Ampun Tuanku! Sultan Perak Sultan
Nazrin Shah. Patik amat menjunjung kasih di atas titah ucapan Tuanku mengenai
kewajipan Sekolah Cina bagi memastikan murid-murid Cina dapat menguasai dengan
baik Bahasa Melayu (BM) sehingga menjadi fasih, dan dapat mengatasi Sekolah
Kebangsaan. Titah ucapan Tuanku dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan
Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Sam Tet 2017 baru-baru ini telah
lama patik nanti-nantikan.
Patik telah lama menitipkan tinta
sebegini, tetapi menimbulkan kemarahan orang Cina. Patik dilabelkan sebagai
lebih Melayu daripada Melayu, sedang hasrat patik begitu suci, untuk memastikan
pembinaan perpaduan sebuah negara bangsa menjadi idaman kita semua. Sebelum ini, PM sudah turut mengingatkan supaya
pemimpin Cina seperti MCA dan NGO Cina, memastikan penguasaan BM di Sekolah Jenis
Kebangsaan Cina (SJKC) ditingkatkan bagi memupuk perpaduan dalam kalangan
rakyat negara ini. Perkara ini penting kerana BM adalah medium komunikasi yang
mampu mempromosikan perpaduan dalam kalangan rakyat dan seharusnya
dikuasai semua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang, agama, kaum dan
bangsa.
Ampun Tuanku! Sesungguhnya selaku anak Perak, patik sangat
berbangga bersultankan Tuanku, seorang raja yang tinggi ilmunya, sangat
prihatin dan merasai denyut nadi rakyat dalam mensejahterakan negara tercinta
ini.
Izinkan patik yang hina ini menyorot sedikit titah Tuanku
mengenai realiti kedudukan BM di Sekolah Cina (SJKC) yang ada pada hari ini. Kedudukan
BM di SJKC ibarat melukut di tepi gantang, meskipun BM adalah bahasa kebangsaan
atau bahasa negara. Sabjek BM hanya diajar selama 240 minit (4 jam) seminggu
berbanding dengan 180 minit (3 jam) seminggu sebelum ini. Itupun setelah
mendapat tekanan daripada Kementerian Pendidikan.
Jika boleh mereka mahu terus kekalkan 180 minit sahaja atau
kurang daripada itu. Pernah diusulkan oleh Kementerian Pendidikan untuk
meningkatkan lagi daripada 240 minit kepada 270 minit tetapi mendapat tentangan
hebat daripada pemimpin-pemimpin mereka. Akhirnya, Kementerian Pendidikan terpaksa
akur. Kononnya, jika terlalu mendesak, mungkin orang Cina tidak mengundi BN.
Hakikatnya, memang mereka tidak mengundi BN meskipun kerajaan telah bertolak
ansur.
Alasan
mereka sangat mudah, jika ditambah masa BM di SJKC, ini akan menjejaskan prestasi
penguasaan Bahasa Cina. Penambahan masa BM akan mengambil masa sabjek-sabjek
yang diajar sepenuhnya dalam bahasa Cina. Situasi ini akan menyebabkan
penguasaan bahasa Cina akan tergugat. Pendek kata, mereka tidak mahu pelajar
Cina tidak dapat menguasai bahasa Cina sepenuhnya atau tidak menjadi
secina-cinanya atau menjadi Cina pisang.
Ketika
sabjek Sejarah diperkenalkan di semua sekolah rendah, Kementerian Pendidikan
mewajibkan sabjek ini diajar dalam BM termasuk di SJKC, tetapi mendapat
tentangan yang sangat hebat daripada pemimpin-pemimpin Cina. Akhirnya, sekali
lagi kerajaan akur. Sabjek sejarah negara diajar dalam ibunda. Apakah tindakan ini wajar? Inilah hakikat
sebenar yang berlaku di sekolah Cina. Proses ‘pencairan’ kecinaan tidak akan
dibenarkan sama sekali.
Ampun Tuanku! Untuk makluman Tuanku, kegagalan Sekolah
Wawasan yang menggabung tiga buah sekolah (SK, SJKC, SJKT) dengan berkongsi
kemudahan yang sama, juga atas alasan yang sama. Kerajaan telah membelanjakan ratusan
juta ringgit membina beberapa buah Sekolah Wawasan dengan harapan yang amat
murni agar perpaduan menjadi realiti. Malang sekali, idea Sekolah Wawasan yang
sangat murni ini telah terkubur.
