Semua artikel adalah pendapat peribadi. Anda berhak untuk tidak meneruskan bacaan atau tidak mengakseskan blog ini serta merta jika anda tidak bersetuju dengan pemikirannya. All the articles written are the personal views. You have absolute rights not to continue reading or to discontinue accessing this blog immediately if you are disagreeable with the personal views.

Monday, February 29, 2016

Pekerja varsiti bukan penjawat awam

7:40 AM Posted by RIDHUAN TEE 1 comment
(Sinar Harian 29.2.16)

Akibat kekangan budget, ramai profesor pencen iaitu mereka yang telah berusia 61 tahun ke atas, tidak disambung kontraknya. Saya lebih suka menggunakan istilah ilmuan berbanding profesor, disebabkan tidak semua profesor terserlah keilmuannya (profess). Ada yang pandai menulis (mengajar), tetapi tidak pandai mendidik. Apatah lagi untuk merakyat. Mereka hanya pakar dalam bidang sahaja.

Berbanding dengan professor di barat, bukan sahaja keilmuan mereka terserlah, mereka turut merakyat, bukan hanya sesekali turun padang. Entah diterima atau tidak ‘ketinggian’ ilmunya oleh masyarakat.  

Apapun kerjaya ilmuan hendaklah dibezakan dengan penjawat awam. Mengikut undang-undang, mereka yang berada di Universiti adalah pekerja universiti bukan penjawat awam. Ada beberapa kes pensyarah kalah dalam perbicaraan kerana menggunakan istilah penjawat awam.

Ilmuan dengan penjawat awam berbeza. Ilmuan, ilmunya penuh di dada. Penjawat awam hanya tahu mentadbir. Ilmuan boleh mentadbir. Pentadbir belum tentu boleh mendidik. Inilah perlu diketahui oleh pemimpin politik masa kini agar jangan terlalu berpolitik.

Agak malang lagi apabila profesor yang memilih untuk menjadi pentadbir, tidak tampil membela profesor sebaliknya menjadi lebih PTD dari PTD. Apatah lagi membaca berita yang menyatakan bahawa bahawa khidmat tenaga kerja profesor universiti ditentukan oleh pihak pengurusan universiti itu sendiri melalui otonomi yang telah diberikan. Persoalan, duitnya datang dari mana? Dari langit?

Tidakkah pemimpin hari ini tidak sedar bahawa berdirinya mereka hari ini adalah disebabkan oleh didikan professor mereka? Justeru, fikirkanlah beberapa perkara berikut. Pertamanya, ilmuan yang bergelar profesor tidak wajar disamakan dengan penjawat awam yang lain kerana perkhidmatan dan sumbangan akademik mereka melebihi penjawat awam lain.

Saya bersetuju dengan kenyataan bahawa kerajaan  harus mewujudkan badan khas untuk memastikan kehebatan ilmu yang dimiliki oleh para ilmuan tidak terbiar begitu sahaja, meskipun telah pencen, terutama dalam mencorakkan halatuju negara. Majlis Persatuan Akademik Negara (MAAC) hendaklah dimanfaatkan sepenuhnya, selain Majlis Profesor Negara (MPN).

Kedua, umur pencen ilmuan hendaklah dinaikkan kepada 65 atau 70 tahun, selaras dengan amalan antarabangsa. Kebanyakan mereka yang dilantik ke jawatan professor, pada ketika lingkungan usia 50-an. Sayang sekali ilmu keprofesoran mereka hanya dimanfaatkan beberapa tahun sahaja sebelum pencen.

Tidak dinafikan hari ini ramai juga pensyarah muda yang dilantik ke jawatan profesor disebabkan oleh kejayaan menghasilkan artikel dan penyelidikan berkualiti. Malangnya golongan ini hanya pandai menulis tetapi tidak pandai bercakap dan bermasyarakat. Sebab itu, jangan syok sendiri.

Ketiga, professor hari ini janganlah terlalu bergantung harap untuk disambung kontrak. Menyebarkan ilmu tidak hanya di dewan kuliah, tetapi juga bermasyarakat. Pergilah mendampingi surau, masjid dan institusi lain untuk menyebarkan ilmu yang terpendam. Syaratnya, jangan buta agama. Mestilah pandai mengislamisasikan dan mengintegrasikan ilmu kepakaran dengan ilmu agama.

Bidang kepakaran saya adalah Sains Politik. Saya rasa bersyukur kerana selain daripada berada di bilik kuliah, saya diberi kesempatan untuk berkongsi ilmu dengan masyarakat sehingga digelar sebagai ustaz. Terima kasih UniSZA. Saya yakin ilmuan lain telah lakukan lebih dari itu.  

Pokoknya, jangan jadi professor jahil. Saya pernah berjumpa dengan profesor yang beri salam pun tidak betul, berselawat pun tak lepas, baca Quran gagap berbanding bahasa Inggeris. Jangan haraplah untuk menjadi imam solat.

Perlu diingatkan, profesor berada dalam kedudukan ketiga, kalangan 15 profesional yang paling boleh dipercayai selain dari doktor perubatan dan guru. Pemimpin politik berada pada kedudukan terakhir iaitu ke 15 yang tidak boleh dipercayai. Kenapa? Sila rujuk kajian BEIM.

Pepatah Cina ada berkata, jika mahu menjadi pemimpin, pastikan rumah tangga dipimpin baik. Bagi memastikan rumahtangga dipimpin baik, diri sendiri perlu dipimpin baik. Bagi memastikan diri sendiri dipimpin baik, hati perlu dipimpin dengan baik. Bagi memastikan hati dipimpin baik, asasnya mestilah ikhlas. Belajar erti ikhlas.

Jarang kalangan kita yang ikhlas. Kebanyakan kita menjadi pakar bodek. Malang sungguh mereka yang dilantik menjadi profesor tidak menjadi  profesor sebenar. Tidakkah mereka sedar bahawa suatu hari nanti mereka akan pencen?

Dahulu ketika mereka dinaikkan menjadi profesor, tidak susahlah sangat seperti yang disyaratkan pada hari ini. Apabila kita berada di atas, kita susahkan mereka yang mahu naik menjadi profesor. Sedangkan penjawat awam yang lain, misalnya, PTD begitu mudah untuk naik pangkat, berbanding mereka yang setengah mati mengaji sehingga mendapat PhD. Malang sekali bila dapat PhD, ia bertukar menjadi perasaan hasad dengki.


Lebih malang lagi ada professor yang sudah bertaraf JUSA masih tidak dianugerahkan darjah kebesaran, berbanding penjawat awam lain, ada masih begitu muda sudah bergelar ‘dato’. Kenapa? Jawapannya ilmuan tidak pandai membodek seperti ahli politik dan penjawat awam. Teringat kata Albert Camus, some people talk in their sleep but lecturer talk while other people sleep.

Monday, February 22, 2016

Mitos Melayu Malas 3M vs 3D

6:37 AM Posted by RIDHUAN TEE 1 comment
Mitos Melayu Malas 3M vs 3D (Sinar Harian 22.2.16)

Mampukah belia Melayu menceburi bidang kerja 3D (Dirty, Difficult dan Dangerous) seperti yang dilakukan oleh buruh asing, kaitan dengan cadangan untuk membawa masuk 1.5 juta Bangladesh? Jawapannya, sudah tentu mampu jika Melayu sedar diri dan mahu berubah.

