Siapa
untung bila Cina fasih BM?
Siapa yang untung atau memperolehi manfaat
jika orang Cina menguasai dan fasih BM? Sayakah yang selalu mengingatkan dan
disalahkan atau siapa? Sudah tentu orang Cina. Saya hanya menzahirkan nasihat sahaja
untuk kebaikan mereka. Kenapa setiap kali saya menjelaskan realiti BM mereka
berasaskan fakta, saya juga yang
dimangsakan? Akhbar dan laman sosial mereka sering memutar-belitkan artikel
saya sedangkan niat saya baik?
Saya salah apa? Saya bercakap perkara benar,
bukan menipu atau melakukan jenayah.
Apakah kita tidak boleh ditegur langsung atas perkara yang sepatutnya
ditegur. Saya bercakap pasal pembinaan negara bangsa, bukan membina empayar. Apa
guna empayar kekayaan dan perniagaan tinggi melangit, jika kita miskin dalam
pembinaan negara bangsa? Apabila ditanya wartawan satu soalan dalam BM, terus
bercakap dalam bahasa lain.
Bandingkan dengan jutawan Cina di Indonesia.
Sehingga saya tidak boleh kenal, sama ada dia orang Cina atau orang Indonesia,
walaupun sangat jelas dia seorang Cina. Cuba lihat Basuki Thahaja Purnama atau
lebih dikenali sebagai Ahok kerana Cinanya iaitu, bekas gabenor Jakarta. Kenapa
beliau sangat disukai oleh orang Indonesia meskipun berketurunan Cina? MCA dan
ultra kiasu jawab.
Jika Cina menguasai dan fasih BM, pasti
mereka disukai ramai dan pasti rezeki
mereka datang mencurah-curah. Psikologi manusia memang begitu bila ada bukan
Melayu fasih berbahasa Melayu, mereka akan mudah didekati malah akan dipuji.
Akan keluar kata-kata “pandai sungguh saudara berbahasa Melayu”. Sama seperti
orang Melayu pandai berbahasa Cina, sudah tentu mudah didekati dan akan dipuji,
“bagusnya kau pandai berbahasa Cina”.
Ini realiti dan lumrah.
Saya masih teringat ketika zaman kanak-kanak,
apabila kami orang Cina berjumpa dan bercakap berbual dalam BM, maka akan
ditegur oleh Cina yang lain, “tengok sesama Cina cakap melayu, tak lama lagi
masuk Melayu lah dia”. Dalam maksud,
kepada orang Cina jika sesama mereka bercakap BM, itu suatu perkara yang ganjil
dan seolah-olah ‘tidak dibenarkan’.
Sama seperti jika orang Melayu bertemu
Melayu, bercakap bahasa Cina sesama mereka, akan berbunyilah kata-kata, “bila
dia masuk Cina”. Saya pernah mendengar terserempak dengan insiden, sesama Cina
Muslim berbual dalam bahasa Cina di masjid, tiba-tiba datang seorang Melayu
menegur dengan kata-kata “tidak boleh cakap Cina di masjid”. Maknanya, dalam
masjid hanya boleh bercakap dalam bahasa Melayu dan Arab sahaja.
Salah faham ini perlu diperbetulkan. Saya
tidak boleh bayangkan jika ada masjid di negara ini menyampaikan khutbah dalam
bahasa Cina seperti Masjid India berkhutbah dalam bahasa Tamil, mungkin menjadi
lebih ganjil. Sebab khutbah dalam bahasa Tamil, boleh dikatakan biasa juga kita
dengar, tetapi khutbah dalam bahasa Cina, agak jarang kedengaran kecuali di
negara China.
Begitulah ceteknya kita melihat dan menilai
sesuatu perkara berkaitan bahasa, sedangkan menguasai bahasa adalah suatu
kredit atau kelebihan. Justeru, kita perlu rasional apabila saya menegur. Saya
menyeru pemimpin Cina, terutama mereka yang suka mensensasikan berita mengenai
tulisan saya, marilah kita berdialog dan berdebat, mengenai kepentingan
menguasai BM sebagai bahasa perpaduan dalam sebuah negara yang meletakkan kepentingan
BM sebagai bahasa negara.
