Semua artikel adalah pendapat peribadi. Anda berhak untuk tidak meneruskan bacaan atau tidak mengakseskan blog ini serta merta jika anda tidak bersetuju dengan pemikirannya. All the articles written are the personal views. You have absolute rights not to continue reading or to discontinue accessing this blog immediately if you are disagreeable with the personal views.

Thursday, February 28, 2013

Perlukah saling menyakiti sesama saudara?

11:30 AM Posted by RIDHUAN TEE 16 comments


(Sinar Harian, Khamis 28 Feb 2013)

Saya tidak mahu terlibat dalam kontroversi bantuan rakyat 1Malaysia (BR1M) atau apa juga bentuk nama bantuan yang diberikan. Pada saya memang menjadi tanggungjawab pemimpin untuk memberikan bantuan kepada rakyat yang memerlukan, tidak kira tempat, dalam keadaan apa, masa bila, warna kulit dan sebagainya. Apatah lagi mereka yang miskin tegar. Jika yang miskin tegar telah berusaha tidak berubah juga, ketika itu jika perlu dibantu sepanjang hayat, maka berikanlah.  Lagipun apalah sangat puluhan ribu berbanding dengan jutaan dan ribuan juta.

Justeru, tidak hairan jika pada zaman Rasulullah dan para sahabat, pemimpin agung ini sanggup berkorban dan berjaga malam untuk mencari rakyat yang memerlukan bantuan. Pada masa sama, jika ada rakyat yang kaya-raya dan berkemampuan, tidak tampil ke hadapan membantu seperti menunaikan zakat, maka mereka boleh diperangi atau dikenakan tindakan.

Cuma hari ini kita begitu sedih, kenapa dan mengapa kita mengeluarkan kata-kata yang menyakitkan dalam konteks bantuan ini. Tidakkah kita boleh bersangka baik daripada bersangka buruk. Tidak perlulah melabelkan seseorang sebagai bantuan firaun, pelacur,  lembu, hampas, ayam, itik dan banyak lagi binatang kiasan dalam isu BR1M. Faedah apa yang kita dapat mengeluarkan kenyataan sedemikian, selain menyakitkan hati orang yang mendengarnya. Kenapa kita bertindak melebarkan jurang bukan merapatkannya? Kenapa kita sengaja melakukannya, sedangkan kita tahu perpecahan melemahkan?

Wahai umatku, kita sudah terlalu banyak berpecah. Perlukah kita tambah dengan kesakitan sebegini. Jika kita ramai tidak mengapa lagi jika berpecah. Tetapi perpecahan ini telah  menjadikan kita minoriti, walaupun bilangannya agak majoriti. Sebenarnya kita sudahpun menjadi minoriti dalam majoriti.  Ini yang menjadikan orang lain mengambil kesempatan.

Pada saya, lebih baik kita fikirkan bersama, cara bagaimana bantuan tersebut boleh dimanfaatkan. Bagaimana RM500 boleh dikembangkan menjadi RM1000 dan berbagai gandaan lagi. Seperti yang pepatah Cina sebut, beri seseorang seekor ikan, ia hanya boleh mengenyangkan untuk satu hari, tetapi ajar bagaimana cara menangkap ikan, ia boleh mengenyangkan seumur hidup.

Keperluan mendesak hari ini adalah soal bagaimana? Kenapa tidak gunakan wang tersebut untuk melatih anak bangsa soal kemahiran. Bayangkan daripada ratusan ribu yang menerima bantuan, kita ajar mereka skill menjahit, memasak, membaiki dan sebagainya, tidakkah wang tersebut akan beranak-pinak?

