(Sinar Harian 29.2.16)
Akibat kekangan budget, ramai profesor
pencen iaitu mereka yang telah berusia 61 tahun ke atas, tidak disambung
kontraknya. Saya lebih suka menggunakan istilah ilmuan berbanding profesor, disebabkan
tidak semua profesor terserlah keilmuannya (profess). Ada yang pandai menulis
(mengajar), tetapi tidak pandai mendidik. Apatah lagi untuk merakyat. Mereka
hanya pakar dalam bidang sahaja.
Berbanding dengan professor di barat,
bukan sahaja keilmuan mereka terserlah, mereka turut merakyat, bukan hanya
sesekali turun padang. Entah diterima atau tidak ‘ketinggian’ ilmunya oleh
masyarakat.
Apapun kerjaya ilmuan hendaklah
dibezakan dengan penjawat awam. Mengikut undang-undang, mereka yang berada di
Universiti adalah pekerja universiti bukan penjawat awam. Ada beberapa kes
pensyarah kalah dalam perbicaraan kerana menggunakan istilah penjawat awam.
Ilmuan dengan penjawat awam berbeza.
Ilmuan, ilmunya penuh di dada. Penjawat awam hanya tahu mentadbir. Ilmuan boleh
mentadbir. Pentadbir belum tentu boleh mendidik. Inilah perlu diketahui oleh
pemimpin politik masa kini agar jangan terlalu berpolitik.
Agak malang lagi apabila profesor yang
memilih untuk menjadi pentadbir, tidak tampil membela profesor sebaliknya
menjadi lebih PTD dari PTD. Apatah lagi membaca berita yang
menyatakan bahawa bahawa
khidmat tenaga kerja profesor universiti ditentukan oleh pihak pengurusan
universiti itu sendiri melalui otonomi yang telah diberikan. Persoalan, duitnya
datang dari mana? Dari langit?
Tidakkah pemimpin
hari ini tidak sedar bahawa berdirinya mereka hari ini adalah disebabkan oleh didikan
professor mereka? Justeru, fikirkanlah beberapa perkara berikut. Pertamanya,
ilmuan yang bergelar profesor tidak wajar disamakan dengan penjawat awam yang
lain kerana perkhidmatan dan sumbangan akademik mereka melebihi penjawat awam
lain.
Saya bersetuju
dengan kenyataan bahawa kerajaan harus
mewujudkan badan khas untuk memastikan kehebatan ilmu yang dimiliki oleh para
ilmuan tidak terbiar begitu sahaja, meskipun telah pencen, terutama dalam
mencorakkan halatuju negara. Majlis Persatuan Akademik Negara (MAAC) hendaklah
dimanfaatkan sepenuhnya, selain Majlis Profesor Negara (MPN).
Kedua, umur pencen ilmuan hendaklah
dinaikkan kepada 65 atau 70 tahun, selaras dengan amalan antarabangsa. Kebanyakan
mereka yang dilantik ke jawatan professor, pada ketika lingkungan usia 50-an. Sayang
sekali ilmu keprofesoran mereka hanya dimanfaatkan beberapa tahun sahaja
sebelum pencen.
Tidak dinafikan hari ini ramai juga
pensyarah muda yang dilantik ke jawatan profesor disebabkan oleh kejayaan menghasilkan
artikel dan penyelidikan berkualiti. Malangnya golongan ini hanya pandai
menulis tetapi tidak pandai bercakap dan bermasyarakat. Sebab itu, jangan syok
sendiri.
Ketiga, professor hari ini janganlah
terlalu bergantung harap untuk disambung kontrak. Menyebarkan ilmu tidak hanya
di dewan kuliah, tetapi juga bermasyarakat. Pergilah mendampingi surau, masjid
dan institusi lain untuk menyebarkan ilmu yang terpendam. Syaratnya, jangan buta
agama. Mestilah pandai mengislamisasikan dan mengintegrasikan ilmu kepakaran
dengan ilmu agama.
Bidang kepakaran saya adalah Sains
Politik. Saya rasa bersyukur kerana selain daripada berada di bilik kuliah,
saya diberi kesempatan untuk berkongsi ilmu dengan masyarakat sehingga digelar
sebagai ustaz. Terima kasih UniSZA. Saya yakin ilmuan lain telah lakukan lebih
dari itu.
Pokoknya, jangan jadi professor jahil.
Saya pernah berjumpa dengan profesor yang beri salam pun tidak betul, berselawat
pun tak lepas, baca Quran gagap berbanding bahasa Inggeris. Jangan haraplah
untuk menjadi imam solat.
Perlu diingatkan, profesor berada
dalam kedudukan ketiga, kalangan 15 profesional yang paling boleh dipercayai
selain dari doktor perubatan dan guru. Pemimpin politik berada pada kedudukan
terakhir iaitu ke 15 yang tidak boleh dipercayai. Kenapa? Sila rujuk kajian
BEIM.
Pepatah Cina ada berkata, jika mahu
menjadi pemimpin, pastikan rumah tangga dipimpin baik. Bagi memastikan
rumahtangga dipimpin baik, diri sendiri perlu dipimpin baik. Bagi memastikan
diri sendiri dipimpin baik, hati perlu dipimpin dengan baik. Bagi memastikan
hati dipimpin baik, asasnya mestilah ikhlas. Belajar erti ikhlas.
Jarang kalangan kita yang ikhlas.
Kebanyakan kita menjadi pakar bodek. Malang sungguh mereka yang dilantik
menjadi profesor tidak menjadi profesor
sebenar. Tidakkah mereka sedar bahawa suatu hari nanti mereka akan pencen?
Dahulu ketika mereka dinaikkan menjadi
profesor, tidak susahlah sangat seperti yang disyaratkan pada hari ini. Apabila
kita berada di atas, kita susahkan mereka yang mahu naik menjadi profesor.
Sedangkan penjawat awam yang lain, misalnya, PTD begitu mudah untuk naik
pangkat, berbanding mereka yang setengah mati mengaji sehingga mendapat PhD.
Malang sekali bila dapat PhD, ia bertukar menjadi perasaan hasad dengki.
Lebih malang lagi ada professor yang
sudah bertaraf JUSA masih tidak dianugerahkan darjah kebesaran, berbanding
penjawat awam lain, ada masih begitu muda sudah bergelar ‘dato’. Kenapa?
Jawapannya ilmuan tidak pandai membodek seperti ahli politik dan penjawat awam.
Teringat kata Albert Camus, some people
talk in their sleep but lecturer talk while other people sleep.
1 comments:
Baik comment tu
Post a Comment