(Sinar Harian, 29 Apr
2013)
Dalam politik tidak
ada yang mengejutkan, meskipun perkara yang pelik-pelik atau tidak masuk akal
berlaku. Itu adalah biasa, kerana politik adalah sesuatu yang sukar dijangka. Justeru,
bersedialah untuk menghadapi segala kemungkinan. Dahulu, ramai orang berpolitik
untuk menjadi negarawan. Hari ini, keadaan berbeza, berpolitik lebih kepada
untuk mendapat kuasa. Melalui kuasa macam-macam boleh diperolehi.
Jarang sekali
ingatan Imam Ghazali dijadikan panduan. Politik katanya adalah suatu seni yang amat
bernilai. Politik bukan sekadar soal meraih kuasa, memegang jawatan, menjadi
wakil rakyat, menteri dan sebagainya. Tetapi politik merupakan suatu
tanggungjawab dan amanah. Politik melibatkan soal moral, jati diri, kearifan,
kebijaksanaan memimpin dan sebagainya. Pemimpin akan dipertanggungjawabkan terlebih
dahulu, berbanding yang lain. Inilah sifat negarawan.
Apabila sifat
negarawan tidak ada, janganlah rasa hairan jika ada ahli politik asalnya baik
bertukar jahat. Paling ditakuti, apabila yang jahat bertambah jahat. Takut tak
sempat bertaubat. Maka benarlah kata-kata Machieavelli, seorang individu
sepatutnya sentiasa bercakap benar, tetapi seorang ahli politik terpaksalah
bercakap bohong untuk melindungi maksud-maksud tertentu.
Kenyataan ini turut
dipersetujui oleh Nikita Krushchev, politik di mana-manapun sama sahaja, mereka
menjanjikan membuat jambatan, walau pun di situ tidak ada sungai.
Inilah yang
rata-rata berlaku ketika menjelang PRU13 5 Mei ini. Macam-macam kedengaran. Ada
kalangan yang bertembung sesama sendiri, bertanding bebas, melompat parti dan
sebagainya. Tidak kurang yang mengambil keputusan meninggalkan parti, kerana kecewa
atau mungkin jua kerana ‘kesedaran’.
Ada bekas pemimpin berjawatan
dalam kerajaan sebelum ini, mengambil keputusan menyertai pembangkang. Pada saya, tak salah, asalkan
dia tahu dan faham kenapa berbuat demikian. Cuma jangan bantai kerajaan
habis-habisan, kerana ketika berkuasa dahulu, kenapa diam? Yang jelas, mereka kaut
sebanyak mungkin. Kekayaan melimpah ruah beberapa keturunan. Makan tak
habis.
Pada saya, tindakan
membantai ketika PRU13 agak kurang sesuai. Kenapa tunggu ketika PRU13?
Sepatutnya apabila sudah insaf, bertaubatlah, buatlah keputusan segera. Tidak perlu
tunggu sebulan atau mungkin setahun. Bukan apa, perkara baik, tak baik bertangguh-tangguh,
takut tak sempat bertaubat, tiba-tiba Allah menjemput kita.
Sama juga Non-Muslim
yang ingin memeluk Islam. Jangan ditangguh-tangguhkan sebab niat dia suci.
Dibimbangi, ketika bertangguh, tiba-tiba dia meninggal. Niat tidak kesampaian. Ada
juga yang sengaja bertangguh, sehingga suatu tarikh yang menyebelahinya bagi
mendapatkan sesuatu. Apakah tindakan ini wajar?
Ingatan saya, apa
jua kita lakukan, mestilah ikhlas. Namun, kebanyakan yang saya lihat, mereka mula
berubah atau lantang mengkritik setelah poket penuh. Masa depan sudah terjamin.
Saya amat teruja melihat mereka yang dalam keadaan susah, poket kosong, maka atas
dasar keinsafan mereka berubah. Ingatlah, sedekah ketika susah, tidak sama
dengan sedekah ketika senang.
Ini tidak, bila poket kembung, baru berubah. Ini termasuk pemimpin-pemimpin
Melayu ultra kiasu dalam PKR. Dalam hal ini. saya puji orang PAS. Tanpa habuan,
mereka sanggup menjaga pondok panas hingga ke tengah malam, walaupun waktu
tersebut tidak panas lagi. Pondok orang lain belum tentu lagi. Jika tidak ada pelincir,
pondok panas akan cepat menjadi dingin, walaupun matahari masih terpacak.
UMNO perlu melakukan
muhasabah, kenapa ramai ahlinya yang bertindak sedemikian. Seolah-olah tidak
mengenang jasa. Salah satu sebab mungkin ada yang terlalu kecewa, kerana kita
terlalu berpolitik. Terlalu mementing kroni sehingga calon boleh menang
diketepikan.
Manakala calon yang
boleh dikatakan ‘calon kokak’ diketengahkan. Kadang-kadang saya tidak faham
apakah sebenar maksud calon boleh menang?. Sekadar mainan bibir atau bagaimana?
Calon boleh menang
mesti mempunyai ciri-ciri negarawan. James F. Clark pernah berkata, ahli
politik hanya memikirkan (merancang) pilihan raya umum akan datang, manakala
negarawan memikirkan generasi yang akan datang. Spesis inilah yang ramai dalam
PRU13.
Jarang jumpa orang
seperti Che Johan Che Pa. Menarik diri daripada bertanding di Parlimen Pasir
Mas, kerana memberi laluan kepada Ibrahim Ali yang dianggap sebagai mentornya.
Inilah sifat seorang negarawan. Secara peribadi, saya tabik sikap beliau. Perlu
ada lebih ramai berfikir sebegini.
Bukan seperti DAP,
bila tersepit baru mahu menggunakan lambang PAS. Itupun tetap berkeras
menentang agenda Islam PAS. Ini bukan negarawan. Ini merawan. Malangnya, PAS
pula begitu bangga DAP mahu menggunakan lambangnya. Kata PAS lagi, dakwah
mereka sudah berkesan. Orang DAP sanggup mengibar bendera dan menggantung
poster PAS. Nampaknya, PAS gagal membezakan antara dakwah dan strategi licik
ultra kiasu.
Saya amat bimbang
PAS dibutakan oleh DAP hanya kerana ghairah nak ke Putrajaya. Akhirnya nanti,
yang rugi bukan DAP, tetapi PAS. Persoalan saya, kenapa DAP mahu menggunakan lambang
PAS di Semenanjung, manakala lambang PKR di Sabah dan Sarawak? Kenapa tidak
menggunakan semua lambang PKR sedangkan DAP lebih mempercayai PKR? Jawapannya,
DAP tahu PAS lebih kuat di Semenanjung berbanding Sabah Sarawak. Siapa
mempergunakan siapa?