Bacalah buku Pendeta Za’ba (2009), khusus untuk Melayu, perangai bergantung kepada diri sendiri. Mitos Pribumi Malas (Syed Hussein alatas, 1989). Jika nak sesuatu itu berubah, mesti datang dari diri sendiri terlebih dahulu. Yang lain, hanya boleh membantu. Jangan pergi jauh, sektor pembantu rumah, berapa ramai orang Melayu yang sanggup bekerja? Hampir tiada.

Mengenali hakikat kejadian manusia, tidak ada satu bangsapun yang Allah jadikan dengan serba kekurangan. Kita adalah sebaik-baik makhluk. Bacalah sejarah manusia dan sejarah Melayu. Setiap insan atau bangsa ada kelebihan tertentu, sama ada sedar atau tidak. Tidak timbul isu, hanya Cina sahaja rajin, Melayu tidak. Masa Melayu, selalu lambat, orang lain tidak. Kita memperlekehkan dan memandang rendah bangsa sendiri. Sedangkan proses kejadian manusia sangat hebat. Jika tidak, apa beza kita dengan haiwan? Jika sekadar belajar untuk belajar, bekerja untuk bekerja, binatang di hutan juga belajar dan bekerja.  

Masalahnya, bukan berkaitan dengan bangsa tetapi sikap. Mahu berubah atau tidak? Apa pula tanggungjawab pemimpin terhadap umatnya. Kenapa Melayu di luar negara boleh berjaya? Kenapa tidak dalam negara? Apa punca masalahnya?

Ya, tidak dinafikan segelintir Melayu hanya mahu kerja glamour. Yakinlah! Jika ada program realiti pastinya orang Melayu yang berbaris panjang, walaupun mungkin bakat seni tidak ada. Sebabnya, mereka mahu jadi glamour, popular dan kaya. Lihat sahaja bagaimana jutawan Melayu begitu bersungguh menaja program realiti hiburan TV. Siapa yang menjadikan Melayu sedemikian, kalau bukan kita?

Justeru, mari bersama kita cari ubat Melayu. Pertama, ubatilah hatinya agar sikapnya merubah. Hati yang bersih tanpa hasad dengki. Tidak saling jatuh-menjatuh, tikam-menikam. Bersangka baik sesama sendiri. Letih kadangkala membaca grup WhatsApp Melayu. Asyik menfitnah dan mengeji. Semua berpunca dari hati. Tanpa hati yang tulus ikhlas, Melayu akan tetap sebegini. Melayu perlu belajar erti hati ikhlas. Ikhlas dalam perjuangan, ikhlas menjadi pemimpin.

Konsep ikhsan mesti dikhatam dan dihadam. Bekerja seolah-olah Allah nampak kita walaupun kita tidak nampak Allah. Hari ini mesti lebih baik dari semalam. Esok mesti baik daripada hari ini. Kata-kata siapakah itu?

Kedua, Melayu mesti menolong Melayu berasaskan Islam. Agama Islam sangat mulia dan terpuji. Praktikkanlah. Sediakan sekumpulan pakar untuk mengajar subjek agama Islam sebagai agama yang positif dan dinamik. Islam sangat menentang sikap bermalas-masalan. Tangan yang memberi lebih baik daripada yang menerima. Jika boleh, masukkan kurikulum dan kursus kahwin, bukan hanya pendidikan seks semata.

Mereka yang berkebolehan, berbakat dan berilmu mesti diketengahkan. Jangan dipetiaiskan kerana takut memberi ancaman. Ada pemimpin politik (menteri) takut melantik orang yang lebih pandai daripadanya, takut-takut akan dicantas. Maka dilantiklah ahli yang lebih bodoh daripadanya agar mudah diperkudakan. Kerjanya asyik membodek dan kata ‘yes’. Maka kekallah dia sebagai pemimpin sampai mati. Inilah yang berlaku di peringkat cawangan dan bahagian. Hati dan sikap Melayu sebegini perlu diubati.

Ketiga, sikap Melayu (Attitude). ATTITUDE jika disusun susun huruf A = 1 markah sehingga Z = 25, hasilnya 100%. 1(A)+20(T)+20(T)+I(9)+T(20)+U(21) +D(4)+E(5)=100. Susunlah perbuatan lain, tidak dapat 100 peratus. Inilah perkara lama yang telah dibincangkan saban hari. Bagaimana nak ubah sikap, juga berpunca dari hati.

Dalam Islam, apa jua sektor kerja yang diceburi, yang paling penting,  HALAL, baharulah berkat. Sanggupkah kita cuci longkang, potong rumput, bina bangunan di tengah panas terik matahari. Sanggup. Pokoknya, bayaran mesti setimpal. Kenapa kebanyakan orang suka berhijrah mencari pekerjaan di tempat lain? Bayarannya berbaloi. Jika Melayu diberikan gaji minima RM2000 dan insentif lain, pasti ada yang sanggup. Negara untung, duit tidak mengalir keluar. Gejala sosial boleh dikurang, kerana pekerja asing selalu dahagakan seks.

Keempat, terdapat begitu banyak institusi berkaitan Melayu dan Islam di negara ini dan dibiayai kerajaan kerana perlembagaan membenarkan, termasuk Majlis Profesor Negara. Buatlah kajian. Kerajaan dengarlah. Kenapa sampai sekarang masih membincangkan isu Melayu. Apa kita buat? Sudah berapa lama merdeka?

Lihat NGO-NGO Cina, segala jenis persatuan mereka ada. Persatuan bahasa (dialek), ikan, ayam, itik, sayur, buah, lori bas dan sebagainya. Bersatu dan dinamik. Sekali mereka gegar... kecut! Ramai yang tunduk.

Kita asyik bergaduh. Dalam semua sektor. Kalangan cendekiawan, agamawan, penjawat awam, orang pencen dan lain-lain tidak kurang politikingnya. Bila ada masa untuk membincangkan kekuatan Melayu. Melayu semakin melayu.

Kelima, teringat kata hikmah Ungku Aziz, (1) rajin bercakap-rajin bekerja=bagus, (2) rajin bekerja-malas bercakap=kena buli, (3) malas bekerja-rajin bercakap=wayang Cina, (4) malas bekerja-malas bercakap=tak guna, (5) malas bekerja-suka mengadu=nyanyuk, (6) malas bekerja-selalu ponteng=baik berhenti, (7) malas bekerja-suka menyibuk=baik mati. Kategori mana duduk Melayu? Jarang yang duduk pada 1. Rata-rata berada 2-7. Biar papa asal bergaya

Melayu tidak boleh berlengah lagi. Perlu ada perancangan strategik jangka panjang dengan memberikan keutamaan kepada isu yang mendesak. Lakarkan visi strategik untuk melayari masa depan. Melayu juga perlu gigih mencari kumpulan pemimpin yang lebih baik yang mampu mewakili mereka  dengan lebih berkesan dalam memperjuangkan kepentingan dan aspirasinya.


Monday, February 15, 2016

Kenapa perlu terhegeh-hegeh?

7:45 AM Posted by RIDHUAN TEE 4 comments
Kenapa perlu terhegeh-hegeh? (Sinar Harian, 15.2.16)

Lanjutan artikel minggu lalu berkaitan monyet, orang Cina mengambil iktibar tahun monyet. Kita pula mengikut perangai monyet. Insiden seorang pemimpin politik memakai pakaian kostum Cina menyerupai dewa atau maharaja Cina mengiyakan perangai monyet yang suka meniru.

Jika nak tahu sama ada kostum tersebut dewa atau maharaja, saya cadangkan pemimpin politik beragama Islam pergi ke rumah orang Cina yang bukan Kristan, dan lihat apakah objek tersebut terdapat di rumah mereka atau tidak? Selepas itu, bolehlah kita bincang sama ada ia dewa atau maharaja.

