Saya sangat teruja untuk mengulas Persatuan
Hotel Malaysia (MAH) yang mempertahankan tindakan sesetengah hotel di negara ini yang melarang
wanita bertudung daripada bekerja di bahagian perkhidmatan pelanggan (front desk).
Katanya, ini dasar antarabangsa. Dasar antarabangsa apa ini! Dasar kepala…! Ini
tidak termasuk gambar papan tanda hotel yang tidak membenarkan wanita bertudung
mandi di kolam renang yang tular sebelum ini.
Hotel ini terletak di mana? New
York? London? Las Vegas? Mexico? Jelasnya hotel ini terletak dalam sebuah
negara Islam yang bernama Malaysia yang mendaulatkan Islam dan pribuminya iaitu
orang Melayu dan Bumiputera. Pendek kata, ultra kiasu ini antara mahu dengan
tidak sahaja.
Sama juga isu paramugari, boleh atau
tidak memakai tudung. Mahu atau tidak? Dasar antarabangsa juga? Dasar kepala…Banyak
juga syarikat penerbangan yang memakai tudung seperti Gulf Air, Emirates, Iran
Air, Royal Brunei. Tiada masalah pun.
Malangnya syarikat penerbangan
negara kita sama ada yang murah atau tidak, tidak ada satupun yang membenarkan
memakaikan tudung. Kecuali kapal terbang sewa khas bagi tujuan umrah dan haji. Malah.
Pakaian paramugari mereka semakin lama semakin singkat dan semakin besar terbelah.
Saya masih ingat, dahulunya, memang skirt
paramugari mereka berada bawah paras
lutut. Hari ini semuanya di atas lutut dan semakin singkat. Ini tidak termasuk
dadanya semakin terbuka. Ini belum termasuk yang berbelah dan kebaya putih yang
sangat jarang menutupi badan paramugari tersebut. Dasar lain, buat lain. Dasar
kepala apa ini?
Peliknya, pemberita tidak pula
mensensasikan berita ini? Sekarang telah wujud suatu budaya dalam kalangan
wartawan ultra kiasu mencari kelemahan syarikat orang Islam yang dilabelkan
bersifat ‘rasis’ untuk disensasikan. Jika sebelum ini syarikat dobi, hari ini
muncul pula kedai produk kecantikan untuk orang Islam sahaja sengaja disensasikan.
Kenapa mereka tidak sensasikan iklan ‘for chinese only’.
Berbalik kepada isu bertudung di
hotel antarabangsa, hotel ini berdiri di mana? Jika berdiri di bumi bertuah
ini, tidak kiralah norma antarabangsa atau tidak, hormatilah identiti dan jati
diri mereka.
Saya mohon kerajaan mengadakan garis
panduan kepada pelabur luar yang berniaga di sini. Saya lihat di Brunei begitu
banyak hotel mewah, lebih mewah daripada yang ada di sini. Kenapa di Brunei
boleh melaksanakan apa yang dikehendaki oleh pihak berkuasa mereka manakala
kita di sini tidak boleh? Bukankah agama Islam termaktub sebagai agama
persekutuan?
Bila saya berkunjung ke Brunei,
terasa nyaman sekali. Bermula dengan menaiki Royal Brunei, paramugara dan
paramugari manis bertudung memberikan salam. Tidak pula menggunakan good morning, afternoon, evening atau good night. Mereka tahu, bila orang Islam
diberikan salam. Kepada bukan Islam, ucapan yang sepatutnya.
Sebelum kapal terbang berlepas, akan
kedengaran doa yang dibaca secara live.
Paragmugara dan pilot dilatih untuk membacakan doa. Kita yang mendengar merasa
sangat dekat dengan Allah. Apabila
mendarat, kalimah Alhamdulillah
jelas berkumandang, bagi menzahirkan rasa syukur kepada Allah s.w.t kerana
telah selamat mendarat. Begitu nyaman sekali.
Malangya, kapal terbang kita tidak
pernah sekali diperdengarkan doa, begitu juga dengan kalimah Alhamdulillah setelah selamat sampai,
kecuali dilakukan oleh paramugara atau inisiatif sendiri. Itu pun jika selalu
disebut, tidak mustahil akan dikenakan tindakan tatatertib. Tetapi itulah
identiti Islam. Hubungannya dengan Allah berpisah tiada.
