(Sinar Harian, 8.2.16)
Artikel ini disiarkan pada Tahun Baharu Cina, tahun
monyet. Binatang kesembilan dalam senarai susunan zodiak Cina. Sebagai orang
Islam, tidak sepatutnya kita percaya kepada ramalan zodiak. Namun, tidak salah
mengambil pengajaran.
Pepatah Cina berkaitan monyet berbunyi; semakin
tinggi monyet memanjat, semakin terserlahlah punggungnya (bahagian sulit). Bermaksud,
jika berusaha bersunguh-sungguh, menggunakan segala tenaga dan bakat, yakinlah kejayaan
pasti akan datang. Kata-kata ini dipegang oleh orang Cina.
Tamadun Cina kaya dengan kata-kata hikmah sebegini,
dalam menjalani kehidupan. Setiap tahun, binatang silih berganti, ada sahaja
keistimewaan masing-masing. Mereka amat percaya, dan berusaha ke arah itu. Pendek
kata, teori, dipraktikkan.
Kata-kata hikmah Melayu tidak kurang hebatnya.
Tetapi lebih teori daripada praktik. Memilih
yang negatif daripada positif. Misalnya, yang bulat takkan datang menggolek,
yang pipih takkan datang melayang. Praktiknya, kita lebih kepada menanti yang
bulat datang menggolek, yang pipih datang melayang. Isu bauksit sebagai contoh.
Berapa ramai lagi pegawai pejabat tanah akan didakwa?
Sebab itu, janganlah kita dengki jika orang lain
berjaya sehingga menjadi ultra kiasu. Mereka tidak jemu berusaha. Sejarah
membuktikan, bermula penghijrahan, mereka datang dengan sehelai sepinggang.
Hari ini, harta keliling pinggang. Pasal apa? Mereka berusaha, tidak bersengketa
sesama sendiri. Inilah iktibar tahun monyet.
Pertama, dari
sudut kerjaya. Monyet sentiasa mencari peluang baharu dan berusaha menerokai
peluang tersebut hingga berjaya serta mendapat hasil lumayan. Tidak takut dalam
mengutarakan idea, kritikan dan pandangan selagi itu baik untuk menunjang
karier. Sebab itu, jangan terkejut jika peniagaan semakin bertambah dan
berkembang daripada tahun ke setahun. Kita asyik tikam-menikam sesama sendiri,
juga dalam organisasi dan parti. Pantang dikritik, freeze selalu.
Kedua, kasih sayang
monyet. Monyet amat mementingkan kasih sayang di kalangan mereka. Lompatlah
setinggi manapun, anak yang dikendung tidak akan terlepas. Inilah ikatan orang
Cina, hubungan kasih sayang sebangsa yang kuat dan sentiasa diperbaharui. Tidak
mustahil menjalinkan hubungan baharu yang lebih mekar. Tidak seperti kita,
bergaduh tiada penghujung. Apatah lagi
apabila Amanah mengeluarkan kenyataan sesiapa (Pas) yang bekerjasama dengan
Umno, adalah musuh mereka. Umno lebih bahaya daripada ultra kiasu. Sanggup menolak
saudara seagama. Kesesatan apakah ini?
Ketiga, ekonomi
monyet. Monyet sentiasa meninjau dan memperbaiki
strategi ekonomi masa lalu berhadapan dengan masa kini. Masa hadapan amat
penting kerana perjalanannya jauh. Terus aktif dan pro-aktif mengejar
peluang. Sentiasa berhati-hati terhadap segala tindak-tanduk supaya tidak
membawa mudarat. Bersiap sedia mental fizikal
untuk menghadapi setiap masalah
mendatang.
Mereka akan cuba menghindari perkara
yang boleh merosakkan seperti provokasi. Mereka tidak mengejar
populariti dan berpolitik bodoh seperti kita. Maka tidak hairan jika kekayaan
mereka melimpah ruah. Kita pantang kaya sedikit, berlagak sana sini. Sibuk
tunjuk kekayaan.
