https://www.ismaweb.net/2018/10/15/terlalu-ramai-jadi-lalang-ikut-arah-angin-bertiup/
Terlalu ramai jadi lalang, ikut arah angin bertiup
Terlalu ramai jadi lalang hari ini, ikut arah angin
bertiup. Hidup tidak berprinsip. Maruah letak di mana? Benar, kita perlu
menerima hakikat kerajaan yang dipilih rakyat, tetapi takkan sampai tidak boleh
ditegur. Kerajaan bukan malaikat. Kerajaan ditadbir oleh sekumpulan manusia
yang tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan.
Sebab itu, jangan terlalu bongkak. Kuasa boleh datang
dan pergi. Nasib yang dialami oleh Barisan Nasional (BN) selepas PRU 14, harus
dijadikan iktibar, bahawa setiap sesuatu yang ada di dunia ini tidak kekal.
Datang dan pergi. Timbul dan tenggelam. Yang kekal hanya Allah.
Juara Pencetus Ummah (PU) 2015, Syed Bakri
berkata beliau berdepan suasana yang berbeza sekarang berbanding semasa BN
menjadi memerintah kerajaan Malaysia. Katanya, disebabkan teguran yang
diberikan kepada Pakatan Harapan (PH), penerbit program realiti itu, Astro,
mengeluarkan teguran kepadanya.
Menurut Syed Bakri, dia diminta memperlahankan
“teguran” yang dibuat ke atas kerajaan. Berbeza masa BN memerintah
dulu, beliau ada juga membuat teguran yang hampir sama, tetapi Astro tidak
pula berbunyi.
Biasalah saudara Syed, itulah resmi lalang, bila
ditiup angin. Ikut mana arah angin bertiup.
Menurut Syed, program bersama astro yang dijadualkan
terpaksa dibatalkan kerana ada tangan-tangan di atas yang memberikan arahan.
Saya sudah masak dengan permainan dunia media yang
telah saya ceburi hampir 30 tahun. Nasihat saya kepada adik-adik terutama
pendakwah-pendakwah yang gila mencari publisiti untuk masuk TV, untuk
meneruskan hayat periuk nasi, jadilah orang bermaruah seperti PU Syed.
Dakwah bukan sekadar hanya masuk TV. Ruang dakwah
terlalu besar untuk kita sebagai pendakwah. Cuma, bersedialah untuk menerima
cabaran dalam dakwah. Ambil pengajaran, pendakwah-pendakwah terdahulu, sehingga
nyawa jadi gadaian. Kita masih terlalu jauh untuk menghampiri mereka.
Jangan kerana tidak dapat masuk TV, kita terpaksa
gadai maruah dan prinsip.
Terimalah hakikat bahawa kuasa bukan di tangan kita.
Mereka yang berkuasa berhak melaku apa jua ke atas kita meskipun kita tidak
bersalah. Sebab itu, saya simpati dengan nasib PU Syed.
Untuk makluman PU Syed, saya ada hos pertama rancangan
realiti Pencetus Ummah terbitan Astro Oasis. Saya berjaya menaikkan populariti
rancangan realiti ini melebihi sasaran yang ditetapkan, menjadi gilaan tontonan
jutaan penonton.
Klip video saya menjadi viral ketika pentas akhir PU,
meskipun saya bukan finalis, sehingga menenggelamkan finalis yang lain. Bukan
ujub atau bongkak, tetapi itu yang penerbit beritahu selepas tamat program.
Selepas selesai program realiti tersebut
penerbit rancangan tersebut telah menempah (booked) saya untuk musim
seterusnya. Saya pun bersetuju atas nama dakwah.
Namun, ketika rancangan Pencetus Ummah musim kedua
mahu berlangsung, maka tangan-tangan jahat di atas pun memberikan arahan supaya
dihentikan saya, gara-gara artikel saya yang pernah mengkritik kaum tertentu
yang merupakan orang kuat Astro.
Nasihat saya kepada semua pendakwah yang terlibatkan
dunia media, terimalah hakikat bahawa kuasa bukan bukan di tangan kita. Kita
boleh ‘digam’ bila-bila masa jika mereka mahu.
Jangan takut untuk terus berkata benar kerana takut
digam. Ruang dakwah kita terlalu besar di luar sana. TV dan media hanya alat,
ruangnya terlalu kecil untuk orang seperti kita masuk. Sedangkan badan kita
begitu besar untuk masuk ke screen TV.
Ingatlah, rezeki bukan di tangan mereka tetapi di
tangan Allah. Mereka yang berkuasa perlu menjawab di akhirat nanti.
Saya telah mencebur diri dalam dunia media hampir 30
tahun. Pahit maung, asam garam telah dilalui, sehingga diberikan panggilan
artis atau selebriti TV. Ke mana pergi, semua mengenali. Mungkin itulah kuasa
dunia media. Mudah dikenali.
Bezakan kita dengan artis selebriti TV yang lain. Biar
kita dikenali dengan ilmu di dada, bukan populariti lain yang penuh sensasi,
manipulasi dan kontroversi.
Banyak kali saya telah di gam. Paling teruk, pada
zaman anak mamak menjadi Menteri Penerangan dahulu, yang pada hari ini begitu
banyak bercakap. Kritik sana, kritik sini, seolah-olah dia terlalu bagus.
Walhal pada zaman beliaulah, paling ramai pendakwah
dan pembangkang digam masuk TV. Seolah-olah TV itu bapak dia yang punya.
Sehinggakan mereka yang memakai kopiah pun tidak dibenarkan masuk TV.
Begitu juga pembaca berita, langsung tidak dibenarkan memakai tudung.
Siapa dia? Fikirlah sendiri.
Kini, kerajaan yang dipimpin oleh PH berkata mereka
begitu terbuka dan sedia dikritik dan macam-macam lagi janji manis.
Justeru, saya mohon, jangan hanya manis dibibir. Tanam
tebu di tepi bibir. Berilah ruang dan peluang kepada mereka yang ikhlas,
berkata benar dan menjalankan kerja amar makruf nahi mungkar untuk masuk TV,
selagi mereka berhikmah.
Kepada pendakwah, jadilah manusia bermaruah. Jangan
ikut angin, bila kerajaan bertukar, kita berubah 360 darjah. Dahulu penyokong
tegar BN, bila kerajaan berubah, mereka menjadi pembodek tegar kerajaan yang
baharu memimpin. Maruah kita seolah-olah lebih hina daripada haiwan.
Bukan bermakna kita menjadi pembangkang. Selaku
professional, kita kena terima hakikat, bahawa kita berkhidmat dengan kerajaan
sedia ada. Tumpahkan taat setia. Kita perlu menerima segala dasar dan program
baharu yang telah dan bakal dirancangkan. Tetapi takkanlah sampai tidak boleh
dikritik.
Bila dikritik kita dicop sebagai pembangkang.
Maknanya, kita mahukan bila berlaku pertukaran kerajaan, seolah-olah kita
mahu melahirkan pembodek tegar demi untuk mengekalkan kuasa dan jawatan. Maruah
kita di mana? Percayalah, semua itu hanya sementara. Kita akan ditanya di
mahkamah Rabbul Jalil.
Pendakwah dan apa jua profesion kita, tidak wajar
menjadi peminta-minta. Seolah-olah apabila tidak dapat masuk TV, pintu rezeki
tertutup, dakwah terbantut. Pelihara maruah kita supaya berbeza daripada
makhluk lain.
0 comments:
Post a Comment