Semua artikel adalah pendapat peribadi. Anda berhak untuk tidak meneruskan bacaan atau tidak mengakseskan blog ini serta merta jika anda tidak bersetuju dengan pemikirannya. All the articles written are the personal views. You have absolute rights not to continue reading or to discontinue accessing this blog immediately if you are disagreeable with the personal views.

Monday, October 29, 2012

Ucapan 'sekular' tidak mengikat

12:40 PM Posted by RIDHUAN TEE 10 comments

(Utusan Malaysia, 28 Okt 2012)

BIDANG saya bukanlah undang-undang, tetapi politik dan kerajaan. Namun, saya naik muak apabila pakar undang-undang bercakap, tetapi tidak mencerminkan keintelektualan mereka. Mereka hanya mahu menonjolkan diri seolah-olah pakar segalanya. Sejauh mana kepakarannya, masih menjadi tanda tanya.

Saya bersetuju dengan kata-kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri bahawa Malaysia bukanlah negara sekular kerana tidak disebut dalam Perlembagaan Persekutuan perkataan itu. Yang ada hanya ucapan pemimpin dan interpretasi mereka. Ultra kiasu mengatakan Tunku Abdul Rahman telah mengisytiharkan Malaysia sebuah negara sekular. Kata-kata pemimpin tidak mengikat (binding), berbanding undang-undang dalam Perlembagaan.

Saya boleh bersetuju untuk tidak bersetuju dengan pendapat dan kata-kata sesiapa pun. Sama seperti ketika bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengisytiharkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam. Kita boleh menerima dan tidak menerima pengisytiharan itu kerana ia tidak mengikat. Maka, kenapa kita perlu terlibat dengan polemik ultra kiasu yang menangguk di air keruh?

Saya ada hak untuk akur atau ingkar kepada pendapat seseorang pemimpin. Ultra kiasu boleh memetik daripada pelbagai sumber untuk menunjukkan negara ini negara sekular, tetapi saya tetap beranggapan negara ini negara Islam, berasaskan sejarah, majoriti umat Islam dan Perlembagaan yang jelas meletakkan keistimewaan agama Islam, Melayu dan Raja-raja Melayu, berbanding perkara lain dalam banyak hal. Rujuk perkara 3, 11, 12, 32-42, 152, 153, 160 dan lain-lain. 

Ini termasuk menggunakan peruntukan negara untuk mendirikan institusi Islam dan menyebarkan syiar Islam. Di sinilah terletaknya makna keadilan, memberikan hak kepada yang berhak, meletakkan sesuatu pada tempatnya. Jika umat Islam membina masjid di tanah kerajaan, ia dibenarkan, mengambil kira kedudukan Islam dalam Perlembagaan manakala jika orang bukan Islam sewenang-wenangnya memacakkan rumah ibadat mereka, maka boleh diambil tindakan, sebab ia tidak ada dalam peruntukan Perlembagaan. Itupun kita begitu takut melakukannya. Yang selalu menjadi korban adalah masjid dan surau. 

Saya begitu teruja dengan pendapat dua orang pakar perundangan Melayu, mengenai kebimbangan Perlembagaan diganti dengan undang-undang Islam. Saya tidak tahu sejauh mana pakarnya mereka ini. Tetapi perlu diingat, kepakaran mesti disertai dengan asas hidup beragama. Menjadi pakar adalah satu hal, memahami kepakaran daripada perspektif sejarah dan Islam, satu hal lain yang perlu diketahui, supaya kepakaran kita selari dengan cara hidup Islam.

Keputusan Mahkamah Tinggi mengenai kes transeksual Muslim di Negeri Sembilan baru-baru ini, menimbulkan kebimbangan dua orang 'pakar' undang-undang yang ditemubual oleh laman web Malaysian Insider. Katanya, undang-undang Islam bakal menggantikan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi di negara ini. Jika pun benar, apa masalahnya? Hakim menjatuhkan keputusan berasaskan kepakarannya. 

Secara peribadi, saya suka keputusan itu. Hakim Mahkamah Tinggi, menolak cabaran oleh sekumpulan Muslim transeksual terhadap peruntukan undang-undang Islam yang menyekat lelaki daripada memakai pakaian wanita atau berpakaian seperti wanita dengan hujah, seorang Muslim tidak dikecualikan daripada undang-undang Syariah.