Pada saya, objek apapun ia menyerupai sudah tidak penting lagi. Persoalannya kenapa kita perlu tehegeh-hegeh sedemikian rupa, sedangkan orang lain tidak pula? Cetek sungguh pemikiran kita jika ada yang beranggapan dengan berpakaian sedemikian, perpaduan boleh tercapai.

Pernahkah kita melihat pemimpin bukan Melayu atau parti komponen BN ultra kiasu memakai pakaian kebangsaan atau baju Melayu atau jubah ketika Hari Raya Puasa (Haji)? Boleh dikatakan hampir tiada.

Nampak sangat mereka memandang rendah pada budaya Melayu (Islam). Sebagai orang Cina, sekali-sekala saya ada juga memakai baju Cina, tetapi bukan seperti dewa atau maharaja. Cukuplah dengan baju Cina yang bercorak biasa, supaya tidak dituduh lupa diri.  

Benar, Tahun Baharu Cina itu perayaan budaya, tetapi perlu diingat, ada unsur-unsur keagamaan di situ. Di sini mungkin kita dikelirukan, termasuk mereka yang dirujuk sebagai penasihat. Justeru, saya mencadangkan;

Pertama, cubalah memahami budaya dan tradisi orang Cina. Mereka bukan sahaja menyembah dewa, malah apa jua gambar yang dirasakan boleh membawa tuah seperti maharaja, termasuk juga orang Islam, seperti Laksamana Cheng Ho atau Sampokong dan kong yang lain. Sebab itu, kita jangan terkejut sekiranya ada patung kalangan orang Islam dalam rumah atau tokong orang Cina. Patung ini akan terus didewakan jika membawa ong (tuah). Contoh, kena nombor ekor.

Pernah suatu ketika isu ini menjadi gembar, termasuk juga terdapat ayat-ayat Quran di dalam tokong dan rumah orang Cina. Mungkin kepada orang Islam, ia sensitif. Pada saya itu perkara biasa.

Daripada mereka menyembah patung-patung yang pelik-pelik, lebih baik mereka menyembah patung orang Islam. Benar, itu syirik. Sekurang-kurangnya dengan menyembah patung Islam, masih ada sedikit sangka baik di situ. Islam dianggap sebagai membawa tuah atau ong. Tidak mustahil suatu hari nanti mereka bersunat.

Kedua, kepada pemimpin politik, jika terlalu kemarukkan undi, gunakan mata untuk melihat dan akal untuk berfikir. Inilah yang membezakan manusia dengan makhluk lain. Jangan terperangkap dengan mainan ultra kiasu.

Ketiga, asas perpaduan bukan melalui pakaian. Perpaduan itu adalah sedia bertolak ansur dan berkorban, terutama dalam masyarakat pluralistik seperti Malaysia. Jangan lupa sejarah hubungan majoriti-minoriti. Tidakkah sepatutnya minoriti perlu lebih menyerapkan identiti majoriti, meskipun tidak berlaku asimilasi.

Ini usahkan asimilisasi, akulturasi pun tidak berlaku. Akulturasi bermaksud peminjaman budaya buat sementara waktu. Misalnya, orang Cina berpakaian Melayu ketika hari raya, atau orang Melayu berpakaian Cina ketika Tahun Baharu Cina.

Realitinya hanya berlaku sebelah pihak. Hanya orang Melayu sahaja yang terhegeh-hegeh. Bangsa lain langsung tidak ambil tahu atau mahu ambil tahu. Siapakah yang lebih bertolak ansur dan lebih berkorban demi perpaduan?

Jangan pergi jauh, cuba saksikan siaran langsung, pembukaan parlimen atau DUN, pernahkah ultra kiasu komponen BN atau pembangkang memakai pakaian kebangsaan iaitu sut Melayu? Langsung tidak ada. Malah mengenakan songkok di kepala pun suatu yang ‘sial’ (soi) kepada mereka.

Maaf, jika saya celupar. Sekadar berterus-terang. Saya tidak pandai berpura-pura atau hipokrit, seperti ultra kiasu. Tidak perlulah saya bagi angka bagaimana orang Melayu sanggup berkorban mengundi ultra kiasu bertanding di kawasan majoriti Melayu. Berbanding ultra kiasu mengundi Melayu.

Keempat, rujuklah pakar atau orang yang lebih tahu, jika jahil dalam budaya orang lain. Saya bukan pakar, tetapi menawarkan diri. Saya bimbang, orang yang kita rujuk mungkin tersalah memberi nasihat.

Tidak nafikan ada kalangan mualaf Cina yang agak over dalam merayakan perayaan bangsanya. Saya selalu menasihatkan bezakan antara menyambut dengan meraikan bagi tujuan dakwah.

Biarlah yang menyambut bersungguh-sungguh itu kalangan mereka yang tidak Islam. Kita yang telah Islam, berpada-padalah, jangan sampai terlebih Cina dari orang Cina. Dalam Islam, hanya dua perayaan yang disebut dalam al-Quran dan menjadi ibadat dan mendapat pahala. Itu pun jika disambut mengikut syarak, iaitu Raya Puasa dan Haji.

Perayaan-perayaan lain tidak ada nas. Perlulah berpada-pada dan jangan lebih garpu dari sudu. Ada hadis melarang kita bersubahat. Tetapi jika ada tujuan dakwah, ia dibenarkan, seperti yang saya lakukan saban tahun apabila tiba Tahun Baharu Cina.


Saya teramat bimbang kerana terlalu kemarukkan undi kita sanggup menggadai prinsip. Prinsip yang digadai tidak dipandangpun. Apatah lagi untuk memberi undi. Berpada-padalah. Cukuplah dengan berpakaian batik sebagai identiti Malaysia dalam semua perayaan. 

Thursday, February 11, 2016

Siapa sebenarnya monyet?

3:37 PM Posted by RIDHUAN TEE 3 comments
(Sinar Harian, 8.2.16)

Artikel ini disiarkan pada Tahun Baharu Cina, tahun monyet. Binatang kesembilan dalam senarai susunan zodiak Cina. Sebagai orang Islam, tidak sepatutnya kita percaya kepada ramalan zodiak. Namun, tidak salah mengambil pengajaran.

Pepatah Cina berkaitan monyet berbunyi; semakin tinggi monyet memanjat, semakin terserlahlah punggungnya (bahagian sulit). Bermaksud, jika berusaha bersunguh-sungguh, menggunakan segala tenaga dan bakat, yakinlah kejayaan pasti akan datang. Kata-kata ini dipegang oleh orang Cina.

Tamadun Cina kaya dengan kata-kata hikmah sebegini, dalam menjalani kehidupan. Setiap tahun, binatang silih berganti, ada sahaja keistimewaan masing-masing. Mereka amat percaya, dan berusaha ke arah itu. Pendek kata, teori, dipraktikkan. 

Kata-kata hikmah Melayu tidak kurang hebatnya. Tetapi lebih teori  daripada praktik. Memilih yang negatif daripada positif. Misalnya, yang bulat takkan datang menggolek, yang pipih takkan datang melayang. Praktiknya, kita lebih kepada menanti yang bulat datang menggolek, yang pipih datang melayang. Isu bauksit sebagai contoh. Berapa ramai lagi pegawai pejabat tanah akan didakwa?  

Sebab itu, janganlah kita dengki jika orang lain berjaya sehingga menjadi ultra kiasu. Mereka tidak jemu berusaha. Sejarah membuktikan, bermula penghijrahan, mereka datang dengan sehelai sepinggang. Hari ini, harta keliling pinggang. Pasal apa? Mereka berusaha, tidak bersengketa sesama sendiri. Inilah iktibar tahun monyet.   

