperbodohkan? Menjadi mangsa korban kerana terlalu banyak berkorban. Kuasa dan politik adalah segala-galanya. Mungkin kita boleh berseronok untuk jangka pendek, tetapi tidak jangka panjang. Pasti anak cucu-cicit kita akan merana.

Apakah tidak berlaku polarisasi jika sejak dari kecil kita dipisahkan dalam segala aspek. Apabila sampai ke peringkat menengah, mereka berasa janggal untuk berkomunikasi disebabkan masalah bahasa. Perkara ini terbawa-bawa hingga ke peringkat pengajian tinggi.

Kajian saya mengenai polarisasi di IPT, sudah jelas menunjukkan semua ini disebabkan pembawaan sejak kecil. Bayangkan jika ditambah lagi SJKC, SMJKC dan sekolah persendirian. Bermakna semakin kurang bukan Melayu di sekolah kebangsaan. Akan bercampurkah anak-anak kita nanti. Selepas itu, mereka melanjutkan pelajaran di China dan Taiwan. Jenis manusia apakah yang ingin kita lahirkan di Malaysia ini?

Sempena hari raya korban ini, saya menyeru kepada seluruh pemimpin negara tercinta ini supaya melakukan korban untuk kepentingan negara, bukan bangsa, tidak semata-mata pilihan raya. Matlamat utama kita adalah untuk mengekalkan negara berada di tangan umat Islam, terjamin hak dan identiti Islamnya.

Amat jarang berlaku dalam sejarah dunia, identiti negara itu tercabut dek kerana terlalu meraikan orang lain. Boleh berkorban, tetapi jangan sampai agama dan anak bangsa terkorban.

http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/ridhuan-tee-abdullah/berkorban-jangan-sampai-terkorban-1.98572

Ucapan 'sekular' tidak mengikat

12:40 PM Posted by RIDHUAN TEE 10 comments

(Utusan Malaysia, 28 Okt 2012)

BIDANG saya bukanlah undang-undang, tetapi politik dan kerajaan. Namun, saya naik muak apabila pakar undang-undang bercakap, tetapi tidak mencerminkan keintelektualan mereka. Mereka hanya mahu menonjolkan diri seolah-olah pakar segalanya. Sejauh mana kepakarannya, masih menjadi tanda tanya.

Saya bersetuju dengan kata-kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri bahawa Malaysia bukanlah negara sekular kerana tidak disebut dalam Perlembagaan Persekutuan perkataan itu. Yang ada hanya ucapan pemimpin dan interpretasi mereka. Ultra kiasu mengatakan Tunku Abdul Rahman telah mengisytiharkan Malaysia sebuah negara sekular. Kata-kata pemimpin tidak mengikat (binding), berbanding undang-undang dalam Perlembagaan.

Saya boleh bersetuju untuk tidak bersetuju dengan pendapat dan kata-kata sesiapa pun. Sama seperti ketika bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengisytiharkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam. Kita boleh menerima dan tidak menerima pengisytiharan itu kerana ia tidak mengikat. Maka, kenapa kita perlu terlibat dengan polemik ultra kiasu yang menangguk di air keruh?

Saya ada hak untuk akur atau ingkar kepada pendapat seseorang pemimpin. Ultra kiasu boleh memetik daripada pelbagai sumber untuk menunjukkan negara ini negara sekular, tetapi saya tetap beranggapan negara ini negara Islam, berasaskan sejarah, majoriti umat Islam dan Perlembagaan yang jelas meletakkan keistimewaan agama Islam, Melayu dan Raja-raja Melayu, berbanding perkara lain dalam banyak hal. Rujuk perkara 3, 11, 12, 32-42, 152, 153, 160 dan lain-lain. 

Ini termasuk menggunakan peruntukan negara untuk mendirikan institusi Islam dan menyebarkan syiar Islam. Di sinilah terletaknya makna keadilan, memberikan hak kepada yang berhak, meletakkan sesuatu pada tempatnya. Jika umat Islam membina masjid di tanah kerajaan, ia dibenarkan, mengambil kira kedudukan Islam dalam Perlembagaan manakala jika orang bukan Islam sewenang-wenangnya memacakkan rumah ibadat mereka, maka boleh diambil tindakan, sebab ia tidak ada dalam peruntukan Perlembagaan. Itupun kita begitu takut melakukannya. Yang selalu menjadi korban adalah masjid dan surau. 