Saya masih ingat datuk nenek saya dahulu, berhijrah ke mari sehelai sepinggang. Tinggal di kampung Melayu. Mereka tidak tahu apa-apa. Kampung Melayu tersebut begitu asing baginya. Satu-satunya Cina yang tinggal di situ. Tetapi mereka tidak lari ke tempat perkumpulan atau perkaumannya. Mereka terus tabah merubah hidup

Mereka tidak duduk diam. Berusaha mencari dan menambah pendapatan. Susahnya, Tuhan sahaja yang tahu. Setelah berjaya mengumpulkan modal, bapa saya membuka kedai runcit. Satu-satunya kedai runcit di kampung Melayu tersebut, adalah kedai runcit bapa saya. Bapa saya menjadi kaya-raya dengan perniagaan tersebut. Ibu saya yang asalnya buta huruf, sudah pandai menulis dan mengira. Saya masih tidak lupa mengajar ibu menurunkan tandatangan menggunakan huruf rumi.  Walaupun buta huruf, keinginan untuk berubah begitu tinggi.

Persoalan selalu dilontar, kenapa keluarga Cina boleh hidup kaya-raya di kampung Melayu yang begitu asing baginya? Kenapa orang Melayu tidak boleh hidup kaya-raya dalam perkampungan Cina? Usahkan mahu berniaga, tempat tinggalpun, seboleh-bolehnya mereka mahu lari daripada perkampungan atau taman tersebut. Kita tidak ada daya tahan berhadapan mereka, berbanding mereka berhadapan kita. Sikap ini terus terbawa-bawa sehingga ke hari ini.

Sebagai anak, ibu bapa saya tidak suka anaknya duduk diam atau membaca buku sahaja. Mereka akan pastikan anaknya mewarisi skill perniagaannya. Maka diajar anaknya bangun awal pagi, kemudian sembahyang, selepas itu menolong ibu bapa, sama menjaga kedai atau menjaga kebun. Saya diajar menjaga akaun atau menjaga peti duit dan mengira hutang orang kampung. Istilah lebih tepat lagi bermain angka. Permainan angka itu menjadi kami pandai matematik walaupun tidak bersekolah tinggi.    

Persoalannya, kenapa kita tidak boleh menjadi seperti mereka? Sudahlah skill tidak dipelajari, hari ini masa banyak terbuang mengata, mengumpat dan saling dengki-mendengki. Saya begitu teruja dengan kata-kata pemimpin Melayu ultra kiasu sehari dua ini. Katanya, selepas menguasai Putrajaya tidak timbul lagi soal balas dendam. Benarkah perkara tersebut akan berlaku?

Apa yang saya lihat, selepas menang beberapa buah negeri dalam PRU 12, boleh dikatakan semua badan yang berada di bawah kawalan negeri berubah. Masjid surau bertukar imam dan ahli jawatan kuasa, begitu juga dengan badan-badan seperti majlis perbandaran. Semua ahli jawatan lama digugurkan, dimasukkan orang-orang mereka. Apakah ini bukan membalas dendam?

Sebenarnya sifat inilah yang menyebabkan Melayu tidak boleh pergi jauh. Dalam diri mereka penuh hasad dengki. Di kala itu orang lain mengambil kesempatan. Justeru, sudah sampai masanya kita buang sifat-sifat negatif tersebut. Yang paling hari ini, fikirkan bagaimana cara membantu anak bangsa untuk survive dalam dunia yang mencabar hari ini. Jangan beri ikan, tetapi ajarlah mereka menangkap ikan.

Monday, February 25, 2013

Pemberian yang belum tentu dihargai

1:16 PM Posted by RIDHUAN TEE 88 comments
Sdr semua, atas permintaan semua, berikut adalah artikel yang tidak dapat disiarkan kerana dianggap sensitif oleh Sinar Harian. Ia sebagai respon saya terhadap artikel saya minggu lalu yang telah menimbulkan kontroversi yang amat sangat. Saya dihina dan dikeji. Saya dapat menerima semua ini jika hinaan dan kejian itu datang daripada ultra kiasu atau mereka yang anti Islam. Tetapi saya teramat sedih apabila ada segelintir umat Islam sendiri tidak dapat menerima dan memahami, termasuk segelintir saudara seMuslim yang sebangsa dengan saya.