Pertama, dari sudut kerjaya. Monyet sentiasa mencari peluang baharu dan berusaha menerokai peluang tersebut hingga berjaya serta mendapat hasil lumayan. Tidak takut dalam mengutarakan idea, kritikan dan pandangan selagi itu baik untuk menunjang karier. Sebab itu, jangan terkejut jika peniagaan semakin bertambah dan berkembang daripada tahun ke setahun. Kita asyik tikam-menikam sesama sendiri, juga dalam organisasi dan parti. Pantang dikritik, freeze selalu.

Kedua, kasih sayang monyet. Monyet amat mementingkan kasih sayang di kalangan mereka. Lompatlah setinggi manapun, anak yang dikendung tidak akan terlepas. Inilah ikatan orang Cina, hubungan kasih sayang sebangsa yang kuat dan sentiasa diperbaharui. Tidak mustahil menjalinkan hubungan baharu yang lebih mekar. Tidak seperti kita, bergaduh tiada  penghujung. Apatah lagi apabila Amanah mengeluarkan kenyataan sesiapa (Pas) yang bekerjasama dengan Umno, adalah musuh mereka. Umno lebih bahaya daripada ultra kiasu. Sanggup menolak saudara seagama. Kesesatan apakah ini?

Ketiga, ekonomi monyet. Monyet sentiasa meninjau dan memperbaiki strategi ekonomi masa lalu berhadapan dengan masa kini. Masa hadapan amat penting kerana perjalanannya jauh. Terus aktif dan pro-aktif mengejar peluang. Sentiasa berhati-hati terhadap segala tindak-tanduk supaya tidak membawa mudarat. Bersiap sedia mental fizikal  untuk menghadapi  setiap masalah mendatang.

Mereka akan cuba menghindari perkara yang boleh merosakkan seperti provokasi. Mereka tidak mengejar populariti dan berpolitik bodoh seperti kita. Maka tidak hairan jika kekayaan mereka melimpah ruah. Kita pantang kaya sedikit, berlagak sana sini. Sibuk tunjuk kekayaan.

Keempat, kesihatan monyet. Monyet sentiasa menjaga kesihatan agar panjang umur, murah rezeki (huat cai). Paling baik meninggalkan perbuatan yang mengakibatkan ketagihan seperti seperti minum arak dan merokok, termasuk vape. Rehat dan tidur yang cukup. Bukan seperti kita isu rokok dan vape tidak pernah selesai. Fatwa kata vape haram, kabinet kata tidak. Peliknya, rokok tidak haram pula. Apa sebenarnya kita ini? Ada yang haram dibolehkan, ada yang haram tidak dibolehkan, sedangkan dalam Islam, yang haram jelas, yang halal juga jelas.

Kelima, jauh berjalan luas pemandangan. Tahun monyet sangat baik untuk berjalan bagi mendapatkan pengalaman. Menjaring hubungan, mencari persahabatan baharu bagi memperluaskan lingkaran sosial. Bukan berjalan sekadar berjalan. Kita sibuk melancong ke sana ke mari, Mekah tidak pernah dijejaki. Yang pergi ke Mekah, balik sibuk bertaubat, esok buat maksiat. Taubat apakah ini?

Keenam, sosial monyet. Menjaga kemuliaan akhlak dan rendah diri. Fokus lebih membantu orang lain yang memerlukan. Saling tolong menolong. Itulah fong shui. Ada keluar, ada masuk. Kita bagaimana? Berapa ramai yang dikeluarkan daripada kemiskinan atau sibuk menaja program realiti dan bola sepak? Sehingga yang gedebe pun berjaya dipondankan.

Kisah dongeng monyet patut dijadikan teladan oleh kita semula. Penjual songkok tertidur di sebatang pokok. Melihat penjual itu sudah tidur, monyet  pun turun dan mengambil semua songkoknya. Monyet sungguh gembira dan kelihatan seperti tidak tahu apa yang hendak dilakukan. Ada yang membelek-belek, ada yang meletakkan di kepala, ada yang membaling semula.

Bila terjaga, penjual songkok panik, kerana semua songkok telah diambil monyet. Kecuali ada beberapa yang terjatuh. Penjual songkok berfikir bagaimana mendapatkan semula songkoknya. Sambil berfikir, dia melambung-lambung songkok. Perbuatannya itu diperhatikan oleh monyet. Kemudian monyet meniru apa yang sedang dilakukan oleh penjual tadi. Songkok-songkok itu dilambungkan. Sekali lambung saja, semua songkok itu jatuh. Penjual songkok segera memungut songkok, lalu beredar pergi.

Rupanya, orang lain sibuk mengambil iktibar tahun monyet,  tetapi kita meniru perangai monyet. Leka dengan meniru budaya barat seperti program realiti untuk mengejar populariti, termasuk bola sepak. Malang sungguh! Siapa sebenarnya monyet? Selamat menyambut tahun monyet.



Monday, February 01, 2016

Cakap biarlah berfakta

5:12 PM Posted by RIDHUAN TEE 2 comments
Cakap biarlah berfakta (Sinar Harian 1.2.15)

Lanjutan artikel saya minggu lalu, pemberita web ultra kiasu telah menghubungi pemimpin ultra kiasu Melayu untuk mendapatkan pandangan. Ultra kiasu tersebut berkata ia insiden terpencil. Peliknya, sebelas fakta yang dikemukakan langsung tidak dijawab.

Diikuti kenyataan bapa murid tersebut, menyalahkan guru Melayu dan pengelola SJKC mahukan isu ini ditutup. Setuju! Tetapi jangan hanya berlaku sebelah pihak? Ditakdirkan perkara hampir sama berlaku di Sekolah Kebangsaan (SK), jangan pulak heboh 1Malaysia.

Kadangkala, sedih melihat ultra kiasu Melayu, pintu hatinya telah tertutup kerana digula-gulakan dengan pangkat dan imbuhan. Yang baru masuk, berharap dicalonkan menjadi ahli parlimen dan ADUN. Ada yang bercita-cita mahu jadi Menteri Besar.

Pertama, saya mempunyai ramai rakan guru yang mengajar di Sekolah Cina. Jarang sekali komen positif yang saya dengar. Kebanyakannya negatif. Ultra kiasu lebih memuji pendidikan Singapura daripada Malaysia. Hujan emas negeri orang, hujan batu di negeri sendiri. Mana satukah yang patut dipilih?

Jika pendidikan kita begitu buruk, takkanlah begitu ramai pelajar kita dapat melanjutkan pelajaran ke luar negara. Apabila biasiswa JPA dibekukan akibat kegawatan, kecoh 1Malaysia. Belajar sahaja dalam negeri. Kerajaan tengah susah hari ini. Bantu. Balik nanti bukan mengundi BN pun.  

Kedua, subjek Bahasa Melayu (BM) dipandang rendah dan tidak penting, tidak membawa mereka ke mana-mana. Kuasa ekonomi China, akan menjadi bahasa Cina lebih penting, bukan BM.

Untuk makluman, silibus BM di semua sekolah tidak sama. Sukatan BM di SJKC jauh lebih mudah berbanding BM di SK. Apabila ada cadangan supaya BM diselaraskan disemua sekolah, maka seluruh NGO mereka bersatu menentang, dengan alasan, pelajar SJKC tidak boleh dibebankan dengan BM. Penguasaan Bahasa Cina (BC) akan terjejas. Dalam makna, biar jahil BM tidak mengapa, asalkan hebat dalam BC. Di manakah kedudukan BM sebenarnya sebagai bahasa negara jika asyik berkorban? Pernah orang besar di KPM terfikir?