Amat tidak beretika mereka mensensasikan
tulisan saya supaya masyarakat membenci saya. Mari kita bersama tegakkan
pembinaan negara bangsa dan menyahut harapan pemimpin negara, terutama Perdana
Menteri dan Timbalan Perdana Menteri yang sentiasa mengingatkan kita semua
sebagai rakyat Malaysia yang mahukan perpaduan sentiasa terjalin demi
kestabilan dan pembangunan negara bangsa tercinta. Jika orang Cina menguasai
BM, banyak manfaat akan diperolehi antaranya adalah;
Pertama, mereka akan dapat menguasai BM dan
tambahan satu lagi bahasa untuk mereka. Mereka lebih mendahului saranan agama
Islam yang mahukan kita menguasai banyak bahasa. Ia memberikan banyak kekuatan
daripada kelemahan. Pergilah bertanya kepada orang Cina yang menguasai BM,
apakah keuntungan yang mereka perolehi bila fasih BM? Jika mendiang Lee Kuan
Yew masih hidup, juga boleh bertanya kepada anaknya yang menjadi Perdana
Menteri Singapura sekarang, apa kelebihan bila fasih BM dan pada masa sama
boleh membaca tulisan jawi?
Sesungguhnya orang yang paling beruntung
bukanlah orang Melayu tetapi orang bukan Melayu (Cina atau India) yang hidup
dalam negara majoriti Melayu. Jika mereka dapat menguasai BM, paling kurang
mereka akan menguasai tiga bahasa, Bahasa Melayu, bahasa Inggeris, bahasa
ibunda, bahasa dialek mereka, dan bahasa-bahasa lain yang dipelajari. Orang
Melayu hanya dapat menguasai dua bahasa iaitu bahasa Melayu dan bahasa
Inggeris, itupun mujur.
Kedua, mereka akan menjadi orang yang mudah
didekati dan lebih “dipercayai”. Memahami psiki orang Melayu, selalunya mereka
amat selesa dengan orang sebegini. Sebab itu, Cina di Kelantan dan Terengganu,
kehidupan mereka dengan orang Melayu seperti adik-beradik. Bukan macam
masyarakat bandar di sini, penuh dengan prejudis dan prasangka. Depan nampak
baik, di belakang menikam.
Pergilah bertanya kepada penduduk Sabah dan
Sarawak, kenapa perpaduan mereka sangat mantap atau mereka telah mendahului
gagasan 1Malaysia? Jawapannya sangat mudah, perpaduan terjalin melalui bahasa,
selain toleransi yang lama tersemat. BM adalah medium terbaik mereka.
Bayangkan,setiap bumiputera di sana meminta sekolah mereka sendiri berasaskan
etnik?
Bagaimana keadaan Sabah dan Sarawak hari ini?
Beruntunglah wahai saudara secinaku di sana, walaupun sangat minoriti
berbanding dengan majoriti bumiputera di sana, mereka masih tidak ada sekolah
berasaskan etnik, sedangkan orang Cina ada. Toleransi apakah ini, jika bukan
datang daripada hati yang ikhlas. Sepatutnya, kita tidak layak membina sekolah
di sana, sebab kita datang berhijrah, mereka adalah tuan rumah. Namun, inilah
realitinya.
Ketiga, bisnes mereka akan menjadi bertambah
maju kerana orang Melayu akan menjadi lebih selesa untuk datang ke kedai
mereka. Misalnya, kedai adik-beradik saya sentiasa menjadi perhatian orang
Melayu, kerana orang Melayu amat selesa dengan adik-beradik saya. Sebabnya,
fasih BM.
Begitu juga ketika aruah ibu bapa saya berniaga
di kampung Melayu, memang orang Melayu suka dengan kami. Kedai kami sentiasa
menjadi perhatian dan kunjungan orang Melayu. Mereka sanggup meninggalkan kedai
saudara sebangsa yang turut sama berniaga bisnes kedai runcit.