Ia tidak mendapat sambutan daripada orang Cina. Atas alasan,
jika terlalu bercampur gaul dan berinteraksi dengan pelajar Melayu dan
menggunakan BM, mereka akan gagal menguasai bahasa Cina. Mereka akan menjadi
Cina pisang, tidak menjadi secina-cinanya. Mereka mahukan persekitaran yang
sepenuhnya Cina. BM yang diajar selama 240 minit seminggu adalah sebagai syarat
sahaja. Kalau boleh, mereka tidak mahu ajarpun sabjek BM ini. Semuanya mesti
Cina.
Sebab itu, mereka mensyaratkan semua guru-guru bukan Cina
yang ingin mengajar BM dan Bahasa Inggeris di SJKC, mesti mempunyai kredit
dalam bahasa Cina di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Mereka tidak
menerima guru-guru bukan Cina yang tidak ada latar belakang Cina. Tidak
tindakan merupakan pembinaan negara dalam negara?
Ampun Tuanku! Cuba Tuanku renungkan, bolehkah anak-anak Cina
ini menguasai BM dengan baik jika BM hanya diajar 240 minit seminggu? Selepas
selesai 240 minit, tidak ada kedengaran lagi BM. Semua aktiviti, perbualan dan
pengumuman dibuat dalam bahasa Cina.
Lebih menyedihkan di luar kelas, mereka langsung tidak
bercampur dengan orang Melayu. Kehidupan mereka di luar sekolah dan balik ke
rumah adalah, membaca akhbar dan majalah Cina, menonton dan mendengar televisyen
dan radio saluran Cina. Pendek kata proses sosialisasi pencinaan berlaku hampir
100 peratus. Bolehkah mereka menguasai BM dengan baik berbanding dengan Sekolah
Kebangsaan. Pepatah Melayu ada menyebut alah bisa tegal biasa. Dalam maksud,
jika sesuatu perkara itu tidak dibiasakan bagaimana mungkin kita dapat
menguasai dan mempelajarinya.
Pernah
pada tahun 2010 apabila bancian penduduk dibuat, pegawai-pegawai banci telah
datang membuat bancian rumah ke rumah. Sangat mengejutkan, ramai rakyat
Malaysia berketurunan Cina yang tidak boleh membaca, menulis dan berkomunikasi
dalam BM. Pegawai banci terpaksa membawa penterjemah bahasa Cina untuk
memahamkan mereka. Inilah realiti yang ada, disebabkan oleh proses pencinaan di
SJKC. Mereka membina negara dalam negara. Bancian akan dibuat semula setiap 10
tahun. Kita akan lihat apakah pada tahun 2020, kedudukan BM mereka akan menjadi
bertambah baik. Sama-sama kita lihat keputusan bancian tersebut.
Sesungguhnya
Tuanku, sebahagian kaum Cina tidak melihat BM sebagai bahasa yang penting.
Mereka lebih mementing bahasa ibunda dan bahasa Inggeris daripada BM. BM tidak
ada nilai komersial. Perpaduan melalui bahasa (BM) kepada mereka bukanlah isu
pokok. Mereka kerap menyalahkan Umno dan Pas yang menjadi punca masalah
perkauman dan penghalang perpaduan, bukannya Institusi Pendidikan Cina.
Penguasaan BM bukanlah asas perpaduan. Perosak perpaduan kepada mereka adalah
dasar kemelayuan dan korupsi yang dilakukan oleh Umno. Tidak ketinggalan Pas
dengan prinsip keislamannya. Mereka langsung tidak bersalah.
Untuk memastikan agenda negara dapat dilaksanakan seperti
titah ucapan Tuanku, caranya tidak ada lain. Patik cadangkan, Kementerian
Pendidikan bertegas dalam melaksanakan agenda negara dan bahasa negara ini.
Pertamanya, wajibkan semua Sekolah Cina mendaulatkan BM. Bermula
dengan fizikal sekolah itu. Ini termasuk menulis nama sekolah tersebut dalam
BM, diikuti bahasa lain. Boleh dikatakan semua SJKC mendahulukan bahasa dan
tulisan Cina ke atas imej fizikal sekolah. Begitu notis, kenyataan dan
pengumuman dibuat dalam bahasa Cina. Sudah sampai masanya penggunaan BM
diperluaskan supaya pelajar tersebut merasai mereka berada di Malaysia, bukan
di negara China.
Tidak mengapalah menjadi Cina pisang sebab mereka berada di
Malaysia bukan di negara China. Tidak pandai sepenuhnya itu wajar, sebab kita
berada di negara yang mendaulatkan BM bukan bahasa Cina.