Ketiga, penting sangatkah BC untuk berhadapan dengan kuasa besar ekonomi China pada masa kini dan akan datang? Ketika kerajaan China berinteraksi dengan Melaka ribuan tahun dahulu, bahasa apakah yang digunakan kalau bukan BM? Kenapa BM boleh sampai ke tahap lingua franca? Jawapannya mudah! Siapa berkehendakkan kepada siapa? Jika saling berkehendak, pakat-pakat berkorbanlah. Tidak boleh hanya satu pihak sahaja yang berkorban.

Keempat, ultra kiasu Melayu tersebut membawa contoh negeri Kelantan sebagai contoh betapa ramainya pelajar Melayu di SJKC (28 peratus). Ingin saya bertanya, beramai orang Cina di Kelantan? Tidak hairan jika orang Melayu menghantar anak mereka ke SJKC? Selaku negeri Serambi Mekah, orang Melayu ada sebab menghantar anak mereka ke sana. Antara semangat dan keinginan untuk berdakwah dan menyunat yang tidak bersunat.  Lagipun Cina Kelantan dan Terengganu berbeza dengan yang lain kerana melalui proses asimilasi.

Anak-anak saya sendiri bersekolah Cina, bukan kerana kuasa ekonomi China, tetapi kerana saya ada misi untuk menyunatkan mereka, seperti yang pendakwah Kristian lakukan hari ini. Tidak hairan, jika ramai orang Cina memeluk Kristian daripada Islam. Kenapa?

Kelima, saya tidak menolak kata-kata Presiden Pas, bahawa Kristian amat agresif di Asia Tenggara, terutama Alam Melayu, setelah mereka gagal di barat. Tidak hairan, jika mereka akan lakukan sedaya mungkin, terutama kekuatan material. Pergilah ke kampung orang Asli, taktik apa yang digunakan kalau bukan dengan membeli dengan wang ringgit.

Pendek kata, sisepet ini di rantau Asia ini lebih agresif daripada paderi di barat dan Rom. Kebanyakan yang meletakkan nama-nama seperti Teresa, Anthony dan lain-lain adalah kalangan yang celup belaka. Pantang diusik, melompatlah mereka seperti cacing kepanasan. Kristian tulen pun tidak begitu sensitif. Sedar atau tidak, bilangan gereja jauh berlebihan berbanding penganutnya.

Saya telah beberapa kali didekati mereka dengan risalah Kristian, sebab dia ingat saya belum bersunat, sebab saya pun sepet. Dia tidak tahu saya pun ada misi menyunatkan dia. Saya gunakan istilah sepet sebab saya orang Cina, saya tidak pernah mengaku mahu jadi Melayu atau lebih Melayu dari Melayu. Saya hanya berkata benar.

Keenam, saya sudah dicop sebagai penghianat, perosak bangsa, anjing dan berbagai lagi kata nista. Ada yang sampai mahu kencing kubur saya. Kencinglah! Saya tidak pernah kisah kemarahan manusia, saya hanya takut kemarahan Allah. Jika tidak benar apa yang saya perkatakan, berhujahlah dengan fakta, bukan emosi.


Akhirnya, saya mohon agar  kajian ilmiah dilakukan segera. Dengar rintihan guru-guru Melayu yang mengajar di SJKC. Bandingkan layanan guru bukan Melayu di SK. Bagaimana Melayu melayan bukan Melayu berbanding sebaliknya. Jika terlalu takut, bagi dana untuk saya buat kajian. Saya akan laporkan seikhlas mungkin. Jangan bandingkan dengan sektor bisnes. Begitu ramai pekerja Islam yang tidak dibenarkan solat fardu dan solat jumaat kerana dikatakan membuang masa dan merugikan, kecuali bagi mereka yang memahami. Satu hari ini nanti, kebenaran pasti akan terbongkar. Saya pasrah walaupun dikeji dan dicaci. 

Monday, January 25, 2016

Sekolah mana lebih rasis?

7:41 AM Posted by RIDHUAN TEE 5 comments
Sekolah mana lebih rasis? (Sinar Harian, 25.1.16)

Insiden guru Melayu, Salina Daud, bertugas di SJKC Pai Chee, Mersing, yang ‘diserang’ oleh bapa murid ultra kiasu patut membuka mata semua. Walaupun insiden ini dikatakan ianya bukan isu perkauman, sorotan ceritanya tidak menampakkan sedemikian. Bolehkah bangkai gajah ditutup? Kasihan guru Melayu tersebut. Bayangkan jika guru Cina diperlakukan sedemikian di Sekolah Kebangsaan. Kiamat Malaysia!

Bila kena pada kita, cepat-cepat kata isu bukan isu perkauman, minta disenyapkan. Namun, bila kena pada ultra kiasu, kita rasis belaka kita, diulang-ulang sentiasa dalam akhbar mereka. Seolah-olah kitalah paling rasis, merekalah insan mulia. Contoh-contoh sebelum ini adalah bukti kukuh. Pengetua rasis, isu makan dalam bilik persalinan, yang dikatakan makan dalam tandas, dan banyak lagi. Politik apakah semua ini?

Apakah ianya tidak rasis, apabila guru besar ultra kiasu tersebut telah beberapa meminta guru tersebut meletakkan jawatan dan meminta Pejabat Pendidikan Daerah supaya memindahkan guru berbangsa Melayu daripada berada di sana. Alasannya, guru Melayu tidak layak mengajar di sekolah Cina. Tidak kompeten, malas dan tidak memberi kerjasama.

Saya tidak menuduh semua SJKC sebegitu, tetapi bagi sesiapa yang mengkaji dan mengikut perkembangan SJKC, persepsi sebegini memang suatu yang lumrah di kalangan mereka yang ultra kiasu.

Saya amat mengharapkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) supaya bertegas. Jangan berpolitik lagi kerana laparkan undi. Pertama, guru besar tersebut tidak layak menjadi guru. Dia akan meracuni pemikiran murid menjadi rasis. Guru Melayu yang ditindas sepatutnya dikekalkan, bukan ditukar. Kehadiran mereka penting mengawasi ultra kiasu.  

Kedua, kembalikan semula sekolah bantuan modal seperti dahulu. Setakat ini, kerajaan memberi layanan yang sama kepada semua sekolah walaupun tidak mendaulatkan agenda kebangsaan. Nasib Sekolah Agama Rakyat pula tidak menentu.  

Ketiga, pengecualian GST terhadap 4 buah Sekolah Persendirian Cina baru-baru ini, hendaklah difikirkan semula. Percayalah. Berilah sebanyak manapun kemudahan, undi mereka tetap kepada ultra kiasu. Jangan haraplah mereka akan mengundi BN.

Keempat, kerajaan tidak boleh lagi tunjuk kepada tekanan parti politik dan NGO ultra kiasu. Sepatutnya, ultra kiasu yang tunduk kepada syarat kerajaan. Jangan biarkan mereka jadi kerajaan. Misalnya, guru bukan Cina yang mengajarkan di SJKC mesti boleh berbahasa Cina dan mendapat kredit dalam mata tersebut peringkat SPM.

Mata pelajaran sejarah yang pada awal arahan KPM diajar dalam Bahasa Melayu, akhirnya terpaksa tunduk diajar dalam Bahasa ibunda. Itupun mereka tidak puas hati. Mereka telah hantar memorandum supaya kerajaan mengubah silibus sejarah tersebut, kerana terlalu bersifat ‘kemelayuan’ apabila menceritakan tentang sejarah kemerdekaan. Hampir 100 ‘kesalahan’ dikenalpasti. Mereka juga mahukan pemimpin mereka turut diiktiraf sebagai pejuang kemerdekaan. Siapakah yang paling ramai terkorban menentang British? Apakah komunis itu pejuang kemerdekaan?

