SAYA begitu teruja untuk
mengulas gelagat dan telatah bekas Menteri Belia dan Sukan, yang terlalu banyak
cakap semenjak dua menjak ini, seolah-olah beliau adalah presiden UMNO,
gara-gara Barisan Nasional (BN) telah menjadi pembangkang dan beliau kalah
dalam pemilihan jawatan presiden parti.
Beliau
terlalu yakin, ahli-ahli UMNO memilihnya. Tetapi telahan beliau silap. Apabila
kalah, heboh satu Malaysia mengatakan berlaku politik wang.
Ketika
berjawatan menteri, tidak pula berani dan lantang bersuara menegur presidennya
dan politik wang yang berlaku. Malah, kementerian yang beliau pegang penuh
dengan rasuah. Sukan negara pun tidak sehebat mana ketika beliau memegang
jawatan.
Selepas
kalah dalam merebut jawatan presiden UMNO, beliau seolah-olah mahu menjadi
juara. Mahu dilihat sebagai orang hebat, kawan dan lawan. Sanggup duduk
berseorangan di dalam Parlimen ketika pasukannya yang lain keluar. Mahu dilihat
hebat konon.
Walhal
tidak hebat manapun. Bolehlah berlagak sikit dengan ‘slang’ dan ‘accent’
omputihnya.
Beliau
masih bertahan dalam UMNO dek kerana pak mentuanya. Ditakdirkan mentuanya sudah
tiada lagi, sudah lama orang sebegini angkat kaki.
Kenyataan
beliau ketika menjadi ketua pemuda UMNO dan memegang jawatan menteri, penuh
dengan kontroversi dan melukakan.
Beliau
juga pernah mengkritik saya dan meminta saya diam, ketika beliau menjadi
Menteri Belia dan Sukan, hanya kerana komen sedikit saya mengenai sukan dan
kaitan dengan perpaduan. Ada aku kisah!
Saya
masih ingat, beliau yang mahu sekolah agama dihapuskan jika mahukan sekolah
vernakular dihapuskan sudah cukup melukakan. Ternyata beliau begitu jahil
Perlembagaan.
Membandingkan
antara sekolah agama dengan sekolah vernakular adalah seperti ibarat langit
dengan bumi. Kewujudan sekolah agama adalah berperlembagaan. Sama sekali
berbeza dengan sekolah vernakular.
Saya
fikir, adalah satu kesilapan keputusan presiden UMNO melantik beliau sebagai
menteri ekonomi dalam Babinet bayangan. Kenyataan demi kenyataan beliau tidak
melayakkan beliau memegang jawatan itu walaupun berbentuk bayangan.
Beliau
juga pernah berkata, bahawa tongkat orang Melayu seperti hak istimewa yang
terdapat dalam Dasar Ekonomi Baharu (DEB) perlu dihentikan. Apakah orang
sebegini layak menjadi menteri ekonomi.
DEB
tidak pernah salah, malah ia berperlembagaan. Yang salah orang yang
melaksanakan dan menyelewengkan DEB itu.
Lagi
satu, sasaran DEB bukan hanya orang Melayu, tetapi juga bukan Melayu yang
memerlukan. Matlamat DEB bersifat serampang dua mata, membasmi kemiskinan dan
menyatu padukan masyarakat, tidak kira siapa.
Janganlah
kerana seekor kerbau membawa lumpur, akhirnya semua terpalit.
Sebelum
ini, beliau ada berkata, lebih ramai pemimpin UMNO akan meninggalkan parti itu.
Sebenarnya, termasuk beliau. Hanya kerana mentua masih hidup, maka niat itu
ditangguhkan.
Semua
yang dilakukan presiden UMNO kini, salah di mata beliau. Beliau sahaja yang
betul, seolah-olah beliau mewakili generasi muda meskipun beliau tidak terlalu
muda lagi.
UMNO
tidak perlu bimbang tanpa beliau. Ramai lagi orang lain dalam UMNO yang lebih
baik daripada beliau. Satu lagi perkara, tidak semua yang keluar daripada
Oxford atau Cambridge itu bagus. Jika begitulah keadaan, sudah tentu semua yang
keluar daripada sana, menjadi orang hebat dan berguna hari ini. Tidak nampak
juga.
Mark
Zukerberg, gagal di Havard, tetapi beliau jauh lebih hebat daripada beliau.
Justeru, saya menyeru kepada pimpinan UMNO tidak perlulah melukut ditepi
gantang, seolah-olah beliau terlalu berguna kepada UMNO. Tanpa beliau, UMNO
akan terus hidup jika tidak lari daripada landasan Islam. Percayalah.
Lantik
mereka yang kental jiwa Islam dan Melayunya. Presiden UMNO berkata, UMNO tidak
masalah dengan moto PAS iaitu Islam memimpin. Ya, saya sangat bersetuju.
Islamlah nescaya kamu selamat. Masuklah kamu ke dalam Islam sepenuhnya. Ini
kata-kata Allah, bukan saya.
Sudah
tiba masanya, presiden mengotakan apa yang dikatakan ketika menutup perhimpunan
agung UMNO semalam, bahawa keterbukaan beliau ada batasnya. Tidak perlu lagi
menyimpan duri dalam daging.
Tidak
perlu meletakkan kepercayaan lagi kepada beliau. Beliau bukan siapa-siapa lagi
masa kini. Pergi ke masjid pun belum tentu orang pandang. Semua orang tahu
latar belakang beliau.
Sedap
sahaja beliau berkata, ucapan presiden UMNO tiada hala tuju. Saya begitu teruja
untuk mendengar apa pula hala tuju beliau. Sudahlah… nasihat saya, perdalamkan
jati diri Melayu dan agama Islam kamu.
Kamu
bukan siapa siapa lagi. Hadirnya kamu tidak menguntungkan, perginya kamu tidak
juga merugikan.
Saya
sarankan beliau keluarlah UMNO daripada sekarang. Tidak perlu lagi segan dan
silu dengan mentuanya. Berbincanglah secara baik dengan pak mentua untuk
menunaikan hasrat kamu itu.
Saya
begitu teruja untuk melihat parti manakah yang sudi menerima beliau. Apakah
beliau akan menggariskan hala tuju yang begitu hebat ada pada dirinya.
Dengan
kekalahan beliau dalam pertandingan presiden sepatutnya menjadikan beliau lebih
‘low profile’ seperti yang berlaku ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Razak.
Saya
amat yakin, Najib sudah banyak melakukan muhasabah diri selepas BN tewas dalam
PRU14 lalu. Air matanya yang tumpah ketika menyanyikan lagu ‘teman sejati’
sudah menampakkan sedikit.
Cuma
air mata beliau belum tumpah lagi kerana beliau masih yakin boleh pergi lebih
jauh. Sejauh mana, Tuhan sahaja yang tahu. Realitinya, beliau telah kalah.
Tidak pasti, apakah boleh timbul kembali atau hilang selama-lamanya.
Dahulu,
ketika menjadi pelajar sains politik, saya diajar bahawa politik itu adalah
berkait rapat dengan kuasa. Kini, tidak lagi, politik adalah ilmu serba jadi.
Jika kamu hari ini menteri, tidak mustahil esok, kamu hilang segala-galanya.
Kawan boleh menjadi lawan. Bersedialah. Hanya Islam sahaja yang boleh
menyelamatkan kamu.
Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah
Profesor Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan (FUPL)
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)
Profesor Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan (FUPL)
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)
0 comments:
Post a Comment