Sebagai ganti kepada artikel ini, saya ada menulis satu lagi artikel berkaitan yang lebih lembut untuk kolum saya hari ini, seperti yang diminta oleh Sinar Harian. Itupun tidak dapat disiarkan kerana masih dianggap sensitif. Saya akan papar artikel tersebut, selepas sdr membaca artikel ini. Doakan untuk saya untuk meneruskan perjuangan yang belum pasti bila akan berakhir.

(Artikel yang tidak disiarkan Sinar Harian 25.2.13)

Saya diminta oleh ultra kiasu untuk melakukan permohonan maaf dan menarik balik artikel yang disiarkan minggu lalu bertajuk kesabaran umat Islam ada had. Beberapa laporan polis turut telah dilakukan. Terima kasih. Penulisan saya dikatakan berbau perkauman, rasis dan penuh prasangka. Ramai wartawan menghubungi saya untuk mendapatkan respon. Saya jawab tidak perlu. Tunggu sahaja artikel seterusnya berhubung pendirian saya.

Berani kerana benar, takut kerana salah. Tunjukkan kepada saya di mana masalah dengan artikel tersebut? Jika saya dikatakan rasis, adakah bangsa lain dan orang yang mempertikaikan tulisan saya tidak rasis? Tepuk dada tanya iman. Sebenarnya, merekalah yang lebih rasis kerana berada dalam parti dan komuniti tersebut. Jika saya rasis, sudah pasti saya mempertahankan bangsa saya. Ini tidak, saya mempertahankan hak orang lain, Islam dan Melayu, kerana keduanya sudah sebati. Agama lebih penting daripada bangsa.

Saya hanya mengingatkan, mutakhir ini kita terlalu banyak memberi. Sehingga kita tidak pasti, ada apa yang masih tinggal. Pemberian pula, bukan sembarangan. Sehingga kepada perkara-perkara asas atau dasar. Benar, pilihan raya sudah semakin hampir, tetapi itu bukan bermakna kita perlu beri segala.

Pilihan raya hanyalah alat, manakala agenda membina negara tetap kekal sampai bila-bila. Jika dari awal kita tidak perbetulkan, saya bimbang kita akan menghadapi masalah masa akan datang. Ultra kiasu akan terus mengambil kesempatan dan memanipulasi.

Saya yakin keadaan ini tidak akan ada penghujung walaupun selepas PRU 13. Ultra kiasu tidak akan memberikan laluan mudah kepada BN. Jika BN menangpun, keputusannya pasti tidak banyak berbeza dengan PRU 12. Tidak ada kemenangan dua pertiga. Bermakna, ultra kiasu mempunyai bargaining power atau kuasa tawar menawar.   Kita akan terus memberi selama 5 tahun lagi. Selepas itu, saya tidak tahu, apa yang masih berbaki.

Berkali-kali saya katakan, kita mesti bertegas dalam soal membina dan pembangunan negara. Negara ini perlu ada identiti dan jati diri seperti mana yang telah termaktub dalam perlembagaan. Jangan biarlah tangan-tangan jahat mencemarinya. Jika tidak, kita tidak akan ke mana-mana,yang rugi adalah Islam dan Melayu. Kita terlalu berpolitik dalam mengambil keputusan dan tindakan.   

Sebagai pemimpin, tidak dinafikan kita perlu menjaga hati semua orang. Tetapi perlu diingat, hati sendiripun perlu dijaga. Jika hati sendiri tidak tenang dan asyik terluka, ia hanya akan membuahkan dendam yang tidak tahu bila akan dilepaskan.

Berkali-kali saya nyatakan, bahawa identiti negara ini adalah Islam, Melayu, Raja dan hak-hak mereka. Ianya perlu dipelihara tanpa diganggu-gugat. Benar, kita mengamalkan sistem demokrasi dan kebebasan beragama serta hak orang lain. Tetapi itu bukan bermakna, agenda Islam dan Melayu tidak perlu mengakari dan mendasari?