Saya begitu teruja dengan pendapat dua orang pakar perundangan Melayu, mengenai kebimbangan Perlembagaan diganti dengan undang-undang Islam. Saya tidak tahu sejauh mana pakarnya mereka ini. Tetapi perlu diingat, kepakaran mesti disertai dengan asas hidup beragama. Menjadi pakar adalah satu hal, memahami kepakaran daripada perspektif sejarah dan Islam, satu hal lain yang perlu diketahui, supaya kepakaran kita selari dengan cara hidup Islam.

Keputusan Mahkamah Tinggi mengenai kes transeksual Muslim di Negeri Sembilan baru-baru ini, menimbulkan kebimbangan dua orang 'pakar' undang-undang yang ditemubual oleh laman web Malaysian Insider. Katanya, undang-undang Islam bakal menggantikan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi di negara ini. Jika pun benar, apa masalahnya? Hakim menjatuhkan keputusan berasaskan kepakarannya. 

Secara peribadi, saya suka keputusan itu. Hakim Mahkamah Tinggi, menolak cabaran oleh sekumpulan Muslim transeksual terhadap peruntukan undang-undang Islam yang menyekat lelaki daripada memakai pakaian wanita atau berpakaian seperti wanita dengan hujah, seorang Muslim tidak dikecualikan daripada undang-undang Syariah.

Dua pakar tersebut melahirkan kebimbangan mereka, dengan memberi contoh kes itu sebagai bukti Perlembagaan Persekutuan bukan lagi menjadi rujukan. Hal ini akan menyebabkan penghakiman mengutamakan undang-undang Islam daripada undang-undang lain, dalam sistem dua mahkamah di negara ini. Penghakiman tersebut katanya, meletakkan enakmen Islam lebih tinggi daripada Perlembagaan. 

Persoalan saya, bukankah perkara ini melibatkan hal ehwal Islam, di manakah salahnya? Hakim menjatuhkan keputusan berasaskan budi bicara setelah mendengar semua hujah daripada peguam cara dan peguam bela. 

Mereka mendakwa bahawa keputusan Mahkamah Tinggi tersebut adalah sama dengan keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini, yang mana ia menetapkan bahawa Islam mesti dilindungi dengan "apa cara sekalipun". Pada saya, ini adalah keputusan tepat dalam melindungi umat Islam, yang berhak ke atas sistemnya sendiri.

Wartawan ultra kiasu turut menemu bual peguam veteran bukan Islam, bekas Setiausaha Agung Majlis Peguam, bagi menjustifikasikan Malaysia adalah negara sekular, agar undang-undang syariah tidak terpakai. Maka peguam ultra kiasu pun menjawab bahawa Malaysia adalah negara sekular dengan merujuk kepada pendapat Hakim Abdul Hamid, seorang Hakim Mahkamah Persekutuan Pakistan yang menjadi salah seorang panel yang menganggotai Suruhanjaya Reid (1956), dalam membantu merangka Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu, mengatakan negara ini sekular. 

Kedangkalannya semakin terserlah apabila beliau mengkritik Dr. Mahathir secara unilateral mengisytiharkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam dalam ucapan politik di Persidangan Kebangsaan Perwakilan Parti Gerakan pada 2001. Dr. Mahathir, katanya, menidakkan pengumuman sekular yang dibuat oleh Perdana Menteri sebelum itu, seperti Tunku Abdul Rahman dan Tun Hussein Onn.

Hujah beliau turut dipersetujui oleh dua peguam Melayu itu. Kata mereka, hanya kerana Perlembagaan Persekutuan tidak mempunyai perkataan 'sekular', tidak bermakna bahawa Malaysia bukan sebuah negara sekular. Sama juga seperti perkataan 'demokrasi' tidak disebut dalam Perlembagaan, tetapi negara kita mengamalkan demokrasi berparlimen. 

Sebuah negara Islam akan meletakkan al-Quran sebagai pihak berkuasa tertinggi, tetapi Perlembagaan kita menyatakan dalam Perkara 4 menetapkan Perlembagaan merupakan undang-undang tertinggi negara ini. Ternyata, mereka tidak faham sejarah negara dan konsep separation of power yang dibawa British.

