Beza SK dengan SJKC
Saya sangat sedih membaca berita viral
dalam Sinar Harian online (23.11.17), bertajuk “Cikgu suruh pelajar buat kerja
sendiri”. Antara kandungannya, cikgu
suruh buat kerja sendiri, tak belajar dan hanya main bersama rakan-rakan dalam
kelas menjadi punca sebahagian besar pelajar tidak ke sekolah pada hari-hari
terakhir sebelum menjelang cuti sekolah akhir tahun. Seorang murid tahun lima
yang hanya mahu dikenali sebagai Haniff berkata, dia kini berselang-seli pergi
sekolah kerana tidak tahu apa yang boleh dilakukan hinggalah sesi sekolah
tamat.
Dia yang tinggal bersama neneknya
hanya menjaga adik di rumah dan sudah dua hari tidak ke sekolah sejak minggu
lalu. “Buat apa nak ke sekolah, bukan ada buat apa pun. Dahlah tak belajar,
cikgu pun tak marah kalau ponteng. Tapi saya akan pergi juga sekolah, mungkin
dalam tiga hari terakhir takut kalau ada apa-apa cikgu nak maklumkan. “Kalau di sekolah ada aktiviti sukan, seronok
juga. Ini tak ada apa-apa pun nak dibuat,” katanya ketika ditemui berjalan
bersama rakannya di kawasan kedai di sini.
Seorang lagi murid tahun lima hanya
mahu dikenali sebagai Azli berkata, jika ada aktiviti atau program makan-makan
barulah dia mahu ke sekolahnya terletak di Puchong, di sini. “Bukan saya tak
mahu pergi sekolah, memang tak ada buat apa pun. Hari-hari buat kerja sendiri
di sekolah pun bosan juga. Bukan boleh pergi padang pun, kena duduk dalam kelas
saja buat kami jemu dan bosan. “Kalau duduk di rumah boleh juga berjalan pergi
kedai dan main di padang,” katanya.
Tinjauan terhadap seorang murid tahun
enam yang hanya mahu dikenali sebagai Intan berkata, ada guru yang masuk ke
kelas, namun murid disuruh membuat kerja sendiri. “Cikgu masuk kelas suruh
keluarkan buku dan baca sendiri tanpa mengajar apa-apa. Manalah kami nak baca,
lagipun Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dah habis, buat apa baca buku
sekolah rendah lagi. “Takkanlah kami nak bawa buku teks tingkatan satu pergi
sekolah, belum masanya lagi,” katanya.
Di
sinilah beza antara sekolah aliran kebangsaan (SK dan SMK) dengan jenis
kebangsaan (SJKC/T). Selepas sahaja tamat peperiksaan akhir tahun atau
peperiksaan formal (PT3), boleh dikatakan rata-rata pelajar pelajar di sekolah aliran
kebangsaan tidak belajar, sama ada sekolah aliran rendah mahupun menengah.
Guru-guru sibuk memeriksa kertas peperiksaan. Selepas memeriksa, masa terluang
dibiarkan begitu sahaja. Ada dalam kalangan guru-guru masuk ke kelas tidak lagi
mengajar. Tidak kurang yang asyik bermain telefon pintar.
Ini
menjadikan murid-murid tidak mahu ke sekolah. Apa ditanya kenapa tidak mahu ke
sekolah, maka jawapannya; “buat apa pergi ke sekolah, bukan belajar pun”. Lebih
kelakar lagi mereka melihat ada guru-guru yang merokok di depan pelajar tanpa
segan silu
Beza
sungguh SK dengan SJKC. Pergilah ke SJKC, kita akan dapat melihat bahawa
guru-guru SJKC sibuk mengadakan kelas ulang kaji untuk pelajar-pelajar yang
akan menaiki kelas tahun seterusnya. Pendek kata, pengajaran dan pembelajaran
berjalan seperti biasa. Semakan kertas peperiksaan dibuat di rumah.
Murid-murid
SJKC semua teruja pergi ke sekolah, kerana di sekolah, cikgu masuk ke kelas dan
mengajar mereka subjek yang akan diambil tahun seterusnya. Beginilah keadaan
SJKC untuk memastikan sekolah mereka terus relevan dengan arus perdana dan berada
pada tahap kecemerlangan.