Identiti ini perlu menjadi akar. Yang lain-lain hanya menyokong. Bukannya, lain-lain menjadi akar, Islam yang menyokong. Pergilah ke dunia mana sekalipun, identiti majoriti atau mereka yang berkuasa tetap terserlah.  

Contoh, kita ada Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK), yang mendasarinya adalah budaya penduduk asal. Persoalan, adakah matlamat DKK ini tercapai? Apa yang saya lihat, budaya lain yang mendominasi atas alasan 1Malaysia. Apa yang masih tinggal adalah upacara membaca doa dalam majlis dan sekolah. Itupun masih dipertikaikan, atas alasan mereka juga perlu berdoa kepada Tuhan.

Bila tiba isu kalimah Allah, ultra kiasu beriya-iya untuk berkongsi Allah dengan kita. Tetapi, apabila kita berdoa kepada Allah SWT, tidak pula mereka mahu mengikut atau mengangkat tangan bersama. Malah, kalau boleh mereka tidak mahu langsung tengok dalam upacara adalah majlis berdoa. Nampak atau tidak kelicikan ultra kiasu?  Kenapa masih terlalu bersangka baik?

Rumah ibadat bukan Islam jika dicampurkan kesemua, berjumlah lebih daripada 300,000. Sedangkan rumah ibadat Islam untuk orang Islam selaku majoriti penduduk negara hanya berligar di sekitar 40,000.  Cuba campur, hampir sepuluh kali ganda. Adakah membangkitkan perkara ini rasis? Adil itu bukan bermakna dapat seorang satu, tetapi meletakkan sesuatu pada tempatnya. Jika umat Islam menjadi majoriti, dari segi keadilan, sepatutnya rumah ibadatnya lebih banyak dan menyerlah daripada bukan Islam. Tetapi hakikat itu tidak pernah berlaku. Kita menjadi minoriti dalam majoriti.

Ada yang memberi respon, kegiatan umat Islam seperti solat jumaat juga menyusahkan bukan Islam kerana jalan raya menjadi sesak disebabkan oleh sebilangan jemaah yang memakirkan kenderaan menutupi jalan sehingga tinggal satu lane. Pada saya, itu masih lagi berada dalam ruang lingkup keadilan, sebab hak ini dijamin dalam perlembagaan. Itu bukanlah saya bersetuju dengan tindakan memakir kenderaan sesuka hati. Sebelum ini, saya selalu mengingatkan kita agar memakir kenderaan agak jauh sedikit daripada masjid ketika solat Jumaat supaya tidak menghalang laluan kenderaan lain. Tunjukkan agama Islam suatu agama yang mudah dan tidak menyusahkan orang lain. Rujuk artikel saya yang lalu.   

Contoh makna adil yang lain, dua rumah ibadat didirikan secara ‘haram’ di tanah kerajaan, Islam dan bukan Islam. Pihak berkuasa mengambil keputusan untuk merobohkan kerana pembinaan tidak sah. Maka, tindakan merobohkan rumah ibadat bukan Islam tidak menjadi kesalahan besar, berbanding meroboh rumah ibadat Islam. Maknanya, Islam sebagai agama persekutuan lebih kuat mengikat berbanding dengan kebebasan mengamalkan agama-agama lain seperti yang termaktub dalam Perkara 3(1).

Hakikat yang selalu berlaku, yang selalu kena roboh adalah rumah ibadat Islam, kita selalu mengalah. Namun, bila tiba pada ultra kiasu. Mereka seolah-olah kebal. Tidak boleh disentuh langsung. Jika ada tindakan dikenakan, maka alasan mereka, bercanggah dengan gagasan 1Malaysia.