Ultra kiasu selalu berhujah, Tun Salleh Abas semasa menjadi Ketua Hakim Negara, pernah berkata undang-undang negara ini sekular dengan merujuk kepada kes Che Omar Che Soh (1988). Hukuman mati ke atasnya adalah tidak sah kerana ia mengikut hudud, atau undang-undang Islam. 


"Bagaimanapun, kita perlu mengetepikan perasaan peribadi kita kerana undang-undang di negara ini adalah masih apa yang ia ada hari ini, undang-undang sekular, di mana moral tidak diterima oleh undang-undang dan tidak menikmati status undang-undang". Sama ada dakwaan ultra kiasu ini benar atau tidak, hanya Tun Salleh boleh memberikan jawapannya, kerana hanya ultra kiasu sahaja yang berminat dengan kata-kata ini. 

Dakwanya mereka lagi, Malaysia adalah sebuah negara sekular kerana semua undang-undang mesti selaras dengan Perlembagaan dan Perlembagaan adalah satu dokumen sekular. Undang-undang syariah wujud kerana Perlembagaan membenarkannya. 

Agensi-agensi Islam tertakluk kepada undang-undang Perlembagaan sekular itu. Lebih ekstrem lagi kata mereka, satu-satunya cara untuk menghilang status sekular Malaysia adalah melalui pindaan Perlembagaan, yang memerlukan persetujuan majoriti dua pertiga Parlimen dan persetujuan Majlis Raja-Raja serta Sabah dan Sarawak, yang mana perkara ini tidak mungkin berlaku.

Persoalannya, kenapa kita terlalu obses dengan label sekular, sedangkan perkataan ini langsung tidak disebut dalam Perlembagaan? Apa agenda dan tujuan di sebalik membangkitkan perkataan sekular itu? Tanpa melabel perkataan sekular itu, perlembagaan tetap Perlembagaan, satu set dokumen undang-undang tertinggi negara dan berdaulat.

Sekular atau tidak, kita yang menginterpretasinya. Ia tetap akan menjadi sumber rujukan pengamal undang-undang. Bagi umat Islam, mereka ada keistimewaannya, kerana kedudukan Islam begitu jelas terpelihara. Apa yang sekularnya?

Saya tertarik dengan pendapat Uthman El-Muhammady, sekularisme dalam mengikut pengertian Barat tidak wujud sama sekali di Malaysia. Umat Islam mesti segera menghentikan pertikaian berkenaan dan kembali kepada fahaman konsep sayang kepada bangsa dan agama mengikut Islam. Inilah yang Islam ajar. 

Jangan sesekali melanggar kerangka asal ini dan sewajarnya perlu diperkemaskan lagi untuk dijadikan contoh kepada kaum minoriti lain. Mereka yang melanggar kerangka asal ini dipanggil "Intellectual And Spiritual Barbarian" (kebiadapan intelektual rohani) yang tidak boleh dimaafkan, termasuk peguam Melayu tersebut. Ini tidak boleh dibiarkan berlaku atas dasar kebebasan mengeluarkan pendapat. 

Kata beliau lagi, pendapat yang menyebut sekular mula wujud di negara ini sejak kedatangan penjajah adalah tidak benar sama sekali. Pemisahan agama, adat dan raja pada waktu itu adalah pengasingan pentadbiran bukannya pengasingan agama secara total dalam pentadbiran. Pokok pangkal sekular ialah pengecualian agama daripada semua ruang awam. 

Agama dipisahkan dalam pendidikan, pentadbiran, sektor keselamatan, bank dan lain-lain. Kita tengok dalam pentadbiran negara hari ini, agama tidak dipisahkan sama sekali. Malah dalam apa jua aspek, agama ditekankan. Cuma mungkin secara tidak menyeluruh kerana kita sedang mengalami perubahan.

Kesimpulan, meneliti kepada semua hujah, saya dapat katakan, negara kita (perlembagaan), sekular pun tidak, terlalu Islamik pun tidak. Tetapi kedudukan Islam tetap terjamin dan ada keistimewaannya dan tidak boleh diganggu-gugat oleh sesiapa pun. Maka, janganlah terperangkap permainan ultra kiasu licik ini.


