SAYA tidak hairan jika Menteri Dalam Negeri Jerman, Horst Seehofer
yang baru menjawat jawatannya dalam Kabinet Angela Merkel berkata, Islam bukan
sebahagian daripada Jerman dan telah menetapkan dasar imigresen yang tegas
sebagai langkahnya dalam berdepan pencabarnya.
Kenyataan itu dibuat, selepas
sekutu konservatif Merkel, Parti Demokrat Sosial kalah kepada parti Alternatif
Untuk Jerman (AFD) yang bersikap antiimigran dalam pilihan raya tahun lalu.
Seehofer dilihat ingin
menunjukkan bahawa partinya sedang mengatasi isu imigresen menjelang pilihan
raya wilayah Bavaria pada Oktober depan dengan AFD dijangka bertanding di
wilayah itu.
Kata-kata Seehofer bercanggah
sama sekali dengan bekas Presiden Jerman, Christian Wulff yang mencetuskan
debat berhubung imigresen pada 2010 dengan berkata, Islam adalah sebahagian
daripada Jerman. Seehofer dengan tegas berkata”
“Islam is not part of Germany. Christianity has shaped Germany
including Sunday as a day of rest, church holidays, and rituals such as Easter,
Pentecost, and Christmas.”
Pada hemat saya, beliau ada hak untuk berkata sedemikian, sebab
Jerman bukanlah negara Islam atau majoriti berpenduduk Islam. Terimalah hakikat
apabila kita menjadi minoriti. Sama seperti minoriti umat Islam seluruh dunia
seperti China, Thailand, Filipina dan sebagainya.
Ironinya, apabila umat Islam
menjadi majoriti dan agama lain menjadi minoriti, bagaimana pula keadaannya?
Apakah kita akan menjadi sedemikian berani?
Bagaimana dengan kita Malaysia?
Apakah kita tidak ada hak untuk melaksanakan hak-hak Islam dalam sebuah negara
Islam, yang majoritinya beragama Islam? Bukankah Islam adalah sebahagian
daripada Malaysia? Jika tidak, mana mungkin Islam itu adalah agama Persekutuan
sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan
Kenapa kita tidak berani
membuat penegasan, sedangkan orang lain begitu berani? Begitu juga Britain
ketika di bawah Perdana Menteri, David Cameron, secara berani menegaskan bahawa
Britain adalah sebuah negara Kristian.
Saya tidak boleh bayangkan jika
ultra kiasu berjaya memerintah negara ini jika mereka menang dalam PRU akan
datang. Dalam keadaan sekarang mereka sudah begitu berani mengeluarkan
kenyataan mahu mengkristiankan negara ini, apatah lagi apabila sudah menang?
Begitu juga dalam isu arak yang
mencetuskan rasa tidak puas hati sebahagian peguam Muslim kerana tidak puas
hati arak dihidangkan dalam majlis meraikan mesyuarat agung mereka. Kenapa arak
yang menjadi focus makan malam mereka, bukannya makanan lain yang lebih
menyihatkan badan?
Saya tidak boleh bayangkan jika
ultra kiasu memerintah. Usahkan mandi, malah selepas menang nanti, mereka mahu
berendam pula. Saya berasa pelik, atas dasar apa mereka terlalu sukakan arak?
Agama atau ajaran apakah yang membenarkan arak ini? Lebih pelik lagi ada juga
peguam-peguam yang mengaku Islam turut bersuhabat bersama Majlis Peguam ini.
Apakah kita tidak pernah
belajar daripada angkara arak ini. Peristiwa beberapa pesawat terpaksa berpatah
balik, gara-gara penumpangnya mabuk sepatutnya menjadi pengajaran kepada kita
semua, sebagai rakyat dalam sebuah negara Islam Malaysia. Kenapa tidak belajar
daripada peristiwa buruk yang berlaku?
Tidak dinafikan ada sedikit
kebaikan arak, kerana ada proses penapaian. Tetapi keburukan arak mengatasi
kebaikannya, sebab itu ia diharamkan. Dalam Islam, pengharaman arak begitu
jelas.
“Mereka bertanya kepadamu
mengenai arak dan judi. Katakanlah (Muhammad) pada keduanya ada dosa yang cukup
besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar
daripada manfaatnya… (Al-Baqarah 2;219). Lihat juga an-Nisaa’: 43, Al-Maidah:
90.
Dalam Islam, arak adalah ibu
segala kejahatan, sama ada diambil secara sedikit atau pun banyak. Rasulullah
sallallahu alaihi wasallam mengingatkan lagi, Allah akan melaknat 10 kumpulan
manusia termasuk yang menjual atau memudahkan transaksi membekalkan arak,
penghasil, penjual, penghantar, penolong membeli, pelayannya, pengguna wang
hasil jualan arak, orang yang membelinya dan juga orang yang membeli arak
daripada seseorang.
Begitu juga dalam Injil, begitu
tegas dalam larangan arak, minuman keras membuat orang mabuk dan merepek.
