https://www.ismaweb.net/2018/09/24/henti-kahwin-gadis-bawah-umur/
Hentikan
kahwini gadis bawah umur
Saya hampir nak termuntah apabila
membaca berita hampir sama sebelum ini, mengenai gadis bawah umur, 15 tahun di
Kelantan dilaporkan berkahwin dengan lelaki duda hampir 3 dekad, lebih tua
daripadanya. Akad nikah telah berlaku di Tumpat Julai lalu, selepas Mahkamah
Syariah memberi kebenaran.
Ibu bapa gadis itu, yang mempunyai 12
anak lain, berkata mereka merestui perkahwinan anaknya dengan lelaki berusia 44
tahun itu kerana mahu anak mereka memperolehi kehidupan yang lebih baik. Apakah
jaminan bahawa mengahwinkan anak gadis bawah umur dengan lelaki ‘tua’ akan
bahagia?
Sebelum ini kita dikejutkan dengan berita
seorang suami berumur 41 tahun mengahwini isteri ketiga berumur 11. Tidak puas
lagikah dengan dua isteri sehingga memilih gadis bawah umur untuk dijadikan
isteri ketiga. Saya berasakan seolah-olah berada di Indonesia atau Afrika
Selatan. Orang Afrika Selatan pun tidak melakukan perkara sebegini.
Jika nak sangat berkahwin, tidak puas
lagi menambah isteri, maka carilah calon seterusnya dalam kalangan janda-janda
susah yang memerlukan perlindungan. Melambak di pasaran. Usahkan dua,tiga,
empatpun saya tidak kisah. Tetapi jangan cari kanak-kanak berusia 11 tahun – 15
tahun. Adakah kita tidak terasa malu, mengahwini orang yang sebaya dengan anak
atau cucu kita?
Tindakan dan berita sebegini hanya
merosakkan imej agama Islam yang mulia. Sudahlah sebelum ini imej agama kita
tercalar teruk dengan isu-isu negatif seperti, terrorisme, gejala sosial,
perpecahan dan berbagai lagi ‘penyakit’ umat Islam.
Pendek kata, sebut sahaja Islam, yang
tergambar dikepala bukan Islam, hanya keburukan, tidak banyak kebaikan.
Tidakkah agama Islam itu penuh dengan kebaikan? Kenapa tidak ditonjolkan
perkara yang baik itu? Kenapa hanya hak buruk sahaja yang diberikan publisiti?
Saya tidak kata, perkahwinan gadis
bawah umur itu salah! Jika ada keperluan dan justifikasi, apa salahnya. Tetapi
berpada-padalah, fikirkan tentang orang lain yang lebih memerlukan, bukan
melunaskan nafsu sarakah yang tidak pernah puas.
Tindakan sebegini hanya akan
merosakkan imeh Islam. Maka tidak hairanlah jika orang bukan Islam tidak
memeluk agama Islam disebabkan oleh perangai-perangai kita amat hodoh ini.
Justeru, saya ingin mencadangkan
beberapa perkara:
Pertama, umat Islam perlu memikirkan
perkara lebih besar bukan hanya seks semata-mata. Untuk merasionalkan bukan
Islam mengenai isu kahwin empat, masih lagi sukar, inilah pula perkahwinan kali
ketiga dan keempat dengan menyasarkan kanak-kanak. Keadaan sudah tentu menjadi
bertambah rumit. Islam akan dipersepsikan sebagai agama yang ‘kuat seks’.
Kedua, perkahwinan dengan kanak-kanak
bawah umur tidak salah, tetapi menjadikan anak-kanak sebagai objek seks itu
salah kerana ini akan merosakkan imej Islam. Orang bukan Islam akan berfikir
Islam ini agama yang terlalu fokus pada seks. Lelaki Islam dipersepsikan
berimaginasi liar.
Ketiga, sudah tiba masanya
lelaki-lelaki Islam yang bergelar imam solat ini, yang mempunyai banyak duit,
memikirkan tentang orang lain dan menyelamatkan mereka. Kahwinilah janda-janda
yang masih ramai di luar sana, bukannya budak kecil yang belum kenal dunia yang
sebenar.
Keempat, alasan ibu bapa perempuan
bawah umur tersebut kerana tidak tahan menanggung beban dengan anak yang begitu
ramai, sukar untuk diterima.
Jika begitu keadaannya, tahu tidak
mampu menanggung anak ramai, janganlah terlalu banyak beranak. Betullah anak
itu rezeki, tetapi pada masa ukurlah baju di badan sendiri.
Takkan kerja orang perempuan asyik beranak
sahaja. Habis tu, lelaki kerja apa? Buat anak? Saya sudah naik lemas dengan
pasangan umat Islam sebegini. Merosakkan imej Islam menggunakan hujah ‘anak itu
rezeki’.
Jika begitu keadaannya, semua orang
boleh beranak ramai, tidak perlu merancangkan. Persoalannya, mampukah kita
melahirkan anak-anak yang berkualiti?
Bandingkan dengan orang Cina, mereka
beranak dua tiga orang sahaja kemudian berhenti. Mereka akan pastikan dua tiga
orang anak yang dilahirkan benar-benar berkualiti. Mendapatkan makanan secukupnya,
berkhasiat serta mendapat pendidikan terbaik. Sebab itu, jarang sekali melihat
anak-anak Cina, melepak, menghisap dadah dan merempitkan. Maaf, bukan tujuan saya membuat perbandingan,
melain kebenaran.
Bagaimana dengan kita, beranak
berbelas-belas, ada anak yang berperut buncit, berhingus tidak terjaga.
Pendidikan entah ke mana. Justeru, berubahlah wahai umatku. Saya bukan
menghalang orang Islam beranak ramai, tetapi cerminlah diri. Ukur baju di badan
sendiri.
Jika tidak mampu menyara anak, janganlah
terlalu banyak beranak. Adakah dengan mengahwinkan anak di bawah umur,
benar-benar bagi meringankan beban?
Persepsi masyarakat kita seolah-olah
kita ‘menjual’ anak. Oleh kerana tidak mampu menanggung kita pun kahwinkan bagi
meringankan beban. Sudah tentu anak-anak yang tidak berdosa akan ‘trauma’
kerana disindir dan dihina masyarakat.
Perkahwinan bukan soal meringankan
beban, ia merupakan ikatan dua hati bagi membolehkan mereka hidup kekal
bahagia. Kita tidak mahu mengahwinkan anak perempuan bagi mengurangkan beban.
Kepada lelaki yang berkemampuan, mahu
melepaskan nafsu serakah seks kepada perempuan yang muda ‘trang tang tang’,
fikirkan sedalam-dalamnya. Perkahwinan sebegini, sekadar untuk melepaskan nafsu
tidak akan bertahan lama. Habis manis sepah dibuang.
Ini bukan soal perkahwinan antara Nabi
s.a.w. dengan Aishah r.a. Umur Aishah walaupun ketika itu berusia 9 tahun,
berbeza dengan umur 11-15 tahun perempuan kita hari ini.
Akhirnya, jika terlalu sangat suka dan
teruja sangat berkahwin dengan gadis bawah umur, kahwinlah senyap-senyap. Tidak
perlu diperbesarkan hingga menjadi perdebatan umum dan merosakkan imej Islam.
Mohon sangat media-media sosial hari ini, supaya berhentikan menyiarkan berita
sebegini. Media musuh Islam dan ultra kiasu sentiasa mengambil peluang dan
ruang mensensasikan berita ini bagi merosakkan imej agama kita, supaya agama
mereka yang tidak seberapa dipandang mulia.
0 comments:
Post a Comment