Dua pakar tersebut melahirkan kebimbangan mereka, dengan memberi contoh kes itu sebagai bukti Perlembagaan Persekutuan bukan lagi menjadi rujukan. Hal ini akan menyebabkan penghakiman mengutamakan undang-undang Islam daripada undang-undang lain, dalam sistem dua mahkamah di negara ini. Penghakiman tersebut katanya, meletakkan enakmen Islam lebih tinggi daripada Perlembagaan. 

Persoalan saya, bukankah perkara ini melibatkan hal ehwal Islam, di manakah salahnya? Hakim menjatuhkan keputusan berasaskan budi bicara setelah mendengar semua hujah daripada peguam cara dan peguam bela. 

Mereka mendakwa bahawa keputusan Mahkamah Tinggi tersebut adalah sama dengan keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini, yang mana ia menetapkan bahawa Islam mesti dilindungi dengan "apa cara sekalipun". Pada saya, ini adalah keputusan tepat dalam melindungi umat Islam, yang berhak ke atas sistemnya sendiri.

Wartawan ultra kiasu turut menemu bual peguam veteran bukan Islam, bekas Setiausaha Agung Majlis Peguam, bagi menjustifikasikan Malaysia adalah negara sekular, agar undang-undang syariah tidak terpakai. Maka peguam ultra kiasu pun menjawab bahawa Malaysia adalah negara sekular dengan merujuk kepada pendapat Hakim Abdul Hamid, seorang Hakim Mahkamah Persekutuan Pakistan yang menjadi salah seorang panel yang menganggotai Suruhanjaya Reid (1956), dalam membantu merangka Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu, mengatakan negara ini sekular. 

Kedangkalannya semakin terserlah apabila beliau mengkritik Dr. Mahathir secara unilateral mengisytiharkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam dalam ucapan politik di Persidangan Kebangsaan Perwakilan Parti Gerakan pada 2001. Dr. Mahathir, katanya, menidakkan pengumuman sekular yang dibuat oleh Perdana Menteri sebelum itu, seperti Tunku Abdul Rahman dan Tun Hussein Onn.

Hujah beliau turut dipersetujui oleh dua peguam Melayu itu. Kata mereka, hanya kerana Perlembagaan Persekutuan tidak mempunyai perkataan 'sekular', tidak bermakna bahawa Malaysia bukan sebuah negara sekular. Sama juga seperti perkataan 'demokrasi' tidak disebut dalam Perlembagaan, tetapi negara kita mengamalkan demokrasi berparlimen. 

Sebuah negara Islam akan meletakkan al-Quran sebagai pihak berkuasa tertinggi, tetapi Perlembagaan kita menyatakan dalam Perkara 4 menetapkan Perlembagaan merupakan undang-undang tertinggi negara ini. Ternyata, mereka tidak faham sejarah negara dan konsep separation of power yang dibawa British.

Ultra kiasu selalu berhujah, Tun Salleh Abas semasa menjadi Ketua Hakim Negara, pernah berkata undang-undang negara ini sekular dengan merujuk kepada kes Che Omar Che Soh (1988). Hukuman mati ke atasnya adalah tidak sah kerana ia mengikut hudud, atau undang-undang Islam. 


"Bagaimanapun, kita perlu mengetepikan perasaan peribadi kita kerana undang-undang di negara ini adalah masih apa yang ia ada hari ini, undang-undang sekular, di mana moral tidak diterima oleh undang-undang dan tidak menikmati status undang-undang". Sama ada dakwaan ultra kiasu ini benar atau tidak, hanya Tun Salleh boleh memberikan jawapannya, kerana hanya ultra kiasu sahaja yang berminat dengan kata-kata ini. 

Dakwanya mereka lagi, Malaysia adalah sebuah negara sekular kerana semua undang-undang mesti selaras dengan Perlembagaan dan Perlembagaan adalah satu dokumen sekular. Undang-undang syariah wujud kerana Perlembagaan membenarkannya. 

Agensi-agensi Islam tertakluk kepada undang-undang Perlembagaan sekular itu. Lebih ekstrem lagi kata mereka, satu-satunya cara untuk menghilang status sekular Malaysia adalah melalui pindaan Perlembagaan, yang memerlukan persetujuan majoriti dua pertiga Parlimen dan persetujuan Majlis Raja-Raja serta Sabah dan Sarawak, yang mana perkara ini tidak mungkin berlaku.

Persoalannya, kenapa kita terlalu obses dengan label sekular, sedangkan perkataan ini langsung tidak disebut dalam Perlembagaan? Apa agenda dan tujuan di sebalik membangkitkan perkataan sekular itu? Tanpa melabel perkataan sekular itu, perlembagaan tetap Perlembagaan, satu set dokumen undang-undang tertinggi negara dan berdaulat.