Peliknya
kenapa budaya sebegini tidak ada di SK. Apa sudah jadi dengan SK. SK hanya teruja
melihat selepas keputusan peperiksaan diumumkan, mereka mahu melihat berapa A
yang diperolehi, peratusan meningkat atau tidak. Matlamat mereka bukan mendidik
tetapi melihat keputusan peperiksaan.
Tanda
aras ini juga digunakan untuk menilai kecemerlangan sesebuah sekolah dan
guru-guru. Sehinggakan PIBG pun terikut-ikut. PIBG berbangga kerana dapat
menyediakan kemudahan tambahan prasarana sekolah. Sedangkan matlamat PIBG
bukanlah ke arah itu sebenarnya. Lebih malang lagi dalam kalangan YDP PIBG
mereka sibuk menubuhkan kumpulan whatsApp dan berbangga dengan pencapaian
membantu kemudahan fizikal sekolah. YDP inilah yang diangkut ke sana ke mari
untuk menceritakan kehebatan dan kejayaan mereka bersama membangunkan kemudahan
sekolah. Tumpuan kepada pembentukan saksiah dan akhlak seolah-olah
dilupakan.
Adakah
tangungjawab PIBG membina kemudahan tambahan atau bangunan sekolah? Bukankah
persatuan PIBG ditubuhkan untuk membantu sekolah membina saksiah anak-anak
sekolah. Kenapa sistem pendidikan kita begitu jauh beza dengan SJKC, jangan
dibanding dengan di negara maju seperti Jepun, dan sebagainya.
Pendidikan
Jepun sentiasa menerapkan making people
making product, membina insan sebelum mengeluarkan produk. Prinsip inilah
yang banyak membantu negara ini pantas bergerak maju, bahasa dan budaya Jepun
mengakar. Sedangkan kita masih tidak ke mana-mana seolah-olah tiada hala tuju.
Isu aliran mana lebih baik sama ada sekolah aliran kebangsaan atau aliran
Inggeris masih ternganga-nganga. Nak pilih yang mana satu? Aliran kebangsaan
atau Inggeris? Pelik sungguh, dalam sebuah negara berasaskan sistem kenegaraan Melayu.
Berada dalam kepulauan Melayu, masih tidak boleh membezakan, pendidikan
menggunakan bahasa manakah yang terbaik. Tertanya-tanya saya, Malaysia terletak
di kepulauan Inggeris atau kepulauan China?
Saya
sangat teruja menyorot pengalaman, Ow Yong Kean Guan (2001) yang pernah belajar di Jepun.
Persoalan yang sepatutnya kita fikirkan, mengapa Jepun boleh menjadi kuasa ekonomi dunia dalam jangka masa pendek? Sistem
pendidikan apa yang dipakai? Begitu juga kejayaan Jepun boleh keluar sebagai
sebuah negara maju dalam jangka masa pendek selepas Hirohima dan Nagasaki
menjadi padang jarak, padang tekukur ketika Perang Kunia Kedua 1945?
Sistem
pendidikan mereka telah terbukti berjaya dan berkesan. Peliknya, kita tahu
mereka yang terbaik, kenapa tidak mencontohi Jepun. Sekurang-kurang
diubahsuaikan mengikut kehendak tempatan. Pendidikan di Jepun mewajibkan rakyat
mereka mendapat pendidikan antara enam hingga 15 tahun. Sembilan tahun
pendidikan wajib ini dilalui dan ia meliputi enam tahun sekolah rendah dan tiga
tahun sekolah menengah bawah.
Guru
sekolah rendah di Jepun dihormati dan dihargai. Segala kemudahan dan insentif
diberikan. Pada tahap rendah inilah pembinaan insan bermula, bukan setelah
menjadi buluh. Lebih mengkagumkan lagi,
guru sekolah rendah mungkin mendapat gaji yang lebih tinggi berbanding dengan
pensyarah universiti yang baharu mula berkhidmat.