Keempat, kesihatan
monyet. Monyet sentiasa menjaga kesihatan agar panjang umur,
murah rezeki (huat cai). Paling baik meninggalkan perbuatan yang mengakibatkan
ketagihan seperti seperti minum arak dan merokok, termasuk vape. Rehat dan
tidur yang cukup. Bukan seperti kita isu rokok dan vape tidak pernah selesai.
Fatwa kata vape haram, kabinet kata tidak. Peliknya, rokok tidak haram pula.
Apa sebenarnya kita ini? Ada yang haram dibolehkan, ada yang haram tidak dibolehkan,
sedangkan dalam Islam, yang haram jelas, yang halal juga jelas.
Kelima, jauh berjalan luas
pemandangan. Tahun monyet sangat baik untuk berjalan bagi mendapatkan
pengalaman. Menjaring hubungan, mencari persahabatan baharu bagi
memperluaskan lingkaran sosial. Bukan berjalan sekadar berjalan. Kita sibuk
melancong ke sana ke mari, Mekah tidak pernah dijejaki. Yang pergi ke Mekah,
balik sibuk bertaubat, esok buat maksiat. Taubat apakah ini?
Keenam,
sosial monyet. Menjaga kemuliaan akhlak dan rendah diri. Fokus lebih membantu
orang lain yang memerlukan. Saling tolong menolong. Itulah fong shui. Ada keluar, ada masuk. Kita bagaimana? Berapa ramai yang
dikeluarkan daripada kemiskinan atau sibuk menaja program realiti dan bola
sepak? Sehingga yang gedebe pun berjaya dipondankan.
Kisah dongeng monyet patut
dijadikan teladan oleh kita semula. Penjual songkok tertidur di sebatang pokok.
Melihat penjual itu sudah tidur, monyet pun turun dan mengambil semua songkoknya. Monyet
sungguh gembira dan kelihatan seperti tidak tahu apa yang hendak dilakukan. Ada
yang membelek-belek, ada yang meletakkan di kepala, ada yang membaling semula.
Bila terjaga, penjual
songkok panik, kerana semua songkok telah diambil monyet. Kecuali ada beberapa
yang terjatuh. Penjual songkok berfikir bagaimana mendapatkan semula songkoknya.
Sambil berfikir, dia melambung-lambung songkok. Perbuatannya itu diperhatikan
oleh monyet. Kemudian monyet meniru apa yang sedang dilakukan oleh penjual
tadi. Songkok-songkok itu dilambungkan. Sekali lambung saja, semua songkok itu
jatuh. Penjual songkok segera memungut songkok, lalu beredar pergi.
Rupanya, orang lain
sibuk mengambil iktibar tahun monyet, tetapi
kita meniru perangai monyet. Leka dengan meniru budaya barat seperti program
realiti untuk mengejar populariti, termasuk bola sepak. Malang sungguh! Siapa
sebenarnya monyet? Selamat menyambut tahun monyet.
3 comments:
Assalam Prof,yang monyet belum reti buat lagi ialah menggelapkan wang berbilion-bilion.Bila ditanya macam mana boleh dapat ? Derma.Tanya lagi....untuk parti.....tanya lagi.....untuk lawan IS......tanya lagi......terus diam......
Peribahasa Melayu juga ada mengatakan 'ibarat kera (monyet boleh pakai kot) mendapat bunga'. Maksudnya lebih kurang 'sesuatu yang indah, baik dan berguna bila jatuh ke tangan orang yang tidak tahu menilai dan menggunakannya akan menjadi sia-sia malah akan merosakkannya.'
Saya rasa boleh digunakan peribahasa itu merujuk kepada situasi sekarang di mana orang Melayu sentiasa sahaja berbaik sangka dan boleh bertolak ansur kepada masyarakat ultra kiasu tetapi apa yang dilakukan adalah mensia-siakan sifat tolak-ansur ini dengan menyerang balik orang Melayu sehinggakan apa yang ada seolah-olah tidak cukup. Dan ini memang merosakkan hubungan antara kaum.
Kesimpulannya, Melayu bertolak ansur; ultra kiasu semakin merosakkan hubungan antara kaum.
Ridhuan Teelahyang sebenar nya monyet
Post a Comment