Belajarlah daripada negara Thailand. Patung Buddha dan patung raja gagah mendominasi di mana sahaja. Tiada siapapun berhak mempertikai. Jika dipertikaikan, maka penjaralah padahnya. Penegasan inilah yang kita mahu, bukannya melepas dan menarik tali. Sama juga isu bahasa, jika kebangsaan itu adalah bahasa negara, maka, bahasa lain tidak berhak menonjol sama sekali, melainkan bahasa kebangsaan yang mendominasi. Tidak siapa boleh mempertikai.

Ironinya, dengan identiti ini, Thailand terus maju, malah lebih maju daripada kita. Tidak pula mereka ketinggalan. Kerana apa? Kerana identiti dan jati diri yang mendasari telah menjadi rakyatnya patriotik, sanggup berkorban raga demi Siam tercinta. Kita pula bagaimana? Fikir-fikirkan….     

Monday, February 18, 2013

Kesabaran umat Islam ada had

7:08 AM Posted by RIDHUAN TEE 66 comments


(Sinar Harian 18 Feb 2013)

Majlis Madrasah India Muslim Malaysia (MIM) memberi maklumat kepada saya mengenai kontroversi filem Vishwaroopam, yang telah dihentikan penayangannya buat sementara waktu oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN), ekoran banyak adegan menghina agama Islam. Malangnya, parti politik India komponen Barisan Nasional (BN), mendesak mahukan filem ini terus ditayangkan kerana pada mereka ia hanya lakonan semata-mata. Jahil sungguh mereka dalam memahami budaya masyarakat Islam.

Setelah sekian lama tinggal di bumi bertuah ini, mereka masih tidak faham sensiviti umat Islam. Apakah malangnya kita mendapat warganegara sedemikian rupa? Tidakkah perlu perlembagaan berkaitan kewarganegaraan dipinda untuk menangani golongan sebegini seperti yang disarankan oleh Tun Mahathir?

Bayangkan jika orang India Muslim tidak tampil ke hadapan, sudah tentu ultra kiasu tidak sedar diri ini bersorak gembira. Jika mereka ikhlas, sepatutnya merekalah yang tampil ke hadapan memaklumkan perkara ini kepada KDN.

Berikut adalah ringkasan penghinaan yang sengaja dilakukan terhadap agama Islam yang mulia ini. Pertama, umat Islam digambarkan sebagai pengganas. Kedua, Kitab suci al-Quran katakan sebagai rujukan pengganas. Ketiga, pakaian wanita berhijab/purdah tempat menyimpan senjata api dan bom. Keempat, ayat-ayat al-Quran dibaca bagi memulakan aktiviti jahat. Kelima, pengikut Taliban dikaitkan dengan penyembelihan manusia dan keenam, agama Islam digambarkan sebagai agama yang tidak berperikemanusiaan.

Apa tujuan filem ini sebenar? Bagaimana filem ini boleh terlepas? Walaupun KDN telah menarik penayangannya buat sementara waktu, itu bukan bermakna kita perlu berdiam diri dan berbaik sangka dengan mengatakan ia tidak disengajakan? Bagaimana jika kita melakukannya terhadap agama lain?

Difahamkan sebanyak 16 penyuntingan akan dibuat sebelum tayangan semula dilakukan. Siapakah yang menyunting filem ini sebelum ditayangkan? Orang Islam atau orang bukan  Islam? Apakah patut mereka dilepaskan begitu sahaja? Ternyata, filem ini dan penerbit yang beragama Hindu berniat jahat.

Isu agama adalah isu yang amat sensitif. Pantang sekali agama Islam dipermainkan dalam apa juga bentuk sekalipun. Contoh, isu kalimah Allah, karikatur Nabi Muhammad SAW dan sebagainya. Apatah lagi mempermainkan kitab suci al-Quran. Agama tidak boleh dijadikan bahan gurauan atau sindiran.

