(Sinar Harian 27 Jan 2014)
Mulanya saya cuba bersangka baik
dengan apa yang menimpa seorang guru mualaf di SJKC Nan Ya, Kota Tinggi, Johor,
atas nama dakwah. Tetapi setelah lama mengikuti isu ini, ditambah oleh sebuah syarikat
pembinaan bukan yang menghalau artis bertudung dalam majlisnya, menjadikan saya
jadi geram.
Mana tidaknya, lembaga sekolah tersebut
telah memaksa guru mualaf untuk membuka tudungnya dan diancam keselamatannya
jika tidak berbuat demikian.
Sedihnya, apabila guru tersebut
melaporkan kepada pihak berkuasa, beliau
ditukarkan serta merta sekolah lain. Kenapa perlu ditukarkan? Kenapa
tidak lawan kes ini? Kenapa mengalah?
Peliknya, tiada tindakan tegas
dikenakan terhadap kepimpinan SJKC tersebut. Mana telur kita? Bayangkan jika
isu ini tidak disensasikan, sudah tentu kita terus menjadi mangsa. Mana dia
pemimpin yang memperjuangkan Islam dan hak asasi manusia ini? Kejam sungguh
kita semua. Kena pada orang Islam, tak apa, kena pada bukan Islam, heboh 1Malaysia.
Saya ingatkan orang bukan Islam
telah insaf dan memahami perkara asas mengenai Islam. Maklumlah sudah lama
tinggal di tanahair tercinta ini. Paling kurang memahami kedudukan Islam selaku
agama negara. Rupa-rupanya tidak. Mereka secara sengaja tidak mahu faham.
Apabila ada desakan mahukan
tindakan disiplin diambil terhadap ahli lembaga sekolah tersebut, maka kita pun
berkata ini isu kecil dan hanya permainan politik untuk mengalihkan pandangan
rakyat dari isu ekonomi yang lebih meruncing.
Apa
semua ini? Lebih meloyakan, ketika pengerusi lembaga dan guru besar sekolah
tersebut,
memohon maaf secara terbuka, maka kitapun beramai-ramai datang memberikan
sokongan dan tepukan.
Sambil bersalaman dengan guru
mualaf tersebut, guru besar itu berkata: "Saya harap isu ini selesai dan
dapatlah kita semua hidup dalam harmoni sesuai dengan slogan 1Malaysia".
Kita pun tutup fail. Wah… senang sungguh. Bayangkan jika saya melakukan perbuatan
yang sama. Sudah tentu berbulan-bulan isu ini tidak habis diperkatakan.
Persoalan
saya, kenapa kita perlu raikan permohonan maaf tersebut? Biar mereka cari jalan
untuk selesaikan masalah di atas masalah yang dicarinya sendiri. Apatah lagi penghinaan
sengaja dilakukan terhadap Islam. Inilah akibatnya apabila ISA dimansuhkan.
Mudah sangat hidup di Malaysia,
bila bukan Islam buat salah, minta maaf, selesai, atas alasan 1Malaysia. Bila
kita buat silap, maka dikatakan bertentangan dengan 1Malaysia. Maka kita terus
salah, mereka terus betul.
Apakah kita sudah buta dan lupa
isu pengetua SMK Tunku Abdul Rahman, Kulaijaya, didakwa mengeluarkan ‘ucapan
rasis’ pada tahun 2010? Seluruh media ultrakiasu menghentam habis-habisan
pengetua tersebut. Langsung tidak diberikan peluang untuk membela diri. Desakan
demi desakan dilakukan agar beliau dipecat dan ditukar.
Julai dan Ogos 2013, pengetua
SMK Alam Megah, Shah Alam turut menerima nasib yang sama dikatakan memberi
ucapan rasis. September 2013, guru penolong kanan SMK Engku Husin Semenyih,
Kajang pun turut menjadi mangsa.
Pada Julai 2013 apabila gambar
murid bukan Islam SK Sri Pristina “makan di tandas” semasa bulan Ramadhan
tersebar. Sekali lagi seluruh media ultra kiasu dikerah untuk melondehkan isu
tersebut sehingga habis FB Guru Besar turut digodam.
Pelbagai tuduhan diberikan
tanpa langsung memberi peluang kepada beliau membela diri. Beliau dan keluarga
dimalukan, dihina dan dikecam sehingga anak beliau sendiri merayu dan menulis
di status FB jangan diganggu ayah beliau lagi.
Namun, dalam isu guru mualaf
dan SJKC Nan Ya, semua media ultra kiasu senyap sepi. Kenapa tidak sensasikan
isu ini dan memaksakan guru besarnya dipindahkan atau meletakkan jawatan?
Jawapannya mudah, mereka sekapal.
Saya yakin, penghinaan ke atas
guru mualaf tersebut, dan artis bertudung, sengaja dilakukan. Peliknya, kerana guru
mualaf tersebut yang ditukarkan ke sekolah lain, bukan guru besar tersebut.
Lebih menjengkelkan lagi,
ketika isu ini dibangkitkan, kita diminta sabar, siasat dahulu, jangan
bertindak terburu-buru, perlu berhikmah dan bermacam-macam alasan ini. Inilah
sifat orang Melayu, terlalu bertolak ansur, sehingga ditolak beranur-ansur.
Benar,
memaafkan seseorang itu satu sifat yang baik. Tetapi itu bukan bermakna,
pesalah boleh terlepas begitu sahaja.
Masih ingatkah kita pada zaman
Nabi, apabila seorang Muslimah dipermainkan oleh Yahudi sehingga terselak kain
dan menampakkan auratnya? Apa tindakan selepas itu? Jawapannya, perang.
Hari ini kita tidaklah sampai
ke peringkat perang. Tetapi menjadi tanggungjawab seorang pemimpin negara untuk
memastikan bahawa tidak ada mana-mana rakyat Islam di bawah pemerintahannya dianiaya
oleh musuh-musuh Islam.
Ingatlah! maruah dan keadaan
umat Islam semakin tercabar. Malangnya, tiada pemimpin yang berani bangkit dan
dengan tegas bersuara mempertahankan maruah umat Islam yang tercalar. Lebih
menyedihkan, penghinaan itu berlaku di bumi
kita sendiri yang berasaskan Melayu dan Islam.