Lebihkan kerja
daripada teori (Sinar Harian 8 Ogos 2016)
Menyambung
artikel minggu lalu, lembu import babi eksport berkaitan pertanian. Pergilah ke
kedai atau pasaraya, lihat harga produk tempatan yang paling mudah hidup
seperti pisang, keladi, keledek, ubi kayu, cempedak, keladi, durian belanda dan
lain-lain. Pasti harganya jauh lebih tinggi daripada ubi kentang yang diimport.
Kenapa produk tempatan jauh lebih mahal daripada yang diimport?
Seorang petani memberikan
respon, “Dasar Pertanian Negara sebenarnya sudah cukup bagus, namun
perlaksanaannya sahaja yang perlu diperbaiki...banyak dipengaruhi oleh unsur
politik serta pihak-pihak yang berkepentingan. Siapa yang untung?
Tanah
kita bukan sahaja subur tetapi bermineral seperti bauksit. Malangnya kita jual tanah
subur bagi mendapat keuntungan cepat. Kita tinggalkan tanah kontang dan gersang.
Sedih sekali.
Sepanjang
lebuh raya Utara-Selatan misalnya, jika ditanam pokok yang boleh mengenyangkan
perut, tidak boleh dibayang kesannya kepada ekonomi negara. Tetapi sepanjang lebuh raya penuh dengan hutan dan
semak samun. Sesekali terlihat beberapa pokok jati.
Kepada
UPM, Mardi, Jabatan Pertanian, Felda, Felcra, Risda dan sebagainya selaku
pemegang taruh dalam bidang pertanian, berapa banyak tanah terbiar dimajukan? UPM
misalnya, ke mana pergi kata keramat “Pertanian” setelah jadi “Putra”.
Dahulu,
ada kedai telur, tetapi sudah ditutup. Kini, ada UPM Mart. Itu pun macam hidup segan mati tak mahu. Hasil produk
mahal, produk luar lebih banyak daripada produk sendiri. Menjadi Research University, tetapi lebih banyak
berteori daripada praktik.
Saya
pergi pusat semaian herba UPM untuk mencari anak benih. Pekerja yang telah
pencen, tidak diganti. Kawasan semaian menjadi semak samun. Bila ditanya kenapa
tidak dijaga kawasan ini, jawapannya tiada pekerja. Kekuatan UPM sebenarnya
dalam bidang apa?
Pergilah
ke bawah kabel elektrik, lihat Cina bercucuk tanam. Mereka tidak pernah masuk
UPM atau buat research. Tetapi tanah
terbiar dimanfaatkan. Tabung Haji sibuk membuka ladang sampai ke Indonesia,
tanah di tanahair sendiri terbiar.
Dalam
sektor perikanan, kita masih berteori mengkaji kualiti hidup nelayan. Kualiti
apa jika sebahagian nelayan dan anak-anak nelayan Pantai Timur mula terlibat
dengan dadah. Bila tidak ke laut, masa lapang digunakan dengan mendadah.
Banding
dengan kualiti hidup Cina di Bagan, termasuk Bagan Datoh. Majoriti Cina ada lesen
laut dalam. Ini tidak termasuk lesen Melayu yang jual kepada mereka. Nelayan
Melayu hanya bermain di tepian pantai. Kita ada Universiti Awam yang membuat
kajian kekayaan lautan dalam dan maritim, malangnya nelayan kita masih tidak ke
mana.
Orang
Cina, tidak ada pun kajian dibuat, tetapi mereka berani, berani gagal. Mereka
redah lautan dalam, mereka menjadi kaya raya. Kita terus berteori, teori yang
tidak berpijak di bumi nyata.
Tiga
hari Cina ke laut, keuntungan dikaut berlipat ganda. Perniagaan berkembang,
daripada gudang kecil kepada gudang besar, sehingga boleh diekport. Turut menjadi
pengeluar produk berasaskan ikan dan bebola ikan. Tersenarai dalam bursa saham.
Kita
tidak pernah dengar anak-anak nelayan Cina menjadi mangsa dadah duduk di pantai.
Kalau dengar pun yang tertangkap, kerana ketamakan menangkap ikan sehingga menceroboh
perairan negara jiran, seperti Indonesia. Kemudian, dibebaskan dalam PRK Sg.
Besar baru-baru ini bagi menambah undi.
Saya
tidak boleh bayangkan jika Cina membuka Bagan di kawasan pantai Timur seperti Terengganu,
yang kualiti ikannya jauh lebih baik daripada pantai barat disebabkan
kebersihan airnya. Apa akan jadi dengan nelayan Melayu tepian pantai di sini? Saya
belum melihat adanya “Bagan” Melayu di Pantai Timur seperti yang Cina lakukan?
Lihatlah
Pulau Ketam, Selangor. Siapakah yang menerokai dan menghuninya. Cina sanggup duduk dan bangunkan pulau. Hari
ini pulau tersebut menjadi lubuk duit. Kita melopong.
Langkah
yang mesti diambil. Pertama, kerajaan mesti laksanakan Dasar Pertanian Negara. Pertanian
itu jihad, bukan hanya menjadi bahan kempen sedap di mulut. Kurangkan
berpolitik.
Kedua,
ibu bapa perlu disedarkan bahawa bertani adalah kerja mulia. Jangan asyik nak kan
anak jadi doktor, jurutera, akauntan, peguam dan sebagainya. Tidak ada gunanya
mereka jika rasuah. Jadikan mereka doktor tani dan doktor ikan.
Jika
merasa terhina kerana membuat kerja ‘kotor’ sebab ditangan ada ijazah, kita ada
ramai lagi yang gagal SPM, kenapa biarkan mereka melepak, merempit, mendedah
dan mendadah?
Ketiga,
gembelingkanlah segala kekuatan semua agensi kerajaan terlibat. Jangan
berpolitik dan mahu menunjuk pandai. Bayangkan jika Felda pada masa sama
mengusahakan tanaman pisang, betik, ternakan, selain sawit dan getah. Betapa
hebatnya kita hari ini?
Keempat,
fokus kepada DPN meskipun menteri bertukar. Lupakan soal daun ketum, tetapi
ingat nasihat Nabi: "Sesiapa yang memiliki
tanah, hendaklah dia mengusahakannya, namun jika dia tidak berupaya
melakukannya, maka hendaklah diberikan kepada saudaranya (supaya diusahakan)
dan janganlah dia menyewakannya." (Riwayat Abu Daud). “Sesiapa yang
menjayakan tanah yang tidak dimiliki oleh sesiapa (yakni tanah kerajaan), maka
dia lebih berhak terhadapnya." (Riwayat Imam Ahmad, Malik dan Bukhari).
Mohd Ridhuan Tee Abdullah, INSPIRE/FUPL, UniSZA.
1 comments:
salam tuan,
sayangnya mereka yg berada diatas lena diulit air-cond..kerusi empuk..
tak tega nak berjemur menghitamkan kulit..
masalah bawahan di pandang enteng..masing2 bekerja dgn berpegang..cuma hendak melepaskan kuota..
asyik mendabik dada..jabatan akulah yg terbaik..jabatan akulah yg paling bernilai..
halal haram hal paling corot untuk difikirkan..kerja atau tidak gaji cuma dapat segitu juga..alasannya..
apa nak jadi dgn majoriti penjawat awam..sadis lagi menyedihkan..
syukur dgn kehidupan yg ada ini..walau bergelar petani ultra-kecil..tak pernah ada kesempatan untuk mengambil hak saudara yg lain..
-anak pontian-
Post a Comment