Bayangkan selepas ini kita menerbitkan filem menghina agama lain. Tentu kita masih ingat isu peristiwa perarakan kepala lembu suatu masa dahulu. Begitu juga dengan anak muda Melayu yang masih merengkok di dalam penjara akibat cubaan membakar gereja. Malangnya, apabila anak muda bukan Islam mencampak kepala babi ke dalam surau, maka tidak dikenakan tindakan.

Apabila kena kita, tidak mengapa. Tetapi apabila kena kepada mereka, tidak boleh. Budaya politik rimba apakah ini? Jangan cabar kesucian Islam. Kesabaran umat Islam ada had. Walaupun orang Islam berpecah, itu bukan bermakna bukan Islam boleh mengambil kesempatan sewenang-wenang dan mempermainkan kita.

Pernahkah kita bersungut ketika perayaan Thaipusam? Seminggu sebelum perayaan, seluruh kawasan sekitar Batu Caves sesak. Kenderaan diparkir sesuka hati. Lautan manusia satu warna berhimpun, seolah-olah tidak ada warna lain lagi di negara ini.

Hari ini pergilah ke mana sahaja. Jika dahulu, rumah ibadat dan patung-patung tidak banyak kelihatan meriah. Kalau adanya pun agak suram dan tidak nampak tombolnya. Tetapi selepas PRU 12, keadaan jauh berubah. Mereka mendapat peruntukan sana sini, pusat dan negeri. Rumah ibadat kecil menjadi besar, tombol rendah menjadi tinggi dan berwarna-warni.

Apa yang saya lihat, kita sudah memberi segala-galanya bagi menagih simpati dan undi. Negara ini tidak ada lagi identiti. Agenda Islam dan Melayu entah ke mana. Saya amat yakin jika BN menang sekalipun dalam PRU 13 ini, keadaan tidak ada bezanya dengan apa yang berlaku pada hari ini. Kita akan terus menjaga hati orang lain daripada hati sendiri.

Persoalan saya, apakah agenda kita hanya untuk pilihan raya? Kita tidak bertegas dalam melaksanakan agenda negara. Tidak cukup dengan kontroversi filem tersebut, amat meloyakan apabila semua parti komponen BN meramalkan mereka akan menang banyak kerusi yang ditandingi dalam PRU 13. Hairannya, kerusi yang diramalkan menang dan mahukan itu adalah kerusi yang ditandingi kawasan majoriti Melayu.

Mereka mendesak diberikan tambahan kerusi. Jika mereka benar-benar ikhlas, pergilah menawarkan diri bertanding di kawasan majoriti ultra kiasu (Cina). Mintalah kerusi sebanyak manapun. Tetapi beri laluan kepada orang Islam bertanding di kawasan majoriti Melayu.

Terbaharu, kontroversi agihan kerusi BN di Perak. Parti politik India (BN) tetap mahu bertanding di kawasan majoriti Melayu yang ditandingi sebelum ini iaitu Behrang, Pasir Panjang, Hutan Melintang dan Buntong. Pimpinan parti ini, tidak bersetuju dengan ura-ura tawaran dua jawatan Senator sebagai tukaran melepaskan DUN Behrang dan Pasir Panjang. Parti nyamuk ini merasakan dirinya kuat.

Saya minta, cermin diri dahulu. Jika orang Melayu tidak memangkah mereka, sudah lama parti ini bungkus. Saya cadangkan agar PRU 13, jika kita mahukan sangat orang India bertanding di kawasan majoriti Melayu, carilah kalangan India Muslim seperti KIMMA dan MIM, tetapi bukan mereka yang tidak Islam. 

Orang Melayu tidak teragak untuk memangkah mereka, tetapi adalah mereka memangkah kita apabila laluan diberikan? Apakah mereka akan menjaga dan menghormati sensitiviti agama Islam. Kontroversi filem Vishwaroopam sudah jelas menunjukkan bahawa mereka langsung tidak peduli dengan agama persekutuan ini.