Kelima, dalam memperkasakan agenda negara, pendidikan adalah asas. Kerajaan mesti bertegas, seperti yang pernah dilakukan oleh kerajaan Thailand dan Indonesia demi pembangunan negara bangsa. Hanya ada sekolah satu sistem.

SJKC yang dibina dan dibantu oleh kerajaan sepenuhnya hendaklah ditukar statusnya menjadi Sekolah Wawasan. Benar, buat masa ini Sekolah Wawasan yang menempatkan semua sekolah di bawah satu bumbung, tidak mendapat sambutan ultra kiasu. Atas alasan, jika banyak bercampur dengan Melayu, maka hilanglah penguasaan Bahasa Cina mereka. Mereka akan menjadi Cina pisang, bukan Cina tulen. Di manakah kita berada? Tongsan?

Keenam, pembinaan sekolah vernacular yang sentiasa bertambah dari setahun ke setahun perlu difikirkan semula. SJKC yang muridnya kurang daripada 100 hendaklah ditutup.

Ketujuh, kelas peralihan yang wujud sehingga ke hari ini hendaklah dihapuskan. Mereka yang gagal BM hendaklah dihantar ke kem pemulihan bahasa selama dua tahun. DBP boleh diamanahkan tugas tersebut.

Kelapan, sijil UEC tidak boleh diiktiraf selagi kurikulumnya tidak mematuhi kehendak KPM. Pembinaan peperiksaan dalam peperiksaan ke arah mewujudkan pembinaan negara dalam negara perlu dihapuskan segera. Ini adalah mentaliti komunis yang sangat bahaya.

Kesembilan, jangan biarkan Pakatan Harapan menang dalam PRU yang akan datang kerana lubuk ultra kiasu adalah di sana. Jika mereka menang, semua yang dibincangkan di atas akan terkubur.  

Kesepuluh, siasatan juga hendaklah dibuat di SJKC yang lain, kerana saya pasti, sikap sebegini masih berleluasa dalam kalangan mereka. Tempatkan lebih ramai guru-guru Melayu di sana, supaya anak-anak mereka dapat dibimbing kepada lebih memahami siapakah yang dikatakan Melayu itu?

Kesebelas, jika Sekolah Kebangsaan boleh menerima Guru Besar (pengetua) bukan Melayu, kenapa SJKC tidak boleh menerima Guru Besar Melayu? Sekolah mana lebih rasis?


Akhirnya, sedarkan rakan sebangsa Cinaku, bahawa kerajaan (orang Melayu) sudah terlalu banyak bertoleransi kepada sekolah vernacular yang tidak pernah ada dalam dunia ini kecuali Malaysia. Masih tidak cukupkah lagi untuk menjadi orang Cina? Adakah kita mahu menjadi lebih Cina daripada Cina di negara China. Belajarlah bersyukur.

Monday, January 18, 2016

Budaya popular mengaburi mata

7:33 AM Posted by RIDHUAN TEE 3 comments
(Sinar Harian 18.1.16)

Dewasa ini banyak syarikat korporat Melayu mahu menaja pasukan bola sepak mengikut negeri masing-masing. Semangat ini baik, tetapi perlu diperincikan daripada segi keutamaan. Mohon bacalah buku Fiqh Awlawiyyat, karangan Yusuf Al-Qaradawi. Buatlah penyelidikan, masa depan dan prospek bola sepak negara. Adakah kita mampu sampai ke peringkat dunia? Asean pun belum tentu lepas. Asia? Jadi, berpada-pada.

Saya tidak nampak ada sebuah syarikat korporat ultra kiasu berlumba-lumba tampil menawar diri walaupun kekayaan mereka jauh melebihi kekayaan kita. Kenapa? Kerana mereka belajar erti keutamaan dalam hidup. Jika adapun, yang ditaja bukan pasukan kita, tetapi pasukan luar, kerana dia tahu apa pulangannya.

Bukan macam kita, pakai redah sahaja, terutama jika ada publisiti, populariti dan sensasi. Nak dibawa ke mana budaya popular ini? Tiba masanya, hilanglah ia. Lihat apek-apek di luar tu, berseluar pendek ke sana ke mari, tetapi kocek penuh. Kita pula bagaimana? Biar papa asal bergaya?

Ultra kiasu sentiasa memastikan wang yang dilaburkan demi kepentingan jangka panjang atau sesuatu yang akan kekal abadi. Sebab itu, mereka menghabiskan segala harta dalam sektor hartanah. Pelaburan kekal berpulangan tinggi. Misalnya, di Gua Musang. Mereka sanggup berhabis membeli hartanah di sana. Bila tanah tersebut dibangunkan, rupanya kawasan tersebut kaya dengan bijih besi. Maka dibangunkan kawasan tersebut  tanpa mengeluarkan modal, cukup dengan menjual bijih besi tersebut sebagai modal. Kenapa kita tidak berfikir panjang seperti mereka? Penyelidikan dibuat sebelum membeli, agar untung berlipat kali.  

Saya difahamkan pula, MCA sudahpun melobi untuk mendapatkan satu kerusi DUN di sana, kawasan majoriti Melayu. Banyak cantik! Pergilah bertanding dan berlawan di kawasan ultra kiasu.

Lihatlah betapa licik mereka. Bukan seperti kita, sanggup menggadaikan tanah yang ada bauksit, bagi mendapatkan wang sekelip mata. Sekadar mendapat wang sejuta sedepuk, nak dibawa ke mana? Bolehkah sejuta tersebut menyara anak cucu? Lihat sikap orang Cina apabila bukit Genting (Highland) diberikan. Tidak ada seorang pun Melayu pada masa itu percaya bahawa bukit tersebut boleh diterokai dan dibangunkan seperti hari ini.

Namun, orang Cina amat pandai. Sebelum naik ke bukit, dia tarah dulu tanah di sana, segala kayu kayan, dijadikan modal untuk membangun bukit. Akhirnya, bukit Genting tersergam indah. Kekayaan untuk berpuluh generasi yang tidak pernah habis. Tersenarai 2 daripada 10 terkaya di Malaysia. Kita hanya menggigit jari.

Begitu juga cara mereka mendapat pengecualian GST bagi 4 buah Sekolah Persendirian Cina. Saya bukan dengki, tetapi saya memuji cara mereka bekerja. Berapa ramai kalangan jutawan kita tampil ke depan membantu sekolah agama rakyat yang seperti hidup segan mati tak mahu?

Sikap kita, bila ada duit sahaja sibuk menaja program realiti TV terutama hiburan. Kita ajar anak-anak (Islam) berpesta dan berhibur. Pernahkah kita berfikir akibatnya? Justeru, saya merayu agar jutawan kita agar belajar memahami keutamaan. Kepentingan masa depan lebih utama daripada hari ini. Perkara bersifat tetap lebih penting daripada yang sementara.

Memahami budaya bola sepak sekian lama, dahulu bolehlah dibangga. Kini, sudah terikut-ikut dengan budaya populariti. Bila dah terkenal dan menjadi bintang (selebriti), lupa diri. Sibuk mengahwini artis atau kaum kerabat. Lepas tu, berlagak tak tentu pasal, maki orang “pak guard bodoh”.

Saya pelik dengan perangai Melayu, hanya kerana bola sepak mereka bergaduh sesama sendiri. Ada yang berdarah-darah keluar dari stadium hanya kerana pasukannya kalah. Tidak kurang yang membakar trak polis dan harta awam kerana tidak puas hati. Akhlak Islam di mana?