PROF. MADYA DR. MOHD. RIDHUAN TEE ABDULLAH
Ketua Program, Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.

Monday, October 22, 2012

Kedangkalan memahami komunis

8:50 AM Posted by RIDHUAN TEE 62 comments


Sinar Harian 22 Okt 2012)

Isu komunis bergema kembali apabila berlaku perbicaraan di mahkamah. Memberikan pengikhtirafan kepada komunis sebagai pejuang adalah kenyataan yang begitu menyimpang daripada landasan ilmu. Saya sarankan ahli politik tersebut masuk universiti semula untuk belajar. Lainlah kalau beliau dari kalangan ahli parti ultra kiasu yang memang asalnya adalah komunis.

Inilah akibatnya apabila orang yang tidak pakar, mahu juga bercakap dalam bidang bukan kepakarannya. Akhirnya, semua menjadi haru biru. Apakah benar komunis itu seorang pejuang kerana berjuang membebaskan tanahair ini daripada penjajahan British? Untuk memahami komunis, ia perlu dilihat secara pakej, bukan insiden-insiden tertentu. Jika begitulah keadaan, sayapun boleh katakan bahawa Hitler itu baik dalam beberapa aspek tertentu.

Komunis tidak ada pilihan, walaupun tidak dinafikan bahawa British agak lunak terhadap komunis (PKM) ketika kependudukan Jepun daripada 1941-1945. British terpaksa memperalatkan komunis untuk kepentingannya, menduduki semula Tanah Melayu. British mahu membalas dendam kepada orang Melayu kerana berbaik dengan Jepun dengan menjadi Melayu sebagai polis untuk menangkap Cina (PKM) yang terpaksa lari ke dalam hutan.

Jika ditakdirkan British tidak masuk semula selepas Jepun menyerah kalah akibat pengeboman Nagasaki dan Hiroshima, sudah tentu negara ini di bawah penguasaan PKM. PKM telah menggunakan peluang sepenuhnya, vakum selama 14 hari selepas mengunduran Jepun untuk menguasai Tanah Melayu. Berapa ramai orang Melayu telah menjadi korban dendam komunis. Apakah Naib Presiden PAS lupa?

Nasib baik British segera sampai selepas tempoh vakum tersebut. Akibatnya PKM terpaksa lari semula ke dalam hutan dan membuat kacau. Ada apa lagi pilihan kepada PKM selain menentang British. Menentang British bererti menentang Melayu. Jika British berjaya ditentang, sudah tentu yang menang akan menguasai orang Melayu dan Tanah Melayu. Inilah perancangan komunis yang gagal difahami oleh ahli politik tersebut.

Peristiwa Bukit Kepong (Muar) 23 Februari 1950, adalah pertempuran berdarah antara pihak polis dan Parti Komunis Malaya, selepas darurat diisytiharkan (1948-1960). Pihak Komunis melancarkan serangan gerila ke Balai Polis Bukit Kepong. Peristiwa tragik berakhir dengan penyembelihan berdarah, membunuh hampir kesemua pegawai polis yang bertugas di situ. Pihak PKM mendakwa mereka adalah wira kerana berjaya mengalahkan ‘tali barut’ British (polis Melayu). Muhammad Indera yang mengetuai PKM, bersama Goh Peng Tun dalam serangan tersebut dinobatkan oleh PKM dan Naib Presiden PAS sebagai wira.

Pemikiran komunis sebegini sama seperti mahu mengiktiraf MPAJA sebagai pejuang kerana mereka menentang Jepun untuk kemerdekaan negara ini. Maka tugu peringatan MPAJA dibina di Taman Peringatan Nilai, Negeri Sembilan. Walaupun ditentang oleh banyak pihak, ultra kiasu terus juga membinanya kerana pada mereka MPAJA adalah wira menentang Jepun, seperti komunis menentang British.

Ultra kiasu sengaja lupa bahawa penentangan MPAJA terhadap Jepun, bukan untuk membebaskan Tanah Melayu daripada Jepun, tetapi disebabkan oleh dendam Cina terhadap Jepun dan begitulah sebaliknya.  Jepun dan China pernah beberapa berperang sekitar tahun 1890an dan 1937. Dendam kesumat mereka berlarutan hingga ke hari ini. Justeru untuk mengatakan bahawa MPAJA adalah pejuang adalah dangkal sama sekali dan tidak memahami sejarah yang sebenar. Pihak berkuasa tempatan sepatutnya mengambil tindakan terhadap pembinaan tugu tersebut.