Bodohlah orang yang menjadi mabuk (Proverb 20:1). Lihat juga Proverb 31:6-7,
Ephesians 5:18.
Pendek kata, arak punca segala
kejahatan. Arak telah menyebabkan masalah sosial dan hubungan kejiranan, kadar
jenayah dan perceraian meningkat.
Justeru, apakah justifikasi ultra kiasu mahu arak dihalalkan?
Teringat kata-kata Jomo Kenyatta, Perdana Menteri dan Presiden pertama Kenya
menjadikan saya tersentak. Angkara arak dan perancangan Kristian akhirnya Kenya
menjadi negara Kristian. Dalam maksud, arak adalah sebahagian perancangan
Kristian dalam rangka strategi untuk mengkristiankan negara yang menjadi
sasarannya, seperti yang berlaku di Kenya.
When the Missionaries arrived, the Africans had the Land and the
Missionaries had the Bible. They taught us how to pray with our eyes closed.
When we opened them, they had the land and we had the Bible.
Bila berjumpa doktor, selain
daripada merokok, soalan lain yang ditanya adalah ‘minum’ atau tidak? Jika arak
itu baik, berikanlah arak kepada isteri-isteri ultra kiasu ketika mengandung,
meminumnya. Begitu juga mereka yang memandu, termasuk juruterbang.
Bukti-bukti begitu jelas
menunjukkan bahawa manusia di bawah pengaruh arak, tidak lagi sedar diri,
seperti dadah. Otaknya tidak lagi rasional. Tidak hairan mereka bertindak ganas
dan mengeluarkan kata-kata kotor.
Kes pelacuran, rogol, sumbang
mahram, dan Aids, salah satu puncanya adalah daripada arak. Mengikut kajian di
Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat, setiap hari kes rogol berlaku disebabkan
perogol dalam keadaan mabuk.
Lapan peratus rakyat Amerika
melakukan sumbang mahram, satu daripada 12 rakyat mereka terlibat. Begitu juga
dengan penularan Aids. Pesakit utamanya adalah peminum arak.
Selain itu, pelbagai kajian
telah dibuat mengenai mudarat arak. Antaranya, penyakit limpa dan hati, kanser
kerongkong, kepala, leher, hati, usus dan sebagainya.
Begitu juga dengan tekanan
darah tinggi, kerosakan hati, strok, sawan dan pelbagai jenis penyakit. Pendek
kata, namakan sahaja apa penyakit, arak adalah antara penyumbang besar.
Kajian juga membuktikan, arak
bermula dengan parti sosial (social drinker) atau majlis-majlis yang sewaktu
dengannya seperti majlis anjuran Majlis Peguam. Tidak ada peminum arak berniat
menjadi peminum arak sejati. Tidak ada hujah untuk mengatakan kita tidak akan
mabuk walaupun biasa minum arak.
Lihatlah betapa jahatnya ultra
kiasu, suatu ketika dahulu apabila kerajaan negeri Melaka mahu mengharamkan
arak di premis kedai 24 jam ditentang dengan hebatnya sehingga kerajaan
terpaksa tunduk. Begitu juga di Shah Alam. Nasib baiklah Terengganu dan
Kelantan sudah lama melaksanakan. Itupun ultra kiasu masih melompat seperti
cacing kepanasan. Kenapa mereka begitu ghairah dalam perkara yang tidak ada
kaitan dengan mereka?
Jawapannya, mereka mahu
mencairkan umat Islam daripada agamanya. Mudahlah untuk mereka menguasai. Hari
ini mereka sudah pun menguasai ultra kiasu Melayu dalam Pakatan Harapan. PAS
sudah lama dapat mencium baunya, sebab itu PAS mengambil langkah keluar. Yang
tinggal adalah Melayu ultra kiasu. Mereka ini membisu sahaja dalam isu arak.
Inilah orang yang ultra kiasu mahu dan suka.
Saya tidak larang hak asasi
ultra kiasu untuk minum, mandi dan berendam arak, jika itu juga menjadi galakan
agama atau ajaran anutannya. Tetapi, amat jelas semua agama mengharamkannya.
Jadi, sebenarnya mereka berpegang kepada apa? Kalau bukan untuk menyesatkan
orang lain?
Apabila diusik sedikit mengenai
isu agama mereka, mereka begitu melenting, misalnya kalimah Allah. Mereka
mendakwah bahawa mereka juga bertuhankan Allah. Kenapa dalam isu arak, yang
mana agama mereka turut menentang, tidak pula nampak sensitivitinya?
Lebih menghairankan, mereka
turut menentang larangan penjualan arak di kawasan majoriti Islam seperti Shah
Alam. Jelas sekali perancangan mereka yang mahu menjadikan negara kita seperti
Kenya. Apakah kita masih buta? Buta mata? Buta hati?
Prof
Dr Ridhuan Tee Abdullah
Profesor Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan (FUPL)
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)
Profesor Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan (FUPL)
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)
0 comments:
Post a Comment