Boleh
dikatakan semua guru sekolah rendah mempunyai ijazah. Sebahagian kecil sahaja
yang tidak mempunyai ijazah. Itupun mereka sangat digalakkan untuk menyambung
pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Mungkin sukar untuk kita mencontohi
sekolah di Jepun kerana hanya mempunyai satu sesi disebabkan oleh keadaan cuaca
mereka, tetapi tidak mustahil. Negara kita pun sebenarnya tidak ada masalah
sekiranya kita banyak melaburkan untuk pendidikan. Modal insan inilah yang akan
membangunkan negara jika diberi acuan yang baik.
Justeru,
saya mencadangkan, pertama, saya perbanyakkan pembinaan bangunan sekolah, agar
sekolah mempunyai satu sesi sahaja dapat direalisasikan. Jika masalah bahasa
Inggeris yang menjadi keutamaan, dengan adanya sekolah satu sesi, masa untuk pembelajaran
dan pengajaran bahasa asing boleh ditambah, bukannya dengan merubah sistem,
menjadikan bahasa Melayu ibarat melukut di tepi gantang.
Kedua,
selepas tamat peperiksaan, kelas-kelas mesti ‘hidup’ seperti biasa. Kenapa
terlalu berorientasikan peperiksaan? Bagaimana dengan pembinaan insan? Pendidikan
agama, akhlak dan moral mesti diberikan. Kelas-kelas tidak boleh ditinggalkan
kosong. Di Jepun, komitmen guru mereka sangat tinggi. Mereka bekerja sehingga
lewat petang. Hari minggu pun, mereka turut bekerja membimbing pelajar dalam kegiataan
ko-kurikulum.
Ketiga,
lihat bagaimana Jepun melatih anak-anak sekolah. Sekiranya murid itu terlalu
kecil, seperti tahun satu. Mereka akan dibawa ke sekolah oleh ibunya (kyoiku
mama). Mereka dikehendaki berjalan kaki ke sekolah atau mengambil pengangkutan
awam. Bagi murid yang lebih besar, mereka akan berbasikal ke sekolah. Keinginan
ibu bapa untuk anaknya berjaya di sekolah sangat jelas, sehingga mereka
dikenali sebagai kyoiku mama,
bermaksud ibu pendidikan.
Menurut
Ow lagi, kadangkala, terdapat ibu yang pergi ke kelas tuisyen yang sama dengan
anaknya supaya dia boleh membimbing anaknya dalam pembelajaran. Pendek kata, kerja
sama antara ibu dan guru begitu rapat. Mereka turut sama bertanggungjawab dalam
aspek keselamatan jalan raya dengan bertugas di tepi simpang jalan raya untuk
memastikan bahawa murid sekolah melintas dengan selamat.
Selain
itu, disiplin sekolah boleh dikatakan ketat dan dijalankan tanpa ketakutan atau
kecenderungan. Kelas sekolah rendah dipecahkan kepada beberapa waktu dalam
sehari. Setiap waktu adalah 45 minit. Waktu rehat sepanjang 10 hingga 20 minit
dikhaskan antara waktu pengajaran dan pembelajaran.
Di
Jepun, murid di sekolah rendah tidak dikelaskan mengikut pencapaian akademik
mereka. Ia bertujuan untuk mengurangkan lagi perbezaan antara kelas ‘pandai’
dan kelas ‘bodoh’. Pada masa sama, menghilangkan persepsi guru apabila mengajar
kelas ‘pandai’ berbanding dengan kelas lemah atau ‘bodoh’.
Dengan
cara ini, menurut Ow, kelas dipecahkan kepada kumpulan kecil di mana bukan
sahaja murid lelaki dan perempuan dicampur dalam kumpulan yang sama, malah
pencapaian akademik mereka sengaja dijadikan heterogenus atau kepelbagaian.
Tambah
beliau lagi, satu lagi keistimewaan ialah tidak ada ketua darjah yang tetap
sepanjang tahun. Semua murid diberi peluang merasakan beban tanggung-jawab
sebagai seorang ketua darjah. Satu ciri istimewa sekolah rendah Jepun ialah
walaupun terdapat dapur sekolah, tetapi tiada kantin sekolah! Murid dan guru
makan dalam bilik darjah masing-masing. Apa yang menarik ialah pengendalian,
pengagihan, dan layanan makanan dilakukan seratus-peratus oleh murid kelas yang
terbabit.