Apakah mereka yang menyertai PKM dan MPAJA boleh dinobatkan sebagai wira, sedangkan niat mereka adalah untuk menguasai Tanah Melayu dan membalas dendam terhadap Melayu? Walaupun ketika itu British agak lembut terhadap PKM, bagi tujuan menghalau Jepun, tetapi British tetap mengambil pendekatan memusuhi komunis selepas menguasai Tanah Melayu semula. Kita seolah-olah lupa siapakah yang dikatakan komunis?

Menurut George (1991), di China, sistem komunis yang telah diamalkan selama tidak kurang 50 tahun tidak begitu tertera dalam ingatan dan hati orang Cina seperti sistem nilai yang tertumpu pada keluarga yang lebih lama dan kekal. Pada pandangan generasi muda, sistem komunis ialah satu ideologi yang gagal. Perasaan hampa yang dirasakan oleh ramai orang selepas pembunuhan beramai-ramai di Tiananmen  Square pada bulan Jun 1989 telah menyebabkan tidak kurang 50,000-100,000 penduduk China Republik Rakyat China (PRC) meminta perlindungan politik atau hanya terus tinggal di negara-negara Barat dan juga Hong Kong (George, 1991). 

Dalam Muktamar Alim Ulama seluruh Indonesia; yang dijalankan pada tarikh  8-11 September 1957 di Palembang, Sumatera Selatan, Indonesia, yang dihadiri oleh 325 orang Ulama, sebulat suara membuat keputusan bahawa ideologi komunis mengandungi ajaran atheisme dan anti agama.  Komunisme dalam bidang sosial menganjurkan pertentangan kelas dan perjuangan kelas. Dalam bidang ekonomi, ia menghilangkan hak  perseorangan. Ideologi komunis bukan saja berlawanan dengan ajaran Islam pada khususnya dan agama-agama lain pada umumnya, akan tetapi bertentangan dengan kehidupan beragama.  Muktamar tersebut juga memutuskan bahawa ideologi komunis adalah kufur hukumnya dan haram bagi umat Islam menganutnya. Jika ada orang Islam yang menganut ideologi dengan keyakinan dan kesedaran, maka kafirlah ia dan tidak sah menikah dan menikahkan orang Islam, tidak  pusaka mempusakai dan haram jenazahnya diselenggarakan oleh orang Islam. Bagi orang Islam yang menyertai organisasi atau parti yang berideologi komunis seperti Partai Komunis Indonesia (PKI), Sentral Organisasi Buruh Seluruh Indonesia(SOBSI), Pemuda Rakyat (PR), dan lain-lainnya, maka sesatlah ia, dan wajib bagi umat Islam menyeru mereka agar meninggalkan organisasi tersebut. Haram hukumnya bagi umat Islam untuk mengangkat atau memilih pemerintah yang berideologi komunis (Abdul Qadir Djaelani, 2000).

Kepada Melayu yang menyertai parti ultra kiasu dan mengiktiraf komunis sebagai wira, bertaubatlah, mudah-mudahan akidah kita terjamin.



Saturday, October 20, 2012

Tidak salah jadi ‘Cina pisang’

6:59 AM Posted by RIDHUAN TEE 46 comments


(Utusan Malaysia 20 Oktober 2012)



Perdana Menteri (PM) mengatakan baru-baru ini Malaysia adalah satu-satunya negara di luar China yang mengiktiraf pendidikan Cina sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan. Perdana Menteri juga  menegaskan, ketika menjadi menteri pelajaran, Akta Pendidikan 1996 diwujudkan menggantikan Akta Pelajaran 1961.



Akta Pelajaran 1961 amat ditakuti kerana memberi kuasa penuh kepada menteri pelajaran untuk menukar sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) kepada sekolah kebangsaan. Akta Pelajaran 1996, memberikan signifikan amat besar kepada pendidikan Cina. Kerajaan secara langsung mengiktiraf kewujudan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC) dan Sekolah Persendirian Cina (SPC) sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan yang bersifat kekal. Belajarlah berterima kasih kepada PM.