Sekular atau tidak, kita yang menginterpretasinya. Ia tetap akan menjadi sumber rujukan pengamal undang-undang. Bagi umat Islam, mereka ada keistimewaannya, kerana kedudukan Islam begitu jelas terpelihara. Apa yang sekularnya?

Saya tertarik dengan pendapat Uthman El-Muhammady, sekularisme dalam mengikut pengertian Barat tidak wujud sama sekali di Malaysia. Umat Islam mesti segera menghentikan pertikaian berkenaan dan kembali kepada fahaman konsep sayang kepada bangsa dan agama mengikut Islam. Inilah yang Islam ajar. 

Jangan sesekali melanggar kerangka asal ini dan sewajarnya perlu diperkemaskan lagi untuk dijadikan contoh kepada kaum minoriti lain. Mereka yang melanggar kerangka asal ini dipanggil "Intellectual And Spiritual Barbarian" (kebiadapan intelektual rohani) yang tidak boleh dimaafkan, termasuk peguam Melayu tersebut. Ini tidak boleh dibiarkan berlaku atas dasar kebebasan mengeluarkan pendapat. 

Kata beliau lagi, pendapat yang menyebut sekular mula wujud di negara ini sejak kedatangan penjajah adalah tidak benar sama sekali. Pemisahan agama, adat dan raja pada waktu itu adalah pengasingan pentadbiran bukannya pengasingan agama secara total dalam pentadbiran. Pokok pangkal sekular ialah pengecualian agama daripada semua ruang awam. 

Agama dipisahkan dalam pendidikan, pentadbiran, sektor keselamatan, bank dan lain-lain. Kita tengok dalam pentadbiran negara hari ini, agama tidak dipisahkan sama sekali. Malah dalam apa jua aspek, agama ditekankan. Cuma mungkin secara tidak menyeluruh kerana kita sedang mengalami perubahan.

Kesimpulan, meneliti kepada semua hujah, saya dapat katakan, negara kita (perlembagaan), sekular pun tidak, terlalu Islamik pun tidak. Tetapi kedudukan Islam tetap terjamin dan ada keistimewaannya dan tidak boleh diganggu-gugat oleh sesiapa pun. Maka, janganlah terperangkap permainan ultra kiasu licik ini.


PROF. MADYA DR. MOHD. RIDHUAN TEE ABDULLAH
Ketua Program, Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.

10 comments:

Anonymous said...

Banyak di dalam Perlembagaan yang perlu interpretasi. Interpretasi yang boleh di terima mesti lah oleh pakar undang undang Perlembagaan yang tidak partisan, yang tidak menyokong atau menyebelah mana mana parti politik. Seperti Professor Shad Faruqi.

Bukan yang ada kelulusan dalam undang undang perlembagaan tapi menyebelah Pembangkang, seperti bekas pensyarah di UIA yang pernah di sebut sebagai pembikin derap pindaan Perlembagaan yang kerajaan Pakatan Rakyat Selangor cuba bawa ke Dewan Undangan Negeri Selangor tapi tidak berjaya beberapa lama dahulu.

Pentingnya, menginterpretasi Perlembagaan mestilah mengambil kira apa hasrat mereka yang mengambil bahagian di dalam perbingangan yang rumusannya menjadi asas kapada Perlembagaan yang di derapkan, di bincang dan di luluskan di Parlimen dahulu itu.

Kebanyakannya UMNO. Sebab UMNO yang memainkan peranan utama dalam menuntut kemerdekaan negara di tahun 1950an. Perlembagaan di sediakan bagi menjadi asas dan tulang belakang negara ini apabila merdeka dari penjajahan.

Unknown said...

ridhuan tee.

saya sangat setuju dengan kenyataan tuan.
alangkah bagusnya kalau tuan sendiri mengkritik mereka secara umum .
saya percaya,tuan mampu berbuat demikian.
moga allah sentiasa merahmati tuan.
amin~

Anonymous said...

"negara ini negara Islam, berasaskan sejarah, majoriti umat Islam dan Perlembagaan yang jelas meletakkan keistimewaan agama Islam, Melayu dan Raja-raja Melayu, berbanding perkara lain dalam banyak hal. Rujuk perkara 3, 11, 12, 32-42, 152, 153, 160 dan lain-lain."

Hah, siap dengan berbagai Perkara dalam Perlembagaan di sebut dek RT.