Pada
waktu rehat makan, makanan yang siap dimasak di dapur sekolah oleh tukang masak
(diupah oleh sekolah), dibawa ke kelas masing-masing melalui troli oleh wakil
murid kelas. Murid yang tinggal dalam kelas akan mengatur dan menyediakan
kerusi meja untuk sesi makan.
Menu
makanan diumumkan lebih awal lagi. Satu sampel makanan mesti disediakan dan
dipamerkan di tempat khas. Ini bertujuan bagi memudahkan mereka membuat
siasatan sekiranya terdapat makanan yang tercemar atau keracunan makanan. Selain
itu, sepanduk dan carta yang mencerminkan matlamat sekolah, kelas atau kumpulan
sering dilihat di dalam bilik darjah mahupun di luar.
Masya Allah, hebat sungguh pendidikan
di Jepun, kenapa kita tidak mengambil iktibar? Mereka sangat konsisten. Kita
pula bagaimana? Sistem pendidikan seolah-olah diperjudikan. Kejap kekal, kejap
berubah, macam Yo Yo. Jika ada NGO yang kuat sikit, mendesak dan menekan, kita
pun goyang, seperti NGO yang mahu kita beralih semula kepada aliran Inggeris.
Begitu juga dalam soal pengiktirafan UEC. Kenapa perlu takut kepada mereka?
Dasar tetap dasar. Perlembagaan tetap perlembagaan. Sebab itu saya tabik dengan
pendidikan di negara maju dan negara sedang membangun seperti Thailand dan
Indonesia. Jati diri mereka mengakar dan tidak diperjudikan.
Justeru,
saya pohon dan rayu, jangan perjudikan sistem pendidikan. Apabila berubah
menteri, maka berubah sistem. Masing-masing mahu menunjukkan dan meninggalkan
legasi mereka. Akhirnya, anak-anak menjadi mangsa.
Berapa ribu rakyat Malaysia yang telah
dihantar ke Jepun dan luar negara untuk mencari ilmu dan menimba pengalaman,
kenapa tidak mengambil iktibar? Jangan sampai orang kata “buang beras sahaja”. Wang
habis berjuta menghantar rakyat ke luar negara, tetapi kita tidak mengambil
pengajaran.
Kepada cikgu-cikgu aliran kebangsaan,
sudah sampai masanya kita berubah. Keluarlah daripada zon keselesaan.
Perkhidmatan perguruan hari ini lebih baik daripada kami sebagai pensyarah
universiti, meskipun kami berada di Institusi Pengajian Tinggi. Cikgu-cikgu
boleh baik pangkat dan naik gaji menggunakan time based, kami belum tentu lagi. Semua bergantung kepada KPI.
Selain daripada pengajaran dan pembelajaran, kami dipantau daripada sudut
penyelidikan, penerbitan dan khidmat masyarakat.
Sudah sampai masanya, kita tidak hanya
memikirkan soal berapa ramai yang dapat straight A, tetapi berubah kepada
berapa ramai yang berakhlak A? Sedih membaca berita saban hari, pelajar sekolah
rendah dan menengah merokok dan melahirkan anak dalam tandas. Rupanya, cikgu
juga tumpang semangkok. Saya tidak kata semua, tetapi itulah hakikatnya. Lebih
sedih melihat ramai cikgu-cikgu yang merokok, termasuk merokok di depan murid.
Jika cikgu kencing berdiri, murid pula bagaimana? Dia bukan sahaja kencing
berlari, tetapi terus naik ke atas pokok dan kencing ke atas kepala cikgunya. Pergilah
melawat SJKC, belajarlah dan ambillah iktibar. Saya kerap kali menyindir dan
menentang aliran vernacular (SJKC), tetapi itu bukan bermakna, saya buta dengan
kelebihan dan kebaikan mereka, kerana anak-anak saya ramai yang belajar di
sana. Mereka boleh mempelajari ahasa Cina, tanpa melupakan akar tunjangnya
iaitu Bahasa Melayu.
0 comments:
Post a Comment