Bahaya Pemikiran Rimba dan Mangkok Hayun
Begitu jelek sekali mendengar aktivis liberal
berkata pengaruh budaya Arab yang menular (Arabisation) telah menghakis budaya
dan identiti Melayu di Malaysia. Tetapi beratus tahun kita dijajah dan proses westernisasi
(westernisation) pembaratan dan sekularisasi, iaitu pengaruh barat yang amat
mendominasi, tidak seorang pun ambil peduli. Malah kita terima ia menjadikan
norma dan cara hidup.
Seorang yang berjubah dan berkopiah dilihat
sebagai kuno atau terlalu keAraban, sedangkan mereka yang seumur hidup memakai blues jacket, blazer, bertali leher, skirt pendek, baju nampak ketiak, bikini dan
pakaian separuh telanjang, malah ada yang berbogel pun, ia diterima sebagai
norma dan gaya hidup yang dimegahkan.
Pendek kata, pemakaian yang menutup aurat atau
bersopan, begitu dirisaukan. Manakala, mereka yang mendedahkan badan sehingga
menampakkan yang tersurat dan tersirat serta
urat-urat, diterima sebagai norma dan mengikut arus pemodenan. Pemikiran
rimba dan ‘mangkok hayun’ apakah ini?
Lebih hina lagi, kumpulan ini sanggup
menyalahkan negara Arab kerana penularan budaya ini sehingga menyebabkan budaya
dan jati diri Melayu terhakis. Salah apa dengan negara Arab? Siapa meniru
siapa? Sama juga apabila kita meniru budaya barat, salah barat atau salah kita?
Memang kerja barat untuk menyesatkan kita semua dengan budaya liar, seks, seksi
dan hedonism.
Berbanding dengan budaya Timur seperti budaya
Melayu, boleh dikatakan dalam semua aspek kehidupan Melayu yang penuh kelembutan
dan indah sudah terhakis, disebabkan oleh proses pembaratan dan pemodenan.
Bahasa Melayu sebagai bahasa negara tidak lagi dirasakan sebagai penting.
Malah, ada segelintir yang mahukan kita kembali semula kepada sistem pendidikan
berasaskan bahasa Inggeris. Kemunculan sekolah antarabangsa sudah tidak lagi
terkawal.
Begitu juga dengan cara berpakaian. Kenapa
perlu meniru pakaian Arab arau orang putih? Peliknya lagi, tiru orang putih
boleh, tiru Arab tidak boleh. Hanya kerana meniru Arab lebih menutupi badan,
berbanding orang putih yang membuka badan. Maka yang membuka badan itu
diterima, manakala yang menutupi badan penuh dengan prasangka dan prejudis.
Inilah akibat apabila terlalu memandang ke
barat dan terlalu sekular, kawin cerai dengan orang putih, sembahyang entah ke
mana dan tidak tentu hala. Tidak mustahil kumpulan ini langsung tidak percaya
kepada agama yang anuti dan diwarisi daripada ibubapanya.
Maka, tidak menghairankan juga kenapa boleh
terjadi kepada seorang pelajar yang dahulunya mendapat 17A dalam SPM, kemudian
melanjutkan pelajaran di barat, asalnya bertudung, hari ini bukan sahaja
membuka tudung, malah menjadi begitu seksi, sekalipun wajahnya tidaklah
secantik yang difikirkan. Katanya mengikut trend terkini.
Akhbar ultra kiasu bahasa Inggeris begitu
mensensasikan berita anak muda SPM 17A yang membuka tudung ini. Saya mengikuti
perkembangannya dan sedangkan mencari jawapan kenapa gadis Melayu boleh berubah
360 darjah. Dahulunya menutup aurat, hari ini menjadi sangat seksi. Sudah
hilangkah nilai ketimuran? Apakah ibu bapa tidak lagi berperanan menegurkan
anak-anaknya?
Akhbar ultra kiasu tidak habis-habis menyorot
perkembangan beliau. Ultra kiasu ini amatt seronok melihat orang Melayu menjadi
liberal dan berpakaian seksi berbanding dengan berjubah dan bertudung labuh.
Justeru, kepada kumpulan yang terlalu elergi
dengan arabisasi ini, jadilah Melayu yang tulin. Kawinlah dengan orang Melayu,
pakai baju Melayu, makan guna tangan cara Melayu. Tidak perlulah terlebih orang
putih. Kawin cerai orang putih.
Oleh kerana mereka ini dalam kalangan orang
Melayu beragama Islam, maka fahamilah agama itu dengan mendalam. Kalau masih
gagap mengaji, pergilah belajar. Kalau tidak faham makna al-Quran, rujuklah
kepada yang pakar. Jangan ikut tafsiran sendiri.
Hari ini Arab Saudi mula pro Amerika. Jika
ditakdirkan, orang Arab Saudi mengikut cara hidup Barat, apakah selepas ini si
mangkok hayun ini akan mempertahankan Arab Saudi dengan berkata pengaruh
Amerika atau barat telah menyebabkan budaya Arab terhakis. Apakah dia akan
menyalahkan Amerika?
Sudah tentu tidak, kerana mereka ini sangat
pro-barat, cita rasa barat, dan bersuamikan orang barat sehingga tidak ketahuan
suaminya yang dikahwini beramal dengan Islam atau tidak.
Apakah golongan liberal ini lebih suka jika
nama-nama Melayu menjadi Robert, Ronnie, Jason, Gary, Marina, Joseph, Anthony,
Teresa, Hannah, walau pun tidak sepatutnya mereka dinamakan sedemikian sebab
oleh kesepetan matanya.
Mereka akan berduka dengan nama tersebut
daripada Muhammad, Umar, Khajidah, Fatimah, Hasmah, Aminah, Amin dan sebagainya,
hanya kerana ia berbau Arab, maka ianya dibenci.
Maka, sudah sampai masanya kita mencermin
diri sendiri. Sebenarnya, kita bangsa apa? Jika Melayu, jadilah Melayu. Begitu
juga dengan bangsa lain. Kenapa perlu meniru orang, lebih-lebih lagi barat.
Bila ke condong ke barat, semua okay dan diterima. Namun, bila condong sedikit
ke timur terutama, negara Arab, semuanya Taliban. Ini tidak adil.
Tidak semua budaya barat itu baik, begitu
juga Arab. Jadi, berpada-padalah jika
mahu mengambilnya. Tetapi jangan
jadi buta, buta hati. Yang jelas, proses pembaratan telah merosakkan jati diri
dan terlalu menghakis budaya Melayu.
Anak-anak kita sudah tidak mengenal
keroncong, zapin dan lain-lain irama Melayu. Mereka sudah terlebih rock, hip
hop dan RnB. Begitu juga dalam cara berpakaian, tidak segan silu berpakaian
seperti bertelanjang.
Ini tidak termasuk pengaruh, gay dan lesbian
atau LGBT. Berapa ramai anak-anak Melayu yang sudah terjebak, sedangkan ia amat
jauh sekali daripada tatacara, jati diri dan budaya Melayu. Kenapa serangan
seperti ini tidak dikatakan menghakis budaya Melayu? Tetapi apabila sekali
orang Melayu memakai pakaian berjubah, maka terus dijatuhkan hukum, bahawa jati
diri Melayu sudah terhakis dan orang Melayu sudah terpengaruh dengan Arabisasi.
Bertaubatlah! Sementara Allah masih lagi membuka pintu dan ruang taubat untuk
kita.
Profesor Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan (FUPL)
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)
0 comments:
Post a Comment