Pendek kata, bermula dengan menaiki
kapalterbang sehinggalah sampai ke negara Brunei penuh dengan jati diri dan
identiti. Masuk ke hotel mereka juga begitu nyaman sekali. Banyak juga hotel
antarabangsa di situ, malah ada hotel yang sangat mewah, tetapi tidak ada pula
polisi, gadis bertudung tidak boleh bekerja di bahagian front desk.
Malam-malam di Brunei begitu nyaman.
Sunyi sepi dan sangat indah. Tidak ada aktiviti liar dan mungkar, apatah untuk
melihat anak muda merempit. Pendek kata, malam-malam di hotel antarabangsa di
Brunei begitu mengasyikkan. Saya lihat begitu ramai pelancong antarabangsa di
Brunei.
Tidak pula mereka mengidamkan arak,
pelacur, dan sebagainya. Kenapa kita selalu terlebih perasan, pelancong datang
mahukan arak, pelacur, hiburan mengghairahkan dan lain-lain. Akhirnya, anak
gadis kita juga yang menjadi mangsa dan
korban kemodenan dan pembaratan.
Sebab itu saya amat kagum dengan
pasar raya antarabangsa seperti Tesco, Aeon Big, Jusco, IKEA dan lain-lain yang
melabur di negara kita. Mereka ini sangat menghormati sensitiviti orang
tempatan, ibarat di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung. Papan tanda
mereka mendaulatkan Bahasa Kebangsaan. Lihat surau-surau mereka, terletak di
kawasan yang sangat strategik dan memudahkan pelanggan untuk bersolat.
Berbanding dengan dengan pasaraya
tempatan, yang sepatutnya lebih memahami sebab mereka lebih bersifat
ketempatanan. Tetapi layanan mereka sangat berbeza. Surau-surau tercerok entah
ke mana.
Tetapi tidak boleh salah mereka
juga. Sebab semua plan bangunan di hantar kepada PBT untuk kelulusan dan begitu
juga dengan pemantauan aktiviti-aktiviti mereka. Termasuk juga nama-nama pusat
komersial, bangunan dan sebagainya. Kadang-kadang nama-nama langsung tidak
mencerminkan jati diri negara ini tetapi pegawai PBT buat pejam mata sahaja.
Sudah butakah mata hati mereka?
Saya menyokong gesaan Mufti Perlis
agar lesen perniagaan mana-mana syarikat yang mengamalkan diskriminasi terhadap
wanita bertudung ditarik balik dan dikenakan tindakan.
Kadang-kadang kasihan melihat anak
dara kita, yang asalnya mereka bertudung tetapi dek kerana mencari sesuap nasi
terpaksa membuka tudung dan berpakaian
seksi. Mereka menjadi korban apa yang kita katanya modernisasi. Inilah yang
berlaku kepada semua syarikat penerbangan di negara kita. Bagi yang awalnya
tidak bertudung, tidak mengapalah. Tetapi bagi mereka yang awal memakaikan tudung dan ada yang sudah bekerja
mahu bertudung, tidak dibenarkan bertudung. Jika ada yang mahu meneruskan
memakai tudung terpaksa berhenti menjadi paramugari lagi.
Jika dibanding dengan paramugara,
lain pula caranya. Paramugara menutup keseluruhan anggota, kecuali muka dan
tapak tangan. Pelik paramugari terbuka habis. Polisi antarabangsa apa ini? Kepala…Malang
pejuang-pejuang hak asasi manusia tidak langsung bersuara atau memperjuangkan
nasib anak dara kita yang mahu mengekalkan jati diri agama dan kelembutan orang
Asia.
Justeru, saya memohon kepada pihak
yang bertanggungjawab supaya menyelamatkan anak bangsa kita ini daripada
dirosakkan oleh tangan-tangan ultra kiasu jahat ini. Mereka semua adalah dalam
kalangan ultra kiasu yang sentiasa mengambil kesempatan untuk mengaut
keuntungan tanpa memperdulikan agenda negara dan jati diri negara. Mangsa
korbannya adalah orang Islam. Perancangan untuk
menyesatkan anak bangsa ini mesti dihentikan segera sebelum terlambat.
0 comments:
Post a Comment