(Sinar Harian 18.1.16)
Dewasa
ini banyak syarikat korporat Melayu mahu menaja pasukan bola sepak mengikut
negeri masing-masing. Semangat ini baik, tetapi perlu diperincikan daripada
segi keutamaan. Mohon bacalah buku Fiqh Awlawiyyat,
karangan Yusuf Al-Qaradawi. Buatlah penyelidikan, masa depan dan prospek bola
sepak negara. Adakah kita mampu sampai ke peringkat dunia? Asean pun belum
tentu lepas. Asia? Jadi, berpada-pada.
Saya
tidak nampak ada sebuah syarikat korporat ultra kiasu berlumba-lumba tampil
menawar diri walaupun kekayaan mereka jauh melebihi kekayaan kita. Kenapa?
Kerana mereka belajar erti keutamaan dalam hidup. Jika adapun, yang ditaja
bukan pasukan kita, tetapi pasukan luar, kerana dia tahu apa pulangannya.
Bukan
macam kita, pakai redah sahaja, terutama jika ada publisiti, populariti dan
sensasi. Nak dibawa ke mana budaya popular ini? Tiba masanya, hilanglah ia.
Lihat apek-apek di luar tu, berseluar pendek ke sana ke mari, tetapi kocek
penuh. Kita pula bagaimana? Biar papa asal bergaya?
Ultra
kiasu sentiasa memastikan wang yang dilaburkan demi kepentingan jangka panjang
atau sesuatu yang akan kekal abadi. Sebab itu, mereka menghabiskan segala harta
dalam sektor hartanah. Pelaburan kekal berpulangan tinggi. Misalnya, di Gua
Musang. Mereka sanggup berhabis membeli hartanah di sana. Bila tanah tersebut
dibangunkan, rupanya kawasan tersebut kaya dengan bijih besi. Maka dibangunkan
kawasan tersebut tanpa mengeluarkan
modal, cukup dengan menjual bijih besi tersebut sebagai modal. Kenapa kita
tidak berfikir panjang seperti mereka? Penyelidikan dibuat sebelum membeli,
agar untung berlipat kali.
Saya
difahamkan pula, MCA sudahpun melobi untuk mendapatkan satu kerusi DUN di sana,
kawasan majoriti Melayu. Banyak cantik! Pergilah bertanding dan berlawan di
kawasan ultra kiasu.
Lihatlah
betapa licik mereka. Bukan seperti kita, sanggup menggadaikan tanah yang ada
bauksit, bagi mendapatkan wang sekelip mata. Sekadar mendapat wang sejuta
sedepuk, nak dibawa ke mana? Bolehkah sejuta tersebut menyara anak cucu? Lihat
sikap orang Cina apabila bukit Genting (Highland) diberikan. Tidak ada seorang
pun Melayu pada masa itu percaya bahawa bukit tersebut boleh diterokai dan
dibangunkan seperti hari ini.
Namun,
orang Cina amat pandai. Sebelum naik ke bukit, dia tarah dulu tanah di sana,
segala kayu kayan, dijadikan modal untuk membangun bukit. Akhirnya, bukit
Genting tersergam indah. Kekayaan untuk berpuluh generasi yang tidak pernah
habis. Tersenarai 2 daripada 10 terkaya di Malaysia. Kita hanya menggigit jari.
Begitu
juga cara mereka mendapat pengecualian GST bagi 4 buah Sekolah Persendirian
Cina. Saya bukan dengki, tetapi saya memuji cara mereka bekerja. Berapa ramai
kalangan jutawan kita tampil ke depan membantu sekolah agama rakyat yang
seperti hidup segan mati tak mahu?
Sikap
kita, bila ada duit sahaja sibuk menaja program realiti TV terutama hiburan.
Kita ajar anak-anak (Islam) berpesta dan berhibur. Pernahkah kita berfikir
akibatnya? Justeru, saya merayu agar jutawan kita agar belajar memahami
keutamaan. Kepentingan masa depan lebih utama daripada hari ini. Perkara bersifat
tetap lebih penting daripada yang sementara.
Memahami
budaya bola sepak sekian lama, dahulu bolehlah dibangga. Kini, sudah
terikut-ikut dengan budaya populariti. Bila dah terkenal dan menjadi bintang (selebriti),
lupa diri. Sibuk mengahwini artis atau kaum kerabat. Lepas tu, berlagak tak
tentu pasal, maki orang “pak guard bodoh”.
Saya pelik dengan
perangai Melayu, hanya kerana bola sepak mereka bergaduh sesama sendiri. Ada
yang berdarah-darah keluar dari stadium hanya kerana pasukannya kalah. Tidak
kurang yang membakar trak polis dan harta awam kerana tidak puas hati. Akhlak
Islam di mana?
Saya masih teringat
kata-kata aruah ibu saya ketika kecil apabila saya khusyuk menonton bola sepak.
Katanya, “jika tengok bola sepak duit boleh jatuh depan mata, akulah orang
pertama menonton bola sepak”. Betul juga katanya, siapapun menang, kita hanya
menang sorak. Duit bertambah atau berkurang? Maaf saya, bukan memperlekehkan
sukan. Tetapi sekadar mengingatkan
keutamaan negara kita. Perlu juga ingat asal usul sukan (Olimpik).
Ianya
bermula sebagai persembahan dan hiburan kepada raja pada zaman Yunani purba.
Juga sebagai satu penghormatan kepada patung Zeus di bandar Olympia. Pemenang
sukan akan dihormati dan dimasukkan ke dalam puisi dan dijadikan patung. Selepas
Rom berjaya menakluki Yunani, sukan menjadi malap. Untuk menghidupkan semula,
maka ia dipopularkan seperti hari ini. Sukan menjadi perniagaan dan perjudian.
Akibatnya, kerana bola sebiji, jutaan manusia lupa Tuhan. Minda kita dijajah.
Barat buat duit, kita perhabis duit.
Pernahkah kita terfikir
kenapa ulamak dan sarjana terdahulu begitu hebat walaupun profesion ulamak
tidak pernah dipopularkan atau dijadikan realiti TV seperti Imam Muda? Jawapannya
mudah, ilmu dijadikan sandaran dan bermatlamat, bukan mengejar fatamorgana.
Hari ini, kita ada
sekolah sukan dan macam-macam lagi kemudahan sukan, tetapi kenapa masih
bermasalah? Jawabnya, kita tidak ada matlamat dalam bersukan. Kita berpolitik.
Mengejar populariti. Ilmu tidak dijunjung. Ini bukan putih, tetapi
terlajak nafsu.
Mohd Ridhuan Tee
Abdullah, INSPIRE/PPI, UniSZA
3 comments:
kelab QPR, Cardiff City, Valencia...ownernya Malaysian.... owner tu bukan setakat taja...
Setuju
Setuju
Post a Comment