APA punca sebenar bahasa Melayu (BM) tidak dapat dikuasai di
sekolah vernacular, SJKC dan SJKT? Kita tidak mahu, akhirnya guru juga yang
dipersalahkan kerana murid-murid bukan Melayu SJKC/T, tidak dapat menguasai dan
menghayati BM.
Sedangkan sebahagian besar mereka
adalah guru Melayu, guru terlatih. Kenapa tidak bertanya kepada guru-guru Cina
bagaimana mereka begitu berjaya mengajar bahasa Cina, sehingga anak-anak Cina
menjadi Cina totok, secina-cinanya. Pernahkah kajian terperinci dibuat kenapa
dan mengapa orang bukan Melayu (murid-murid SJKC/T) terlalu miskin BM mereka?
Jangan tertipu dengan Cina
ultra kiasu. Hakikat BM di mata orang Cina. Jika ada Cina bertemu Cina bercakap
BM. Itu tandanya ‘kiamat sudah semakin hampir’. Sebagai orang Cina, sama sekali
saya tidak pernah jumpa apabila Cina bertemu Cina mereka berbual menggunakan
BM, kecuali Cina seperti saya dan sahabat-sahabat yang berasimilasi dengan
majoriti Melayu. Cina yang memahami agenda hidup bernegara.
Cina yang mendukung agenda
negara, sanggup mati mempertahankan negara tercinta. Kerana di sinilah tanah
tumpah darahku, cinta bersemadi, rasa sayang yang tidak pernah berbelah-bahagi.
Sebab itu, apa jua cara
Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) di SJKC Cina, sekiranya pandangan Cina
terhadap BM tidak berubah, buatlah apa cara sekalipun, BM tetap tidak dapat
dikuasai.
Soal bahasa adalah soal
penghormatan dan penghayatan. Jika ada rasa hormat, kita akan jiwai bahasa itu.
Kepada orang Cina, bahasa Melayu tidak ada nilai.
Sebab itu, saya teruja dengan
lagu Santesh, bertajuk Amalina. Seorang penyanyi India dapat menyanyi lagu
Melayu. Begitu baik sekali penuh penghayatan, seolah-olah dia seorang Melayu.
Kenapa? Jawapan mudah, BM telah meresap ke dalam sanubarinya tanpa disedari.
Inilah kualiti BM yang kita mahukan.
Penguasaan bahasa bukan sekadar
choral speaking yang bersifat hafalan dan sebagainya. BM dijiwai bukan dihafal.
Bahasa jiwa bangsa. Bahasa negara untuk dijiwai bukan soal ia ada nilai
komersial atau tidak.
Jika Cina benar-benar mahu
menghayati BM, saya cabar mereka menyanyikan lagu-lagu Melayu, bersyair,
gurindam dan berdebat. Tidak cukup sekadar choral speaking. Mampukah mereka
melakukan sebagaimana yang Santesh lakukan dengan lagu Amalina?
Maaf, dahulu, kita lihat begitu
ramai penyanyi bukan Melayu menyanyikan lagu-lagu Melayu penuh penghayatan
seperti D J Dave, Kenny, Remy dan Martin, Andre Goh dan ramai lagi.
Hari ini, bukan tidak ada. Ada,
penyanyi bukan Melayu, tetapi bila menyanyikan lagu Melayu, tanpa penghayatan.
Nyanyi lagu sedih, muka nampak ceria gembira. Ini bukan penyanyi tetapi
penghafal. Kita mahu mencari penghafal bahasa atau penghayat bahasa jiwa bangsa?
Bandingkan Cina di Indonesia
dengan Cina Malaysia. Cina di Indonesia, tanpa melihat rupa mereka, cara mereka
menggunakan bahasa Indonesia, sebiji macam Indonesia. Seolah-olah mereka bukan
Cina tetapi orang Indonesia. Cina itu Indonesia, Indonesia itu orang Cina.
Begitulah hebat penguasa dan pemimpin Indonesia, mengindonesiakan rakyatnya
yang berbangsa Cina.
Cina Malaysia, tanpa perlu
melihat wajah mereka, dengar sahaja sepatah dua BM yang keluar, kita sudah tahu
siapa mereka. Terbitlah kata-kata “bulung bulung telebang di angkase”. Inilah
kualiti rakyat negara kita yang berjaya kita lahirkan.
Lihatlah cara pemimpin mereka
berbahasa Melayu dalam Parlimen. Tahap BM mereka begitu menyedihkan, walaupun
tidak semua. Tahap BM pekerja Bangladesh yang tinggal di sini setahun dua,
lebih baik daripada warganegara yang tinggal di sini, puluhan dan ratusan tahun.
Tidakkah kita teramat malu
apabila terpaksa mengadakan kursus BM kepada ahli-ahli Parlimen bukan Melayu.
Bukankah mereka pemimpin yang seharusnya menunjukkan teladan. Menghadami dan
menghayati agenda negara? Mereka rakyat Malaysia atau bukan?
Isunya, bukan soal BM diajarkan
secara santai atau tidak? Menyeronokkan atau tidak? Menonton filem P Ramlee
atau tidak. Edutainment atau tidak. Ini soal SIKAP (attitude dan aptitude)
bukan Melayu terhadap BM, selaku bahasa negara. Soal memandang rendah kepada BM.