Saya pun tak sedar semua Perkara dalam Perlembagaan yang di sebut itu ada kena mengena dengan kedudukan negara ini sebabagi negara Islam.

Siapa kata RT tak tahu Sejarah, suruh dia berlajar sejarah pulak, macam dalam komen di pos yang satu lagi tu. Mengarut punya komen.

Nak kata saya mengampu RT pun, lantak lah. Saya sokong mana yang betul, saya ada hak beri pendapat menyokong dia.

tokgaru said...

" Maka, janganlah terperangkap permainan ultra kiasu licik ini " (RT)

Yang sebenarnya bukan setakat terperangkap tapi dah masuk perangkap pun. Orang melayu dah dikurung dalam tiga sangkar yang besar .. sangkar Umno, sangkar Pas secara tradisi dan sangkar PKR sebagai pelengkap.

Strategi mereka adalah divide and rules. Rakyat biasa melayu sedar tapi para pemimpin melayu yang mabuk untuk mengekalkan kuasa di satu pihak, dan yang ingin merebut kuasa di satu pihak lagi berkata dalam hati .. ahhhh persetankan dengan nasib melayu dan islam, yang penting kepada aku adalah kuasa.

Adakah strategi pecah dan perintah yang mereka applikasikan akan menjadi atau tidak .. kita tunggu lah keputusan PRU 13 diumumkan oleh SPR nanti.

Kita lah yang menentukan masa depan anak cucu kita, dan bukan pemimpim atau ulamak politik yang menentukan. Jangan terpedaya dan jangan terpengaruh.

tokgaru said...

Sekular ke atau sekor ular ke aku tak pernah ambil kisah. Yang penting orang melayu dan islam maju dan membangun. Kuat iman setara mana pun kalau miskin dan melarat tak sapa nak pandang pada kita, tak sapa heran. Kalau kita hidup melarat sampai terpaksa mengharapkan bantuan daripada bukan islam, dah tentu kita akan dipergunakan. Tapi cuba kita ni kuat iman dan kuat ekonomi .. bukan islam respect dan cuak dengan kita.

Orang2 yang fanatik sangat dengan janji islam Pas ni ada fikir ka tentang benda ni. Pas tak pernah fikir atau mengutarakan perancangan untuk meningkatkan ekonomi orang islam jika mereka berjaya membentuk kerajaan. Yang mereka tahu sebut " nak tubuh negara islam, nak laksana hudud " sedangkan dua benda tu susah nak capai kerana kekangan perlembagaan.

Sikap pemimpin2 Pas ni sama lah macam budak maahad tahfiz, hafal quran 30 juzuk macam ayaq, tapi bila tanya makna ayat yang dihafalnya .. dia tersengeh sambil menggeleng kepala. Dia dak tahu gapo satu, mace burung tiong ...

Anonymous said...

Sudah mengarut bila 2 orang yang di katakan "pakar undang undang" mengkritik Keputusan Mahkamah Tinggi mengenai kes transeksual Muslim di Negeri Sembilan itu.

Saya tak pakar apa apa, tapi bukan kah "common sense" mengatakan Islam tidak membenarkan kegiatan transeksual? Mana yang di sahkan oleh pakar sakit jiwa bahawa mereka semula jadi transeksual, biar pakar itu yang cuba mengubat mereka. Bertindak berlunaskan Perlembagaan negara. Jangan mereka di galakkan atau di lindungi meneruskan kegiatan transeksualnya di hadapan khalayak ramai. Ini bertentangan dengan Islam sebagai agama negara ini.

Memang, macam mana pakar pun 2 hamba Allah itu, sistem keadilan di negara ini nyata menunjukkan bahawa Mahkamah yang membuat keputusan baginya. Mana yang perlu, Mahkamah boleh meminta pendapat dari mereka yang benar benar pakar dan boleh menginterpretasi Perlembagaan dengan tidak ada kepentingan Pembangkang. Bukan yang dua itu. Nokhtah.

Anonymous said...

Sebenarnya, saya tidak faham apa makna "sekular". Tidak ada dalam Kamus DBP.

Kamus Inggeris Oxford memberi beberapa makna bagi perkataan "secular". Saya fikir yang relevan ia lah:

3. Concerned with the affairs with this world, worldly, not sacred, not monastic, not ecclesiastical, temporal, profane, lay;

the secular clergy, parish priests etc, opp. regular;

the secular arm, civil jurisdiction to which criminal was transferred by ecclesiastical courts for severer punishment; sceptical of religious truth or opposed to religious education etc.