Kedua,
penambahan masa BM mesti dilakukan segera tanpa rasa takut dengan ugutan dan tentangan
oleh NGO-NGO Cina berkaitan pendidikan Cina seperti Hua Zong, Dong Zong, Jiao
Zong dan Dong Jiao Zong. Patik cadangkan daripada 240 minit seminggu
ditambahkan sekali ganda menjadi 480 (8 jam) minit seminggu. Jika orang Cina
tidak boleh berkomunikasi dengan baik dalam BM bagaimana mereka boleh
berinteraksi dengan orang Melayu yang hanya tahu BM dan sedikit Bahasa Inggeris.
Ketiga,
silibus BM di SJKC mestilah menggunakan standard silibus BM di Sekolah
Kebangsaan. Realiti yang ada hari ini, silibus BM di SJKC lebih mudah atau lebih
senang berbanding dengan Sekolah Kebangsaan. Begitu juga di Sekolah Menengah
dan Persendirian Cina. Adakah wajar disenangkan atau dipermudahkan silibus BM
kepada pelajar Cina, itupun tidak dapat dikuasai, sedangkan pelajar Melayu di
Sekolah Kebangsaan disusahkan silibus menguasai BM. Tidakkah sepatutnya berlaku
sebaliknya. Pelajar Cina disusahkan untuk mempelajari BM, manakala pelajar
Melayu disenangkan sedikit sebab ini bahasa mereka. Tidak mengapalah bersusah
sedikit demi negara.
Alasan
NGO pendidikan Cina jika disusahkan pelajar Cina dengan silibus BM yang sama
standard dengan Sekolah Kebangsaan, ia akan menyebabkan mereka terpaksa
memberikan lebih tumpuan dan perhatian kepada BM. Akibatnya, masa mereka akan
lebih banyak ‘terbuang’ kerana terpaksa menumpukan BM. Hal ini sudah tentu ini
akan menyusahkan mereka. Penumpuan yang lebih kepada BM akan menyebabkan
penguasaan bahasa Cina mereka terjejas. Ringkasnya, penguasaan bahasa Cina
mesti lebih baik daripada BM dan tidak boleh berlaku sebaliknya meskipun BM
adalah bahasa negara. Jangan pergi jauh, lihatlah wakil
rakyat mereka berucap di DUN dan Parlimen. Jika ibu bapa merekapun tidak boleh
menguasai BM dengan baik bagaimana mengharapkan anak-anak mereka dapat
menguasainya.
Keempat, contohi negara jiran kita, Thailand dan Indonesia
dalam memartabatkan dan mendaulatkan bahasa negara mereka walaupun tidak
sepenuhnya. Bahasa negara mereka begitu diperkasakan sehingga lahirkan rakyat
yang begitu kuat jati diri dan mantap perpaduannya. Boleh dikatakan dalam semua
perkara, bahasa negara diutamakan. Ini termasuk semua notis dan media arus
perdana wajib menggunakan bahasa negara. Media cetak dan media elektronik
diwajibkan menggunakan bahasa negara sepenuhnya termasuk mengalihbahasakan
semua rancangan luar yang masuk. Jangan terkejut apabila menonton filem
Inggeris, Cina, Hindi dan lain-lain di Thailand dan Indonesia, semuanya
dialihbahasakan mengikut bahasa negara masing-masing. Negara-negara ini tidak
juga mundur. Mereka terus bergerak maju ke hadapan seiring zaman. Terus terang
patik katakan, jati diri Siam telah berjaya mengangkat tinggi bangsa Siam dan
membangunkan Thailand. Thailand lebih membangun daripada kita.
Mungkin ada yang sinis membuat perbandingan mengatakan,
kenapa negara Indonesia yang kuat jati dirinya melaksanakan agenda negara
tetapi masih ketinggalan? Perbandingan dengan Indonesia dengan Malaysia ibarat
langit dengan bumi. Indonesia mempunyai lebih 13,000 buah pulau dengan populasi
250 juta. Berbanding Malaysia, pulau-pulau boleh dikira dengan jari dan rakyat
hanya ada sekitar 30 juta. Jika Malaysia lebih ke hadapan sedikit daripada
Indonesia, itu perkara biasa. Patik amat yakin, dengan attitude dan aptitude
rakyat Indonesia yang ada pada hari ini, tidak mustahil Indonesia akan
meninggalkan Malaysia suatu hari nanti. Kerana jati diri mereka sangat kental
dan semangat keindonesiaan begitu bersemarak untuk bersama hidup mati bersama
Indonesia.
Ambilllah
iktibar pupusnya jawi yang menjadi identiti Melayu. Kenapa ia pupus? Kerana ia
tidak digunakan. Tidak ada perancangan yang strategik untuk memartabatkan jawi.