Sekadar makluman, selepas 1996, lebih banyak sumber kewangan diperuntukkan pendidikan Cina. Pada masa itu, terdapat 78 sekolah menengah Cina yang memilih untuk mematuhi silibus dan pengajaran kerajaan dan ia menjadi SMJKC, manakala 60 lagi kekal sebagai SPC. Ini tidak termasuk sejumlah hamper 1,300 SJKC yang diterima masuk sebagai sistem pendidikan kebangsaan. Bilangan SJKC terus bertambah setiap tahun melalui bantuan kerajaan sepenuhnya.



Akta 1996 yang lunak ini membolehkan kerajaan memberi bantuan kewangan, fiskal dan sumber perancangan kepada sistem pendidikan Cina. Namun, sedarkah kita bahawa akta ini juga ditentang oleh NGO Cina seperti Dong Jiao Zong, kerana mereka tidak mahu langsung sekolah Cina diganggu-gugat. Mereka mahu beroperasi dengan penuh kecinaan.



PM turut menjelaskan kedudukan terkini permohonan pembinaan sekolah menengah persendirian Cina di Kuantan, Pahang seperti yang dituntut komuniti di kawasan tersebut. Syarat yang dikenakan adalah pelajar-pelajar ini wajib mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan jika pelajar mahu mengambil peperiksaan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC), itu terpulang kepada mereka. Kerajaan juga menyediakan peruntukan kira-kira RM100 juta untuk membangunkan SJKC di seluruh negara. Selain itu, kerajaan turut menawarkan biasiswa kepada pelajar-pelajar terbaik UEC selain menyelesaikan segera isu kekurangan guru di SJKC. Itupun masih ditentang kerana mereka mahu UEC diiktiraf sepenuhnya tanpa mengambil SPM.



Sebagai timbal balas, PM menaruh harapan melihat masyarakat Cina di negara ini fasih berbahasa Melayu. Persoalannya, bolehkah harapan PM ini dipenuhi oleh komuniti Cina, terutama kumpulan ultra kiasu, setelah kerajaan memberi begitu banyak kemudahan dan begitu bertoleransi.



Tidak ada negara di dunia ini yang begitu bermurah hati dan bertoleransi seperti apa yang negara kita lakukan. Persoalannya, kenapa tidak dihargai? Apa jua cadangan kerajaan untuk penambaikan sekolah Cina adalah ditentang habis-habisan. Toleransi yang tidak ada tolok bandingnya ini masih lagi diterima. Apa yang dimahukan oleh orang Cina? Apakah mereka mahu tinggal di pulau sendiri seperti Singapura dan sasaran mereka hari ini adalah Pulau Pinang.



Lebih memeranjatkan lagi, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah menjelaskan isu pendidikan dan kesaksamaan ekonomi, yang disebut sebagai road map, adalah daya penarik bagi menarik undi masyarakat Cina yang kebanyakannya kini beralih menyokong Pakatan Rakyat (PR). Road map yang dimaksudkan mengiktiraf UEC, seperti kerajaan mengiktiraf sijil dikeluarkan Kolej Tunku Abdul Rahman. Selain itu, terdapat beberapa tuntutan  utama lain yang mesti dipenuhi dipenuhi iaitu mengatasi masalah kekurangan guru di SJKC; menghalau keluar guru-guru bahasa Melayu dan Inggeris yang tidak mempunyai kredit mandarin dalam SPM, kesukaran permohonan pendaftaran ahli lembaga pengarah pengelola sekolah Cina, mencinakan penubuhan Sekolah Menengah Chong Hwa Kuantan, meluluskan penubuhan sekolah Cina persendirian Segamat, tambahan peruntukan pembangunan SJKC dan menyediakan rizab tanah sekolah Cina dan peruntukan yang diperlukan untuk membina sekolah.



Kata Saifuddin lagi, sekiranya isu-isu seperti itu berjaya diselesaikan, komuniti masyarakat Cina berkemungkinan besar akan kembali untuk menyokong kerajaan. Persoalan saya, jika semua tuntutan dipenuhi identiti apa yang akan tinggal? Kita membina negara atau membina bangsa? Raikan bangsa majoriti atau minoriti?