Selepas membaca definasi itu pun masih belom jelas makna nya di kepala saya. Apa kah sekular bermakna sistem undang undang yang kuat atau terkongkong kapada kapada undang undang agama?

Jika demikian, saya fikir Malaysia tidak sekular. Tetapi negara ini mempraktikkan undang undang Syariah bagi orang orang Islam. Ada Mahkamah Mahkamh Syari'ah. Hingga ke beberapa peringkat. Sebab Perlembagaan menyatakan bahawa agama negara ini ada lah agama Islam.

Dalam pada itu, undang undang sivil di gunakan bagi kes kes yang tak menyentuh agama Islam. Hingga ke peringkat tertinggi - Mahkamah Federal.

Memang tidak disebut dalam Perlembagaan Persekutuan perkataan sekular itu. Jadi, apa kah yang Karpal Singh asyik sibukkan perkara ini hingga mahu pendapat bekas Ketua Hakim Malaysia di keluarkan lagi?

Kalau dia sibuk nak bangkang Hukum Hudud yang di majukan oleh PAS, dia patut cuba seleasikan dengan PAS. Tapi bising beberapa kali minta Anwar selesaikan pun tak selesai.

Si pakar yang di sebut RT tu pulak, ape ke hal nya dia nak pegang kapada apa Tengku A Rahman kata di suatu masa dulu? Tengku bukan pakar undang undang perlembagaan. Kalau Perlembagaan negara tak sebut negara ini sekular, maka tidak lah.

Interpretasi Hakim yang menyertai usaha usaha penggubalan Perlembagaan satu hal. Tetapi realitinya sekarang ia lah bahawa negara ini ada Mahkamah Syariah. Saya pernah terbaca bahawa rayuan kapada pihak tertinggi di Malaysia ini ia lah kapada Mahkamah Sivil - Mahkamah Federal.

Mengkhuatirkan penghakiman mengutamakan undang-undang Islam daripada undang-undang lain tidak kena tempatnya selagi Mahkamah boleh membuktikan keadilan kapada pihak pihak yang di bicarakan. Jika tidak, boleh rayu hingga ke Mahkamah Federal.

Anonymous said...

Setuju, kedudukan Islam tetap terjamin dan ada keistimewaannya dan tidak boleh diganggu-gugat oleh sesiapa pun.

Islam ada lah "the" religion of the country, tersergam di Perlembagaan. Perkara sensitif, di lindung oleh Akta Hasutan 1948.

Dah tu, ada undang undang lain bagi mentadbir hal hal agama Islam. Di peringkat Federal dan di peringkat negeri. Menigkut Hukum Civil dan Hukum Syariah.

Anonymous said...

RT Jika setiap agama juga mencipta hukum sendiri dan mengatakan hukumnya lebih benar dan tak boleh menentang pasti dunia ini tak habis-habis bermasalah antara penganut lain. Agama adalah kepercayaan tetapi tak boleh terlampau percaya. Terlampau percaya manusia akan menjadi fanatik ! Fanatik akan menjadi masyarakat tidak aman, perselisihan, pergaduhan, peperangan dll berlaku. Agama adalah kepercayaan individul malahan ada agama sudah diperalatkan untuk kuasa politik !!!!!!!

Anonymous said...

Ooooooo Mamat 10:51 PM,

Mesti lah setiap agama mencipta hukum sendiri dan mengatakan hukumnya lebih benar. Kalau tak orang tak panggil agama, Mamat. Orang panggil Al Arqam yang di haramkan atau bebagai serpihan mazhab seperti Evangelical churches pungut duit, padrinya hidup senang dan mewah dari duit tu seperti di Amerika. Ada yang di Malaysia padrinya main bontot - aku tak menghasut sebab itu kebenaran, masuk surat khabar dia hebohkan nak pigi kawin bofrengnya di New York tak lama dulu.

Masalah mesti ada, Mamat. Tapi tiap agama mesti sederhana cara mempraktiknya, jangan nak perang lagi seperti di zaman kuno.

Fnatik mesti ada, Mamat wei. Ko yang tak tau ada agama ke tidak ni (ada di sini yang dulu ngaku dia Atheis tak akui ada Tuhan) pun ko nampak fanatik. Apa taknya, ko nak promosikan "Agama adalah kepercayaan individul" tu dengan gunakan tanda teriak (exclamation mark !) 7-8 kali.

Aku rasa kenal jenis ko ni. Tapi malas nak layan ko banyak sangat le. Hanya nak kasi ko tau pendapat aku yang tu.