Saya masih teringat kata-kata aruah ibu saya ketika kecil apabila saya khusyuk menonton bola sepak. Katanya, “jika tengok bola sepak duit boleh jatuh depan mata, akulah orang pertama menonton bola sepak”. Betul juga katanya, siapapun menang, kita hanya menang sorak. Duit bertambah atau berkurang? Maaf saya, bukan memperlekehkan sukan. Tetapi sekadar mengingatkan  keutamaan negara kita. Perlu juga ingat asal usul sukan (Olimpik).

Ianya bermula sebagai persembahan dan hiburan kepada raja pada zaman Yunani purba. Juga sebagai satu penghormatan kepada patung Zeus di bandar Olympia. Pemenang sukan akan dihormati dan dimasukkan ke dalam puisi dan dijadikan patung. Selepas Rom berjaya menakluki Yunani, sukan menjadi malap. Untuk menghidupkan semula, maka ia dipopularkan seperti hari ini. Sukan menjadi perniagaan dan perjudian. Akibatnya, kerana bola sebiji, jutaan manusia lupa Tuhan. Minda kita dijajah. Barat buat duit, kita perhabis duit.

Pernahkah kita terfikir kenapa ulamak dan sarjana terdahulu begitu hebat walaupun profesion ulamak tidak pernah dipopularkan atau dijadikan realiti TV seperti Imam Muda? Jawapannya mudah, ilmu dijadikan sandaran dan bermatlamat, bukan mengejar fatamorgana.

Hari ini, kita ada sekolah sukan dan macam-macam lagi kemudahan sukan, tetapi kenapa masih bermasalah? Jawabnya, kita tidak ada matlamat dalam bersukan. Kita berpolitik. Mengejar populariti. Ilmu tidak dijunjung. Ini bukan putih, tetapi terlajak nafsu.





Mohd Ridhuan Tee Abdullah, INSPIRE/PPI, UniSZA 

Monday, January 11, 2016

Terbanglah setinggi mungkin

7:35 AM Posted by RIDHUAN TEE 3 comments
(Sinar Harian 11.1.16)

Saya ucapkan tahniah kepada Rayani Air di atas keberaniannya  meletakkan asas patuh syariah sebagai dasar utama syarikat penerbangan itu. Walaupun tuan punya syarikat ini masih lagi tidak Islam, namun dia memahami budaya dan kehidupan masyarakat negara ini. Apatah lagi sampai ke peringkat mahu melantik Dr Haron Din sebagai penasihat syiarah. Hebat…hebat. Rakyat Malaysia sebegini perlu diperbanyakkan. Terbanglah setinggi-tingginya Rayani Air, tapi jangan sampai balik Tongsan.

Mungkin ada yang berkata, ini wayang sahaja, bagi mendapat keuntungan. Pada saya, wayang pun wayanglah, sekurang-kurang dia ada hati dengan Islam. Cukuplah. Daripada berkawan dengan ultra kiasu sekian lama, tetapi makin tegar dan kuat menentang Islam. Mungkin parti Amanah boleh melembutkan hati mereka. Tidak mustahil beberapa kerusi DUN, Parlimen dan Ahli Majlis boleh turut diberikan. Jangan kacau kerusi Pas. Pas tidak rela tau!

Membaca komen-komen ultra kiasu, respon kepada berita ini, memang menyakitkan hati.  Mereka kata selepas ini, akan dihidangkan dengan air jampi dan macam-macam penghinaan. Ada aku kisah! Janji hati aku senang bila naik Rayani Air. Hilang di udarapun tidak mengapa, asal dari mula naik hingga turun sentiasa membawa kita mengingati Allah. Puas hati kalau ditakdirkan mati di udara.

Tindakan ini bukan lagi srategi laut biru, tetapi strategi lautan dakwat ilmu. Ini bukan lagi thinking outside the box, tetapi inside the box. Mengkaji dahulu apa yang ada di dalam sebelum sibuk mencari di luar. Ini tidak, sibuk mencari ilmu sana-sini. Ilmu Islam begitu jahil. Akhirnya jadilah macam kumpulan G25.

Sudah sekian lama saya bercakap supaya kita mengikuti cara pesawat Brunei. Bukan Islam di sana ada 30 peratus. Kenapa mereka boleh menerima? Jawapannya, mudah. Pemimpin di sana ada willpower. Kita bagaimana? Tidak bertegas. Terperangkap dalam permainan undi. Meskipun mereka tidak pernah mengundi kita, walaupun dalam satu Barisan. Inilah nasib Melayu. Terlalu memberikan, sehingga orang lain naik kepala.

Kenapa syarikat bukan Islam perlu patuh kepada kehendak syariah? Jawapannya, pertama; Malaysia adalah negara Islam. Islam agama persekutuan. Ia harus dihormati oleh semua pihak. Islam memang menghormati agama lain, asalnya ia tidak mengganggu kita.

Kedua; ajaran (agama) apakah di dunia yang menghalalkan wanita berpakaian seksi, menghalalkan arak, judi dan lain-lain lagi. Hina sungguh sesuatu agama itu jika ada yang menghalalkan perkara di atas, yang amat ditegaskan dalam Islam. Jika kita mengakui agama kita hebat, maka sokonglah Rayani Air. Jika tidak, hina sungguh kita.

Jangan seperti ultra kiasu, kerana mahukan produknya laku dan laris, maka dijenamakan dengan nama-nama yang kelihatan Islamik, sedangkan cara pembuatan dan pemerosesan tidak menepati kehendak syariah. Misalnya, bihun kotor ditulis dan tulisan jawi, cap masjid dan macam-macam nama Melayu Islam.

Ketiga; jika berpakaian seksi itu dibolehkan, kenapa bila duduk terkangkang kerusi kenderaan awam, perlu dirapatkan pehanya. Biarkanlah terbuka.  Saya difahamkan pada asalnya pakaian pramugari tambang murah itu skirtnya sampai ke lutut. Tetapi bila tiba kepada pramugarinya, bukan sahaja disingkatkan, malah dibelah lagi, supaya bertambah berahi. Bukan main merah lagi bila berjalan, dengan lagak sombong, kononnya cantik. Walhal gedik. Tengok naik getik.

Keempat; isu pramugari menangis kerana pakaian seksi dan melayan arak sudah lama diadukan pada saya. Kes Dr Maza kira kes baharu. Wahai Melayu yang duduk di syarikat tambang murah, buka mata hati mu. Jangan buta.

Kelima; kenapa tidak mengambil pengajaran pesawat terpaksa berpatah balik, gara-gara penumpang mabuk. Jika arak itu baik, suruhlah sahaja pilot minum dahulu. Kenapa pilot diperiksa bebas dari arak dan dadah sebelum memandu pesawat.

Keenam; pelancong datang bukan nak minum arak, tetapi melihat negara, budaya dan cara hidup kita. Kualiti arak mereka jauh lebih baik dari kita. Yang kita hidangkan pun adalah arak yang diimport dari mereka. Kenapa hidangkan minuman mereka, bukan minuman kita? Hidangkanlah sirap dan cendol.

Ketujuh; sama juga membuat pertunjukan rock, RnB, dan lain-lain budaya barat kepada pelancong. Bukankah sepatutnya, inang, zapin, keroncong, caklempong dan lagu etnik Cina dan India, Sabah dan Sarawak. Kenapa terhegeh-hegeh dengan budaya asing. Malah bangga lagi. Dalam hati pelancong sudah tentu tertawa, bodoh sungguh kita.