Saya harap kerajaan buat audit akaun-akaun NGO-NGO ini termasuk PIBG dan sumbangan hartawan Cina kepada mereka. Percayalah, jutaan wang telah ditaburkan. Maka tidak hairan jika kemudahan sekolah Cina jauh lebih baik daripada sekolah kerajaan kerana sikap dermawan hartawan mereka. 



Perkara yang perlu difikirkan adakah pendidikan dan masa depan boleh dijual beli? Sampai bila kita harus tunduk kepada desakan Cina kerana undi. Apakah kita lebih mementing undi Cina daripada masa depan agama, bangsa dan negara? Jika semua tuntutan ini dipenuhi maka berlakulah proses pencinaan 100 peratus. Mereka lebih cina daripada orang Cina di China. Ini tidak termasuk, proses pencinaan IPTS swasta yang hebat berlaku dan IPTS berasaskan parti politik perkauman. Proses pencinaan berlaku daripada sekolah rendah sehingga ke peringkat institusi pengajian tinggi. Jika semua ini terus dibiarkan berlaku, tidak ada ertinya nama Malaysia, kerana identiti Malay (Melayu) sudah tidak wujud lagi. Yang ada, hanya menonjol hanya Chinesesia.



Hargai toleransi dan sikap murah hati PM. Ini tidak, mereka terus menerus mendesak kerajaan supaya terus mencinakan pendidikan Cina. Mereka langsung tidak memikirkan tentang bangsa majoriti yang semakin hilang identitinya semata-mata meraikan bangsa lain.



Sudahlah bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak terdaulat. Hari ini sistem pendidikan tidak menyokong ke arah mendaulatkan bahasa kebangsaan. Peruntukan tahunan sudah menjadi sama rata. Di manakah maksud adil yang sebenarnya? Adil sudah tidak membawa makna meletakkan sesuatu pada tempatnya, tetapi sudah menjadi 1>1. Adilkah namanya?



Saya amat bimbang, tindakan mengalah ini akan menyimpan atau melahir rasa dendam orang Melayu kepada orang Cina. Inilah sebenarnya antara punca peristiwa 13 Mei 1969. Apabila dendam tidak dapat dikawal maka mengamuklah orang Melayu.



Percayalah, jika orang Cina terus mengambil pendekatan tertutup yakni terus mencinakan sekolah Cina, lebih cina daripada negeri Cina. Suatu hari ini orang Cina juga yang akan rugi dan menyesal. Mereka akan ketinggalan. Kecinaan yang keterlaluan tidak akan membawa keuntungan kepada orang Cina, kerana orang Cina tidak tinggal dilubuk sendiri.



Tidak salah menjadi Cina pisang sedikit, sebab kita berada di tempat orang, bukan tempat asal  kita dahulu. Saya tidak langsung membantah, jika orang Cina mahu menjadi secina-cinanya jika mereka berada di negara China.



Tetapi hari ini kita berada di Malaysia. Negara yang majoritinya adalah Melayu dan bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan, bahasa untuk orang Cina berinteraksi dengan orang Melayu adalah bahasa Melayu. Bahasa perpaduan dan integrasi adalah bahasa Melayu. Mustahil orang Melayu akan berkomunikasi dalam bahasa Cina dengan orang Cina. Itupun orang Melayu sanggup korbankan lengkok dan gaya bahasa Melayu semata-mata meraikan orang Cina. Cakap Melayu, berbunyi Cina (slang dan accent).



Penegasan yang sama saya buat dalam forum bulan bahasa di Putrajaya baru-baru ini anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka. Tidak ada berlaku dalam sejarah dunia, ada negara mengadakan kempen bukan bahasa kebangsaan. Kenapa perlu ada kempen bulan bahasa kebangsaan sedangkan bahasa melayu sudah termaktub dalam perlembagaan. Kita tidak pernah dengar adalah bulan bahasa Siam di Thailand, atau bulan bahasa di negara Perancis, Jerman, Jepun, China, Indonesia dan sebagainya. Bahasa kebangsaan mereka memang sudah terdaulat dan terdarjat. Kenapa kita masih terhegeh-hegeh untuk mendaulatkan bahasa berdaulat dalam perlembagaan ini? Apa masalah kita sebenarnya jika bukan kerana ramai bukan Melayu tidak boleh berbahasa Melayu disebabkan oleh sistem pendidikan perkauman ini?