Monday, February 11, 2013

Pertahanan bukan hanya ketenteraan

10:20 AM Posted by RIDHUAN TEE 23 comments

(Sinar Harian 11 Februari 2013)

Beberapa hari lepas, seorang anggota polis berbisik kepada saya, melahirkan ketidakpuasan hatinya mengenai skim perkhidmatan polis yang tidak sebaik skim perkhidmatan tentera. Sedangkan dari segi menjaga keselamatan negara, lebih berat berada dipundak mereka.Tersentak saya, memandangkan saya bekerja di sebuah institusi keselamatan dan pertahanan.

Setelah disiasat, rupanya benar, skim tentera lebih baik daripada skim polis. Sama juga, isu kadangkala skim guru lebih baik daripada skim pensyarah. Apakah kerana bilangan tentera dan guru lebih ramai, dan mempengaruhi undi, maka, mereka lebih diberikan keutamaan?

Semua jenis perkhidmatan memberikan sumbangan yang besar kepada negara, walau sekecil mana pun kuantitinya. Pendek kata, setiap individu atau organisasi, mempunyai kekuatan dan sumbangan masing-masing.Tidak boleh diperkecilkan. Namun, sudah tentu ada beberapa kelebihan atau kredit kepada sektor-sektor tertentu. Itupun bukan bermakna kita boleh melakukan ‘diskriminasi’.

Perlu diingat, sektor keselamatan yang kita anggap penting, tidak hanya merujuk kepada ketenteraan. Keselamatan bukanlah semata-mata pertahanan. Pertahanan adalah sebahagian daripada keselamatan. Pertahanan pula bukanlah semata-mata ketenteraan. Ketenteraan itu adalah sebahagian daripada pertahanan. Adalah dangkal jika kita merujuk pertahanan itu ketenteraan, seperti mana kita lihat seolah-olah menteri pertahanan itu, adalah menteri tentera. Sedangkan skop pertahanan begitu luas. 

Menteri Dalam Negeri juga ada kaitan dengan Pertahanan, bukan Menteri Polis. Justeru, fungsi dan skop pertahanan perlu diperluaskan. Pertahanan saling berkaitan dengan lain-lain sektor. Misalnya, Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), memerlukan khidmat pengangkutan, perhutanan dan sebagainya.

Sebab itulah kita mempunyai program Pertahanan Menyeluruh atau total defence (HANRUH), bagi negara-negara kecil seperti Malaysia, Singapura, Switzerland dan sebagainya. Namun, program HANRUH kita tidak sebaik negara Singapura.

HANRUH bermaksud penglibatan semua sektor dalam pertahanan negara, tidak hanya merujuk kepada tentera semata, tetapi melibatkan juga sektor awam dan sektor swasta. Dalam makna, setiap individu dan sektor mempunyai tanggungjawab besar terhadap pertahanan dan keselamatan negara. Pendek kata, pertahanan bukanlah ketenteraan semata-mata.

Universiti pertahanan, bukanlah universiti tentera.Tetapi turut boleh dikongsi semua sektor, terutama sektor polis, kastam, imigresen, jabatan pendaftaran negara dan sebagainya. Justeru, menjenamakan universiti pertahanan untuk tentera semata adalah tidak tepat dan bercanggah dengan konsep HANRUH.

Apakah kita mahu menafikan sumbangan polis, kastam dan sebagainya, yang dilihat begitu aktif dalam mempertahankan keselamatan negara. Golongan dilihat seolah-olah bekerja 24 jam sehari.  Manakala, tentera hanya digembelingkan sepenuhnya jika ada peperangan. Jika tidak ada perang, mereka dilihat seolah-olah ‘kurang berperanan’. Fenomena ini berlaku di semua negara yang aman. Kadang kala naik lemas melihat kalangan pegawai beruniform ada yang berperut buncit. 

Lagi pula, pertahanan atau ketenteraan negara kita tidak pernah diuji. Kitapun tidak tahu sejauh mana kekuatan pertahanan sebenar? Ditakdirkan, jika berlaku peperangan antara kita dengan negara kecil Yahudi itu, apakah kita boleh mencapai kemenangan? 