Kelapan; apa sebenarnya identiti Malaysia, saya masih tercari-cari. Kita sudah menjadi lebih barat dari barat, sehingga tidak mustahil jadi keparat. Justeru, bangunlah wahai pemimpinku! Kembali identiti negara ini yang berpaksikan kepada Islam tanpa menafikan hak orang lain dalam demokrasi.

Akhirnya, jangan sampai, apabila sudah hilang segala-gala, ketika itu baharu nak kembali kepada asal. Masa itu sudah terlambat. Ingat, sekali terlepas, amat sukar untuk mendapat balik.

Kepada Rayani Air, gua caya sama lu. Terbanglah setinggi yang kau mahu. Saya yakin, penumpang akan rasa selamat, walaupun hilang di mata. Aku tetap akan memilihmu. Allah bersamamu meskipun tidak bersunat.

Profesor Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah

Felo Utama, INSPIRE dan Pensyarah PPI, UniSZA

Sunday, January 03, 2016

Jangan terlalu kemaruk undi

11:23 PM Posted by RIDHUAN TEE 4 comments
Jangan terlalu kemaruk undi (Sinar Harian 4.1.16)

Kenyataan kemaruk undi pemimpin Amanah, sehingga berani campurtangan dalam urusan negara Brunei mengenai sambutan Krismas agak mengejutkan. Apabila orang Islam sudah menjadi jurucakap, sudah tentu ultra kiasu sangat seronok. Mereka turut mendesak supaya Putrajaya turut campurtangan, mendesak kerajaan Brunei supaya meliberalkan sambutan perayaan kaum minoriti itu. Di mana kita tinggal? Tongsan? Hormatilah perasaan bangsa majoriti dan undang-undang di sana.

Peliknya, Kristian di Brunei tidak terasa apa-apa pun. Kenapa kita  gatal punggung? Sila baca artikel Harris Nasril, bertajuk Christmas in Brunei, a reader’s account, yang membuat kajian apa yang berlaku di sana.

Secara prinsip, pendirian sesebuah negara hendaklah dihormati atas semangat kejiranan. Pasti ada justifikasinya. Inilah orang politik, bila nampak sesuatu isu yang memberi keuntungan politik atau undi. Semua mahu jadi jaguh kampung.

Saya telah beberapa kali ke Brunei memberi syarahan. Sultan Brunei amat prihatin dengan bangsa minoriti, kerana mereka ada hak dalam negara Islam. Justeru, Baginda Sultan sentiasa merujuk kepada pakar, iaitu Majlis Agama dan Mufti. Keputusan tidak dibuat semborono. Bukan seperti kita, ada pakar, tetapi tidak merujuk.  

Agama Islam adalah agama negara Brunei. Suatu perkara biasa jika agama Islam mendominasi, seperti negara lain. Ada kebebasan, tetapi jangan sampai menenggelamkan agama negara. Berbeza dengan kita. Boleh belaka, Malaysia boleh. Perdana Menteri Britain, tidak segan-segan mengatakan multiculturalism is dealth. Malah mengistiharkan Britain adalah negara Kristian. Kenapa tidak bantah?

Agak malang bagi kita, anak-anak muda Islam terhegeh memakai memakai baju santa claus dan pakaian bangsa lain ketika perayaan mereka, sedangkan bangsa lain tidak pernah pun terlintas memakai pakaian kita.

Ironinya, tindakan kerajaan China yang kejam ke atas umat Islam iaitu dengan mengharamkan puasa, menyimpan janggut, menutup aurat, banyak lagi cara hidup Islam yang diharamkan, tidak pula diprotes ultra kiasu. Kenapa kita selalu jadi mangsa?

Sedarkah kita bahawa jumlah rumah ibadat bukan Islam sudah terlebih keperluan, 10 kali ganda bilangan masjid surau dan mereka boleh buat sesuka hati di sana? Sambutan perayaan bukan hanya di sana, malah menutupi bumi Malaysia?


Justeru, dalam memberikan keadilan, jangan lihat keadilan itu fair and square atau 1=1,  tetapi meletakkan sesuatu ditempat yang betul. Sensitiviti agama majoriti mesti dihormati.

Terbaharu, ultra kiasu mengutuk tindakan Putrajya menghalang atlit Israel masuk bertanding Kejohanan Luncur Angin Belia Dunia di Langkawi. Apabila merasa tergugat dengan tindakan tersebut, cepat-cepat pemimpin ultra kiasu lain mengatakan itu pendapat peribadi. Ingatan saya kepada kita semua, jangan sampai negara ini diIsraelkan dan dikristiankan. Ultra kiasu sangat licik dalam psywar dan psyop mereka. Hati-hatilah wahai pemimpin negaraku.

Banyak negara lain di dunia, termasuk negara bukan Islam yang tidak menyambut Krismas. Malah Kristmas tidak diistiharkan sebagai cuti umum. Misalnya, Arab Saudi, Algeria, Afghanistan, Azerbaijan, Bahrain, Iran, Kuwait, Libya, Maghribi, Oman, Qatar, Somalia, Tajikistan, Tunisia, Turkmenistan, Turki, UAE, Uzbekistan dan Yaman.

Manakala Iraq, Jordan, Kazakhstan, Kyrgyzstan, Lubnan, Mesir, Sudan dan Syria mewartakan Krismas hanya cuti untuk penganut Kristian serta disambut pada 7 Januari yang turut dikenali sebagai Krismas Kuptik atau Ortodok. Negara Islam bercuti Krismas adalah Albania, Bosnia, Kosovo, Bangladesh, Indonesia dan Malaysia. Pakistan bercuti pada 25 Disember bukan sebab Krismas tetapi Hari Peringatan Pengasasnya, Muhammad Ali Jinnah.

Israel yang terletak berhampiran Gereja Nativiti, Bethlehem, Palestin iaitu tempat kelahiran Nabi Isa A.S., pun tidak bercuti pada hari Krismas. Negara bukan Islam yang tidak bercuti Krismas adalah Bhutan, China, Jepun, Mongolia, Korea Utara, Laos, Rusia, Taiwan, Thailand dan Vietnam.

Brunei ‘mengharamkan’ sambutan secara terbuka Hari Krismas kerana khuatir ia boleh menyesatkan umat Islam. Umat Islam perlu menghindari perayaan bukan Islam kerana ia boleh membawa kepada tasyabbuh (penyerupaan) dan menjejaskan akidah. Mungkin ada yang berhujah, rapuh sangat iman umat Islam boleh terpengaruh dengan santa claus. Ini bukan soal rapuh iman atau tidak. Ini negara mereka dan mereka ada hak. Keadilan itu memberikan hak kepada yang berhak.

Banyak percubaan yang dilakukan untuk meliberalkan dan mengkristiankan negara Brunei, tetapi tidak berjaya kerana pemimpinnya hebat. Kita sudah nampak bahaya di depan mata, tetapi terus biarkan, atas alasan unity in diversity. Siapa jadi mangsa?

Untuk makluman, Brunei turut mengetatkan undang-undang sambutan Tahun Baharu Cina. Sambutan hanya boleh diadakan di tokong, dewan sekolah dan rumah anggota-anggota persatuan Cina untuk tiga hari sahaja pada waktu yang dibenarkan. Mercun dan bunga api diharamkan.


Bandingkan negara kita, kebebasan tanpa had, ibarat burung di angkasa. Adakah dihargai? Undi kitapun tidak? Itu pun ada laporan mengatakan Malaysia berada dalam tangga ke-8 dalam dunia mengekang agama lain. Adakah kita masih buta?