Menganggap BM sebagai bahasa
tidak berguna. Tidak ada nilai. Banyak bercakap BM dianggap seolah-olah
dianggap menjadi Melayu. Menjadi Melayu itu seolah-olah sesuatu yang “soi”
(sial).
Saya bukan mengapi perkauman,
tetapi inilah realitinya yang amat pahit untuk ditelan, tetapi terpaksa
diluahkan. Hati terasa sakit ketika menulis artikel ini.
Berapa jam seminggu BM diajar
di SJKC? Betapa seksa Kementerian Pendidikan sejak dahulu untuk meningkatkan
masa P&P BM SJKC daripada 180 minit seminggu kepada 240 minit seminggu.
Itupun ditentang hebat oleh persatuan-persatuan dalam pendidikan Cina seperti
Dong Zong, Jiao Zong dan Dong Jiao Zong.
Dahulu, ada usaha untuk naikkan
kepada 270 minit seminggu, tetapi gagal kerana persatuan Cina bersepakat
menentang habis-habisan. Kerana, jika waktu BM ditambah, ia akan menjejaskan
mata pelajaran bahasa Cina yang lain. Mereka tidak mahu pelajar Cina menjadi
separuh Melayu separuh Cina. Tetapi mahu menjadi secina-cinanya. Inikah cara
hidup bernegara?
Dahulu, apabila mata pelajaran
sejarah diperkenalkan di SJKC (termasuk SK). Keputusan Kementerian Pendidikan,
adalah wajib menggunakan BM. Realitinya, ternyata, ia gagal dilaksanakan di
SJKC. Sekali lagi, seluruh persatuan Cina menentang. Akhirnya, sejarah diajar
dalam bahasa Cina. Bayangkan sejarah Malaysia yang berteraskan sejarah Melayu,
diajar dalam bahasa Cina. Apakah di situ ada penghayatan? Semangat patriotisme
ke mana?
Berani kerana benar, takut
kerana salah. Jika salah. Saya bersedia bila-bila masa untuk berdebat dengan
semua pemimpin persatuan Cina dalam pendidikan. Sediakan masa dan tempat. Saya
akan hadir termasuk jika diadakan di Dewan Perhimpunan Cina, Kuala Lumpur. Saya
tidak pernah takut. Saya cabar mereka hari ini. Sediakan platform untuk kita
berbincang perkara ini dengan serius jika kita benar-benarkan sayang negara
tercinta ini.
Saya sayangkan bangsa saya.
Teramat sayang, kerana inilah ciptaan Allah yang tidak boleh dinafikan. Tetapi,
saya lebih sayangkan negara saya. Saya diajar, apabila kepentingan bangsa
bertembung dengan kepentingan negara, maka kepentingan negara mesti diutamakan.
Saya mohon kajian secara serius
dibuat untuk melihat kedudukan dan tahap BM di SJKC sebelum kita pergi lebih
jauh. Apatah lagi sehingga menyalahkan kaedah P&P guru-guru BM di SJKC.
Soal penguasaan BM bukan
masalah guru tidak pandai mengajar BM, tetapi soal sikap orang Cina terhadap
bahasa negara ini.
Sebab itulah, jika mahu bukan
Melayu menguasai BM, ubah sikap mereka. Jadi BM sebagai syarat asas untuk
penerusan hayat SJKC. Jika diberikan tempoh masa, SJKC tidak juga berubah,
pencapaian BM masih rendah, tukar status SJKC daripada menggunakan bahasa Cina
kepada BM selaras dengan Akta Pendidikan 1996.
Saya amat yakin dengan ada
syarat ini, tidak lama, seluruh bukan Melayu akan fasih berbahasa kebangsaan.
Dalam melaksanakan agenda
negara, mesti ada unsur ugutan dan paksaan. Inilah yang dilakukan oleh seluruh
negara di dunia dalam memastikan cita-cita negara tercapai. Jika tidak, ia
hanya kosmetik sahaja.
Apakah kita tidak pernah
terbaca, bagaimana persatuan ultra kiasu mensyarat guru-guru BM mengajar di
SJKC, mesti mempunyai kredit dalam bahasa mandarin peringkat SPM? Maknanya,
guru Melayu yang mahu mengajar di SJKC mesti datang daripada SJKC dan SMJKC
atau Sekolah Persendirian Cina.
Amat sedih sekali mendengar,
kegagalan murid-murid SJKC dalam BM disebabkan oleh guru-guru yang tidak pandai
mengajar, sedangkan sosialisasi politik mereka penuh dengan kecinaan yang lebih
Cina daripada orang negara China. Saban hari bercakap Cina, baca akhbar Cina,
tonton filem Cina, dan semua sosialisasi Cina.
Bolehkah kita memandaikan
anak-anak Cina dengan persekitaran penuh kecinaan. Berikan satu bukti kepada
saya, terdapatkah negara sebaik Malaysia yang begitu banyak memberikan
kelonggaran kepada rakyat dalam melaksanakan agenda hidup bernegara.
Hampir tiada di dunia. Tetapi
inilah Malaysia. Kita sanggup gagal hidup bernegara, asalkan kita dapat
mengekalkan kuasa. Kita terus berpolitik. Hiba sungguh hati ini. Air mata
mengalir tanpa disedari.
Prof
Dr Ridhuan Tee Abdullah
Profesor Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan (FUPL)
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)
Profesor Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan (FUPL)
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)
0 comments:
Post a Comment