Akhirnya, jawi telah menjadi muzium.
Kelima,
SJKC atau Institusi Pendidikan Cina mesti berlapang dada dalam menerima
pandangan dan saranan pakar-pakar bahasa dan linguistik BM untuk memandaikan
orang Cina dalam BM. Sudah sampai masanya kerajaan tidak tunduk kepada
pandangan NGO Cina yang terlampau kecinaan. Kita mesti serius dalam pembinaan
negara bangsa. Bukannya membina negara dalam negara.
Ampun
Tuanku, banyak lagi cadangan untuk dikemukakan. Cukuplah sekadar ini dahulu. Patik memohon perkenan Tuanku untuk memberikan sedikit grant
kepada patik untuk mengkaji secara menyeluruh mengenai perlaksanaan BM di SJKC
dan Sekolah Menengah dan cara untuk memandaikan mereka dalam BM. Ini termasuk
Pengajaran dan Pembelajaran BM di SJKC. Bilangan yang boleh menulis, membaca,
memahami dan berkomunikasi dalam BM. Patik telah beberapa kali memohon grant
kepada pihak berkenaan, tetapi tidak pernah diluluskan. Mungkin kepada mereka
yang berkuasa merasakan kajian ini tidak penting. Tetapi patik yakin Tuanku
sangat prihatin dan amat memahami. Patik akan persembahkan kepada Tuanku
apabila kajian menyeluruh ini siap nanti.
Patik amat mengharapkan rakyat Malaysia dapat menghayati
titah ucapan Tuanku. Perdana Menteri memberikan ingatan bahawa
kerajaan akan membina lebih banyak SJKC jika mereka mampu melahirkan pelajar
yang dapat berkomunikasi BM dengan baik.
Menurut Pengerusi Majlis Bahasa Cina
Malaysia, Datuk Wang Hong Cai Penguasaan BM yang lemah serta sukar memahami
sesi pengajaran dan pembelajaran merupakan salah satu punca utama kira-kira
30 peratus daripada pelajar kaum Cina keciciran di peringkat sekolah
menengah. Keadaaan ini berlaku disebabkan kesukaran dan kekangan mereka untuk
menerima arahan serta berkomunikasi dalam BM di sekolah. Pada peringkat sekolah
menengah, mereka bukan sahaja perlu bercampur dengan pelajar bukan Cina tetapi
turut mempunyai masalah dalam menyesuaikan diri dengan cara pembelajaran dalam
BM. Dianggarkan 50 peratus daripada pelajar SJKC menghadapi masalah bertutur
dan memahami BM dan ini akan menyusahkan diri mereka sendiri apabila ke sekolah
menengah. Perkara ini juga menjadi penyebabkan kepada murid berbangsa Cina
keciciran daripada sekolah menengah kerana kekurangan minat untuk terus
belajar dan ingin mula bekerja bagi mendapatkan wang.
Patik amat bersetuju dengan titah Tuanku bahawa adalah janggal dan ironis jika seseorang yang bertaraf warganegara Malaysia tidak boleh memahami, bertutur, menulis dan membaca dalam bahasa Kebangsaan yang merupakan identiti sesebuah negara bangsa. Sekolah vernakular wajib menghargai pendirian terbuka kerajaan yang membenarkan sekolah aliran tersebut terus beroperasi dan penghargaan itu wajib diterjemahkan dengan menjadikan sekolah tapak memupuk perpaduan dalam kalangan pelajar pelbagai kaum di negara ini.
Patik pernah berjumpa dengan pasangan suami isteri Cina, suami
Cina (Malaysia) dan isteri Cina (China). Isterinya berasal daripada negara
China sangat terkejut dengan proses pencinaan yang keterlauan dalam kalangan
orang Cina Malaysia. Katanya, orang Cina mesti mempelajari BM dan tidak boleh
terlampau kecinaan. BM adalah medium interaksi. Mana mungkin orang Cina boleh
berinteraksi dengan majoriti Melayu jika tidak menggunakan BM. Orang Cina akan
rugi jika tidak menguasai BM.
Ampun Tuanku! Sembah patik harap diampun. Patik pacal yang hina
ini sentiasa berdoa kepada Allah s.w.t. agar Tuanku terus diberikan kesihatan
yang baik bertakhta di singgahsana memerintah Negeri Perak dan jajahan
takluknya dengan aman sentosa. Sesungguhnya setiap titah ucapan Tuanku amat
mulia dan sentiasa membawa kepada pembinaan sebuah negara bangsa. Ampun Tuanku…
0 comments:
Post a Comment