Melihat kepada belanjawan tahunan pertahanan sahaja sudah jelas menunjukkan kita sudah kalah dengan mereka. Belanjawan negara kita berada di sekitar RM10 bilion. Sedangkan negara kecil Yahudi itu melebihi SD 50 bilion (RM120 bilion), hampir 30 peratus belanjawan negara. Negara ini juga adalah antara negara yang paling kuat pertahanannya di Asia.

Kemenangan dalam peperangan tidak lagi bergantung kepada kuantiti seperti dahulu. Bilangan tentera yang ramai bukan indikator kemenangan peperangan. Hari ini, peperangan yang adalah peperangan teknologi dan peperangan minda yang melibat taktik dan teknik.

Kita begitu bersangka baik, mengatakan perang dingin sudah berakhir.Tidak perlu memberikan perhatian serius kepada sektor pertahanan negara. Sedangkan dalam Islam, ia amat dituntut, tidak kira sama ada, ada ancaman atau tidak. Apa yang penting adalah persediaan. 

Dalam sejarah, umat Islam selalu mencapai kemenangan dalam peperangan walaupun bilangan mereka tidak ramai. Kenapa? Jawapan, tuntutan untuk bersedia menghadapi apa jua keadaan oleh ALLAH SWT, sama ada berdepan dengan musuh yang jelas atau tidak. Persiapan jihad adalah paling utama. Bacalah surah al-Anfal, ayat 60.

Ayat ini dengan jelas menunjukkan bahawa persiapan keselamatan dan pertahanan adalah amat penting. Kita mesti bersedia. Apatah lagi musuh-musuh Islam seperti ultra kiasu, yang sentiasa mengambil kesempatan. Semua sektor hendak digembelingkan, tanpa ada satupun berkecuali.

Janganlah kita anggap pertahanan itu hanya merujuk kepada yang bersifat regimental. Kadangkala kita hanya melahirkan manusia yang berpura-pura atau hipokrit. Benar, kita ditabik sana sini, ketika mereka yang tidak berpangkat bertembung dengan mereka yang berpangkat. Tetapi itu hanya luaran. Dalaman belum tentu.

Menjelang Pilihan Raya Umum (PRU 13), sudah sewajarnya sektor keselamatan bukan tradisi juga dilihat secara serius, berbanding sektor tradisi (tentera dan peperangan). 

Antara bukan tradisi adalah, sektor ekonomi dan kewangan negara (kementerian Kewangan), sektor  makanan dan kesihatan (Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani), pemerdagangan manusia, pendatang haram, ekstremis dan pelampau agama (Kementerian Dalam Negeri, JAKIM), rusuhan kaum (Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional), dan lain-lain sektor serta kementerian terbabit. Pendek kata, semua sektor ada nilai dan unsur pertahanan dan keselamatan.

Jika kita tidak luaskan skop pertahanan itu, satu hari nanti pasti akan muncul universiti polis, universiti kastam, universiti imigresen dan sebagainya. Mereka juga tidak kurang hebatnya dalama sumbangan pertahanan dan keselamatan. 

Sumbangan mereka lebih ketara daripada sumbangan tentera, walaupun senjata dimiliki tidak secanggih apa yang ada pada tentera. Lebih menyedihkan lagi, apabila berlaku huru hara, kacau bilau atau keadaan tidak tenteram, yang sering dipersalahkan adalah polis, bukan tentera atau sektor keselamatan yang lain. Polis sering menjadi mangsa. Sedangkan sumbangan mereka tidak setanding dengan imbuhan yang kita berikan kepada mereka. 

Kesimpulannya, semua sektor turut memainkan peranan masing-masing dalam memberikan sumbangan mereka kepada pertahanan negara. Sudah tentu semua mereka yang beruniform perlu diberikan kredit kerana mereka menyerahkan jiwa raganya.