Tidak perlulah saya bercerita, bagaimana
orang Melayu yang berhutang tetapi tidak mahu bayar, mencuri barang kedai kami
dan banyak lagi perbuatan yang tidak manis untuk diceritakan di sini. Pendek
kata, apabila kita menguasai sesuatu bahasa yang bukan bahasa kita, maka kita
akan disenangi.
Sama seperti penyanyi Shila Amzah, apabila
beliau berkebolehan menyanyi dalam bahasa Cina, beliau disukai, mudah didekati
dan dapat melebarkan sayap hingga ke negara China. Maknanya, menguasai bahasa
mendatang keuntungan bukan kerugian. Saya tidak fikir Shila Amzah boleh menjadi
terkenal di sini hanya berkebolehan menyanyi dalam bahasa Cina. Beliau begitu
selesa diterima di China, kerana seorang gadis bertudung berkeupayaan menguasai
bahasa Cina. Sudah pasti Cina di China begitu selesa.
Keempat, BM bahasa yang sangat mudah
dikuasai. Tidak hairanlah jika pekerja asing seperti Bangladesh, Pakistan,
Myanmar dan Nepal, sangat mudah menguasai. Kenapa kepada rakyat bukan Melayu di
negara sendiri merasa begitu payah dan mensia-siakannya. Terkini, ketika mengikuti
Seminar Konfucius anjuran Kedutaan China di Malaysia, berlangsung di UniSZA,
pembentangnya daripada negara China, bersekali membawa penterjemahnya iaitu
Cina daripada China yang menguasai BM dengan baik untuk menterjemahkan
kata-katanya. BM penterjemahnya sangat fasih. Kenapa Cina di China boleh
menguasai BM dengan fasih, Cina di sini amat sukar? Justeru, bersangka baiklah
terhadap BM.
Apabila Kementerian Pendidikan menghantar
guru BM dan BI yang tidak ada kredit mandarin, jangan dihalang atau ditentang
mereka. Biarkan mereka terus mengajar, janji mereka professional dan pakar
dalam bidang. Marva Collins pernah berkata, the
good teacher makes the poor student good and the good student superior. Proses
pencinaan yang keterlaluan perlu dicairkan sedikit.
Tidak mengapalah ‘kurang pandai’ sedikit
dalam bahasa ibunda. Anak saya semuanya boleh berbahasa Cina kerana mereka
semua datang daripada SJKC, saya melihat itu suatu kredit untuk mereka. Tetapi
saya mesti memastikan mereka pandai dalam BM. Sebab, kami anak Malaysia.
Kesannya, anak saya mudah didekati dan dimesrai oleh orang Melayu dan Cina.
Kesimpulan, saranan saya datang daripada hati
untuk untuk menyakiti. Apa yang saya dapat jika terus menyakiti hati Cina
melain permusuhan dan kebencian. Ini tidak baik untuk pembangunan negara
bangsa, Malaysiaku tercinta. Lebih-lebih ia tidak memberikan imej yang baik
terhadap dakwah. Tidakkah sedikit mereka dapat melihat, tujuan disebalik setiap
artikel yang dituliskan. Siapakah yang merasai keuntungan jika orang Cina fasih
berbahasa Melayu? Sayakah yang untung atau siapa? Kenapa tidak disambil sesuatu
yang positif setiap kali saya melontarkan idea dan menukilkan kata-kata? Pohon
saya, berhentilah dengan beranggapan bahawa BM tidak ada nilai komersial. BM adalah
bahasa negara, bahasa perpaduan untuk kita semua.
Saya juga amat mengharapkan GLC kerajaan
seperti TM Points, CIMB dan GLC lain, mendahului mendaulatkan BM bermula
sekarang. Sedih sekali mengikuti
Perhimpunan Agung MCA selama dua hari baru-baru ini, tidak ada pun
pemimpin dan perwakilan mereka membangkitkan akan pentingnya orang Cina
menguasai BM seperti yang disaran oleh oleh Sultan Perak, PM dan TPM.
0 comments:
Post a Comment