Pada hemat saya, tidak perlu kempen, buang wang dan tenaga. Wajibkan penggunaannya dan kuatkuasakan serta merta, seperti yang dicadangkan oleh Allahyarham Dato Hassan Ahmad (15.2.2010):



i) Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan negara, bukan bahasa kebangsaan Melayu. Bahasa Melayu mesti digunakan dalam urusan rasmi kerajaan. Justeru, Jawatankuasa Khas hendak dibentuk disetiap Kementerian dan agensi kerajaan serta sektor swasta supaya mendaulatkan bahasa Melayu dalam urusan rasmi. Menteri yang bertanggungjawab wajib memastikan bahasa Melayu digunakan dalam amalan seharian, ii) Bahasa Melayu mesti digunakan sebagai bahasa pengantar utama sistem pendidikan dari peringkat sekolah rendah hingga pengajian tinggi, iii) Bahasa Melayu mesti diajar sebagai mata pelajaran wajib di semua jenis sekolah dan wajib lulus untuk lulus dalam keseluruhan peperiksaan, iv) Jika bahasa Inggeris itu menjadi keutamaan, maka bahasa Inggeris hendaklah dijadikan sebagai bahasa kedua yang wajib diambil di semua jenis sekolah, tetapi jangan sampai menenggelamkan bahasa Melayu, v) Di sekolah jenis kebangsaan, tambahan masa bahasa Melayu mesti dilakukan dengan tegas tanpa tunduk kepada ugutan persatuan-persatuan yang terlalu sifat kebangsaan atau ultra kiasu, yakni kumpulan yang tidak mahu mengaku kalah, vi) Semua media cetak, elektronik, papan tanda, risalah dan sebagainya mesti mendaulatkan bahasa Melayu berbanding bahasa lain. Tindakan undang-undang dan saman boleh diambil terhadap mereka yang membelakangkan bahasa Melayu, vii) Nama-nama Syarikat, Taman Perumahan, dan sebagainya mesti melambangkan identiti bahasa kebangsaan berbanding bahasa lain, viii) Malaysia perlu banyak belajar daripada negara jiran seperti Thailand dan Indonesia, bagaimana negara-negara ini mendaulatkan bahasa kebangsaan mereka.



Cadangan yang cukup minima ini mesti diterima. Janganlah kerana tidak mahu menjadi Cina pisang, kita turut mahu mencinakan negara ini. Sikap seperti ini tidak akan membawa kepada pembinaan negara bangsa yang sihat. Tetapi hanya akan menambah luka yang sedia ada. Mungkin ketika itu pemimpin NGO Cina yang ultra kiasu ini, sudah tidak ada lagi. Tetapi yang akan menjadi mangsa adalah generasi yang akan datang. Apakah sanggup kita mangsakan mereka disebabkan oleh tangan-tangan kita hari ini.



Saya mohon maaf kepada orang Cina, jika tersinggung dengan tulisan ini. Saya langsung tidak anti Cina, sebab saya juga adalah Cina. Tidak salah jika kita menjadi Cina pisang atau kita tidak rugi sedikitnya jika kurang sedikit kecinaannya, kerana kita sudah dapat yang sepatutnya kita dapat. Kita boleh mengamalkan semua budaya Cina sama seperti Cina di China. Ekonomipun kita sudah kuasai hampir kesemuanya, walaupun tidak sepenuhnya. Apa lagi yang kita mahu? Kita boleh menjadi Cina totok, di bumi orang lain.



Akhirnya, sudah sampai masanya, seorang menteri khas dilantik untuk menjaga kedudukan bahasa kebangsaan ini dan seterusnya memperkasakan peranan DBP supaya mendapat kuasa sepenuhnya mendaulatkan bahasa kebangsaan. Jika, tidak bahasa Melayu akan merempat di bumi sendiri.



Hati sayu bercampur gundah

Bila melihat bahasa diketepi

Bahasa Melayu bahasa indah

Sayangnya merempat di bumi sendiri 
 
Prof Madya Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah
Ketua Program
Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia